Friday, February 24, 2017

SKETSA CINTA


ASSALAMUALAIKUM.. 


Cerpen;
Sketsa Cinta
Oleh;
Paridah Ishak.
                                                             SKETSA CINTA

Aku terlalu mencintainya. Sungguh-sungguh. Namun ada yang lebih mencintainya, mengasehinya. Dan seruan cinta itu diturutinya. Kini tinggallah aku melayani kesendirian yang sunyi lantaran tiada lagi kekasihku itu di sisiku. Kehilangannya dari sisiku sangatku rasai.

Sepanjang perjalanan hidupku mutakhir ini hanya imbauan-imbauan yang terimbas di skrin kenangan. Pastinya tidak mahuku hapuskan. Aku bersedia melayani kenangan yang membahagiakanku sambil bermain dengan kambing dan lembu ternakanku di kebun.

Pagi dan petang bertemankan kambing dan lembu.  Apabila terasa bosan aku akan mengenderai Saga biruku dan memacunya keluar daripada kebun pisang yang menempatkan kandang ternakanku; entah ke mana hala tujuanku. Langsung tiada dalam perancangan yang ditetapkan minda kecilku.

Kadang tanpa sedar aku sudah sampai ke Segamat, Kuantan atau Kuala Terengganu hanya dengan memandu santai melayan hiba hati sunyi. Jauh dari kampung halamanku. Jikalau dia bersamaku tentu tidak begini lakuku.

Seusai kerja-kerjaku di kebun mengurus tanaman dan ternakan akan segera pulang menemui suri kekasihku itu. Akan bersamanya menjamu selera di tengahari penuh gembira. Momen itu telah berlalu bersama detik waktu.

Namun kehilangannya amat  menyiksa jiwaku meski aku merelakan kepergiannya. Reda dengan suratan-Nya yang tertulis di lorong hidupku.bertemu untuk berpisah akhirnya.

Barangkali perpisahan kami seusai mengerjakan ibadah haji di Baitullah adalah takdir Allah. Kekasihku itu telah menyucikan diri dan rohaninya sebelum menyahut seruan cinta-Nya yang agung. Kembali ke sisi Pencipta dengan kemurnian nurani syumul.

Kekasihku itu tetap berusaha beribadah haji bersamaku walau dirinya terpaksa menahan sakit tika tawaf, sai, melontar jamrah, wukuf di Arafah dan setelah itu melakukan ziarah ke tempat bersejarah, jejak Rasulullah.

Melambai Baitullah dengan ucapan selamat tinggal dengan air mata mengalir deras di pipi dengan berharap dapat ke sini lagi sebelum pulang ke tanah air. Pulang untuk memenuhi appointment doctor yang telah menetapkan jadual pembedahan membuang ketulan kenser di dadanya.

Tapi aku merasa sangat ralat melihatnya terkulai di dalam pangkuanku lantaran kelelahan menjalani kimo untuk membunuh kenser payudara yang dideritainya setelah pembedahan itu. Air mataku bercucuran  membasahi pipi cengkung kekasihku. Hancur luluh hatiku meratapi pemergiannya.

Walau aku sentiasa mengharapkan doa yangku apungkan ke hadrat-Nya dimakbulkan-Nya. Doaku yang bersungguh memohon keampunan dan belas kasih-Nya agar menyembuhkan sakit yang dideritai kekasihku itu.

Mengalir airmataku  deras melihat kekasihku itu menahan kesakitan di dadanya yang akhirnya menyeluruhi tubuhnya hingga menyebabkan tubuh kekasihku itu terkulai tidak bermaya. Laksana sehelai kain buruk yang terjelepuk.

Segeraku papah dirinya ke perbaringan yang lebih menyelesakan dirinya yang semakin kurus cekeding itu. Dia cuma tersenyum kepadaku seraya menujah anak mataku dengan pandangan sayu.

Mungkin kekasihku itu merasa kesal kerana telah menyusahkan  aku dengan keadaan dirinya yang tidak bermaya sebegini mutakhir ini. Sedang dahulunya kekasihku itu amat cergas mengurusi apa sahaja keperluanku dengan sebaiknya.

Dan aku amat bertuah sekali justeru Allah mempertemukan diriya denganku dan menjadikanya  kekasih setiaku. Budinya kepadaku tidak sedikit.  Bertabur sepanjang batas kehidupanku. Dan kami telah berkongsi susahpayah, asam garam kehidupan sepanjang kebersamaan kami.

Sekiranya aku dalam keadaan sepertinya juga tentu dia akan menatang kesusahanku sedaya upayaya. Kitakan adalah pasangan yang saling mengasehi dan penuh  pengertian  sejak perkenalan yang diikat dengan ijab dan kabul semata persetujuan keluarga.

“Sakit sangat ya?”  kekasihku itu cuma angguk lemah.
“Esok setelah dioperasi dan ketulan daging yang sakit ini dibuang tentu sakit ni pun terbuang sama.tidaklah terasa sakit lagi.” Ujarnya yakin berharap. Moga ianya akan jadi kenyataan.

“Terasa nak makan mi udang pula, boleh tolong belikan?” tanganku dipegang erat dan sepasang mata yang sirna sinarnya memohon pengertian.
Mi udang adalah makanan kesukaan kami berdua.

Tidak pernah pun dibeli kerana kekasih hatiku itu yang akan memasaknya sesuai citarasa yang kami sukai.
“Bukan mi udang tu kena pantang makanke? Kalau tak pantang makan nanti melarat pula sakitnya.” Ujarku keserbasalahan untuk menunaikan hajat kekasihku itu.

“Malas dah rasanya nak berpantang sangat. Nak makan saja apa yang terasa nak makan. Pantangpun sakit juga. Sakit kita ni bukan sakit biasa tapi kenser. Kenser tahap empat.” Bibirnya yang pucat lesi itu menuturkan begitu pula.

“Walau apapun sakit kita, tahap apa saja kata doctor, kalau kita makan ubat, jaga kesihatan, elak makan yang kena pantang, hidup saja kita macam biasa. Macam orang lain juga.” Ujarku lunak. Berusaha menaikan semangatnya yangku rasa semakin merudum.

“Iyalah tu. Tapi malam ni terasa sangat nak makan mi udang. Tolonglah belikan. Nanti setelah operasi akan berpantang semula.” Kaupujuk diriku agar menuruti kehendakmu. Memang tidak berdaya hendakku tolak apa sahaja mahumu. Selama inipun sejak kita bersama segala hajatmu akanku laksana tanpa bantahan..

Malam itu keinginanmu untuk menikmati keenakan mi udangku tunaikan. Berselera sungguhkau menyuapya ke mulut sambil mempelawaku makan bersama.
“Marilah makan! Sedap sangat rasa mi udang ni.”

“Makanlah dulu. Biarku ambil air miuman dulu.” Aku segera bingkas bangun menuju dapur.
“Malam ni terasa panas sangat pula. Jadi tak mahu air panas tapi nak air batu.”
“Kan pantang minum air batu?” tukasku cuba menghalang kemahuan yang akan memudaratkan kesihatan dirinya.

“Soal pantang larang tu kita lupakan dulu malam ni.” Senyummu terorak hambar mengiring lafazmu membuat aku terkedu. Dan setelahkau menikmati makan malammu, aku menyelimutimu keranakau merasa kesejukan tiba-tiba.

Memori makan malam bersamamu menjengah mindaku selalu. Kali terakhir aku dan kekasihku itu mengecapi suasananya.

“Kau tak nak kahwin lagi Lem? Teh pun dah lama meninggal. Kalaukau berhajat boleh aku tolong kirakan. Nak orang dekat atau orang jauh kaucakap saja.”
“Entahlah Dan. Rasanya tak nak dah kot. Lagipun mana ada duit nak kahwin lagi. Hasil kebun pun melawas. Lembu kambing pun asyik hilang dicuri orang saja.” Ujarku berserta alasannya.

Perbicaraanku dan Rushdan tidak bersambung lagi setelah aku memasuki keretaku dan memandunya keluar daripada kebun ke destinasi halaku seperti selalu.

“Ayah tu nampak sunyi dan selalu hilang entah ke mana sejak mak tak ada.” Kata abang kepada adiknya.
“Biarlah ayah jalan-jalan hiburkan hati sunyinya.” Sahut adiknya.
“Mungkin ayah tu risau fikirkan lembu kambingnya yang banyak hilang kot.”
“Jangan sibuk fikirkan nak cari ganti mak kita dah. Itu adik tak setuju.”

“Kenapa pula adik tak setuju? Mak kita bukan meninggal semalam. Tapi dah bertahun-tahun. Elok sangatlah kalau ayah nak cari pengganti.”
“Jadi abang sukalah kalau dapat mak tiri?” tapi adik tetap dengan keputusan adik. Tak setuju kalau ayah nak kahwin lagi.”

“Terpulang pada adiklah. Tapi kita kena fikirkan juga keperluan dan kebajikan ayah.”
“Abang jangan risau tentang tu. Adik akan jaga ayah macam mana mak jaga ayah dulu.   Adik tengok ayah sangat sayangkan mak. Masakan ayah sanggup menduakan mak.”

“Ish adik ni! Kalau ayah kahwin lagi setelah mak tiada itu bukannya menduakan. Tapi keperluan seorang lelaki untuk beristeri lagi. Adik kena faham tu.”
“Yang adik faham adik tak mau ayah kahwin lagi.” Pengucapan adik tegas sekali.

Perbualan kedua-dua orang anakku itu  lantas ke deria dengarku tanpa mereka menyedari keberadaanku di situ.
“Apa keputusankau Lem?“
“Keputusan apa?”

“Yelah! Mungkin kau dah jumpa calon yang sesuai pengganti Teh di Kuantan, Segamat atau Kuala Terengganu tempatkau selalu berulang-alik tu.”
“Aku tu berjalan-jalan saja Dan. Bukannya dengan niat mencari calon isteri. Lagipun aku rasa tiada wanita lain yang dapat mengganti Teh dalam hatiku.”

“Aku memang tahu tu. Kau berdua memang pasangan serasi yang saling sayang menyayangi. Kau berduakan kawan baik aku.” Rusdan terhenti bicaranya. Nafasnya dihela lega.

“Tapi sebagai seorang kawan baik aku cuma nak nasihatkankau eloklah kau berkahwin lagi sementara badankau masih sihat.  Nanti apabila kau dah uzur dan sakit ada isteri yang akan menjagakau. Hidup kita di masa depan kita tidak tahu takdir-Nya bagaimana rupa. Kau tak boleh nak bergantung hidup dengan anak-anak. Sebab merekapun ada kehidupan mereka sendiri. Lagipun berkahwin itu kan sunnah Rasullullah. ”

Kata-kata Rusdan itu ada benarnya;  terngiang-ngiang pula di telingaku bicara adik dengan abangnya. Wajah Teh tersenyum manis padaku. Hidup ni singkat saja bagiku. Apa yang dirancang belum tentu terlaksana. Berserahlah aku kepada takdir-Nya.


TAMAT

ANTOLOGI KENANGAN...

ASSALAMUALAIKUM....

ANTOLOGI KENANGAN
CATATAN CERITA RINGKAS

SAADAH! SAADAH! SAADAH! SAADAH!

Empat nama Saadah itu ada hubungkaitnya denganku. Saadah pertama tentulah kakak angkatku tika di SMART ( Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib) di Kuantan dahulu. Kak Saadah ini kampungnya di Temai hilir, Pekan, Pahang.

Sering juga aku dibawa kerumahnya bersama seorang lagi adik angkat lelakinya Ruyub yang juga sekelas denganku. Kami semua bersekolah di sekolah menengah Abd Rahman Talib, Kuantan, Pahang suatu ketika dahulu.

Rumahnya terletak tidak jauh dari sungai Pahang yang luas terbentang. Cantik sekali pemandangannya di situ. Sungai Pahang yang mengalir tenang dan meriah dengan aktiviti nelayan sungai yang mencari rezeki dengan menangkap ikan segala cara.

Ada yang suka memancing, menjala atau merawa. Hasilnya tentulah untuk kegunaan keluarga dan selebihnya bolehlah dijual sebagai tambahan pendapatan. Ayah kak Saadah juga adalah seorang nelayan sungai yang berasal dari Sarawak.  

Keluarga kak Saadah juga menganggap aku dan Ruyub adalah anak-anak angkat mereka.
Selesa sekali berada di tengah keluarga yang menerima dan melayan kami dengan ramah lagi prihatin. Tak dapatku lupa akan keenakan asam pedas ikan baung masakan kak Hairani iaitu kakak kepada kak Saadah untuk hidangan makan tengahari kami sekeluarga. 

Sedap sungguh. Ikan baung yang diperolehi bargh/bapa angkatku itu dengan menjalanya di sungai Pahang. memang banyak rezeki yang boleh diperolehi daripada sungai itu sekiranya rajin berusaha mendapatkannya.

Dan khabarnya kak Hairani yang pandai masak asam pedas baung kini seorang pegawai polis.  Kak Saadah kakak angkatku itu telah menamatkan pengajiannya dalam bidang perakaunan di UITM Syah Alam dan menjawat jawatan sebagai akauntan DARA (Wilayah Pahang Tenggara)

Kak Saadah  kedua yang kukenal dengan sangat baik adalah seorang sda(w) felda (Pegawai pembantu wanita FELDA). Beliau ini rapat denganku kerana aku yang pertama dilihatnya tika mula ditukarkan ke kampungku, sebuah perkampungan FELDA.

Perkenalan yang menjalinkan hubungan baik sehinggalah kak Saadah Sarbini ini ditukarkan pula ke felda Bukit Kuantan. Hubungan kami tidaklah terputus begitu saja kerana aku pernah berpeluang ke rumahnya ketika menghadiri Pesta Kebudayaa FELDA yangku sertai dalam acara pertandingan berbalas pantun.

Juri yang mengadili pertandingan itu adalah pelakun terkenal Baharudin Hj. Omar dan pengacara Syerkawi  Jirim.  Punya seronok berpantun sampai terlupa pantun enam kerat yangku gunakan tidak mengikuti syarat pertandingan. Jawabnya terkandaslah aku dan rakanku pada peringkat awal saringan lagi.

Sebenarnya aku dan rakanku mewakili wilayah FELDA Pahang Tengah setelah menjuarai pertandingan berbalas pantun peringkat wilayah. Jurinya ketika itu adalah penulis terkenal, saudara Aripin Said.

Dalam keaktifan aku bersosial dengan aktiviti tanah rancangan FELDA dan persatuan belia juga  kerjayaku sebagai kerani JKKR (Jawatan Kuasa Kemajuan Rancangan), seorang lagi “Saadah” muncul menyalami tanganku.

Saadah Salleh ini berasal dari Melaka dan suaminya adalah pengurus felda Ulu Jempol ini. Iaitu kampung tempat tinggalku. Kak Saadah ini punyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. 

Kadangkala beliau meminta aku menemaninya menghantar anak-anaknya untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran kerana kak Saadah ini agak fobia kalau berada di klinik. Mungkin sebabnya ketika itu beliau sedang mengandungkan anaknya yang ketiga dan alah dengan suasananya.

Sekiranya ada sebarang acara majlis keraian yang diadakan di rumahnya kerana program pejabat suaminya, aku dan beberapa orang rakanku akan bersedia membantu. Mentelah dengan sifat peribadinya  tidak menyombong diri walaupun suaminya adalah orang terpenting dalam masyarakat tanah rancangan felda tempat kami dengan jawatannya yang tinggi.

Kebetulan yang tidak kuduga pula tatkala mengetahui bahawa kak Saadah ini adalah sepupu kepada cikgu Amran guruku di SMKM (Sekolah Menengah Kebagsaan Maran) dahulu. Seorang guru yang sangat baik dan agak rapat dengan sahabatku Aini.

Cikgu Amran sepupu kak Saadah ini akhirnya telah bertemu jodoh dengan sahabat baikku Aini. Guru berkahwin dengan anak muridnya, apalah yang nak dihairankan. Tiada salahnya pun. Percintaan mereka dalam diam diam dipenuhi rintangan kerana sahabatku itu seorang gadis cantik yang sering mencuri perhatian lelaki sebaya yang meminatinya. Sehingga sahabatku itu merasakan dia tersilap memilih cikgu Amran sebagai pasangan bercinta lantaran usia mereka yang agak jauh berbeza.

Aku dan beberapa orang guru, kawan kepada cikgu Amran yang rapat dengan Aini menasihatinya agar melupakan semua gangguan yang merosakan hubungan baik mereka selama ini dengan “buang yang keruh ambil yang jernih.” Akhirnya percintaan mereka lestari dengan ijab Kabul pernikahan..

Aku pun turut bersibuk di majlis kenduri perkahwinan sahabatku itu. Dan rumah kak Saadah dan suaminya dijadikan tempat persinggahan cikgu Amran melakukan persiapannya sebelum bertandang ke rumah pengantin perempuan.
Dan sahabat baikku itu melayari perkahwinannya penuh bahagia di samping suaminya hingga akhir hayat suaminya.

Begitu juga dengan kak Saadah Salleh kakak angkatku yang ketiga itu telah kehilangan suaminya Encik Rusdan Sadri yang telah kembali ke sisi-Nya beberapa tahun lalu. Hanya doa dan al-fatihah kukirimkan kepada kedua-dua Allahyarham yang pernah hadir dengan peranan mereka dalam kehidupanku.   

Di samping jalinan hubungan baikku dengan kak Saadah ini rupanya ada lagi seorang “Saadah” yang akan menduduki senarai kawan-kawanku. 

Kali ini orang “kesihatan” pula. Maksudku Saadah kawan baruku ini seorang Jururawat Desa yang baru ditugaskan di klinik kesihatan tanah rancangan ini. Perkenalan aku dengannya bermula tika aku sering melintasi rumahnya menuju ke tempat kerjaku.

Hasil tegur menegur yang ramah menjalinkan ukhwah persahabatan abadi. Justeru meningkatkan kefahamanku tentang aspek kesihatan dan beliau mengajarku istilah-istilah yang sering digunakan orang-orang kesihatan. 

Beliau ini tinggal berseorangan di sebuah rumah yang disediakan pihak Kementerian Kesihatan berhampiran dengan kelinik kesihatan tempatnya bertugas. Jika ada kesempatan aku akan menemaninya bermalam di rumahnya atau menonton wayang pacak di padang tanah racangan.

Tapi kalau bersama dengannya harus bersedia ditinggalkan sendiri. Justeru beliau sentiasa dicari di mana sahaja beliau berada untuk dapatkan khidmat beliau membidani  ibu yang hendak melahirkan anaknya. Kadang jika ibu yang hendak melahirkan anak itu mengalami komplikasi yang sukar ditanganinya terpaksalah kak Saadah menghantar pesakitnya ke hospital di Metakab atau Kuantan..  

Kak Saadah Lebai Samad berasal dari Temerloh ini berkahwin dengan seorang guru yang mengajar di sini, juga adalah kenalan kami berdua.

Ah! Bertuah dan berbahagia sekali Allah mendekatkan diriku dengan “saadah-saadah” yang kuceritakan ini. Padaku mereka adalah insan-insan berbahagia kerana kebahagian sentiasa mengiringi kehidupan mereka kerana nama yang mereka bawa. Saadah adalah bahasa Arab dengan maksud bahagia.

Aku selalu mendaakan  semoga kalian semua berbahagia seterusnya di mana juga kalian berada walau telah berpisah sekian lama dan tidak pernah lagi bertemu dengan mereka semua. .



SELOKA PESARA

ASSALAMUALAIKUM...

 

MEMBELI

 

Kadang terpaksa pergi membeli

terlupa barang ulang berkali

.

Anak di rumah memesan susu

melihat harga terkapa lesu

.

Mencari ikan di gerai cuma

tunggu giliran beratur lama

.

Dari dahulu suka pelaling

kala dipilih ada yang jelling

.

Teringin juga beli tenggiri

sedikit saja bajet diberi

.

Mengintai sayur mengirai-ngirai

diambil hanya sebatang serai

.

Semua barang harga meningkat

darah pun naik bertingkat-tingkat

.

Cuba serasi norma baharu

kejadiannya mengharu-biru

 

TERLUPA

 

Lupa bismilah ketika makan

syaitan tertawa turut raikan

.

Apa dijanji tidak tunaikan

riuh diumpat dikeji sakan

.

Hendak kenduri lupa menjemput

sibuk mengurus datanglah semput

.

Nak balik kampung jalan terlupa

seganlah pula menegur sapa

.

Di dalam rumah lama berkurung

diam sendiri jiwa pun murung

.

Konon berakhir fasa pandemik

masih terlupa sudah endemik

.

Jauh berjalan rata jelajah

saudara dekat terlupa terjah

.

Usia tua penyebab lupa

sakitnya pula timpa-menimpa

 

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

12/10/021

 

CUACA

.

Berbahang haba cuaca panas

gerak dan laku bertindak ganas

.

Air di pili tidak mengalir

tiada kerja hanya bergulir

.

Bertanya hujan lama tak turun

baru sebulan bukan berkurun

.

Tatkala langit bermega mendung

girangnya hati mekarlah kidung

.

Jangkanya hujan akan mencurah

air di guri habis dicurah

.

Mega dan mendung berlalu pergi

hujan dinanti tak turun lagi

.

Gelabah pula tidak terkata

Angin dan rebut yang turut serta

.

Hadir cuaca serba tak kena

Sedia cara

.

 

 

PELARIAN

.

Mesti berlari sekuat hati

jauhkan diri langkah amati

.

Kalaulah masih tunggu di situ

nasib mudarat sudahlah tentu

.

Apa yang mampu semua bawa

demi teruskan hidup bernyawa

.

Menumpang kapal menukar arah

tinggal segala jadi sejarah

.

Pertaruh harap setinggi mercu

meriah rona semerah gincu

.

Bungkusan lusuh buang ke laut

tiang gaharu erat dipaut

.

Tanah yang hujung sampailah jua

ingin dihuni sehingga tua

.

Mungkinkah sudah jemu berlari

sukar meneka rentak menari  

 

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

 

Andai berlaku terlalu lama

berubah corak hidup tak sama

.

Panggung wayang filem tak ditayang

di rumah saja membayang-bayang

.

Di malam hari tutup cerita

tidur terlena belum gelita

.

Pulang ke kampung tersesat jalan

terlupa arah mana pengkalan

.

Di lebuh raya sunyi pengguna

pagar berduri di mana-mana

.

Hanya yang tahu minum dan makan

badan berisi gedempol sakan

.

Lepak-melepak tiada lagi

budaya kuno penyebab rugi

 

Angkara Covid Sembilan belas

sejarah lama diubah jelas


SELOKA
PESARA

Berkhidmat sudah sekian lama,
tiba waktunya bersara pula.

Kala bersara banyaklah masa
tak payah sibuk pergi bekerja.

Bangun pagi duduk bersandar,
sambil sarapan menyelak akhbar.

Duit gratuti berkarung juga,
serata tempat boleh belanja.

Sukanya hati bukan kepalang,
dapat melihat negara orang.

Makan dan pakai ikut selera,
duit banyak tak perlu dikira

Namun perlulah berjimat cermat,
hasil  pesara sikit teramat.

Ingat jikalau diserang sakit,
hendak berubat tidak berduit.

Belanja apa berfikir panjang,
 tenanglah hidup hati pun girang.

Sisa umur pun tinggal sedikit,

ilmu agama biar membukit.

Saturday, February 18, 2017

CITRA SEORANG OKU...

ASSAMUALAIKUM...


Ibunya menyebut namanya perlahan sekali dan amat lemah getarannya. Wajahnya tidak senang dan meriak marah. Hatinya mungkin berkata, mengapalah orang yang hodoh ini dan hanya terbujur di tilam ini seringkali memanggil-manggil namanya. Dia langsung tidak kenal siapa orang ini. Dan langsung tidak faham kenapa ramai pula orang turun naik rumah atoknya kemudiannya mengelilingi orang yang terbaring itu.

Setelah beberapa lama di rumah atok, abahnya membawanya dan orang sakit itu pulang ke rumah mereka pula. Sesampai di rumah barulah dia menyedari bahawa orang yang dimarahi kerana sering menyebut namanya itu adalah aku ibunya. Ibunya yang terlantar tidak berdaya akibat kecederaan teruk kemalangan jalanraya. Dia, kakaknya, abangnya dan adiknya yang baru berusia 50 hari turut terlibat sama.

Alhamdulillah kesemua mereka selamat dan cuma mengalami kecederaan kecil. Sebab atoknya terpaksa merawatku, ibunya yang sakit, abahnya terpaksa menyerahkan adiknya kepada makngahnya yang tinggal di KL untuk diasuh.

Kini hanya dia penemanku kala atoknya dan abahnya berkerja. Dia akan berusaha menyuapkan nasi ke mulutku dan memberiku minuman. Lebih banyak makanan yang tumpah daripada yang masuk ke mulutku.

Sikap anak kecil yang baru berusia tiga tahun berusaha menolong ibunya yang sakit berat itu mengait rasa hiba setiap yang memandangnya.

Anak itu sentiasa di sisiku ibunya hingga aku bermaya sedikit dan mengurusinya pula masa demi masa.
"Kalau saya masuk universiti nanti sapalah nak teman mak ya..."
"Mak duk soranglah..."
"Tak takut?"
"Mati pun sorang jugak..."
Akupun  tersengih kegembiraan kerana anakku yang baru bersekolah tahun tiga sudah bercita-cita memasuki menara gading.

Dan anakku yang ketiga  itu berjaya merealitikan impiannya sebagai graduan menyususuli langkah kakak sulungnya yang berjaya menamatkanpengajian sehingga ijazah sarjana .

Sebenarnya tidaklah mudah aku hendak mendidik anak-anak mengikut halatuju yangku ingini kerana kelemahan upaya diri. Selain itu aku juga kehilangan suara sebagai wahana komunikasiku dengan mereka. Mujur anak-anakku itu dapat menerima setiap yang inginku sampaikan hanya melalui nota-nota pendek. Dan aku berserah kepada-Nya akan takdir-Nya.   




KEPERIHATINAN IBU BAPA DAN KELUARGA

"Jomlah kita pergi berubat ke utara sana...dengarnya di sana ada seorang bomoh yang handal." Ajak ibuku.

Selama aku sakit selepas kemalangan jalanraya yang menyebabkan aku koma hampir sebulan dan setelah itu lumpuh terbaring selama tiga tahun, kedua ibu bapaku tidak pernah jemu berusaha untuk mengubati sakitku.

Hampir seluruh semenanjung Malaysia telah dikunjungi setiapkali terdengar khabar ada perawat sakit yang mampu menyembuhkan sakit yangku deritai.  Perbelanjaan kerananya pun tidak sedikit yang habis. 

Akhirnya walau tidak sembuh sepenuhnya dan kurang upaya,  Allah berikanku sedikit kekuatan untuk bangun mengurus diri dan anak-anak. Syukur Alhamdulillah. Rasanya sudah puas mengubat diri sendiri. Untuk sementara waktu terpaksalah diabaikan dulu kerana beberapa sebab.

"Tak boleh lagi...la ni banyak nak guna duit. Kakak kat universiti tu tiap bulan nak kena bagi duit, adiknya lagi sedang buat diploma tu nak duit juga. Tunggulah hingga kakak habis belajar baru boleh pergi berubat."
'Lepas kakak habis belajar nak kahwin pula, tentu nak pakai duit banyak nak buat kenduri kahwin pula..'detak hatiku.

"Kalau nak tunggu habis semua tu, tak berubatlah kau. Duit yang ada semua dihabiskan untuk keperluan anak-anak. Kau tu makin lama makin tua makin lemah. Masa muda sikit ni lah nak berubat sebelum terlambat."

Padaku apa yang dikatakan ibuku itu memang benar. Tapi apakandaya hendak menyetujinya kerana anak-anakku cuma ada aku tempat menyandarkan semua masalah mereka. Tidak mungkin aku mengabaikan anak-anakku demi belanja perubatan untuk diriku.

"Masa ni kau boleh lagi berjalan pelan-pelan walau selalu tersungkur tak mengapalah tak berubat...nantilah bila dah berumur, sakit orang tua pun dah sampai...tanggunglah. Kau tu dah lah sakit tak habis lepas eksiden dulu tu...bertambah-tambah lah sakitnya." Ujar emakku justeru aku menolak saranannya.

                                             
'Entahlah mak...tak tau nak kata apa lagi. Semoga Allah memberiku kekuatan jiwa raga untuk melepasi apa jua ranjau dugaan-Mu yang merintang di laluan hidupku....InsyaAllah...' Suara hatiku  bergemersik halus.

SOSIO KEMASYARAKATAN

Hidup kita ini memang saling bergantungan dan perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak kira samaada mereka itu jelas hubungannya dengan kita umpamanya ibu ayah, adik beradik, saudara mara terdekat atau sesiapa saja yang berada di sekeliling kita.

Selain itu tentulah jiran-jiran tetangga kita. Jiran-jiran itu adalah saudara kita yang paling akrab sehinggakan mereka dirasakan seolah berhak ke atas harta kita menurut Nabi SAW. Namun tidaklah sampai begitu sekali.

Aku merasa amat bersyukur justeru sepanjang hidupku ini, aku di kelilingi jiran-jiran yang amat baik lagi prihatin terhadap aku dan keluargaku. Mereka ini membantu apa saja kesulitanku tanpa imbalan apa-apa. Bukan senang hendak hidup sebagai OKU sekiranya tiada tangan-tangan yang sudi menghulur pertolongan.

Kak Fauziah dan suaminya abang Din, Darus dan isterinya Hamidah juga anak-anaknya seringkali membantu masalahku. Begitu juga dengan jiranku Imah, suaminya Hassan dan anak-anaknya menjadi tempatku meminta bantuan kala kesusahan. 

Jiranku yang di sisi kanan rumah adalah kak Idah dan suaminya Jusuh serta anak-anaknya. Kak Idah ini pantang melihat laman rumahku diserabuti rumput-rumput atau anak-anak pokok, beliau tidak senang duduk untuk membersihkannya. Aku boleh buat juga. Tapi tentu saja kerja-kerja yang dibuat OKU lambat siapnya. Dengan pertolongannya bertambah mudah kerja-kerja yang perluku buat.

Beliau ini juga gemar sekali menghantar apa saja penganan yang dibuatnya kepadaku. Bersusun pinggan makanannya yang tidak sempatku pulangkan di rumahku. Jikalau aku ditimpah musibah banjir, pokok-pokok tumbang atau apa saja beliaulah yang pertama akan muncul di muka pintu. Sebelum jiranku yang lain tiba.

Terima kasih banyak-banyak kak Idah kerana seringkali membantuku. Dan aku pasti jiranku yang sangat baik ini akan terus membantuku selagi aku hidup dan beliau masih bernafas.

Demikian kisah salah seorang daripada jiran-jiranku yang kesemuanya baik-baik. Baru-baru ini aku mengadakan kenduri akikah cucu bersekali dengan sambut menantu. Kesemua jiran-jiranku berdekatan datang  membantu menguruskan majlisku sehingga selesai segala-galanya.

 Mereka berlenggeng tangan bergotong royong menyiapkan semua keperluannya sedang aku cuma memerhati. Aku amat berterima kasih sungguh kepada semua jiran-jiranku yang
bersusah-payah membantu menyempurnakan majlisku itu.

HOBI SEORANG OKU
Kebiasaannya pada sebelah pagi selesai urusanku di atas rumah, aku membawa diri mengitari halaman rumahku yang agak luas bergantung dengan sebatang cangkul yang dijadikan tongkat.

Dengan tanganku yang kanan saja mampu berfungsi aku akan menanam apa saja benih pokok yangku ingini. Kalau aku terjatuh aku akan berusaha bangun semula meskipun dengan bersusah-payah. Dan matlamat yang hendakku capai akanku laksana jua.

Dengan kesungguhanku penuhlah laman rumahku dengan tebu hitam yang menjadi tambahan rezeki kepadaku kerana dibeli penjual air tebu iaitu jiran-jiranku. Jiranku itu Ita dan suaminya Zaki,Ida dan suaminya Mail  tidak menyusahkan aku untuk menebangnya. Semuanya mereka buat sendiri.

Belakang rumahku dipenuhi dengan tanaman serai dan lain-lain herba dapur. Kalau ada yang mahu membelinya secara banyak, pembeli itulah yang terpaksa mencabutnya. Tapi sekadar kegunaan jiran-jiranku berhampiranku berikan saja. Apalagi sekiranya mereka hendak berkenduri.

Sementara di serambi rumahku tergantung aneka jenis orkid yang sentiasa berbunga silih ganti meriakan hati, mengusir sepiku menikmati keindahannya. Dan di sekeliling pagar yang memisahkan rumahku dan rumah jiran-jiran kutanami pelbagai jenis puding dan bunga raya aneka jenis dan warnanya mengindahi suasananya.

Setelah usai kerja diluar rumah, masuk ke rumah merehatkan diri, baring-baring sambil menulis dan membaca. Menulis dan membaca memang sudah menjadi hobiku semenjak tahu tulis baca.

Pernah menghasilkan tulisan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia, Dewan Sastera, Majalah Peneroka tika akhir 70-an. Tapi kesukaan menulis ditinggalkan setelah berkahwin dan beranak kecil. Dan selama menjadi OKU banyaklah yang telah ditulis mengisi masa berlalu.

Dengan teknologi computer mudahlah aku menulis semua karyaku menggunakan computer pula. Belajar menggunakan computer dengan computer.  Dahulu aku pernah bekerja sebagai jurutaip, kerani,,guru tapi semua sementara dan tahu sikit-sikit  bahasa Inggeris jadi dapatlah aku mengoperasikannya     

Anakku yang sulung menyedari kesukaanku menulis dan menggalakkanku menyertai sayembara puisi DBP dan beliau sendiri yang menguruskannya. Ekoran itu aku diberi peluang menyertai kursus penulisan cerpen untuk pesara 2007 di hotel Dynasty KL.

Ramai penulis ternama tanah air yang menyertainya, termasuk Mokhtar Rahman, Kursiah Hanum. Baharudin Ismail, Noorlaila Ghafar dan ramai lagi di bawah bimbingan sifu penulisan Zaharah Nawawi.

Penulis/penyair Noorlaila Ghafar hingga kini adalah sahabat akrabku yang sering membantu susahpayahku terutama membimbingku dalam bidang penulisan.

Sejak adikku Pazeli Ishak menolong membuka akaun facebook dan blog dapatlah aku beriteraksi dengan ramai lagi penggiat sastera. Antaranya ustaz Ilhami Hisham penerbit BeTA. Bersama BeTA, empat buah antologi puisi bersama penulis/penyair lain berjaya diterbitkan. Terima kasih ustaz Ilhami Hisyam yang turut memberi ilmu penulisan danpeluang berkarya kepadaku.

Bersama SPTA di bawa bimbingan penerbitnya sifu Tabir Alam telah berjaya menerbitkan tiga antologi puisi bersama.  Terima kasih sifu Tabir Alam.
Bersama KARYAWAN PERAK  diberi peluang Dr. Zabidin menerbitkan 10 antologi puisi bandar bandar di Perak bersama ramai penyair/penulis terpilih.  Terima kasih Dr. Zabidin.


UJIAN HIDUP TIDAK PERNAH HABIS

Aku pernah nasihatkan sahabatku lela (Noorlaila Ghafar) yang menghantar msg mengatakan beliau terjatuh terpijak kulit tembikai di surau asrama sekolahnya agar berhati-hati tika melangkah jangan biarkan diri terjatuh selalu sebab di usia yang telah banyak ini tulang semakin reput dan mudah patah.

Sekali lela tak apa-apa aku pula yang ditimpa ujian-Nya. Itulah pandai-pandai sangat nak menasihat orang sihat sedang awak tu OKU saja dah terima padahnya.

Selepas solat subuh aku bermsg dulu dengan lela memberitahunya hendak ke dapur bersarapan sebelum memulakan rutinku mengemas rumah dan lain-lain maklum esoknya  dah nak raya haji.

Kata lela beliau belum bersarapan dan teringat pula hari ni hari Tasyrik dan sunat berpuasa. msg lela masuk selepas aku dah tersungkur tepi lemari dapur dengan dahi pecah berdarah dan kaki kiri terus tegang dan  sakit sangat. tak terbangun sendiri dah... macam selalu tu. Memang aku kerap jatuh tapi biasanya aku boleh berusaha bangun.

Anak yang sedang tidur lambat pula bangunnya walau dijerit berkali-kali dengan suaraku yang halus tidak mampu memberi riak apa-apa. jadi tersadailah aku di situ sebelum pertolongan tiba menahan kesakitan teramat.

Adikku dan anaknya Soni tiba setelah diberitahu dan Soni mengcempungku ke kereta Ayie anak jiran sebelah rumahku menghantarku ke hospital jengka. setelah di xray katanya dislocate. ambulan segera pula menghantarku ke hospital Temerloh.

X-ray lagi. Doktor di sini kata tulang kiri patah. dah tak boleh nak ditolong lagi, kena tunggu sembuh sendiri. Dan selama tiga hari aku beraya di sini bersama ramai doktor-doktor dan misi-misi yang melayaniku sangat ramah dan baik.

Setelah pulang ke rumah adik dan anak menantu membawa pula bertemu bomoh patah di Gelanggi. Kata bomoh sendiku terkeluar. Berderak bunyi sendi yang dimasukan ke tempat asalnya. Akupun mengadoi kesakitan...

Terima kasih banyak kepada adikku Saadiah, Ilah, Tan, anak saudaraku Soni, jiran-jiranku petugas hospital Jengka dan Temerloh  yang berusaha membantuku di saat kritikalku...juga Jee/Fauziah Samad adik iparku yang prihatin memberitahu kawan-kawan fb/blog tentang tahap kesihatanku. doa kalian semua bermakna sekali dan sangat-sangat dihargai

Akibat patah tulang pinggul dan kemudiannya tulang kaki aku sudah tidak boleh bergerak seperti duhulu lagi. Hobiku berkebun terpaksa kutinggal. Yang masih boleh hanyalah menulis. Dan nampaknya aku akan menjadi penulis selagi tanganku berdaya digerakan.