Saturday, April 9, 2016

SERUMPUN LALANG

ASSALAMUALAIKUM...

SERUMPUN LALANG

Berumpun lalang tegak mendongak
Dari tanah menghunus tombak
Melukakan kaki terpijak
Sukar terelak
Daunnya keras kejung
Menghiris pantang terguris
Tanpa maaf lagi sinis
Putih bunganya bersepora benihnya merata
Membawa semangat juangnya berpijak di bumi nyata
Di desa desa di kota kota
Sayang lalang menjulang
Tiada yang berani halang
Walau menjolok mata memandang
Namun gertakan pawana nan berhembus kiri kanan
Melentokan diri kadang kiri kadang kanan
Menyandar kekuatan


PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA.

Wednesday, April 6, 2016

MENJAWAB HIDAYAH...

ASSALAMUALAIKUM...

Ada suara seakan berlagu merdu menyapa deria dengarku sewaktu aku melewati koridor menghala ke dorm Angsana. Terdetak hatiku memaksa kaki menghentikan langkah segera untuk mengambil tahu  siapa orangnya yang bernyanyi dengan sangat lunak dan indah itu. Mungkin pemilik suara itu adalah kawan yang sangat rapat denganku. Atau seorang kawan seasrama saja. Tidak kisahlah siapapun dia. Yang pentingnya mestiku ketahui siapa orangnya. Hatiku ini begitu terpaut dengan lenggokan suaranya yang menggoda tika mengalunkan suara melagukan senikata yang langsung tidak ku fahami itu.
Eh! Inikan bilik solat pelajar pelajar asrama Tunku Puteri. Aku menjenguk ke dalam setelah menyelak daun pintunya yang sedikit renggang. Kelihatan kepadaku dua sosok tubuh berada di dalamnya. Seorang sedang berdiri dan seorang sedang duduk menatap al quran yang terbuka. Oh! Yang seorang itu sedang solat dan seorang lagi tekun mengaji alquran. Aku tahulah itu. Akupun bukan baru bersekolah dan tinggal di asrama ini. Agak bertahun juga sejak dipilih antara pelajar yang dihantar meneruskan pembelajaran di sekolah berasrama di semenanjung Malaysia daripada Sabah negeri di bawah bayu.
“Apa yang terintai-intai tu Rin! Masuklah. Kau cari aku ya?”
Aku tersenyum sekilas membalas sapaan Hayati. Rupanya suara sahabatku Nurhayati aini yang merdu amat itu. Selama ini aku tidak tahu  pula sahabatku itu miliki suara yang meruntun hatiku sehingga berkesan dirasakan.
“Tak apalah Yati aku nak ke bilik kita nak ambil buku fizik. Cadang nak studi di bilik studi. Nanti kau datang join aku ya. Aku nak minta tolong kau ajar cara nak jawab soalan add math yang cikgu Roslan beri di kelas semalam.”
“yalah Rin nanti aku datang ke sana selepas aku solat dhuha ya.”
Aku segera meninggalkan Nurhayati aini menyelesaikan apa yang difikirkan mahu dilakukannya. Sedang hatiku masih terasa terlalu nyaman disapa suara indah sahabatku itu mengaji sebuah surah al quran. Teringin  aku hendak mendengar sahabatku menarik suaranya mengaji lagi. Mengapa kini hatiku diserbu galau lantaran hanya mendengar suara merdu Nurhayati aini membaca al quran?  Hairan sungguh aku kerana selama ini aku kerapkali juga mendengar suara kawan kawan yang seasrama membaca alquran tapi aku tidak pernah pun ambil pusing.
Aku Irene Enson seorang gadis Kadazan Dusun yang amat setia membawa risalah bonda Maria ke mana saja. Sahabatku  Nurhayati aini mengenali siapa aku dan tidak pernah bertanya apapun tentang amalan yang menyatu  di jiwaku itu. Dan aku tidak pernah mempengaruhi sesiapapun mengikuti apa yangku percayai dan yakini.
Nurhayati aini sudah berada di sisiku dan menarik kerusi kayu untuk diduduki sambil meletakan fail notanya dan beberapa buah buku tebal.
“Kau bijaklah yati selalu skor markah tertinggi dalam fizik, kimia dan add math juga sedang aku study hardsampai tak cukup tidur tapi markah yang diberi cikgu kita cuma cukup makan saja. Tapi aku tengok kau studi taklah lewat sangat tapi selalu aku tengok kau bangun pukul empat pagi dan hilang dari bilik. Kau kemana Yati?”
“Oh! Itu dah jadi amalanku Rin. Bangun awal pagi, mandi, solat sunat, mengaji sekejap kat bilik solat dan balik ke bilik. Studi sekejap dan bersiap untuk ke sekolah selepas kita sarapan.”
“Kau bangun awal pagi tapi tak nampak pun macam kau ni ngantuk dalam kelas.” Pertanyaanku perlukan penjelasan konkrit daripada sahabatku itu.
“Kenapa pula nak ngantuk sebab aku tidur selepas habis waktu studi yang ditetapkan asrama kita saja. Tidur awal, bangun awal kan mudah tu.  Tidur cukup badan sihat mindapun cergas. Aku kalau tak cukup tidur memang letih dan tak boleh fokus apa yang cikgu ajar.”
“Bolehlah aku tiru carakau tu?”
“Boleh. Kau boleh temankan aku solat sambil studi.”
“Tapi bolehkah aku masuk ke bilik solat bersamakau sedangkan aku tak sama dengankau?”
Ragu pula aku mendengar kenyataan sahabatku itu.
“Apa pula tak samanya. Kita tak berbeza apapun  hanya pada akidah saja tapi tetap hamba kejadian Allah. Kau bersih tubuh badan tanpa apa-apa najis tak jadi masalah. Tapi kalau menutup aurat lebih baik. Macam peraturan kita nak masuk ke masjid di negara kita tak mengira siapa kan.  Kalau kau keberatan nak temankan aku di bilik solat kau tunggu saja di bilik kita. Aku solat dan ngaji sekejap saja.”
“Memang aku tak keberatan nak temankan kau kalau tiada masalahnya sebab aku cuma bimbangkan menjadi kesalahan pula non-muslim berada di bilik solat.”
“Tidaklah Rin. Mana soalan add math yang cikgu Roslan beri ? Jom kita sama-sama selesaikan.”
Aku mengunjukan buku yang kucatatkan soalan dimaksudkan  Nurhayati aini itu. Cepat saja sahabatku itu mencapainya.
“Mana soalan yangkau tak faham? Biar kita sama-sama selesaikan.”
“Semuanya aku tak faham Yati hih..hih..”
“Eh! Kau ni Rin, selalunya gitu.  Datang dari jauh terbang naik belon nak jawab soalan add mathpun tak reti.”
“Wah! Mengenakan aku Nampak. Nak merajuk ni.”
Sorry Rin gurau je hih..hih…aku pun tak pandai juga tapi bolehlah aku tolong setakat yang aku tahu.”
Amatku kagumi cara Nurhayati aini mengajarku  menyelesaikan semua soalan add math yang diberi cikgu Roslan dengan tepat jawapannya.
“Aku nak balik kampung minggu ni, kau nak ikut? Aku rasa aku dah tahu jawapannya kot. Rasanya mesti tak boleh tu. Sebab selalunya kau akan ikut cikgu David ke gereja pada hari ahad kan. Cikgu David tu pun Nampak amat baik dan rajin memperhatikan kebajikan kau dan kawan kawan kita yang berasal dari Sabah.”
“Kalau kau ajak nak saja aku ikut. Aku memang tunggu pelawaan kaupun. Tapi kau tak pernahpun mempelawa. Aku teringin juga nak melawat kampung kau di pinggir sungai Pahang tu.”
“Nanti cikgu David tak marahkah kalau kau tak ikut program untuk pelajar pelajar Sabah yang ditetapkan?”
“Tidaklah!  Tiada kena mengenapun program tu dengan peraturan yang kami perlu patuhi. Cuma cikgu David memang rajin berbuat kebajikan dan berdakwah dengan caranya. Baru ni Mei Lin pun ikut kami ke gereja. Katanya dia sedang tercari-cari sesuatu yang seharusnya menjadi pegangannya dan cikgu David sedang berusha membantunya.”
Wajahku tersenyum manis mengamati wajah polos Nurhayati aini yang merenungku tajam.
“Hmm! Begitukah?”  suara sahabatku itu seolah mengandung sesuatu yang termengkelan di kerongkongnya. Hambar  dan tidak menggembirakannya menerima kabar yang kuberitahu.
Dia mungkin terkenangkan wajah pelajar tingkatan empat Sains Satu yang berasal dari KL dan agak rapat dengannya.
Seorang pelajar perempuan meluru ke meja kami. Dan tercegat menyusun kata menyampaikan maksudnya serta-merta.
“Kak Yati! Kak Rin! Swee lin demam. Panas sangat badannya.”
“Iakah? Kau ikut Suriyani pergi tengok Swee lin dulu Rin. Aku pergi beritahu cikgu Norehan. Bolehlah kita segera bawa Swee lin k e hospital.”
Aku mengikut Suriyani melangkah pantas menaiki tingkat dua yang menempatkan dorm Melor yang dihuni Suriyani juga Swee lin bersama beberapa orang lagi rakan sebilik mereka. Membiarkan sahabatku mengorak langkah menemui cikgu Norehan yang tinggal bersama suaminya di bilik yang sebangunan dengan asrama putera yang menempatkan pelajar pelajar lelaki. Cikgu Norehan adalah penyelia asrama puteri yang kami semua pelajar perempuan tempati. Dan suaminya pula adalah penyelia bagi asrama putera. Kedua-duanya adalah mereka yang bertanggungjawab keatas kebajikan dan kemasyhlahatan kami pelajar  pelajar lelaki dan perempuan yang diamanahkan pihak sekolah dan yang berwajib.
Sementara aku dan Nurhayati aini pula adalah pembantu kepada guru berdua itu dalam mempermudahkan sedikit urusan mereka sebagai ketua dan timbalannya di asrama Tunku Puteri ini. Setiap apa yang berlaku di sini, pelajar pelajarnya akan merujukiku  atau Nurhayati aini sebelum dibawa ke pengetahuan  penyelia asrama untuk dapatkan apa saja solusinya yang diperlukan.
“Nampaknya kau kena masuk wad Swee lin. Jangan risau sangat ya. Insya-Allah kau akan segera pulih. Kami semua mendoakannya,” tutur cikgu Roslan lunak dan cikgu Norehan tersenyum sambil menggenggam erat jemari Swee lin.
“Nanti kak Yati akan datang bersama kak Rin pabila habis waktu sekolah melawat kau ya.”
Sahabatku itu merenungiku memohon kepastian yang ragu untukku berikan. Maklum bukan mudah sesuka hati keluar daripada asrama tanpa keizinan penyelia asrama.
“Ya cikgu berduapun akan selalu ke sini melawat Swee lin bersama Irene dan Nurhayati. Awak berehatlah. Makan ubat dan dengar nasihat doctor ya. Ada apa-apa lagi yang awak mahu beritahu saja. Anggap kami di sini adalah pengganti kepada mama papa awak yang jauh dan tak dapat nak datang segera sebab ada urusan bisnis di luar negara.”
“Terima kasih banyak cikgu Norehan, cikgu Roslan, kak Rin, kak Yati kerana telah banyak membantu saya di saat sakit begini. Rasanya semua keperluan saya di sini dah cukup tu. Cuma saya terlalu ingin nak dengar suara kak Yati mengaji alquran. Sebab setiap kali saya lintasi bilik solat dan dengar suara kak yati mengaji hati saya terasa tenang dan damai. Dan ingin selalu mendengarnya.”
Aku, Nurhayati aini, cikgu Roslan, cikgu Norehan saling berbalas pandangan.

“Baik. Akan kak tunaikan permintaan adik tu. Kebetulan kak memang bawa surah yasin dalam beg kak ni. Bolehlah kak ngaji sekejap kan cikgu?” wajah sahabatku itu kelihatan bercahaya kepadaku dan ada air mata yang menggenangi kelopaknya.  

TAMAT.

Tuesday, April 5, 2016

KENAPA KAU PILIH DIA?

ASSALAMUALAIKUM...

Cerpen:
Kenapa kau pilih dia?
Karya:
Paridah Ishak.

DIALAH jantung hatiku satu-satunya. Tiada dua tiada tiga. Seluruh keperluanku, keluargaku, anak-anakku hanya tergantung kepadanya. Tidak kasihankah kau kepadaku yang tidak punyai apa-apa sepertimu yang ketara miliki segalanya. Mengapa tidak kau biarkan kehidupanku lancar berterusan tanpa gangguan yang kau timbulkan.
Pilihanmu adalah hakmu menentukannya. Mungkin langsung tidak ada apa salahnya untukku pertikaikan tapi ada sudut-sudutnya yang boleh dipersoalkan kewajarannya. Hakmu pasti kau pertahankan dan begitu juga aku. Selagi termaktub aku berhak terhadap sesuatu itu akanku pertahankan sehabis kudrah.
Suratan pula menentu takdir-Nya. Usahaku sudah bersungguh mempertahankan hakku dan anak-anak agar tidak direnggut daripada genggaman tanganku dan diberikan  sebagai anugerah teristimewa kepadamu pula.  Apalagi yang dapatku kata selain merenung penuh sayu berbaur sesal teramat.
Barangkali kau merasakan tidak pernahpun mengambil apa-apapun yang menjadi milikku kerana jasad yang berjiwa, berhati nurani kadangkala bolak balek hatinya dan keputusan yang diperhitungkan tidak semenggah yang didambakan.
Itulah kemungkinan besarnya yang berlaku kepada diri pilihanku dan kini adalah diri pilihanmu. Pertarungan, pergelutan, pergolakan yang menimbulkan kerusuhan jiwaku angkara olahmu terpaksaku hadapi dengan air mata berlinangan kesedihan. Habis apalagi yang mampu ku buat selain menjuraikan air mata kesedihanku. Sungguh kau tidak berhati perut.  Langsung tidak kasihan kepadaku. Astaghfirullah! Berdosanyalah aku mengadilimu begitu. Hak Allah hendakku ambil pula buat menambah dosa yang sedia ada.
Namun suara hatiku selalu membisik begitu di dalam dunia sedar dan lenaku. Melupakannya, menghambatnya jauh agar tidak berlegar lagi di rongga-rongga kalbuku mengelirukannya dan meninggalkan efek negatif telah berusahaku laku.
Terngiang-ngiang jua masih. Memeningkan, membingungkan. Harus ku ingat danku sedari bahawa diri kesayanganku, kecintaanku itu bukan lagi siapa-siapa denganku dan tidak layak bagiku merasai luhur sucinya seni halus jiwa itu.
Sifat terlalu mencntai itu walau lumrah dan telah ditanam Allah ke dasar sanubari kita tidak seharusnya melebihkan  pula rasa cinta kepada yang berhak sesungguhnya terhadap rasa cinta kepada Allah Azzawajalla. Laluku pujuk hatiku dengan berkata sesuatu yang tersurat takdirnya ada hikmah yang membawa rahmah.
Sendirianlah aku. Walau sepi, walau sunyiku tanggung sendiri. Terlalu berat sangatkah masalah itu bagiku? Rasanya tidakpun. Hidup perlu diteruskan walau ujian-Nya merintang sepanjang perjalanannya. Kesedihan, kedukaan tidaklah selalu membentuk mendung hitam yang menabiri alamnya sehingga sentiasa sangsi dan ragu untuk mengatur apa saja perancangan ke arah kehidupan sebaik mungkin.
Suratanku sejak azali begitu takdir-Nya. Dan kuterima dengan reda. Jikalau telah reda semata tidak perlulah lagi ada sifat iri antara sesama kita. Biarkan perjalanan hidup kita lancar berterusan ke destinasi akhirnya tanpa olah tanpa bantah.
Siang malam bergantian dan kitapun leka menjalani urusan tanpa memikirkan permasalahan antara kita. Tidak langsung mahu mengambil peduli apapun lagi yang bersangkutan dengan masalah yang telah ditinggalkan bersamaku. Justeru ia adalah semata-mata masalahku saja. Tiada kena mengena denganmu dan diri yang telah jadi pilihanmu itu.
Yang diinginkan berlaku sebgitu tidak pula jadi begitu. Jauh pula menyimpang daripada sasaran sebenarnya. Hendak mengalih sasaran kea rah yang betul tidak tahu pula. Pening kepala memikirkannya.
Sudahnya kerisauan yang mengganggu fikiran seakan mengheretku sasau. Kesasauan yang tidak diingini akal sihat normal. Mengenangkan nasib malang anak-anakku menggapai masa depannya laksana anak-anak orang lain seakan kabur sekali jalan yang dilalui mereka merusuhkan hatiku.
Mengapa tidak mahu menafkahkan anak-anak darah dagingnya sendiri sedangkan ayah kepada anak-anakku itu tidak berkurang suatu apa. Tentu tidak akan menjadi miskin kerana menyara kehidupan anak-anaknya yang berempat yang masih kecil itu. Diri yang telah menjadi hakmu kini juga adalah hak anak-anaknya sejak mereka lahir ke dunia. Dulunya mereka dimewahkan dengan kasih sayang, perhatian rapi segenap segi ayah kesayangan mereka sebelum kau hadir kerana ayah mereka orang berada. Kini setelah hadirmu jadi sebaliknya pula.
Membiarkan bekas isteri yang tiada harta sepencarian yang ditinggalkan walau sedikit buat menyara hidup semua zuriat suaminya mampukah dilakukannya. Nescaya langsung tidak. Marah sungguh bekas suamiku yang kini adalah suamimu kepadaku hingga sanggup menganiaya aku dengan tidak menafkahi anak-anaknya lantaran kemahuanku memohon perceraian di mahkammah syariah.
Jikalau marahkan aku janganlah libatkan anak-anak darah daging sendiri menanggung akibat daripada kemarahan itu.

Namun tidak dinafikan memang ada suami yang tahu tanggungjawab mereka, tetapi sengaja
tidak mahu beri nafkah kerana dalam diri mereka telah tertanam sifat mahu balas dendam
terhadap bekas isteri yang telah bertukar jadi musuhnya.
Ada juga beri alasan tidak bekerja ataupun telah berkahwin baru dan mereka tak mampu untuk
beri nafkah anak.
Tapi ayah kepada anak-anakku itu tidak tergolong dalam kalangan mereka yang tidak
berkemampuan yang boleh dijadikan alasan untuk mengelak bebanan tanggungjawab yang
semestinya dipikul.

Apa perlunya suamimu itu memusuhi bekas isterinya yang sudah dibuangnya ini?  
Anak-anak adalah nasabnya yang tidak boleh dipertikai sampai bila-bila. Apakah kau memain
peranan sebagai jarum penyucuk agar diri pilihanmu itu membenci anak-anaknya? Boleh jadi
aku hanya berprasangka tapi kemungkinan itu sentiasa ada. Semoga apa yang kurasakan
hanyalah fitnah bisikan syaitan durjana.

Pengabaian nafkah sara hidup kepada anak-anak suamimu itu amat memenderitakan kehidupan
mereka yang selama ini tidak pernah merasainya sepanjang hidup di samping ayah kesayangan
mereka. Hairan pula dengan perubahan sikapnya yang berlaku dalam masa semalaman itu.

Agaknya kau telah sihirkan diri pilihanmu itu agar membenci anak-anaknya sendiri? Ish! Sekali
lagi hatiku dirunyam sangkaan-sangkaan yang sukar ditebak kebenarannya. Walau segalanya
adalah langsung tidak mustahil lantaran sifat ilmu pun ada dua. Ada hitam ada putih. Sejak
purbakala keujudannya dan firman Allah menegaskannya di dalam lembaran surah-surah alquran
yang suci. 

Paranoia pula aku melebihkan rona situasi yang melengkungiku sehingga fikiranku bercelaru
bersimpang perenang.  Entah kemana halanya destinasi tidaklah pasti. Namun kesulitan corak
kehidupan yang terpaksa didepani anak-anakku membuat fikiranku sering diganggu tanggapan
yang bukan-bukan. Ah! Melayan perasaanpun tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Lebih
baik aku mengerah mindaku berfikir bagaimana aku mahu meneruskan kelangsungan hidup
daripada tiada kepada ada.

Untuk sesuap nasi demi anak-anak tersayang aku terpaksa membuat apa saja perkerjaan yang
mendatangkan imbuhan sesuai dengan apa yang kulakukan. Di subuh hari sudah terbongkok-
bongkok menoreh getah. Sebelum embun jantan yang luruh ke daun beransur kering bersedia
pula dengan timba yang akan mengumpul susunya dan membawanya ke tempat pengumpulan
untuk pemesinan susu getah setelah dibekukan.

Sekerat hari masaku berada di mandala kebun getah yang redup buat mengais sedikit rezeki
Allah. Mujur juga ada tanah getah pusaka yang sekangkang kera diwariskan gemulah kedua
ibapaku. Dapatlah aku mengais rezeki di atasnya. Kelelahan tubuhku tidakku pedulikan dengan
mengupayakan tenaganya yang telah berkurangan itu dengan mencangkul tanah untuk bercucuk
tanaman pula. Hasil tanamanku kelak bolehlah dijual untuk memenuhi sedikit keperluan hidupku
dan anak-anak.

Cili padi, terung, kangkung, keledek, ubi kayu sentiasa ada di batasnya. Tanaman yang mudahku
urus dan agak rentan dengan serangan penyakit tumbuhan. Selain menambah pendapatan dapat
juga menjimatkan belanja sayur di dapur dengan hanya membelinya saja. Ayam dan itik turut diternak untuk dapatkan telurnya. Sesekali atau selalu lebih tepatnya keluargaku berlauk telur pelengkap hidangan santapan.

Pandangan sepasang mata yang keletihan tubuhnya samar dan kabur namun setiap malam
tanganku ini sentiasa bermain bersama jarum, benang dan gunting untuk menjahit pakaian
tempahan mereka yang berhajat. Karya jahitanku tidaklah terlalu kemas dan cantik tapi yakin
sajalah dengan kemahiran diri yang sedikit itu. Mentelah hanya itulah ilmu yang ada untuk
dimenafaatkan sebaiknya demi kelangsungan hidup. Ilmu kemahiran hidup yangku perolehi
darpada kelas Sains Rumah Tangga sewaktu bersekolah dan kelas jahitan di kampong anjuran
pihak berwajib kugunakan sebaik mungkin.
           
Susah payahku tidaklah berpanjangan setelah anak-anakku semakin dewasa walau tidak
mendapat pendidikan hingga ke menara gading melunasi setiap impian ibu bapa terhadap anak-
anak kesayangan mereka. Masing-masing menolak menyambung pelajaran ke peringkat yang
lebih tinggi dan memilih berkerja mencari pendapatan setelah tamat persekolahan menengah.

Agaknya anak-anakku itu kasihan terhadap ibunya yang seorang ini dan tidak mahu lagi
membiarkannya mengais rezeki pagi dan petang bersambung malam bergantian hari.
Aku sudah alah bisa tegal biasa saja. Walau lelah walau letih namun kebiasaan yang telah
menadi diri dan selamanya berada di lengkongan keperitan hidup bukan ruang keselesaan tidak
membawa makna apa-apa. Padaku selagi ada daya kemahuan apa saja akan tertunai.

Melakukan kebiasaan yang melekakan membuatku terlupa dengan cabaran hidup dan
masalahnya yang perlu diselesaikan demi masa yang berlalu. Mendung yang menabiriku
semakin berarak lalu. Sekitar suasananya telah cerah indah, biru lagi mendamaikan. Syukur
Alhamdulillah di atas karunia-Mu ya Allah.

Seseorang berdiri di muka pintu. Ku sambut huluran tangannya sambil tersenyum berbudi
bahasa. Tidak asing padaku wajah yang hadir di sisiku itu. Cuma aku tidak tahu apakah
tujuannya menemuiku. Adakah nawaitunya bermaksud baik atau sebaliknya. Hati perut orang masakan dapat ditebak isi kandungannya. Meneka-neka pun tiadalah gunanya. Biarkanlah dulu pertanyaan tentang itu berladung dalam hatiku menanti jawapannya dengan sabar.

Terkedu seketika. Tidak tahu pula untuk memulakan perbicaraan.
“Kau sihat Iza? Dengar khabar kau hendak ke Mekah. Ini yang aku datang menziarahi kau ni.
Bukankah kau ni sahabat aku.”
Hmm…sahabat aku rupanya diri yang terhenyak di atas sofa ruang tamu rumahku ini. Aku pun
sudah terlupa bahawa dia adalah sahabat lamaku. Sahabat yangku kongsi susah senangku
bersamanya.

Riang bercerita dengan gelak tawa pengalaman apa saja. Sering pula menemaniku menghabiskan
percutianku bersama anak-anak dan mantan suami kecintaanku di mana saja. Jalenan
persahabatan antara kami amat erat dan akrab. Aku merasakan hatiku berkata bahawa dialah
sahabatku dunia dan akhirat. Harapanku terabadi selamanya.

Adakalanya panas tidak sampai ke petang dan hujan menyimbah pula di tengaharinya.
Musnahlah harapan yang dipertaruhkan. Sahabatku dunia akhirat yang dibayar suamiku suatu
ketika dulu sebagai guru tusyen anak-anakku tidak pernah akan kuduga sanggup bermain mata
apatah lagi bermain cinta dengan suami sahabat baiknya sendiri. Setelah permainan cinta
berlangsung dengan jayanya dikejutkan aku dengan berita perkahwinan mereka di sempadan
negara.

Sahabat baikku dunia akhirat ini juga telah memberi kata dua kepadanya supaya memilih antara
dua. Samada memilih isteri pertamanya atau dia. Mendengar itu akupun tidak mahu
menyusahkan lelaki pilihan yang menjadi rebutan itu dengan cepat-cepat mengajukan
permohonan tuntut cerai di mahkamah syariah. Firasatku mengatakan tada guna
mempertahankan perkahwinan yang telah menipis rasa cinta antaranya. Perkahwinanku pun
termansuh dengan izin-Nya.

Gelaran ibu tunggal yang ditinggal dengan penuh kerelaanpun melekat kejap pada diriku.
Relakah diceraikan? Sedihnya hanya hati yang merasainya.
“Bilakah kau hendak bertolak ke Mekah?”
“Tidak lama lagi dengan penerbangan MAS yang keenam.”
“Maafkan semua salah sillapku ya Iza…sampai di sana jangan lupa berdoa supaya sahabatmu ini
juga akan ke sana.”

Berlapang dadakah aku untuk menerima tuntutan maaf hamba Allah ini yang terlalu banyak melukis warna kesedihan di atas kanvas lukisan hidupku ini? Insya Allah! Jesteru perjalananku menemui-Nya tidak mahuku membawa urusan-urusan yang menggendalakan sebarang niatku kelak.

Manis dan molek sungguh susun atur bicara wanita anggun ini. Seolahnya antara kami tiada kisah yang terjadi mengocak rasa. Tenang dan nyamannya hubungan persahabatan bagai air di tasik biru di bawah malam disinari cahaya rembulan.

Yang mendengarnya hanya tersenyum polos.
“Kau bila pula nak ke sana. Duitpun sudah juta-juta.”
“Belum sampai seru lagi kata abang. Dan masih banyak ringgit  yang perlu dicari untuk bekalan masa depan nanti.”
Bersyukur sungguh aku kerana Allah memilihku menyahut seruan-Nya untuk bertamu ke tanah suci-Nya walau aku tidak kaya dan seadanya saja. Alhamdulillah!

Monday, April 4, 2016

MERCU TANDA

ASSAKAMUALAIKUM...

CERPEN:
MERCU TANDA
OLEH:
PARIDAH ISHAK.



Lantaran kesukaran hidupnya dia terpaksa meninggalkan alam persekolahan awalnya tika itu. Namun ada seorang adik abahnya yang baik dan bersimpati dengan nasibnya yang terumbang-ambing dilambung gelombang hidup itu berusaha menyekolahkannya semula. Seorang anak yang tidak ada sesiapa lagi yang memperhatikan kebajikan dan kesejahteraannya. Hidup terlonta-lonta kehilangan ibu dan ayah yang entah ke mana berpergian. Masing-masing membawa diri setelah mengucapkan salam perpisahan. Perceraiaan kedua ibubapanya berlaku kerana masing-masing sudah tidak sefahaman lagi dan perlu menjalani hidup masing-masing tanpa sebarang ikatan.Dia dan abangnya adalah mangsanya dan ditinggalkan begitu saja di sebuah rumah di pinggir desa.
Prestasinya di bidang akademik memang menyerlah juga. Mampu mendapat gred 2 dalam peperiksan SPM (SIJIL PELAJARAN MALAYSIA). Tika itu bukan senang juga untuk mendapat gred kejayaan sebaik itu di dalam SPM. Kebanyakan calon-calon yang mengambil peperiksaan hanya mendapat gred3 atau gred 4. Dan langsung tidak bergred. Maknanya gagal dalam semua subjek yang diambil dalam peperiksaan  itu.

Lepas SPM dapat pula menjadi guru sementara di tempatnya bersekolah dulu itu. Tapi tidak lama terpaksa berhenti pula kerana ada kes merotan pelajar dengan teruk yang melibatkannya. Dia memang tidak ada tokoh sebagai guru yang baik kerana hobinya yang suka merotan pelajar pantang ada kesalahan sedikit. Barangkali sudah terbiasa dengan cara didikan bapa saudara yang menjaganya sejak kecil sepeninggalan ibu ayahnya. Pantang ada kesilapan yang dirasa dilakukannya selain dimarahi deraan kesakitan pun akan diberi. Cara didikan yang tiada kena mengena dengan kaedah Montesseri yang biasanya dipraktikan pada pendidikan awal kanak-kanak..

Setelah berhenti kerja sebagai guru sementara dapat pula tawaran memasuki maktab perguruan Tapi dengan senang hati ditolaknya kerana dia ingin berkerja dan mengumpul wang untuk mengubah penghidupan daifnya.  Bukannya membuang masa dengan belajar saja pada perkiraannya. Lagipun dia memang tidak berminat sebagai guru.
Bimbang pula akan bidang yang dipilihnya itu membawa kemudaratan kepada anak-anak didiknya dengan sikapnya yang mudah naik angin dan cepat panas baran itu. Dia menyedari kelemahan dirinya itu. Baginya mereka yang bergiat dalam bidang ini seharusnya mempunyai sifat kesabaran yang amat tinggi dan bijak menangani isu anak-anak didik mereka yang beragam kerenahnya. Sifat baik, suci murni itu dirasainya tidak ada dalam dirinya.

Berhijrah pula ke Kuala Lumpur menumpang hidup dengan abangnya yang sulung. Abangnya itu telah berkeluarga dan berkerja di dalam majlis bandaraya sebagai seorang kakitangannya. setelah menumpangkannya tinggal bersama bapa saudaranya buat sementara saja katanya. Tapi bertahun-tahun juga abangnya itu tidak pulang menjenguk dirinya. Menumpang lagi. Kali ini menumpang dengan abang sendiri. Masalahnya tetap ada, Berhadapan pula dengan kerenah kakak iparnya yang sentiasa cemberut mukanya kerana tidak menyenangi kehadirannya di tengah keluarga itu.

Lantaran dia semakin dewasa dia tidak ambil kisah lagi kesemua masalah yang menekan emosinya itu. Dia asyik dengan kerjanya. Kerja sebagai kuli pembina bangunan tinggi. Kebanyakan bangunan tinggi yang menjulang di bandaraya ini ada keringatnya yang tumpah di situ. Sambil matanya melingas merata mengawas pandang bangunan-bangunan tinggi yang dulunya adalah mercu tanda bandaraya ini.
Kini bersaing keujudannya dengan bangunan-bangunan lain yang sama tinggi dan ada yang jauh lebih tinggi. Asas membina bangunan yang sama saja iaitu, tanah, besi cerucuk/konkrit, bata, bata blok, pasir halus, pasir kasar, kapur dan simen walau setinggi mana dan bentuknya seakan apa. Dan pelbagai kelengkapan yang diperlukan ada pada sebuah bangunan itu.
Dan di tapak pembangunan yang banyak berselerak di serata pelosok bandaraya kini dipenuhi perkera-perkerja warga asing dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan, Vietnam dan lain-lain negara. Tidak berlaku suasana itu 20 tahun dahulu ketika dia dan kawan-kawannya warga tempatan yang mendominasi setiap peluang perkerjaan kasar begitu.
“Rajin lu kija aaa!”
“Mestilah kena rajin berkerja Seng. Kalau tidak bagaimana nak hidup?”
“Baguih! Baguih! Kerja baik-baik ya. Tapi hati-hati bawa simen ke atas sana ya. Tinggi woo! Terjatuh mati ooo!”
Ah Seng menepuk bahunya sambil tersenyum manis kepada pekerja yang dibawah pengawasannya sebagai penyelia projek itu.
‘Yalah Seng. Aku pun masih muda dan belum terfikir mahu mati lagi Seng. Ingin juga kubina hidupku dengan megah setinggi bangunan yang mencakar langit biru itu.’
“Jomlah kita pergi makan. Dah masuk waktunya ni.”
Sapaan lunak daripada sisi kanannya membuatnya menghentikan kerjanya mengaup pasir yang dimasukan ke dalam mesin penggaul simen.
“Wah kau dah turun dari aras 16 ya?”
“Hmm… mujur juga lift barang tu tidak ada apa-apa masalah hari ni. Cepat saja aku turun sampai bawah. Selalu tu asyik tersangkut-sangkut saja.”
“Lift dah lama Sir. Macam-macam barang diangkutnya. Lama-lama meragam juga.”
“Dah tau lama gantilah dengan yang baru. Ini menyusahkan perkerja saja. Kerja nak cepat siap tapi alatannya setakat ada saja. Projek bangunan juta-juta tapi keselamatan perkerja tak diambil kira. Dibuatnya lift tu yang aku nampak dah semakin haus pengikatnya terbarai waktu kita sedang di dalamnya, mahu kemalangan dibuatnya. Soal keselamatan waktu berkerja ni penting dijaga taukeh kita tu Man.”
“Betul tu Sir. Aku setuju sangat dengan kau. Nanti aku cuba cakap dengan Seng tentang perkara tu. Harapnya dia ambil berat tentang masalah tu.”
“Lift tu perlu untuk melancarkan lagi kerja kita. Bukannya kita nak minta bawa balik rumah pun kan.”
Dia tersenyum sekilas menyambar lelucon kawan sekampungnya itu. Kawan yang sangat akrab bersamanya ke mana saja dan di mana saja. Sama-sama ke sekolah. Sama-sama merayau segenap ceruk kampungnya mencari ikan di paya di sungai, tali air dan di laut yang kemudiannya dijual kepada peraih yang membelinya untuk mendapatkan wang buat belanja harian dan persekolahannya. Kini kawannya itu bersama dengannya mengais rezeki di tapak pembangunan di tengah bandaraya pula. Kawannya yang seorang ini amat mengerti corak kehidupannya yang terpaksa hidup menumpang walau dengan bapa saudaranya sendiri.
Hanya menumpang tinggal semata. Hendakkan keperluan lain carilah sendiri dengan berusaha apa saja. Sikap mandiri dipelajarinya tanpa siapa mengajarnya. Namun demi kelangsungan hidupnya yang perlu diteruskan selagi ada hayat di badan apa saja sumber yang mendatangkan rezeki perlu dicari. Tidak hanya berpangku tangan mengharapkan yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek..
“Kau mesti penat sangat mempoles simen kat atas tu sebab tu asyik merungut saja ni.”
“Dah kita berkerja mestilah penat Man. Peluh lenjun ni menahan panas nak habiskan kerja tu. Tak ramai yang sanggup buat kerja macam kita ni. Semuanya nak jadi cikgu, nak jadi, kerani, nak jadi askar, nak jadi polis, nak jadi peon. Tak adanya yang mahu jadi kuli buat bangunan macam kita ni.”
“Dahlah tu Sir. Selagi perut kau tu tak diisi, selagi tu lah kau melalut. Jom kita pekena nasi kat  warong kak Syila tu.”
Nasir menggamit sesaorang, “jom kita makan sama.” Yang digamit itu hanya tersenyum sambil mengangkat tangan dengan isyarat menolak pelawaannya.
“Tak mahunya David tu ikut kita makan di warong kak Syiela tu. Sebab selama dia masuk kerja sini tak pernah aku jumpa dia di situ.”
“Sekadar berbahasa tak salah pun. Lagipun David tu baik orangnya dan selalunya dia banyak tolong aku dengan kerja-kerja kat atas tu. Dan selalu ingatkan aku berhati-hati dengan kerja aku.”
“Jom lah. Sebelum ramai perkerja lain yang serbu tempat tu, elok kita cepat. Kalau lambat habis pula nasi berlauk kesukaan kau tu.”
“Bukan kesukaan aku saja Man tapi kesukaan semua yang kerja di sini mengisi perut dengan nasi, gulai pelaling, sayur kangkong, kobis atau sawi. Ada sambal sikit dan ulam timun okeylah. Harganya pun murah.”
“Nampak tak menang tangan Kak Syila dan anaknya melayan pelanggan ke gerainya ya. Mesti untung banyak tu.”
“buat apalah nak susah payah berniaga kalau tiada untungnya Man! Tambah berniaga makanan di tapak pembinaan yang perkerjanya sentiasa haus dan kelaparan akibat kepenatan berkerja.”
“Senang buat duit orang yang berniaga ni kan Sir? Aku rasa akupun nak berniaga jugalah. La ni kita kumpul duit dulu, cari pengalaman dan kemahiran berkerja sikit-sikit, lepas tu kita sama-sama berniaga. Tak payah nak jadi kuli bangunan lagi.”
“Apa agaknya yang nak kau niagakan? Nak berniaga nasi berlauk macam kak Syiela tu?
“Entahlah! Nanti kita fikirkan bersama kemudian ya. ”
Kedua sahabat akrab itu beriringan  merentas rembang tengahari ke warong Syiela yang terletak di suatu sudut tersorok berhampiran bangunan yang masih berceracak kerangka besinya.
Suatu pagi.
Dia berlarian ke suatu arah bersama ramai perkerja binaan bangunan tinggi itu untuk mengetahui apa kejadian sebenar yang meriuhkan suasana pagi itu. Penyelia projek sudah berada di situ sambil memangku seseorang yang berlumuran darah kepalanya. Seorang lagi kelihatan terbaring dikerumuni ramai yang lain. Dia turut menyelit di celah-celah kerumunan itu.
“Kau Sir!” terduduk dirinya di situ. Erat dirangkulnya jasad yang semakin sejuk dalam pelukannya. Laju air matanya mengalir tanpa disekanya. ‘Kenapalah kau jadi begini Sir. Kau tinggalkan aku cara begini Sir.’ Ah Seng juga teresak meraung hiba meratapi kehilangan seseorang yang diribaannya. Langsung dia tidak pedulikan gelagat Ah Seng yang menimbulkan tandatanya kepada ramai yang lain sehingga ambulan tiba untuk membawa mangsa kemalangan lift barang yang terputus ikatannya daripada tingkat 16 itu.
Dia dan Ah Seng bersama mengiring kedua-dua yang malang dalam tragedy sadis itu ke hospital.
“Sabar ya Man. Kita sama-sama hilang orang yang kita sayang.”
“Aku memanglah sayang sangat dengan kawan baik aku Nasir dan sangat merasa kehilangannya. Tapi aku heran juga kenapa kau sedih sangat dengan kematian David. Dia tidak ada kena mengena pun dengan kau selain perkerja macam aku juga.”
“Lu tak tahu ya siapa David ni dengan wa? Ramai yang tak tahu tu. David ni adik wa.”
“Adik? Macamana tu?”
“Ya adik wa, satu ma, satu pa.”
“Tapi David hitam kulitnya, kau pula putih melepak.”
“David ikut rupa ma wa asal orang India, wa ikut rupa pa orang China. Tapi kami tetap adik beradik yang baik.”
“Tapi kenapa kau biarkan dia buat kerja berat di tempat pembinaan?”
“Dia yang mahu. Sebab nak cari pengalaman sebelum uruskan projek pembinaan di Pulau Pinang. “
Ah Seng tertunduk lalu mengesat air matanya yang laju menitis di pipi.
“Kalau wa ambil berat apa lu dan David cakap tentang lift yang ada masalah tu, tentu tak jadi gini. David dan Nasir ada lagi dengan kita.”
‘Menyesal pun sudah tiada gunanya Seng! Apa yang berlaku telahpun berlaku. Takdir yang tersurat untuk David dan Nasir sahabatku penentuannya begitu. Walau teramat sedihku rasakan namun kuterima dengan reda.’
Dan bangunan yang memerah keringatnya bersama almarhun Nasir sahabatnya, mendiang David serta puluhan perkerjanya tegak berdiri juga sudahnya. Masih utuh kelihatannya walau sudah puluhan tahun usianya.
“Buat apa lu masih berdiri di sini Man. Jom lah masuk ke pejabat wa.”
“Saja bertafakur sejenak mengimbau nostalgia lalu Seng.”
“Masa lalu yang banyak kisahnya yang tidak mungkin kita lupa…Dahlah tu. Jom kita tandatangan persetujuan kita tentang barang-barang pembinaan yang syarikat lu akan bekalkan kepada syarikat wa untuk projek rumah Prima di. Gambang sana.”

TAMAT.