Tuesday, March 29, 2016

MENGGAPAI CINTA...

ASSALAMUALAIKUM....

Cerpen:
Menggapai Cinta.
Paridah Ishak.

Gunung Jerai yang megah berdiri gagah. Di sinilah Merong Maha Wangsa melabuhkan bahteranya. Dongeng Melayu yang masih gah. Entah bagaimana cerita sebenarnya yang tersurat periwayatnya perlulah diselak baca. Meneliti sambil mengkaji akan realiti walau kadang sukar juga terpercaya menurut logik akal yang sederhana. Namun cerita lisan yang terbawa sejak generasi ke generasi, zaman berzaman tentu ada kebenaran lantaran perbidalan kitapun mengatakan “tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.”
Dan ada pula tinggalan artifak yang dikatakan berupa bahtera besar telah bertukar menjadi batu kerana kelamaan usianya untuk menyokong kebenaran riwayat yang disangka metos semata. Kisahnya bagaimana Merong Maha Wangsa yang menabur khidmat mempertemukan puteri maharaja China dengan putera raja Rom dengan tujuan mengahwinkan pasangan itu namun dilanggar burung geroda yang ingin menggagalkan niat itu.  Niat baik menghubungkan dunia timur dan barat dengan jalenan ikatan yang lebih murni melalui perkahwinan.
Maka tersadailah bahtera besar itu di puncak gunung Jerai  dan kesudahan ceritanya tentu tidak berlaku setakat itu saja. Lanjutan cerita kisah cinta timur dan barat yang terabadi di kaki gunung Jerai menyimpan pertanyaan yang tidak berkesudahan. Namun gunung jerai bagiku adalah objek seni lagi indah di mana pun aku berada. Sawah padi terhampar sejauh mata memandang di kakinya seolah menggamit aku pulang ke sisinya. Apabila berada di tengah bendang dan memandang gunung Jerai menyapu awan putih seolah-olah sebahagian masalahku telah terlerai. Tenang dan damai.
Namun sebenarnya kehidupan di sebuah rumah di tepi sawah di kaki gunung Jerai ini tidak setenang dan damai seperti yang dijangka juga. Di dalamnya meriah aneka perasaan yang berbaur menurut situasi demi situasi. Ada tawa-hilai, jerit- pekik, tangisan dan kata-kata yang melukakan perasaan. Demikianlah kehidupan sebenar bukan? Tidak berirama sekata tapi ritemnya melenggok. lemah gemalai, turun naik,  menyusun tarinya
“Maaflah kak! Baru hari ini dapat datang melawat kak.”
“Tak mengapa dik, kak lama lagi di sini. Bolehlah datang bila bila saja melawat kak, teman kak yang sendirian tak berkawan di sini.”
“Hajat hati memang begitu kak. Kak Emilia pun selalu pesan pada saya agar selalu datang menjenguk kak.  Tapi sibuk sangat di rumah menolong mak menjaga padi di bendang dan pelbagai kerja di rumah yang kena dibuat. Mak pun dah tak larat sangat maklum dah berusia juga.”
Pertemuan di relong waktu berlalu dengan sedikit cerita di permulaannya. Beliau adalah adik kepada sahabat lama sepersekolahan di era kecilku. Seringkali pula gadis berperwatakan lembut, berbudi bahasa itu mengunjungiku selama aku bermukim di sini, di rumah tok dan emak saudaraku yang bungsu. Ayahku yang membawa aku ke sini untuk mencari solusi kepada penyembuhan sakit yang menyebabkan diriku terlantar tidak bermaya setelah melahirkan zuriatku yang pertama. Kompilikasi saat melahirkan yang kritikal kerana tekanan darah yang amat tinggi menyebabkan aku sengsara begini.
Dan kini hanya menjadi penyaksi, perenung, pemikir semata dalam suasana yang samasekali tidak aku mahukan. Ego yang menjerut diriku sukar juga terlepaskan nampaknya. Masih perlu kuat berusaha lagi mendidik nurani agar murni. Semoga Allah menetapkan hatiku agar tidak bolak balek sentiasa.
Namun Allah Maha berkuasa ke atas segalanya justeru telah merubah hati gadis yangku kenali sewaktu kecilnya seorang yang kasar, tutur katanya kesat dan mengguris hati kecilku kini tampilannya berbeza sekali. Selain wajahnya cantik berkulit putih bersih dan peribadinya lunak mulia.
Nurita aisya yang kukenali dulu tidaklah sebaik kakaknya sahabatku Emilia. Dia menjadikan aku musuhnya yang akan disembur api kemarahannya kerana sering ke rumahnya dan berkawan dengan kakaknya . Aku tidak ambil hatipun justeru mengangapnya sebagai adikku yang terlebih sedikit kenakalannya. Setiap perbuatannya kepadaku diingati dan tidak malu-malu memohon maaf kepadaku. Mendengarkan itu aku tersenyum cuma. Dirinya dulu dan sekarang terlalu jauh bezanya. Agaknya pabila diri semakin dewasa dan matang kita hanya akan berfikir positif semata. Seboleh-bolehnya ingin mendisplinkan diri sebaik yang mungkin. Begitulah peribadi gadis ayu Nurita aisya kini.  Dan seketul arang kecil itu dulunya  telah ditempa menjadi berlian yang amat elok lagi berharga. Tentulah hasil kebijaksanaan didikan kedua ibu bapanya.
Kenangan zaman anak-anak yang sangat mendukacitakanku terimbau semula. Aku ditinggalkan ayahku pada tokwan dan tok untuk menyambung persekolahan di sini dan menggauli suasana yang mencorakan warna hidupku kini. Jika aku tinggal bersama keluargaku di sana tentu lain pula rona takdir-Nya. Justeru bersama ibu bapaku yang teramat mementingkan pencapaian didikan akademi yang cemerlang tentu rona kehidupanku lain pula.
Bukankah kecapaian ilmu itu sangat penting dalam pembentukan kehidupan yang diingini. Tidaklah seperti diriku yang hanya menjadi suri rumah sepenuh masa  kerana ditamatkan didikan persekolahan oleh tokwanku di peringkat sekolah rendah saja. Lantaran tokwanku tidak mampu menyara  perngajianku seterusnya.  Ramai kawan-kawan sepersekolahan yang berjaya dalam karier pilihan masing-masing . termasuklah sahabat baikku Emilia. Seorang yang amat berjaya dalam karier dan kehidupannya setelah  nenamatkan pengajian hingga peringkat tertinggi.
Nurita aisya juga musykil dengan dirinya yang seakan menyesali nasibnya yang tidak berjaya berkerjaya seperti adiknya Hafiz dan kakaknya Emilia. Meninggalkan dia seorang di rumah membantu ibu bapanya melakukan kerja rumah dan bendang. Penerimaan ibu bapa terhadapnya juga menyedihkan. Dirasakan seolahnya kedua ibu bapanya itu  membezakan kasih sayang kepada anak-anaknya. Sering berjauh hati dan merasa terpinggir. Tambah pula dengan usianya yang semakin meningkat dan sudah sepatutnya berkahwin . namun Nurita aisya masih juga belum dipinang sesiapa.
Mungkin ini merupakan masalah besar bagi ibu bapa . Mereka merasa malu, terhina lantaran anak gadis mereka tidak disunting orang. Alangkah kolotnya pandangan itu. Mengapa perlu memandang dengan prasangka pesimis lagi sinis pada gadis gadis yang tidak bertemu jodohnya lagi. Jodoh pertemuan itu adalah takdir Tuhan. Sukar sangatkah hendak menerima andaian begitu?
Pada anggapanku perkahwinan juga adalah nasib. Tidak semua perkahwinan akan memberi apa yang diimpikan. Asas cinta juga tidak akan membina rumahtangga yang berkekalan selamanya. Segalanya adalah ketentuan Allah yang harus diterima semata. Bukan mempersoalkannya kenapa dan mengapa. Sunnah nabi Muhammad saw yang memakmurkan umat Islam sedunia itu akan berlaku dengan izin-Nya dan tidak mungkin kerana kemahuan sesiapa sahaja.  Telah dirancang sebaiknya, ditentukan tarikh dan waktu tetap ada saja aral menggendalakannya jika tidak diingini-Nya berlaku.
Aku juga merancang perkahwinanku sesuai citarasaku agar sentiasa berbahagia selamanya dikelilingi anak anak pengikat kasih sayang yang akan dididik sesempurna mungkin.  Tidak sempat pulaku lakukan kerana kemudaratan fizikal yang menguzurkan kesihatanku. Langsung tidakku duga akan begini kesudahan hidupku. Perancanganku bukan ketentuan-Nya.
Apakah menyesali takdir yang terjatuh di lorong hidupku?  Tanpa rasa reda tentu akan terselit dosa. Dosa yang tidak mahu lagi kuukir apapun rupa bentuknya. Samaada besar atau se kecil zarah. Astaghfirullah. Ampuni hamba-Mu ini ya Allah.
Perkahwinan yang memberiku rasa bahagia pada mulanya tidak berkekalan selamanya. Singkat sekali berada dalam situasi yang disenangi terhapus pula tiada terduga. Mungkin ada kesilapan yang kulakukan di mana-mana tanpa kusedari dan kifarah-Nya perlu ku bayar sejak di dunia lagi. Astaghfirullah. Ampuni hamba-Mu ini ya Allah. Sesungguhnya hamba-Mu ini adalah orang yang berdosa.
“Kak dah lama juga berubat dengan Tok Minah sambil berurut setiap hari Ita tapi masih juga belum sembuh. Rasanya minggu depan ni ayah kak datang kak akan balik ke tempat kak. Nak sambung berubat di sana pula.” Sebenarnya aku sangat rindu kepada  anak kecil yangku tinggalkan dalam penjagaan ibu di sana. Anak kecil yang kehilangan kasih sayang ibunya semenjak ia lahir ke dunia lantaran aku tidak berdaya berbuat sesuatu apa deminya. Tidak dapat langsung untuk memenuhi tanggung jawab sebagai ibu kepada seorang anaknya. Namun rinduku kepada anak itu sentiasa membuak-buak.
“Yelah kak. Eloklah begitu. Jangan berputus asa kak. Berubatlah sehingga sembuh sediakala. Biasalah sakit ni datangnya seperti ribut tapi nak baiknya berdengut-dengut macam semut. Tapi nampak pada saya wajah kak sudah semakin merah berseri dan tidak lagi pucat seperti pertama kali saya ke sini jumpa kak dulu. Insya-Allah kak pasti pulih. Saya selalu doakan kesejahteraan kak.”
“Terima kasih banyak dik. Insya-Allah.”
Aku merenungnya tajam. Renungan yang menyeluruhi wajah mongel ayu itu.
“Kenapa kak pandang saya begitu? Tak betul apa yang saya katakan itu?”  tersipu malu pula ia menuturkannya dengan rasa keserbasalahan menyebabkan aku digelut bimbang.
“Eh! Bukan itu maksud kak, dik Ita. Sebenarnya kak sedang mencari wajah Emilia dalam wajahmu. Dah lama kami tak jumpa itu yang rindu sangat. Teringat dulu dulu kak selalu jalan kaki melalui batas bendang ke rumahmu sebelum bersama-sama Emilia menapak hingga ke sekolah. Jauh juga  jaraknya. Rasanya dekat 4 kilometer. Pendek kata memang penatlah meredah embun di pagi hari sebelum tiba ke sekolah. Baliknya terpaksa berpeluh melangkah pula di tengah rembang panas tengah  hari. Sedang perut bukan main berkeroncong lagi. Setelah makan kami berdua ke rumah Pak Utih pula belajar mengaji al-quran. Masa tu kau masih kecil dan tak bersaing dngan kami sebab bersekolah petang. Kenangan zaman kecil yang sangat indah kan Ita. Terasa hendak mengulanginya. Tapi masakan mungkin.”
Zaman persekolahan yang menemukan aku dengan ramai guru guru yang bertanggung jawab dengan bidangnya lelaki dan perempuan  terutamanya cikgu Zakaria. Seorang guru yang menyenangkan hatiku kerana sering membaca karanganku di dalam kelas dan meminta kawan kawanku yang sekelas mencontohinya.  Setiap kali peperiksaan pula aku dan Emilia sering bergantian mendapat tempat pertama atau kedua hanya dengan perbezaan markah yang sedikit. Disebabkan itu tidak pula menjadikan kami bermusuh. Emilia berfikiran terbuka dan dia amat menyedari kekurangan dan kelebihanku iaitu hanya di dalam subjek bahasa Melayu tapi di dalam subjek metamatik sentiasa di belakang kecapaiannya.
Nurita aisya tersenyum manis seraya spontan membalasnya.
“Kak ni rindukan kak Emilia ya!” tanpa sedar ada buli buli jernih yang bertakung  di kelopak mata tanda benar sekali jangkaan Nurita aisya.
“Kak Emilia pun dah lama tak balik kampung kak. Sibuk sangat dengan tugasan pejabat. Macam-macam program pula yang terpaksa diikuitinya. Kadang hingga ke luar negara. Kami hanya dapat berhubung melalui telefon saja kak. Mak dan ayah pun tak renti-renti bertanya kenapa kak Emilia tak balik-balik. Saya yang tercongok selalu di depan mata mereka tak dipeduli pun. Tak kisah pun apa keadaan saya. Samaada saya gembirakah, sedihkah, peningkah, tak pernah tanya pun kak. Sedang saya nilah yang sentiasa banyak membantu mak dan ayah di rumah. Kak Emilia dan adik Hafiz hanya balik sekali sekala saja.”
Aku menggenggam erat tangannya yang berjemari halus itu. Lontaran suaranya menyatakan kesebalan disebalik fakta yang diungkap.
“Biasalah Ita, yang tiada, yang jauh di mata sentiasa diingat, sentiasa dirindu. Kalau Ita tiada di hadapan mak Tam dan pak Tam mereka juga akan tertanya-tanya dan rindu amat. Anak dan emak ayah ini hubungannya sangat erat Ita. Berkongsi aliran darah dan jiwa juga. Walau ada perbezaannya. Janganlh terlalu fikirkan semua tu dik. Bila kak dah tiada di sini tentu Ita juga akan teringatkan kak. Jadi jangan lupa SMS kak ya. ”
Tinggallah tok dan mak cik Aina yang bersusah payah menjagaku, mengurusi setiap keperluanku selama aku di sini menumpang ehsan dan kasih sayang mereka. Membebani mereka yangku hurmati dan kusayangi ini justeru keuzuranku bukan kemahuanku. Tapi ujian Allah kepadaku melibatkan mereka yang berada di sekelilingku juga. Kesabaran mereka menerima masalah besar yangku bawa bersama diriku hanya Allah yang membalas ganjarannya. Mudah-mudahan.
Tinggallah Nurita Aisya, kesudianmu menemani sunyiku selama aku di sini dengan cerita sedih dan gembiramu begitu bermakna sekali. Akanku simpan abadi di hati. Semoga kelak suatu ketika kita ketemu lagi dalam suasana berbeza yang kita amat menyenanginya.
Sedang aku menulis diari telefon tanganku berdengut halus tapi jelas kependengaranku. Suara getaran yang pendek itu tanda ada pesanan/sms yang dihantar kepadaku.  Segera dicapai dan menelitinya. Rupanya SMS daripada Nurita aisya yang menjemputku ke majlis perkahwinannya yang akan diadakan tidak lama lagi berpasangan dengan seorang Prof. Madya sebuah university tempatan yang telah jatuh cinta kepadanya di pertemuan yang tidak disangka sewaktu pihak university melakukan pengkajian mengenai tapak pendaratan bahtera Merong Mahawangsa  di kaki gunung Jerai yang meliputi sawah yang dimiliki keluarga Nurita aisya.
Syukur Alhamdulillah. Allah menghadirkan kebahgian dan kegembiraan yang didambakan Nurita aisya selama ini. Mungkin dirasakan agak terlambat sedikit tapi bagiku rezeki yang lambat diperolehi, lambat pula menghabiskannya dan dapat dinikmati dengan lebih lama.

TAMAT




Saturday, March 26, 2016

BUNGA BUNGA ASAP

ASSALAMUALAIKUM.

CERPEN
OLEH PARIDAH ISHAK

Syida Alia menyoroti langkah Akram bersama dua orang rakan sekelas mereka yang kian menghilang di hujung simpang. Ke mana agaknya mereka pergi, hatinya tertanya-tanya. Bagaimana hendak mengabarkan keberadaan Akram, jikalau Mak Midah dan Pak Mizi jiran sebelah rumah bertanyakannya. Mereka adalah rakan sekelas dan tentulah jikalau dia pulang apabila tamat waktu persekolahan, Akram juga turut sampai ke rumahnya seperti biasa.
“Pandai-pandailah kau menjawabnya Akram! Jangan sampai ayah kau melibas kau dengan getah paip sebab marahkan kau merayap merata selepas waktu sekolah, sudah. Risau juga sebab Pak Mizi ayah kau memang terkenal dengan sifat garang dan tegasnya.” Monolog Syida Alia, cuba menutup gelisah hati sendiri.
Sejak kecil, Akram menjadi teman sepermainan Syida Alia. Sifat ayah jirannya itu tidak asing kepadanya.  Walau bagaimanapun Pak Mizi sering tersenyum, tertawa dan bergurau senda dengan anak-anak mengikut situasinya. Namun ketegasan mendidik anak-anaknya amat ketara.
Kesemua  anak-anaknya mesti belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan cemerlang.  Ena anak sulungnya kini di semester akhir pengajiannya di sebuah universiti tempatan di utara. Anak keduanya Eni pula menyambung pelajarannya di utara, di sebuah universiti tempatan juga. Anak-anaknya yang cuma tiga orang itu diberi nama yang pendek saja untuk memudahkan dia menyebutnya. Pak Mizi sangat praktikal dengan hidupnya. Tidak mahu perkara-perkara yang leweh.
“Kau dah pulang Syida? Tapi kelibat Akram tak nampak lagi.”  Mak Midah menegur Syida Alia.
“Kami memang balik sama-sama tadi tapi dia melencong ke tempat lain pula. Mungkin ada urusan penting tu…”  Syida Alia menjawab sejujurnya.
“Apalah urusan pentingnya tu. Tak ingat nak balik makan, lepas tu ke sekolah agama pula.”
“Sekejap lagi sampailah tu, Mak Cik. Sempat lagi dia nak bersiap ke sekolah agama.”
Beberapa minit kemudian, kelihatan Akram sedang melaju ke arah mereka dengan basikalnya.
“Cepat masuk, mandi, makan, solat. Lepas tu gi sekolah agama. Lambatnyalah balik. Merayau ke manalah tu. Jangan buat gitu lagi, Ayah kau duk perhati tu. Apa saja dia nampak kau buat silap, siaplah kau.” Ibunya tegas mengingatkannya. Risau akan berulang peristiwa anaknya itu dilibas rotan kerana ralit bersama rakan-rakannya hingga lewat malam.
“Kau jangan rapat sangat dengan budak berdua tu Akram.” Syida Alia turut menegur Akram.
“Maksud kau tentu Zulkifli dan Firdaus kan. Apa pula salahnya Syida. Mereka tu elok baik .” Akram cuba memberi penjelasan.
“Elok baik sangatlah  tu! Kau fikir aku tak tahu perangai budak berdua yang dah pandai merokok tu. Syida bimbang kau akan terpengaruh.”
“Mana ada! Kau ni pandai-pandai saja buat cerita Syida.”
“Kalau mereka tu merokok aku tak heran sebab keluarga mereka memang gitu. Mak ayahnya, abang-abangnya perokok. Kau jangan-jangan dah belajar merokok dengan mereka.”
“Mana ada!” Akram menyanggah tuduhan Syida Alia.
“Kau jangan buat gitu Akram….merokok kan membahayakan kesihatan.”
“Aku tahulah! Tak payah susah-susah nak beritahu aku.” Masam wajahnya ditegur begitu.
“Akram, jangan salah faham. Syida  beri nasihat sebab kau tu kawan baik,  jiran terdekat. Syida tak mahu kau hilang arah dan tujuan. Kitakan msih muda. Jalan hidup kita masih jauh, macam yang cikgu selalu cakap tu.”
“Iyalah,  mak nenek!”
Mak nenek ini sedang setia berada di sisimu Akram. Monolog  Syida Alia menguasai mindanya menerawang ruang kenangan masa yang telah lama dilewati.
Perpisahan telah lama berlaku di antara kedua-duanya. Syida Alia diterima bersekolah di asrama penuh ternama di Johor Baharu.  Akram pula menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh di Kuantan. Kedua-duanya adalah pelajar cemerlang kebanggaan keluarga.
Kini, masing-masing berjaya menghabiskan pengajian mengikut jurusan pilihan di universiti.  Akram memilih bidang pendidikan sebagai kerjayanya.  Syida Alia pula  sebagai doktor setelah tamat pengajiannya selama tujuh tahun di fakulti perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Kau pasti sangat letih setelah jalani  kimo kan…” Akram angguk saja tanpa sepatah kata.
“Rawatan sakit kau ternyata berkesan setelah jalani pembedahan,  kimoterapi dan makan ubat yang hospital beri. Sel kanser berjaya dimatikan dan In Sya’ Allah kau pasti dapat jalani kehidupan seperti biasa dan boleh mengajar semula. Mujur cepat kau dapatkan rawatan di hospital sebelum kanser tekak kau merebak ke bahagian lain.” Syida Alia menyambung kata.
Akram  hanya mampu mengangguk lagi. Suaranya tidak kedengaran lantaran peti suaranya telah rosak diganggu virus kanser. Bergunung-gunung penyesalan menyesak dada kerana perbuatan menzalimi diri sendiri.
“Menyesal kemudian tiada ertinya, aku yang degil sangat. Syida selalu beritahu aku, jangan sesekali merokok. Tapi itulah yang aku curi-curi buat di belakang emak ayahku. Niatku cuma hendak bersuka-suka mencuba sesuatu pengalaman baru. Perbuatan ini pasti mudah ditinggalkan bila-bila saja. Itu kataku. Rupanya tidak semudah itu.” Monolog Akram mengimbau kenangan lalu.
Di sekolah berasrama penuh, Akram bertemu pula dengan rakan-rakan yang sekepala, seiring sejalan dengan pemikiran remaja yang ingin bebas berbuat apa saja konon tersangat dewasa dan terlebih bijaksana. Pantang tidak dilihat guru atau pengawas sekolah, rokok sentiasa berasap di mulut. Nikmatnya menyedut asap nikotin yang berbunga-bunga kepulannya hanya mereka yang merasai.
Beberapa kali Akram pernah ditangkap dan dilibas warden asrama kerana kesalahan merokok , tetapi dia tidak pernah rasa serik. Tabiat buruk itu berterusan. Tabiat yang tidak jemu diulang-ulangi. Di dalam kenormalan fikiran pernah juga dia berfikir, untuk meninggalkan tabiat buruk yang tidak disukai oleh sesiapa yang pentingkan kemasyhlahatan hidup sempurna dan kesihatan yang baik. Mungkin setelah berada di ruang universiti kelak perilaku buruk itu akan ditinggalkannya.
Namun, niat  hanya tinggal niat yang tidak tertunai juga. Di universiti tiada langsung gangguan apa-apa.  Tiada larangan merokok.  Merokok di mana saja dibolehkan, kecuali di dalam dewan kuliah atau kelas tutorial. Tiada siapa yang menegah waima melarang. Asap rokok berkepul dihembus dan disedut tanpa rasa bersalah sedikitpun. Seronok dan nikmat. Nikotin rokok pun menebal,  menadi  salur darah.
Wang yang banyak di tangan setelah berkerja memudahkan Akram tidak berkeputusan merokok.  Badan dan nafas berbau rokok, bibir menjadi hitam lebam . “Apa aku kisah?”
 “Kata kawan-kawan yang tidak merokok aku membazir wang yang banyak dengan membakar puntung rokok saja. Dengan wang yang terbakar itu jikalau dikira-kira aku sudah mampu memiliki rumah atau kereta mewah. Cakaplah apa saja aku tidak pedulipun. Keseronokanku dan keperluanku tidakku kongsi dengan mereka yang bijaksana bercakap saja tu. Di mana saja atau buat apa saja pasti terjepit puntung rokok di bibir kecuali tidur atau masuk kelas. Aku seorang guru. Walaupun aku perokok, tetapi aku tidak pernah merokok di hadapan pelajar-pelajar. Malah aku sering menasihatkan mereka menjauhi tabiat merokok yang membahayakan kesihatan itu. Kena ikut apa yang cikgu ajar bukan ikut apa yang cikgu buat. Heh! Heh! Begitulah kesimpulan guru yang seorang ini. Akulah tu.” Monolog Akram berlarutan.
Sehingalah Akram disahkan ditulari kanser tekak kerana sering demam dan tidak hadir ke sekolah melaksanakan tugasan guru . Yang pasti faktor utama 90 peratus kerana keghairahannya merokok. 
Akram berulang alik ke hospital ditemani kakak-kakaknya Ena atau Eni . Hanya saudara terdekat yang setia menemani saat susah payah. Kepayahan yang  dicipta akibat kecuaiannya mengambil mudah nasihat emak ayah dan kakak-kakak yang sangat menyayangi. Dan Syida Alia juga.
Akram sedar, Syida Alia sangat prihatin dengan nasibnya. Tetapi tentu saja dia tidak boleh menyayangi dirinya seperti kakak-kakak. Syida Alia yang  sering memberinya semangat melawan penyakit dan tidak menyerah kalah walau pasrah dan reda dengan takdir Allah.
“Setiap penyakit ada ubatnya. Hanya perlu ada usaha dan ikhtiar mencarinya.” Kata Syida, merujuk kepada sabda Nabi Muhammad s.a.w.
Walau penyakit ini kronik dan merbahaya tapi dengan izin Allah ramai pesakitnya berjaya dipulihkan dengan rawatan yang berterusan. Itu yang Syida Alia beritahu. Syida Alia tidak pernah menempelak kebodohan Akram. Bicaranya selalu manis dan melegakan hati lelakinya yang rusuh mendepani permasalahan penyakit .
Selain jalani rawatan kimoterapi yang sangat meletihkan itu, Akram  juga mengamalkan cara hidup sihat tanpa rokok lagi. Apa saja yang disarankan, makanan atau herba yang boleh merencatkan pembiakan kenser akan diambilnya. Sentiasa saja berulamkan dedaunan hijau yang berkhasiat kala makan tengahari atau malam seperti ulam raja dan buah-buahan yang diakui amat baik untuk merawati kenser iaitu durian belanda.  Jus daun buah durian belanda juga dikatakan dapat merawat kanser dengan izin-Nya.
Mudah saja mendapatkan bekalan durian belanda yang sering dijadikan jus tanpa gula untuk merawat penyakit Akram.  Beberapa pohon yang ditanam ayah di belakang rumah mereka di kampung berbuah lebat. Kalau dulu , langsung tidak pedulikan buah tersebut.  Hanya menjadi makanan burung atau gugur sendiri kala masak, kini sebaliknya. Sentiasa ditunggu bunganya berputik dan menghasilkan buah untuk dijadikan jus yang enak . Mendapatkannya di pasaran agak susah juga dan mahal harganya.
Makanan segera seperti sosej, burger dan yang berlabel sodium nitrate, potassium nitrate mesti dielakan kerana akan menghasilkan karsinogen yang menggalakkan kanser. Nampaknya makanan segera menyebabkan kematian segera juga. Kematian itu urusan Allah.  Namun kita wajib menjaga kesihatan diri. Merosakannya tentulah berdosa hukumnya.
Allah tidak menyusahkan hamba-Nya dengan dugaan yang sukar dilepasi dan luar kemampuannya.  Akram memanjatkan kesyukuran. Ujian Allah itu penuh hikmahnya, membuat dia terasa dekat kepada-Nya. Bermusahabah diri dengan menyesali segenap kesilapan diri dan dosa-dosa yang  dilakukan.
Setiap malam, Akram menggagahkan diri untuk bertahajjud di sepertiga malam, sesuatu yang tidak pernah dilakukan ketika sihat dahulu.  Dalam sujud dia mengadu dan memohon keampunan.
“Subhanallah … Ampuni hamba-Mu ini ya Allah. Selama ini hamba-Mu ini terlalu lalai dan alpa. Nikmat kehidupan yang kau limpahkan kepadaku  tidak kusyukuri. Dan aku membuat kerosakan dengan menzalimi diriku sendiri. Kini aku bertaubat sesungguh hati dan berjanji dengan-Mu tidak akan sesekali mengulangi kesilapan lalu walau sekecil mana. Berkati niat suci murniku ni ya Allah.”
“Ya  Allah, kurniakan kepadaku pengakhiran hidup yang baik. Ya Allah, kurniakan kepadaku taubat nasuha sebelum aku mati. Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, Kau tetapkan hatiku di atas jalan agama-Mu. Tetapkan hatiku sentiasa taat kepada-Mu.  Aamiin.” 
“Aku hantar kau balik ya, kerja akupun dah selesai. Kena tunggu nak on duty shift malam pula.” Kata-kata Syida Alia memancung khayalan Akram.
“Aku  tak kisah pun. Takut kau yang bermasalah. Aku masih lama bercuti hingga sakit aku sembuh.” Akram tersengih cuma. Sengihan yang memudahkan Syida Alia menafsir maksudnya.
“Untunglah kau dapat lama bercuti hingga dua tahun. Macam aku jangan harap nak dapat bercuti lama gitu. Dapat bercuti sehari dua pun tak terlepas duty callEmergency selalu.”
Akram menarik nafas dan melepaskan kelelahannya yang dirasai menyucuk dadan.
“ Syida, apalah ertinya cuti yang panjang, terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan yang barangkali akan merenggut nyawa bila-bila saja.  Kau, lebih beruntung. Sentiasa boleh bergerak cergas ke mana saja sambil menabur bakti kepada pesakit-pesakit yang begitu ramai memerlukan rawatan dan perhatianmu. Termasuk akulah tu.”
Senyuman Akram dirasakan Syida Alia bagai menyatakan persetujuan bicara monolognya  sebentar tadi. Monolog kenangan itu bagai terapung dan bersatu dalam jiwa mereka. Meskipun tiada siapa yang mendengarnya. 
Syida Alia dan Akram, beriringan bergerak meninggalkan ruang menunggu di hospital yang masih kelihatan ramai pesakit menunggu giliran menjalani rawatan. Langkah yang diatur sudah menjejaki tempat parkir kereta.
Ketika hendak membuka pintu kereta, Akram menyandarkan dirinya ke kereta Syida Alia sambil mengurut-ngurut dadanya dan mengangakan mulutnya luas.
“Mengapa Akram?”
“Aku rasa aku dah tak boleh nak bernafas Syida…dadaku ini terasa kosong. Ya Allah apakah hayatku akan berakhir saat ini? Aku berserah dengan ketentuan-Mu ya Allah… Ampuni hamba-Mu ini ya Allah.”
“Kau duduk dalam kereta, berehat seketika. Mungkin nafasmu terganggu sebab tersedut asap rokok berkepul sewaktu kita melewati beberapa orang lelaki  yang sedang merokok tadi. Kau memang tidak boleh terhidu asap rokok.  Sabar ya, sekejap lagi pernafasan kau akan kembali normal.  Aku hantar kau balik dan berehat saja. Jangan lakukan aktiviti yang memenatkan.” Syida Alia menenangkan Akram dan menyapu dahinya yang merenih berpeluh.
“Terima kasih Syida kerana berada di sisiku di saat aku memerlukan teman yang mengerti dan mengongsi susah payahku.” Kata-kata itu hanya terluah dalam monolog Akram, bagai tersekat dikerongkongan, tak dapat diluahkan.
Akram mengerti Syida Alia sangat prihatin kepadanya. Sebagai doktor dia juga sangat prihatan kepada pesakit-pesakitnya  dan sesiapa saja. Tetapi ramai yang langsung tidak prihatin kepada orang lain dengan berwenang-wenang sesuka hati merokok dan menghembuskan asap rokok beracun ke persekitaran awam yang mencemarkan udara maya dan menyebabkan orang lain turut menderita dengan pelbagai kanser merbahaya, walaupun mereka tiada kena mengena dengan kegilaan ini. Ah… orang lain yang melakukan, orang lain turut menanggung akibatnya.
“Kalau hendak merokok pergilah jauh-jauh. Dalam hutan ke. Racun diri semahu-mahu dan jangan libatkan sesiapa. Apabila sudah di serang kanser seperti aku, barulah puas hati. Begitulah sikapku kini yang cepat naik darah kala melihat orang lain perlahan-lahan membunuh diri  dengan merokok. Aku tidak mahu mereka mengulangi kesilapanku yang sangat memudaratkan kesihatan itu. Penderitaannya  terlalu memeritkan bagai nyawa di hujung tanduk. Hidup ini perlu dinikmati sebaiknya dengan nawaitu yang benar.”  Akram menyambung monolog hatinya.
Akram menghantar emel kepada Syida Alia, menyatakan hasrat murni ingin menyunting gadis itu sebagai suri hatinya.  Dia berharap sangat Syida Alia tidak akan menolak huluran cintanya. Istikharahnya telah membayangkan jiran sejak kecil itu adalah jodohnya.
“Benarkah apa yangku lakukan ini. Terasa malu pula mengenang sikapku yang keterlaluan drastik mencurahkan hasrat yang terpendam.  Aku ternyata tidak terdaya menipu diriku yang telah jatuh cinta terhadapnya. Justeru sikap baik budinya terhadapku selama aku mengenalinya.”
“Pasti Syida Alia terkejut hingga terduduk membaca emelku itu. Emel cinta seorang pesakit terhadap doktor yang merawat sakitnya. Kesian kau Syida. Maafkanlah ketelanjuranku Syida Alia. Jikalau kau menolak hasrat hatiku pun aku tak kisah Syida. Aku faham siapalah yang mahu berkongsi hidup dengan pasangan yang akan meninggalkannya bila-bila masa menyahut seruan Ilahi lantaran kanser.”
Hati Akram berbunga-bunga ceria. Tidak diduga jawapan Syida Alia yang amat mengejutkan. Gadis itu bersedia dengan senyum manis menyambut huluran piala haruman kasihku. Terima kasih Tuhan.
Ena dan Eni pula yang tergamam apabila Akram menyatakan hajatnya untuk melamar Syida Alia. Kedua-dua kakak ku itu turut bergembira dengan kegembiraan adik mereka yang seorang ini.
“Syida memang dah setuju. Itu akak tak ragu. Tapi bagaimana dengan mak ayah dia? Sanggupkah mereka benarkan pesakit kanser menjadi anak menantu mereka. Persepsi orang kita ni lain sikit dik, mereka anggap orang yang terkena sakit kanser akan mati esok lusa saja. Sedangkan kematian tak kenal siapa atau bila.” Kak Ena meluahkan kebimbangannya.
“Betul kata kak Ena tu. Adik bukan hanya hendak berkahwin dengan Syida saja tapi dalam erti sebenarnya adalah seluruh keluarganya.” Akram tidak menolak kebimbangan kakaknya.
“Jom kita balik kampung berbincang dengan mak ayah kita dan mak ayah Syida sebelum rasmi masuk merisik.” Kak Eni mencelah.
Ena dan Eni, saling mengangguk menyetujui keputusan yang dibuat, demi solusi permasalahan adik kesayangan mereka.
“Mak ni terasa malu pula nak bertanya kepada Makcik Ita dan Pak cik Razi kamu tentang hasrat Akram tu. Kita kan hidup berjiran dah lama. Nanti apa pula kata jiran-jiran kita yang lain.”
“Apa yang nak dimalukan mak, walau kita jiran dekat tapi tiada hubungan mahram yang membatalkan perkahwinan.” Ena menyanggah pandangan emak.
“Syida dan adik sudah sama-sama bersetuju nak berkahwin. Apa masalahnya pula? Mak dan ayah uruskan sajalah.  Bukankah menjadi tanggungjawab emak ayah mengahwinkan anak-anak apabila mereka hendak berkahwin?” Eni pula melontar  tanya dengan senyuman nakal.
Emak menarik muka. Muncung saja. “Habis kamu berdua tu bila nak kahwinnya? Ini adik kamu pula yang nak berkahwin dulu. Melangkah dua bendul sekali gus.”
Ena dan Eni berbalas senyuman.
“Emak ni itu pula yang  disibukkan. Kita kan nak menyelesaikan masalah adik ni. Biarlah adik kahwin dulu dan kami berdua akan kahwin selepasnya. Mungkin tahun depan jodoh kami berdua akan sampai. Jodoh pertemuan ketentuan Allah, emak.” Ena terus memujuk emak.
“Hmm! Ialah tu. Mak tak faham dengan sikap kamu berdua. Risau mak fikirnya. Orang nak masuk minang, kamu tak mahu. Ada saja alasannya. Sudahnya tak kahwin sampai sekarang.”
“Mak tak payah fikirkan masalah kami, kita selesaikan masalah adik ni dulu.”  Eni turut memujuk.
“Mak ni.. tidak boleh tidak tetap terpaksa memikirkan masalah anak-anak mak. Sentiasa mendoakan kesejahteraan kamu semua. Adik kamu sakit, mak tidak putus-putus berdoa, bersolat hajat, mohon Allah sembuhkan sakitnya.”
In Sya Allah doa mak sudah dimakbulkan Allah. Syukur  Alhmdulillah. Mak tentu tak lupa berdoa agar Ena dan Eni bertemu jodoh dalam waktu terdekat ni. Dapat pula kami berkahwin tiga beradik serentak dan tinggallah mak dan ayah berdua saja di rumah ni. Ha..ha..ha..” Ena ketawa geli hati.
.“Mak pun dah lama tinggal berdua dengan ayah kamu. Sejak kamu semua bersekolah jauh dan berkerja pula. Tak heran mak semua tu. Yang penting mak harap sangat anak dara berdua ni cepat berkahwin.”
Akram hanya ralit mendengar bual bicara emak dan kakak-kakaknya yang kadangkala serius dan adakalanya membuatnya tersenyum simpul. Baginya hidup ini perjuangan. Memperjuangkannya dengan mengharung ranjau onak duri sebelum kejayaan dalam kehidupan dikecapi. Sentiasa tegar dan tabah walau sebenarnya kita ini hamba yang lemah. Permasaalahan hidup ada saja, begitu begini selagi hayat dikandung badan.
“Kini aku gigih memperjuangkan cita-cita menyunting bunga idamanku. Bunga yang bakal mengharum seluruh hidupku. Syida Alia, satu-satunya bunga pujaanku. Semoga bunga itu terus berkembang di taman hati.  Tidak seumpama bunga-bunga asap yang pernah kusedut dan kuhembus nikmatnya, tapi kini  yang kurasa hanya keperitan dan derita jiwa ragaku.”

TAMAT.

IMPIAN VERTIGO...

ASSALAMUALAIKUM...

DI SEPERTIGA  malam ibuku sudah bangun daripada tidurnya menuju kamar kecil untuk mandi membersih diri dan berwuduk sekali. Usai bersujud  beberapa rokaat mengadap Ilahi memunajat segala doa kepada Yang Khalik segera menggantung mengkana di tempatnya yang tersedia di kamar solat kecil itu.
Bergegas pula ke dapur menyiapkan apa yang ada di dapurnya untuk bersarapan sebentar lagi, mengisi perut ala kadarnya. Ibuku tidak memilih jenis makanan yang akan diambilnya. Berpada setakat yang boleh mengenyangkan perutnya buat seketika sebelum menjelang tengahari. Kalau kebetulan ada roti maka dengan rotilah ibuku bersarapan. Tidak ada roti ibuku menjadikan biskut kering yang dicicah air teh panas sebagai pengalas perutnya. Jikalau ibuku menganggar masa yang ada masih awal dan sempat untuknya memasak resepi mudah seperti cekodok bilis atau lempeng kelapa  maka itulah yang dilakukannya.
Ibuku kadangkala malas hendak  bersarapan pagi lalu beliau berpuasa saja dan makan kala berbuka puasa setelah azan maghrib berkumandang. Berpahala berpuasa sunat ikut cara nabi Daud alaihisalam iaitu sehari berpuasa sehari berbuka. Meliputi sekali puasa sunat isnin dan khamis. Kelaziman ibuku  begitulah.  Menuruti syariah Islam yang syumul itu berfaedah sekali buat kesihatan ibuku. Bukankah makan secara berlebihan itu memudaratkan kesihatan?
Dengan berpuasa ibuku juga merasakan beliau akan menjimatkan masanya daripada berlama di dapur  buat melakukan aktiviti luar rumah kesenangan beliau. Sebelum mengatur langkah menjejak tanah ibuku akan mengemasi segenap ruang rumahnya daripada dapur hingga ke serambi terlebih dahulu. Segala habuk dan sampah-sarap disapu hingga bersih. Setelah berpuas hati dengan kekemasan rumahnya yang sederhana saja saiz besarnya itu barulah ibuku perlahan-lahan membawa dirinya  menuruni tangga rumah.
Ralit sungguh sehingga mentari tanpa disedari menginjak tengah kepala masih berada di luar, mengelitari segenap ruang yang ditumbuhi aneka bunga-bungaan yang segar mekar mengindahi lamannya.
Tenaga ibuku tidaklah terlalu banyak setelah beliau terlibat dalam kemalangan jalanraya di lebuh raya Utara- Selatan dalam perjalanan menemani ayahku menguruskan perniagaannya namun dipaksa berkuat juga untuk memenuhi realitI yang ingin dicapainya.
Walau berjalan sambil bertongkat menggunakan batang cangkul  ibuku tetap bersemangat mengatur langkah menuju kebunnya di belakang rumah meneliti tanamannya samada hidup subur, mati kering. Atau sudah tinggal teras dibaham lembu ,kambing yang sentiasa berkeliaran dan tidak terdaya diusir kerana lemah upaya dirinya.
Pantang tersilap sedikit pembawaan dirinya yang tidak terlalu stabil imbangan badannya ibuku akan jatuh tersungkur mencium tanah. Lantas segera berusaha dengan susah payah berpaut atau menongkat diri pada apa saja  yang berdekatan dengannya. Yang boleh membuatnya bangun semula meneruskan langkahnya yang terhenti.
 Mak cik Idah jiran ibuku yang kadangkala berada di kebun belakang rumahnya akan berkejar mendapatkan ibuku untuk membantunya. Tersenyum ibuku membalas pertolongan ikhlas itu dan bibirnya tidak mengucapkan apa-apa kecuali tangannya yang digerakan ke dada pengganti isyarat terima kasihnya kepada jirannya itu yang seringkali di sisinya saat dia kesusahan. Sudah lama mak cik Idah dan jiran-jiran terdekatnya memahami bahasa isyarat mudah ibuku itu.
Jiran-jiran yang baik adalau saudara terdekat kita dunia dan akhirat. Dan hak-hak jiran sudah termaktub di dalam alquran yang suci. ibuku menyedari itu. Sambil menghayun cangkul perlahan-lahan memokah tanah yang tidak sedalam mana bakal pula dimasukan anak benih ke dalamnya, bibirnya sentiasa dibasahi kalimat zikir bertasbih sambil kalbunya berdoa. Kemasylahatan, kesejahteraan, kebahagiaan suaminya, ibu bapanya, anak-anaknya, saudara-maranya, jiran-jirannya, kawan-kawannya, Muslimin dan Muslimat.
Doa dan zikir yang sentiasa diulanginya di mana saja sehingga terlelap matanya di dalam hatinya meski tidak terlafaz ketara di bibirnya. Tidak lupa pula menghadiahkan pahalanya kepada mereka yang amat dekat di hatinya. Termasuk jiran-jirannya.
Fenomena yang menguasai kehidupan ibuku kini menjadikannya merasakan apa saja dan siapapun kita perlu saling bertolong bantu melengkapi segenap kekurangan yang ada. Tambah di dalam keadaan ibuku yang tidak berdaya ini. Kelangsungan hidupnya berlestari dengan pertolongan jiran-jirannya, saudara-maranya dan mereka yang prihatin akan nasibnya.
Tragedi kemalangan yang amat trajis itu telah mengambil kebanggaan dirinya dan meninggalkan masalah vertigo kepada dirinya. Kecederaan parah di kepalanya menyebabkan terjadi bekuan darah di otaknya  mengakibatkan permasalahan vertigo kata doktor yang merawatnya. Vertigo yang menyebabkannya hilang suara, hilang upaya diri, air liur yang terlalu banyak bertakung di mulutnya yang terpaksa dilap agar tidak kelihatan jijik di wajahnya, sukar hendak menelan minuman atau makanan dan kelumpuhan separa.  
Anggota tubuhnya di bahagian kiri teramat lemah untuk berfungsi sebaiknya. Sementara anggota tubuh yang di sebelah kanan pun tidak berapa bertenaga seperti mereka yang normal kesihatannya. Pergerakannya pun terbatas dalam jarak minima sekitar rumahnya saja. Malah hatinya cepat tersentuh dan mudah berjauh hati. Sayangnya apa yang dirasakan hatinya tidak terdaya digambarkan melalui lafaznya buat membalas apa saja kenyataan yang diterima deria dengarnya. Hanya mengeram geram di sudut hati yang amat mendera jiwanya.
Wajahnya juga berparut di mana-mana. Kesempurnaan wajahnya yang luntur keseriannya tdaklah terlalu diambil hirau namun hatinya diserbu kesedihan kala anak-anak kecil yang ingin dimesrainya memalingkan wajahnya sambil menangis ketakutan. Ibuku sering bertanya kepada dirinya, apakah wajahnya teramat jelek untuk dipandang sehingga yang memandangnya keseraman seolah melihat hantu? Tersenyum pula sendirian di hadapan cermin yang membalikan gambaran wajah sebenarnya.
Ah! Anak kecil manalah yang tidak ngeri menatap wajah putih yang rompong tidak bergigi dan berparut pula di sana sini. Sebuah wajah yang tidak selesa diletak pandangan mata. Kecelakaan dengan hentaman kuat di kepalanya menjadikan dirinya ibarat tin yang dilenyek jentera berat. Habis sirna bentuk wajah sebenarnya. Dirinya sendiripun tidak gemar melihat wajahnya apatahlagilah orang lain. Wajah tidak cantik tidaklah mengapa asal hati bersih suci.
Setiap hamba Allah itu walau siapapun dia dan bagaimana rupa parasnya sama-sama berhak mengongsi rezeki-Nya berserta peranannya yang tersendiri. Ibuku berkompromi pula memujuk hati dengan reda mensyukuri takdir-Nya yang dilaluinya terbungkus hikmah yang belum terbuka. Mungkin. Kemungkinan yang tidak mungkin pun bagi Allah.
Jangan hanya menyesali kesukaran meneruskan hidup begitu begini dengan menyenaraikannya satu persatu. Terselindung rencana Allah yang maha mengetahui kebaikan jalan hidup pilihan sebenarnya ketentuan-Nya  bagaikan doa pilihan ibuku, ‘Tunjuki aku jalan yang benar, jalan yang diredai dan jauhi azab api neraka…aamiin.’’
Impian ibuku dulu hanya ingin menjadi isteri mithali kepada bapaku dengan setia tanpa bantah. Sepenuh hati berkhidmat menyulam kasih sayang terhadap keluarganya dengan  harapan menuai kebahagiaan. Walau tidak terlalu bahagia tapi tetap dapat merasai nikmatnya juga. Ibuku amat mencintai ayahku dan mensyukuri pertemuannya dengan ayahku yang mengikatnya dengan ijab Kabul pernikahan .
Lahir pula anak-anak lelaki dan perempuan yang comel dan cergas. Melengkapi hidup dalam istilah berkeluarga sebenarnya. Semata-mata ada suami dan isteri hanya disebut pasangan yang telah berkahwin. Disertai anak-anak antara pasangan suami isteri itu barulah dikatakan keluarga.
Tiada apapun yang kekal di dalam dunia fana yang  baharu alam ini yang disurat dalam sifat 20. Segalanya adalah sementara. Kecuali Allah yang esa. Hakikat yang hakiki dan tiada soal jawab mengenainya.  Gambaran dukanya meratapi perpisahan dengan ayahku yang terpaksa meninggalkan ibuku yang sudah hilang fungsinya sebagai isteri yang diharapkannya memenuhi semua keperluannya tertera jelas di wajahnya.
Perpisahan walau tidak pernah terlintas di impian ibuku akan berlaku antaranya dan ayahku, itulah yang berlaku. Mengenanginya membuat ibuku tersedu sedih pula. Bukan kemahuan, bukan keinginan kalau sudah demikian takdir-Nya masakan berdaya menolaknya.
 Impian ibuku tidak kesampaian menurut perencanaannya. Keinginan memiliki keluarga bahagia di samping suami tercinta dan anak-anak yang dididik untuk mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi ternyata gagal walau tidak sepenuhnya. Masih ada anak-anaknya yang setia bersamanya mengongsi sengsara, deritanya.
Dan anak-anak dalam diamnya tindakan tanpa suara, dalam sepinya menyusuri hari demi hari dengan langkah sumbang nampaknya memperlihatkan tanda-tanda bahawa cita-citanya yang disangkut ke bahu anak-anaknya itu akan Allah izinkan kejayaannya. Yang dirasakan ibuku begitu. Anak ibuku yang sulung sedang menghabiskan pengajiannya di university dan anaknya yang kedua bakal mengikuti jejaknya.
Ibuku menghantar anak sulungnya dan anak keduanya itu ke sekolah menengah harian biasa yang berasrama dengan harapan anaknya itu akan mendapat didikan yang sepatutnya diterima  daripada guru-guru bertauliah yang mengajar di sekolah itu. 
Sanggup menyusahkan dirinya ditinggal sendirian tanpa anak-anak di sisi yang boleh membantu dirinya dalam segenap perkara. Pengorbanan yang perlu dilakukan seorang ibuku demi masa depan gemilang anak-anak kecintaannya. Lagipun ibuku merasa tanpa suara, beliau tidak mampu mendidik anak-anaknya dengan cukup berkesan.
Sekadar menulis nota-nota pendek mengutarakan pandangan dan pengajaran kadang hanya dipandang lewa anak-anaknya. Sakit pula hatinya. Biarlah anak-anak ibuku tinggal di asrama dan hidup berperaturan untuk membentuk jiwa murni berhati budi mulia. Impian ibuku terhadap anak-anaknya hanya masa menentukannya kelak. insyaAllah.
Dan ibuku tidak serik untuk merancang lagi demi menggembirakan hati sunyinya. Langkah longlai cuba digagahkan setakat kemampuan dirinya untuk mendusunkan tanah di belakang rumahnya. Pelbagai jenis anak benih yang ditanami ke dalam tanahnya. Ada anak benih yang disemai sendiri dan banyak juga yang dibeli di nerseri yang menjual pelbagai jenis anak benih yang menjadi pilihannya.
Durian, cempedak, rambutan, dokong, duku, manggis yang daripada jenis berbaka baik dibeli tanpa berkira harganya. Kebanyakannya melebehi 10 rm ke atas terutama bagi durian D24 D25 D29. Musang king pun dibeli dan ditanam walau agak mahal harga anak pokoknya. Biarlah alah sedikit membeli asal menang memakai, telahan ibuku begitu pula.
Penjual anak benih durian lulusan UPM itu menasihatkan ibuku membiarkan anak pokok durian itu di dalam polybeg selama tiga tahun atau lebih sebelum memindahkannya ke kebun untuk menanamnya. Cuma perlu baja sesekali dan siram saja. Kalau tidak disiram tentu mati kering pokoknya.
Bersemangat sekali ibuku hendak menjayakan projek impiannya sambil berkejar dengan waktu dan cuba mengatasi kelemahan dirinya yang ternyata tidak setara semangatnya.  Mengapa ketika usia ibuku masih muda dan tenaganya banyak tidak ibuku merealisasikan impiannya itu? Bukankah ianya lebih mudah untuk dilakukan.
Banyak pula alasan yang ibuku beri. Alasan ibuku yang pertama mengaitkan kesibukannya mengurusi anak-anaknya yang masih kecil. Langsung tiada kesempatan untuk melakukan apa saja minatnya. Dikesampingkan dulu niat itu sehingga anak-anaknya besar sedikit. Untuk alasan kedua pula adalah kerana lebih memberi tumpuan kepada perniagaan keluarga. Sibuk  turut sama membantu ayahku menguruskan perniagaan  untuk mengumpul sedikit kekayaan demi anak-anak di masa depan.
Sudahnya terbiarlah tanah di belakang rumah itu tanpa di usahakan. Dipenuhi pula dengan semak samun yang membiakan makhluk perosak yang tidak diingini seperti tikus, ular, babi. Jikalau tikus banyakberkeliaran  pasti banyak ular yang akan mengejarnya. Rantaian makanan menyebutkan ular adalah makanan tikus. Apa yang nak dihairankan pun.
Dan babi yang suka menyondol sana sini akan menjadikan semak samun sebagai tempat persembunyiannya yang selesa. Keberadaannya dibimbangi membawa wabak JE pula. Bukankah amat merbahaya sekali wabak Japanesse Eclypse itu. Sebelum sesuatu yang memudaratkan berlaku eloklah diambil tindakkan yang bersesuaian dengannya.
Kawasan rumah bahagian belakang yang kesuraman dan ditakuti untuk didatangi kini semakin bersih dan terang. Bukan ibuku yang membersih dan menerangkannya tapi dibantu anak-anak jirannya dengan huluran sedikit upah yang seikhlasnya diterima. Kadang ibuku merasa hanya membebani mereka dengan masalahnya setiap penyelesaian kepada kemahuannya,
Apakandayanya lantaran kemahuan kepada merealitikan impiannya perlu melibatkan mereka yang prihatin kepadanya dalam ertikata bersimpati dengan kekurangan dirinya. Kelebihan yang ada padanya hanya sejumlah simpanan wang yang dibelanja pun secara berhemat agar keperluan sara hidup dirinya dan anak-anaknya tidak meminta-minta kepada sesiapa.
Walau kita miskin jangan sesekali menadah tangan meminta-minta kepada mereka yang ternyata berlebihan daripada kita. Rezeki orang tentulah hak orang. Langsung tiada mengena dengan kita jikalau Allah tidak menyatakan rezeki-Nya bersama orang itu terselit juga hak kita bersamanya. Ibuku akan hidup berpada seadanya dengan rezeki Allah yang melimpah dalam pelbagai cara dan bentuk saja.
Hatinya yang bahagia melihat anak-anak pokok yang ditanaminya subur menghijau tanpa kesan ragutan lembu dan kambing milik jiran yang terlepas daripada kandang juga adalah rezeki karunia-Nya. Jikalau tanamannya habis diragut haiwan-haiwan itu akan sedih pula hatinya walau ibuku tahu setiap tanamannya yang menjadi makanan kepada setiap apa saja makhluk Allah pahala ibuku telah dicatat malaikat pencatat pahala ke dalam kitab.
Kelak helaian kitab itu akan dibuka pada hari pembalasan di padang Mahsyar. Janji Allah itu pasti. Sungguh lega hati ibuku melihat kondisi tanamannya sihat walafiat dan tidak kenapa-napa. Tersenyum pula membayangkan hasilnya kelak akan dituai anak cucunya , jiran-jirannya, saudara-maranya dan sesiapa saja. Menggunung harapannya memohon Allah mengizinkannya.
Hujan mencurah teramat lebat berjam-jam lamanya tanpa diduga pada suatu malam yang pada senjanya ditabiri mendung hitam. Disertai pula angin kuat yang meliuk-lintukan pohon-pohon tinggi.  Guruh berdentum dentam sabung menyabung, kilat memancar-mancar cahayanya. Terdengar bunyi rekahan pohon-pohon yang mematahkan banyak dahan pokok. Kelapa nan sebatang berdekatan dapur rumah ibuku telah tumbang menyebabkan bumbungnya pecah dan air hujan memenuhi ruang dapur.
Ibuku mengurut dada kerusuhan sambil meraup wajah mengaminkan doa agar hujan ribut ini segera berhenti dan tidak membawa musibah banjir pula walau sudah kelihatan kepadanya air sudah naik dan membasahi ruang tamu rumahnya pula. Ruang tamu agak tinggi sedikit daripada ruang dapur.
Pengalaman begitu bukan pertamakali buat ibuku. Namun berulangkali dialaminya  tatkala musim tengkujuh menjelang akhir tahun. Sentiasa menghadapinya dengan sabar sambil bertawakal kepada Allah ketentuan-Nya. Hidup ini bukankah ada pasang surutnya. Hujan ribut pun tidak selamanya dan pasti berhenti juga.
Nampaknya pokok-pokok tanaman ibu yang patah dan hanyut akibat ribut dan banjir terpaksalah ibuku sekali lagi bersusah payah menanamnya semula. Tanpa jemu tanpa ragu melakukan minatnya yang menjati diri. Moga Allah akan menganugerahinya sebuah taman yang indah sarat dengan tanaman dan buah-buahan anekanya di jannah kelak walau di alam fana tidak sempat hendak direalisasikannya.
 Perkhabaran yang menyejukan jiwanya itu diperolehi daripada seorang ustaz yang member I kuliah di surau berdekatan rumahnya pada setiap petang jumaat. 
Hujan semakin rintik renyai dan kelihatan kepada ibuku jirannya mak cik idah berpayung ke rumahnya.
“Tadi dengar macam pokok tumbang… hati kak tu bukan main bimbang lagi risaukan Izah kenapa-napa…”
Ibuku tersenyum saja namun wajahnya ternyata keruh. Ibuku menunjuk ke a rah dapurnya. Mak cik idah menapak ke situ sambil  kepalanya tergeleng-geleng menyaksikannya dengan rasa keterkejutan.
Mujurlah kelapa sebatang itu hanya menghempap bahagian sipi dapur rumah ibuku saja dan mak cik Idah sudah mengira hendak meminta tolong anak-anaknya mengalihkannya secara memotong pelepah atasnya terlebih dahulu. Kemudian menguruskan pula bahagian pangkalnya.
Lagipun siapalah yang akan membantu ketidakberdayaan ibuku melainkan jirannya yang satu ini juga jiran-jiran terdekatnya yang amat rajin berbudi kepadanya itu.


Tamat..

Friday, March 25, 2016

RERAMA HIJAU...

ASSALAMUALAIKUM....

                                                      CERPEN: RERAMA HIJAU.
                                                        OLEH: PARIDAH ISHAK.
IA hinggap dibahuku sambil mengepak sayap tipisnya yang kecil. Hijau warnanya. Keseluruhannya hijau yang berkemilau. Seakan sebati ronanya dengan kehijauan alam yang sedang melingkungiku nuansanya yang terlalu luas  mandalanya. Inginku sentuhinya lunak agar tidak mengejutkannya namun pantas pula ia berterbangan meninggalkanku dan hinggap pula di dedaunan hijau gelap yang rantingnya melempai menyentuhi kali yang mengalir jernih mencelahi batu-batu besar kecil yang tidak sekata rupa bentuknya dan tidak tersusun. Lanskap alam semula jadi yang indah lagi damai persekitarannya.
Kemana pula hilangmu rerama hijau? Kau yang membawa aku mengikutimu hingga ke sini dan kini kau meninggalkan aku pula. Janganlah begitu! Janganlah tinggalkan aku sendirian di rimba belantara yang asing ini. Temanilah aku aduhai rerama hijau! Walau sebenarnya kau langsung tidak ada kaitan dengan langkah yangku atur untuk mengikutimu hingga ke sini. Barangkali juga kerana hatiku ralit sekali mengarang puisi tentang rimba ini. Puisi yang belum sempat kufikirkan tajuknya ini.
Indah taman rimbaku
menghantar lelah, bermain perah
mengutip merah saga
sesekali terlena, di bawah rendang tembusu.

Aku sering ke rimba ini,
mencari dedaun herba
kembang semangkuk, tongkat ali
menyusuri banir jejawi
bersirat akarnya hingga ke tepian paya.

Keruing, halban, tualang menjulang
nectar bunga, tumpuan lebah dan kelulut
menghimpun manis madu
riang tempua terbang kembali ke sarang.

Pesona flora aneka warna
melayut kemboja, kenanga
harum tanjung menyebar wangi
anggerik menumpang di dahan
meliuk-lambai dalam senyum
beralun membelai bayu.

Denai dan lorong meniti rimba
laluan fauna, kecil dan besar
kembara kehidupan penghuninya
harus kita lestarikan
kerana kita juga
ingin mengongsi rezeki milik-Nya. 

Dan rerama yang mengepak sayap kecilnya mengiringi langkah yangku atur dan tidak

kutahu kemana hala destinasinya.


Rerama terbang membawa indah
warna-warni kepaknya
ke rimbun hutan dara
menghisap madu.

Rerama itu pernah hinggap
di sanggul nostalgiaku
memberi kemilau bahagia
memberi dalamnya luka.

Rerama semakin terbang jauh
ditelan rimba dara
meninggalkan aku di ranjang rindu
dan aku sering menyelak kembali
lembar silam itu.

“Taman herba ini bersambung dengan hutan simpan bersebelahan,  jadi kamu semua jangan dibawa langkah dan tidak sedar hingga lepas ke sana. Mesti sentiasa bersama kumpulan mencari sepesis herba yang ditentukan kepada kamu semua untuk dibuat ujikaji di makmal bila kita pulang ke kampus nanti.” Pesan Prof Madya Dr. Azmir itu kepada semua bakal pharmasis yang mengikuti rombongan untuk melakukan tugasan pharmacognosy mengkaji ubatan herba yang akan menambah kredit dalam cgpa ini memang  sangatku ingati.

Tapi entah kenapa kakiku boleh menyasar jauh mengikuti rerama hijau hingga di tempat keberadaanku kini.

Setelah aku tidak mendengar lagi suara rakan-rakanku yang rabung bertanya itu ini kepada Pak Mahat yang menjadi penjaga kepada taman herba ini mengenai maklumat sepesis herba yang ditemui barulah aku menyedari bahawa aku telah terpisah jauh daripada mereka. Mungkinkah aku telah tersesat? Mungkin rerama hijau ini yang menyesatkan aku kerana aku teruja melihat keindahannya di samping aku taksub mencari tumbuhan herba yang aneka jenisnya yang sudah berada di dalam genggaman tanganku.
Terngiang-ngiang di deria dengarku penerangan pak Mahat tentang kegunaan ubatan secara tradisi tumbuhan ekor tupai, ekor tikus,embun tengahari, ganda suli, geli-geli,gelenggang pasir, gelenggang nasi, gelenggang padang, gepur batu, getam guri dan berjenis-jenis lagi. Ada yang tumbuh merenek. Ada yang tumbuh melata dan menjalar. Ada juga yang merimbun menjadi pohon tinggi berdaun, berbunga cantik seperti siantan, hari ini esok dan semalam, gadis lompat dan pelbagai namanya yang sangat unik, indah dan baru kuketahui hari ini. Begitu kayanya perbendaharaan bahasa Melayu yang meliputi penggunaannya mencakupi seluruh keperluan kita tanpa perlu ada pengulangan kata untuk menjelaskan maksudnya yang berbeza.
“Pokok herba ni apa pula nilai perubatannya?”
“Eh! Ini pokok gandarusa. Gandarusa ni orang dulu-dulu kita gunakannya untuk menghalau hantu?” yakin sekali pak Mahat menuturkan kalimatnya. Khalid, Syafiq, Ariff, Jagjit, Tony, Nathan dan Swee Lin, masing-masing tersenyum sedikit. Mungkin memikirkan bagaimana hendak menulisnya tentang herba gandarusa putih, gandarusa kuning dan gandarusa hijau di dalam kertas tugasan ujikaji yang akan dihantar kepada penyelia tugasan kelak. 
“Nampaknya dah banyak contoh sepsis herba untuk kita gunakan di makmal yang dah kita dapatkan. Bolehlah kita berehat sekejap sementara menunggu Dr. Azmir yang dah hilang entah ke mana tu!” Syafiq mulai melabuh punggungnya di banir pohon jejawi yang merimbun dan akarnya menyelirat hingga ke alur air kecil. Di pohon jejawi ini tempat kediaman sepsis alam halus yang tidak nampak dengan mata kasar; aku teringat cerita atok kepadaku. Melangut ke atas terlihat kepadaku betapa daun-daunnya yang sangat rapat bertautan antaranya sehingga tidak ada jalur cahaya yang mampu menembusinya. Di bawahnya redup sekali dan selesa duduk berehat melepaskan kepenatan yang meresapi tubuh. Rasanya usia pohon jejawi ini sudah sangat tua dan melebehi ratusan tahun.

“Kau nak ke mana pula tu? Duduk saja di sini berkumpul sekali. Tak payah nak berpecah. Bimbang tersesat risau pula. Kita pun bukan biasa dengan tempat ni. Pak Mahat pun dah pergi menyusul Dr. Azmir tu.”
“Aku nak ke belakang pokok ni saja. Mana tahu mungkin terjumpa daun herba yang lebih hebat nilai perubatannya daripada yang kita ada ni. Kau tak dengar kata Swee Lin tadi bahawa herba-herba Melayu ni tidaklah setanding herba-herba daripada negara China seperti ginseng, ganoderma dan yang lain-lain. Hanya biasa-biasa saja. Jadi aku nak cubalah tengok di sebelah sini mungkin terjumpa apa yang aku cari. Pasti hebat penemuanku dan ujikaji yang kita akan buat nanti.”
“Ikut suka kaulah. Tapi jangan pergi jauh.”
‘Iyalah Syafiq.’
Syafiq sudah pasti tidak mendengar suara hati yang menggema dalam ruang kalbuku ini tapi aku yakin kawan rapatku itu memahamiku. Kami memang saling kenal sejak mula mendaftar untuk memasuiki university di Serdang ini dan kebetulan jurusan yang dipilih pun serupa. Ditambah lagi dengan kebetulan yang mengeratkan hubungan kami adalah kami sebilik pula. Sikap dan keinginanku terhadap sesuatu yangku putuskan sangat diketahuinya.

Sikap kemahuan tegar yang kini menjerat kakiku di sini. Hanya berpusing-pusing di sini. Tersesat jauhkah aku? Sedangku rasa aku hanya berada di sebalik pohon jejawi ini saja. Dan rerama hijau itu masih mengepak sayap kembali kapadaku entah dari mana. Hinggap pula di dedaunan rimbun yang menjalar membentuk semak samun. Seakan ada yang menggerakkan kakiku untuk menghampiri semak samun itu.

Wah! Inilah yangku cari. Daun rerama hijau yang tumbuh asli secara semula jadi dan sering diperkatakan khasiat dan nilai perubatannya yang tinggi sehingga mampu menyembuhi penyakit kronik Aids, SLE  dan kenser. Beruntungnya aku menemuinya. Inilah yang sebenarnya inginku dapatkan untukku jadikan bahan ujikaji di makmal farmasi Serdang.
Tapi? Bagaimana mahuku bawa pulang daun-daun rerama hijau yang sudah ku kutip ini berserta anak pokoknya yang telahku cabut ini sedang aku hanya mengelitari sini? Jalan pulangnya tidakku temui. Sesia saja penemuan sepsis herba yang dikatakan sangat mahal harganya kepada yang berminat menjual dan membelinya. Niat hatiku tidaklah begitu. Hanya sekadar mahu mengkajinya. Dan jikalau terbukti akan nilai perubatannya yang maksima tentu bermenafaat digunakan sebagai produk kesihatan buat membantu mereka yang memerlukan untuk memulihkan kesihatan yang terjejas.

Buntu sungguh aku memikirkan bagaimana mahu kucari jalan pulang dengan membawa dedaun rerama hijau dan pelbagai jenis dedaun herba yang kemas berada digenggamanku ini. Aku tidak berani lagi melangkah ke mana-mana kerana di hadapanku adalah hutan rimba yang diselirati tumbuhan menjalar yang sukar dimasuki.

Dan sebenarnya aku sangat yakin bahawa aku berada tidak jauh daripada tempat kawan-kawan yangku tinggalkan sebentar saja tadi. Masih kelihatan kepadaku pokok jejawi yang disandari Syafiq sambil duduk di perdunya. Tapi puas aku mengelilinginya tidakku temui sesiapa pun. Tidak ada kelibat Syafiq, Nathan, Jagjit, Swee Lin, Arif atau Tony. Pada pengamatanku seolahnya langsung tiada kesan bahawa di bawah pohon jejawi ini ada kehadiran kawan-kawanku. Mungkin ini pohon jejawi lain dan bukan pohon jejawi yangku tinggalkan tadi. Fikiranku mencongak kira. MasyaAllah! Tersesatkah aku?

“Kalau kita berniat memmasuki hutan rimba kita mesti lengkapkan diri dengan ilmu kehutanan sebelum kita berada di dalamnya. Maklum hutan rimba itu bukannya kampung laman kita. Tempat yang kita ketahui menjadi kediaman aneka tumbuhan, haiwan yang nyata kelihatan. Tapi penghuninya yang bersifat halus tidak ketara. Hutan rimba, laut, gunung ganang sudah Allah tentukan sebagai penempatan makhluk Allah yang  begini. Kau jangan berani tanpa ilmu di dada untuk cuba-cuba masuk ke sana. Jaga pertuturan, jaga kelakuan sebab yang sedang memerhatikan kamu tu kamu tak sedar dan tahu. Bacalah ayat-ayat quran yang lazim  dihafal dalam solat tu dengan betul tajwidnya sebagai pendinding diri daripada sebarang gangguan yang tidak diingini. ”

Aku mulai membaca ayat-ayat quran setelah kotak fikirku teringat pesanan atokku.
Tekakku terasa kering pula dan amat dahaga. Kali yang mengalir jernih ku dekati lalu meraup airnya dengan kedua telapak tanganku.
“Jangan minum air yang kelihatan jernih sebab dibimbangi mengandungi kuman malaria.” Menggema pesanan atok kepadaku membuatkan membatalkan hasrat itu walau tekakku perit kekontangan.

“Kalau terasa haus makan umbut pokok-pokok yang kau kenali tidak beracun.”
Di manalah hendakku cari umbut-umbut itu alahai atokku sedang aku sudah amat keletihan kini. Aku juga kepenatan menyusuri anak air berpandukan pesanan atokku kalau aku ingin mencari jalan pulang kala tersesat. Tapi anak air itu kulihat menghala ke dalam hutan tebal itu dan aku tidak berani untuk memasukinya.
Kakiku yang pegal uratnya memaksa aku duduk untuk melegakannya. Daun-daun termasuk gandarusa kuletakan di riba sambil mataku pejamkan.
“Eh! Haziq bangun kau tertidur di sini rupanya.”
Aku terkapa-kapa membuka mata sebab terasa wajahku dilibas dengan daun yang tengik baunya. Tangan Pak Mahat mencengkam kepalaku sambil mulutnya terkumat-kamit. Dan daun gandarusa di tangannya sekali lagi dilibaskan ke seluruh tubuhku. Aku kehairanan diperlakukan Pak Mahat begitu. Tapi tidak menyoal apa-apa.
“ Puas kami berkeriau memanggil kau. Rupanya kau bersembunyi di sini.”
Aku yang bersembunyikah atau aku disembunyikan? Entahlah Syafiq. Aku tidak tahu bagaimana nak jelaskannya.
“Kau membawa daun gandarusa ke mana saja bersama?”
“Mestilah takku tinggalkan termasuk daun-daun herba yang lain.”
Pak Mahat tersenyum mendengar penjelasanku kepada Syafiq. Senyumannya membuatku terfikir tentang daun gandarusa dan kegunaannya.

TAMAT.


.

Top of Form