Sunday, December 12, 2021

BONEKA

 

RANCANGAN PURBAWARA

PENERBIT:        .

TAJUK:               BONEKA KENCANA.

PENULIS:          PARIDAH BINTI ISHAK.

ALAMAT:          NO.7, JLN 7F, DESA  MELOR, SERENDAH, SELANGOR.

K/P:                     580524-02-5748.

HP/ E-MEL:        019-2525742 / paridahishak@gmail.com

 

 

                           

PELAKON:        1. ……………sebagai RADEN GALOH CENDERA         KIRANA/PANJI SEMIRANG.

                            2. ……………sebagai RADEN GALOH ADJANG.

                            3. ……………sebagai PADUKA LIKU.

                            4. ……………sebagai RADEN INU KARTAPATI.

                            5. ……………sebagai PERABU DAHA.

 

                           

EFEK:                 1. SUARA RAMAI BERSETUJU

                            2. SUARA PERGELUTAN.

                          3. BUNYI KUDA DITUNGGANG  

 

SINOPSIS

Raden Galoh Adjang mencemburui kekandanya Raden Galoh Cendera Kirana kerana  lebih disayangi ayahanda mereka. Kedua-duanya anakanda Perabu Daha berlainan ibu. Raden galoh cendera kirana ibunya permaisuri Perabu. Galoh Adjang pula anak gundek Perabu; paduka Liku. Paduka Liku juga amat iri kepada permaisuri dan anak tirinya. Beliau meracun permaisuri dengan tapai kirimannya. Ubat pengasih digunakannya untuk menundukkan Perabu Daha agar menuruti semua kemahuannya. Raden Galoh Cendera Kirana didera setiap masa. Ayahandanya Perabu Daha menyebelahi angkara Paduka Liku kerana kini dibawah pengaruh jampi pengasih Paduka Liku

Raden Galoh Cendera Kirana mempertahankan boneka kencana hadiah tunangannya Raden Inu Kartapati daripada dirampas dan diberikan kepada Raden Galoh Adjang. Perabu Daha menghukumnya dengan menggunting rambut anaknya dengan tujuan menghinanya. Raden Galoh Cendera Kirana teramat sedih. Beliau melarikan diri dengan bantuan pateh Karma menteri Daha bersama pengikutnya membuat istana di hujung negeri dan menyamar sebagai lelaki bernama Panji Semirang. Setiap angkatan yang membawa dagangan ke  negeri Daha diserang dan dirampas barangan dibawa. Akhirnya Panji Semirang bertempur dengan tunangannya yang  membawa hantaran perkahwinan ke negeri Daha. Tapi Raden Inu Kartapati tidak mengenali Panji Semirang ialah tunangannya yang menyamar sebagai lelaki.


GRAM:              MUZIK PENGENALAN.

JURUHEBAH:   Wahana citra warisan bangsa, dipersembahkan dalam Purbawara. (PAUSE) Purbawara dengan kisah “BONEKA KENCANA” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor. “BONEKA KENCANA”.

SYAIR:               Bermula syair ditulis pena,

                            Raden Galoh Chendera Kirana,

                            Hidup sengsara tidak sempurna,

                            Didera jasad jiwa merana.

Bonda tirinya paduka Liku,

Dengki dan iri hasad membeku,

Demi mencapai hajat terbuku,

Angkara zalim sanggup dilaku,

GRAM:              MUZIK.

RG ADJANG:    (MERAJUK) Bonda lihatlah ayahanda Perabu! Ayahanda selalu melebihkan kekanda Chendera Kirana daripada anakanda. Apa salah anakanda! Anakanda juga anakanda ayahanda Perabu.

PLIKU:               (MEMUJUK) Sudahlah jangan menangis lagi. Beritahu bonda apa yang terjadi!

RG ADJANG:    Tadi di dalam taman, seekor burung kepadang ingin nakda tangkap. Tapi ke tangan Cendera Kirana dia melekap. Puas nakda meminta. Tapi tidak diberinya.  Katanya burung itu sukakannya. Kini dia pemiliknya. (PAUSE) Ayahanda Perabu dan bonda permaisuri juga bersetuju. Sedangkan anakanda yang terlebih dahulu hendak menangkapnya. (PAUSE) Bonda buatlah sesuatu demi anakanda ya bonda.

PLIKU:               (MARAH) Begitukah yang berlaku? Sungguh melampau batas perbuatan mereka memalukan anakanda! Tahulah bonda hendak mengajarnya nanti. (MEMUJUK) Anakanda sabar dulu seketika. Akan tiba masanya kita mengatasi mereka.

GRAM                 MUZIK

PLIKU:               (SUARA PERLAHAN) Adinda sudah dapatkan semua pesanan kanda daripada pawang pertapa? Cepat berikan kepada kanda.(PAUSE) Terima kasih adinda Jaka. Hajat adinda hendak menjadi menteri akan kanda penuhi setelah kanda bergelar permaisuri. Pulanglah segera. Berhati-hati! Jangan ada yang memerhati kehadiran adinda di sini. (MONOLOG) Dengan racun ini akan tamatlah riwayat permaisuri. Dan ubat pengasih ini akan membuat Perabu tunduk kepada beta dan mengasihi beta. (KETAWA) Baru mereka tahu siapa paduka Liku. (PAUSE) (SUARA TINGGI) Dayang bawakan tapai yang beta sediakan ini kepada permisuri!

GRAM:              MUZIK     

RGC KIRANA: (MENANGIS) (MONOLOG) Sampai hati bonda Liku meracuni bonda beta dengan tapai pemberiannya dan ayahanda Perabu tidak dapat berbuat apa-apa kerana ayahanda disihir sedemikian rupa menurut Pateh Karma. Hanya mengikut saja telunjuknya. Malang sekali nasib diriku. Didera setiap hari paduka Liku yang tidak sedar diri itu. Galoh Adjang juga semakin mengada-ngada bagai kaduk yang naik junjung tingkahnya. Tidak tertahan beta menanggung derita.

RG ADJANG:    (MENGEJEK) Berhentilah menangis kanda kerana bonda kanda yang telah mati tidak akan hidup kembali. Sia-sia mengalirkan air mata duka, membuang masa sahaja. Marilah bermain-main dengan dinda. (PAUSE) lihatlah apa yang dinda pegang ini! Boneka gangsa kiriman Raden  Inu Kartapati.

RGC Kirana:       (MARAH) Sudahlah dinda! Sungguh lancang bicara dinda. Usah lagi menabur bisa di hati kanda yang luka. Pergilah bermain-main dengan bonda Paduka Liku dan ayahanda Perabu. Tinggalkan kanda di sini sendirian.

RG ADJANG:    Kanda tidak mahukah malihat boneka gangsa kiriman tunangan kanda ini? (KETAWA) Alangkah malangnya nasib kekanda kerana tunangan kanda akan jadi suami adinda! Kanda akan terus menangis sendirian.

RGC Kirana:       Usahlah dinda bermimpi. Tidak akan kanda benarkan terjadi!

GRAM:              MUZIK.

PERABU:           (SUARA TINGGI) Dayang bawakan bungkusan titipan Raden Inu Kartapati dan berikan kepada Raden Galoh Cendera Kirana

RGC KIRANA:  (HAIRAN) Ada juga juga titipan Raden Inu Kartapati kepada anakanda? Syukur anakanda kepada Yang Maha Esa. Terima kasih ayahanda Perabu!

RGADJANG:     (KETAWA GELIHATI) Ambillah kanda! Titipan ini hanya sisa pilihan dinda. Lihatlah bungkusan kirimannya hanya di dalam  balutan kain usang. Memang layak pun kanda menerimanya.  Mungkin isinya cuma kain buruk buat kanda menghapus air mata.

PERABU:           Biarkanlah kandamu sendirian di sini. Ayuh kita balai rong istana menemui bonda anakanda permaisuri Liku.

GRAM                MUZIK:   

RGC KIRANA:         (TERUJA) Wah indahnya boneka kencana! Terima kasih kanda Raden Inu Kartapati kerana memberi dinda hadiah ini. Kanda seakan memahami keaadan dinda kini. Dan mengutus hadiah indah hanya dibalut kain buruk. Sedangkan boneka gangsa pilihan Galoh Adjang dalam bungkusan yang elok rapi. (PAUSE) Dapatlah beta bermain-main dengannya pengubat lara.

RG ADJANG:    (TERUJA) Eh boneka kencana! Cantiknya! Berikanlah kepada dinda.

RGC KIRNA:     Tidak mungkin kanda memberikan hadiah tunangan kanda kepada dinda. (MENGEJEK) Lagipun kanda hanya terima sisa pilihan dinda dulu. Kenapa pula dinda kini tidak berkenan dengan boneka gangsa dinda itu.

RG ADJANG:    (MARAH) Dinda tidak peduli itu semua. Dinda tetap mahukan boneka kencana itu. Cepat berikan kepada dinda!(BEREBUT) (PAUSE) Oh kanda berdegil ya! Dinda akan adukan kepada ayahanda dan bonda dan kanda pasti akan dihukum! (MENJERIT) Ayahanda! Bonda!

GRAM:              MUZIK.

RG ADJANG:    (MERENGEK) Lihat itu ayahanda! Bonda!  Kanda gembira bermain dengan boneka kencana yang indah. Anakanda minta tidak mahu diberikannya.  

PERABU:           (SUARA TINGGI) Anakanda Galoh Cendera Kirana! Cepat berikan boneka kencana itu kepada Galoh Adjang!

RGC KIRANA:  Ampuni anakanda, ayahanda Perabu! Hadiah tunangan anakanda Raden Inu Kartapati tidak akan anakanda beri kepada sesiapa!         

PERABU:           (SUARA TINGGI) Nampaknya anakanda mengingkari perintah ayahanda!      

PLIKU:               (MARAH) Sesiapa yang mengingkari perintah Perabu akan terima hukumannya! (PAUSE)  Hukum saja Galoh Cendera Kirana, kekanda Perabu!

RGC KIRANA:  (MERAYU) Ampunilah anakanda duhai ayahanda Perabu! Janganlah dihukum akan anakanda.

RG ADJANG:    Hukum sahaja ayahanda perabu! Usah bertangguh lagi!

PLIKU:               (MENGGESA) Cepat kekanda Perabu, laksanakan hukumannya!

PERABU:           (SUARA TINGGI) Petanda! Cepat bawakan gunting dan pisau ke sini! Galoh Cendera Kirana, bersedialah menerima hukuman setimpalnya kerana ingkar perintah ayahanda.

GRAM:              MUZIK.

RGC KIRANA:  (MENANGIS) Sampai hati ayahanda perabu menghukum beta dengan menggunting seluruh rambut mahkota junjungan yang beta sayangi selama ini. Perbuatan ayahanda dan paduka Liku, begitu menghina beta. (MONOLOG) Beta tidak boleh membiarkan diri beta berterusan disiksa kejam begini. Entah apa lagi yang paduka Liku rancang terhadap beta. Mungkin juga paduka Liku dan Galoh Adjang akan membunuh beta seperti perbuatan mereka terhadap bonda beta. Beta perlu tinggalkan istana ini segera demi menjaga keselamatan diri beta seperti nasihat Pateh Karma. (PAUSE) Wahai dayang-dayang dan panglima beta yang setia, mahukah mengikut beta tinggalkan istana yang semakin huru hara ini? Kalau kalian bersetuju, bersiaplah segera! Kita berpindah ke hujung negeri membina istana baru.

EFEK                   SUARA RAMAI BERSETUJU

GRAM                  MUZIK              

RGCKIRANA:   Sudah pun siap istana kita. Terima kasih Pateh Karma bersama panglima-panglima dan dayang-dayang beta yang setia. (PAUSE) Pateh pulanglah segera ke istana agar kehilangan Pateh kerana membantu beta tidak disedari ayahanda Perabu dan paduka Liku (PAUSE) Di sinilah kita dayang dayang dan panglima-panglima beta  bersama merancang acara seterusnya. Setiap angkatan yang bawa dagangan ke dalam negeri Daha kita serang dan rampas barangan yang dibawa tanpa mengira siapa. Di sini beta adalah Panji Semirang seorang perjaka.

GRAM               MUZIK

EFEK                 PERGELUTAN

RGC KIRANA:  Berjuang habis-habisan panglima-panglima beta yang perkasa. Kalau ada yang melawan habiskan saja riwayatnya. (PAUSE) (SUARA TINGGI) (MONOLOG) Siapakah pula berkuda laju menghala sini. Seakan beta kenali lagaknya.

EFEK                 BUNYI KUDA DITUNGGANG          

RI KARTAPATI: (MARAH) Kenapa angkatan beta dihalang perjalanannya menuju Daha. Apa pula masalahnya? Siapakah tuan hamba semua? Berani sekali kalian menentang angkatan beta!

RGC KIRANA:  (SUARA TINGGI) Hamba Panji Semirang, penguasa sempadan negeri! Siapa pula tuan hamba ini?

RI KARTAPATI: Beta Raden Inu Kartapati, putera Perabu Kuripan! Beta dalam perjalanan ke Daha untuk mengahwini Raden Galoh Cendera Kerana. Hajat beta dan angkatan usahlah dihalang!Biarlah beta meneruskan perjalanan dengan aman.       

PSEMIRANG:    (LUNAK) Oh begitukah? Maafkanlah panglima hamba kerana menggendalakan perjalanan raden yang mulia. Sebelum raden berangkat menuju Daha sudikanlah raden ke istana hamba terlebih dahulu. sebagai tanda pertemuan kita. Sembari melepaskanlah lelah diri sebelum meneruskan perjalanan (MONOLOG) Cukuplah sekadar dapat bertemu kekanda Raden Inu kecintaan hati beta seketika di sini! Beta hanya boleh berdoa, perkahwinan kekanda raden dengan Galoh Adjang tidak terjadi kerana ketiadaan beta di sana Galoh Adjang pasti jadi penggantinya.

RIKARTAPATI: Terima kasih atas baik budi Panji Semirang melawa beta ke istana panglima. (PAUSE) Tapi beta merasa tuan hamba ini seolah  pernah beta kenali. Dan beta nyaman tanpa gusar berada di sisi tuan hamba. Beta akan singgah di sini lagi sekembali dari Daha bersama Raden Galoh Cendera Kirana setelah berkahwin dengannya.

SYAIR:               Galoh Adjang kini bermegah,

                            Kehendak hati tidak tersanggah,

                            Iri dan dengki rasa menggugah,

Dengan kekanda asyik telagah.

                          Boneka kencana punca masalah,

Cendera Kirana merasa lelah,

Pertahan kaduh tanpa mengalah,

Dihukum Perabu kerana olah.

GRAM:              MUZIK.

RIKARTAPATI: Ampun ayahanda Perabu! Anakanda turut bawakan hadiah aguk ratna berrsama kalungnya kiriman ayahanda Perabu Kuripan. Sudikanlah ayahanda kalungkannya ke leher ayahanda.

PERABU:           (GEMBIRA) Terima kasih anakanda! Adinda Perabu Kuripan tidak pernah lupakan beta kekandanya. (PAUSE) Anakanda Raden Inu Kartapati telah tiba dari Kuripan dengan alatan persiapan perkahwinan sebagaimana perjanjian yang diperteguhkan bersama dahulu! Tapi ayahanda dukacita hendak menyampaikan khabar ini kepada anakanda. Tunangan anakanda telah hilang entah kemana. Puas dicari tidak bersua.

P.LIKU :             (MENGHASUT) Raden Galoh Cendera Kirana itu tidak sesuai untuk dijadikan isteri anakanda kerana perangainya buruk sekali. Sanggup meninggalkan negeri entah bersama siapa tidak diketahui.

RG ADJANG:    (SUARA MANJA) Adinda kan ada. Biarlah adinda jadi pengganti kekanda yang tiada! Adinda juga tidak kurang suatu apa. Lebih  jelita daripada kekanda!

P.LIKU:              Ya bonda juga amat bersukacita sekiranya anakanda memperisterikan Raden Galoh Adjang (PAUSE) (SUARA LUNAK) Tidakkah  sebaiknya begitu kekanda Perabu!

PERABU:           (SERBA SALAH) Ya ya! Ayahanda bersetuju dengan bonda permaisuri. Anakanda berkahwinlah dengan anakanda ayahanda Raden Galoh Adjang.

RIKARTAPATI:        Ampun ayahanda Perabu! Berikan anakanda masa untuk menimbang keputusannya. 

GRAM:              MUZIK..

RIKARTAPATI:        Beta merasa berat hati hendak berkahwin dengan Raden Galoh Adjang kerana Raden Galoh Cendera Kirana yang beta cintai. Beta tidak percaya bicara permaisuri itu bahawa tunangan beta buruk perilaku. Beta sudah kenali tunangan beta sejak lama. Orangnya cantik dan  baik hati budi.  (MONOLOG) Beta pasti Pateh Karma pembesar Daha tahu apa yang sebenarnya duduk perkara. (PAUSE) Pengawal! Panggilkan pateh Karma ke sini!

EFEK:                BUNYI PINTU DIBUKA          

                          Masuklah kemari Pateh Karma. Ada sesuatu yang terkilan ingin beta tanyakan. Diharap pateh dapat memberikan jawapannya. (PAUSE) (FLASHBACK RADEN GALOH CHENDERA KIRANA DIHUKUM PERABU) (PAUSE)

                             Oh begitukah kisah sebenarnya? (MONOLOG) Kasihan sungguh tunangan beta dihukum ayahanda Perabu sedemikian rupa, angkara hasutan paduka Liku dan anakandanya yang kejam itu. Tidak sanggup beta benarkan perbuatan keji mereka. Jikalau beta mengahwini puteri paduka Liku itu mungkin beta juga akan menerima nasib seperti ayahanda Perabu. Kasihan ayahanda Perabu! Semoga azimat yang diberikan ayahanda Perabu Kuripan di dalam aguk mampu menawarkan jampi mentera paduka Liku dan ayahanda Perabu Daha pulih sediakala. Ayahanda beta maklum akan masalah yang menimpa kekandanya, Perabu Daha itu.

GRAM:              MUZIK.

RIKARTAPATI: Ampun ayahanda Perabu! Setelah menimbangkan keputusannya semalaman, anakanda bersetuju berkahwin dengan Raden Galoh Adjang. (PAUSE) Tapi sebelum acaranya berlaku, izinkan anakanda berjalan-jalan dahulu sebentar melihat keindahan negeri Daha.

PERABU:           Silakanlah anakanda. Tapi segeralah pulang ke istana kerana banyak acara yang perlu anakanda jalani dengan sempurna sebelum perkahwinan anakanda berdua dilangsungkan.

RGADJANG:     Biar anakanda ikuti kekanda raden menemani kemana saja ya ayahanda!

PLIKU:               Tidak boleh anakanda! Diam saja di istana. Bonda akan mempersiapkan anakanda sebagai mantin dengan busana indah tidak terperi, bersulam permata intan baiduri.

GRAM:              MUZIK

RIKARTAPATI:        Terima kasih Pateh Karma mengiring beta hingga ke hujung negeri. Beta akan cuba mencari tunangan beta mulai dari sini. (PAUSE) Pateh segeralah pulang ke istana. Sekiranya ayahanda Perabu bertanya katakan beta terpaksa pulang ke Kuripan segera kerana ayahanda beta mengirim utusan membawa pesan.

GRAM:              MUZIK.

PLIKU:               Cantik sungguh anakanda berbusana indah bertatah ratna mutiara. Tambah berseri dengan perhiasan intan berlian yang gemerlapan.

RG ADJANG:    (RESAH) Tapi kanda Raden Inu Kartapati sudahkah dipersiapkan bonda? Tidak sabar anakanda hendak bersanding di pelaminan bersama arjuna anakanda itu bonda!

PLIKU:               Bersabarlah anakanda! Akan menjelma detik yang anakanda nanti sebentar sahaja lagi. (PAUSE) Bonda juga turut bersukacita akhirnya kita dapat menyingkirkan Galoh Cendera Kirana dan anakanda merampas tunangannya Raden Inu Kartapati. (KETAWA) (BERBISIK) Nanti bonda berikan jampi mentera bagaimana anakanda hendak menundukkan Raden Inu Kartapati.

PERABU:           (SUGUL) Nampaknya kegembiraan kita hendak meraikan perkahwinan anakanda kita tidak menjadi. Anakanda raden Inu Kartapati telah pulang ke Kuripan!

PLIKU:               (TERKEJUT) Apa! Siapa yang memberitahu kanda Perabu?

PERABU:           Pateh Karma membawa khabar utusan Kuripan tiba membawa pesan menyuruh anakanda raden segera pulang.

RGADJANG:     (MENANGIS) Malunya anakanda tidak dapat bersanding dengan kekanda yang amat nanda cintai sedangkan anakanda sudah berhias diri segala.

PLIKU:               (MARAH) Kanda ini semua tidak boleh dibiarkan berlaku! Sungguh berani Raden Inu Kartapati memalukan beta dan anakanda beta! (PAUSE) Kanda Perabu! Isytiharkan perang dengan Kuripan!

PERABU:           (SERBA SALAH) Tapi Kuripan itu negeri adinda kekanda! Tidak mungkin kekanda berperang dengan saudara kekanda!

GRAM:              MUZIK.

RIKARTAPATI:        (MONOLOG) Sebelum beta berkelana keliling buana mencari Raden Galoh Cendera Kirana, beta hendak singgah dulu di istana Panji Semirang. Beta akan cuba mengajaknya bersama beta menjejak Raden Galoh Cendera Kirana.

                         (PAUSE) Akhirnya sampai juga beta ke istana Panji Semirang ini. (SUARA TINGGI) Kalian semua pulanglah ke Kuripan. Dan sampaikan pesan beta kepada ayahanda Perabu Kuripan bahawa beta akan berkelana mencari tunangan beta Raden Galoh Cendera Kirana.

GRAM               MUZIK

RIKARTAPATI:        Tidak kelihatan sesiapa pun di sini! (MONOLOG) Mungkin Panji Semirang dan satrianya sedang berperang melawan musuh mereka. Biar beta masuki istana untuk pastikannya. Eh ada seseorang di sana siapakah dia? Busananya bagai seorang puteri. Isteri Panji Semirangkah? Biar beta dekati tanpa disedari.

                            (TERKEJUT) Eh adinda Raden Galoh Cendera Kirana!

RGCKIRANA:   (TERHARU) Ya kekanda! Adinda yang selalu menantikan kekanda bersama boneka kencana di sisi. Saat bahagia dinda bersama kanda ada jodohnya jua.

RIKARTAPATI: Tapi siapa Panji Semirang?

 SYAIR:              Cinta nan tulus bersatu jua,

                            Pelbagai rintang menghalang arahnya,

                            Ditempuh dengan penuh sabarnya,

                            Derita dulu bahagia akhirnya.

                          Boneka kencana kisahnya tamat,

                            Hanya thamsilan ambil maklumat,

                            Sifat terbaik jadi azimat,

                            Hidup selamat beroleh rahmat.

GRAM:              MUZIK PENUTUP.

JURUHEBAH:   Demikian Purbawara dengan kisah “BONEKA KENCANA” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor.

PELAKON:

                            1. ……………………………...………………………………………..

                            2. ……………………………...………………………………………..

                            3. ……………………………...………………………………………..

                            4. ……………………………...………………………………………..

.                           5.……………………………...………………………………………..

                            PENYAIR: …………………………………………………………….

Purbawara khazanah seni warisan bangsa, diterbitkan oleh................................

CATATAN MAISARA

 

RANCANGAN: PANGGUNG DRAMA.

PENERBIT:        ZURAIDAH MOHD NOR.

TAJUK:               CATATAN MAISARA

PENULIS:          PARIDAH BINTI ISHAK.

ALAMAT:          NO.7, JLN 7F, DESA  MELOR, SERENDAH, SELANGOR.

K/P:                    

HP/ E-MEL:        019-2525742 / paridahishak@gmail.com

AKAUN BANK:       162553086206 (Maybank). 

 

 

                           

PELAKON:        1. …………………………..........sebagai .Maisara

                            2…………………………........... sebagai .Azim

                            3…………………………........... sebagai .Emak

                            4…………………………........... sebagai .Faiz

                            

                           

EFEK:                 1. SUARA BUALAN RAMAI

2. BUNYI AKHBAR DISELAK

                            3. BUNYI PINTU DIBUKA

                            

                           

 

SINOPSIS:         

Maisara bersedih meratapi perpisahan yang terjadi antaranya dan Azim. Suaminya itu   menceraikannya setelah sebulan bernikah. Emaknya cuba menenangkannya dan menasihatinya. Maisara mulai melupakan kesedihannya dengan menulis pelbagai karya yang diminatinya. Hasil karyanya memunculkan namanya antara penulis yang dikenali.

Faiz salah seorang peminat tulisan Maisara bertemu dengan penulis kesukaannya itu di Pesta Buku Antara bangsa KL. Dia membeli beberapa buah buku daripada Maisara dan menghadiahkan kepada Azim rakan serumahnya. Azim memperlekeh minat Faiz terhadap sastera sedangkan mereka berdua ialah arkitek dan bidang mereka jauh berbeza dengan sastera. Faiz tidak pedulikan komen rakannya yang kini sangat intim berkawan mesra dengan Erin..dia sering menegur tingkah rakan yang dianggap menyalahi aturan agama Islam sehingga menimbulkan pertengkaran.

Azim teringin mengetahui siapakah penulis kesukaan Faiz lalu membelek buku yang dihadiahkan Faiz kepadanya. Dia terkejut kala mengetahui penulis itu ialah Maisara. Hatinya rusuh dan enggan melepaskan Maisara kepada sesiapa walaupun mereka telah setahun bercerai. Segera dia bergegas menemui Maisara dan emaknya untuk menyatakan hasratnya rujuk semula kepada perkahwinan antaranya dan Maisara. Mentuanya menyerahkan kepada  Maisara akan keputusannya.


GRAM:                   MUZIK PENGENALAN.

JURUHEBAH:        Panggung drama dengan kisah “CATATAN MAISARA” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor. “CATATAN MAISARA”.

 

GRAM:                   MUZIK.

EMAK :                   (SUARA MEMUJUK) Sudahlah Mai! Banyak-banyaklah bersabar. Bukan kamu minta semua ini terjadi. Tapi dah ditakdirkan terjadi, terpaksalah diterima. (PAUSE) Kalau kamu rasa sedih dan malu, mak ni lebih lagi. Kamu fikir mak tak sedih dan malu bila orang keliling kelalang sibuk mengata anak mak yang baru kahwin sebulan dah jadi janda! Mak kena hadap semua tu dengan sabar dan tabah. Takkan mak nak pergi maki semua orang yang mengata anak mak!

MAISARA:             (MENANGIS) Kenapalah abang Azim tinggalkan Mai mak! Apa salah Mai? Apa dosa Mai mak! Kalau dia tidak sukakan Mai, kenapa dia tidak putuskan saja pertunangan kami dulu. Ini setelah kami berkahwin ditinggalkannya Mai dengan surat cerai yang dikirimnya melalui syarikat guaman. Kenapa mak! Mai  langsung tidak bermakna bagi dia. Hancur berkecai hati Mai. Harga diri Mai diinjak-injak bagai kain buruk, mengelap kaki. Mai tidak faham tujuannya memperisterikan Mai! (SUARA TINGGI) Pening! Pening! Mai stress mak (MENANGIS) Mai macam dah nak gila!         

EMAK:                    (MEMUJUK) Sabarlah Maisara! Istighfar banyak-banyak. Ingat Allah. Bawa bertenang. Semua yang berlaku dengan izin-Nya. Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukannya. Perancangan Allah itulah yang terbaik. Kita tidak tahu rahsia-Nya. Tentu ada hikmah-Nya. (PAUSE) Mai dan Azim berpisah sebelum beranak-pinak tentu akan memudahkan Mai menguruskan hidup. Jikalau anak dah berderet tiba-tiba bercerai pulak tentu besar masalahnya.                                                                                                            

MAISARA:             (MENANGIS) Kenapa abang Azim buat gitu kat Mai, mak!

EMAK :                   Entahlah Mai! Mak ni tak reti nak baca hati orang. Mak nampak Azim orangnya elok saja. Baik budi bahasanya. Hormat orang tua. (PAUSE) Bila dia menceraikan anak mak tiba-tiba, mak pun terkejut. Mak pun tak faham kenapa jadi gitu dan apa masalah kamu berdua. Lepas kahwin seminggu dia hilangkan diri, tup tup mak dengar kamu menjerit kata dia dah ceraikan kamu. Mudahnya kamu berdua bercerai hanya dengan sekeping surat. (PAUSE) Kamu berdua kan dah lama berkawan sejak sekolah menengah hingga universiti. Tapi apa nak dikata lagi, jodoh yang tersurat antara kamu dan Azim cuma sebulan. (PAUSE) Kamu berhentilah menangis meratap. Jika niat hatinya hendak menganiaya kamu, biar Allah yang membalasnya. Tak guna kamu di sini menangis sedih, sedang dia di sana ketawa gembira. Jangan menyiksa diri. Berdosa tu!

MAISARA:             Saya minta maaf pada mak…disebabkan saya jiran-jiran dan saudara mara kita mengata mak! Mereka tentu mengatakan saya perempuan tak baik…sebab tu ditinggalkan suami sedangkan baru sebulan berkahwin. Saya minta maaf kerana tidak dapat memberi mak sorang menantu yang baik.

EMAK:                    Usahlah difikir tentang semua tu. Mak ni, soal umpat keji orang ni mak tak ambil peduli sangat. Mereka bukan faham masalah kita. Bila mereka dah puas bercakap, mereka berhenti. (PAUSE) Mak cuma risaukan kamu. Asyik berkurung diri dalam bilik, meratap tangis tak henti macam hilang punca.  Kena ingat juga, jika Allah ambil sesuatu dari kita, insyaaAllah akan Allah gantikan dengan  yang lebih baik. Yakinlah.

MAISARA:             Terima kasih mak! Hanya mak yang faham masalah Mai. Mujur mak ada di sisi Mai…dapat Mai sandarkan apa saja masalah Mai di bahu mak!

EMAK:                    Mak ni dah tua Mai! Tidak selamanya Mai dapat sandarkan masalah Mai di bahu mak. Mai kena kuat semangat dan yakin dengan kemampuan diri. Anak mak ni bukan lemah orangnya. Sudahlah! Apa yang telah berlaku Mai anggap saja pengalaman pahit. Walaupun pahit terpaksa ditelan juga. Pahit kan ubat! (PAUSE) Mai cuba lupakan semua tu dengan buat sesuatu yang melekakan Mai. Kamu pun dah lama bercuti kerja. Pergilah ke pejabat semula.

GRAM                     MUSIK

EMAK:                    (SUARA TINGGI) Mai! Mai! (MONOLOG) Apalah yang dibuat Maisara dalam biliknya tu, sampai aku panggil pun tak menyahut. Haraplah dia tak meratap hiba mengenangkan Azim lagi. Biar aku tenguk dia di biliknya. (PAUSE) Apa kau buat Mai! Sampai puas mak panggil kau tak jawab. Risau hati mak tau! Ini mak belikan surat khabar untuk kau.

MAISARA:             Maaf mak! Mai tak perasan mak panggil Mai. Ralit Mai menaip karya di lap top ni. Mai ikut cakap mak, isi masa dengan kerja yang berfaedah. Sementara Mai masih cuti lagi Mai cubalah menulis karangan. Dulu Mai memang suka menulis. Tapi dah lama tinggalkannya sebab sibuk belajar. (PAUSE) Terima kasih mak, belikan Mai surat khabar. Tadi memang teringat juga nak pesan kat mak tolong belikan. Sebab terlalu seronok menaip jadi terlupa pula!

EMAK:                    Baguslah Mai! Mak bersyukur kepada Allah kerana Mai sudah berubah sikap. Tidak lagi seperti dulu. Hidup kita ni singkat saja Mai. Masa sangat cepat berlalu. Kalau tidak diisi dengan perkara berfaedah, tentu merugikan.

EFEK BUNYI SURAT KHABAR DISELAK  

MAISARA:             (TERUJA) Mak tenguk ni! Surat khabar ni siarkan cerpen Mai! Alhamdulillah! Tak sesia usaha mai berkurung dalam bilik menaip saja selama ni. Ada juga hasilnya..

EMAK:                    (TERUJA) Mana? Bagi mak tenguk! Oh ...RANJAU KASIH ni cerpen Mai yang tulis ya? Tapi penulisnya MIA FAZLIANA bukannya Mai.

MAISARA:             (GELAK SEDIKIT) Nama samaran mak!

EMAK:                    Oh! Tajuknya mengingatkan mak pada novel Sasterawan Negara; Shahnon Ahmad, RANJAU SEPANJANG JALAN.

MAISARA:             (GELAK SEDIKIT) Ambil sikit aura Sasterawan Negara mak!

EMAK:                    Suka hati kamulah Mai! Asal kamu bahagia.

MAISARA:             Mana tahu suatu hari kelak dapat gelar Sasterawan Negara! (KETAWA) Anak mak juga!

EMAK:                    Iyalah tu! Tak salah kamu nak berangan. Tapi usahalah.

GRAM                    MUSIK

FAIZ:                      Aku nak ke pesta buku antara bangsa di PWTC! Jom temankan aku       ke sana!     

AZIM:                      Kau nak buat apa ke sana?  

FAIZ:                       Kau ni buat tak tahu pulak! Kalau ke pameran buku tentulah nak beli buku. Banyak buku yang aku cadang nak beli. (PAUSE) mana tahu kot ada jodoh bertemu dengan penulis novel “Catatan Maisara” yang cun melecun tu (GELAK SEDIKIT)

AZIM:                      Oh…ada niat lain juga ya! Patutlah beria-ia hendak ke pesta buku. Ada hati nak bertemu penulis terkenal.. (PAUSE) Eh siapa nama penulis yang sudah buat kau gila bayang ni? (KETAWA)

FAIZ:                       Mia Fazliana! Kau kenal ke?                                                                                   

AZIM:                      Entah! Tak pernah dengar pun. Penulis baru kot..

FAIZ:                       Itulah kau! Malas membaca akhbar dan majalah, medsos, dah kau    ketinggalan zaman. (PAUSE) Dia ni penulis prolifik yang sudah ada nama tau! Kau sorang saja yang tak kenal.                                            

AZIM:                      Tak rugi apa pun kalau aku tak kenal orang sastera yang banyak berkhayal untuk menulis apa saja. Lagi pun sekarang ni berlambak-lambak penulis yang mengaku dirinya penulis. Padahal entah apa-apa yang ditulisnya.

FAIZ:                       Amboi! Sedapnya mulut kau mengata. Kata orang kalau tak kenal maka tak cinta. Kalau kau kenal penulisnya aku rasa kau yang akan gila bayang.

AZIM:                      Rasanya tidak kot! Aku kan dah ada Erin! Dialah satu-satunya buah hati pengarang jantung aku. Dah tak ada masa aku nak angau, gila bayang lagi. Bayang Erin dah aku genggam. (GELAK) Nampaknya kaulah yang akan terus kejar bayang penulis sapa? Miiiya Fazliana. (KETAWA) 

FAIZ:                       Seronoknya kau gelakkan aku ya! Kalau ada jodoh aku bertemu dengan penulis tu Insyaa-Allah…kau jangan putih mata memandang. Mula-mula tu berkawan dulu! Kut ada jodoh kahwinlah! Aku tak mau macam kau, berkepit ke hulu ke hilir dengan Erin. Tapi masih tak kahwin-kahwin! Entah bila nak kahwinnya (PAUSE) Apa masalahnya tak tahulah aku. Kau dan dia bukan mahram tau. Berdosa jalan berduaan. Renti-rentilah buat maksiat Azim!

 AZIM:                     Wah ustaz dah mula ceramah ya! Terima kasih banyaklah ingatkan, aku. Erin dah tunggu aku tu. Aku pergi dulu ya! Selamat bertemu dengan penulis idaman.(GELAK  SEDIKIT) Kalau kau dapat selfie dengan penulis tu jangan lupa tunjuk kat aku ya!

FAIZ                        Berambuslah cepat!        

GRAM                     MUSIK:

EFEK SUARA PERBUALAN

FAIZ::                      Assalamualaikum! Apa khabar? Saya Faiz.  Cik ni Mia Fazliana, penulis novel ini kan!

MAISARA.             Waalaikummussalam! (TERGAGAP) Err..ya! ya! (MONOLOG) Cam mana aku boleh terlupa aku ni Mia Fazliana. Konon nak menyamar, mujur tak kantoi!

FAIZ:                   (MONOLOG) Wow memang cantiklah penulis ni. Suaranya pun lunak merdu. Rasanya aku dah jatuh cinta pandang pertama ni! Jantung aku ni berdegup tak renti pulak.                                                            

MAISARA::           Err.. Encik Faiz! Encik nak beli buku ya! Pilihlah yang mana encik nak.        Banyak buku terbitan baru di reruai kami.

FAIZ:                      (TERGAGAP-GAGAP) Er..ya! ya! Panggil saya Faiz saja! Tak payahlah nak berencik-encik. Saya pun bukan sesiapa.

MAISARA:             (MONOLOG) Suka hatilah kaulah Faiz. Asalkan kau beli buku-buku yang aku jual ni.                               

FAIZ :                      Okey! Saya nak beli buku yang saya pilih ni, sepuluh buah semuanya.                        

MAISARA:             Alhamdulillah! Banyak buku yang saudara nak beli. Terima kasih sudi menyokong usaha penulis kecil seperti kami.

FAIZ:                       Setiap karya yang ditulis dengan baik tentu tidak ternilai harganya dan memberi kepuasan kepada yang membacanya. (PAUSE) Lagipun menulis novel atau lain-lain karya kreatif bukannya mudah. Mengambil masa nak siapkannya.

MAISARA:             Ya memang betul kata saudara tu! Menulis ni tidak ramai yang suka buat, walau kebanyakan kita memang tahu menulis sejak kecil. Hanya sebilangan saja yang menulis dengan fokus.                                           

FAIZ:                       (GELAK SEDIKIT) Hendak menulis pun perlu ada bakat juga kan! Kalau bakat tak ada tentu caca-marba jadi rojak apa yang ditulis. Huru-haralah dunia sastera.. 

MAISARA:             Hmm…nampaknya saudara juga berminat ikuti perkembangan dunia sastera!

FAIZ:                       Saya suka membaca saja. Terutama karya yang cik Mia tulis!

MAISARA:             (MONOLOG) Ada juga peminat aku! Uish rasa macam artis le pulak! Sabar Mai! Jangan cepat tak sedar diri…hih..hih… .

FAIZ:                       Eh tertawa pulak! Salahkah apa yang saya kata tu!     

MAISARA:             Maafkan saya! Sebenarnya saya rasa terharu sangat bila saudara kata minat dengan tulisan saya. Alhamdulillah. Hmm (PAUSE) saudara tak minat menulis ke! Cuba-cubalah!                                                                                        

FAIZ:                       Saya ni menulis tak pandai. Tapi suka membaca dan melukis! Melukis pelan!

MAISARA:             Oh arkitek!

FAIZ:                       Macam cik Maisara juga.

MAISARA:             Saya penulis bilis saja. Bukan arkitek.

FAIZ:                       Tak payahlah nak merendah diri sangat! Saya dah baca biodata diri cik Mia dalam novel tu!

GRAM:                   MUZIK

EFEK:     PINTU DIBUKA

AZIM:                      (SUARA TINGGI) Oi Faiz! Apa kau buat di sini masih tak tidur lagi! Kau tenguk tv atau tv tenguk kau? Tunggu aku balik ke? (PAUSE) Kau jangan risau aku tak lupa bawa kunci rumah.

FAIZ:                       (SUARA PERLAHAN) Tak ada pasalnya aku nak tunggu kau! Kalau kau tak bawa kunci, kau tidurlah kat luar. Tak ingin aku nak buka pintu! Entah ke manalah kau merayap dengan Erin, sampai dah larut malam baru balik.

AZIM:                      Biasalah. Kan malam ni malam minggu. Malam untuk dinikmati dengan gembira. (PAUSE) Aku bukan macam kau, tau berkurung saja dalam bilik walau malam minggu.                

FAIZ:                       Bawa-bawalah bertaubat Azim! Kita ni nak mati tak kira usia.                                                                                                                                                          

AZIM:                      Kau ni Faiz, pantang Nampak muka aku ada  sajalah yang kau tak puas hati. Renti-rentilah bagi ceramah kat aku. Kau  tu arkitek. Bukannya ustaz.                   

FAIZ:                       (SUARA PERLAHAN) Aku suka tegur salah silap kau sebab kau kawan baik aku. Aku sayang kat kawan baik aku. Tapi kalau tak suka aku minta maaf. Lain kali aku tak tegur lagi. (PAUSE) Aku masuk tidur dulu. Tadi aku ke PBAKL dan beli sebuah novel untuk kau. Kau bacalah.                        

GRAM                     MUZIK

AZIM:                      (MONOLOG) Novel apalah yang dibeli Faiz untuk aku ni! Tapi mata aku ni susah pula nak lelap. Elok juga aku baca bed time story untuk diri aku sendiri! Heh! Heh! Alahai mengantuklah pulak. Lain kalilah baca.

GRAM                     MUZIK                            

AZIM:                      Kau nak kemana pula melawa sakan nampak?

FAIZ:                       Ke PBAKL!

AZIM:                      Aik semalam kan dah pergi! Banyak lagikah buku yang kau nak beli?

FAIZ:                       Adalah hal aku! Toksahlah kau susah-susah fikir. Kau fikir saja tentang Erin kau tu!

AZIM:                      (MENGUSIK) Aku rasa mesti kau nak pergi jumpa penulis tu lagi kan! Jumpa sekali tak puas ya! (PAUSE) Nampaknya memang kau dah jatuh hati dengan penulis tu!

FAIZ:                       Entahlah Azim! Aku pun tak faham dengan hati aku. Semalam aku terlupa nak minta whatsapp dia. Kali ni kalau dia masih ada kat sana, aku nak cuba minta. Senang kalau adahal apa-apa nak bagi tau. (PAUSE) Mana tahu kalau ada jodoh aku dengan dia senang aku nak minta kau pergi tolong minang untuk aku. (KETAWA KECIL)

AZIM:                      Okey je setakat nak tolong pergi minang tu! Pergilah buat temu janji dulu. Jangan kau sorang yang perasan, mabuk kepayang sudah!

GRAM                    MUZIK

AZIM:                      (MONOLOG) Siapalah penulis pujaan hati Faiz ni ya? Teringin juga hati nak tahu! Hish..tak payahlah aku  nak sibuk fikirkan hal dia. Baik aku masuk bilik, tidur. Rasa mengantuk pun tak habis lagi. Sebelum tidur bolehlah aku baca novel yang diberi Faiz semalam. (PAUSE) Haa..ini pun novelnya “Catatan Maisara”. Maisara? Hmm Nampak macam menarik! Penulisya Mia Fazliana. Oh inilah rupanya penulis kegilaan Faiz ni. Mungkin kat sebelah dalam ada gambarnya. (TERKEJUT) Apa?  Kau gilakan Maisara Faiz  (PAUSE) Tak boleh jadi ni!  

GRAM                      MUZIK

AZIM:                      (SUARA TINGGI) Assalamualaikum mak, Maisara

EMAK:                    (HAIRAN)  Eh...kamu Azim! Naiklah! Lama mak tak jumpa kamu. Mai tak ada. Dia ke pesta buku di KL. Sekejap lagi baliklah kut!    .

AZIM:                      (MENANGIS) Maafkan saya mak sebab menceraikan Mai. Saya pun tidak faham kenapa saya bertindak bodoh menceraikan isteri sebaik Mai. Saya dah buat kesilapan besar yang saya sendiri tak boleh maafkan!

EMAK:                    (SUARA LEMBUT) Sudahlah Azim. Usahlah kamu menyesal dan bersedih. Kamu dan Maisara pun sudah bercerai. Setahun lamanya kalau tak silap. Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Kamu bahagia dengan cara kamu. Mai pula dengan hidupnya

AZIM:                      Saya menyesal sangat dengan kesilapan saya mak! Biarlah saya tebus semua dosa saya selama ni pada Mai dan mak!

EMAK:                    (HAIRAN) Apa sebenarnya maksud Azim kata begitu? Mak tak faham! Cuba jelaskan!                                      

AZIM:                      Saya nak rujuk semula dengan Mai mak!

EMAK:                    Oh! Mak rasa soal tu Azim kena bincang dengan Mai. Mak ni sebagai orang tua akan setuju saja demi kebaikan kamu berdua.

AZIM:                      Tapi mak sokonglah saya. Mai anak mak, tentu dia patuh cakap mak!                     

EMAK:                    Mai memang anak mak. Tapi mak tak pernah paksa dia dengar cakap mak. Dia kan dah dewasa. Bukan budak kecik lagi. (PAUSE) Tapi mak nak tahu juga, apa salah Mai, sampaikan kamu ceraikan Mai?

AZIM:                      Mai tak salah apa-apa mak! Saya pun tak tahu apa yang merasuk fikiran saya hingga saya fikir saya ni masih terlalu muda. Tidak puas lagi hidup bebas. Dan tak mampu lagi tanggung beban sebagai suami. Otak saya berserabut fikirkannya. (PAUSE) keputusan bodoh yang saya ambil, ceraikan Mai. Hilanglah beban saya tu…. saya menyesal sangat mak.

EMAK:                    Oh itu sajakah masaalahnya? Mak ingatkan besar sangat puncanya. (MONOLOG) Sekolah bukan main tinggi, masalah gitu pun tak reti nak timbang. Dia ingat kahwin cerai tu perkara main-main. (PAUSE) Sekiranya Mai menerima kamu tentu kamu akan rasa terbeban lagi. Setelah sebulan bersama, kamu akan tinggalkan dia. (PAUSE) Mak tak mahu semua itu terjadi lagi. Kamu tak tenguk penderitaan Mai setelah kamu tinggalkan dia. Hampir dia jadi gila tau. Astaghfirullah mohon dijauhi Allah. Berat sekali tanggungan jiwanya. Dia sangat sayangkan kamu tapi kamu abaikannya.                                      

AZIM                       Saya janji mak, kalau Mai terima saya semula, saya takkan ulang lagi perkara bodoh tu! Saya sumpah mak!                                      

EMAK:                    Tak guna kamu berjanji dan bersumpah depan mak. Tunggu Mai balik. Kamu bincang dengannya baik-baik. Biar mak ke dapur sekejap buat air untuk kamu. Kamu pun datang dari jauh, tentu haus.

AZIM:                      Baik mak. Terima kasih.

MAISARA:             Assalamualaikum! Mak Mia dah balik!

AZIM                       Waalaikummussalam! Mai dah balik. Lama abang tunggu Mai!

MAISARA:             (TERKEJUT) Eh abang Azim! Lama dah abang sampai! Abang masih ingat jalan ke rumah Mai ya. Ingatkan dah lupa.

AZIM:                      Tak payahlah sindir abang, Mai. Abang tahu abang salah. Abang minta maaf banyak-banyak.

MAISARA:             Usahlah abang risau. Mai dah lama memaafkan kesalahan abang. Cuma melupakan saja yang belum.                             

GRAM:                   MUZIK.                

FAIZ:                       Kenapa kau termenung saja ni? Tak keluar dengan Erin ke. Kan malam ni malam minggu! (PAUSE) Eh siap dengan beg besar ni, kau nak melancong ke mana?

AZIM:                      (MARAH)Tak guna punya kawan! Sebab kaulah Maisara tolak rujuk aku.

FAIZ:                       Eh aku pulak yang salah! Siapa pulak Maisara? Aku tak kenal pun. Kenapa pula kau pula kau kena rujuk dia?

AZIM:                      Kau carilah sendiri jawabnya. Malas aku nak bagi tahu. Mulai hari ni kita putus kawan. Selamat tinggal.

FAIZ:                       (MONOLOG) Apalah yang merasuk kawan aku ni. Tak faham aku. Lantak kaulah Azim. Kau bukan budak kecik yang tau merajuk saja. Tapi siapa Maisara?

GRAM:                   MUZIK PENUTUP.

 

JURUHEBAH:        Demikian PANGGUNG DRAMA DKLASIK kisah “CATATAN MAISARA” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor.

PELAKON:

                            1. ……………………………...…………………………………….

                            2. ……………………………...…………………………………….

                            3. ……………………………...…………………………………….

                            4………………………………………………………………………

Panggung drama Dklasik diterbitkan Zuraidah Mohd Nor