Tuesday, November 22, 2016

PELAYARAN TUN PERAK ...

ASSALAMUALAIKUM...

PELAYARAN TUN PERAK

Pelayaran Tun Perak dari Melaka
hajat hendak singgah di Kelang
hatinya dirundung walang bukan kepalang
Ah! Alangkah sibuknya pelabuhan
dengan pendatang dari seberang
sekaliannya sudah bersiaga
merantau ke tengah kota ke ceruk desa
dengan tekad waja
sebagai perkerja.

Sedang anak negeri
mahu reformasi
bijaknya berperi-peri

Beliau mencabut destar

mindanya ligat berputar
mengimbau dengan wajar

Bukankah ada seorang pateh
yang banyak onarnya
mencipta aneka petaka
memberi celaka seorang hamba
yang dikasihi Raja
sehingga berbunuhan sesama saudara

Apakah tidak berubah

nasib Tuah ditimpa olah
angkara warga mencipta sengketa membawa padah

Beliau menggaru kepala

lantaran pening pula
risaukan ramainya penghijrah
yang mengaut emas ke dalam kantung
jumlahnya tak terhitung

Koleknya disongsong angin

firasatnya menghilir
diburu deru angin semilir

Sudah jauh kolek dikayuh

ingin pula berlabuh
di pengkalan Pangkor

Beliau melihat sebuah bahtera

di tengah segara
dan seorang cucunya sedang berurus niaga
menukar emas perak dengan tiara negara

dengan sekeping wadah janji

tidak mungkin terpenuhi
bakal dimungkiri

Ah! Mengapalah cucu itu

tidak membalik hikayat silam
tentang kesultanan Melaka yang tenggelam
kerana ada gunting dalam lipatan
kerana telunjuk lurus kelingking berkait
kerana adat tempua tidak bersarang rendah

Kenapa masih hendak mencari budi

berkeliling pelosok negeri
mengenal pasti sasaran
memusnah semua harapan
yang direncana warga sebaiknya

Mengapa tidak mahu menjadi warga yang pasrah

redha pada kalah
usah menuding penentu salah
justeru segalanya telah terserlah

Tun Perak sudah penat memikir

ingin pula beradu di taman inderaloka
biarlah pelayaran ini segera berhenti
angin pun tidak bertiup lagi
sudah mati

Kita ingin segera ke Langkawi

menulis puisi tentang cinta pada pertiwi
tentang sebuah jati diri....

nukilan

Paridah Ishak...

17 FEB 2016.

BERCUTI DI TERENGGANU...

ASSALAMUALAIKUM...

BERCUTI KE TERENGGANU








Wednesday, November 9, 2016

Monday, November 7, 2016

PUISI PERTIWI KERSANI..

ASSALAMUALAIKUM...

PUISI PERTIWI KERSANI
Sajak 1. 
SEKUJUR TUBUH ITU
Saat yang sangat meletihkan mendatangi
lesu kaku seluruh tubuh
keyakinan yang semakin rapuh
sendupun merusuh
Apalah daya meminggirnya
entah untuk kesekian kali
ulangannya begitu
mengharukan sungguh
Apakah semangatnya hilang?

Taburkan kelopak mawar putih

di tengah kolam teratai
dengan semerbak wangian pandan
dan bersiramlah  sembari bermentera
Berserulah
berkat la ila haillallah
memanggil semangat kersani padu
agar pulang ke dalam jiwa
ke dalam jasad
kesatuan manusia
yang sedang meratapi kehilangannya
Bingkaslah berpencak silat
memperjuang impian terhalang         
demi pertiwi

Sajak 2. 
ILTIZAM WIRA
Yakinnya arnab memenangi perlumbaan
mengatasi kura-kura yang menapak perlahan
Tidak ragu dengan ketangkasan
memecut laju dalam perlarian

Mudahnya kura kura jauh di belakang ditinggalkan
Namun kura kura tidak gelabah
tidak dikusuti rasa kalut
tidak dipeduli menang dan kalah
tetap berlumba walau berinsut
Semangat juang kura kura yang tinggi
membawa kemenangan kepada diri hakiki

Lantaran arnab diperdaya jiwa keangkuhan
Ketangkasan, kepantasan, kecerdikan membuatnya letih dan terlena.

Kura kura meneruskan perlumbaan ke pengakhiran
dengan tekad keazaman
Dan yakin dengan takdir Tuhan
walau dalam apa keadaan.


sajak 3. 

ZIKIR MUNAJAT SEORANG MUKMINAH

Zikir munajat kepada-Mu
 mohon rahmat dan restu
bersama setia detik jam mengetuk pintu waktu.
Malam-malamku lena ditemani mimpi terindah
melihat megah Baitullah
dikelilinggi lautan manusia bertawaf dan berzikir munajat
 dan ada sinar dari hajar aswad
memancarkan cahaya di dadaku.
Kutatap mercu gemilang kubah hijau
tenang masjid Nabawi menyambutku
saat aku singgah
 di laman maya menziarahi makam rasulullah saw tercinta.
Ya Rabbi, sebelum Kau jemput aku kembali
 impianku menjadi tetamu-Mu
dan menjejak makam kekasih-Mu di alam realiti.
Demikian zikir munajat seorang mukminah
saban waktu mohon mimpi menjadi benar
meskipun tawaf dan ziarah
hanya mampu di atas kerusi roda.


Sajak 4 
HAI MURAI

Hai murai
yang sedang bersiulan di pagi hari hening
teruskanlah kicauan nyanyianmu
kibarkan bilah sayapmu
merentasi tenang dan dingIn suasananya
di hujung pucuk cemara
pinggiran desa
tanah air tercinta

Hiruplah harum dedaunan dan bunga-bunga
yang berkemilauan di atasnya
butiran embun
yang gemerlap
bak mutiara

Nikmatilah semaumu
segala estetika fenomena sementara

Kerana
tatkala suria menjulang di puncaknya
pastinya kaubakal kehilangan
segala-galanya

Sajak 5 
LINGKARAN DUKA

Terkial-kial melepasinya
namun tidak terdaya menolak kabut mendung gelap
pergap yang teramat melapisi
kontang peti suara
lelah mencoret makna
sekian lama raungan jiwa menggema
dipersisikan saja dengan menggenggam kesabaran
biarkan dukalara
mengubat sengsara
seolah salju yang memutihi sahara
walau gersang gurunnya
ketara hanya fatamorgana

tidak terdaya lagi
melepasi lingkaran duka yang berlapis-lapis itu
kerana gendalanya yang tidak tertangkis
Biarkan catatan bajet harapan
melunasi impian
setiap marhaen
yang dianugerahi mimpi indah
sehingga malam gelita berlalu

Sajak 6
WARIS KITA
Zuriat baru
yang mewarisi impian silam
nan tidak tergapai tangan
jangan nyanyikannya dengan lagu-lagu
yang menggamit nostalgia
yang mahu dilupakan

Kenapa langkah punah itu

mahu dibaca catatannya kembali

Semuanya adalah sketsa kesilapan


Biarlah lakaran baru diukir

dengan rupa ceria
lagi gemilang

Padamkan nota-nota celaru itu

jangan selak lembarnya lagi

Berkoleklah di tasik hati

lalu merenda bahasa puitis
melukis bait-bait harmonis
mengisi hari dengan warnanya

Walau kadangkala kesunyian 

yang lapang lagi panjang
membosankan
Mengisinya dengan ratib zikir
mohon hidayah

Sajak 7 
GELAP PENJURU TIANG
Senja baru berlalu
dan isyak melepasi waktu
ruang istirehat menjemput tamu
segera lena beradu
Peta minda berhenti melakar karya
justeru kelelahannya sepanjang usia mengaturnya
menurut rencana
Nikmatnya melelap sepasang mata
dengan jenera
sepi segenap ruang
Penjuru tiang dimamah gelita
dimensi mimpi mewarna-warni pelangi
moga esok masih harum mewangi
berseri

Sajak 8 
YANG TERSUNGKUR ITU

Tersenyum mengurung pilu
sepinya seperjalanan berlagu
ritma haru sendu

Tidak ingin dikongsi ceritanya
dendam yang tidak terpadam
mengeram terendam
kesudahan entah bila

Luahan frasa mengungkap rasa tiada bicara
dalam surut pasang bak ombak
menyimpul rahsia jiwa

Yang tersingkir itu
terus ditinggalkan waktu
Kusut hati rusuh geruh
menyesal sungguh
istirja’ innalillah ilaihirojiun
Namun apalah daya
suratan menyingkirkanmu
dengan tiada ragu di pinggiran waktu
Kaupun termangu-mangu terkedu

sajak 9 
WANITA JELITA WANITA RUPAWAN
Wanita jelita mulus wajahnya anggun bergaya
alis mata lentik cantik kening terbentuk dipantis
pipi merah montok menggebu
bibir mongel terlukis manis
bicaranya petah membalas hujahan
berkerudung anggun merah biru
menawan kolbu
berjuang penuh garang di dewan persidangan
menggenggam hakiki kepercayaan
pada sebuah realiti perjuangan
dan wanita rupawan ayu tulus rautnya
Lemah tutur kata
kadang hilang bicara berombak di dada
bagaimana sudahnya minda mencongak kira sedang nawaitu kekal jitu
di sudut dunia sebelah  situ
tidak sempat berpantis bercelak bergincu
yang diingat cuma destinasi
akan sampai tanpa sangsi
membawa missi pasti suara hati
teriakan lolong kesedihan menyentuh perasaan
yang dipohon doa restu bertalu
misi Gaza berjaya tidak sia-sia
watan Pelastin bumi anbia dibantu apadaya
walau menggadai nyawa merentas samudera
silap gaya meninggal dunia
dengan reda demi saudara seagama
menyempurna fardu kifayah ke alam baqa
Wanita wanita menggoncang dunia
berbeza peranannya

Sajak 10 
MENGUKIR KEBENARAN

Umpama
Seindah jambangan bunga nan meriah
lalu bayu mulus dari gunung turun mengusapinya
dan menyapa memesrainya

Sirnalah kebenaran dan kepercayaan
cairlah panas amarah
sukar pula menilai seluruh diri
hanya sekujur imej zahir

Malanglah dirimu seterusnya
kerana kebenaran yang ingin diraih
tenggelam hanyut

Alun bayu yang lembut itu
telah menukarnya dengan gubahan kata
membawanya ke kota bantah
yang teguh jitu
namun pasrah

Bukankah ada Dia
tempatmu mengadu resah
mengapa tidak menggubah kata seindahnya
mengasah senjata malam

Paridah Ishak
Selayang Utama
4 Nov 016



GELAGAT SI KECIL..

Assalamualaikum..