ANTOLOGI PUISI POLITIK PENA
Puisi sajak
Oleh
Paridah Ishak
Sajak 1
DWI PERANG
Perang sedang
berlangsung teramat sengit
sebelah alam sini
Jasad terbujur hilang
nyawa terdorong ke gaung
laju berlari menyorok
diri dalam graha sunyi
berlindung serangan bertubi-tubi
kanan kiri
Geletar bibir mengucap
Allah! Allah! Allah!
lirih sendu bersatu
mengharap karamah langit
menghujani rahmah
afiat
daya upaya elak peluru
musuh seni
Saki baki jasad
tergeletak lemah dalam ruang
alam sebelah sini
Berdamailah takdir
pohon perang ini
tumbangkan
musuh seni mohon
tewaskan wahai Al Malik
Kasihani nyawa
mendenyut nadi wahai Al Muhamin
dan izinkan jantung
masih berdegup
menghirup udara
kasih-Mu
semesta buana
leburkan jua wira
serakah yang bergelut merebut ghanimah kuasa
tiada sudahnya
menjengkelkan jelata tindak tanduknya
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
1/07/021
Sajak 2
KEBAL
Siaga kemungkinan
apapun bisa terjadi
Sebab wujud diri tidak
lutvirus meski lut haba
Tapi kalis rasa kalis
masalah, kalis peluru adil
Kalis segala ranjau
reba duri tajam menusuk hayat
Namun tidak kalis
panahan virus corona
Amukannya menafikan
kekebalan hamba
Tidak peduli sama ada
kau politikus
Ada kuasa atau
tercari-cari kuasa
Sajak 3
LABA LOMBONG
Ayuh ke sini!
Lombong pusaka terbiar pinggiran jantung tanjung
prakarsa keras cari
gali
Dalam perutnya ada
timah, emas, perak, berlian
penuhkan kantungmu
dengan laba
Andai hanya memandang
lelah kecundang
Bersaing mendulang
mengayak kerikil
menyisih pasir halus
pilih mutiara
mengusir ngeri virus halimunan
Demi laba
Peduli apa!
Tawakal Allahu
tapi kau perlu kuasa
besar
mengerah segala akar
umbi
menegak pucuk kemuncak
demi menguasai
via peti undi
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
29/11/021
TERATAI ABADI
SEUNTAI KENANGAN
Puteri cantik ayu
menyapa lewat jendela
maya nan terbuka
menghulur senyum sopan
bibir merkah bicara bersahaja
ketara jelas maksud
tanpa diselindung kalbu
ceria tingkahlaku.
Dalam riang mencoret
tulisan
meriwayat pandang
terlukis
difokus kejora mata
tanpa rahsia
terkesima membacanya
agum.
Alhamdulillah mengenalimu
sedetik cuma jua
seberkas rasa
terhimpun
meski singkat justeru
Kekasih tercinta
tidak mahu kau
terlewat ke sana menemui-Nya
gugur air mata
mengiring doa perpisahan
di sisi-Nya di taman
syurga berbahagialah.
Langkahmu mendahului
bening pagi 10 Disember 017
pasti disusuli bila
bila.
Di kolam terataimu
kelopaknya tidak layu.
PARIDAH ISHAK
DESA MELOR SERENDAH
SELANGOR DE
ORANG ITU
Orang itu pencetus kalut
menganyam selirat kusut
laluan yang dituruti
mereba onak ranjau pilihannya.
Orang itu
nawaitu misinya terpencil
terlindung nubari
sukar difahami meski ketara.
Orang itu
wajahnya kelabu haru
cemar dengan noda dipalit
suci bersihnya dicela.
Orang itu
masih setia di situ
juang tanpa peduli
meski lontaran suara dipersisi
Orang itu
hamba Allah
Yang membawa wataknya
anugerah Pencipta
siapakah orang itu?
Kini semakin tidak dikenali.
PARIDAH ISHAK
DESA MELOR SERENDAH
SELANGOR DE
MENUNGGANG HASRAT
Memacunya sepenuh
kudrat
mimpi mempelangi nyata
berkejaran dengan
waktu yang cemburu sememangnya
sekarung cita
berciciran sepanjang perjalanan
berpatah pulang mengutipnya
tidak terbawa pula
masa terlewat menyesatkan
arah
Hasrat yang ditunggang
kelelahan
akhirnya bersandar
hingga terlena jendera
mengundang mimpi
dinihari.
Iltizam menyongsong
mengetawakan
tergoda pacaroba
keliling kelalang
kalah menunggang
hasrat
destinasiinya kelam.
PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM
CITRA TAKWIM
Detik arloji menjarak
angka mengusung ceritera
yang lewat di jendela
takwim terbingkai
lensanya jelas merakam
ragam
Meninta coretan
panjang kadang berulang
justeru sejarah
menggamit ingatan
pada kebenaran sebuah
kesilapan
agar bermuhasabah
Era hanya melakar
sejarah yang dicipta
seiring lalunya dengannya
apa yang dibawa
kesimpulan mesti
ke hulu ke hilir
jangan tega menongkah arus
kelak lelah sungguh menguaknya
mencari tanda mula sebenar
namun jangan sirna putus asa
kebarangkalian apapun
hak-Nya sukar terduga.
cahaya kadang samar di hujung terowong
kadang sirna tidak
berpenghujung
dan harapan tidak
salah
takwim rencana terus
digantung
digugah resah
membelasah
tersasar kalah pasrah.
Paridah Ishak
Selayang Utama
Selangor DE
02/08/017
SENTUHAN IRONI
Sering berkata tidak pada lagha lagi batil
kadang alpa menyisih haluannya
menyasar jauh.
Bertaklik ironi ke perdu iradat
carta di kertas sekadar geraf melonjak
memadam deraf sebenar
rencana gendala
mendatar sifar.
Berkata tidak pada penderaan jiwa
menjanjikan kemurnian membekas selama
ketara cuma aura rias rona
kebenaran menafikan kemenjadian
lengkong janji mempelangi
catur dusta.
mengatur petak membuka langkah
lompatan pradigma.
Bukan kesedaran naïf
bahkan melontar jauh prasangka pesimis
janggalnya tafsiran.
Mungkin permainan rasa
yang bolak balek sentiasa
menuruti aliran detak arloji
yang menguasai situasi
kelemahan jatidiri
bagaimana mahu dinafi.
Memberi maaf santun nilai budi.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE
Sajak
AGRARIA SIMFONI DESA
Haruman tanah pusaka
membugar dedaunan
ungu jingga hijau rona mempelangi
disantuni petani warga desa
usaha bukan hiliran
kemestian mengakrab kehidupan
budidaya alam
Haruman flora
kuntuman menguntai kelopak bercorak
kemboja melur tanjung kenanga anggerik
merias ruang indah serata
gemalai ayunan bayu membelai
gugur di perdunya
layu bermakna.
Mengintai kelisa patin lampam di tasik
sebarau kelah tilan udang galah menghilir sungai
sepat haruan keli puyu di bendang terhampar
berenang nyaman penuh gaya
Euphoria dialun ritma
simfoni mengorak senyum bahagia
alam semula jadi
menyatu diri kekerdilan hamba-Nya
syukuri nikmat
tidak pernah didusta.
Mersik membisik khabar
inilah pilihan
era tori melampaui kini.
PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM
ISU
BAHASA IBUNDA
Bahasa kelahiran warisan diri azali
lunak menuturnya perantara mesra
budaya asli sukar terhakis menjati diri
Bahasa ibunda milik peribadi
tersanjung tinggi abadi di jiwa
kebanggaan bangsa.
Bahasa ibunda tanah air termaktub perlembagaan
Bahasa Kebangsaan Melayu campuran
mengolah variasi sesuka hati
tolak ansur penyatuan
berkongsi pertiwi keramat nan satu.
Namun nyeri dan ngilu
kala layar TV
menggamat bahasa ibunda menutur frasa
bukan persetujuan hakiki.
Patutkah dibenar menyebarluaskan
tanda kompromi
dengan alasan tidak fasih.
Kebebasan hak warga
mengatasi teguran sinis.
PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM
BAYANGAN MURAM
Terawang sepintas lalu
namun sentuhannya terasa
ngilu...kelukaan.
Lunturkan bayangan muram
hapuskan...hembuskan
sekuat hati
agar menjauh.
Dan penderaan yg mengulit
kebas...kebal.
Dapatkah menukarnya
sesuka rasa?
Imbasan-imbasan itu
kembali bergentayangan
seolah frem lukisan kehidupan
yang retak seribu.
Bersama masa bakal ia berderai
masakan bercantum semula.
Paridah Ishak
Selayang Utama
SERAYA MENGERDIP MATA
Demi detik selaju air mengalir tiada putus
perhentiannya entah di
mana
termangu menung tembus
renungan galangan alang
menyambar persetujuan
hati biru
mengusir haru
mencelaru
mencari titik hidup
yang hilang.
Semesta seluas mayapada
namun sempit
menghimpit
menjerit perit sakit.
Episod hari nan
berulang keesokan berterusan
dilayar bahtera di
samudera rasa
tiada penghujungnya
justeru sepasang
kejora bening
mengerdip lesu
mengintai cerita waktu.
Selagi nadi berdenyut
ada zat
menguji kesabaran
tahap mampu
zat yang Esa mencabar
ego
mengajar syukur
berlaksa.
PARIDAH ISHAK
DESA MELOR SERENDAH
SELANGOR DE
MELUCUT EGO
Berbatas budi di sana
sini
menyubur pucuk
menghijau bermain bayu berlalu
meliuk tari anggun
membuai rasa.
Gugurlah amarah meski
hanya kenangan ranum
Menyimpul senyum damai
berkuntum.
Batas itu masih di
situ
melangut lenguh
melihat bergayutan buahannya
bakal menggugurkan
rezeki-Nya.
Meski seketul batu
dibaling mengenainya
dibayar lontaran
kesakitan dengan kebaikan.
Subhanallah!
Terlucut ego demi-Nya
Hadiah dari berbatas
budi kepada persona
meski penerima musuh
semua.
Dikasehani dengan
izin-Nya
Mengenali erti ujian
Ilahi.
Memujuk jiwa agar
murni
dengan tawadduk doa
tulus
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE
KURUNGAN ALOGIA
Medan mindanya
tiada batas
tafsiran hilang penentuan
ilusi berwajah mimpi berlembangan warna
larut dalam
delusi hampa mengelirukan
Malam sunyi berlagu sendu
mengusir rusuh menggeruh
namun atmanya menggelora
rungus amarah
membara
pecah frasa
hilang makna
Air mata bening menitis
dalam lena tertawa
kenapakah? Entah!
Igauan ngeri sukar dihindari
seakan suratan seorang diri
kekalutan kekusutan merusuhkan.
Lemas
terkurung dibelenggu
dalam
kisi-kisi alogia.
Gapai tepian
tidak kesampaian
melontar durja sejauhnya tiada daya
kerna telah mendarah daging
sebagai pengiring
Mungkinkah ritma gelisah itu
akan terus bersenandung
persis lembayung bertabir mendung
merenung impian sayup
hatinya
meraung.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR
DE
KAYU KAYU PANCANG ITU
Kutemui sebatang kayu pancang
menyenget mereput
miring mengereng
bakal tumbang.
Laluku cacakkan semula
pada posisi jitu teguh ampuh
Tegaklah ia bermain pawana berganti semi
lurus di tanah
kemas kendiri.
Kutemui lagi sebatang kayu pancang
kondisi menyedihkan
berhalangan merintang arus masa
gelimpang rebah menyembam tanah,
Kutegakkan semula satu persatu
kayu pancang itu
berderetan memagari lamanku.
Eksploitasi situasi kepenggunaan
kitar semula,
Lestari kehidupan
kurancang terkehadapan.
Paridah Ishak
Selayang Utama
2 July 017
PIPIT DAN ENGGANG
Pipit yang tuli kerdil beruban
merempa rumpun meluyut menjulai
Padi kuning keemasan limpahan rezeki alam
penuhi kantung usus kecil.
Terbang berkawan ke lembah berhutan dara
di kaki bukit redup berlindung hidup.
Enggang di hujung dahan pohon tinggi
paruh menggonggong mangsa
jeling sipi pipit uban pipit tuli
Yang puas menelan beberapa butir padi
Pipit dan ennggang
lama bereggang
garnivore dan karnivore
sepsis beza ujud.
Enggang berparuh kukuh melayang angkuh
Sambar rezeki besar pantang melintas
Mengepak sayap lebar
kuasai kelemahan tidak setara
Pipit nan tuli beruban lagi
meleta santuni rimbunan samun
terbang merendah mengutip sebutir dua padi
di bumi Ilahi
serasi bersyukur.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE
MENJUMLAH MAHU
27 Oktober 017
Dengan kusyuk tawaduk
memanda PM Malaysia
menaksir Belanjawan Negara lewat sore hening.
Selonggok demi selonggok ringgit berjuta
disisih satu persatu
Merancang rencana bijaksana
cermat teliti mencongak kira
liputi segenap warga
mengambil endah perlu sebenar
daripada janin dikandungan hingga lanjut usia.
Terkedu menanggapi ketulusan perancang belanjawan
meski ekonomi ketara suram temaram
kesangsian dinafikan.
Helaian kertas meninta angka-angka
tidak sedikit jumlahnya.
Alhamdulillah!
Negara tercinta masih kaya raya
usirlah ragu menjauhi wasangka
justeru janji yang tertulis rapi
tidak dimungkiri
semata benar.
Insyaa-Allah.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE
PENA BERMATA TAJAM
Galaknya menari di lembaran kertas putih terbuka
Kadang mencoret luahan rasa yang berladung di sukma
Kadang melukis sketsa wajah secantik kenangan.
Pena bermata tajam itu
Pemiliknya di tulah sakit jiwa raga
Segala keboborokan menyilau pandang
biar terhapus dengan dakwat hitam penanya.
justifikasi terlalu lewa menghiliri waktu
membuatnya tertunggu termangu-mangu
dan tidak sabar menjadi penunggu.
Pena bermata tajam terus lincah rentak tarinya
Mencoret sambil melukis wajah serabut
kusut masai berjerabai
dan menggelapkan latar suasananya
Tenggelamlah subjek yang merumiti
Keangkuhan peribadi menyerlah diri
Apa mahu sebenarnya
sukar ditelah.
Pena bermata tajam itu
Leka melakar dan mengguris garis melukakan
tiada henti.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE
POLEMIK HAK
Hak apakah itu?
Hak diri meraih bahagia di tanah pusaka
hak diri berselesa sentosa pewaris watan
hak diri mencipta gemilang jaya di negara tercinta
hak diri melaksana impian kebersamaan warga
hak diri menyisir kemelut bergelut mahu
hak diri hindari ribut gejolak gejala ranah
hak damai suasana
hak walafiat sejahtera.
Mampukah diperjuangkan hak diri itu?
sedangkan hak diri semakin dinafi.
Usah terlalu pentingkan diri
demi keutamaan ditentukan
harmoni situasi begitu begini.
Terabailah hak wajar sebenar
Polemik kusut kejap tersimpul
boholnya sukar dirungkai
Toleransi membiarkan hak diri
terhakis perlahan.
Senyum tawar di bibir
merias wajah berbongkol rasa
ralat kejengkelan
dilema.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE.
BUAIAN
Di atas buaian dinihari
sebelum fajar tasdiq
dirona lembayung siang
ralit berbuai mengayun rasa
mengalun diksi puitis maha seni
ayat cinta Ilahi.
Himpunan lagu syahdu membiru.
mengulit sendu hingga tersedu-sedu
sebak meranum merunyam kalbu.
Diatas buaian dinihari
masih ralit berayun
meraup susun doa
mohon ampun dosa
reda yang Esa.
Alhamdulillah masih di atas buaian
berayunan membuai perasaan
jantung bergetaran
nadi masih berdenyut.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE
SADISME
Mengoyak luka
merobek hiba
menghancurlumat seluruh rasa
lampaui jangkau selaru haru
bersimpang perenang
melorong simpang logik benar.
kezaliman fenomena geruh situasi gerun.
War-war ngeri
seolah isu semula jadi
tidak wajar dipeduli
mengurai sangsi kejadian.
Namun sadisme cerita duka
gemar diperkata di bilik berita
mengulang-ngulangnya
bagai kelam gerhana purnama
merunyam rencam rencah hidup
bergejala era semasa
bukan luar biasa.
Apakah maksud hendak diberi?
Sulit membongkar nawaitu.
Tertanyalah kita wajarkah?
ledakan heboh ceritera tarbiah jiwa muda.
PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM
UNTAI BICARA METAFORA
Menang sorak kampung tergadai
renung minda fikir bernas.
Kokok berderai-derai sedang ekor gelumang tahi;
Di mana wajarnya?
Buka mata pasang
telinga,
tutup mulut simpan di hati.
Demikianlah sudahnya.
burung yang liar
jangan dilepas,
khabar yang mustahil jangan didengarkan.
Membisu terkedu
menggumam rasa.
Janganlah kala
mengail berumpan kata
bertipuan,
barulah mendapat apa dihajat.
Hasrat menghalal cara.
Peribahasa menyusun
kata pasti
setinggi-tinggi orang
melanting,
jatuhnya tetap ke bawah juga
Sambang penuh jala
terletak,
laut kering ikan menghempas
nyata tersurat maksud tersirat
berkias makrifat sinis lunak.
Perbidalan berperibahasa
Perumpamaan menyusun pepatah
falsafah merungkai seni makna.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE
BUKAN DUSTA
Kandungan ditatang teranggur gugur
di muka jendela dunia
tidak terbuka kelopak
mata
terkedu diharu sayu.
Dalam sujud dalam tidur
tanpa sedar jatuh tersungkur.
Tika duduk lesu tertunduk
kala berdiri bersendiri
lemah sendi.
Dalam tawa riang ria
hilang suara.
Dalam sedih sakit menjerit perit
digamit.
Dimana saja terpana
awan fana langit tinggi
luruh ke bumi di lembah sunyi
Di gunung ganang
terjunam ke jurang.
Di tengah lautan
tenggelam karam.
Di mana saja yang pasti
takdir-Nya adalah janji
tidak mungkin dimungkiri
Perkahwinan yang abadi
mengakhiri segala
mencipta bahagia.
Paridah Ishak.
Selayang Utama.
2 Okt 015.
MENGUKIR ARCA MERDEKA
Merdeka tanah air tercinta
merdeka maruah berharga.
Merdeka alam fana tiada sengketa
merdeka dalam sentosa damai.
Merdeka diri pesona ampuh
merdeka rohani jiwa murni
Merdeka hamba abdi Ilahi
merdeka lidah menghambat iri.
Merdeka hijrah jahiliah
merdeka cara bijak laksana.
Merdeka santun prihatin manusiawi
merdeka serakah saling berkongsi.
Merdeka dijulang bebas penguasaan
merdeka marhaen melontar miskin.
Merdeka daif tidak meleta
merdeka menaraf darjat.
Merdeka durja hati berdosa
merdeka hamba pulang pada-Nya
Merdekalah kita sebenarnya
merdeka di sisi-Nya.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE
WANITA BIARA ISTANA
EMAS
SYWENANDAW KYUENG
Berselendang ayu
santun sopan
merafak sembah
Pencipta di biara
Memperjuang damai
sentosa
tanpa cencangan
kezaliman membinasakan
demi hak manusiawi
berpertiwi
srikandi suci demokrasi
Myamar
Lalu dijulang melangit
tinggi
Hadiah nobel keamanan
1991
dikalung ke leher
jenjang putih
seorang Aung San Suu
Kyi
Sketsa ironi Rakhine
Melumur wajah ayu
wanita tegar itu
dengan hanyir darah
Rohingya
Serakah nafsu buas
penguasa menggejolak
Letusan api membara
memusnah segala
tidak mengira sisi
Rakhine juga Myanmar
justeru wanita
penguasa tertinggi
tega menyaksikan
pembunuhan Rohingya
tiada akhirnya.
Nyatanya Muslim dimusuhi
Diusir disapu bersih
keujudannya
membawa nasib diri
bergelandangan
mengemis keprihatinan
dunia
Muslimin meraup doa
tawadduk
mohon ihsan Ilahi
mengajar keadilan.
moga terlepaslah
kalung hadiah Nobel Keamanan 1991
melorot jatuh di kaki
wanita Aung San Suu Kyi
penamat derita
Rohingya
sekian lama.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE
SONETA MELAYAN RASA
Lemah melangkah
bergaya santun
hati gelisah melibang-libu
meraup angin menadah embun
menyapu wajah mengusir debu
Tidak terdaya karya dilakar
membawa diri reda berpasrah
kaki lemah tersadung akar
jatuh tersungkur menyembam tanah
Dirundung pilu terbawa-bawa
kepada dia hati merindu
sirnalah senyum menggersang tawa
sedih dan pilu bawa beradu
Semakin lama semakin
dalam
rindu ini gugah
perasaan
menggantung harap moga
bertemu
Pada yang jauh
berkirim salam
di dalam mimpi anyam
impian
peluk kenangan
mengurai rindu
Paridah Ishak
Selayang Utama
16/06/017
HIJAU
SAUJANA
Seluas
mata memandang
menjengah
lembah sawah berpermatang
susuri
rimba dara di kaki banjaran
hening
sepi bersatu kemenjadian alam
tiada
berpenghujung.
Mendamai
gejolak membara merah nyala api
membakar
rasa cerlang amarah.
Kini
sirna seraya dibuai alun bayu syahdu
mengipas
kesabaran merendam dingin kehangatan
lalu
mengurut dada
beristighfar
mengenang budi Ilahi
Subhanallah
Maha indah.
PARIDAH
ISHAK
SELAYANG
UTAMA SELANGOR
ANYAMAN IRADAT
Dan malam berlarut sepi
dinihari menanti fajar menyinsing
berdetak sekata mengansur waktu
beralih kasur lusuh
ranjang merenggang lena
tahajjud menggamit sujud.
Mengadu kekuranganya
menghampar resah di bidang tikar usang.
Kelarainya anyaman ceritera
tersulam silang menyilang
ranai hiba bertemali
tiada noktah.
Lagangan takdir sukar dirombak.
reda dahi bersujud
meraup doa
menanti jelma ajaib
bahagia sisa akhir usia.
PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL
PAHANG DM
SEJERNIH AIR
Kuangkat wuduk dengan kejernihan air mengalir
bukan mushammas bukan musataqmal bukan mutanajis
hanya air yang mutlak lagi putih lagi suci menyucikan
Bersumber air yang turun dari langit
air telaga air sungai air mata air
Sepasang tangan membasuh wajah
Moga wajahku tidak hitam di Mahsyar
berkumur-kumur meluah reja bersisa
Jemari membawa ke siku air berlalu
moga kitab amalanku di tangan kanan
Ubun-ubun jemala minda disapa dinginnya
Moga terhindar terik membahang mentari hari pembalasan
deria dengar kiri kanan disentuh juga
moga diampuni-Nya salah silap dengarku
diakhiri kaki dan telapak dicuci pasti
moga dipermudahkan-Nya ke masjid; meniti titian sirat
Setiap laku dengan ulangan tiga
Seraya meraup doa
basmalah bersyahadah
Melangkah ke sejadah
hanyut dalam laut ibadah
kusyuk berpaut
meraih tepian
destinasi harapan
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
301/2017
JANJI
PELANGI
Renyai
gerimis merelai
mutiara
jernih langit
meleta
merata persada
menggusar
labuhan sukma
rona
biru cita
sirnalah
cerah cuaca dipinta.
Mendung
mengurudung alam
melakar
sketsa tanda tanya
apakah
seterusnya?
Marhaen
menadah harap doa mustajab
Cinta-Nya
mengukir wajah pelangi
Melapisi
alam seluruh
Tanpa
gemuruh guruh
merejam
senja damai
dengan
kekalutan membahang sepi
PARIDAH
ISHAK
ULU
JEMPOL
PAHANG
DM
SEUNTAI
PERCAYA
Laksana
kalungan
malar melur harum
membugar
dititis jernih gemerlap embun pagi
terselit
ayu dibawah labuhan kerudung.
Menguntai
kepercayaan memudar ragu
walau
hanya sekelumit rasa.
Menyerlah
cinta obsesi melampaui.
Kewajaran
hanya polemik berpanjangan
Menyimpul
bohol kerumitan
sukar
dirungkai.
selama
masa membiarkan.
Justeru
menggugurkan untaian kepercayaan sebenar
fatamorgana
ilusi
menjati
atma selama.
PARIDAH
ISHAK
ULU
JEMPOL
PAHANG
DM