Showing posts with label CERPAN. Show all posts
Showing posts with label CERPAN. Show all posts

Monday, April 15, 2024

SEPUPU AMIRA

 

MANUSKRIP CERITA KANAK-KANAK BERGAMBAR

JUDUL: SEPUPU AMIRA 

OLEH

PARIDAH ISHAK

 

AMIRA DAN IKAN KELI

 

      Tidak lama lagi cuti sekolah semester ketiga akan bermula pada minggu hadapan. Murid-murid sekolah yang terlibat sudah tidak sabar lagi menunggu tarikhnya. Termasuklah juga Amira, murid tahun 5 Sekolah Kebangsaan Hang Tuah. Sekolah itu  terletak berhampiran bandar raya Melaka Bandar Bersejarah.

      Mama dan ayah Amira seperti selalu akan membawa anak mereka itu  pulang bercuti ke kampung datuk Amira di Selangor. Rancangan percutian mama dan ayah Amira tidak pernah berubah. Setiap kali bermula cuti sekolah yang agak panjang mereka akan balik ke kampung datuk Amira sahaja. Amira menyedari itu.

      Amira teringin sekali merasai keseronokan bercuti di tempat lain pula. Misalnya ke luar negara pula seperti  yang dialami ramai rakan sekelasnya. Mendengarkan mereka bercerita pengalaman masing-masing membuat Amira terlopong. Dia sangat merasa teruja.

      “Umi, cuti sekolah ni Umi tak mahukah bawa saya bercuti ke Hong Kong ke, Beijing ke, Tokyo ke? Macam Swee Lin dan Seetha bersama keluarganya. Asal bercuti saja mereka mesti ke luar negara. Seronok juga dapat naik kapal terbang selalu. Ini asyik balik kampung naik kereta lama Ayah saja.” Amira meluahkan hasrat hatinya yang terpendam selama ini.

      Umi  dan ayah Amira berbalas pandang. Mereka  berdua tertawa sedikit. Amira kehairanan.

      “Bukan main tinggi angan-angan anak ayah dan, umi ni. Hendak bercuti ke luar negara macam Swee Lin dan Seetha. Keluarga kita mana ada kemampuan macam keluarga mereka. Papa dan mama mereka  amat besar pendapatannya. Sebab berjawatan tinggi dalam firma swasta. Mama  dan papa Swee Lin kerjanya doktor. Mama  dan papa Seetha pula kedua-duanya peguam. Umi   dan ayah kamu cuma pegawai kerajaan berpangkat rendah saja. Jadi kita tak boleh “berak besar kalau gajah berak besar”. “Kalau nak ukur baju kena di badan sendiri. Bukan ikut ukuran orang lain.” Ayah Amira memberi  penjelasannya.

      “Amira fahamkah maksud peribahasa dan perumpamaan  Ayah sebut itu? Sudah belajarkah di sekolah?” Amira mengangguk lemah.

      “Kalau anak Ayah dan Umi nak   ke luar negara bercuti, naik kapal terbang selalu, belajarlah rajin-rajin bagi pandai. Nanti dapat kerja yang baik, gajinya pula tinggi bolehlah bawa Umi dan Ayah bercuti ke luar negara.” Ucap Puan Aisyah, sambil memeluk anaknya itu dengan erat. Amira terasa  Umi dan ayahnya amat menyayanginya. Dia membalas pelukan Umi.

      “Jangan sedih kalau kita bercuti cuma balik kampung saja. Sebab kita masih ada kampung asal kita. .Setengah orang sudah tiada kampungnya. Dan dah tak dapat nak balik kampung lagi. Kita masih ada Atuk dan Nenek yang tunggu kita balik kampung bila musim cuti sekolah. Lagipun masa cuti saja kita berpeluang jengok Atuk dan Nenek di kampung. Atuk dan Nenek pun tentu sangat rindu nak jumpa Amira, cucu kesayangan mereka ni.” Puan Aisyah bertutur lunak cuba menenangkan kegundahan hati anaknya. Encik Aman tersenyum memandang gelagat isteri dan anaknya.

      Swee Lin dan Seetha bersembang dengan Amira ketika waktu rehat di kantin sekolah. Mereka berdua belajar dalam tahun empat di sekolah yang sama.

      “Kamu nak bercuti ke mana pula kali ni Seetha? Mesti nak bercuti ke luar negara lagi. Cuti semester lepas kamu ke Korea. Kali ni nak ke mana pula?”

      “Tak tahulah Amira. Mama dan papa aku belum beritahu apa-apa lagi. Mungkin ke London. Sekarang ni musim bunga di sana. Bunga-bunga pelbagai jenis sedang berkembang cantik.” Ujar Seetha.

      “Seronoklah kamu dapat bercuti di London.” Kata Amira.

“Memang banyak tempat menarik di sana berbanding di negara kita.” Sahut Seetha.

      “Untung hidup kamu Seetha. Keluarga kamu kaya. Kamu selalu dapat bersama papa dan mama kamu bercuti ke luar negara. Tentu seronok sangat berjalan melawat negara orang. Selalu dapat naik kapal terbang untuk ke sana. Tempat orang mesti sangat cantik dan berbeza dengan tempat kita.” Ujar Amira keterujaan. Seetha  tersenyum sahaja mendengarkan kata-kata Amira. Dia mungkin terasa bangga  dengan keberuntungan nasibnya.

      “Jom ikut Papa dan Mama aku ke London!” Amira tersengih mendengar pelawaan sepupunya itu. Seetha anak saudara ayahnya. Alvin adik ayahnya telah berkahwin dengan Devi berketurunan India dan lahirlah sepupunya. Mereka berkawan baik walau berbeza usia.

“Terima kasih Seetha. Tak mengapalah. Tapi jangan lupa beli oleh-oleh untuk aku ya!” Amira tertawa bercanda. Seetha tersenyum, mengangguk.

Dia menoleh memandang Swee Lin bersebelahannya.

      “Kamu hendak bercuti ke mana pula Swee Lin? Cuti sekolah semester lepas kamu bersama mama dan papa kamu ke Paris.” Amira menunggu penjelasan Swee Lin pula.

      “Aku dan keluarga aku tidak dapat bercuti ke luar negara pada cuti semester kali ini. Papa dan mama aku ada tugasan penting  mereka perlu selesaikan. Jadi tak dapatlah aku ke mana-mana. Melainkan berada di rumah menunggu papa dan mama aku pulang dari tempat mereka bekerja.” Swee Lin bersuara perlahan. Riak wajahnya kelihatan muram.

      “Iakah? Aku baru nak pesan kau bawa oleh-oleh untuk aku! ” Amira sekadar berjenaka, menghiburkan hati sahabatnya itu. Swee Lin tersenyum tawar.

      “Kau pula bercuti ke mana?” Tanya Swee Lin pada Amira.

      “Biasalah, macam selalu juga. Balik kampung Atuk aku di Sabak Bernam, Selangor sana.”

      “Sabak Bernam daerah yang luas dengan sawah padi. Mesti banyak padi di tanam di sana. Padi “pokok nasi” kan?” kata Swee Lin sambil bertanya kepastiannya.

      “Betullah tu!” balas Seetha mencelah perbualan.

      “Padinya seluas mata memandang di sawahnya. Ya buah padi yang jadi beras dan nasi yang kita makan tiap hari tu.” Amira menjelaskannya.

      “Iakah? Aku tak pernah lagi tengok pokok padi secara dekat. makan nasi aku tahu.” Sahut Swee Lin.

      “Kau tidak ada kampungkah? Kampung yang ada pokok padi. Tak pernah aku dengar kau bercerita pasal kampung kau.” Tanya Amira.

      “Kata mamaku, kampung asal mamaku di pinggir bandar di Johor. Tapi kampung tu dah berubah menjadi bandar. Kalau balik kampung sama juga dengan balik ke bandar. Tiada beza suasananya kata mamaku. Lebih baik tak payah balik. Itu yang mama dan papa aku suka bercuti ke luar negara saja. Kampung Atuk/Ye Ye kita bertiga kan di bandar ni. Kau macam tidak tahu pulak.” Amira tersengih memandang Swee Lin.

      Swee Lin anak saudara ayahnya. Mamanya ialah isteri bapa saudaranya Tony iaitu adik ayahnya yang bungsu.

      “Jom ikut aku balik kampung. Kata Umi, di kampung Atuk  sekarang, padi masih menghijau. Belum masak lagi. Nanti bolehlah kita memancing ikan puyu di sawah. Seronok oh! Kampung Atuk aku tu dekat dengan laut. Banyak pulau-pulau di tengahnya. Cantik pemandangannya.” Amira bercerita cuba menarik perhatian Swee Lin.

            “Bolehkah aku ikut kau. Umi  kamu tak marah?”

      “Kenapa pula nak marah? Kau kan sepupu aku. Kita bersaudara. Tapi kau kenalah minta izin mama dan papa kau dulu. Aku rasa mama dan papakau tentu akan benarkan kau ikut aku balik kampung.” Amira cuba meyakinkan hati sepupunya itu.

      “Nanti aku cuba tanyakan mama dan papa aku. Teruja aku nak tengok keindahan pemandangan kampung Atuk kau.”

“Aku pun nak ikut kau ke kampung Atuk kau juga bolehkah Amira?” Tiba-tiba Seetha bersuara.

      “Mama dan papa kau kan dah rancang nak bawa kau bercuti ke London. Kau pun nak ikut Amira juga?” tukas Swee Lin. Kehairanan.

“Naik kapal terbang selalu ke luar negara jemu juga. Aku nak lihat juga tempat menarik di dalam negara kita. Aku pun tak pernah lagi ke kampung Atuk Amira.” Balas Seetha.

“Tapi mama dan papa kau akan izinkah? Bukankah mereka nak bawa kau bercuti ke London?” Tanya Amira.

“Kalau betul alasan yang aku beri tentu mama dan papa aku akan izinkan.” Ujar Seetha dengan yakin. Dia teringin hendak bercuti bersama Swee Lin dan Amira di kampung.

      “Kamu berdua kena minta izin daripada papa dan mama kamu terlebih dahulu. Jangan menipu pula. Tak baik menipu kata Umi dan Ayah aku. Tuhan marah dan kita berdosa kepada mama papa kita.”

      Swee Lin dan Seetha diberi keizinan mama dan papa mereka untuk mengikuti Amira pulang ke kampung bersamanya . Entah apa alasan yang Setha dan Swee Lin beri kepada mama dan papa mereka, Amira tidak ketahui.  Amira  tidak pula bertanya tentang itu. Hajat Swee Lin dan Seetha  untuk melihat suasana dikampung Amira berjaya dilaksanakan. Amira begitu gembira dapat bersama kedua-dua sepupunya sepanjang percutiannya di kampung.

Di kampung, Swee Lin dan Seetha sering berbual dengan Atuk. Atuk rajin bercerita tentang aktiviti sehariannya sebagai penanam padi pada kedua-duanya . Amira kadang-kadang mengajak Swee Lin dan Seetha memancing ikan puyu di sawah. Setiap kali mereka berjaya memancing ikan puyu, mereka kegembiraan. Amira tersenyum melihat telatah kedua-dua sahabatnya.

      Ikan puyu yang didapati hasil daripada memancing dibawa pulang ke rumah untuk dijadikan lauk bersama nasi. Memang sedap makan nasi berlaukkan sambal tumis ikan puyu yang dimasak oleh nenek Amira dll masakan disediakan Puan Aisyah. Swee Lin dan Seetha menyuap makanan dengan sangat berselera.

      “Sedapnyalah  lauk ikan puyu ni. Jauh lebih sedap dari chicken chop dan ayam goreng kfc,” komen Seetha kesukaan. Swee Lin mengangguk, menyetujuinya

      “Makanlah Seetha, Swee Lin. Makan hingga kenyang. Bila balik nanti bilalah kamu berdua nak ke rumah Nenek lagi.” Ujar Nenek.

      “Ialah Nek. mereka ni kalau cuti sekolah asyik bercuti di luar negara saja. Kali  ini mereka nak ikut saya balik ke sini pula.” Seetha  tersengih sahaja. Amira dan Swee Lin saling berpandangan. Gelagat Seetha mereka kehairanan.

      “Jom ikut Atuk ke tepi laut. Atuk nak memancing ikan semilang.” Ajak Atuk.

“Kamu bertiga berjalan ke sana. Atuk pergi dulu.” Atuk menaiki motorsikalnya yang bergerak menghala ke pantai. Amira berjalan bersama Seetha dan Swee Lin. Tidaklah jauh jaraknya. Sebentar sahaja mereka sudah tiba ke tempat yang di maksudkan Atuk.

      Amira duduk di sebelah Atuk di atas jeti. Seetha dan Swee Lin duduk berdekatan Amira. Teruja mereka melihat Atuk mulai menjatuhkan mata kail pancingnya ke atas air muara sungai yang berolak itu. Kelihatan laut membiru kejauhan. Ombak datang dan pergi menampar pantai. Indah sekali panorama alam di situ.

      “Kamu bertiga  nampak pulau yang berceratuk di tengah laut tu?”

      “Ya nampak!” sahut Amira

      “Nampak apa bentuknya?” Tanya Atuk lagi.

      “Nampak seakan bentuk orang sedang berbaring memohon doa.” Jawab Seetha pula.

      “Kata nenek moyang Atuk, pulau tu terbentuk kerana sumpahan seorang ibu terhadap anak yang derhaka kepadanya. Tidak mendengar katanya hendak pergi merantau meninggalkan ibunya keseorangan. Doa seorang ibu amat makbul. Jadi jangan sesekali melukakan hatinya atau bercakap bohong kepadanya.” Ujar Atuk.

      Amira melihat Seetha menundukkan wajahnya. Air matanya menitis di pipinya. Swee Lin mengusap bahu Seetha. Amira dan Swee Lin kehairanan dengan kelakuan Seetha.

      “Kenapa Seetha? Kau rindukan mama dan papakau ya, pabila Atuk sebut pasal kisah pulau itu.” Tanya Amira.

      “Aku sedih sebab aku telah memberi alasan seolah menipu untuk mengikut kau ke sini. Aku harap mama akan maafkan aku dan tidak menyumpah aku menjadi pulau.” Amira mengusap bahunya perlahan. Cuba melegakan perasaannya.

      “Apa alasan tu?” Tanya Amira, ingin tahu.

      “Aku kata cikgu kelas kita suruh buat kajian tentang pokok padi sebagai makanan ruji kita. Tapi  cikgu tak suruh pun.”

      “Oh! Tak lama kita dah nak balik. Dapatlah kau berjumpa mama dan papa kau. Mohon maaf banyak-banyak kerana kesilapan kau tu. Tentu mereka faham dan tak marahkan kau. Janganlah sedih sangat.” Sahut Amira.

      “Itu cuma cerita zaman dulu saja Seetha. Tapi sebagai anak kita memang tidak patut membohongi papa dan mama kita kan!” Ujar Swee Lin.

      “Ya Swee Lin, aku amat menyesal dengan perbuatanku itu.”  

      Atuk hanya tersenyum melihat telatah Amira, Seetha dan Swee Lin  . Kail  pancing Atuk sudah mengena. Atuk pantas menariknya ke jeti. Seekor ikan semilang yang besar tergeletak di lantai. 

Atuk menegah Amira dan Swee Lin menyentuh ikan semilang itu kerana bimbangkan akan tertusuk durinya yang tajam. Dan bisanya memang sangat menyakitkan. Atuk memotong duri yang terdapat di sisi kepala semilang sebelum memasukkannya ke dalam raga kecil yang Atuk bawa.

      Amira pasti Nenek akan memasaknya dengan sangat lazat sebagai hidangan makan malam mereka bersama nanti.

      “Hari sudah semakin senja. Kamu bertiga pulang dulu. Air laut sudah pasang. Atuk nak menangkap belangkas. Nanti kamu bertiga dapatlah merasa makan telur belangkas pula.”

      “Saya nak ikut Atuk cari belangkas juga.”

      “Tak boleh! Atuk nak tangkap belangkas, bukan nak jaga kamu. Bahaya jalan tepi muara kalau tak berhati- hati. Bimbang kamu terjatuh dalam muara. Tak jadi pula kerja Atuk.” Balas Atuk tegas.

      Tiba-tiba mereka terpandang dua buah kereta berhenti di pinggir jalan. Seetha dan Swee Lin tersenyum. Mereka mengenali siapakah pemilik kereta. Tiga orang lelaki keluar daripada kereta itu.

      “Ayah! Pak Cik Tony dan Pak Cik Alvin pun ada!” laung Amira. Seetha dan Swee Lin berlari mendapatkan papa mereka. Atuk memandang kesukaan dari kejauhan. Di tangannya ada tiga ekor belangkas telah dapat ditangkapnya. Atuk merasa belangkas dan semilang cukup untuk menjadi lauk untuk menjamu kehadiran tetamunya yang hadir  tiba-tiba itu.   

 

TAMAT

 

Sunday, December 11, 2016

MENGANYAM PELANGI

ASSALAMUALAIKUM...


Sambil menulis nota tugasannya riuh pula mulut kawannya itu menyoal begitu begini. Tapi belum mahu diberi jawapannya. Dibiarkan dulu kawannya itu menunggu buah butir yang akan tersusun membentuk frasa yang diharapkannya.

“Kenapa kau tak pilih dia? Dia kan kaya, ada syarikat guaman sendiri dan seorang yang berjaya di dalam hidup kau tentu senang-lenang kelak…senang-senang saja kau tolak lamarannya." Kawannya itu masih meneruskan komentarnya lagi.


"Atau kau pilih saja sidia yang kau ceritakan pernah melamarmu tapi kau tolak. Aku tengok dia pun hebat orangnya, seorang kontraktor tahap jutawan. Kenapalah kau ni menolak tuah...sah-sah kau akan bermandikan wang ringgit kelak...tak faham betul aku...kalau akulah jadikau, dah tentu  aku terima."

Kawannya itu dijeling sekilas dengan senyuman berbunga. Nota tugasan yang sedang disiapkan arahan daripada pensyarahnya Dr. Nordin dikesampingkan.
"Dah habis omel kau ke...kau tak payah nak susah-susah faham aku, aku sendiri pun kadang tak faham diri aku sendiri tapi bolehlah aku cerita sedikit setakat yang aku faham tentang diri aku ni..."

"Ceritalah...aku dengar ni..." Azalina menadah telinganya. Deria dengarnya memang berfungsi dengan baik selama ini walau mendengar detakan jantungnya yang berdegup perlahan itu. Teruja hendak mendengar jawapan yang akan diberikan sahabat baiknya Nursyafikah. Padanya penolakan lamaran Zulhilmi tidak sewajarnya dilakukan Nursyafikah. Selalunya siswi-siswi sepertinya dan kawan-kawannya yang sudah graduat atau bakal tamat pengajian akan segera memilih pasangan hidup kerana tidak mahu digelar andartu/anak dara tua atau andalusia/anak dara lanjut usia. Sedang dia sendiri belum ada calon suaminya yang sanggup menantinya dengan sabar  menamatkan pengajian peringkat sarjana yang sedang diikutinya bersama Nursyafikah, Zulhilmi, Nurhani amira, Fatah, Linda syida dan ramai lagi yang lain. Itu merisaukannya juga memikirkannya. Sedang kawannya itu sering ditaksir ramai lelaki yang meminatinya namun diabaikan pula. Membuatnya sukar memahami pendirian kawannya itu.


"Aku tak pilih sidia-sidia yang kaya-raya tu bukan sebabnya aku tak suka jadi kaya-raya segera. Memang aku nak sangat hidup dilimpahi kesenangan. Cuma aku rasa  aku pun boleh cari kekayaan tu dengan usaha aku sendiri. Tak payah nak bergantung hidup dengan kekayaan orang lain. Lagipun kau nak kalau suami kau kata lepas kita kahwin nanti awak duduk saja kat rumah...takpayah nak kerja. Sedangkan mak ayah kita yang miskin tu dah melabur banyak duit untuk pengajian kita. Takkan kita taknak berkerja membantu mak ayah kita. Dibuatnya jodoh kita tak panjang dengan sidia...ditinggalkannya kita, macamana kita nak hidup kalau tak bekerja. Susah nak hidup di zaman sekarang yang terlalu banyak dugaan dan cabarannya.

Alasan aku yang kedua mudah saja...sebab aku tak cintakan mereka. Aku akan pilih seorang sidia yang baik, berbudi bahasa,bertanggungjawab, hormat orang tua. Walaupun tak kaya. Kebaikan tu sangat penting tau. Dalam dunia sekarang tidak ramai lagi lelaki yang baik ...Lagipun aku dah ada sidia yang sangat cintakan aku..." Nursyafikah menyeringaikan senyumnya kerana barangkali dia sendiri tidak yakin dengan apa yang diperkatakannya. Sedang kawannya yang melayani bual bicaranya masih cuba menghadami kata-kata sahabat baiknya itu. Mungkin apa yang diperkatakan Nursyafikah memang ada benarnya. Tapi tersengih pula seraya bertanya cuba mengorek kebenaran yang disangsikannya,

“Siapa sidia tu? Aku tak tahupun. Pandai kau berahsia ya.”
“Adalah. Tak bolehlah nak heboh-heboh selagi belum dirasmikan apa-apa ikatan,” ‘Sebenarnya akupun masih mencari-cari calon yang aku berkenan Lin.’  Tersenyum Nursyafikah kepada dirinya dengan makna yang hanya difahaminya.


“wah! Statementkau macam artis pula. Patutlah pun. Moga apa yang direncanakan menjadi kenyataan. Kadangkala memang amat payah menolak takdir justeru jodoh pertemuan itu Allah yang atur.” Azalina menambah kata.

“Dan kita tidak boleh semata-mata pasrah tanpa usaha walau sedikit Lin. Setelah kita berusaha barulah kita bertawakal kepada Allah. Dan tidak hanya menyerah bulat-bulat. Penentuan Allah penentu takdirnya tapi tidak salah juga untuk kita merancang apa yang kita kehendaki.” Azalina termangu. Terdiam seketika mendengar kepetahan sahabatnya itu melantunkan kata-kata laksana bertih yang meretih itu.

“Pandaikaulah Pikah. Harap keputusan yang kau ambil ni betul sangat. Tapi kesian pula aku tenguk Zulhilmi tu, monyok je lepaskau tolak lamarannya. Sudah kurang bercakap seperti dulu. Kalau tidak tu bukan main riuh lagi mulut dia bersembang dengan kita dan menyakat kau.”

“Agaknya jodoh kami memang tak ada kot. Nak buat macam mana. Kalau ada jodoh aku dengan peguam tu tentu tergerak hati aku untuk menerimanya. Zulhilmi pun seorang lelaki budiman dan sering tolong aku dalam selesaikan tugasan kuliah. Tapi mengenangkan dia pernah kata isteri pilihannya hanya akan duduk di rumah saja melaksanakan tanggung-jawab sebagai suri rumah semata, itu yang buat aku rasa berat hati. Aku rasa lelaki sebaik dia tak susah nak pilih calon isteri menurut kriteria yang disukainya. Tapi bukan aku.”

“Menjadi suri rumah sepenuh masa pun apa salahnya kalau suami mampu menyediakan apa saja keperluan isteri dan keluarganya. Tugas isteri kan menjaga suami dan anak-anaknya.”

“Betul katakau tu, memang langsung tak salah. Tapi sebagai isteri sepenuh masa kebergantungan kehidupan kita hanya kepada suami kita. Langit tu kata orang tidak selalu cerah. Ada tikanya mendung juga. Hidup pun ibarat roda. Kadang ke atas kadang ke bawah. Nasib masa depan, kita tidak kita tahu coraknya. Dibuatnya suami kita itu ditimpa musibah yang tak diingini, di mana lagi kita nak bergantung. Hilang sudah tempat pergantungan kita. Mentelah pula masa tu anak-anak pula keliling pinggang. Kalau kita tak bekerja siapa yang nak tolong kita sara kehidupan.” Nursyafikah menguatkan fakta hujahannya dengan tidak ragu. Sambil mengenangkan wajah ibunya yang berkabut disapa mendung  yang berarak di langit kehidupannya tanpa terdaya dihalangnya. Azamnya ingin disapunya mendung itu segera.

“Wah! Jauh sekali yang kau fikirkan Pikah.”
“Mestillah kita kena berfikiran jauh Lin, hidup kita ni bukan untuk sehari dua walau ajal maut kita tidak tahu bila akan menjemput kita. Seperti kata alim ulama beramal ibadat seolah kita akan mati esoknya dan berusaha seolah kita akan hidup selamanya. Dunia dan akhirat perlu seiring sejalan. Ada keseimbangannya.”

“Hebatnya kau Pikah. Rasanya  aku perlu berfikir macam kau juga. Tak usah sibuk-sibuk nak cari jodoh selepas tamat pengajian. Yang penting kerja dulu. Hidup selesa sikit dan bantu mak ayah kita. Begitu yang sepatutnya. Jangan terlalu memilih pekerjaan yang disukai semata. ” Azalina mulai menyetujui apa yang diperkatakan sahabatnya itu kepadanya.
“Akupun belajar dari pengalaman hidupku dan emakku Lin.” Nursyafikah kelihatannya riang seolah tiada masalah yang mendepani lorong kehidupan yang dilaluinya namun menyimpan pelbagai rahsia kesukarannya yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa.

“Mak cik Ina mak kau tu aku tenguk macam banyak simpan rahsia kehidupan ya.”
“Mak aku kan dah tua. Luas pengalaman hidupnya berbanding kita yang baru berusia setahun jagung ni.”
“Betul katakau tu orang tua dah lama hidup dan banyak pengalaman pahit masam manis yang dirasanya.”
“Kaukan rapat dengan mak aku tu. Mak akupun dah anggap kau anak angkatnya. Cubalah kau tanya kot mak aku tu mahu bercerita kisahnya. Tapi aku nak cerita kisah aku dengan mak aku tentang hal cinta masa aku remaja dulu. Kau nak dengar tak?”
“Mestilah nak. Tak sabar nak dengarnya…ceritalah cepat.” 
“Kisah cinta monyet aku hih..hih..kau jngan gelak pulak.”
“Arakian bermulalah sebuah kisah di negeri entah berentah.”
“Hish bukan main lagi penglipurlara ni beriwayat..hih..hih..” Kedua sahabat baik itu saling tertawa.


a"Kenapa asyik melamun saja...tak lama lagi kan nak periksa. Kata nak jadi dokter...macamanalah nak jadi doktor kalau studi pun malas. Apa yang kita cita-citakan mesti dibentuk sejak awal lagi tau...ini belajar malas, Cita-cita bukan main tinggi lagi. Umur masih muda lagi tapi sudah pandai nak bercinta...dah tu mula tak ingat dunia...asyik berangankan rupa boyfriend je. Belajar pun main-main. Dibuatnya boyfriend awak tu berjaya cemerlang dalam exam dan masuk universiti tinggallah awak termangu-mangu, terkontang-kanting menyesal tak sudah. Sebelum terlewat mulalah gigih belajar tolong diri sendiri mencapai kejayaan. Berangan tu tak sampai kemana...." Emak menyergahku. Membuatku terkapa-kapa. Apa yangku lamunkan hilang melayang. Emak hilang pula dari sisiku. Meninggalkan aku sendirian menjernihkan fikiran. Wajah seseorang yang mengawang di layar minda sirna bayangnya.


'Betul juga kata emak tu. Kalau aku gagal exam alangkah malunya. Sedangkan aku dan dia sering bersaing di dalam exam untuk mendapat tempat pertama di dalam kelas. Tapi bila aku tahu dia sukakan aku entah kenapa hatiku bagai terawang-awang kesukaan amat dan mula mencuaikan komitmenku terhadap pelajaran. Bodohnyalah aku. Tak boleh jadi begini...aku mesti bangkit menggapai cita-cita impianku. Masakan membiarkan dia seorang ke universiti sedangkan aku tertinggal di sini kerana kebodohan ku sendiri. Tidak boleh jadi tu' Aku menegarkan semangatku yang mulai lumpuh kerana tekanan perasaan. Gangguan-gangguan yang melemahkan tumpuanku terhadap pelajaran berusahaku tepis. Kejayaan dalam peperiksaan penting yangku damba inginku raih.

"Sebelum masuk dewan exam tu buatlah sunat israk dulu...berdoalah semoga Allah permudahkan semua urusan sepertimana sinar mentari menyeluruhi alam ini. Solat hajat tu buatlah banyak-banyak  kali. Setiap malam bangun solat tahajud, solat taubat, solat hajat akhiri dengan solat witir mohon agar Allah memperkenankan hajat yang diinginkan sebelum-sebelum tu. Mak juga akan bacakan yasin untuk anak mak ni setiap hari agar anak makni tenang tika menjawab soalan..."

Demikian bicara yang pernah kedengaran antara emak dan aku pada suatu musim peperiksaan.
“Selesai peperiksaan tingkatan tiga dapat keputusannya cemerlang juga. Aku dapat sambung belajar di sekolah Teknik di Kuantan. Sekolah Teknik tu tahapnya setanding dengan sekolah berasrama penuh. Kononnya nak ikut saranan cikgu kelas aku masa tu agar berhijrah sikit untuk luaskan pandangan dan fikiran daripada suasana biasa di daerah pedalaman ke bandar pulak.”
“Hubungan kau dengan dia tu bagaimana pula?”
“Siapa? Syahrin?”
“Manalah aku tahu siapa. Kaukan bercerita samar-samar tapi tak sebut siapa yangkau maksudkan tu”
Nursyafikah tersenyum menyedari kesilapannya. Mungkin padanya nama sesuatu watak yang pernah muncul dalam kehidupannya tidaklah terlalu penting untuk dsebutkan dalam penceritaannya.
“Jadi kenangan sajalah. Dengar kabarnya dia berpindah ke Johor bersama keluarganya. Ayahnya seorang pegawai tinggi Felda. Bukan sebarangan orang juga. Dan aku yang pipit ni rasanya tidak layak bersama enggang kata emakku dululah.”
“Putus begitu saja?”
“Yelah! Aku dengar cakap emakku bahawa kalau nak capai cita mesti bersungguh-sungguh. Tak boleh main-main sambil lewa. Dan sibuk nak bercinta di usia muda. Masih sekolah lagi pulak tu. Terbarailah semua cita-cita aku sudahnya.”
“Tapi kenapa kau tak ambil jurusan perubatan selepas matrikulasi dulu dan pilih Kejuruteraan sains kimia pula. Kata nak jadi dokter.kalau tidak tentu kau dah jadi dokter sama dengan Izzairi yang minat juga dengan kau dulu.”
“Wah! Kautahu juga Izzairi minat kat aku ya?”
“Mestilah aku tahu. Izzairi kan kawan baik aku juga.”
“Tapi aku anggap dia tu kawan saja Lin. Entah kenapa tak terbuka pula hati aku untuk dia.”
“Mulanya memang semangat berkobar-kobar nak jadi doktor paling tidakpun pharmasis tapi lepas matrikulasi kena pindah universiti pula. Sebab universiti tempat aku buat matrik tak ada pula kursus tu. Aku pilihlah apa saja bidang yang ada kaitan dengan subjek yang aku belajar kat matrik tu. Malas nak menyusahkan diri pindah-randah universiti sehinggalah tamat ijazah pertama. Bila sambung buat sarjana dapat pula jumpa dengan kau dan kawan-kawan kita yang lain yang datangnya dari universiti berbeza. Macam kau dan Suna dari USM, Fatah dan Hani dari UMS. 
“Tapi kau kenal juga dengan Izzairi ya.”
“Mestilah kenal dia kan kawan sekampung aku. Kawan baik pula tu. Bila aku beritahu dia aku sambung master di UPM mulalah dia tanyakan samada aku kenal dengankau.”
“Ingat juga dia dengan aku ya.”
“Mestilah ingat. Bukankah kau pernah jadi buah hati pengarang jantung dan intan payungnya.”
“Pandai je kau nak giat aku ya Lin. Nak kena cubit ni.” Nursyafikah menggayakan jemarinya hendak mengutil Azalina.
“Hish janganlah! Kau ni pun minat sungguh nak mencubit aku. Mentang-mentanglah aku ni montok sikit.” Tukas Azalina sambil menyeringai sengihnya.
“Dengar khabarnya dia di Mesir sambung pengajian di sana. Tak lama lagi dapatlah gelaran pakar sakit puan tu. Agaknya kau nak bersalin nanti dengan dia hih..hih..”
“Hih..hih..tak ada maknanya aku nak bersalin dengan dia, bersalin dengan bidan kampung saja kot. Itupun kalau ada rezeki nak bersalin.”   
Nursyafikah termenung sejurus.
“Seronokkan kalau dapat belajar di luar negara? Ijazah yang dibawa balik tentu dipandang dan senang nak dapat pekerjaan setelah graduat.” Azalina menyatakan pandangannya.
“Mungkin betul apa yang kau katakan tu. Tapi kalau bidang pengajian yang hendak dituntut tu ada di universiti dalam negeri buat apa nak susah payah ke sana. Besar belanjannya tu. Ditambah pula dengan kedudukan ringgit kita yang jatuh merudum nilainya mutakhir ini. Menurut pakar ekonomi era kemelesetan setelah minyak di pasaran dunia turun harga. Itu kata yang pakar. Kadang yang mengaku pakar tu tak tahu manapun heh..heh..” Nursyafikah turut menyambung tawa.
“Betul katakau tu. Aku dulu dapat juga tawaran sambung master di Korea tapi aku tolak. Sebab mengenangkan mak aku yang tinggal sorang di sini. Sedang adik-adikku juga masih lagi belajar. Mak akupun bukannya berapa sihat sangat. Kesian juga nak tinggalkan dia. Kalau di sini setiap minggu aku boleh pulang jenguk mak aku.”
“Bagus! Bagus! Kau memang seorang anak yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga. Kalau kau ke Korea tentu dapat bermain salji dan sedap makan kimchi hingga lupa kat gulai dan sambal tumis kita. Entahkan tersangkut pula dengan pakwe Korea yang jambu macam artis KPOP tu hih..hih…” Nursyafikah tertawa sedikit dengan lelucon spontan Azalina itu.
“Aku kan anak sulung Lin. Hanya pada aku, emak dan adik-adik aku bergantung harap. Aku bukan macam kau dan kawan-kawan kita yang lain yang kebanyakannya datang dari keluarga yang berada. Macamkau ibubapa kerja guru. Sedang mak aku Cuma petani biasa. Bukan petani yang kaya-raya macam kat Eropah tu. Petani kat Malaysia yang kais pagi makan pagi. Kalau malas nak mengais tak makanlah jawabnya. Sebab tu aku sanggup buat kerja tutor bantu Dr. Nordin semasa buat ijazah dulu. Lepas grad macam-macam kerja aku buat nak biayai belanja aku belajar. Sampai kerja kat supermarket pun aku buat. Kau Cuma belajar saja kan Lin. Tak payah nak fikir apa-apa. Tiap bulan dapat wang saraan dari emak dan ayah kau. Kadang-kadang abang dan kakak kau yang dah berjawatan besar semuanya turut menghulur belanja. Senangkan hidupkau. Sedang aku nak harap siapa kalau aku tidak tolong diri aku sendiri. Mujur juga ada PTPTN. Pandai-pandailah bajet apa yang perlu agar mencukupi. Tapi sesekali dapat juga harapkan pertolongan kaukawanku yang comel lote dan baik hati tak lokek membelanja makan selalu. Terima kasih banyak Lin.“ Nursyafikah memeluk bahu sahabat baiknya itu.
“Sekarang ni sambil buat master kau jadi guru sementara pula. Tak penatke Pikah? “
“Penatlah juga. Dahlah penat mengajar dan kena fikirkan pula tugasan yang diberi pensyarah untuk disiapkan. Memang memeningkan kepala. Dan perlu bijak atur masa. Sebab sebagai guru bukan hanya kena mengajjar semata banyak lagi kegiatan yang kena turut serta.”
“Setelah berkecimpung dalam bidang ni nampaknya kau akan kekal sebagai guru ya Pikah?”
“Nampaknya begitulah Lin. Dulu teringin juga nak jadi saintis macam dr. Nordin tu dan kerja kat makmal tapi tidak ada peluang nampaknya. Lepas grad master akan jadi guru sepenuh masa setelah tamat kursus KPLI di Raub. Jawapannya ku dah dapat. Dulu aku ajak kaumohon kau taknak. Kalau tidak dapat sama-sama dengan aku jadi cikgu.”
Azalina tersenyum saja tanpa berkata aoa-apa.
“Oh! Aku lupa Lin. Cita-citakau kan nak jadi pensyarah. Semoga berjaya Lin. Aku doakan untukkau insya-Allah. Aku ni orang susah Lin. Tak boleh nak buang masa nak tunggu peluang kerja yang hebat-hebat. Mana yang datang dulu melintas depan aku mesti aku sambar. Kau lainlah lahir dalam dulang emas, tak susah nak buat pilihan. Banyak kabel besar yang boleh menolongkau. Bila-bila masa saja boleh digunakan.”
“Pandailahkau Pikah. Tak semudah yangkau sangka juga. Tapi kau tak risau ke lepas tamat KPLI kau akan dihantar mengajar di pedalaman Serawak atau Sabah sekiranya kau tak berkahwin lagi. Jauh tu. Kalaukau terima pinangan Zulhilmi tentu tiada masalah lagi. Nampaknya kau terpaksa juga tinggalkan makkau di sini.”
Nursyafikah termenung sejurus.
“Kalau aku terima pinangan Zulhilmi pun tak sudah juga Lin. Kan dia dah tentukan syaratnya buat sesiapa yang bakal jadi isterinya.”
“Cubalah bawa berunding. Mungkin ada jalan penyelesaiannya.”
“Tak apalah Lin. Kaudoakan aku bertemu jodohku dalam waktu terdekat ni hih..hih.”



 TAMAT

Saturday, December 10, 2016

NOVELETTE FIKSYEN...

ASSALAMUALAIKUM...

DEMI ALLAH
DEMI ANGIN
DEMI AIR

Azalina dan Nurhusna berkira-kira hendak mengikuti Nursyafikah pulang ke kampungnya hujung minggu ini sebelum kedua-duanya pulang ke kampung halaman masing-masing setelah menamatkan pengajian peringkat sarjana di university Putra Malaysia Serdang.
Sekarang ini di kampung Nursyafikah buah-buahan sedang bermusim. Lalu dia mempelawa kawan-kawannya itu untuk merasai kenikmatan buah-buahan yang masak ranum di pohon lagi segar sekali. Azalina lahir dan tinggal di bandar KB sementara Nurhusna pula lahir dan membesar di bandar JB langsung tidak pernah merasai suasana alam di perkampungan. Itu yang membuatkan kedua-dua sahabat itu teruja untuk mengikuti Nursyafikah pulang ke kampungnya di Pahang.
“Kau dah beritahu makkau aku dan Suna nak ke rumahkau?”
“Dahku pesankan di angin lalu.”
“Aik! Boleh berpesan-pesan melalui angin pula.”
“Kau ni itupun nak pelik. Maknanya aku dah telefon mak akulah. Dan gelombang udara membawa getaran suaraku kependengaran mak aku. Orang dulu-dulu selalu berkata “kukirim rindu di angin lalu. Mungkin itulah maksud tersiratnya kot. Melalui telepati saja mereka boleh menghantar pesan kepada seseorang. Walau tanpa gajet canggih seperti sekarang.”
“Oh!” Azalina seakan cuba memahaminya.
“Jauh juga kampungkau ya Pikah. Lambat pula aku rasa nak sampai. Dah naik kematu bontot aku rasanya duduk saja tapi masih tak sampai lagi.” Azalina melepaskan keluh-kesahnya. Mungkin tekanan tubuhnya yang tidak langgas bergerak cergas menyebabkan darah berkumpul dan tidak mengalir lancar.
“Sabarlah! Kejap lagi sampailah kita. Tenguk Suna relek saja. Leka dia perhati keindahan alam sekeliling. Kau ni macam-macam saja lah Lin.”
“Tadi tu memang aku ralit sangat duk perati orkid liar yang banyak tumbuh kat tepi jalan pinggir hutan tu, cantik sungguh. Tapi bila keretakau dah mula membelok ke jalan yang bengkang-bengkok macam ular kena palu ini kepala aku dah mula pening. Mual nak muntahpun ada. Menggelombang je aku rasa perut aku ni.” Ketidakseimbangan situasi yang sedang dilaluinya kini sedang mempengaruhi minda normalnya.
“Oh! Kau dah mula mabuk darat ya. Kesiankau. Tak apa kita berhenti sekejap kat gerai buah kat depan tu. Kita minum dan beli limau. Kalau rasa pening elok tonyoh dahikau dengan kulit limau dan makan isinya. Aroma limau mampu membuat saraf otakkau tenang.” Istilah mabuk darat sering digunakan emaknya kala melihatnya pening dan mual tika berkereta dalam perjalanan jauh diulangi menyebutnya kepada Azalina.
“Jauh lagi ke Pikah ?” soal Nurhusna pula dari seat duduk belakang..
“Kaupun dah rasa pening jugak ke Suna?”
“Taklah. Aku okey je. Cuma kesiankan Lin yang dah pening lalat ni.”
“Sabar ya Lin. Kita berhenti sekejap kat depan tu. Jalan kalau bengkang-bengkok gini memang ramai yang tak tahan  perut kalau tak biasa. Aku dah biasa sangat jadi dah mentan. Lagipun inilah satu-satunya jalan menghala ke rumah aku. Nak tak nak kena lalu juga.”
Nursyafikah memarkir kereta kancilnya yang kecil berurna biru itu di pinggir jalan berhampiran sebuah gerai buah-buahan. Kelihatan tiada pelanggan yang mengunjungi gerai itu selain mereka bertiga. Ada durian yang dilonggok dengan label Musang King. Jenama durian yang agak mahal harganya dan amat popular kerana keenakan rasanya yang pahit manis itu.
Rambutan gading yang kuning dan rambutan merah anak sekolah juga diikat kemas menanti pembelinya. Dokong, duku, langsat, rambai juga berlonggok mengikut bahagiannya. Bentuk buah-buahan itu seakan tapi berbeza rasanya. Bagi yang mengenalinya langsung tiada masalah untuk memilih mana satu yang disukai.
“Kau berdua nak makan durian Musang King ke? Ralit saja duk perati.”
“Taklah! Cuma terkejut tenguk harganya. Kanmain mahal lagi, 80 RM sekilo.” Balas Suna.
“Apa nak hairan Suna. Barang baik, harganya mesti mahal. Lagipun inilah rezeki pedusun setahun sekali. Durian ni bukannya berbuah tiap masa.”
“Sekarang ni dah banyak durian klon yang berbuah sepanjang tahun Pikah. Genetik durian dah diubah para saintis pertanian. Mudah saja kalau nak makan durian bila-bila masa. Asal ada duitnya heh..heh..” Nurhusna menyanggah kenyataan sahabatnya itu.
“Aku rasa nak beli buah dokong untuk makkau. Tapi aku tak kenal yang mana satu. Nampak semua serupa saja langsat, duku, dokong, rambai tu. Kaulah pilihkan Pikah.”
“Tak payah Lin. Semua buah-buah yang dijual kat sini ada kat dusun belakang rumah aku. Limau madu dan belimbing besi pun ada. Aku cadangkankau beli limau saja untuk legakan tekak kau yang mual tu.Kalaukau rasa nak termuntah baik kau muntahkan isi perutkau tu sekarang. Barulah kau rasa selesa sikit. Jalan bengkang-bengkuk ni tak lama lagi habislah di kawasan perkampungan orang Asli di hujung tu. Jalan menghala kampung aku lepas tu lurus saja hingga ke muka tangga..”
“Belum rasa nak termuntah lagi cuma pening sikit.” Azalina memicit-micit dahinya.
“Sabarlah Lin. Sapu minyak kaki tiga kat dahikau. Nah!” Nursyafikah mengunjukan botol minyak angin kecil itu setelah mengeluarkannya daripada tas sandangnya.
“Dah tak sabar nak jumpa makcik Ina makkau Pikah.”
“Aku tahulah sebabnya tu. Mestikau nak korek rahsia mak akukan!”
“Ish! Tak adalah Pikah. Pandai sajakau ni main teka-teka. Tapi makkau tentu tak lokek berkongsi kisah hidupnya kalau aku bertanya. ”
“Pandai-pandaikau lah Lin”.
“Aku dah oder ABC ni…jomlah minum.” Ajak Nurhusna mengeraskan suaranya agar didengari sahabat-sahabatnya yang agak berjauhan jaraknya darinya.. Kedua-duanya segera tinggalkan pangkin yang sarat dengan aneka buah-an tempatan itu menuju ke tempat Nurhusna yang menanti sahabat-sahabatnya di meja yang dihidangkan tiga mangkok ABC oleh pemilik gerai itu seorang gadis muda sebayanya.
“Sedap nampaknya ABC ni. Macam-macam yang diisi dalamnya. Lebih dari tujuh jenis tu.”
Azalina menguis-nguis ais yang disagat halus sambil cuba membilang-bilang satu persatu kandungan ABC itu. Ada kacang merah, kacang tanah, sagu kasar, sagu halus, cendol, agar-agar, buah kembang semangkok dan lain-lain lagi yang tidak dapat dipastikan namanya.
Ketiga-tiga sahabat baik mula menikmati ABC/air batu campur yang melegakan kekontangan tekak mereka sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi tujuan mereka.Kancil biru telah membawa ke destinasi yang ditujui mereka bertiga dengan selamatnya. Salina menyambut kehadiran anaknya dan tetamunya dengan wajah ceria. Tersenyum simpul menyambut salam sambil bertanya khabar.
“Besar juga rumahkau ya Pikah. Kau cakap dulu rumahkau pondok buruk je. Pandaikau menipu ya.”
“Rumah besar tapi tiada isinya. Sama juga tarafnya dengan pondok buruk Lin. Dahlah jangan soal lagi tentang tu. Mak aku dah siapkan bilikkau orang. Pergi masuk sana nak baring ke nak salin baju ke. Lepas tu kalau terasa nak makan durian pergilah ke dapur. Mak aku dah kumpul durian gugur segala jenis nama untuk kauorang. Rambutanpun ada sikit mak aku kait.”
“Yeke Pikah? Memang tak sabar nak rasa ni,” balas Nurhusna.
“Tapi aku rasa nak mandi dulu segarkan diri Pikah. Baru selesa sikit. Lega semua keletihan urat saraf badan.”
“Suka hatikaulah Lin. Bilik mandi sebelah bilik ni saja. Pergilahkau berdua mandi segarkan diri. Lepas tu kau orang ke dapur ya. Mak aku dah sediakan segala macam hidangan untukkau orang tu.”
“Okey Pikah. Selepas mandi aku ke dapur. Kautak nak mandikah Suna.”
“Nak juga. Pergilahkau dulu..”
.Sambil membantu mak cik Ina menyiapkan hidangan makan malam riuh saja kedua gadis itu bertanya begitu begini kepada tuan rumah. Mak cik Ina melayan setiap pertanyaan tetamunya itu dengan ramah.
“Besar juga rumah mak cik ni. Mak cik tinggal dengan sesiapa lagi. Tak Nampak sesiapapun selain kami.”
“Mak cik duk dengan adik Pikah.tah kemana dia merayau tak balik lagi. Sorang lagi adik Pikah sedang belajar di UITM.”
“Ya adik Pikah yang belajar kat UITM tu kami pernah jumpa. Selalu juga dia datang melawat Pikah di rumah sewa kami” sahut Azalina sambil melirik Nurhusna.
“Rumah ni dulu ramai penghuninya. Sebab tu dibina besar. Tapi la ni dah berkurang bilangan nya.” Salina merenung jauh seolah dihadapannya terentang lorong kehidupan berliku yang pernah ditempuhinya. Tujuh warna pelangi yang mengindahi kehidupannya dan anak-anaknya telah dilitupi mendung gelap. Tidak kelihatan lagi. Hanya insiden yang mencalari ruang langit kehidupannya tidak daya dilupakan.
Dialah jantung hatiku satu-satunya. Tiada dua tiada tiga. Seluruh keperluanku, keluargaku, anak-anakku hanya tergantung kepadanya. Tidak kasihankah kau kepadaku yang tidak punyai apa-apa sepertimu yang ketara miliki segalanya. Mengapa tidakkau biarkan kehidupanku lancar berterusan tanpa gangguan yang kautimbulkan.

Pilihanmu adalah hakmu menentukannya. Mungkin langsung tidak ada apa salahnya untukku pertikaikan.  Tapi ada sudut-sudutnya yang boleh dipersoalkan kewajarannya. Hakmu pastikau pertahankan dan begitu juga aku. Selagi termaktub aku berhak terhadap sesuatu itu akanku pertahankan sehabis kudrah.

Suratan pula menentu takdir-Nya. Usahaku sudah bersungguh mempertahankan hakku dan anak-anak agar tidak direnggut daripada genggaman tanganku dan diberikan  sebagai anugerah teristimewa kepadamu pula.  Apalagi yang dapatku kata selain merenung penuh sayu berbaur sesal teramat.

Barangkali kau merasakan tidak pernahpun mengambil apa-apapun yang menjadi milikku kerana jasad yang berjiwa, berhati nurani kadangkala bolak balek hatinya dan keputusan yang diperhitungkan tidak semenggah yang didambakan.
Itulah kemungkinan besarnya yang berlaku kepada diri pilihanku dan kini adalah diri pilihanmu. Pertarungan, pergelutan, pergolakan yang menimbulkan kerusuhan jiwaku angkara olahmu

terpaksaku hadapi dengan air mata berlinangan kesedihan. Habis apalagi yang mampuku buat selain menjuraikan air mata kesedihanku. Sungguhkau tidak berhati perut.  Langsung tidak kasihan kepadaku. Astaghfirullah! Berdosanyalah aku mengadilimu begitu. Hak Allah hendakku ambil pula buat menambah dosa yang sedia ada.

Namun suara hatiku selalu membisik begitu di dalam dunia sedar dan lenaku. Melupakannya, menghambatnya jauh agar tidak berlegar lagi di rongga-rongga kalbuku mengelirukannya dan meninggalkan efek negatif telah berusahaku laku.
Terngiang-ngiang jua masih. Memeningkan, membingungkan.

Harus kuingat danku sedari bahawa diri kesayanganku, kecintaanku itu bukan lagi siapa-siapa denganku dan tidak layak bagiku merasai luhur sucinya seni halus jiwa itu.
Sifat terlalu mencntai itu walau lumrah dan telah ditanam Allah ke dasar sanubari kita tidak seharusnya melebihkan  pula rasa cinta kepada yang berhak sesungguhnya terhadap rasa cinta kepada Allah Azzawajalla. Mencintai seseorang tidak salah. Tapi harus berpada-pada.

Laluku pujuk hatiku dengan berkata sesuatu yang tersurat takdirnya ada hikmah yang membawa rahmah. Sendirianlah aku. Walau sepi, walau sunyiku tanggung sendiri. Terlalu berat sangatkah masalah itu bagiku? Rasanya tidakpun jika aku reda.. Hidup perlu diteruskan walau ujian-Nya merintang sepanjang perjalanannya.

Kesedihan, kedukaan tidaklah selalu membentuk mendung hitam yang menabiri alamnya sehingga sentiasa sangsi dan ragu untuk mengatur apa saja perancangan ke arah kehidupan sebaik mungkin. Suratanku sejak azali begitu takdir-Nya. Dan kuterima dengan reda. Jikalau telah reda semata tidak perlulah lagi ada sifat iri antara sesama kita. Biarkan perjalanan hidup kita lancar berterusan ke destinasi akhirnya tanpa olah tanpa bantah.

Siang malam bergantian dan kitapun leka menjalani urusan tanpa memikirkan permasalahan antara kita. Tidak langsung mahu mengambil peduli apapun lagi yang bersangkutan dengan masalah yang telah ditinggalkan bersamaku. Justeru ia adalah semata-mata masalahku saja. Tiada kena mengena denganmu dan diri yang telah jadi pilihanmu itu.

Yang diinginkan berlaku sebgitu tidak pula jadi begitu. Jauh pula menyimpang daripada sasaran sebenarnya. Hendak mengalih sasaran ke arah yang betul tidak tahu pula. Pening kepala memikirkannya.Sudahnya kerisauan yang mengganggu fikiran seakan mengheretku sasau. Kesasauan yang tidak diingini akal sihat normal. Mengenangkan nasib malang anak-anakku menggapai masa depannya laksana anak-anak orang lain seakan kabur sekali jalan yang dilalui mereka merusuhkan hatiku.

Mengapa tidak mahu menafkahkan anak-anak darah dagingnya sendiri sedangkan ayah kepada anak-anakku itu tidak berkurang suatu apa. Tentu tidak akan menjadi miskin kerana menyara kehidupan anak-anaknya yang bertiga yang masih kecil itu. Diri yang telah menjadi hakmu kini juga adalah hak anak-anaknya sejak mereka lahir ke dunia. Dulunya mereka dimewahkan dengan kasih sayang, perhatian rapi segenap segi ayah kesayangan mereka sebelum kau hadir kerana ayah mereka orang berada.

Kini setelah hadirmu jadi sebaliknya pula.
Membiarkan bekas isteri yang tiada harta sepencarian yang ditinggalkan walau sedikit buat menyara hidup semua zuriat suaminya mampukah dilakukannya. Nescaya langsung tidak. Marah sungguh bekas suamiku yang kini adalah suamimu kepadaku hingga sanggup menganiaya aku dengan tidak menafkahi anak-anaknya lantaran kemahuanku memohon perceraian di mahkammah syariah.

Jikalau marahkan aku janganlah libatkan anak-anak darah daging sendiri menanggung akibat daripada kemarahan itu.Namun tidak dinafikan memang ada suami yang tahu tanggungjawab mereka, tetapi sengaja tidak mahu beri nafkah kerana dalam diri mereka telah tertanam sifat mahu balas dendam terhadap bekas isteri yang telah bertukar jadi musuhnya.

Ada juga beri alasan tidak bekerja ataupun telah berkahwin baru dan mereka tak mampu untuk beri nafkah anak.
Tapi ayah kepada anak-anakku itu tidak tergolong dalam kalangan mereka yang tidak
berkemampuan yang boleh dijadikan alasan untuk mengelak bebanan tanggungjawab yang semestinya dipikul.
Apa perlunya suamimu itu memusuhi bekas isterinya yang sudah dibuangnya ini?  
Anak-anak adalah nasabnya yang tidak boleh dipertikai sampai bila-bila. Amanah Allah yang miliki 7 petala langit, 7 petala bumi dan seluruh alam ini kepada seorang yang bergelar bapa kenapa dipermudahkan saja?

Apakahkau memain peranan sebagai jarum penyucuk agar diri pilihanmu itu membenci anak-anaknya? Menghembus mantera yang dibawa angin  menyelinapi lubuk hatinya?  Peranan angin yang membawa pesanan kepada minda adalah fakta yang sukar dipertikai. Boleh jadi aku hanya berprasangka tapi kemungkinan itu sentiasa ada. Semoga apa yang kurasakan hanyalah fitnah bisikan syaitan durjana.
Pengabaian nafkah sara hidup kepada anak-anak suamimu itu amat memenderitakan kehidupan mereka yang selama ini tidak pernah merasainya sepanjang hidup di samping ayah kesayangan mereka. Hairan pula dengan perubahan sikapnya yang berlaku dalam masa semalaman itu.
Agaknyakau telah sihirkan diri pilihanmu itu agar membenci anak-anaknya sendiri? Ish! Sekali lagi hatiku dirunyam sangkaan-sangkaan yang sukar ditebak kebenarannya. Walau segalanya adalah langsung tidak mustahil lantaran sifat ilmu pun ada dua. Ada hitam ada putih. Sejak purbakala keujudannya dan firman Allah menegaskannya di dalam lembaran surah-surah alquran yang suci. 

Paranoia pula aku melebihkan rona situasi yang melengkungiku sehingga fikiranku bercelaru bersimpang perenang.  Entah kemana halanya destinasi tidaklah pasti. Namun kesulitan corak kehidupan yang terpaksa didepani anak-anakku membuat fikiranku sering diganggu tanggapan yang bukan-bukan.
Ah! Melayan perasaanpun tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Lebih baik aku mengerah mindaku berfikir bagaimana aku mahu meneruskan kelangsungan hidup daripada tiada kepada ada. Untuk sesuap nasi demi anak-anak tersayang aku terpaksa membuat apa saja perkerjaan yang mendatangkan imbuhan sesuai dengan apa yang kulakukan. Di subuh hari sudah terbongkok-bongkok menoreh getah. Sebelum embun jantan yang luruh ke daun beransur kering bersedia pula dengan timba yang akan mengumpul susunya dan membawanya ke tempat pengumpulan untuk pemesinan susu getah setelah dibekukan.

Sekerat hari masaku berada di mandala kebun getah yang redup buat mengais sedikit rezeki Allah. Mujur juga ada tanah getah pusaka yang sekangkang kera diwariskan gemulah kedua ibapaku. Dapatlah aku mengais rezeki di atasnya. Kelelahan tubuhku tidakku pedulikan dengan mengupayakan tenaganya yang telah berkurangan itu dengan mencangkul tanah untuk bercucuk tanam pula.
Hasil tanamanku kelak bolehlah dijual untuk memenuhi sedikit keperluan hidupku dan anak-anak. Cili padi, terung, kangkung, keledek, ubi kayu sentiasa ada di batasnya. Tanaman yang mudahku urus dan agak rentan dengan serangan penyakit tumbuhan. Selain menambah pendapatan dapat juga menjimatkan belanja sayur di dapur dengan tidak hanya membelinya saja.
Ayam dan itik turut diternak untuk dapatkan telur dan dagingnya. Sesekali atau selalu lebih tepatnya keluargaku berlauk telur pelengkap hidangan santapan. Pandangan sepasang mata yang keletihan tubuhnya samar dan kabur namun setiap malam tanganku ini sentiasa bermain bersama jarum, benang dan gunting untuk menjahit pakaian tempahan mereka yang berhajat.
Karya jahitanku tidaklah terlalu kemas dan cantik tapi yakin sajalah dengan kemahiran diri yang sedikit itu. Mentelah hanya itulah ilmu yang ada untuk dimenafaatkan sebaiknya demi kelangsungan hidup. Ilmu kemahiran hidup yangku perolehi darpada kelas Sains Rumah Tangga sewaktu bersekolah dan kelas jahitan di kampung anjuran pihak berwajib kugunakan sebaik mungkin.
Susah payahku tidaklah berpanjangan setelah anak-anakku semakin dewasa dan mendapat pendidikan hingga ke menara gading melunasi setiap impian ibu bapa.
Melakukan kebiasaan yang melekakan membuatku terlupa dengan cabaran hidup dan
masalahnya yang perlu diselesaikan demi masa yang berlalu. Mendung yang menabiri ruang kehidupanku semakin berarak lalu. Sekitar suasananya telah cerah indah, biru lagi mendamaikan. Syukur Alhamdulillah di atas karunia-Mu ya Allah.
Seseorang berdiri di muka pintu. Kusambut huluran tangannya sambil tersenyum berbudi bahasa. Tidak asing padaku wajah yang hadir ke sisiku itu. Cuma aku tidak tahu apakah tujuannya menemuiku. Adakah nawaitunya bermaksud baik atau sebaliknya. Hati perut orang masakan dapat ditebak isi kandungannya.
Meneka-neka pun tiadalah gunanya. Biarkanlah dulu pertanyaan tentang itu berladung dalam hatiku menanti jawapannya dengan sabar. Terkedu seketika. Tidak tahu pula untuk memulakan perbicaraan.
“Kau sihat Ina? Dengar khabar kau hendak ke Mekah. Ini yang aku datang menziarahi kau ni. Bukankah kau ni sahabat aku.”
Hmm…sahabat aku rupanya diri yang terhenyak di atas sofa ruang tamu rumahku ini. Aku pun sudah terlupa bahawa dia adalah sahabat lamaku. Sahabat yangku kongsi susah senangku bersamanya.
Riang bercerita dengan gelak tawa pengalaman apa saja. Sering pula menemaniku menghabiskan percutianku bersama anak-anak dan mantan suami kecintaanku di mana saja. Jalenan persahabatan antara kami amat erat dan akrab. Aku merasakan hatiku berkata bahawa dialah sahabatku dunia dan akhirat. Harapanku terabadi selamanya. Adakalanya panas tidak sampai ke petang dan hujan menyimbah pula di tengaharinya.
Musnahlah harapan yang dipertaruhkan. Sahabatku dunia akhirat yang dibayar suamiku suatu ketika dulu sebagai guru tusyen anak-anakku tidak pernah akan kuduga sanggup bermain mata dan bermain cinta dengan suami sahabat baiknya sendiri. Setelah permainan cinta berlangsung dengan jayanya dikejutkan aku dengan berita perkahwinan mereka di sempadan negara.
Sahabat baikku dunia akhirat ini juga telah memberi kata dua kepadanya supaya memilih antara dua. Samada memilih aku isteri pertamanya atau dia. Mendengar itu akupun tidak mahu menyusahkan lelaki pilihan yang menjadi rebutan itu dengan cepat-cepat mengajukan permohonan tuntut cerai di mahkamah syariah.
Firasatku mengatakan tiada guna mempertahankan perkahwinan yang telah menipis rasa cinta antaranya. Perkahwinanku pun termansuh dengan izin-Nya. Gelaran ibu tunggal yang ditinggal dengan penuh kerelaanpun melekat kejap pada diriku. Relakah diceraikan? Sedihnya hanya hati yang merasainya.
“Bilakah kau hendak bertolak ke Mekah?”
“Tidak lama lagi dengan penerbangan MAS yang keenam.”
“Maafkan semua salah sillapku ya Ina…sampai di sana jangan lupa berdoa supaya sahabatmu ini juga akan ke sana.”
Berlapang dadakah aku untuk menerima tuntutan maaf hamba Allah ini yang terlalu banyak melukis warna kesedihan di atas kanvas lukisan hidupku ini? Insya-Allah! Jesteru perjalananku menemui-Nya tidak mahuku membawa urusan-urusan yang menggendalakan sebarang niatku kelak. Lagipun ganjaran Allah justeru memaafkan kesilapan sesiapa saja yang menganiayainya teramat besar. Dan nikmatnya tidak mampu didustakan. Sifat iman yang kental.
Manis dan molek sungguh susun atur bicara wanita anggun ini. Seolahnya antara kami tiada kisah yang terjadi mengoyak rasa. Tenang dan nyamannya hubungan persahabatan bagai air di tasik biru di bawah malam disinari cahaya rembulan.
Aku yang mendengarnya hanya tersenyum polos.
“Kau bila pula nak ke sana. Duitpun sudah juta-juta.”
“Belum sampai seru lagi kata abang. Dan masih banyak ringgit  yang perlu dicari untuk bekalan masa depan nanti.”
Bersyukur sungguh aku kerana Allah memilihku menyahut seruan-Nya untuk bertamu ke tanah suci-Nya walau aku tidak kaya dan seadanya saja.
Renungan Salina menyapa wajah di sisinya. Citra dilayar mindanya sirna.
“Wah rajinnya anak-anak berdua ni tolong mak cik kat dapur ya. Mari duduk dulu. Mak cik nak cerita sikit kenapa rumah ni besar tapi tak ramai yang duduk sini.” 
Mak cik Salina menceritakan serba sedikit secara kasar tentang kisah kehidupannya kepada kedua-dua sahabat baik anaknya itu.
Tapi tidak keseluruhannya. Cerita sebenarnya banyak yang dirahsiakannya. Dan Azalina mula membuat kesimpulan akan mengapa agaknya Nursyafikah terlalu teliti dalam pemilihan jodohnya. Dan kenapa sahabatnya itu menolak pernyataan cinta kawan-kawan lelaki sekuliah yang berminat memenangi hatinya.
“Kau dengar cerita mak cik Lina tadi?”
“Mestilah dengar. Kan aku ada bersama tadi.”
“Patutlah Pikah tu memilih sangat. Rupanya bimbangkan nasib yang menimpa emaknya, menimpanya pula. Bak kata orang tak mahu pisang berbuah dua kali.”
“Sekarang pisang dah boleh berbuah dua kali kalau kita pangkas pokok tanpa tebang hingga perdunya. Akan keluar sulur baru dan berbuah semula. Kan untung tu.”
Keduanya tertawa pula. Sama-sama gelihati menafsir perumpamaan yang tidak dikira releven pada mereka dalam situasi semasa.
“Sudahlah jangan bersembang lagi. Aku dah ngantuk sangat ni.”
Dan malam yang memberi kerehatan pada tubuh manusia mengurangkan oksigen pernafasan kerana tumbuhan alam melepaskan kaban dioksida ke udara maya menyebabkan nyenyak terlena sehingga dinihari. Fajar membuka tabir subuh demi detik waktu berlalu.  
Subuh yang sunyi. Hanya suara serangga-serangga yang tidak ketahuan jenisnya mersik halus. Kalau hujan tentu  pasti suara katak yang menggema. Bukan katak-katak tu memanggil hujan Tapi mungkin sedang berzikir dan memohon hujan agar berhenti. Justeru hujan yang lama mencurah menyebabkan makhluk-makhluk Allah itu kedinginan amat. Wallahualam.

Suara azan subuh jelas kedengaran di segenap ruang berhampiran. Melantasi hingga ke rumah mak cik Salina yang jaraknya hanya beberapa puluh meter sahaja. Lalu segera membangunkan isi rumah itu daripada tidur mereka yang amat jenera.

“Kaunak mandi dulukan sebelum solat?”
Nurhusna hanya angguk tanpa sepatah kata.
“Kalau gitu biar aku masuk bilik air dulu ambil wuduk. Segan pula aku nak mandi pagi-pagi ni.  Bukan main sejuknya. Mengalahkan berada di Cameron Highland.”
Sahut Azalina sambil mengungkapkan komennya tentang pengalamannya berada di tempat percutian tanah tinggi itu.

Dia pernah ke sana dalam rangka lawatan kerja kursus menyiapkan  tugasan mengenai pencerobohan alam sekitar yang berlaku sekitar situ dan kemusnahan system ekologinya. Ianya dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab dan hanya memikirkan keuntungan jangka pendek. Dan kerja kursus yang dilakukan itu turut melibatkan Nurhusna, Nursyafikah, Zulhilmi dan beberapa orang lagi rakan sejurusan pengajian.

“Pergilah cepat? Waktu solat subuh ni pendek saja. Aku rasa Pikah dan mak cik Ina tentu dah bangun. Dan dah mula sibuk di dapur. Entah apalah yang dimasak mak cik Ina untuk sarapan kita. Mesti sedap sangat tu.”
“Hish! Kau ni Suna, soal makan saja yang kaufikirkan. Okey aku gerak dulu.”
“Aku tu cakap saja Lin.”

Azalina memboloskan dirinya ke bilik air meninggalkan Nurhusna yang tertunduk-tunduk mengemasi ranjang tidur mereka. Anak gadis ini sudah dibiasakan melakukannya sejak lama hasil didikan ibunya. Usai melakukannya langkahnya diatur ke dapur. Dia menjangka pasti mak cik Salina dan sahabatnya Nursyafikah berada di sana.

“Hai! Awalkau bangun Suna? Macamana lena tidur kat sini? Tiada yang mengganggu?” Pertanyaan sahabatnya itu hanya dibalasnya dengan senyumnya yang terorak sedikit.
“Kalau sebelum tidur ada wuduknya dan dibaca tiga qul, ayat kursi tujuh kali, bersyahadah terlebih dahulu tentu tidak ada yang mengganggu dan dapat tidur lena dengan nyaman,” tingkah mak cik Salina yang sibuk menuang adunan kuih cara ke dalam acuan bunga cermai di atas api dapur gas yang dipasang perlahan. Api dengan digri kepanasan yang tinggi akan menyebabkan kuihnya hangus tapi tidak masak keseluruhannya.

“Suna ni lain sikit mak. Dia ni ada kebolehan nampak apa yang kita tak nampak.” Selama dia berkawan dengan sahabatnya itu, pelbagai keanehan kisah mistik yang diceritakan Nurhusna kepadanya. Ketika mereka berada di Cameron Highland Nurhusna memberitahu penyelia projek tugasan mereka bahawa kawasan itu tidak lagi selamat kepada mereka kerana akan berlaku tanah runtuh tidak lama lagi.

Dr. Nordin selaku penyelia projek bertanya kepadanya bagaimana dia boleh tahu. Dia tidak menjawabnya tetapi memberitahu kepada Nursyafikah dia melihat ramai orang di tanah tinggi itu sedang mengangkut barang-barang untuk berpindah entah kemana.
“Aku tak nampakpun.”
“Kau memang tak Nampak. Tapi aku nampak.” Balasnya dengan yakin. Dan keesokannya kejadian seperti yang dijangkakan Nurhusna telah berlaku. Dengan izin Allah jua.

“Oh! Anugerah Allah tu.” Sela  emak Nursyafikah.  Nurhusna memandang Nursyafikah lunak sambil jari telunjuknya menyentuhi  bibirnya. Sahabatnya itu lantas terdiam seolah mengerti maksudnya.

“Siapa bilal yang azan di sini mak cik? Mersik merdu suaranya.” Nurhusna mengalih topik bicara agar emak Nursyafikah tidak menyoal lanjut tentang kenyataan sahabatnya itu mengenai dirinya. Terlontar suaranya bertanya tentang itu. Ingin sekali diketahuinya pemilik suara yang mengalunkan azan dengan amat merdu sekali.

Suara azan yang dikumandangkan Bilal bin Rabah sahabat Rasullullah difirmankan Allah dalam al-Quran melantasi lapisan petala bumi dan langit hingga ke baitl-makmur di syurga. Hebat sekali gelombang alun azan itu membawa risalah-Nya walau kemana saja pelosoknya dan sentiasa sambung menyambung seiring putaran bumi di paksi-Nya. Kini yang mengalunkan azan di masjid atau surau disebut ‘Bilal’ sebagai tanda penghormatan kepada muazin Bilal bin Rabah sahabat kepada Rasullullah itu..
 
“Oh! Bilal baru tu. Dulu bilal lain. Memang bagus suara bilal baru tu. Mak cik ni kalau setiap subuh tidak dengar suara azan subuh seakan terasa hilang sesuatu. Sunyi sepi.”  
Hadir rakaman saat itu melintas lalu.

Dan subuh mutakhir ini menjadi terlalu sunyi kerana suara muazin tidak mengumandangkan azan daripada surau yang berhampiran menyeru menunaikan solat untuk menuju kejayaan. Kenapa jadi begitu? Tentulah ada sebabnya. Jikalau tidak tentu tidak terabai surau dengan suara yang penuh hikmat itu.

Sebenarnya tok bilalnya tiba-tiba demam dan tidak dapat nak menapak ke surau pada setiap subuh hari. Betapa berharga suara tok bilal yang sering mengumandangkan azan itu dirasakan setelah suaranya tidak terdengar lagi. Begitu kehilangan sekali.

“Dahulu tukang azannya adalah jiran mak cik,, Md. Rodi yang tinggal berselang beberapa rumah dengan rumah mak cik ni. Setiap subuh akan terdengar langkahnya yang diatur dengan derap yang serupa ritmanya. Dan kami semua jirannya sangat kenal dengan derap langkah yang teratur di subuh sunyi itu.Kini tidak dengar lagi ritma langkah itu lantaran beliau telah melangkah jauh meninggalkan kenangan murni itu untuk menemui Ilahi yang menjanjikan kejayaan.”

“Wah! Mak ni kalau bercakap macam baca skrip radio hih…hih..” Mak cik Salina tersenyum saja. Ungkapan yang terlahir di bibirnya adalah spontan tanpa dia merangkanya.
“Kauni Pikah. Pandai saja nak usik mak kau.”
“Perangai anak mak cik sorang ni memang gitu Suna. Sabar ajelah.”
Dalam diamnya mak cik Salina menghadiahkan bacaan ayat suci Al-fatihah untuk Allahyarham Md. Rodi jirannya yang sangat baik itu. Dan tempatnya yang istimewa itu diganti jirannya bang Din dengan segera. Surau itu tidak sempat sunyi dengan laungan azan.

Tiba-tiba bang Din demam pula. Demam urat kata isterinya kerana terlalu rajin berkerja. Jirannya itu memang dikenali tabiatnya yang sangat rajin berulang ke kebun sawitnya mengerjakan apa saja daripada membersihkan kawasannya sehinggalah menuai hasilnya mengikut jadualnya. Apabila beliau demam tidak ada lagi suara azan yang menerjah subuh sunyi walau tetap kedengaran azan dari masjid yang sayup-sayup kejauhan.

Salina pula yang kegelisahan justeru merasakan azan yang tidak kedengaran menemani subuhnya adalah suatu kehilangan yang tidak tahu bagaimana hendak digambarkan. Azan subuh juga mengingatkannya tentang waktu bermulanya langkah meneruskan kehidupan dengan perancangan yang direncanakannya.

“Wah! Dah siap kuih cara mak cik ni. Hijau warnanya dan harum bau daun pandan. Cantik hijaunya. Mak cik letak pewarna ke?”
“Tak. Mak cik bubuh air daun pandan campur air daun asin-asin.”
“Oh!” Info baru menjengah mindanya, petua masakan cara lama yang tidak diketahuinya sebelum ini.
“Nak rasa ambillah.” Ingin saja tangannya mencapai kuih cara itu seketul dan memasukan ke mulutnya. Tapi tidak dilakukannya. Kuih cara yang dihijaukan warnanya daripada campuran daun asin-asin tua dan daun pandan yang dihancurlumatkan amat mengait seleranya. Padanya sempurna sekali bentuknya dan harum aromanya.
“Tak apalah, nanti kita sarapan sama-sama. Saya ni tadi duk tunggu Lin sudah gunakan bilik air. Barulah saya boleh masuk mandi pula.”
Tiba-tiba Azalina muncul di tengah mereka.
“Kau dah siap solat Lin?”
“Dah! Kau tu yang belum.”
“Yalah Lin. Aku ralit pula tengok mak cik Ina buat kuih cara pandan ni sampai tak sedarkau dah siap berwuduk dan solat.”
“Pergilah cepat. Nanti datang ke sini kita sarapan sama-sama. Kalaukau lambat aku habiskan semuanya hih..hih.”
“Suka hatikaulah Lin.” Nurhusna meninggalkan ruang dapur dan segera menuju ke bilik air. Padanya kata-kata Azalina adalah gurauan indah yang menceriakan hatinya.
“Selepas bersarapan bolehlah kita ke dusun di belakang rumah ni. Bolehlah kalau kau dan Suna nak ambil buah apa saja untuk dibawa balik esok.”
“Aku nak panjat pokok manggislah Pikah. Aku intai-intai belakang rumahkau petang semalam nampak pokok manggis rendang dan lebat buahnya. Teringin nak makan manggis atas pokok hih..hih..”
“Sukahatikaulah Lin. Tapi kena hati-hati. Pokok manggis ni walau banyak cabangnya dan senang nak letak kaki waktu memanjat tapi ramai juga yang jatuh tersembam ke tanah. Silap gaya jatuh boleh patah tulangkau lin. Baik-baikkau mengimbang badan.”
“Okey aku hati-hati. Tapi kau jangan cakap bukan-bukan pula bimbang jadi doa.” Risau pula hati Azalina mendengar komen Nursyafikah itu.
“Kalau takut jatuh, kait saja. Ada galahnya mak cik sandar di pokok tu. Anak dara dah besar panjang, tak elok memanjat pokok. Malu dilihat orang.”
“Mak ni cakap gitu pula. Kan dah putus angin Lin nak jadi Tarzan. Tak apa Lin…kau panjat saja lepaskan hajat. Bukan ada orang yang nak pandang pun. Cuma kita-kita saja.”
“Jangan kisah sangat apa yang mak cik cakap Lin. Mak cik dulu pun memang suka memanjat pokok manggis sampai puas dilarang atok Pikah ni.”
“Kan dah pecah rahsia mak akuni Lin.” Azalina dan Nursyafikah tergelak kecil.
“Dah jangan asyik nak bergelak saja. Hidangkan sambal tumis bilis, ikan pekasam goreng dan ulam-ulam atas meja. Nasi lemak dah masak tu. Telur rebus tu kupas letak dalam piring.”
“Okey mak.”
“Banyaknya makcik masak. Nasi lemak lengkap lauknya dan ada kuih cara lagi. Agaknya pukul berapa mak cik bangun siapkan semua ni?”
“Mak cik dah biasa bangun awal pagi Lin. Biasanya pukul 4.00 pagi. Selepas solat malam tahajjud, taubat, hajat dan witir, mak cik ke dapur sekejap sambil tunggu waktu subuh masuk. Masaklah apa yang patut untuk sarapan. Pabila dah jadi amalan dan kebiasaan sampai saja masanya mesti tersedar dari tidur. Terus saja bangun.”
“Gitulah mak aku Lin. Tak reti nak duduk diam. Walau tidur masih teringat kerja-kerja yang nak dibuatnya.”
“Bila dah jadi emak ni memang perlu tangkas dan cekap semua urusan rumahtangga Lin. Nanti bila kauorang dah berumahtangga merasalah semua tu.”
Nurhusna muncul ke ruangan dapur sambil menarik kerusi merapati meja.
“Wah tuan puteri Suna sudah sedia hendak bersarapan ya. Cepatkau sendukkan nasi lemak tu Pikah.”
“Kau ni Lina. Aku rasa kaupun dah tak sabar nak bersarapan cuma tunggu aku datang saja kan Lin.”
“Cepatlah kausemua bersarapan. Makanlah masakan orang kampung yang mudah saja ni. Cuma buat nasi lemak, sambal tumis bilis, goreng ikan pekasam dan buat kuih cara sikit. Lepas makan kauorang ke dusun dengan Pikah. Mak cik nak tunggu lori ikan lalu. Nak beli lauk-lauk sikit.”
“Adik mana mak? Tak ajak makan sekali?”
“Ada tidur kat bilik dia tu. Biarkanlah dia tidur. Malam tadi dia balik lambat. Katanya ke rumah ayah kamu.”
“Oh! Rajin adik ke rumah ayah?”
“Biasalah adik kamukan gitu selalu. Suka ulang-alik ke rumah ayahnya. Diakan sayang sangat dengan ayahnya tu.” Terkenang dia suatu ketika dulu anaknya yang bongsu itu sangat disayangi mantan suaminya. Namun setelah berlaku perpisahan antara mereka bekas suaminya itu tidak lagi mengambil tahu tentang mereka.
“Tapi ayah tak pedulikan diapun mak. Sedih pula tenguk adik tetap tak peduli walau ayah abaikan dia. Ayah tu nampaknya macam sangat bencikan kita. Dahlah tak bagi kita belanja sara hidup. Mak tiri tu pun Nampak macam bencikan kita. Dan tak mau kami adik beradik rapat dengan ayah. Sebab tu saya terfikir langsung nak ke rumah ayah.” Kata-kata anaknya itu menyapa hatinya yang sebak tiba-tiba. Terasa hendak berurai air matanya.
“Sudahlah Pikah. Tak payah fikir semua tu. Kauorang sarapan dulu ya.” Sahutnya tidak mahu lagi menyambung bicara yang tidak digemarinya itu.
“Mak cik pun duduklah sarapan sama.”
“Tak apa Suna. Mak cik kena keluar tunggu van yang jual ikan sayur tu lalu. Kalau tak ditunggu tak berlauk sayur pula kita hari ni.” Mak cik Salina mengatur langkah meninggalkan ruang dapur dengan gaya bersahaja. Tidak terlalu laju dan tidaklah terlalu perlahan.
“Makanlah Suna, Lin. Tak payah gelut sangat nak sudahkannya. Dusun kat belakang rumah aku tu tak lari kemana.”
“Memanglah tak lari kemana dusun tu tapi aku yang dah tak sabar nak memanjat pokok manggis ni. Sedapnyalah dapat makan buah manggis atas pokok. Huish! Tak terkata nikmatnya.” Husna dan Nursyafikah tergeleng-geleng memerhatikan gelagat Azalina yang mengujakan dirinya itu.

* * *

“Wah! Dah banyak buah-buah yang kita petik ni Lin. Nanti tak muat pula boot kereta Pikah kita nak isi bawa balik. Turunlah dari pokok manggis tu Lin. Ke kau pandai naik saja tapi tak reti nak turun.”
“Sekejap je lagi Suna aku nak ambil sebiji lagi manggis kat ujung julai tu.”
“Okey hati-hati Lin.”

Suna memperhati kelibat Nursyafikah di kejauhan. Sedang ialan beriringan bersama emaknya dan seorang wanita separuh baya menuju ke arahnya. Sebentar tadi Nursyafikah meninggalkannya dan Nurhusna pulang ke rumahnya mengambil raga untuk mengisi buah-buahan yang telah mereka petik.

“Ini mak cik Poziah. Isteri pak cik Din, bilal surau sini yang Suna tanyakan mak cik tu”
“Oh! Apa khabar mak cik?” Tanya Nurhusna sambil menyalami mak cik Poziah.
“Baik saja. Bila sampai?”
“Petang semalam mak cik bersama Pikah dan Lin yang kat atas pokok manggis tu.”

Azalina segera bergegas turun dari atas pokok manggis dan menghulur tangan bersalam dengan mak cik Poziah yang tersenyum kepadanya.
“Laju je kauturun Lin, macam nak lari dari sesuatu.”
“Aku Nampak macam ada benda yang bergayut atas pokok tu Pikah. Seram pula aku rasa.”

“Lotong yang ekor panjang tu kot. Biasanya kalau musim buah, haiwan hutan sebelah selalu saja ke sini. Kadang kita tak sempat petik, haiwan-haiwan tu dah petik dulu. Kulit saja ditinggalnya kat bawah pokok.” Celah mak cik Poziah menceritakan hal yang diketahuinya selama ini.

“Mungkinlah kot. Tapi cuba kau tenguk Suna. Aku nampak ada lagi benda tu duk bergayut kat situ.”
Nurhusna hanya menjeling sekilas sambil mengurut dadanya.
Nursyafikah merenung wajah sahabatnya itu yang ketara tidak berapa selesa di situ.

“Jomlah kita ke rumah. Semua buahnya pun dah diisi dalam raga tu. Jomlah mak cik ke rumah dulu. Bolehlah bersembang dengan kawan-kawan saya ni.”
“Aku rasa macam nak demamlah Suna. Bulu roma meremang dan seram sejuk pula.”
“Ada sajalah kau ni. Mungkin kau letih sangat memanjat pokok kot. Otak yang letih memberi kesan juga pada tubuh kita Lin.” Nurhusna cuba mengingati beberapa fakta yang diketahuinya mengenai itu.

Minda mengawal segala perkara yang dilakukan. Contohnya pemikiran, perasaan, tingkah laku, keputusan, kelakuan, interaksi, pencernaan, penilaian dan pekerti. Otak menggunakan 20% oksigen dan darah dalam badan. Sel dalam otak disebut sebagai neuron. Otak adalah organ yang menghantar mesej atau signal kepada badan. Jadi neuron ini perlukan banyak tenaga dan oksigen.

“Kenapa Lin, Suna?”
“Entahlah Pikah! Katanya tak sedap badan.”
“Oh! Jom ke rumah cepat. Aku bagikau pracetemol. Nanti rasa tak sedap badankau pasti hilang.”

Sampai di rumah saja Azalina terus masuk ke bilik, naik ke katil dan berselimut.
“Kau kenapa Lin? Kau kata demam. Tapi badankau tak panaspun.”
“Entahlah Pikah. Aku rasa badan aku ni sekejap sejuk sekejap panas.”
“Penyakit ganjil ni! Takpa kita jemaah solat zohor dulu. Lepas tu mak cik gi minta tolong pak cik Din tengukkan kamu.”

Mak cik Salina yang turut kerisauan akan hal Azalina cuba mencari solusinya. Pak cik Din walau bukan seorang pengamal rawatan alternative tapi sentiasa dicari rakan dan jiran-jirannya sekiranya ada keperluan terdesak sebegini. Beliau sekadar membantu saja tanpa apa-apa pengerasnya.

“Panggil adikkau Pikah. Biar dia imamkan kita.” Mak cik Salina meletakkan jag berisi air di hadapan tempat solat mereka. Sering dilakukannya setiap kali dia lakukan solat kerana mempraktikan ilmu yang di ajar ustaz di kuliah yang dihadirinya setiap hari Jumaat.

 Kata ustaz Solehin, “Saya yakin semua kita ada dan pernah menghadiri majlis bacaan Yasin. Dan saya yakin kita ada melihat atau kita sendiri menyediakan air kosong atau mineral diletakkan di tengah majlis tersebut di mana tujuannya untuk dijadikan air Yasin.
Kenapa? Ini kerana air merupakan "perakam" terbaik dan dibuktikan oleh ilmu sains.
Air sebenarnya boleh merakam setiap gema getaran yang dihadirkan baik dari bunyi termasuk dengan kata-kata dan juga dari hanya niat kita ( tanpa kata-kata ).

Di sini saya ingin berkongsi satu amalan baik yang boleh kita lakukan bersama dengan mudah. Terutama suami, bapa dan lelaki khasnya. Amalkan meletak satu botol air semasa solat. Amalan ini boleh dilakukan semasa solat Subuh, Maghrib dan Isyak. Di mana pada waktu solat fardu yang disebutkan tadi sunat untuk menguatkan bacaan pada rakaat pertama dan kedua. Dengan ini secara tidak langsung air ini telah merakamkan bacaan takbir, Al Fatihah dan bacaan ayat lazim.
In shaa Allah air ini boleh dijadikan minuman yang terbaik untuk kita.
In shaa Allah berkat dari bacaan dalam solat tadi dengan izin Allah kita akan bertambah sihat.
In shaa Allah dengan izin Allah banyak kebaikan untuk anak-anak kita.
Tidak perlu lagi mengeluarkan belanja untuk membeli air yang dijual di pasaran yang dikatakan dibaca dengan ayat tertentu.
Sesungguhnya yang baik itu dari Allah, saya cuma hambaNya yang lemah sekadar ingin berkongsi ilmu-Nya.”

Mak cik Salina berdoa semoga air di dalam jag yang telah merakam hasrat dan bacaan ayat suci itu akan segera memulihkan keadaan Azalina seperti sediakala.
Segera diminumkan kepada Azalina setelah mereka selesai bersolat secara berjemaah.
“Mak! Pak cik Din dan mak cik Poziah dah sampai.” Beritahu Khairul Idlan.
“Masuklah kak, bang Din. Cuba tengukkan budak Azalina ni.”

“Ah! Tak ada apa-apa tu. Terkejut sikit je.” Tersenyum dia kepada Nurhusna yang turut membalas senyumannya seolah saling bepengertian. Nursyafikah menyedari itu. Dia meminta segelas air putih daripada mak cik Salina sembari mulutnya komat-kamit membaca selawat nabi dan surah al-fatihah berulang-ulang kali.
“Nah! Minum sikit dan basuh muka. Sekejap lagi okeylah tu.”

Khairul Idlan menatang dulang berisi beberapa cawan kopi dan sepiring biskut yang dibawanya dari dapur disediakan kakaknya Nursyafikah dan meletakan di meja ruang tamu.
“Marilah minum pak cik Din. Mak cik Poziah. Kak Suna, kak Lin jom sekali.” Khairul Idlan mempelawa sopan.
“Duduk sini Lan. Pak cik Din nak tanya sikit.”
“Nak tanya apa cik Din.”
“Malam tadi kamu balik lewatkan. Kamu kemana?”
“Tak ada kemana cik Din. Cuma ke rumah ayah di bandar.”
“Oh! Ada yang kirim kasih sayang ke sini tu. Lain kali kamu jangan balik lewat malam sangat. Takut ada yang menumpang kamu ikut pulang.”

Mak cik Poziah dan mak cik Salina menumpu pandang ke wajah pak cik Din menafsir makna kata-katanya. Sedang Khairul Idlan langsung tidak memahami apa-apa. Nursyafikah tajam menjelah pandang sahabatnya Nurhusna.  Sebuah wajah yang sedang berayun di pohon ara tersengih kepadanya dengan sinar matanya merah cerlang mengganggu skrin minda Nurhusna.

“Tak mengapa. Apa yang dikirim tu tak boleh masuk ke rumah ni. Sebab makkau dah pagar rumah ni dengan ayat qursi dan kunci setiap sudut dan pintu dengan kalimat yasin.”
Masing-masing mengurut dada sambil mengucap Astagfirullah dan menadah tangan mengaminkan doa yang dibacakan pak cik Din agar mereka semua dilindungi Allah daripada sebarang musibah angkara mereka yang dengki dan bersubhat dengan syaitan durjana.

TAMAT