Tuesday, December 19, 2017

MANTERA...

MANTERA
MEMANGGIL SEMANGAT PULANG

Bismilahirrohmanirrahim
Demi Allah demi Rasul
demi alam demi langit
demi angin demi tanah
demi nur persih munallah
demi air segala air
Selimuti jasad dengan semangat jati kersani
segera bangkit berdiri di tanah
awan gemawan putih di langit selendangkan diri
menyerlah citra gemilang aura bulan purnama
sinar kerlipan bintang kejora
semilir angin sepoi menyongsong  dingin
menguliti mengurat nadi
menyegarkan jiwa lemah.
kembali perkasa.
Air dari tujuh buah masjid
air dari tujuh puncak gunung
air dari tujuh sumur
air dari tujuh sungai
air dari tujuh mata air
tujuh titis embun pagi Jumaat
rasai kerongkong menelan
seluruh tubuh bersiram
bersatu harum pandan
bersatu harum tujuh bunga
diseru semangat pulang
menyerapi jiwa hamba sesungguhnya

Berkat lailaha illallah
Muhamadarrasulullah

PARIDAH ISHAK
Desa Melor

Selangor DE

Monday, December 18, 2017

biodata

BIODATA

PARIDAH ISHAK Lahir pada 24 Mei 1958 di kg Dulang Kecil, Yen, Kedah. Mula menulis sejak 1976. Puisinya yang pertama berjudul Perkahwinan terbit dalam majalah Dewan Sastera keluaran Mac 1980. Tumpuan penulisannya ialah genre puisi, cerpen,berita semasa. Selepas itu beliau menghilang setelah berkahwin dan fokus kepada rumahtangganya. Pada tahun 2016 beliau muncul semula melalui media sosial ‘facebook’. Karyanya ada yang tersiar dalam akhbar tempatan UTUSAN MALAYSIA, MINGGUAN MALAYSIA, SINAR HARIAN, NEW SABAH TIMES dan majalah DEWAN BUDAYA, DEWAN MASYARAKAT, PELITA BAHASA, MINGGUAN WANITA, PENEROKA, GEMA KARYAWAN Pk, RADIO KLASIK. Telah menghasilkan 37 buah antologi puisi/cerpen bersama; 1. BICARA LANGIT KEPADA AWAN. 2. HIJRAH MERDEKA. 3. RAJAQNA. 4. PUISI NIKAH KAHWIN. 5. BUNGA BANGSA. 6. TRIBUNAL CINTA. 7. PERTIWI KERSANI. 8. SUARA KEKASIH RINDU. 9. SUARA KEKASIH CINTA. 10. SKOIA. 11. KATIL 21. 12. SERIBU SONIAN.13. HAIKU PELANGI. 14. HAIKU SAYEMBARA. 15. SONETA ALEGORI. 16. BERBALAS PANTUN. 17. POLIGENRE. 18. CERINGKAS. 19. AGRARIA. 20.MEMORI AIDILFITRI. 21. CENGKERAMA. 22. ISTANA KASIH 4. 23.IPOH – BANDARAYA DI TEPI GUNUNG. 24. SLIM RIVER - . 25. SELAMA – PEKAN TEPI SEMPADAN. 26. TANJUNG MALIM – BANDAR MUALIM, 27. PARIT – PEKAN DI TENGAH PERAK. 28. BATU GAJAH – PEKAN BIJIH TIMAH. 29.KAMPAR – BANDAR DI SISI BANJARAN. 30. SUNGAI SIPUT – PEKAN DI SUDUT BUKIT. 31. BAGAN DATOH – BANDAR DI TEPI MUARA. 32.PARIT BUNTAR - ,  33. HAIBUN REGIS, 34. SAJAK AIDILFITRI. 35. GURU SUMBER ILHAM. 36. GERIK – BANDAR DI TEPI HUTAN. 37. HUJAN. 38. PANTUN BERKAIT. 39. SANTUN BERPANTUN. 40. TRAVELOG

Seorang OKU lumpuh separa yang mengisi masa menaip karya hanya dengan sebelah tangan yang kanan akibat terlibat kemalangan jalanraya pada 1987.


Thursday, December 14, 2017

JANJI PELANGI..

ANTOLOGI PUISI POLITIK PENA

 

Puisi sajak

Oleh

Paridah Ishak

 

Sajak 1

DWI PERANG

 

Perang sedang berlangsung teramat sengit

sebelah alam sini

Jasad terbujur hilang nyawa terdorong ke gaung

laju berlari menyorok diri dalam graha sunyi

berlindung serangan bertubi-tubi kanan kiri

Geletar bibir mengucap Allah! Allah! Allah!

lirih sendu bersatu mengharap karamah langit

menghujani rahmah afiat

daya upaya elak peluru musuh seni

Saki baki jasad tergeletak lemah dalam ruang

alam sebelah sini

Berdamailah takdir

pohon perang ini tumbangkan

musuh seni mohon tewaskan wahai Al Malik

Kasihani nyawa mendenyut nadi wahai Al Muhamin

dan izinkan jantung masih berdegup

menghirup udara kasih-Mu

semesta buana

leburkan jua wira serakah yang bergelut merebut ghanimah kuasa

tiada sudahnya menjengkelkan jelata tindak tanduknya

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

1/07/021

 

Sajak 2

KEBAL

 

Siaga kemungkinan apapun bisa terjadi

Sebab wujud diri tidak lutvirus meski lut haba

Tapi kalis rasa kalis masalah, kalis peluru adil

Kalis segala ranjau reba duri tajam menusuk hayat

Namun tidak kalis panahan virus corona

Amukannya menafikan kekebalan hamba

Tidak peduli sama ada kau politikus

Ada kuasa atau tercari-cari kuasa

 

Sajak 3

LABA LOMBONG

 

Ayuh ke sini!

Lombong pusaka  terbiar pinggiran jantung tanjung

prakarsa keras cari gali

Dalam perutnya ada timah, emas, perak, berlian

penuhkan kantungmu dengan laba

Andai hanya memandang

lelah kecundang

Bersaing mendulang mengayak kerikil

menyisih pasir halus pilih mutiara

mengusir ngeri virus halimunan

Demi laba

Peduli apa!

Tawakal Allahu

tapi kau perlu kuasa besar

mengerah segala akar umbi

menegak pucuk kemuncak

demi menguasai

via peti undi

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

29/11/021

 


TERATAI ABADI
SEUNTAI KENANGAN

Puteri cantik ayu
menyapa lewat jendela maya nan terbuka
menghulur senyum sopan bibir merkah bicara bersahaja
ketara jelas maksud tanpa diselindung kalbu
ceria tingkahlaku.
Dalam riang mencoret tulisan
meriwayat pandang terlukis
difokus kejora mata
tanpa rahsia
terkesima membacanya agum.
Alhamdulillah mengenalimu
sedetik cuma jua
seberkas rasa terhimpun
meski singkat justeru Kekasih tercinta
tidak mahu kau terlewat ke sana menemui-Nya
gugur air mata mengiring doa perpisahan
di sisi-Nya di taman syurga berbahagialah.
Langkahmu mendahului bening pagi 10 Disember 017
pasti disusuli bila bila.
Di kolam terataimu kelopaknya tidak layu.

PARIDAH ISHAK
DESA MELOR SERENDAH
SELANGOR DE


ORANG ITU

Orang itu pencetus kalut
menganyam selirat kusut
laluan yang dituruti
mereba onak ranjau pilihannya.

Orang itu
nawaitu misinya terpencil
terlindung nubari
sukar difahami meski ketara.

Orang itu
wajahnya kelabu haru
cemar dengan noda dipalit
suci bersihnya dicela.

Orang itu
masih setia di situ
juang tanpa peduli
meski lontaran suara dipersisi

Orang itu
hamba Allah
Yang membawa wataknya
anugerah Pencipta
siapakah orang itu?
Kini semakin tidak dikenali.


PARIDAH ISHAK
DESA MELOR SERENDAH
SELANGOR DE


MENUNGGANG HASRAT



Memacunya sepenuh kudrat
mimpi mempelangi nyata
berkejaran dengan waktu yang cemburu sememangnya
sekarung cita berciciran sepanjang perjalanan
berpatah pulang mengutipnya tidak terbawa pula
masa terlewat menyesatkan arah

Hasrat yang ditunggang kelelahan
akhirnya bersandar hingga terlena jendera
mengundang mimpi dinihari.
Iltizam menyongsong mengetawakan
tergoda pacaroba keliling kelalang
kalah menunggang hasrat
destinasiinya kelam.

PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM

CITRA TAKWIM

Detik arloji menjarak angka mengusung ceritera
yang lewat di jendela takwim terbingkai
lensanya jelas merakam ragam
Meninta coretan panjang kadang berulang
justeru sejarah menggamit ingatan
pada kebenaran sebuah kesilapan
agar bermuhasabah
Era hanya melakar sejarah yang dicipta
seiring lalunya dengannya apa yang dibawa
kesimpulan mesti
ke hulu ke hilir jangan tega menongkah arus
kelak lelah sungguh menguaknya
mencari tanda mula sebenar
namun jangan sirna putus asa

kebarangkalian apapun
hak-Nya sukar terduga.

cahaya kadang samar di hujung terowong
kadang sirna tidak berpenghujung
dan harapan tidak salah
takwim rencana terus digantung
digugah resah membelasah
tersasar kalah pasrah.


Paridah Ishak
Selayang Utama

Selangor DE
02/08/017


SENTUHAN IRONI

Sering berkata tidak pada lagha lagi batil
kadang alpa menyisih haluannya
menyasar jauh.

Bertaklik ironi ke perdu iradat
carta di kertas sekadar geraf melonjak
memadam deraf sebenar
rencana gendala
mendatar sifar.


Berkata tidak pada penderaan jiwa
menjanjikan kemurnian membekas selama
ketara cuma aura rias rona
kebenaran menafikan kemenjadian
lengkong janji mempelangi
catur dusta.
mengatur petak membuka langkah
lompatan pradigma.

Bukan kesedaran naïf
bahkan melontar jauh prasangka pesimis
janggalnya tafsiran.

Mungkin permainan rasa
yang bolak balek sentiasa
menuruti aliran detak arloji
yang menguasai situasi
kelemahan jatidiri
bagaimana mahu dinafi.

Memberi maaf santun nilai budi.


PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE




Sajak

AGRARIA SIMFONI DESA

Haruman tanah pusaka
membugar dedaunan
ungu jingga hijau rona mempelangi    
disantuni petani warga desa
usaha bukan hiliran
kemestian mengakrab kehidupan
budidaya alam

Haruman flora
kuntuman menguntai kelopak bercorak
kemboja melur tanjung kenanga anggerik
merias ruang indah serata
gemalai ayunan bayu membelai
gugur di perdunya
layu bermakna.

Mengintai kelisa patin lampam di tasik
sebarau kelah tilan udang galah menghilir sungai
sepat haruan keli puyu di bendang terhampar
berenang nyaman penuh gaya

Euphoria dialun ritma
simfoni mengorak senyum bahagia
alam semula jadi
menyatu diri kekerdilan hamba-Nya
syukuri nikmat
tidak pernah didusta.

Mersik membisik khabar
inilah pilihan
era tori melampaui kini.


PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM


ISU


BAHASA IBUNDA

Bahasa kelahiran warisan diri azali
lunak menuturnya perantara mesra
budaya asli sukar terhakis menjati diri

Bahasa ibunda milik peribadi
tersanjung tinggi abadi di jiwa
kebanggaan bangsa.

Bahasa ibunda tanah air termaktub perlembagaan
Bahasa Kebangsaan Melayu campuran
mengolah variasi sesuka hati
tolak ansur penyatuan
berkongsi pertiwi keramat nan satu.

Namun nyeri dan ngilu
kala layar TV
menggamat bahasa ibunda menutur frasa
bukan persetujuan hakiki.
Patutkah dibenar menyebarluaskan
tanda  kompromi
dengan alasan tidak fasih.
Kebebasan hak warga
mengatasi teguran sinis.

PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM

BAYANGAN MURAM

Terawang sepintas lalu
namun sentuhannya terasa
ngilu...kelukaan.

Lunturkan bayangan muram
hapuskan...hembuskan
sekuat hati
agar menjauh.

Dan penderaan yg mengulit
kebas...kebal.

Dapatkah menukarnya sesuka rasa?

Imbasan-imbasan itu
kembali bergentayangan
seolah frem lukisan kehidupan
yang retak seribu.

Bersama masa bakal ia berderai
masakan bercantum semula.


Paridah Ishak
Selayang Utama


SERAYA MENGERDIP MATA

Demi detik selaju air mengalir tiada putus
perhentiannya entah di mana
termangu menung tembus renungan galangan alang
menyambar persetujuan hati biru
mengusir haru mencelaru
mencari titik hidup yang hilang.

Semesta seluas mayapada
namun sempit menghimpit
menjerit perit sakit.

Episod hari nan berulang keesokan berterusan
dilayar bahtera di samudera rasa
tiada penghujungnya
justeru sepasang kejora bening
mengerdip lesu mengintai cerita waktu.

Selagi nadi berdenyut ada zat
menguji kesabaran tahap mampu
zat yang Esa mencabar ego
mengajar syukur berlaksa.

PARIDAH ISHAK
DESA MELOR SERENDAH
SELANGOR DE





MELUCUT  EGO

Berbatas budi di sana sini
menyubur pucuk menghijau bermain bayu berlalu
meliuk tari anggun membuai rasa.
Gugurlah amarah meski hanya kenangan ranum
Menyimpul senyum damai berkuntum.

Batas itu masih di situ
melangut lenguh melihat bergayutan buahannya
bakal menggugurkan rezeki-Nya.

Meski seketul batu dibaling mengenainya
dibayar lontaran kesakitan dengan kebaikan.
Subhanallah!
Terlucut ego demi-Nya
Hadiah dari berbatas budi kepada persona
meski penerima musuh semua.

Dikasehani dengan izin-Nya
Mengenali erti ujian Ilahi.
Memujuk jiwa agar murni
dengan tawadduk doa tulus

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE





KURUNGAN ALOGIA

Medan mindanya tiada batas
tafsiran hilang penentuan
ilusi berwajah mimpi berlembangan warna
larut dalam delusi hampa mengelirukan

Malam sunyi berlagu sendu
mengusir rusuh menggeruh
namun atmanya menggelora
rungus amarah membara
pecah frasa hilang makna

Air mata bening menitis
dalam lena tertawa
kenapakah? Entah!

Igauan ngeri sukar dihindari
seakan suratan seorang diri
kekalutan kekusutan merusuhkan.
Lemas terkurung dibelenggu
dalam kisi-kisi alogia.

Gapai tepian tidak kesampaian
melontar durja sejauhnya tiada daya

kerna telah mendarah daging
sebagai pengiring

Mungkinkah ritma gelisah itu
akan terus bersenandung
persis lembayung bertabir mendung

merenung impian sayup
hatinya meraung.


PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR  DE


KAYU KAYU PANCANG ITU

Kutemui sebatang kayu pancang
menyenget mereput
miring mengereng
bakal tumbang.
Laluku cacakkan semula
pada posisi jitu teguh ampuh
Tegaklah ia bermain pawana berganti semi
lurus di tanah
kemas kendiri.
Kutemui lagi sebatang kayu pancang
kondisi menyedihkan
berhalangan merintang arus masa
gelimpang rebah menyembam tanah,
Kutegakkan semula satu persatu
kayu pancang itu
berderetan memagari lamanku.
Eksploitasi situasi kepenggunaan
kitar semula,
Lestari kehidupan
kurancang terkehadapan.

Paridah Ishak
Selayang Utama
2 July 017



PIPIT DAN ENGGANG

Pipit yang tuli kerdil beruban
merempa rumpun meluyut menjulai
Padi kuning keemasan limpahan rezeki alam
penuhi kantung usus kecil.
Terbang berkawan ke lembah berhutan dara
di kaki bukit redup berlindung hidup.
Enggang di hujung dahan pohon tinggi
paruh menggonggong mangsa
jeling sipi pipit uban pipit tuli
Yang puas menelan beberapa butir padi
Pipit dan ennggang
lama bereggang
garnivore  dan karnivore
sepsis beza ujud.
Enggang berparuh kukuh melayang angkuh
Sambar rezeki besar pantang melintas
Mengepak sayap lebar
kuasai kelemahan tidak setara
Pipit nan tuli beruban lagi
meleta santuni rimbunan samun
terbang merendah mengutip sebutir dua padi
di bumi Ilahi
serasi bersyukur.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE

MENJUMLAH MAHU

27 Oktober 017
Dengan kusyuk tawaduk
memanda PM Malaysia
menaksir Belanjawan Negara lewat sore hening.
Selonggok demi selonggok ringgit berjuta
disisih satu persatu
Merancang rencana bijaksana
cermat teliti mencongak kira
liputi segenap warga
mengambil endah perlu sebenar
daripada janin dikandungan hingga lanjut usia.
Terkedu menanggapi ketulusan perancang belanjawan
meski ekonomi ketara suram temaram
kesangsian dinafikan.
Helaian kertas meninta angka-angka
tidak sedikit jumlahnya.
Alhamdulillah!
Negara tercinta masih kaya raya
usirlah ragu menjauhi wasangka
justeru janji yang tertulis rapi
tidak dimungkiri
semata benar.
Insyaa-Allah.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE


PENA BERMATA TAJAM

Galaknya menari di lembaran kertas putih terbuka
Kadang mencoret luahan rasa yang berladung di sukma
Kadang melukis sketsa wajah secantik kenangan.
Pena bermata tajam itu
Pemiliknya di tulah sakit jiwa raga
Segala keboborokan menyilau pandang
biar terhapus dengan dakwat hitam penanya.
justifikasi terlalu lewa menghiliri waktu
membuatnya tertunggu termangu-mangu
dan tidak sabar menjadi penunggu.
Pena bermata tajam terus lincah rentak tarinya
Mencoret sambil melukis wajah serabut
kusut masai berjerabai
dan menggelapkan latar suasananya
Tenggelamlah subjek yang merumiti
Keangkuhan peribadi menyerlah diri
Apa mahu sebenarnya
sukar ditelah.
Pena bermata tajam itu
Leka melakar dan mengguris garis melukakan
tiada henti.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE

POLEMIK HAK

Hak apakah itu?
Hak diri meraih bahagia di tanah pusaka
hak diri berselesa sentosa pewaris watan
hak diri mencipta gemilang jaya di negara tercinta
hak diri melaksana impian kebersamaan warga
hak diri menyisir kemelut bergelut mahu
hak diri hindari ribut gejolak gejala ranah
hak damai suasana
hak walafiat sejahtera.
Mampukah diperjuangkan hak diri itu?
sedangkan hak diri semakin dinafi.
Usah terlalu pentingkan diri
demi keutamaan ditentukan
harmoni situasi begitu begini.
Terabailah hak wajar sebenar
Polemik kusut kejap tersimpul
boholnya sukar dirungkai
Toleransi membiarkan hak diri
terhakis perlahan.
Senyum tawar di bibir
merias wajah berbongkol rasa
ralat kejengkelan
dilema.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE.

BUAIAN

Di atas buaian dinihari
sebelum fajar tasdiq
dirona lembayung siang
ralit berbuai mengayun rasa
mengalun diksi puitis maha seni
ayat cinta Ilahi.
Himpunan lagu syahdu membiru.
mengulit sendu hingga tersedu-sedu
sebak meranum merunyam kalbu.
Diatas buaian dinihari
masih ralit berayun
meraup susun doa
mohon ampun dosa
reda yang Esa.
Alhamdulillah masih di atas buaian
berayunan membuai perasaan
jantung bergetaran
nadi masih berdenyut.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE

SADISME

Mengoyak luka
merobek hiba
menghancurlumat seluruh rasa
lampaui jangkau selaru haru
bersimpang perenang
melorong simpang logik benar.
kezaliman fenomena geruh situasi gerun.
War-war ngeri
seolah isu semula jadi
tidak wajar dipeduli
mengurai sangsi kejadian.
Namun sadisme cerita duka
gemar diperkata di bilik berita
mengulang-ngulangnya
bagai kelam gerhana purnama
merunyam rencam rencah hidup
bergejala era semasa
bukan luar biasa.
Apakah maksud hendak diberi?
Sulit membongkar nawaitu.
Tertanyalah kita wajarkah?
ledakan heboh ceritera tarbiah jiwa muda.

PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM

UNTAI BICARA METAFORA

 Menang sorak kampung tergadai
renung minda fikir bernas.
Kokok berderai-derai sedang ekor gelumang tahi;
Di mana wajarnya?
Buka mata pasang telinga,
tutup mulut simpan di hati.
Demikianlah sudahnya.
burung yang liar jangan dilepas,
khabar yang mustahil jangan didengarkan.
Membisu terkedu menggumam rasa.
Janganlah kala
mengail berumpan kata bertipuan,
barulah mendapat apa dihajat.
Hasrat menghalal cara.

Peribahasa menyusun kata pasti
setinggi-tinggi orang melanting,
jatuhnya tetap ke bawah juga
 Sambang penuh jala terletak,
laut kering ikan menghempas
nyata tersurat maksud tersirat
berkias makrifat  sinis lunak.

Perbidalan berperibahasa
Perumpamaan menyusun pepatah
falsafah merungkai seni makna.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE

BUKAN DUSTA
Kandungan ditatang  teranggur gugur
di muka jendela dunia
tidak terbuka kelopak mata
terkedu diharu sayu.
Dalam sujud dalam tidur
tanpa sedar jatuh tersungkur.
Tika duduk lesu tertunduk
kala berdiri bersendiri
lemah sendi.
Dalam tawa riang ria
hilang suara.
Dalam sedih sakit menjerit perit
digamit.
Dimana saja terpana
awan fana langit tinggi
luruh ke bumi di lembah sunyi
Di gunung ganang
terjunam ke jurang.
Di tengah lautan
tenggelam karam.

 Di mana saja yang pasti
takdir-Nya adalah janji
tidak mungkin dimungkiri
Perkahwinan yang abadi
mengakhiri segala
mencipta bahagia.

Paridah Ishak.

Selayang Utama.
2 Okt 015.


MENGUKIR ARCA MERDEKA

Merdeka tanah air tercinta
merdeka maruah berharga.
Merdeka alam fana tiada sengketa
merdeka dalam sentosa damai.
Merdeka diri pesona ampuh
merdeka rohani jiwa murni
Merdeka hamba abdi Ilahi
merdeka lidah menghambat iri.
Merdeka hijrah jahiliah
merdeka cara bijak laksana.
Merdeka santun prihatin manusiawi
merdeka serakah saling berkongsi.
Merdeka dijulang bebas penguasaan
merdeka marhaen melontar miskin.
Merdeka daif tidak meleta
merdeka menaraf darjat.
Merdeka durja hati berdosa
merdeka hamba pulang pada-Nya
Merdekalah kita sebenarnya
merdeka di sisi-Nya.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE


WANITA BIARA ISTANA EMAS
SYWENANDAW KYUENG

Berselendang ayu santun sopan
merafak sembah Pencipta di biara
Memperjuang damai sentosa
tanpa cencangan kezaliman membinasakan
demi hak manusiawi berpertiwi
srikandi suci demokrasi Myamar

Lalu dijulang melangit tinggi
Hadiah nobel keamanan 1991
dikalung ke leher jenjang putih
seorang Aung San Suu Kyi

Sketsa ironi Rakhine
Melumur wajah ayu wanita tegar itu
dengan hanyir darah Rohingya
Serakah nafsu buas penguasa menggejolak  
Letusan api membara memusnah segala
tidak mengira sisi Rakhine juga Myanmar
justeru wanita penguasa tertinggi
tega menyaksikan pembunuhan Rohingya
tiada akhirnya.

Nyatanya Muslim dimusuhi
Diusir disapu bersih keujudannya
membawa nasib diri bergelandangan
mengemis keprihatinan dunia
Muslimin meraup doa tawadduk
mohon ihsan Ilahi
mengajar keadilan.

moga terlepaslah kalung hadiah Nobel Keamanan 1991
melorot jatuh di kaki wanita Aung San Suu Kyi
penamat derita Rohingya
sekian lama. 

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE



SONETA MELAYAN RASA

Lemah melangkah bergaya santun
hati gelisah melibang-libu
meraup angin menadah embun
menyapu wajah mengusir debu

Tidak terdaya karya dilakar
membawa diri reda berpasrah
kaki lemah tersadung akar
jatuh tersungkur menyembam tanah

Dirundung pilu terbawa-bawa
kepada dia hati merindu
sirnalah senyum menggersang tawa
sedih dan pilu bawa beradu

Semakin lama semakin dalam
rindu ini gugah perasaan
menggantung harap moga bertemu

Pada yang jauh berkirim salam
di dalam mimpi anyam impian
peluk kenangan mengurai rindu

Paridah Ishak
Selayang Utama
16/06/017


HIJAU SAUJANA

Seluas mata memandang
menjengah lembah sawah berpermatang
susuri rimba dara di kaki banjaran
hening sepi bersatu kemenjadian alam
tiada berpenghujung.
Mendamai gejolak membara merah nyala api
membakar rasa cerlang amarah.
Kini sirna seraya dibuai alun bayu syahdu
mengipas kesabaran merendam dingin kehangatan
lalu mengurut dada
beristighfar mengenang budi Ilahi
Subhanallah Maha indah.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA SELANGOR

ANYAMAN IRADAT

Dan malam  berlarut sepi
dinihari menanti fajar menyinsing
berdetak sekata mengansur waktu
beralih kasur lusuh
ranjang merenggang lena
tahajjud menggamit sujud.
Mengadu kekuranganya
menghampar resah di bidang tikar usang.
Kelarainya anyaman ceritera
tersulam silang menyilang
 ranai hiba bertemali
tiada noktah.
Lagangan takdir sukar dirombak.
reda dahi bersujud
meraup doa
menanti jelma ajaib
bahagia sisa akhir usia.

PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM


SEJERNIH AIR

Kuangkat wuduk dengan kejernihan air mengalir
bukan mushammas bukan musataqmal bukan mutanajis
hanya air yang mutlak lagi putih lagi suci menyucikan
Bersumber air yang turun dari langit
air telaga air sungai air mata air

Sepasang tangan membasuh wajah
Moga wajahku tidak hitam di Mahsyar
berkumur-kumur meluah reja bersisa

Jemari  membawa ke siku air berlalu
moga kitab amalanku di tangan kanan

Ubun-ubun jemala minda disapa dinginnya
Moga terhindar terik membahang mentari hari pembalasan
deria dengar kiri kanan disentuh juga
moga diampuni-Nya salah silap dengarku
diakhiri kaki dan telapak dicuci pasti

moga dipermudahkan-Nya ke masjid; meniti titian sirat
Setiap laku dengan ulangan tiga
Seraya meraup doa
basmalah bersyahadah
Melangkah ke sejadah
hanyut dalam laut ibadah
kusyuk berpaut
meraih tepian
destinasi harapan

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
301/2017

JANJI PELANGI

Renyai gerimis merelai
mutiara jernih langit
meleta merata persada
menggusar labuhan sukma
rona biru cita
sirnalah cerah cuaca dipinta.
Mendung mengurudung alam
melakar sketsa tanda tanya
apakah seterusnya?
Marhaen menadah harap doa mustajab
Cinta-Nya mengukir wajah pelangi
Melapisi alam seluruh
Tanpa gemuruh guruh
merejam senja damai
dengan kekalutan membahang sepi

PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM

SEUNTAI PERCAYA

Laksana
kalungan malar melur harum
membugar dititis jernih gemerlap embun pagi
terselit ayu dibawah labuhan kerudung.
Menguntai kepercayaan memudar ragu
walau hanya sekelumit rasa.
Menyerlah cinta obsesi melampaui.
Kewajaran hanya polemik berpanjangan
Menyimpul bohol kerumitan
sukar dirungkai.
selama masa membiarkan.
Justeru menggugurkan untaian kepercayaan sebenar
fatamorgana ilusi
menjati atma selama.

PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM