Showing posts with label NOVEL. Show all posts
Showing posts with label NOVEL. Show all posts

Thursday, January 12, 2017

SKRIP RANGKA 4

ASSALAMUALAIKUM...

Subuh yang sunyi. Hanya suara serangga-serangga yang tidak ketahuan jenisnya mersik halus. Kalau hujan tentu  pasti suara katak yang menggema. Bukan katak-katak tu memanggil hujan Tapi mungkin sedang berzikir dan memohon hujan agar berhenti. Justeru hujan yang lama mencurah menyebabkan makhluk-makhluk Allah itu kedinginan amat. Wallahualam.

Suara azan subuh jelas kedengaran di segenap ruang berhampiran. Melantasi hingga ke rumah mak cik Salina yang jaraknya hanya beberapa puluh meter sahaja. Lalu segera membangunkan isi rumah itu daripada tidur mereka yang amat jenera.

“Kaunak mandi dulukan sebelum solat?”
Nurhusna hanya angguk tanpa sepatah kata.
“Kalau gitu biar aku masuk bilik air dulu ambil wuduk. Segan pula aku nak mandi pagi-pagi ni.  Bukan main sejuknya. Mengalahkan berada di Cameron Highland.”
Sahut Azalina sambil mengungkapkan komennya tentang pengalamannya berada di tempat percutian tanah tinggi itu.

Dia pernah ke sana dalam rangka lawatan kerja kursus menyiapkan  tugasan mengenai pencerobohan alam sekitar yang berlaku sekitar situ dan kemusnahan system ekologinya. Ianya dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab dan hanya memikirkan keuntungan jangka pendek. Dan kerja kursus yang dilakukan itu turut melibatkan Nurhusna, Nursyafikah, Zulhilmi dan beberapa orang lagi rakan sejurusan pengajian.

“Pergilah cepat? Waktu solat subuh ni pendek saja. Aku rasa Pikah dan mak cik Ina tentu dah bangun. Dan dah mula sibuk di dapur. Entah apalah yang dimasak mak cik Ina untuk sarapan kita. Mesti sedap sangat tu.”
“Hish! Kau ni Suna, soal makan saja yang kaufikirkan. Okey aku gerak dulu.”
“Aku tu cakap saja Lin.”

Azalina memboloskan dirinya ke bilik air meninggalkan Nurhusna yang tertunduk-tunduk mengemasi ranjang tidur mereka. Anak gadis ini sudah dibiasakan melakukannya sejak lama hasil didikan ibunya. Usai melakukannya langkahnya diatur ke dapur. Dia menjangka pasti mak cik Salina dan sahabatnya Nursyafikah berada di sana.

“Hai! Awalkau bangun Suna? Macamana lena tidur kat sini? Tiada yang mengganggu?” Pertanyaan sahabatnya itu hanya dibalasnya dengan senyumnya yang terorak sedikit.
“Kalau sebelum tidur ada wuduknya dan dibaca tiga qul, ayat kursi tujuh kali, bersyahadah terlebih dahulu tentu tidak ada yang mengganggu dan dapat tidur lena dengan nyaman,” tingkah mak cik Salina yang sibuk menuang adunan kuih cara ke dalam acuan bunga cermai di atas api dapur gas yang dipasang perlahan. Api dengan digri kepanasan yang tinggi akan menyebabkan kuihnya hangus tapi tidak masak keseluruhannya.

“Suna ni lain sikit mak. Dia ni ada kebolehan nampak apa yang kita tak nampak.” Selama dia berkawan dengan sahabatnya itu, pelbagai keanehan kisah mistik yang diceritakan Nurhusna kepadanya. Ketika mereka berada di Cameron Highland Nurhusna memberitahu penyelia projek tugasan mereka bahawa kawasan itu tidak lagi selamat kepada mereka kerana akan berlaku tanah runtuh tidak lama lagi.

Dr. Nordin selaku penyelia projek bertanya kepadanya bagaimana dia boleh tahu. Dia tidak menjawabnya tetapi memberitahu kepada Nursyafikah dia melihat ramai orang di tanah tinggi itu sedang mengangkut barang-barang untuk berpindah entah kemana.
“Aku tak nampakpun.”
“Kau memang tak Nampak. Tapi aku nampak.” Balasnya dengan yakin. Dan keesokannya kejadian seperti yang dijangkakan Nurhusna telah berlaku. Dengan izin Allah jua.

“Oh! Anugerah Allah tu.” Sela  emak Nursyafikah.  Nurhusna memandang Nursyafikah lunak sambil jari telunjuknya menyentuhi  bibirnya. Sahabatnya itu lantas terdiam seolah mengerti maksudnya.

“Siapa bilal yang azan di sini mak cik? Mersik merdu suaranya.” Nurhusna mengalih topik bicara agar emak Nursyafikah tidak menyoal lanjut tentang kenyataan sahabatnya itu mengenai dirinya. Terlontar suaranya bertanya tentang itu. Ingin sekali diketahuinya pemilik suara yang mengalunkan azan dengan amat merdu sekali.

Suara azan yang dikumandangkan Bilal bin Rabah sahabat Rasullullah difirmankan Allah dalam al-Quran melantasi lapisan petala bumi dan langit hingga ke baitl-makmur di syurga. Hebat sekali gelombang alun azan itu membawa risalah-Nya walau kemana saja pelosoknya dan sentiasa sambung menyambung seiring putaran bumi di paksi-Nya. Kini yang mengalunkan azan di masjid atau surau disebut ‘Bilal’ sebagai tanda penghormatan kepada muazin Bilal bin Rabah sahabat kepada Rasullullah itu..
 
“Oh! Bilal baru tu. Dulu bilal lain. Memang bagus suara bilal baru tu. Mak cik ni kalau setiap subuh tidak dengar suara azan subuh seakan terasa hilang sesuatu. Sunyi sepi.”  
Hadir rakaman saat itu melintas lalu.

Dan subuh mutakhir ini menjadi terlalu sunyi kerana suara muazin tidak mengumandangkan azan daripada surau yang berhampiran menyeru menunaikan solat untuk menuju kejayaan. Kenapa jadi begitu? Tentulah ada sebabnya. Jikalau tidak tentu tidak terabai surau dengan suara yang penuh hikmat itu.

Sebenarnya tok bilalnya tiba-tiba demam dan tidak dapat nak menapak ke surau pada setiap subuh hari. Betapa berharga suara tok bilal yang sering mengumandangkan azan itu dirasakan setelah suaranya tidak terdengar lagi. Begitu kehilangan sekali.

“Dahulu tukang azannya adalah jiran mak cik,, Md. Rodi yang tinggal berselang beberapa rumah dengan rumah mak cik ni. Setiap subuh akan terdengar langkahnya yang diatur dengan derap yang serupa ritmanya. Dan kami semua jirannya sangat kenal dengan derap langkah yang teratur di subuh sunyi itu.Kini tidak dengar lagi ritma langkah itu lantaran beliau telah melangkah jauh meninggalkan kenangan murni itu untuk menemui Ilahi yang menjanjikan kejayaan.”

“Wah! Mak ni kalau bercakap macam baca skrip radio hih…hih..” Mak cik Salina tersenyum saja. Ungkapan yang terlahir di bibirnya adalah spontan tanpa dia merangkanya.
“Kauni Pikah. Pandai saja nak usik mak kau.”
“Perangai anak mak cik sorang ni memang gitu Suna. Sabar ajelah.”
Dalam diamnya mak cik Salina menghadiahkan bacaan ayat suci Al-fatihah untuk Allahyarham Md. Rodi jirannya yang sangat baik itu. Dan tempatnya yang istimewa itu diganti jirannya bang Din dengan segera. Surau itu tidak sempat sunyi dengan laungan azan.

Tiba-tiba bang Din demam pula. Demam urat kata isterinya kerana terlalu rajin berkerja. Jirannya itu memang dikenali tabiatnya yang sangat rajin berulang ke kebun sawitnya mengerjakan apa saja daripada membersihkan kawasannya sehinggalah menuai hasilnya mengikut jadualnya. Apabila beliau demam tidak ada lagi suara azan yang menerjah subuh sunyi walau tetap kedengaran azan dari masjid yang sayup-sayup kejauhan.

Salina pula yang kegelisahan justeru merasakan azan yang tidak kedengaran menemani subuhnya adalah suatu kehilangan yang tidak tahu bagaimana hendak digambarkan. Azan subuh juga mengingatkannya tentang waktu bermulanya langkah meneruskan kehidupan dengan perancangan yang direncanakannya.

“Wah! Dah siap kuih cara mak cik ni. Hijau warnanya dan harum bau daun pandan. Cantik hijaunya. Mak cik letak pewarna ke?”
“Tak. Mak cik bubuh air daun pandan campur air daun asin-asin.”
“Oh!” Info baru menjengah mindanya, petua masakan cara lama yang tidak diketahuinya sebelum ini.
“Nak rasa ambillah.” Ingin saja tangannya mencapai kuih cara itu seketul dan memasukan ke mulutnya. Tapi tidak dilakukannya. Kuih cara yang dihijaukan warnanya daripada campuran daun asin-asin tua dan daun pandan yang dihancurlumatkan amat mengait seleranya. Padanya sempurna sekali bentuknya dan harum aromanya.
“Tak apalah, nanti kita sarapan sama-sama. Saya ni tadi duk tunggu Lin sudah gunakan bilik air. Barulah saya boleh masuk mandi pula.”
Tiba-tiba Azalina muncul di tengah mereka.
“Kau dah siap solat Lin?”
“Dah! Kau tu yang belum.”
“Yalah Lin. Aku ralit pula tengok mak cik Ina buat kuih cara pandan ni sampai tak sedarkau dah siap berwuduk dan solat.”
“Pergilah cepat. Nanti datang ke sini kita sarapan sama-sama. Kalaukau lambat aku habiskan semuanya hih..hih.”
“Suka hatikaulah Lin.” Nurhusna meninggalkan ruang dapur dan segera menuju ke bilik air. Padanya kata-kata Azalina adalah gurauan indah yang menceriakan hatinya.
“Selepas bersarapan bolehlah kita ke dusun di belakang rumah ni. Bolehlah kalau kau dan Suna nak ambil buah apa saja untuk dibawa balik esok.”
“Aku nak panjat pokok manggislah Pikah. Aku intai-intai belakang rumahkau petang semalam nampak pokok manggis rendang dan lebat buahnya. Teringin nak makan manggis atas pokok hih..hih..”
“Sukahatikaulah Lin. Tapi kena hati-hati. Pokok manggis ni walau banyak cabangnya dan senang nak letak kaki waktu memanjat tapi ramai juga yang jatuh tersembam ke tanah. Silap gaya jatuh boleh patah tulangkau lin. Baik-baikkau mengimbang badan.”
“Okey aku hati-hati. Tapi kau jangan cakap bukan-bukan pula bimbang jadi doa.” Risau pula hati Azalina mendengar komen Nursyafikah itu.
“Kalau takut jatuh, kait saja. Ada galahnya mak cik sandar di pokok tu. Anak dara dah besar panjang, tak elok memanjat pokok. Malu dilihat orang.”
“Mak ni cakap gitu pula. Kan dah putus angin Lin nak jadi Tarzan. Tak apa Lin…kau panjat saja lepaskan hajat. Bukan ada orang yang nak pandang pun. Cuma kita-kita saja.”
“Jangan kisah sangat apa yang mak cik cakap Lin. Mak cik dulu pun memang suka memanjat pokok manggis sampai puas dilarang atok Pikah ni.”
“Kan dah pecah rahsia mak akuni Lin.” Azalina dan Nursyafikah tergelak kecil.
“Dah jangan asyik nak bergelak saja. Hidangkan sambal tumis bilis, ikan pekasam goreng dan ulam-ulam atas meja. Nasi lemak dah masak tu. Telur rebus tu kupas letak dalam piring.”
“Okey mak.”
“Banyaknya makcik masak. Nasi lemak lengkap lauknya dan ada kuih cara lagi. Agaknya pukul berapa mak cik bangun siapkan semua ni?”
“Mak cik dah biasa bangun awal pagi Lin. Biasanya pukul 4.00 pagi. Selepas solat malam tahajjud, taubat, hajat dan witir, mak cik ke dapur sekejap sambil tunggu waktu subuh masuk. Masaklah apa yang patut untuk sarapan. Pabila dah jadi amalan dan kebiasaan sampai saja masanya mesti tersedar dari tidur. Terus saja bangun.”
“Gitulah mak aku Lin. Tak reti nak duduk diam. Walau tidur masih teringat kerja-kerja yang nak dibuatnya.”
“Bila dah jadi emak ni memang perlu tangkas dan cekap semua urusan rumahtangga Lin. Nanti bila kauorang dah berumahtangga merasalah semua tu.”
Nurhusna muncul ke ruangan dapur sambil menarik kerusi merapati meja.
“Wah tuan puteri Suna sudah sedia hendak bersarapan ya. Cepatkau sendukkan nasi lemak tu Pikah.”
“Kau ni Lina. Aku rasa kaupun dah tak sabar nak bersarapan cuma tunggu aku datang saja kan Lin.”
“Cepatlah kausemua bersarapan. Makanlah masakan orang kampung yang mudah saja ni. Cuma buat nasi lemak, sambal tumis bilis, goreng ikan pekasam dan buat kuih cara sikit. Lepas makan kauorang ke dusun dengan Pikah. Mak cik nak tunggu lori ikan lalu. Nak beli lauk-lauk sikit.”
“Adik mana mak? Tak ajak makan sekali?”
“Ada tidur kat bilik dia tu. Biarkanlah dia tidur. Malam tadi dia balik lambat. Katanya ke rumah ayah kamu.”
“Oh! Rajin adik ke rumah ayah?”
“Biasalah adik kamukan gitu selalu. Suka ulang-alik ke rumah ayahnya. Diakan sayang sangat dengan ayahnya tu.” Terkenang dia suatu ketika dulu anaknya yang bongsu itu sangat disayangi mantan suaminya. Namun setelah berlaku perpisahan antara mereka bekas suaminya itu tidak lagi mengambil tahu tentang mereka.
“Tapi ayah tak pedulikan diapun mak. Sedih pula tenguk adik tetap tak peduli walau ayah abaikan dia. Ayah tu nampaknya macam sangat bencikan kita. Dahlah tak bagi kita belanja sara hidup. Mak tiri tu pun Nampak macam bencikan kita. Dan tak mau kami adik beradik rapat dengan ayah. Sebab tu saya terfikir langsung nak ke rumah ayah.” Kata-kata anaknya itu menyapa hatinya yang sebak tiba-tiba. Terasa hendak berurai air matanya.
“Sudahlah Pikah. Tak payah fikir semua tu. Kauorang sarapan dulu ya.” Sahutnya tidak mahu lagi menyambung bicara yang tidak digemarinya itu.
“Mak cik pun duduklah sarapan sama.”
“Tak apa Suna. Mak cik kena keluar tunggu van yang jual ikan sayur tu lalu. Kalau tak ditunggu tak berlauk sayur pula kita hari ni.” Mak cik Salina mengatur langkah meninggalkan ruang dapur dengan gaya bersahaja. Tidak terlalu laju dan tidaklah terlalu perlahan.
“Makanlah Suna, Lin. Tak payah gelut sangat nak sudahkannya. Dusun kat belakang rumah aku tu tak lari kemana.”
“Memanglah tak lari kemana dusun tu tapi aku yang dah tak sabar nak memanjat pokok manggis ni. Sedapnyalah dapat makan buah manggis atas pokok. Huish! Tak terkata nikmatnya.” Husna dan Nursyafikah tergeleng-geleng memerhatikan gelagat Azalina yang mengujakan dirinya itu.

* * *

“Wah! Dah banyak buah-buah yang kita petik ni Lin. Nanti tak muat pula boot kereta Pikah kita nak isi bawa balik. Turunlah dari pokok manggis tu Lin. Ke kau pandai naik saja tapi tak reti nak turun.”
“Sekejap je lagi Suna aku nak ambil sebiji lagi manggis kat ujung julai tu.”
“Okey hati-hati Lin.”

Suna memperhati kelibat Nursyafikah di kejauhan. Sedang ialan beriringan bersama emaknya dan seorang wanita separuh baya menuju ke arahnya. Sebentar tadi Nursyafikah meninggalkannya dan Nurhusna pulang ke rumahnya mengambil raga untuk mengisi buah-buahan yang telah mereka petik.

“Ini mak cik Poziah. Isteri pak cik Din, bilal surau sini yang Suna tanyakan mak cik tu”
“Oh! Apa khabar mak cik?” Tanya Nurhusna sambil menyalami mak cik Poziah.
“Baik saja. Bila sampai?”
“Petang semalam mak cik bersama Pikah dan Lin yang kat atas pokok manggis tu.”

Azalina segera bergegas turun dari atas pokok manggis dan menghulur tangan bersalam dengan mak cik Poziah yang tersenyum kepadanya.
“Laju je kauturun Lin, macam nak lari dari sesuatu.”
“Aku Nampak macam ada benda yang bergayut atas pokok tu Pikah. Seram pula aku rasa.”

“Lotong yang ekor panjang tu kot. Biasanya kalau musim buah, haiwan hutan sebelah selalu saja ke sini. Kadang kita tak sempat petik, haiwan-haiwan tu dah petik dulu. Kulit saja ditinggalnya kat bawah pokok.” Celah mak cik Poziah menceritakan hal yang diketahuinya selama ini.

“Mungkinlah kot. Tapi cuba kau tenguk Suna. Aku nampak ada lagi benda tu duk bergayut kat situ.”
Nurhusna hanya menjeling sekilas sambil mengurut dadanya.
Nursyafikah merenung wajah sahabatnya itu yang ketara tidak berapa selesa di situ.

“Jomlah kita ke rumah. Semua buahnya pun dah diisi dalam raga tu. Jomlah mak cik ke rumah dulu. Bolehlah bersembang dengan kawan-kawan saya ni.”
“Aku rasa macam nak demamlah Suna. Bulu roma meremang dan seram sejuk pula.”
“Ada sajalah kau ni. Mungkin kau letih sangat memanjat pokok kot. Otak yang letih memberi kesan juga pada tubuh kita Lin.” Nurhusna cuba mengingati beberapa fakta yang diketahuinya mengenai itu.

Minda mengawal segala perkara yang dilakukan. Contohnya pemikiran, perasaan, tingkah laku, keputusan, kelakuan, interaksi, pencernaan, penilaian dan pekerti. Otak menggunakan 20% oksigen dan darah dalam badan. Sel dalam otak disebut sebagai neuron. Otak adalah organ yang menghantar mesej atau signal kepada badan. Jadi neuron ini perlukan banyak tenaga dan oksigen.

“Kenapa Lin, Suna?”
“Entahlah Pikah! Katanya tak sedap badan.”
“Oh! Jom ke rumah cepat. Aku bagikau pracetemol. Nanti rasa tak sedap badankau pasti hilang.”

Sampai di rumah saja Azalina terus masuk ke bilik, naik ke katil dan berselimut.
“Kau kenapa Lin? Kau kata demam. Tapi badankau tak panaspun.”
“Entahlah Pikah. Aku rasa badan aku ni sekejap sejuk sekejap panas.”
“Penyakit ganjil ni! Takpa kita jemaah solat zohor dulu. Lepas tu mak cik gi minta tolong pak cik Din tengukkan kamu.”

Mak cik Salina yang turut kerisauan akan hal Azalina cuba mencari solusinya. Pak cik Din walau bukan seorang pengamal rawatan alternative tapi sentiasa dicari rakan dan jiran-jirannya sekiranya ada keperluan terdesak sebegini. Beliau sekadar membantu saja tanpa apa-apa pengerasnya.

“Panggil adikkau Pikah. Biar dia imamkan kita.” Mak cik Salina meletakkan jag berisi air di hadapan tempat solat mereka. Sering dilakukannya setiap kali dia lakukan solat kerana mempraktikan ilmu yang di ajar ustaz di kuliah yang dihadirinya setiap hari Jumaat.

 Kata ustaz Solehin, “Saya yakin semua kita ada dan pernah menghadiri majlis bacaan Yasin. Dan saya yakin kita ada melihat atau kita sendiri menyediakan air kosong atau mineral diletakkan di tengah majlis tersebut di mana tujuannya untuk dijadikan air Yasin.
Kenapa? Ini kerana air merupakan "perakam" terbaik dan dibuktikan oleh ilmu sains.
Air sebenarnya boleh merakam setiap gema getaran yang dihadirkan baik dari bunyi termasuk dengan kata-kata dan juga dari hanya niat kita ( tanpa kata-kata ).

Di sini saya ingin berkongsi satu amalan baik yang boleh kita lakukan bersama dengan mudah. Terutama suami, bapa dan lelaki khasnya. Amalkan meletak satu botol air semasa solat. Amalan ini boleh dilakukan semasa solat Subuh, Maghrib dan Isyak. Di mana pada waktu solat fardu yang disebutkan tadi sunat untuk menguatkan bacaan pada rakaat pertama dan kedua. Dengan ini secara tidak langsung air ini telah merakamkan bacaan takbir, Al Fatihah dan bacaan ayat lazim.
In shaa Allah air ini boleh dijadikan minuman yang terbaik untuk kita.
In shaa Allah berkat dari bacaan dalam solat tadi dengan izin Allah kita akan bertambah sihat.
In shaa Allah dengan izin Allah banyak kebaikan untuk anak-anak kita.
Tidak perlu lagi mengeluarkan belanja untuk membeli air yang dijual di pasaran yang dikatakan dibaca dengan ayat tertentu.
Sesungguhnya yang baik itu dari Allah, saya cuma hambaNya yang lemah sekadar ingin berkongsi ilmu-Nya.”

Mak cik Salina berdoa semoga air di dalam jag yang telah merakam hasrat dan bacaan ayat suci itu akan segera memulihkan keadaan Azalina seperti sediakala.
Segera diminumkan kepada Azalina setelah mereka selesai bersolat secara berjemaah.
“Mak! Pak cik Din dan mak cik Poziah dah sampai.” Beritahu Khairul Idlan.
“Masuklah kak, bang Din. Cuba tengukkan budak Azalina ni.”

“Ah! Tak ada apa-apa tu. Terkejut sikit je.” Tersenyum dia kepada Nurhusna yang turut membalas senyumannya seolah saling bepengertian. Nursyafikah menyedari itu. Dia meminta segelas air putih daripada mak cik Salina sembari mulutnya komat-kamit membaca selawat nabi dan surah al-fatihah berulang-ulang kali.
“Nah! Minum sikit dan basuh muka. Sekejap lagi okeylah tu.”

Khairul Idlan menatang dulang berisi beberapa cawan kopi dan sepiring biskut yang dibawanya dari dapur disediakan kakaknya Nursyafikah dan meletakan di meja ruang tamu.
“Marilah minum pak cik Din. Mak cik Poziah. Kak Suna, kak Lin jom sekali.” Khairul Idlan mempelawa sopan.
“Duduk sini Lan. Pak cik Din nak tanya sikit.”
“Nak tanya apa cik Din.”
“Malam tadi kamu balik lewatkan. Kamu kemana?”
“Tak ada kemana cik Din. Cuma ke rumah ayah di bandar.”
“Oh! Ada yang kirim kasih sayang ke sini tu. Lain kali kamu jangan balik lewat malam sangat. Takut ada yang menumpang kamu ikut pulang.”

Mak cik Poziah dan mak cik Salina menumpu pandang ke wajah pak cik Din menafsir makna kata-katanya. Sedang Khairul Idlan langsung tidak memahami apa-apa. Nursyafikah tajam menjelah pandang sahabatnya Nurhusna.  Sebuah wajah yang sedang berayun di pohon ara tersengih kepadanya dengan sinar matanya merah cerlang mengganggu skrin minda Nurhusna.

“Tak mengapa. Apa yang dikirim tu tak boleh masuk ke rumah ni. Sebab makkau dah pagar rumah ni dengan ayat qursi dan kunci setiap sudut dan pintu dengan kalimat yasin.”
Masing-masing mengurut dada sambil mengucap Astagfirullah dan menadah tangan mengaminkan doa yang dibacakan pak cik Din agar mereka semua dilindungi Allah daripada sebarang musibah angkara mereka yang dengki dan bersubhat dengan syaitan durjana.





Wednesday, December 28, 2016

SKRIP RANGKA..

ASSALAMUALAIKUM..

BAB 1

Dia memandu dengan perlahan. melepasi stesyen bas,  Pejabat Pos, Talikom dan akhirnya berhenti di lampu isyarat yang merah sebelum bergerak semula setelah lampu itu bertukar hijau. Wira ungu kelabu itu membelok pula ke jalan yang menghala ke kampungnya dan beberapa kampung felda yang lain.

Hujan merembas renyai dan angin berhembus halus menyentuhi wajahnya. Dingin. Daun-daun hijau kemilau jernih disinari cahaya mentari yang cerah kembali. Tadi situasi alamnya redup saja.
 Suara Raihan merdu bernasyid beralun daripada keset keretanya.

Kini sudah berada di beranda rumahnya menikmati flora indah alam yang menyegarkan sambil memicit-micit kakinya yang terasa lenguh kepenatan. Betisnya terasa sengal sekali.
Barangkali seharian tadi terlalu banyak menggerakkan otot kaki melaksanakan tugasan yang diberi penyelia tugasannya sebelum memandu pulang kereta Kancil kecilnya ke rumah yang agak jauh dari kampungnya.

Sambil memicit-micit dan mengurut kakinya dia tersenyum sendiri mengenangkan insiden lucu tika melakukan tugasan yang diberi pensyarahnya Dr. Nordin yang tegas tapi berwajah manis itu.

Seorang wanita sebayanya kelihatan kalut dan gelabah sekali tika dia dan temannya menghampiri gerainya.
"Tolonglah cik...janganlah roboh gerai saya...saya baru saja buat gerai ni nak berniaga. Saya orang susah cik...anak-anak ramai yang nak disara..."

Dia dan kawannya berbalas pandangan. Tersenyum pula. Susah juga mereka hendak mempercayai kenyataan wanita yang kelihatannya seusia diri mereka telah punyai anak-anak yang ramai mungkin.
.
"Kenapa kak? jangan risau...kami ni bukannya pegawai DEWAN BANDARAYA yang datang nak meroboh gerai kak. Kami ni daripada UPM Serdang buat kaji-selidik sikit tentang alam sekitar kat kawasan pinggir bandaraya ni. Dah penat berjalan menemuramah orang tekak pun rasa kering...itu yang kami berdua singgah kat gerai akak ni..."

"Begituke...kak ingatkan awak semua orang-orang DEWAN BANDARAYA tadi...hati dah tak sedap. bimbang saja gerai kak kena roboh. Akak ni orang susah. Anak-anak ramai, masih kecil dan perlu diberi makan minum, nak hantar ke sekolah, nak hantar ngaji, semuanya perlukan duit.
Tambah masa ni kos sara hidup tinggi dan semuanya dah mahal."

Hati wanita peniaga gerai itu bergejolak rusuh justeru meneka dia dan rakannya ada kaitannya dengan badan kerajaan itu kerana fail tebal yang berada di tangan mereka gamaknya.
"Kenapa kak risau sangat dengan orang-orang DEWAN BANDARAYA...kak tak ambil lesen berniaga kat sini kot?" Tanya Zulhilmi temannya.

"Kita nak berniaga mestilah mohon lesen berniaga kan. Dah banyak kali dipohon...tak adapun jawapannya...banyak sungguh kerenahnya..Kita ni nak cari rezeki halal...nak hidup. Bukannya nak mencuri...itupun jadi masalah.

Tapi kak tengok ramai juga warga asing dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Siam yang berniaga di sini tak dikacaupun. Elok je mereka berniaga kaut untung hantar balik ke negara mereka. Tapi kita ni rakyat negara sendiri banyak pula halangan yang kena patuhi. Sudah kita berusaha mematuhinya dipandang remeh sambil lewa pula. Tak faham betul kak.."

Wanita itu melepaskan rungutan tentang tidak kesetabilan hidup dan situasi  yang melengkunginya kini.
Terasa belas pula hatinya mendengar keluhan peniaga gerai yang baru dikenalinya itu.

Perkenalan yang pada mulanya berdasarkan prasangka yang mengelirukan minda masing masing bertukar suasananya menjadi lebih manis dan mesra lantaran peniaga gerai itu seorang yang sangat ramah mengongsi ceritanya apa saja.

“Ada satu hari tu kak ni sakit dan tak dapat nak sediakan makan tengahari untuk keluarga, kak suruhlah anak kak gi beli. Adik tahu apa yang dibelinya? Nasi dengan ikan goreng, sayur sedikit, harganya enam ringgit.

Ikannya pula digoreng seekor tanpa dibuang isi perutnya. Ish! Tak lalu kak nak makan. Selama kak hidup tak pernah kak jumpa orang goreng ikan sekor sekor gitu. Adik agak siapa yang sanggup berniaga makanan main masak ikut suka gitu?

Mestilah kerja peniaga asing yang cara masak dan makannya tak sama dengan kitakan. Memandangkan rupa dan cara pemakaian mereka yang serupa macam kita, bertidung litup bagi yang perempuan tentu buat kita sangka mereka juga sama macam kita. Kecualilah kita tahu siapa sebenarnya mereka kan… ”

Dia dan Zulhilmi berbalas pandangan sambil tergelak sedikit mendengar kisah lucu tapi benar itu.
“Kalaulah rakyat tempatan tidak diberi peluang berniaga tentu orang kita terpaksa makan apa yang dijual kepada kita oleh warga asing ni. Sebab nak berniagapun banyak juga kerenah birokrasi yang terpaksa dilepasi. ” Sambung wanita itu lagi.
“Susah juga tu ya.” Ujarnya pendek.
“Adik berdua ni bila nak grad?”
“Tak lama lagi kak.” Balas Zulhilmi.
“Kami berdua ni sambung pengajian peringkat master.”

“Oh! Tentu tak jadi masalah nak dapat pekerjaan setelah graduat kan. Boleh jadi pensyarah atau apa saja. Taklah macam kak dan suami yang cuma belajar sampai ijazah pertama saja dan terpaksa pula berhenti kerja kerana syarikat tempat kerja kami dah balik negara mereka sebab tak mampu  nak tanggung kos operasi dengan keadaan ekonomi yang meleset sekarang ni.

Jadi untuk sara hidup terpaksalah kami berniaga dan membuat kerja apa saja. Masa ni bukan mudah nak dapat kerja. Apalagi yang bersesuaian dengan kelayakan diri kita. Syarikat swasta pun asyik buang pekerja saja nak jimatkan kos mereka.

Nak mohon kerja dengan kerajaanpun pesaingnya ramai dan hanya pilih suku sakat mereka saja. Orang yang tidak dikenali dan tiada mengena dengan mereka tak dipandangpun.” 

Dia dan Zulhilmi agak terkejut juga mendengar kenyataan itu walau dia tahu ramai juga antara rakan dan kenalan, saudara maranya yang berijazah universiti memilih berkerja sendiri iaitu berniaga secara kecil-kecilan mengikut kemampuan masing masing.

Dan ada juga yang menyara kehidupan dengan memandu teksi dan sanggup berkerja sebagai pengawal keselamatan. Yang penting kehidupan mesti diteruskan walau amat rencam. Mujur juga dia masih ada rezeki sebagai guru sandaran di sebuah sekolah berhampiran tempat dia menyambung pengajian peringkat ijazah sarjananya. Kalau tidak tentu amat sukar juga baginya mengatasi masalah kewangannya. Hendak mengharapkan bantuan emak ayahnya pun tidak dapat pula lantaran emak pun bukan dari kalangan orang berada juga. Hidup pun seadanya meraih rezeki pagi dan petang dengan mengharapkan hasil kebun sawit warisan keluarga emak.

“Entahlah kak! Nasib kami berdua pun tidak tahu lagi macamana agaknya. Moga senario ekonomi sekarang akan lebih baik dan rakyat negara kita akan lebih selesa kehidupan mereka dan tidak hanya beberapa orang saja yang senang tapi lebih ramai yang susah,” balas Zulhilmi seorang peguam yang telahpun miliki syarikat guaman sendiri.”

Tersenyum pula dia memandang Zulhilmi yang ternyata amat merendah diri itu. Seorang yang berperibadi mulia dan sering juga membantunya dalam banyak perkara. Dan terkenangkan kawan kawan yang rajin menggiatnya kerana keakraban hubungan mereka yang mesra.

Mengharapkan pula ada kesudahan yang membahagiakan kedua-duanya kelak. Tapi setahunya rakannya itu yang sedang berusaha mendapatkan sarjana Sains Alam Sekitar demi ilmu yang yang bersangkutan praktikal bisnisnya juga sedang mencari calon isteri yang akan diletakan di rumahnya saja.

Tempat seorang isteri itu baginya bukannya berkerjaya apa saja di luar rumah dengan meninggalkan tanggung- jawabnya di rumah. Justeru dia mampu memenuhi keperluan rumah tangganya dengan pendapatannya yang banyak itu.

Pandangan Zulhilmi itu langsung tidak disetujuinya. Masakan setelah bersusah payah belajar bersungguh matlamat yang menjadi wawasan selama ini sejak kecilnya dengan mudah saja diabaikan hanya kerana cintakan seseorang yang diletakan terlalu tinggi melebehi segalanya.
Menolak pandangan Zulhilmi bererti ia telah menghampakan harapan kawan-kawannya dan tentulah Zulhilmi juga yang dalam diam-diam telah menaruh hati kepadanya. Dia menyedari itu.

Tetapi tidak kuasa dirinya melupakan tanggung-jawab terhadap keluarganya yang mengharapkan bantuan kewangan daripadanya setelah dia berkerja kelak. Ingin juga dirinya merubah corak hidup ibu bapanya yang hidup seadanya kepada berada tanpa mengharapkan bantuan seorang suami yang kaya-raya.

Mungkin dia akan menjadi guru setelah berpengalaman sebagai guru sandaran selama ini. Temuduga untuk memasuki KPLI (KURSUS PERGURUAN LEPASAN IJAZAH) pun telah dihadirinya. Dia tidak bertekad untuk menjadi pensyarah walau ada pengalamannya sebagai tutor membimbing siswa-siswi peringkat diploma.

Masakini tidak boleh terlalu memilih pekerjaan yang sesuai dengan pengkhususan yang dipelajari di university semata. Padanya menjadi guru adalah perkerjaan mulia yang akan memberinya ganjaran pahala yang berkekalan dengan ilmu yang diberikannya diamalkan sepanjang kehidupan.

Dan memberinya peluang meraih banyak pahala kerana sering berpeluang membantu murid-muridnya yang dilanda masalah kehidupan sedaya-upayanya.
Soal jodohnya diserahkan kepada Allah pentuannya.

Mungkin yang layak menjadi calon suaminya adalah seorang yang berjawatan guru sepertinya juga. Kelak akan saling sefahaman kerana kerjaya yang sealiran. Nur syafikah tersenyum pula seolah membalas senyuman  sesaorang yang  bergentayangan di matanya.
Wajah seorang lelaki yang bersih dan berseri auranya lantaran amalannya sebagai guru yang mengajar pendidikan Islam di sekolah yang sama dengannya. Barangkali  lelaki itu adalah imam impiannya.


Wednesday, May 4, 2016

SELIRATAN CINTA BAB 4...

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
. Rizal sampai di rumahnya menaiki airport limousine dari KLIA. Dia meninjau-ninjau persekitaran rumahnya. Dilihatnya tiada sebuah kereta pun yang berada di dalam garaj. Rumah itu lengang dan sunyi, seperti kosong tidak berpenghuni.
Dia menekan loceng pintu beberapa kali. Sosok tubuh seorang wanita pertengahan usia terkocoh-kocoh keluar dari rumah itu menghampirinya. Dia terpana menerima senyuman manis dari lelaki kacak di hadapannya.
Dia mengamatinya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Senyumnya terorak lebar setelah mempastikannya..
            “Eh… Rizal dah balik. Kenapa Datin tak bagi tau pun Rizal nak balik.” Sapanya dengan sangat teruja kekagetan.
            “Saja nak beri kejutan pada Mak Kiah.” Balasnya mengusik mesra pembantu rumahnya yang dianggapnya saudaranya sendiri itu sambil menyalaminya. Mak Kiah telah lama ada di dalam kehidupannya semenjak dia mula mengenal orang. Pengasuhnya sejak dari kecil kata mamanya.
            “Ada sajalah kau ni Rizal..” Mak Kiah mengambil beg Rizal dan membawanya ke dalam rumah. Rizal mengikuti langkah yang diaturnya pendek-pendek itu.
            “Sunyi saja rumah ni, tidak ada sesiapa ke di rumah? Mama dan ayah ke mana?”
            “Masuklah ke rumah dulu Rizal. Datuk pergi kerja. Datin pula ke salon.”
Rizal berpuas-hati dengan penerangan Mak Kiah. Dia tidak bertanya lagi Teramat biasa cerita itu kepadanya.
Rutin yang telah lama berlaku. Sejak dirinya mengenal dunia dan kebanyakan isinya. Ayahnya tentu saja pergi berkerja mencari rezeki sebagai memenuhi tanggung-jawabnya menyara keluarga.
Mamanya pula tentu memberi masa untuk merawati diri sendiri dengan sedikit keselesaan setelah berpenat lelah menyempurnakan tugasannya. Bukan ganjil untuk difikirkan secara terlalu mendalam.
Dirinya terus dibawa mendaki tangga ke tingkat atas hendak menjengah biliknya yang telah ditinggalkannya sepanjang pengajiannya di luar negara.
            Dia menanggalkan pakaian yang menyaluti dirinya sejak di kota New York sehingga berjam-jam di dalam pesawat. Sudah tidak selesa lagi dirasa pakaian itu berada di tubuhnya. Sudah lencun dengan peluh. Bau tubuh dan bau peluhnya yang hamis bercampur baur. Dia rimas.
            Dicapainya tuala bersih yang tergantung di lemari, membalut tubuh renjongnya yang sederhana tinggi dan bergerak ke bilik mandi. Air pancutan seperti rintik hujan menjamah tubuhnya. Dia merasai kesegarannya. Berbahagia sekali rasanya dapat bermandi-manda di dalam bilik air sendiri, di rumah sendiri, di tanah air sendiri. Sungguh tidak tergambar nikmat yang dirasakannya. 
                                                 
*   *   *

            Haseena menyambut dua tamunya dengan senyum teramat manis. Pelanggan tetapnya itu rajin mengunjungi salonnya sekiranya kedua-duanya memerlukan khidmatnya. Kedatangan kedua-duanya memang sangat di alu-alukannya. Ibarat ‘kurang tapak tangan nyiru ditadahkan.’ Pelanggan yang sentiasa membawa rezeki kepadanya.
 Sekurang-kurangnya dia boleh bercerita pada pelanggan-pelanggannya yang baru berjinak-jinak dengan khidmat salonnya bahawa salonnya itu sangat istimewa perkhidmatannya, sehingga mampu menarik golongan Datin-datin isteri-isteri Datuk-datuk bergelar yang ternama mengunjunginya.
Itupun salah satu strategi pengiklanan perniagaan juga menurutnya. Untuk melariskan lagi perniagaannya. Bukan senang juga hendak bersaing dengan peniaga-peniaga non-bumiputera yang telah lama bertapak di bidang ini. Perlukan semangat yang tegar gigih. Bukan calang-calang.
Amat kompetetif dan sengit sekali. Jika tidak sabar kerana sering rugi pada mulanya kerana pelanggan jarang-jarang mengunjungi salonnya, tentu sudah lama dia tutup kedai.
Dia sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mencari di mana kesilapannya. Bimbingan dari agensi kerajaan seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat) didapatkan. Badan ini memang dikenali dengan iltizam membantu bumiputera yang berminat dalam perniagaan memajukan diri.
Dan  berkat kesabaran dan kesungguhannya dia mampu juga bertapak dengan teguh. Sukar hendak menggoyangkan atau menumbangkan perniagaan yang berdiri jitu itu kini.
Kata seorang penceramah agama yang sering muncul di kaca TV; amalkan membaca surah al-waqiah setiap malam jumaat supaya Allah mempermudahkan rezekinya dan dia mengambil anjuran itu.
Disamping usaha yang tidak putus-putus dan doa-doa yang dipohon akhirnya dia dirahmati dengan kejayaan. Dia bersyukur ke hadzratnya.   
            “Ita temani Datin berdua ini saya hendak keluar sebentar.” Haseena menggamit pembantunya yang sedang menyusun semula majalah di raknya setelah ditarik keluar, dibelek, dibaca dan diletakan dimana saja oleh pelanggan-pelanggannya.
Tugas Ita mengemaskannya seketika untuk diserakan semula pelanggan-pelanggan Haseena. Dia tidak tidak boleh mengeluh bosan mengulangi rentak yang serupa kerana sememangnya dia dibayar untuk itu.
            “Maaf Datin berdua kerana tidak dapat hendak melayani Datin seperti selalu, sebab ada urusan sedikit yang perlu diselesaikan. Datin buatlah salon saya ni seperti rumah sendiri. Datin pun bukan tak biasakan…maafkan saya terpaksa berangsur dulu.” Haseena manis berbahasa dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir.

Wednesday, April 27, 2016

SELIRATAN CINTA BAB 3

ASSALAMUALAIKUM....

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Dato Shaari sedang berada di pejabatnya. Seorang gadis setiausaha menemaninya berbual kata. Sesekali terdengar kikihan manja seakan tergeletek amat perasaan dicuit gurau senda antara kedua-duanya. Perbualan yang sangat mesra di antara bos dan sekretarinya tiada apa yang mengganggunya. Berlaku dalam suasana harmonis yang selesa.
Amin menerjah masuk ke bilik bosnya seperti kebiasaannya tanpa mengetuk pintunya terlebih dahulu. Gadis setiausaha bingkas dari duduknya dan segera meluru keluar sambil mengepit fail di tangan.. Amin yang terjengul tiba-tiba mengejutkannya. Berderau darahnya menyimbah ke muka. Jantungnya berdegup kencang kerana keterkejutan.
Bimbang pula tersebar gosip hubungan mesra antaranya dan bos dijaja kemana-mana. Tukang canangnya tentulah Amin yang gemar bermuka-muka itu. ‘Bukan boleh percaya sangat ‘mamat’ pengampu seorang ni,’ desis hatinya.
Jika kabar-angin yang bukan-bukan itu sampai ke pendengaran tunangnya tentu haru-biru jadinya. Gadis itu tidak mahu berita sensasi begitu mengeruhkan hubungannya dengan tunangnya. Sudah tidak beberapa bulan lagi akan ke jenjang pelamin pula. Banyak persiapan yang telah dibuat. Kalau tidak jadi gara-gara mulut Amin yang celupar itu, alangkah malunya.  
            “Kau ni kenapa haa. Ingat pejabat ni bapa kau punya ke. Main terjah ikut suka je,” sergahnya dengan renungan mata tajam bersinar. Amin terkedu dijerkah bosnya.
            “Maaf Datuk. Sebenarnya adahal penting sangat. Sebab tu saya nak cepat. Datuk tengok ni.Ada artis baru Datuk. Mesti Datuk berkenan punya.” Amin menyuakan sebuah majalah hiburan  keluaran terbaru pada Datuk Shaari yang terkepit kemas dalam genggamannya.
Dia berharap kepanasan hati bosnya hanya ‘hangat-hangat tahi ayam.’ Tidak setara mana panasnya. Sekejap lagi sudah suam-suam kuku. Kembali normal sediakala.
Dato Shaari segera mencapainya. Kemarahannya kerana diganggu tadi ketika dia sedang berdua-duaan dengan setiausahanya cepat pula mereda. Amin lega melihat wajah Datuk Shaari tidak setegang tadi. Sudah setenang ayam tambatan dan tidak segarang harimau di kandang. Dia semakin berani menghambur bicara.
“Cantik Datuk. Bak bidadari.”
“Hah? Secantik Rozana ke?”
“Ini lagi hebat Datuk. Kecor air liur dibuatnya. Memang ngam dengan Datuk.” Amin ligat menggula-gula propa yang sangat diminati Datuk Shaari mutakhir ini. Dulu Datuk Shaari tidak begitu lakunya.
Dia hanya meniru contoh seorang rakannya seorang ahli perniagaan IT bertaraf dunia yang sering mengundang model-model jelita dan artis cantik untuk bersama pelanggan yang berurus-niaga dengannya. Katanya sebagai penyeri suasana dan melancarkan urusan bisnis yang hendak dijalankan. Supaya licin dan sempurna.
Dia cuba memperaktikan apa yang diamalkan kawannya itu sehingga dia pula yang terseret ke dalam kancah golongan manusia berparas cantik dengan kelebihan sebagai artis pelakon, artis penyanyi atau model  ini. Sehingga tidak dapat lari dunia yang sangat obses pada keindahan dan kecantikan itu. Dia sangat mengkaguminya.
Kini dia adalah peminat golongan itu dan sentiasa mendekati, mengikuti perkembangannya. Perantaranya adalah Amin kerana dia adalah seorang yang luas pergaulannya dalam ruang yang bersangkutan ini dan sentiasa berusaha hendak memenuhi hasrat tuannya. Tanpa sebarang olah dan bantah. Akur pada perintah.
“Ini boleh dapat ke Amin?” Amin terdongak mengadap Datuk Shaari.
“Eh datuk punya pasal, apapun saya boleh bagi. Kalau nak suruh saya uruskan untuk jadi yang nombor dua pun boleh.” Dia tersengih dengan yakin kerana terasa mampu melakukannya tanpa aral.
“Ish.. jaga sikit mulut tu. Untuk nombor dua, kau tak payah nak ajar aku. Aku ni dah berguni garam aku telan. Kalau aku nak pasang nombor dua dah lama aku buat. Aku yang akan pilih, bukan kau. Aku hanya akan pilih orang yang aku berkenan saja. Bukan sembarangan.” Matanya tidak lepas dari menatap majalah.
Hatinya amat kagum dengan wajah-wajah cantik penghias lembar majalah itu. Di selak lagi lembar seterusnya. Memang wajah-wajah perempuan dijadikanNya sangat cantik memikat. Sukar sesiapapun menafikannya. Bisik nuraninya.
Dibiarkan saja Datuk Shaari tekun melayani hobi terbarunya itu kerana dia juga yang mendapat pulangannya. Setiap artis atau model yang diperkenalkannya sekiranya menepati cita rasa Datuk Shaari untuk dijadikan teman sosial seketika dia akan diberi ganjaran yang tidak mengecewakannya. Rezeki Datuk yang mewah dan melimpah ruah itu mengalir juga sedikit ke poketnya.
Dia tahu juga tentang sepotong ayat al quran yang menyebut setiap rezeki yang diberikan itu ada hak orang lain bersamanya. Jadi tunaikanlah zakat. Dia berharap Datuk itu telah menunaikan zakatnya kerana dalam setiap laporan kewangan tahunan syarikat ada terpapar di akhbar di keluarkan sekian-sekian juta RM untuk zakat perniagaan.
Nampaknya Datuk itu tidak lokek berzakat kerana zakat akan menyuburkan rezekinya hingga melimpah-ruah dan mengalir ke poketnya menjadi haknya. Cuma caranya saja yang menyeleweng.
Dia tidak peduli apa maksud penyelewengan dari fahaman agama. Yang penting poketnya berisi. Dan dia boleh menjalani kehidupan yang senang kerana poket tidak kosong. Penuh berisi RM.  
“Agaknya yang ni boleh dapat tak?” Yang ditanya hanya menyeringai tanpa sebarang jawapan. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak mengatur jawapannya. Dia membalik-balik minda fikirnya yang kiri. Menurut pakar, otak sisi kiri metah kreatif.
“Itulah Datuk, dulu lagi saya dah cakap. Kalau Datuk berminat kenapa tidak berusaha mencuba. Citarasa artis ini nampaknya orang-orang yang berumur setara datuk. Tidak muda sangat tidak tua sangat. Sedang-sedang. Ini bila sudah terlepas pada yang lain barulah Datuk menyesal gigit jari.”
“Buat apalah mencuba kalau hasilnya memang sudah dijangka. Dia hanya memilih Datuk yang dicintainya. Bukan sembarangan orang. Kau mana tahu bagaimana perasaan orang yang jatuh cinta dan dilamun cinta. Sebab cara hidup kau ni mudah. Main sapu semua. Pendek kata ‘bujur lalu melintang patah.’”
“Habis buat apa nak tanya lagi. Redha je lah. Biarlah artis pujaan itu berada dalam dulang cintanya dengan berbahagia. Datuk tengok sajalah. Bukannya rugi apa-apa.”
“Pandai pula kau bercakap ya Amin,”gerutunya dengan geram.
 Wajah anggun wanita secantik Cinderella pada anggapannya itu di tatap dengan ralit sebelum menutup lembarnya. Dan mengkesampingkan majalah popular itu di sudut meja.
“Hai Sitti Nurhalliza, kenapalah kau tidak pilih aku. Aku pun Datuk juga. Banyak harta juga.” Keluhannya dilepaskan lemah dan perlahan. Amin tersengih di sisinya. ‘Hai ada hati juga datuk ni nak pikat Sitti Nurhalliza, tak tengok cermin kot, rupa pun retak seribu. Ada hati nak pikat artis paling top. Kalau aku tu lain la, tampan, bergaya, muda.’ Gumam kalbunya sinis