Friday, April 7, 2017

SONIAN

ASSALAMUALAIKUM...

ANTOLOGI APA LAGI YANG LEBIH MEMBAHAGIAKAN

 

SUBUH SUNYI

 

Subuh memang sunyi pun. Hanya suara serangga-serangga yang tidak ketahuan jenisnya mersik halus. Kalau hujan tentu kita pasti suara katak yang menggema. Bukan katak-katak tu memanggil hujan kot...Tapi mungkin sedang berzikir dan memohon hujan agar berhenti justeru hujan yang lama mencurah menyebabkan makhluk-makhluk Allah itu kedinginan amat. Selalunya begitulah fenomena alam sekitarku dan kukenali petandanya..

 


          Dan subuh yang hadir mutakhir ini menjadi terlalu sunyi kerana suara Muazin tidak mengumandangkan azan daripada surau yang berhampiran. Menyeru penuh takzim Muslimin menunaikan solat untuk menuju kejayaan seperti selazimnya. Kenapa jadi begitu? Tentulah ada sebabnya. Jikalau tidak tentu tidak terabai surau dengan suara yang penuh hikmat itu.

          Sebenarnya Tok Bilalnya tiba-tiba demam dan tidak dapat hendak menapak ke surau pada setiap Subuh hari. Betapa berharga suara Tok Bilal yang sering mengumandangkan azan itu dirasakan. Setelah suaranya tidak terdengar lagi, begitu kehilangan sekali.

          Dahulu yang melaungkan azan di surau berhampiran rumahku pada Subuh hari adalah jiranku Md. Rodi. Setiap Subuh akan terdengar langkahnya yang diatur dengan derap yang serupa ritmanya. Dan kami semua jirannya sangat kenal dengan derap langkah yang teratur mencelahi Subuh sunyi itu.Kini tidak ketara lagi ritma langkah itu lantaran beliau telah melangkah jauh meninggalkan kenangan murni itu untuk menemui Ilahi yang menjanjikan kejayaan. Beliau meninggalkan isterinya Rokiah dan tiga orang anak yang telah dewasa.

 


          Al-fatihah untuk Allahyarham Md. Rodi yang sangat baik budi itu. Dan tempatnya yang istimewa itu diganti jiranku bang Din dengan segera. Surau itu tidak sempat sunyi dengan laungan azan. Tiba-tiba bang Din demam pula. Demam urat kata isterinya kerana terlalu rajin berkerja. Tidak ada lagi suara azan yang menerjah subuh sunyi walau tetap kedengaran azan dari masjid yang sayup-sayup kejauhan.

          Aku pula yang kegelisahan justeru merasakan azan yang tidak kedengaran menemani Subuhku adalah suatu kehilangan yang tidak tahu bagaimana hendak digambarkan...

 

.

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

30/12/019