ASSALAMUALAIKUM...
CERPEN:
OLEH PARIDAH ISHAK
PULANG
LELAKI
itu melongo di depan pintu. Menjuntai kaki di anak tangga berubin marmar. Renungannya
menjauh. Melepasi rumah-rumah, pohon-pohon, gunung-gunang serta awan gemawan.
Seraut wajahnya telah lama sirna cerianya kembali cerah berkaca. Ada senyum
kecil tersungging di sudut bibir. Dia berdiri. Tegap dan gagah. Di sinilah! Dia
angguk menyetujui, Amat pasti sekali.
Kepalanya tunduk
menjenguk lopak air yang semakin kering-kontang. Dari dalam lopak yang pekat
berselut itu terjengul janggut-janggut yang sangat dikenalinya . Serasi dan
sebati dengan kehidupannya. Sekian lama. Sejak dia tahu beradaptasi dengan
kehidupannya. Kain pelikat digulung tinggi, sebentar lagi sesuatu mahu
diraihnya. Selipar jepun yang lusuh yang disarung kakinya sudah ditinggalkan di atas batas. Kaki yang tidak berlapik tidak
lagi ragu menerjah lumpur.
“Banyaknya ikan,” bibirnya
mendesis perlahan. Dengan sangat berhati-hati tangannya dicelupkan ke lumpur lalu
merasai sesuatu dan memegang kemas seekor keli hitam berkilat. Dia perlu
berwaspada kerana kalau tersilap cara duri keli pasti menyengat. Bisanya tetap
terasa walau tidak seteruk sengatan semilang. Sakit tetap sakit. Ikan keli pun
ada berjenis-jenis. Ada yang kulitnya kuning cerah dan ada yang hitam atau
kelabu. Bolehlah memilih mana satu yang digemari selera masing-masing. Baginya
lebih menyukai keli hitam darpada keli kuning cerah yang agak liat isinya. Keli
dan semilang rupanya seakan walau berbeza latar kehidupan. Kehidupan keli di
air tawar sedang semilang berhabitat di muara laut berair masin.
Namun semangat seharusnya
tidak patah. Kalau takut disengat keli
alamatnya tidak merasalah berlaukan ikan yang sangat nikmat ini. Apalagi ianya
adalah anugerah alam yang percuma. Hanya perlu sedikit usaha sahaja. Sepasang
tangannya ligat menggagau. Satu persatu isi lumpur pekat
itu dikeluarkan. Dicampak di kawasan tanah kering yang mulai merekah di
sana sini kerana musim kemarau sedang berterusan kini. Penangan el-nino.
Menjadikan hawa panas dan sekitarnya garing kering. Perubahan cuaca kini sukar
terduga dan langsung tidak menepati musim yang dijangka seperti selalunya.
Pak Hamid tersentak. Peluh
yang mercik di dahinya tidak dapat disekanya. Sukar hendak melakukannya kerana
sepasang tangannya cemar berselut. Melihat pasti apa yang digenggam kedua-dua
tangannya. Dia memegangnya kuat dan erat. Matanya bulat merenung. “Besaqnya!” haruan
sebesar betisnya itu membuatkannya terhenti seketika daripada aktivitinya.
‘Ah! Cukuplah. Syukoq
Alhamdulillah.’ Putus hatinya mungkin. Sudah lebih memadai untuk dijadikan lauk
hari ini. Selebihnya bolehlah dikeringkan. Ikan darat yang dikeringkan digoreng
atau dibakar sedap amat baginya kalau dimakan bersama pulut atau nasi tika
sarapan pagi. Dia mencapai sebatang jerami kering. Jerami kering kelihatannya
membusut di sana sini sekitar bendang yang saujana luas pandangan itu setelah
kerja penuaian padi usai dilakukan. Satu persatu ikan-ikan itu dicucuk dengan
batang jerami. Kini serangkaian ikan-ikan yang pelbagai jenisnya tergantung di
situ. Ada sepat benua, haruan, keli, puyu, belida. Ikan haruan yang paling
besar diasingkan daripada yang lain.
Alangkah sedapnya kalau
berlaukan haruan ‘bantut’ hari ini. Berangan dia seketika. Isterinyalah yang
akan memasak resepi tradisi kesukaannya seperti selalu itu. Resepi hasil air
tangan isterinya itu tiada tandingannya keenakannya bagi seleranya sejak lama.
Kalau anak-anak perempuannya yang ingin memasak ‘haruan bantut’ kesukaannya
pastinya tidak dibenarkan isterinya. Justeru isterinya itu tahu dan faham akan
selera suaminya.
Haruan besar itu proses
awalnya akan disiang, dibuang sisik; dibelah perutnya dan dikeluarkan segala
kotoran di dalamnya terlebih dahulu. Kemudian dibersihkan hingga hilang
hanyirnya dengan mengisar perlahan bersama asam gelugur, garam dan daun serai.
Setelah diyakini kebersihannya isterinya itu akan menyediakan bumbu yang akan disumbat ke dalam
belahan ikan haruan itu. Segalanya teradun daripada campuran serai, kunyit,
cili kering, bawang merah, bawang putih, lengkuas, jintan manis, jintan putih
yang digiling halus bersalut dengan kelapa tua yang dikukur.
Rempahan yang digiling
menggunakan batu giling warisan keluarga turun temurun membangkit aromanya
tersendiri mengait rasa. Diikat kemas pula
dengan kulit pelepah kelapa muda yang halus dijadikan tali sebelum dipanggang
di atas bara api tempurung kering. Harum semerbak aroma ‘ikan haruan bantut’ yang sedang menanti
saat diangkat pemanggangnya daripada atas bara api untuk dihidangkan sebagai
santapan tengahari. Dia berkira-kira sambil menelan liurnya sendiri.
Pak Hamid menapak
pulang. Lopak berlumpur yang masih banyak ikan di dalamnya ditinggalkan. Berenang
bebas lagi ikan-ikan itu walau di dalam
selut. Biarkan rezeki Allah yang banyak itu dikongsi hamba-Nya yang lain pula.
Tidak perlu tamak mengaut semua rezeki-Nya sebagai milik seorang. Demikian
prinsip Pak Hamid selalu. Menjati diri santunan peribadi mulia.
Dalam keadaan cuaca
yang sangat panas terik kini tanah lopak berselut yang terbentang di bawah sinar mentari
berhaba itu pasti akan kering juga seperti tanah bendang di sekelilingnya.
Retak merekah di sana sini. Ikan-ikan di dalamnya tentu akan terus membenamkan
dirinya lebih jauh ke dalam tanah. Andaian Pak Hamid begitulah. Jikalau tidak
dari mana pula datangnya ikan yang banyak aneka jenisnya kala air hujan
memenuhinya kalau ikan -ikan itu turut mati bersama kering kontangnya bendang. Tentu
tidak ada lagi ikan- ikannya. Tapi menjadi sebaliknya pula. Begitu yang bermain
di fikiran Pak Hamid. Samaada benar atau salah perkiraannya itu langsung tidak
jadi persoalan kepadanya. Hanya Allah yang maha mengetahui. Wallahualam. Langkah
pulangnya diatur tenang, riang, berbahagia membawa impian di hatinya.
Hujan rintik halus.
Sebentar kemudian telah riuh gemaannya berjatuhan menimpa bumbung rumah. Di
halaman, Saerah berlari-lari anak menarik kain jemuran di ampaian. Fenomena
yang sering dilihatnya. Bukanlah ganjil. Pak Hamid melingas sekelilingnya.
Gobek sirih berima sekata menyapa sunyinya. Senyumnya yang tadi terorak lebar kini
hilang. Wajahnya kembali pekat tidak beraura. Tapi redup sayu. Imbauannya yang
sekilas itu telah terpadam warna suasananya. Kembali dirinya berada di dalam
sedar situasi yang melengkungi dirinya.
“Kita ni dah lama duk
sini. Mengkala agaknya Saerah tu nak
hantaq kita balik?” ulangnya bertanya entah untuk kali yang keberapa. Mak Inah
mendengarnya. Walau ucapan itu kerap terbit daripada mulut suaminya dia tetap
member i perhatian. Dia sangat faham apa yang ada di hati suaminya itu. Tidak
pernah dia berkata, “lagutu saja duk sebut seluloi.” Suaminya itu pastinya
tersangat rindu pada kampung halaman yang lama telah ditinggalkan. Dia juga
sama. Sentiasa terkenangkan rumah kayu usangnya yang tersergam, bertiang dan bertangga walau
tidaklah secantik rumah batu Saerah yang dibina di atas tanah. Rindu hatinya
untuk kembali
berada di dalamnya
hanya dia dan suaminya yang maklum. Ingin merasai kembali kembali kenikmatan
alam semula jadi tanah tumpah darahnya.
Dusun buah-buahannya di
kaki gunung Jerai seakan menggamitnya pulang. Tanah bendangnya di hulu sedang
apa agaknya sekarang? Kalau musim mengerat padi sudah selesai tentu senang menangkap ikan di petak bendang yang masih
berair. Rindunya dia hendak melakukan itu, Terkenang sewaktu mudanya bersama
rakan sebaya bersama mengerat padi yang kuning meranum dan mengemping padi
pulut di malam bulan mengambang penuh. Paling tidak dilupainya tentulah pertemuannya dengan jejaka kacak yang sedang
membanting padi di bendang serelung besar milik keluarganya. Pertemuan sekilas
pandang yang membawa mereka ke pelaminan justeru jejaka itu telah terpaut hati
dengan gadis yang berlindung wajahnya disebalik kain batik yang diselimpang
namun menutup kepalanya.
‘Awat susah sangatkah hangpa
hendak paham perasaan, kemahuan dan kesukaan orang tua macam ayah dan emak hang
ini Saerah? Ayah hang pun duk seluloi ulang habaq kata hatinya. Hantaqlah ayah dan emak hang
ni balik Saerah oi.!’ Keinginan Mak Inah itu terbenam
diam di dalam hatinya saja. Tidak pula diluah suaranya. Walau hakikatnya
serupa. Dia tetap tersenyum riang melayani kerenah anak menantu. Kadangkala ada
anak cucu cicit yang datang bertandang.
Pada Mak Inah dia tidak
perlu mengulang lagi apa yang disuarakan jelas suaminya itu. Saerah juga pasti
faham dan tahu. Dia pun bukan muda lagi. ‘Cuma aku ini emak. Aku dan ayah hang
jugak ada rumah tangga yang hendak kami
pertahankan. Kami mai sini cuma sebab nak makan kenduri kahwin Ani cucu kami. Bukan mai nak duk dengan
hang. dan mati kat sini. Di kaki gunung Jerai, aku dan ayah hang dilahirkan, di
situ juga aku dan ayah hang ingin dikuboqkan. Di sanalah dunia kami, impian
kami, kebahagian kami. Tolonglah hantaq kami balik. Kami sudah cemoih di sini
walau bagi hang ianya adalah syurga kehidupan dunia hang. Tapi syurga dunia kami di sana. Di sebuah rumah tua di sebalik
pohon-pohon kayu yang rimbun di mana gunung Jerai tercacak megah.’ Mak Inah erkenangkan
kampung halamannya yang indah permai dengan hamparan bendang saujana pandangan mata,
berdekatan juga dengan laut Selat Melaka dan dusun buah-buahan di kaki Gunung Jerai.
Sempurna sekali keindahan alam semula jadi ciptaan-Nya yang ditelusuri alam
kehidupannya selama ini.
Bergentayangan di layar
mindanya pelbagai kenangan manis mengusik ingatannya. Sesekali dalam
keuzurannya tetap berusaha menunggu durian gugur di pondok di dusun bersama
suaminya. Kegembiraannya menikmati saat begitu meriangkan hatinya. Durian
tembaga, durian kucing tidur adalah kegemarannya. Dimakan bersama pulut berkuahkan santan segar
dan dimaniskan dengan sedikit gula amat enak rasanya. Dan beberapa lagi jenis
durian akan berbuah lebat pabila tiba musimnya.
Begitu juga dengan
rambutan, cempedak, langsat, pulasan jentik, remia, manggis lebat dan meranum
di pohon kala tiba musimnya menjadi rezeki kepadanya dan suaminya dengan
menjualnya kepada peraih buah-buahan yang sering keluar masuk kampung
membelinya.. Atau kadangkala suka benar hatinya dapat menumpang motor anak cucunya
ke hulu melihat bendangnya. Dapat melihat saja pun sudah puas rasanya walau dia
tidak berkudrah lagi mengusahakannya. Bendang miliknya dan suami yang dibeli
secara berdikit-dikit hasil kerja keras semasa muda kini diusahakan anak-anak
dan cucu-cucunya yang tinggal di kampung. Anak cucu di sana juga baik-baik
semuanya terhadapnya. Selalu dapat merasa beras baru dan ikan -ikan dari
bendang. Juga yang baru naik dari laut dihantar anak cucunya.
Tragedi tsunami yang mengorbankan ribuan jiwa pada
2004 juga turut dialami suaminya yang bercerita kepadanya akan kisah yang amat
menggerunkan itu. Cuma takdir Allah yang memelihara diri suaminya daripada
musibah yang tidak diingini berlaku.
“Hang tau masa tu aku
dapat ikan banyak sangat. Ikan tenggiri, ikan gelama, ikan temenung , ikan
lemuduk dan macam-macam ikan lagi penuh dalam bot kecik aku tu. Masa tu aku pi
ke laut soghang saja. Takdak sapa-sapa mau pi ke laut masa tu. Maklum masa tu
depa kalut duk punggah padi nak bawa pi jual kat kelang.” Mak Inah masih sabar
menunggu suaminya meneruskan cerita pengalamannya berhadapan suasana tsunami
yang menggerunkan dan mengejutkan peristiwanya yang berlaku laksana kiamat
kecil itu. Menggemparkan seluruh dunia
kejadian yang mengorbankan ratusan ribu mangsa di negara Asia Tenggara dan
meranapkan nusa Aceh Indonesia hingga laksana padang jarak padang tekukur.
“Tiba-tiba ombak besaq mai.
Dia angkat bot aku tinggi lepas tu dia letak balik. Beberapa kali ombak duk
angkat duk letak lagutu. Aku takut tak tau nak habaq dah. Tak renti-renti aku
berdoa. Kalau aku matipun aku ghedo. Bersyahadah berselawat tak ghenti.
Mujuqlah ombak tu tak tolak bot aku hanyut tengah laut tapi terus ke pantai.
Syukuqlah aku selamat. Dapat lagi balik ghumah jumpa dengan hang. Kalau dak
tentu aku dah berkubuq dalam laut.”
“Hish! Apa cakap lagu tu.
Ajal maut tu Allah punya kosa. Kitapun tak tau di mana tanah kuboq kita. Tapi
harapnya di tanah kampung kita ni, senang anak cucu kita nak mai ziarah.”
Untuk menyatakan
kesyukuran dirinya terhadap Allah swt yang menyelamatkannya daripada bencana
tsunami yang dilaluinya Pak Hamid dan Mak Inah mengumpulkan anak cucunya dan mengadakan kenduri doa selamat yang
dihadiri seisi kampung.
Lembaran kisah tsunami
terselak lalu. Masakini sedang Mak Inah renungi dengan mata hatinya.
‘Aku dan ayah hang
memang uzuq. Sakit tak ghenti. Maklum kami sudah tua merga. Tapi kami tak mau
hidup menyusahkan orang lain. Biaqlah kami hidup dengan cara kami sendiri.
Setakat untuk memasak makanan dan mengurus diri sendiri kami masih bulih buat.
Takdak masalah apapun. Hidup lebih kurang seadanya tapi kami sangat bahagia.
Hidup secara orang tua merga.’ Mak Inah bermonolog panjang mewakili fikiran
suaminya. Penamatnya di situ. Namun tidak berdaya diterjermah bahasa bibirnya.
Hanya beku di situ. Di hatinya. Menggumam perasaan selagi dia dan suaminya
tidak dihantar pulang ke kampung halaman yang sangat dirinduinya..
Saerah bersimpuh di
sisi suaminya. Mak Inah dan Pak Hamid juga berserta. Masing-masing mengadap
sajian petang di serambi. Sentuhan angin mulus nyaman dingin menyapa tubuh
mereka yang berada di serambi dan dedaunan pun berayun. Suasana hari redup dan tenang.
“Saya dah janji dengan
Ani, bila cuti dia akan hantaq mak dan ayah balik ke kampung.”
“Mengkala tu?” Tanya
Mak Inah pendek. Suka benar hatinya menerima perkhabaran yang sangat dinantinya
itu walau kebenarannya tidak dapat dipastikan lagi.
“Cuti sekolah nanti.”
“Lambat lagi tu ghasanya.”
Pak Hamid mula menghitung, ‘aku di sini sudah lima bulan. Cuti sekolah ujung bulan
sebelas. Maknanya kena duk tunggu sebulan lagi. Lama sungguh tu….’ Wajahnya
kelat. Sirna aura yang bercahaya.
“Balik dengan bas
sudahlah. Toksah nak tunggu Ani. Menyusah dia saja.” Mak Inah memandang
suaminya. Usulannya itu hanyalah untuk melegakan kegelisahan yang ketara di
wajah suaminya.
“Tak bulih, mak, ayah!
Tak bulih balik naik bas. Mak dah tak laghat. Ayah pun bukan kuat sangat. Kalau
apahal berlaku, sapa yang nak tulung.” Larang Saerah. Sedang suami Saerah hanya
diam membatu. Tidak membantah, tidak juga mengiakan. Seakan langsung tidak
berminat dengan persoalan yang menjadi perbicaraan mertuanya dan isterinya.
Hanya menjadi pendengar setia.
“Abang Majid ni mata dia
tak berapa awas sangat kalau bawak kereta. Kalau dak dah lama kami berdua pi
hantaq mak dengan ayah balik. Kalau bawak kereta kut dekat boleh ja. Ni nak
balik pi Kedah nun jauh sangat tu.” Saerah lancar saja mengutarakan
permasalahan sebenarnya sedang penerimaan ayahnya lain pula.
Tercuit juga hati kecil
Pak Hamid mendengar apa yang dikatakan anaknya. ‘Aku sedaq sapa diri aku. Juga
setakat mana upaya yang aku ada. Susahnya kalau sudah tua merga lagu ni. Apa
yang hendak dibuat lebih banyak menyusahkan orang keliling. Allah bagi kat aku
umuq yang panjang dan aku perlu ghedo dengan takdir-Nya. Toksah duk keluh kesah
walau dugaan-Nya buatku seluloi ghnsing. Astaghfirullah.ampuni hamba-Mu ini ya
Allah.’ Keresahan yang melanda hatinya dilukis monolog mindanya.
Saerah juga sedih
melihatkan keadaan ayahnya yang tidak seceria awal kehadirannya ke rumahnya
dahulu. Kelihatannya sentiasa murung. Hajatnya ingin menjaga kedua emak dan
ayahnya meniti akhir usia mereka. Tidak mahu lagi membiarkan ayah dan emaknya
menyara kehidupan dengan mencari rezeki sendirian. Samaada ke laut, ke bendang
atau ke dusun di tepi hutan . ayah dan emaknya tidak layak lagi melakukan kerja
sebegitu walau pada anggapan kedua-duanya amat ringan. Lagipun sudah lama emak
ayahnya membanting tulang demi kehidupan. Dan sudah tiba masanya mereka
menikmati usia tua mereka dengan berehat dan beribadat smbil dijaga anak cucu.
Dia menyimpan hasrat itu dan ingin melaksanakan tanggung-jawabnya sebagai salah
seorang anak kepada emak dan ayahnya. Bilakah
lagi jasa, budi baik yang bertabur di batas kehidupannya selama ini oleh kedua-duanya
dapat dibalas. Itupun kalau boleh dilakukannya sebagai anak yang mengenang budi
dan jasa orang tuanya.. Rasanya payah pula walau dia telah merekakarya pelbagai
alasan. Dia sangat mengasihi ayah dan emaknya itu. Melepaskan kedua-duanya
pulang serasa lompong jiwa raganya. Namun kehendaknya tidak mampu mengatasi
keinginan emak ayahnya yang ternyata kuat.
Bak kata perbidalan lama ‘bujur lalu melintang patah’ Maksudnya apa saja
galangannya akan dilepasi demi menunaikan hajat dengan pasti. Apalah dayanya
lagi. Kemahuan emak dan ayahnya terpaksa diikuti jua.
Sambil minum sambil
bercerita isu semasa lewat sebuah Wira biru metalik yang membelok dan berhenti
tiba-tiba. Enjinnya yang menderum keras mencemarkan
sunyi alam. Menarik perhatian untuk dipandang. Masing-masing menjenguk ke halaman mengawasi
persekitaran. Saerah bingkas bangun daripada duduknya untuk memastikan siapakah
yang dijangka hadir menjadi tetamunya. Tersenyum Saerah kepada suaminya dan emak ayahnya. Riang hatinya
menyerikan wajahnya.
“Ani dan Adi balik tu.”
Kepulangan Ani dan
suaminya Adi menggembirakan yang menyambutnya. Sepasang suami isteri itu segera menaiki anak
tangga yang cuma tiga takah setelah membolos diri dari kereta yang dipakir di
sudut halaman rumah keluargnya.
“Kata cuti sekolah baru
nak balik?” ucap Saerah.
“Dapat pula cutii lebih
cepat mak.”
“Bolehka lagu tu.”
“Boleh ja asai betoi
sebab musababnya.”
“Untung jugak kerja
cikgu no…. bulih cuti ikut suka.”
“Untung ghugi sama
banyak mak oii dengan kherjanya yang menimbun tak tau nak habaq apa.”
Saerah berlalu ke dapur
dan kembali dengan membawa dua buah cawan yang beralas piring. Menuangkan air kopi dari dalam teko ke dalam cawan-cawan
itu pula.
“Minumlah Adi,
Ani…makan kuih tepung talam yang tok hang buat. Sedap sangat tu. Resepi kuih
lama dari ayaq tangan orang lama.”
“Ish! Sedapnya kuih
tok. Nanti tok ajaq Ani lagu mana nak buat tepung talam ni no.”
“Makanlah Ani, Adi tak
sedap manapun kuih tok buat tu.”
Ani dan Adi tersenyum
sambil melirik pandang Pak Hamid. Tenang saja kelihatan wajah tokwan mereka
kepada kedua-duanya. Tersenyum sedikit membalas pandangan cucunya itu.
“Esok kita balik Kedah
tokwan, tok.” Ani memegang tangan tokwannya dan mencuit pipi toknya. Memeluk
toknya dengan erat penuh kasih sayang. Mak Inah juga membalas rangkulan cucunya
itu dengan lebih kemas lagi. Pertautan kasih sayang sedarah sedaging yang abadi
dirasakan menyatu diri kedua-duanya.
“Sungguh ka Ani?” Tanya
tokwannya berserta senyum yang terorak lebar. Girang sungguh hatinya. Matanya
bersinar. Wajahnya cerah berseri. Inilah khabar yang sangat dinantinya. Kedua-dua
tangannya meraup wajah seraya mengucap syukur Alhamdulillah. Segera pula dia bingkas bangun.
“Nak pi mana pulak tu
tokwan. Duklah dulu kita sembang-sembang sat.” Adi bersuara lunak.
“Cepatlah bersiap apa
yang patut. Esok tak kalut sangat.” Pernyataan Pak Hamid kepada isterinya
menjawab pertanyaan Adi. Mak Inah
bingkas segera daripada duduknya, mengekori langkah suaminya dengan akur.
‘Apalah yang ada yang hendak disiapkan pun.’ Getusnya dalam diam. Gelagat
kedua-duanya mengundang senyum di bibir dua pasang suami isteri itu.
“Toksah duk kalut
sangatlah mak ayah. Nanti cek tulong siap semua. Mai duk sembang-sembang dulu.
Isuk dah nak balik. Nanti takdan pulak nak kata apa.” Mak Inah dan suaminya
kembali melabuh duduk.
“Tiba-tiba saja nak
balik Kedah awatnya.” Majid yang selama ini berdiam saja melantunkan suaranya.
“Abang Adi ada kursu di
Langkawi. Kebetulan nak ke sana bolehlah bawa tok dan tokwan balik. ” Pengurus
firma swasta itu mengangguk membenarkan kata-kata isterinya.
“Ani pun nak ikut pi sekali.
Mohon cuti lulus pulak.” Jelas Ani tergelak. Seronoknya dia. Anganannya selama
ini untuk menjengah pulau Mahsuri itu akan termakbul. Kisah Mahsuri seorang
isteri yang setia kepada suaminya lagi cantik jelita telah dihukum sula
lantaran fitnah mereka yang dengki kepadanya diingati akan sejarahnya. Dan Pulau Langkawi dengan
persisiran pantai yang cantik tersangat ingin dijelajahinya sambil membeli
belah di pulau bebas cukai itu.
Impian indah seorang
perempuan yang baru bergelar isteri. Kebahgiaan yang sentiasa marak meriah
berbunga sepanjang usia perkahwinan yang sangat baru itu. Saerah dan suaminya juga dapat menelah apa
yang beriak di wajah Ani, namun Saerah juga tumpang gembira dengan kegirangan
di wajah emak ayahnya. Mujur juga cerita kebetulan itu berlaku. Kalau tidak
mendung akan terus menutupi wajah Pak Hamid ayahnya.
Malam Saerah berusaha
memasak bekalan makanan yang akan dibawa pulang emak dan ayahnya dengan dibantu
emaknya.
“Buat apalah mak susah
payah masak bekai. Kami boleh singgah makan di kedai R&R yang banyak kat tepi
lebuhraya tu.”
“Takpalah Ani dah ada
bekai bila lapaq boleh ghenti makan kat bangku.
Jimat sikit belanja. Lauk kat kedai tu tokwan hang bukan suka. Tok wan
hang suka makan masakan tok dan mak hang ja.”
“Ya ka? Kalau nak jalan
jauh kena bawak bekai lah no.” Ani cuba memahami walau perkara semudah itu
hanya remeh baginya.
Pagi masih terlalu awal
dan dingin. Pak Hamid bergaya dengan sepasang baju Melayu Cekak Musang merah
jambu hasil jahitan anaknya Saerah. Senyumnya terukir manis menyalami anak
menantunya. Lega sungguh perasaannya yang selama ini mendera mindanya kerana
kerinduannya kepada kampung halamannya. Sebentar lagi dia pasti sudah berada di
lebuhraya lebar penghubung destinasinya bersama cucu dan cucu menantunya..
‘Tinggallah bak-baik
anak menantu. Tinggallah negeri Pahang Darulmakmur. Aku ingin menghabiskan sisa sisa keriangan
hidup yang kukecapi dengan nikmat di tanah kelahiranku. Jiwa ragaku sudah
sebati dengan apa yang ada di sana. Seperti kau juga Saerah yang sangat mesra
dengan alam kehidupanmu bersama suami dan anak-anakmu di sini. Ayahmu ini akan
sentiasa mengirimkan doa kesejahteraan agar anak menantu dan cucu- cicit yang
disayangi berbahagia selalu.’ Mungkin begitulah
Pak Hamid menyusun frasa di mindanya.
Pak Hamid menjeling
isterinya yang terlena di sisi. Berbalam di selimuti kabus puncak Jerai mulai
menyerlah. Nafasnya ditarik puas. Melepaskannya perlahan. ‘Aku pulang padamu kampung
halaman.’
Tamat.
Glosari:
Takdak - tiada
Bulih - boleh
Besaq – besar
Syukoq – syukur
Haruan bantut – sejenis
resepi masakan ikan berinti yang dipanggang.
Mengkala – bila
Lagutu – begitu
Seluloi- selalu
Hampa – kamu
Hang – awak
Mai – datang
Kelang – kilang
Soghang - seorang
Awat - kenapa
Hantaq – hantar
Habaq - kabar
Cemoih – jemu
Mai - datang
Mujoq – mujur
Berkuboq – berkubur
Ghumah – rumah
Ghenti – renti
Ghedo – reda
Toksah – tidak usah
Biaq - biar
Ghunsing – runsing
Kosa – kuasa
Tua merga – tua renta
Tulung – tolong
Ghasa - rasa
Ghugi – rugi
Bekai – bekal
Asai – asal
Kuboq - kubur