Saturday, May 6, 2017

SAJAK KEHIDUPAN...

ASSALAMUALAIKUM...


SEMANGAT TEGAR

Kulihat dia menatap lembar surat
tertera catatan Urusan Seri Paduka Baginda
di sudut sampulnya.
Rupanya warkah tawaran
ke menara gading di ibu negara.
Dibiarkan sahaja di sisinya setelah usai dibaca
dan merenung kejauhan memikirkan persoalan
bersimpang-perenang menggalau minda.
Bagaimanalah mahu merealisasikan mimpi
menggapai cita sejak lama
kerana ayah yang menyara keluarga telah pulang ke sisi-Nya
baru se purnama
Kini hanya ibu yang sering diganggu serangan asthma
dan adik-adik bertiga mengongsi hidup suka dukanya.
Kebun sawit tinggalan ayahanda jadi taruhan
 akan diusahakannya
Menampung belanja keluarga.
diulang selalu bagai rumah kedua
menuai buah tandan baru
Menyisih pelepah sebaris lorong
Agar kelak mereput baja asli
Bisis pengangkutan BTB dicuba usaha
Menggunakan lori tua pusaka ayahanda
Khidmat murni membawa berkat
Dengan semangat tegar
Kudrahnya belia muda dengan izin-Nya
Menjanjikan jaya kepada
Yang rajin berusaha.

Paridah Ishak
Selayang Utama
5/05/017
MUFLIS
Ampuni  hamba-Mu ya Rabbi
hadir di Mahsyar ini
tidak berbusana pahala.
Telah terlucut londeh
di kaki seorang dia
yang kucerca hina nista meleta
hingga serak suara dibawa media maya
serata buana.
Tidak jemu kucoret di ruang alam
tulisan tanpa metafora
kejian, cacian, celaan
tiada hujung kesudahan
ranah perbidalan.
Mekar bunga fitnah pesona
demi duniawi tercinta.
Hukum neraca-Mu terentang di layar
 meski  se halus zarah dosa
terhadap dia adalah hutang.
Hutang-piutang harus jelas
sedang kealpaan menguasai emosi
sebelum berangkat ke sini
jemari tidak menyusun frasa murni
tuntut kemaafan kepada dia.
Maka muflislah hamba-Mu ini.
Hutang dunia fana dibayar
kepadanya seluruhnya tanpa bersisa.
Busana pahala indah
tersarung ditubuhnya megah bergaya.
Hamba-Mu menggigit bibir yang berdarah.

Paridah Ishak
Selayang Utama
5/05/017
 GADIS DAN BUNGA SAWIT
Tika masih awal remaja
amat muda belia
aku sudah mula berkarya
menolong ayah bonda
mengumpul belanja musim tunggu
keputusan periksa tingkatan tiga.
Menyusuri lorong ladang sawit
turuni lembah randuk paya
mendaki bukit.
Bersama anak-anak gadis sealiran
dengan pam penyembur debunga jantan di tangan.
Jambak bunga sawit mekar ditemui
segera disembur agar tambah segar.
Pendebungaan bantuan dilakukan
mempercepatkan kemenjadian buah di tandan.
Kini klon sawit gen baharu
tidak perlu semua itu.
Pendebungaan sawit berlaku alami
semulajadi.
Era generasi lalu telah berlaku
setiap selepas subuh
sekumpulan gadis awal remaja
berlarian menaiki treler lori
untuk bekerja mengahwin bunga sawit
di ladang FELDA
Ah! Kenangan mengusik minda.

Paridah Ishak
5/05/017
Selayang Utama

RUMPUNAN NIPAH ANUGERAH ALAM
Seingat aku
rumpunan nipah itu lama tumbuh di situ
sejak moyangku memugar tanah
membuka kampung kecil
di tengah ruang dikelilingi bendang terbentang
saujana pandang.
Rumpunan nipah
 jadi gelanggang main sorok-sorok
aku dan kawan-kawan sepermainan
dedaunannya hijau melambai dibuai bayu laut
Adakalanya atokku menebang beberapa pohonnya
merintis daunnya
dan kerja menyemat atap pun bermula.
Atap nipah ramai yang beli
harganya sekupang murah sekali
buat mengatap dangau atau  
 rumah kecil di desa.
Menyemat atap susun daun teliti
dijalin dengan tali bemban
duduk bersila menemani atukku
menyusun daun nipah seeloknya.
Ada yang  menebang rumpun nipah muda
dijadikannya daun rokok
atokku mengizinkannya.
Paling kusuka adalah niranya
kala petang bertandang mengekori atokku
jelajah setiap rumpunan nipah
menyadap mayangnya dengan kerambit tajam.
lalu tuke buluh ditadah.
Menitislah nira se titis demi se titis
mengisi tuke buluh hampir separuh.
Keesokan awal pagi dingin
bersilat dengan nyamuk dan agas
nira dikutip.
Dapatlah kuminum seteguk dua
merasai manis nikmatnya.
Nira seperiuk besar sudah di api
mula gelegak beransur perang keemasan.
Aku mengacauya perlahan
sehingga ternyata likat sudah jadi manisan.
Demikian rutin pagiku seharian
membantu atokku memasak manisan nipah
ramai pula yang menempah
untuk memasak aneka juadah
mengganti gula.
Nira nipah juga dijadikan cuka
perisa masakan asli
ada juga khasiat perubatan tersendiri
sering dicari.
Rumpunan nipah itu masih di situ
augerah alam warisan moyangku
mengalirkan rezeki kepada anak cucu
yang masih meneruskan usaha tradisi.

Paridah Ishak
Selayang Utama
1//05/017

TAMAN SYURGA
Termangu berteleku terkaku
di batas rindu berurai air mata
justeru genggaman tangan yang terlerai satu persatu
merakam memori silih ganti.
Pamitan menggusarkan perasaan
tiada lagi ayahanda mengiring jerih rasa hidup
yang menggelombang ombak pasang surut
mengongsi derita usia
sambil berkarya mengais rezeki bertani
hingga akhir nafasnya.
Hilang sudah kelibat Pak Lang
kala senja menjelang dalam sujud subuh panjang
lelah membajak bendang.
Melangkah jauh meninggalkan jejak
budinya berserak.
Suara bonda Ateh telah sirna
sentuhannya lunak dengan senyum tawa
mengadun pegaga, serai, lengkuas, aneka pucuk kayu
ramuan nasi ulam
Ramadan lalu
sandaran dukaku seketika
gamit selera.
Mengimbau citra
deruan hujan mendingin nyaman pagi
khabar dibawa menyetuh hati
terkedu terkesima sendu berlagu sayu
Pak Njang adinda ayahandaku keempat
sudah berpindah tempat.
Hapus bicara alam sementara
seorang bapa saudara
kebaikannya gemerlapan bak mutiara.
Insan kamil mulia tidak lokek keprihatinan
adalah para petani gigih
cinta akan tanah-Nya.
Lalu penyesalanku berpanjangan
lantaran tiada dayaku membalas
segenap kebajikan yang bertabur sepanjang
denai kehidupanku
hingga pengakhiran.
Jasa budi kenangan abadi
hingga bersua lagi di sisi Dia
kelak yang pasti
di sebuah taman syurga.

Paridah Ishak
Selayang Utama
30/01/017

Ramadan bertandang mengundang bahagia
Berkah-Nya merahmati seluruh semesta buana 

KHABAR HUJAN
Awal pagi dingin Jumaat mulia
menderu-deru titis hujan dengan ritma
kadang lebat kadang sederhana
berulang tiada hentinya.
Petir kilat bersilat cahaya
kadang ada suara guruh
berdentum nyaring
mengejutkan damai.
Dalam kekalutan
terkesima menerima khabar
lewat udara maya
seorang Pak Njang sering di sisi
mengusung derita diri ini
ke mana saja
meninggalkanku selamanya
pulang kepada-Nya
mengukir sayu hiba
melorek duka
membekas sukma.
Kuiring untaian doa
berbahagia meraup cinta abadi
alam baqa di sisi-Nya.
Al-Fatihah

Paridah Ishak
Selayang Utama
28/04/017