Monday, April 15, 2024

SEPUPU AMIRA

 

MANUSKRIP CERITA KANAK-KANAK BERGAMBAR

JUDUL: SEPUPU AMIRA 

OLEH

PARIDAH ISHAK

 

AMIRA DAN IKAN KELI

 

      Tidak lama lagi cuti sekolah semester ketiga akan bermula pada minggu hadapan. Murid-murid sekolah yang terlibat sudah tidak sabar lagi menunggu tarikhnya. Termasuklah juga Amira, murid tahun 5 Sekolah Kebangsaan Hang Tuah. Sekolah itu  terletak berhampiran bandar raya Melaka Bandar Bersejarah.

      Mama dan ayah Amira seperti selalu akan membawa anak mereka itu  pulang bercuti ke kampung datuk Amira di Selangor. Rancangan percutian mama dan ayah Amira tidak pernah berubah. Setiap kali bermula cuti sekolah yang agak panjang mereka akan balik ke kampung datuk Amira sahaja. Amira menyedari itu.

      Amira teringin sekali merasai keseronokan bercuti di tempat lain pula. Misalnya ke luar negara pula seperti  yang dialami ramai rakan sekelasnya. Mendengarkan mereka bercerita pengalaman masing-masing membuat Amira terlopong. Dia sangat merasa teruja.

      “Umi, cuti sekolah ni Umi tak mahukah bawa saya bercuti ke Hong Kong ke, Beijing ke, Tokyo ke? Macam Swee Lin dan Seetha bersama keluarganya. Asal bercuti saja mereka mesti ke luar negara. Seronok juga dapat naik kapal terbang selalu. Ini asyik balik kampung naik kereta lama Ayah saja.” Amira meluahkan hasrat hatinya yang terpendam selama ini.

      Umi  dan ayah Amira berbalas pandang. Mereka  berdua tertawa sedikit. Amira kehairanan.

      “Bukan main tinggi angan-angan anak ayah dan, umi ni. Hendak bercuti ke luar negara macam Swee Lin dan Seetha. Keluarga kita mana ada kemampuan macam keluarga mereka. Papa dan mama mereka  amat besar pendapatannya. Sebab berjawatan tinggi dalam firma swasta. Mama  dan papa Swee Lin kerjanya doktor. Mama  dan papa Seetha pula kedua-duanya peguam. Umi   dan ayah kamu cuma pegawai kerajaan berpangkat rendah saja. Jadi kita tak boleh “berak besar kalau gajah berak besar”. “Kalau nak ukur baju kena di badan sendiri. Bukan ikut ukuran orang lain.” Ayah Amira memberi  penjelasannya.

      “Amira fahamkah maksud peribahasa dan perumpamaan  Ayah sebut itu? Sudah belajarkah di sekolah?” Amira mengangguk lemah.

      “Kalau anak Ayah dan Umi nak   ke luar negara bercuti, naik kapal terbang selalu, belajarlah rajin-rajin bagi pandai. Nanti dapat kerja yang baik, gajinya pula tinggi bolehlah bawa Umi dan Ayah bercuti ke luar negara.” Ucap Puan Aisyah, sambil memeluk anaknya itu dengan erat. Amira terasa  Umi dan ayahnya amat menyayanginya. Dia membalas pelukan Umi.

      “Jangan sedih kalau kita bercuti cuma balik kampung saja. Sebab kita masih ada kampung asal kita. .Setengah orang sudah tiada kampungnya. Dan dah tak dapat nak balik kampung lagi. Kita masih ada Atuk dan Nenek yang tunggu kita balik kampung bila musim cuti sekolah. Lagipun masa cuti saja kita berpeluang jengok Atuk dan Nenek di kampung. Atuk dan Nenek pun tentu sangat rindu nak jumpa Amira, cucu kesayangan mereka ni.” Puan Aisyah bertutur lunak cuba menenangkan kegundahan hati anaknya. Encik Aman tersenyum memandang gelagat isteri dan anaknya.

      Swee Lin dan Seetha bersembang dengan Amira ketika waktu rehat di kantin sekolah. Mereka berdua belajar dalam tahun empat di sekolah yang sama.

      “Kamu nak bercuti ke mana pula kali ni Seetha? Mesti nak bercuti ke luar negara lagi. Cuti semester lepas kamu ke Korea. Kali ni nak ke mana pula?”

      “Tak tahulah Amira. Mama dan papa aku belum beritahu apa-apa lagi. Mungkin ke London. Sekarang ni musim bunga di sana. Bunga-bunga pelbagai jenis sedang berkembang cantik.” Ujar Seetha.

      “Seronoklah kamu dapat bercuti di London.” Kata Amira.

“Memang banyak tempat menarik di sana berbanding di negara kita.” Sahut Seetha.

      “Untung hidup kamu Seetha. Keluarga kamu kaya. Kamu selalu dapat bersama papa dan mama kamu bercuti ke luar negara. Tentu seronok sangat berjalan melawat negara orang. Selalu dapat naik kapal terbang untuk ke sana. Tempat orang mesti sangat cantik dan berbeza dengan tempat kita.” Ujar Amira keterujaan. Seetha  tersenyum sahaja mendengarkan kata-kata Amira. Dia mungkin terasa bangga  dengan keberuntungan nasibnya.

      “Jom ikut Papa dan Mama aku ke London!” Amira tersengih mendengar pelawaan sepupunya itu. Seetha anak saudara ayahnya. Alvin adik ayahnya telah berkahwin dengan Devi berketurunan India dan lahirlah sepupunya. Mereka berkawan baik walau berbeza usia.

“Terima kasih Seetha. Tak mengapalah. Tapi jangan lupa beli oleh-oleh untuk aku ya!” Amira tertawa bercanda. Seetha tersenyum, mengangguk.

Dia menoleh memandang Swee Lin bersebelahannya.

      “Kamu hendak bercuti ke mana pula Swee Lin? Cuti sekolah semester lepas kamu bersama mama dan papa kamu ke Paris.” Amira menunggu penjelasan Swee Lin pula.

      “Aku dan keluarga aku tidak dapat bercuti ke luar negara pada cuti semester kali ini. Papa dan mama aku ada tugasan penting  mereka perlu selesaikan. Jadi tak dapatlah aku ke mana-mana. Melainkan berada di rumah menunggu papa dan mama aku pulang dari tempat mereka bekerja.” Swee Lin bersuara perlahan. Riak wajahnya kelihatan muram.

      “Iakah? Aku baru nak pesan kau bawa oleh-oleh untuk aku! ” Amira sekadar berjenaka, menghiburkan hati sahabatnya itu. Swee Lin tersenyum tawar.

      “Kau pula bercuti ke mana?” Tanya Swee Lin pada Amira.

      “Biasalah, macam selalu juga. Balik kampung Atuk aku di Sabak Bernam, Selangor sana.”

      “Sabak Bernam daerah yang luas dengan sawah padi. Mesti banyak padi di tanam di sana. Padi “pokok nasi” kan?” kata Swee Lin sambil bertanya kepastiannya.

      “Betullah tu!” balas Seetha mencelah perbualan.

      “Padinya seluas mata memandang di sawahnya. Ya buah padi yang jadi beras dan nasi yang kita makan tiap hari tu.” Amira menjelaskannya.

      “Iakah? Aku tak pernah lagi tengok pokok padi secara dekat. makan nasi aku tahu.” Sahut Swee Lin.

      “Kau tidak ada kampungkah? Kampung yang ada pokok padi. Tak pernah aku dengar kau bercerita pasal kampung kau.” Tanya Amira.

      “Kata mamaku, kampung asal mamaku di pinggir bandar di Johor. Tapi kampung tu dah berubah menjadi bandar. Kalau balik kampung sama juga dengan balik ke bandar. Tiada beza suasananya kata mamaku. Lebih baik tak payah balik. Itu yang mama dan papa aku suka bercuti ke luar negara saja. Kampung Atuk/Ye Ye kita bertiga kan di bandar ni. Kau macam tidak tahu pulak.” Amira tersengih memandang Swee Lin.

      Swee Lin anak saudara ayahnya. Mamanya ialah isteri bapa saudaranya Tony iaitu adik ayahnya yang bungsu.

      “Jom ikut aku balik kampung. Kata Umi, di kampung Atuk  sekarang, padi masih menghijau. Belum masak lagi. Nanti bolehlah kita memancing ikan puyu di sawah. Seronok oh! Kampung Atuk aku tu dekat dengan laut. Banyak pulau-pulau di tengahnya. Cantik pemandangannya.” Amira bercerita cuba menarik perhatian Swee Lin.

            “Bolehkah aku ikut kau. Umi  kamu tak marah?”

      “Kenapa pula nak marah? Kau kan sepupu aku. Kita bersaudara. Tapi kau kenalah minta izin mama dan papa kau dulu. Aku rasa mama dan papakau tentu akan benarkan kau ikut aku balik kampung.” Amira cuba meyakinkan hati sepupunya itu.

      “Nanti aku cuba tanyakan mama dan papa aku. Teruja aku nak tengok keindahan pemandangan kampung Atuk kau.”

“Aku pun nak ikut kau ke kampung Atuk kau juga bolehkah Amira?” Tiba-tiba Seetha bersuara.

      “Mama dan papa kau kan dah rancang nak bawa kau bercuti ke London. Kau pun nak ikut Amira juga?” tukas Swee Lin. Kehairanan.

“Naik kapal terbang selalu ke luar negara jemu juga. Aku nak lihat juga tempat menarik di dalam negara kita. Aku pun tak pernah lagi ke kampung Atuk Amira.” Balas Seetha.

“Tapi mama dan papa kau akan izinkah? Bukankah mereka nak bawa kau bercuti ke London?” Tanya Amira.

“Kalau betul alasan yang aku beri tentu mama dan papa aku akan izinkan.” Ujar Seetha dengan yakin. Dia teringin hendak bercuti bersama Swee Lin dan Amira di kampung.

      “Kamu berdua kena minta izin daripada papa dan mama kamu terlebih dahulu. Jangan menipu pula. Tak baik menipu kata Umi dan Ayah aku. Tuhan marah dan kita berdosa kepada mama papa kita.”

      Swee Lin dan Seetha diberi keizinan mama dan papa mereka untuk mengikuti Amira pulang ke kampung bersamanya . Entah apa alasan yang Setha dan Swee Lin beri kepada mama dan papa mereka, Amira tidak ketahui.  Amira  tidak pula bertanya tentang itu. Hajat Swee Lin dan Seetha  untuk melihat suasana dikampung Amira berjaya dilaksanakan. Amira begitu gembira dapat bersama kedua-dua sepupunya sepanjang percutiannya di kampung.

Di kampung, Swee Lin dan Seetha sering berbual dengan Atuk. Atuk rajin bercerita tentang aktiviti sehariannya sebagai penanam padi pada kedua-duanya . Amira kadang-kadang mengajak Swee Lin dan Seetha memancing ikan puyu di sawah. Setiap kali mereka berjaya memancing ikan puyu, mereka kegembiraan. Amira tersenyum melihat telatah kedua-dua sahabatnya.

      Ikan puyu yang didapati hasil daripada memancing dibawa pulang ke rumah untuk dijadikan lauk bersama nasi. Memang sedap makan nasi berlaukkan sambal tumis ikan puyu yang dimasak oleh nenek Amira dll masakan disediakan Puan Aisyah. Swee Lin dan Seetha menyuap makanan dengan sangat berselera.

      “Sedapnyalah  lauk ikan puyu ni. Jauh lebih sedap dari chicken chop dan ayam goreng kfc,” komen Seetha kesukaan. Swee Lin mengangguk, menyetujuinya

      “Makanlah Seetha, Swee Lin. Makan hingga kenyang. Bila balik nanti bilalah kamu berdua nak ke rumah Nenek lagi.” Ujar Nenek.

      “Ialah Nek. mereka ni kalau cuti sekolah asyik bercuti di luar negara saja. Kali  ini mereka nak ikut saya balik ke sini pula.” Seetha  tersengih sahaja. Amira dan Swee Lin saling berpandangan. Gelagat Seetha mereka kehairanan.

      “Jom ikut Atuk ke tepi laut. Atuk nak memancing ikan semilang.” Ajak Atuk.

“Kamu bertiga berjalan ke sana. Atuk pergi dulu.” Atuk menaiki motorsikalnya yang bergerak menghala ke pantai. Amira berjalan bersama Seetha dan Swee Lin. Tidaklah jauh jaraknya. Sebentar sahaja mereka sudah tiba ke tempat yang di maksudkan Atuk.

      Amira duduk di sebelah Atuk di atas jeti. Seetha dan Swee Lin duduk berdekatan Amira. Teruja mereka melihat Atuk mulai menjatuhkan mata kail pancingnya ke atas air muara sungai yang berolak itu. Kelihatan laut membiru kejauhan. Ombak datang dan pergi menampar pantai. Indah sekali panorama alam di situ.

      “Kamu bertiga  nampak pulau yang berceratuk di tengah laut tu?”

      “Ya nampak!” sahut Amira

      “Nampak apa bentuknya?” Tanya Atuk lagi.

      “Nampak seakan bentuk orang sedang berbaring memohon doa.” Jawab Seetha pula.

      “Kata nenek moyang Atuk, pulau tu terbentuk kerana sumpahan seorang ibu terhadap anak yang derhaka kepadanya. Tidak mendengar katanya hendak pergi merantau meninggalkan ibunya keseorangan. Doa seorang ibu amat makbul. Jadi jangan sesekali melukakan hatinya atau bercakap bohong kepadanya.” Ujar Atuk.

      Amira melihat Seetha menundukkan wajahnya. Air matanya menitis di pipinya. Swee Lin mengusap bahu Seetha. Amira dan Swee Lin kehairanan dengan kelakuan Seetha.

      “Kenapa Seetha? Kau rindukan mama dan papakau ya, pabila Atuk sebut pasal kisah pulau itu.” Tanya Amira.

      “Aku sedih sebab aku telah memberi alasan seolah menipu untuk mengikut kau ke sini. Aku harap mama akan maafkan aku dan tidak menyumpah aku menjadi pulau.” Amira mengusap bahunya perlahan. Cuba melegakan perasaannya.

      “Apa alasan tu?” Tanya Amira, ingin tahu.

      “Aku kata cikgu kelas kita suruh buat kajian tentang pokok padi sebagai makanan ruji kita. Tapi  cikgu tak suruh pun.”

      “Oh! Tak lama kita dah nak balik. Dapatlah kau berjumpa mama dan papa kau. Mohon maaf banyak-banyak kerana kesilapan kau tu. Tentu mereka faham dan tak marahkan kau. Janganlah sedih sangat.” Sahut Amira.

      “Itu cuma cerita zaman dulu saja Seetha. Tapi sebagai anak kita memang tidak patut membohongi papa dan mama kita kan!” Ujar Swee Lin.

      “Ya Swee Lin, aku amat menyesal dengan perbuatanku itu.”  

      Atuk hanya tersenyum melihat telatah Amira, Seetha dan Swee Lin  . Kail  pancing Atuk sudah mengena. Atuk pantas menariknya ke jeti. Seekor ikan semilang yang besar tergeletak di lantai. 

Atuk menegah Amira dan Swee Lin menyentuh ikan semilang itu kerana bimbangkan akan tertusuk durinya yang tajam. Dan bisanya memang sangat menyakitkan. Atuk memotong duri yang terdapat di sisi kepala semilang sebelum memasukkannya ke dalam raga kecil yang Atuk bawa.

      Amira pasti Nenek akan memasaknya dengan sangat lazat sebagai hidangan makan malam mereka bersama nanti.

      “Hari sudah semakin senja. Kamu bertiga pulang dulu. Air laut sudah pasang. Atuk nak menangkap belangkas. Nanti kamu bertiga dapatlah merasa makan telur belangkas pula.”

      “Saya nak ikut Atuk cari belangkas juga.”

      “Tak boleh! Atuk nak tangkap belangkas, bukan nak jaga kamu. Bahaya jalan tepi muara kalau tak berhati- hati. Bimbang kamu terjatuh dalam muara. Tak jadi pula kerja Atuk.” Balas Atuk tegas.

      Tiba-tiba mereka terpandang dua buah kereta berhenti di pinggir jalan. Seetha dan Swee Lin tersenyum. Mereka mengenali siapakah pemilik kereta. Tiga orang lelaki keluar daripada kereta itu.

      “Ayah! Pak Cik Tony dan Pak Cik Alvin pun ada!” laung Amira. Seetha dan Swee Lin berlari mendapatkan papa mereka. Atuk memandang kesukaan dari kejauhan. Di tangannya ada tiga ekor belangkas telah dapat ditangkapnya. Atuk merasa belangkas dan semilang cukup untuk menjadi lauk untuk menjamu kehadiran tetamunya yang hadir  tiba-tiba itu.   

 

TAMAT

 

Friday, November 18, 2022

AYUH PULANG

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM JUMAAT MULIA

SELAMAT PULANG MENGUNDI KE KAMPUNG HALAMAN MASING2 MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB MEMILIH PENERAJU NEGARA MALAYSIA TERCINTA..KEESOKANNYA 19 NOVEMBER O22.