RAJAQNA
MENGGAPAI
CINTA
Oleh
Paridah Ishak
Aku dengan duniaku, di sebuah ruang kecil. Setiap hari
ralit mendengar siaran radio dan menonton TV. Tragedi sadisku alami memberi
akibat tidak terduga. Terlantar tidak
bermaya kini.
Ketika kemalangan berlaku, kereta
kecil yang dipandu suamiku dilanggar lori membawa muatan ayam yang tidak terkawal
gerakan rodanya, kami sekeluarga dalam perjalanan ke KL, menziarahi keluarga mertuaku.
Seseorang berada di muka pintu,
menuturkan salam, menghampiriku.
“Maaflah Saerah! Baru hari ini dapat
datang melawatkau.”
“Tak mengapa Sarah, aku lama lagi di
sini, datanglah bila-bila saja melawat aku.”
“Hajatku memang begitu Saerah. Mami Atiffi pun pesan padaku agar datang menjenguk
kau. Tapi sibuk sangat di rumah menguruskan
rumah tangga dan anak-anak, selalu tiada kesempatan. Maklum anak kami kan
ramai.”
Kenalan lamaku itu seringkali pula mengunjungiku
selamaku bermukim di sini, di rumah tok dan tokwanku. Ayahku membawaku ke sini
untuk menyembuhkan sakit akibat kemalangan itu.
Dan kini cuma menjadi penyaksi,
perenung, pemikir semata dalam suasana yang tidak aku mahukan. Ego menjerut
diriku sukar juga terlepaskan nampaknya.
Sarah pula adalah persona yang menjadi
mangsaku semata-mata kerana obsesku terhadap Ilhami dan keinginanku menambat
hatinya.
Kenangan dulu terimbau semula. Aku
ditinggalkan ayahku pada tokwan dan tok untuk menyambung persekolahan di sini. Bersama
sahabat baikku Atiffi, menamatkan pengajian hingga universiti.
Atiffi berkahwin pula dengan lelaki kecintaannya
Ilhami. Baik paras rupanya. Kerjayanya di bidang penerbitan media massa begitu
mengujakan. Aku dan Atiffi mengenali Ilhami melalui surat sahaja kerana
meminati tulisannya yang banyak disiar merata media.
Dalam diam perasaanku indah berbunga
mekar terhadap sahabat penaku itu. Belum sempatku nyatakan apapun, Atiffi
mengejutkan aku dengan berita bahawa Ilhami akan datang menemui kami dengan
membawa maksud hatinya.
Rupanya kedatangan Ilhami membawa keluarganya
untuk merisik Atiffi. Kenapa pula pilih Atiffi, tidak aku? Bukankah Ilhami
sering juga mengungkapkan kata rindu kepadaku dan tidak sabar untuk bertemu?
Hatiku diserbu galau dan sayu, terasa perasaanku dipermainkan.
Dan aku sarankan agar Atiffi menolak
sahaja pinangan Ilhami itu dengan alasan perkenalan yang terlalu baru dan lewat
surat semata. Sebenarnya hatiku iri justeru dilambung rasa kecewa teramat.
Namun perkahwinan Atiffi dan Ilhami tetap berlangsung meriah. Aku terkulat-kulat
merenung kebahagiaan yang dinikmati sahabatku. Rasa kecewa membawaku jauh ke
negeri yang dirantau emak ayahku.
Tiba-tibaku terima surat daripada
sahabatku, memberitahu kehendak suaminya ingin berkahwin lagi dengan seorang
sepupunya lantaran telah jatuh cinta. Segera aku pulang mendapatkan Atiffi dan
menggesanya menolak kemahuan suaminya itu. Bermadu bukanlah mudah. Apalagi
kalau hidup bermadu dengan watak madunya jauh berbeza pada perkiraanku.
“Kalau Ilhami ingin sangat berkahwin
lagi, suruh saja dia pilih aku. Akukan sahabatmu. Bukan Sarah yang garang tu.
Benci sangat dia kepadaku kerana berkawan rapat denganmu.”
“Tapi kata Abah dia sangat cintakannya, tidak kau.”
“Habis kau tidak dicintainyakah?”
“Katanya sangat mencintai aku. Solid. Tidak
boleh dibelah-bahagi. Cinta samarata
antara aku dan Sarah.”
‘Boleh percayakah kenyataan lunak
seorang lelaki yang ingin berkahwin lagi?’ monolog hatiku menggurutu sinis.
“Mungkin setiap hari dia melihat Sarah
di sisimu, sering membantu setiap kesusahanmu buat hatinya berkenan. Kaupun
tidak membantah hasratnya nak kahwini Sarah.”
Aku akhirnya merancang perkahwinanku
sesuai citarasaku agar sentiasa berbahagia selamanya. Melupakan dengan payah
rasa cintaku terhadap Ilhami yang mendalam. Perancanganku bukan ketentuan-Nya. Takdir-Nya
kuredai.
Tanpa rasa reda tentu akan terselit
dosa. Dosa yang tidak mahu lagi kuukir. Merasa berdosa amat olahku terhadap
Sarah, Atiffi, Ilhami kerana sering menggugat kebahagian rumah-tangga mereka
dengan pelbagai hasutan fitnah. Kifarah Allah mulai kurasa. Perkahwinan yang
memberiku rasa bahagia tidak berkekalan. Singkat sekali berada dalam situasi
yang disenangi. Suami kecintaanku meninggalkanku. Aku reda. Memang kumahukan
jodohku dan dia berkekalan selamanya. Tapi apakandaya.
Padaku perkahwinan juga adalah nasib.
Tidak semua perkahwinan akan memberi apa yang diimpikan.
“Aku dah lama juga berubat dengan Tok
Minah, berurut setiap hari tapi tak sembuh juga. Rasanya minggu depan ni ayahku
datang akan balik ke Pahang. Nak sambung berubat di sana pula.”
“Eloklah begitu. Biasalah sakit ni
datangnya seperti ribut tapi nak baiknya berdengut-dengut macam semut.
Insya-Allah kau pasti pulih. Aku selalu doakan kesejahteraan kau.”
“Terima kasih banyak Sarah.
Insya-Allah.”
Aku merenungnya tajam, menyeluruhi
wajah ayu itu.
“Kenapa pandang aku begitu? Tak betul apa yangku katakan?”
“Eh! Bukan itu maksudku Sarah. Kau
mengingatkan aku pada Atiffi. Kamu berduakan sepupu. Wajahpun seiras. Dah lama
tak jumpa, rindu sangat. Teringat dulu berjalan di batas bendang bersama-sama
Atiffi ke sekolah. Jauh juga jaraknya. Baliknya
basah berpeluh melangkah di tengah rembang panas. Sedang perut berkeroncong
lapar. Setelah makan kami berdua ke rumah Pak Utih pula belajar mengaji
al-quran. Kenangan zaman kecil yang sangat indahkan Sarah.”
“Kau rindukan Mami Atiffi ya!” Tanpa
sedar ada buli buli jernih yang bertakung
di kelopak mata tanda benar sekali jangkaan Sarah itu.
“Atiffi dan abah ke Brunei. Itu yang tidak
dapat datang menemuimu.”
“Kau tak ikut sekali? Urusan apa
agaknya tu?”
“Kalau aku ikut juga siapalah yang nak
menjaga anak-anak kami yang masih kecil tu, Saerah. Abahkan berniaga
mengedarkan buku-buku yang diterbitkannya. Urusan pemasarannya dibantu Mami
Atiffi.”.
Setahu aku pada awal perkahwinan
sahabatku itu suaminya, bertugas sebagai Ketua Biro Akhbar Istiqamah Kedah/Perlis.
Kini sudah jadi penerbit buku pula.
“Seronokkan dapat bersama dengan
anak-anak kita yang membesar di depan mata kita walau banyak kerenahnya. Aku tidak
dapat merasai kebahagiaan itu. Yang membantu menjaga, mendidik anak-anakku
hanya kedua ibu bapaku.”
Sarah menggenggam erat jemariku.
“Kau pasti pulih jua. Aku doakannya
selalu. Balik dari Brunei abah bercadang membawa aku, Mami Atiffi
dan anak-anak kami mengerjakan umrah. Di sana nanti aku akan doakan kesejahteraanmu.
Moga dimakbulkan Allah insya-Allah.”
Aku terkedu. Hati Sarah begitu tulus.
Tidakku sangka sepupu sahabatku Atiffi, dulunya kumusuhi kerana sikap kasarnya kini
bertukar jadi sebaliknya. Dan aku mulai merasakan tindakan Ilhami
memperisterikannya adalah jodohnya terbaik.
“Nampaknya kau dan Atiffi serasi
bersama Ilhami. Aku doakan kebahagian kalian kekal hingga jannah. Kalau Atiffi
dan Ilhami pulang, sampaikan salamku kepada mereka ya.”
“Insya-Allah.” Sahut Sarah.
Tinggallah tok dan tokwan yang
bersusah payah menjagaku, mengurusi setiap keperluanku selama aku di sini. Kesabaran
mereka menerima masalahku hanya Allah yang membalasnya.
Setelah aku pulih seperti kelak aku
pasti kembali ke sini lagi. harapanku menemui semua yang kusayangi dan
menelusuri jejak kenangan yangku tinggalkan dulu. Mungkinkah dapat kulakukan?
Entahlah.
Like
Love
Haha
Wow
Sa
No comments:
Post a Comment