Wednesday, March 29, 2017

MAWAR DAN ULAR SAWA..

ASSALAMUALAIKUM...


                                               MELOR DAN ULAR SAWA

MELOR si gadis desa yang suka menyunting bunga melor di rambutnya tinggal bersama ibu dan adik tirinya yang sangat membencinya disebuah desa.. Kedua-dua ibu dan anak itu berusaha untuk menghapuskan Melor yang baik, cantik lagi rajin mengerjakan setiap yang diperintahkan kepadanya oleh ibu dan adik tirinya itu. Namun mereka tetap tidak berpuas hati dan tetap membenci Melor.
            Mereka terjumpa seekor ular sawa yang sedang tidur ketika berjalan-jalan di tepi hutan lalu mereka berusaha menangkapnya. Dan memasukkannya ke dalam guni. Guni berisi ular sawa itu dibawa pulang dan diletakan di bilik Melor.
            "Ini adalah suami kamu...malam ini dia akan tidur bersama kamu..." Kata ibu tiri Melor kepadanya. Adik tirinya Cempaka tersenyum saja. Sedang Melor amat kehairanan.
            “Nanti kamu bukalah guni ini. Sekarang ini suami kamu sedang tidur nyenyak.” Kata ibu tiri Melor lagi.
            Niat kedua beranak itu tentulah hendak menganiaya Melor. Mereka berharap setelah Melor membuka guni itu, ular sawa yang berada di dalamnya akan menjulur keluar membelit Melor lalu memakannya.
             'Bagaimana suamiku boleh tidur di dalam guni pula..' Melor bertanya hatinya
            Tatkala malam tiba Melor memberanikan diri mendekati guni dan membuka pengikatnya. Terkejut sungguh dia melihat sesuatu muncul daripada dalam guni itu. Seorang pemuda yang kacak berbusana indah,  siap bersampin bertanjak berdiri di hadapannya laksana seorang putera Raja.
            Ibu tiri dan adik tiri Melor tidak sabar hendak melihat Melor berada dalam perut ular sawa sambil mengintai apa yang berlaku. Tetapi tidak dapat melihat apa-apa. Kedua beranak itu menyangka tentulah Melor telah menjadi habuan ular sawa itu.
            Setelah pagi Melor dan anak Raja ular negeri entah berentah itu keluar daripada bilik. Kedua beranak yang sudah bersedia hendak menolak pintu itu pula yang kekagetan melihat Melor tidak mati ditelan ular sawa tapi kini bersama seorang pemuda kacak.
            "Sekarang beta hendak pulang ke negara beta kerana sumpahan ke atas beta telah berakhir. Sebab telah bertemu dengan gadis cantik yang harum seperti bunga Melor...gadis cantik ini akan menjadi permaisuri beta..."

            "Mak saya pun nak kahwin juga dengan anak Raja...," rengek Cempaka, menarik-narik tangan ibunya...
            "Nanti mak carikan lagi ular sawa yang lebih besar daripada semalam...kalau ularnya besar tentu Raja yang akan menjelma lebih kaya dan hebat." Ujar ibunya penuh keyakinan.
            Ibu tiri Melor pun berusaha meredah hutan dan paya mencari bakal suami anaknya seekor ular sawa besar. Ada pula rezekinya dapatlah seekor.
            "Nah suami kamu!" Ibu itu mengunci pintu bilik anaknya bersama ular sawa yang ditangkapnya  itu.
            "Mak suami saya telan kaki saya..," jerit anaknya.

            "Tak mengapa itu tandanya dia sayang..," sahut ibunya.
            "Mak suami saya telan saya sampai badan...," adu anaknya lagi.
            Setiap kali anaknya itu mengadu, ibunya hanya menjawabnya dengan “tak mengapa”. Sudahnya seluruh tubuh anaknya berada di dalam perut ular sawa yang kekenyangan menelan mangsa yang disuakan ke mulutnya.

Ps..
Inilah antara sebuah kisah dongeng lama yang diceritakan mak Penulis kepada kami anak-anaknya sewaktu menidurkan kami di dalam kelambu era pelita ayan dahulu

LEMBU EMAS

ASSALAMUALAIKUM...

Pada zaman nabi Musa as. Ada sebuah keluarga bani Israel yang saat taat dengan perintah Allah. Mereka berhubung baik dengan masyarakat sekitar walaupun mereka sangat miskin. Tapi tetap hidup bahgia.
Keluarga itu terdiri daripada seorang lelaki yang uzur bersama isterinya dan anak lelakinya yang masih kecil. Mereka tinggal di sebuah pondok.
Mereka membela seekor anak lembu yang cantik dan luar biasa. Sesiapa saja yang melihat akan tertarik kerana bulunya kuning keemasan.
Suatu hari lelaki tua itu berkata kepada isterinya bahawa dirasa ajalnya semakin dekat dan bimbangkan anak lembu peliharaannya tidak ada yang menjaganya dan akan hilang dicuri.
“Anak lembu itu bukan sebarang lembu dan pada firasatku ia akan terlibat dengan peristiwa yang sangat besar.”katanya kepada isterinya.lalu dia mengambil keputusan menyembunyikan anak lembu itu di dalam hutan.
Lelaki tu membawa anak lembunya dan meninggalkannya di dalam hutan dengan amat rasa sedih.
“Insya-Allah engkau akan selamat di sini. Allah akan menjaga engkau,” ujar lelaki soleh itu sambil mengusap kepala anak lembu itu. Lelaki itu mengangkat tangan berdoa agar Allah selamatkan anak lembu itu daripada sebarang bahaya dan menemukannya kelak dengan anak lelakinya.
Sebak sungguh hatinya hendak meninggalkan anak lembu kesayangannya di tempat yang asing itu. Namun anak lembut itu memahami perasaan tuannya sambil menggesel-geselkan kepalanya kepada tuannya yang mengusapnya lembut. Anak lembu itu melompat ke dalam hutan sambil bersuara “booh! booh!”
Tidak lama setelah itu lelaki soleh itu meninggal dunia. Tinggallah isterinya yang solehah mendidik anaknya seorang diri dan hidup dalam kemiskinan. Anaknya diberi pendidikan agama yang sempurna mengenai rukum ibadat, berakhlak mulia, mengasehi yang muda, menghormati yang tua, bersabar dengan ujian, tidak gelojoh dengan nikmat dan lain-lain sifat terpuji,
Anak muda itu membesar sebagai pemuda yang alim dan taat beribadah kepada Allah. Pemuda itu amat dikenali dikampungnya sebagai pemuda yang kasih lagi taat kepada ibunya dan amat menghormatinya.
Kerja pemuda ini ialah mencari kayu api dan menjualnya di pasar. Hasil penjualannya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu pertiga digunakan untuk perbelanjaan kehidupannya dan ibunya, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi disimpan.
Begitu juga dengan pembahgian masanya. Satu pertiga malam digunakan untuk beribadah kepada Allah, satu pertiga lagi untuk tidur sekadar berehat sekejap dan sepertiga malam lagi digunakan untuk berada di sisi ibunya yang uzur. Atau membantu ibunya berwuduk. Itulah yang dilakukan pemuda itu setiap hari.
Hidupnya walaupun tidak mewah namun amat bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang solehah, sangat bertanggung-jawab dan telah mendidiknya dengan sempurna.
Ibunya merasa dirinya telah tua dan sering sakit. Dia bercadang membuka rahsia tentang anak lembu berwarna emas yang ditinggalkan suaminya di hutan ketika anaknya masih kecil dan meminta anaknya itu mencarinya seperti pesanan almarhum suaminya.
Keesokannya pemuda itupun memulakan perjalanan ke hutan mencari anak lembu yang diminta ibunya itu. Kepenatannya menjelajah hutan membuatnya berhenti di tepi sungai kecil untuk mencuci tangan dan makan bekalan yang dibawanya.
Tiba-tiba muncul cahaya terang berkilau berhampiran tempat itu. Cahaya itu pula bergerak-gerak. Dia memerhati cahaya yang seakan lembaga bergerak itu dengan kehairanan.
Dan dia berteriak kegirangan, “Subhanallah! Cahaya itu daripada lembu yang berwarna emas dan aku yakin inilah lembu yang dimaksudkan ibuku. Alhamdulillh bersyukur aku dapat menemuinya.”
Lembu itu melarikan diri setelah dihampiri pemuda itu, begitulah yang sering dilakukannya setiap kali terserempak dengan manusia.
“Jangan lari. Akulah tuanmu. Dengan nama Allah Tuhan nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, datanglah kepadaku.” Lembu itu pun berhenti dan menghampiri pemuda itu. Dan menggesel-geselkan kepalanya pada lengan pemuda itu.
Pemuda itu memegang tanduk lembu itu untuk membawanya keluar daripada hutan itu. Dengan kekuasaan Allah tiba-tiba lembu itu bersuara, “Wahai tuanku, naiklah ke atas belakangku ini. Mudah-mudahan engkau dapat berehat di atasku.” Ia segera merendahkan tubuhnya untuk ditunggang pemuda itu.
Sangat terkejut pemuda itu mendengar lembu itu boleh berkata-kata lalu dia membalas, “Betulkah kau boleh bercakap?” kemudiannya dia berkata “Tidak boleh. Aku tidak boleh menunggang engkau kerana ibuku tidak menyurruh begitu.”
“Wahai tuanku yang sangat taat kepada ibumu, sekiranya engkau menunggangku nescaya engkau tidak dapat mengambilku sampai bila-bila,” kata lembu ajaib itu.
Lembu itu bersama tuan mudanya bersama meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Pemuda itu menjaga lembu berwarna emas itu dengan sangat baik dan amat menyayanginya.
Ibunya memintanya menjual lembu itu di pasar. Hatinya berbelah bahagi kerana sayangkan lembunya dan sifat taat dirinya kepada ibunya. Namun dia sedar keredaan ibu itu amat penting dia memilih untuk taat kepada ibunya.
Di pasar datang seorang lelaki tampan hendak membelinya. “Ibuku memintaku menjual dengan harga tiga dinar tapi dengan syarat ibuku menyetujui siapa pembelinya,”kata pemuda itu.
“Akan kubeli lembu ini dengan harga enam dinar. Tapi jangan diberitahu kepada ibumu.”
“Maaf tuan. Saya perlu minta persetujuan ibu terlebih dahulu bolehkah tuan dating lagi esok?” Tanya pemuda itu pula.
Ia segera pulang ke rumah membawa lembunya dan memberitahu tawaran lelaki itu kepada ibunya.
Ibunya itu bersetuju dengan tawaran harga itu. Keesokannya dia menemui lelaki yang ingin membeli lembunya dan menyatakan persetujuannya.
“Aku akan beli lembu ini dengan harga 12 dinar tapi usah beritahu ibumu.” Lelaki itu membuat tawaran baru.
“Maaf tuan. Saya terpaksa minta persetujuan ibu dulu. Saya akan beri jawapan kepada tuan keesokannya.”
Dia kehairanan sikap lelaki yang pelik itu kerana kebiasannya orang mahukan harga yang rendah. Tetapi lelaki sentiasa menaikan harganya. Hal itu diceritakan kepada ibunya. Ibunya mendengar dengan tenang.
“Wahai anakku, lelaki itu bukan manusia tapi adalah malaikat yang datang menguji ketaatanmu kepada ibu.” Pemuda itu terkejut mendengarnya.
“Kalau dia datang lagi tanyakan kepadanya samada dia bersetuju lembu itu dijual atau tidak.”
“Baik ibu.”
Pemuda itu sudah tidak sabar lagi untuk bertemu malaikat yang berupa lelaki tampan itu.
“Wahai anak muda yang taat kepada ibunya. Jangan kau jual lembu ini. Jagalah ia baik-baik. Nanti akan tiba suatu masa lembu ini akan dibeli kaum Nabi Musa  untuk menghidupkan seorang yang telah mati.”
Kata malaikat itu.
“Tapi jangan kau jual lembu ini melainkan dengan harga emas seluruh badannya,” sambung malaikat itu lagi.
Pemuda itu membawa lembunya pulang dan menjaganya dengan penuh kasih sayang.
Tibalah hari yang dikatakan malaikat itu seorang daripada kaum Nabi Mus telah mati dibunuh. Dan tiada siapa yang mengetahui pembunuhnya. Kaum keluarga dan kenalan saling tuduh-menuduh. Akhirnya perkara itu dibawa kepengetahuan Nabi Musa as untuk penyelesaiannya.
Mereka memaksa Nabi Musa as bertanya kepada Tuhan siapa pembunuh itu. Lalu turunlah wahyu meminta mereka menyembelih lembu berwarna emas.
Mereka tidak berpuas hati dan menyuruh Nabi Musa bertanya kepada Tuhan tentang jenis, warna dan keadaan lembu itu. Allah  swt pun menyatakan mmaksudnya.
Berusaha mereka mencari lembu yang sifatnya dinyatakan Allah itu hingga hampir berputus asa untuk menemuinya kerana sukar mencarinya.
Setelah lama dicari akhirnya ditemui juga. Pemuda yang miliki lmbu berwarna emas itu menjualnya dengan harga yang ditetapkan malaikat yang pernah mendatanginya. Walau harga itu tersangat mahal bagi mereka yang mahukannya tapi terpaksa dibeli juga untuk menyelesaikan permasalahan mereka. Nabi Musa as dan kaumnya berjaya mengetahui siapa pembunuh yang ingin diketahui selama ini.
Pemuda itu dan ibunya bertukar corak kehidupan mereka menjadi kaya. Mereka bersukur kepada Allah dengan rezeki yang diperolehi dan sering bersedekah serta berbuat amal kebajikan kepada fakir miskin.

ALAH SWT menceritakan kisah ini di dalam surah Al-Baqarah, ayat 67-71

Monday, March 20, 2017

AKULAH SEMELAI...

ASSALAMUALAIKUM...

SEBUAH BICARA ALAM 

AKULAH SEMELAI

Di rimba ini
akulah penghuni
Orang asal pribumi sejati
seawal pagi bersama murai
riuh berkicau di puncak pohon
diiring rerama meriah warna mengutip embun
reruak, puyuh, punai ayam-ayam
berlarian menyusup semak
aku laju menuju tebing Bera sungai Pahang mengalir tenang
Jernih air dingin membasah tubuh
ralit bermain anak anak sempilai, kelah, toman
 berenang-renang nyaman
tiada gangguan
Dari sisi pondok ibu melaung
cepat pulang berpakaian
ke sekolah kita
Oh! Aku sudah hampir terlupa
bersarapan dulu ubi rebus tanaman ayah ibu
pesan penting guru kuingat selalu
galas beg buku bonceng motor ayah
ke sekolah berkuliah
guru tersenyum menyambut hadirku
gigih menabur ilmu
didik anak bangsa
agar Berjaya demi masa
Kususuri setiap hari
Indah taman rimbaku
menghantar lelahku, bermain perah
mengutip merah saga
mengira ilmu metamatika
sesekali terlena di bawah rendang tembusu.

Rimba sekitarku ini,
Tempatku mencari dedaun herba
kembang semangkuk, tongkat ali
menyusuri banir jejawi
bersirat akarnya hingga ke tepian paya.
Bahan jualan ayahku
kepada pengguna
mengais sedikit rezeki
Aku anak rimba ini bersama
keruing, halban, tualang menjulang
tumpuan lebah dan kelulut
menghimpun manis madu nektar bunga bunga
Pesona flora aneka warna
melayut kemboja, kenanga, exora
harum tanjung, cempaka menyebar wangi
anggerik menumpang di dahan
meliuk-lambai dalam senyum
beralun membelai bayu.
Aku masih di sini
denai dan lorong rimba diredah
laluan fauna, unggas melayang
kembara kehidupan kami penghuninya
melestarikan budaya dan adat
setia bersama indahnya
alam semulajadi
Jangan ada sesiapa berani
mengusik warisan tanah rimba pertiwi
nenek moyang kami
biar kita sama menjaga 
kerana kita juga
ingin mengongsi rezeki milik-Nya hingga akhirnya. 

Paridah Ishak
Tasek Perdana KL

19/03/017