Tuesday, October 10, 2017

DIRGAHAYU

KONFLIK

 

"Takmalu ke kerja kat situ?" Tutur suaminya sinis. Dia terkedu. Memang benar kakitangan di pejabat tanah rancangan felda itu semuanya lelaki. Cuma dia  seorang perempuan sebagai jurutaip.. Kerana dia seorang perempuan bak mawar yang menyeri alam tentulah dia dilayan sebaiknya.

Hinggakan seorang staff di situ berkira-kira hendak menjodohkannya dengan seorang pegawai luar di situ yang pendiam dan berperawakan sederhana.
"Betul ke awak mahu kalau saya kirakan dengan S?" Tanya cik D. Mereka bersembang berdua berhadapan.

"Boleh saja," balasnya selamba. Tanpa ada rasa bersalah kerana telah menyimpan rahsia tentang status dirinya.
'Kesian kau D, kau tak tahu aku dah nikah.'
Memang tidak ada di antara rakan-rakan sepejabatnya yang tahu dia telah bernikah.
'Jodohku boleh jadi sudah sedemikian suratannya.' Monolognya  lemah bersandar kepada takdir hidup.

"Agaknya apa perasaan S terhadapku sekiranya dia tahu status diriku. Mungkin dia sangat marah dan malu. Marah kerana telah tertipu dengan penampilanku sebagai gadis. Tentu teramat malu kerana secara tak sengaja telah menyimpan perasaan terhadap isteri orang.' Dia termenung memikirkan kesalahannya dan akibahnya.

'Ah!Tak perlu aku nak fikir semua itu. Lagipun aku dah tak ke sini lagi..'
Betullah tu. Esok dia tidak akan ke sini lagi kerana telahpun menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada pengurus sebagaimana yang diarahkan suaminya.


ASSALAMUALAIKUM....

ANTOLOGI DIRGAHAYU SEDEKAD TAKHTA

DIRGAHAYU PAYUNG MAHKOTA

Tinta menulis ceritera sejarah 26 Oktober 2009
balairong Seri Istana Besar Sri Menanti
gema 32 das tembakan meriam bersambung 21 das
merobek sepi hening suasana.

Halaman istana permai permana
lapan bilah tombak tercacang tegak
berserta lapan bilah keris panjang
juga lapan bilah pedang panjang
panji-panji kuning hitam merah
disapa desir angin tujuh hari
terpasang rapi memulai adat
warisan temurun pertabalan.

Permahsyuran  Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir
berlangsung megah menjunjung adat sedekad lalu.

Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke 11
setelah bersiram bersemayam pula di takhta Rencana
jelata terpesona bersukacita
mengamin doa syukur kebahagiaan

Justeru serata ceruk Negeri Sembilan Darul Khusus
dilimpahi rahmat-Nya damai sentosa.

Dianugerahi-Nya hadir khalifah warisan anbia
menunjuk jalan kebenaran
duniawi ukhrawi
adil penuh perhatian
jiwa rakyat ditatang
prihatin kebajikan panca utama.
kesetiaan mercu tulus hati rakyat
menjati rasa.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA

SELANGOR DE

Saturday, October 7, 2017

KEJUTAN...



KEJUTAN SINAR HARIAN AHAD 8 0KT 2017

Sebuah penghargaan bersekali pengiktirafan kepada keterlibatan kak pidah dalam gelanggang penulisan karya kreatif. Mekar bangga dan sebak hati sehingga titis air mata basahi pipi. Terima kasih Puan Nurhidayu SINAR HARIAN atas kesudian menjadikan kak pidah sebagai salah seorang IKON SENI DAN BUDAYA akhbar SINAR HARIAN AHAD walau kak pidah bukan sesiapapun. 
Menjawab semua soalan yang dikemukakan Puan Nurhidayu bukanlah mudah. Ambil masa tiga hari juga baru selesai. Heh…heh…lama tu. Itupun mujur dibantu sahabat penulis cikgu Pauzi yang menyumbang ide bernas. Terima kasih banyak cikgu Pauzi. Sepanjang mengenali cikgu di alam maya fb sudah seringkali cikgu membantu kak pidah. Baik budi yang dikenang abadi.
Terima kasih anak-anak kak pidah yang sentiasa berusaha memahami minat ibu mereka dan memenuhi keperluannya. Memang sukar sangat bagi anak-anak untuk melayani dan menguruskan ibu mereka yang kurang berdaya ini.
Terima kasih sahabat penulis Noorlaila Ghafar yang menggalakan sahabatnya ini untuk rajin menghasilkan karya dan memperbetulkan kesilapannya.
Terima kasih Saniah Masri/Ilham suri dan sahabat-sahabat GBT Yahti Hayati, Nor Azizah Idris, Ct Nurza, Sri Mawar, Russ Asan, Zuraida Dewi, Khaziah Yem dll yang turut berperanan memupuk minat berkarya.
Terima kasih sifu Tabir Alam yang tidak jemu membimbing dan menurunkan ilmu untuk berkarya dengan betul pelbagai genre puisi dll sehingga berjaya menghasilkan susunan antologi pelbagai judul bersama SPTA.
Terima kasih ustaz Ilhami Hisyam memberi peluang kepada kak pidah menerbitkan beberapa antologi bersama BeTA yang menjadi pembuka langkah permulaan untuk giat berkarya.
Terima kasih Dr. Zabidin sudi menerbitkan 10 buah antologi karya sajak bersama KARYAWAN Pk BANDAR BANDAR DI PERAK.
Kalian adalah penyebab keberadaan kak pidah di sini walau hanya sebagai penulis marhaen OKU.  




Tuesday, October 3, 2017

WAWANCARA

ASSALAMUALAIKUM..

Salam sejahtera, 
Saya Ayu dari Sinar Harian.
Tujuan ruangan IKON SENI & BUDAYA ini adalah untuk memberi peluang kepada tokoh-tokoh seni dan kebudayaan berkongsi perihal peribadi diri kepada umum selain bercerita mengenai perkembangan terbaru.
Berikut saya lampirkan soalan yang berkaitan.
Di sini, saya nyatakan soalan-soalannya. Harap dapat perhatian daripada pihak Tuan/Puan.
SOALAN:
1)    Ceritakan mengenai diri anda?
Jawapan: Saya dilahirkan di kg Dulang Kechil, Yen Kedah. Mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan Dulang Kechil Kedah dan Ulu Jempol Pahang. Peringkat menengah pula di Sekolah Menengah Yan, Sekolah Menengah Keb Maran dan Sekolah Menengah Abd.RahmanTalib Kuantan.
Mula giat menulis sejak 1976 dalam pelbagai genre. Karya eceran disiar UTUSAN MALAYSIA, PENEROKA, DEWAN SASTERA.
Setelah berkahwin meninggalkan dunia penulisan justeru kesibukan menguruskan anak-anak dan rutin sebagai generasi kedua FELDA Ulu Jempol, Pahang.
1987 terlibat dalam kemalangan jalan raya di lebuh raya Karak bersama suami dan empat orang anak yang masih kecil. Tika itu anak bongsu baru berusia 50 hari. Menyebabkan koma hampir sebulan, kelumpuhan separa dan hilang suara. Selama tiga tahun terlantar lumpuh dan upaya hidup dibantu suami, emak, ayah, adik-adik, keluarga terdekat, jiran-jiran dan kawan-kawan.  Bantuan keprihatinan amat dihargai, disanjung tinggi dan dikenang selamanya.
Kini setelah diberi Allah sedikit kekuatan mulai menulis kembali. Menaip karya di pc menggunakan tangan kanan yang berfungsi membantu semua keperluan diri seadanya. DIsamping menguruskan anak-anak yang bersekolah rendah dan menengah hingga kesemuanya tamat pengajian.
Alhamdulillah sepanjang 2016-2017 telah berjaya menghasilkan beberapa antologi cerpen bersama penulis tanah air dengan beberapa penerbitan   


2)    Bagaimana boleh terbabit dengan dunia seni & budaya? Bagaimana ia bermula? Sebab apa? Ceritakan dari awal mengenai pembabitan anda dalam bidang ini.
Jawapan: Sejak zaman persekolahan memang berminat dalam sastera dan mengikuti aliran sastera justeru tertarik dengan unsur-unsur keindahan bahasa yang terkandung dalam pelajaran sastera yang dipelajari. Selepas itu sering pula ikuti kursus penulisan anjuran DewanPersuratan Melayu  Pahang dan pernah juga ikuti kursus penulisan cerpen anjuran DBP dibawah bimbingan sifu penulisan Dr Zaharah Nawawi. Rangsangan dan dorongan kerana sering menggauli aktivitis seni sastera menebalkan minat dan tekad menceburi bidang ini. Dan sejak itu saya cuba untuk berdiri sebagai penulis walau tidak dikenali sesiapa. Soal dikenali atau tidak bukan masalah besar bagi saya. Yang penting berkarya dengan minat dan kesungguhan.
3)    Apakah pembaharuan/ kelainan yang dibawa dalam bidang yang diceburi?
Jawapan: Berhubung dengan gaya penulisan tiada kelainan yang cuba ditampilkan. Setiap penulis mempunyai gaya penulisan yang tersendiri. Pada saya mesej yang hendak disampaikan lebih utama. Menggunakan susunan bahasa yang mudah difahami amat perlu. Cuma sebagai penulis era akhir 70-an, saya masih juga meneruskan  cara penulisan gaya penulis lama. Lebih berterus terang tapi agak lunak. Disamping mengekalkan diksi-diksi yang puitis mengesankan kepada pembaca. Gaya penulisan yang selesa pada saya dan mudah dicerna.

4)    Siapa idola anda?
Jawapan: SN USMAN AWANG.
5)    Sebagai seorang penggiat seni & budaya, bagaimana anda melihat perkembangan industri seni & pada masa ini?
Jawapan: saya melihat industri seni sedang berkembang seiring dengan perkembangan  semasa dan keperluannya. Namun pendedahan kepada masyarakat khalayak, saya berpendapat perlu diperkemas lagi. Pelbagai program melalui pelbagai agensi, pertubuhan, badan berkanun, NGO dan sebagainya harus dirangka dengan lebih proaktif supaya perkembangan dunia seni terutama sastera akan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama di kawasan kampung-kampung dan taman-taman perumahan.
6)    Bagaimana pula mahu memupuk orang ramai agar meminati bidang ini
Jawapan:  Kalau ganjarannya agak lumayan jika menghasilkan karya dalam bidang ini tentu tidak susah memupuk minat generasi untuk turut sama melibatkan diri. Mungkin ramai yang berminat untuk turut berkarya dalam bidang seni sastera tapi menjadi tidak tertarik kerana imbuhan pada setiap karya agak kecil berbanding masa yang diperlukan agak lama untuk menghasilkan sesebuah karya kreatif bermutu.  
7) Pada pendapat anda, bagaimanakah industri seni & budaya mampu membentuk negara membangun dan maju? 
Jawapan: Seni itu indah dan halus. Budaya adalah sosio kehidupan. Budaya kita sejak tradisi berseni dan perlu menjati diri setiap warganya. Wajar  industri seni dan budaya dipelihara sebaiknya. Sudah tentu ianya akan mensejahterakan kehidupan kita. Kehidupan harmoni memangkin kemajuan negara.
8) Bagaimana pula industri ini dalam usaha membentuk sikap manusia?
Jawapan: industri yang terbentuk ikhlas dengan niat sedikit sebanyak peranannya mampu memberi bekas kepada sikap positif tentulah dengan karya-karya bermutu dipaparkan sampai kepada khalayak dan mudah difahami.  
9) Pengalaman menarik yang diperoleh?
Jawapan: Sentiasa dapat berkongsi ilmu tentang penulisan dll hasil garapan ilham penulis-penulis mapan prolifik atau baru.
10) Pencapaian terbesar/ hasil karya anda?Senaraikan hasil karya terutama yang mendapat respon paling tinggi.
Jawapan: 1. Memenangi tempat kedua cerpen e-sastera ASEAN dengan judul WARISAN MOYANGKU. Penyampaian hadiahnya di adakan di Cilegon Indonesia.
2.  tempat ketiga sajak berjudul BAHTERA MERDEKA DAN JALUR GEMILANG anjuran penerbitan BeTA.
11) Apakah erti persaingan bagi anda? Bagaimana anda melihatnya? 
Jawapan: Persaingan memang wujud dan menyebabkan mudah berputus asa meneruskan minat dalam penulisan. Namun jika menanggapinya positif, kejayaan pasti menyusul juga.  Isyaa-Allah. Tanpa usaha dan kesungguhan agak susah mencapai jaya. Saya menganggap persaingan merupakan satu perkara yang sihat kea rah perkembangan sastera dan susastera di Negara ini. Kita harus melihat dari sudut positif. Paling penting kita mahu memasyakatkan sastera supaya bidang ini terus hidup yang sekali gus berkembang pesat dalam arus kemodenan sekarang.
12) Apakah yang anda masih belum puas dalam industri ini?
Jawapan: Industri ini tentu tidak dapat memuaskan hati setiap  penggiatnya. Usaha masing-masing saja tanpa jemu akan memberikan hasil yang diharapkan.

13) Harapan anda?
Jawapan: Tidaklah menggantung harapan setinggi gunung. Cuma mengharapkan bidang penulisan ini ramai yang berminat ceburinya kerana tarikan dapat menjana pendapatan sampingan. Dan memeriahkan lagi arena kesusasteraan negara.
14) Sebagai seorang insan istimewa, bagaimana anda mengaplikasikan dalam bidang yang anda ceburi. 
Jawapan: Bergantung kapada-Nya saja apapun. Sekadar membaca dan menulis
karya walau setiap hari apalah sangat. Saya seorang OKU bukan kelainanan upaya tapi sangat kurang berupaya. Namun meneruskan hidup seadanya sambil mencoret suara.
p/s: Mungkin boleh senaraikan biodata diri beserta hasil karya dan emelkan sekali dengan gambar-gambar yang berkaitan. Sekian Terima Kasih.
Antara hasil karya yang telah diterbitkan.
1.
10 ANTOLOGI BERSAMA KARYAWAN Pk BANDAR BANDAR DI PERAK; GERIK, BAGAN DATOH, SELAMA, PARIT BUNTAR, IPOH, TANJUNG MALIM, BATU GAJAH, SUNGAI SIPUT, PARIT.
2.
ANTOLOGI BERSAMA SPTA (SIRI PENERBITAN TABIR ALAM): SAJAK AIDILFITRI, HAIKU PELANGI, HAIKU SAYEMBARA, SONETA ALLEGORI, HAIBUN REGIS, BERBALAS PANTUN, SERIBU SONIAN, SELOKA, CERINGKAS, MEMORI AIDILFITRI, ADIKARYA, AGRARIA.
3.
ANTOLOGI BERSAMA PENA PADU: GURU SUMBER ILHAM, TRIBUNAL CINTA, BUNGA BANGSA, PERTIWI KERSANI, HUJAN, SUARA KEKASIH, SUARA KEKASIH RINDU
4.
ANTOLOGI SAJAK BERSAMA E-SASTERA: SEKOIA
5.
ANTOLOGI SAJAK BERSAMA KATIL 21; JOM SASTERA
6.
KARYA-KARYA ECERAN:
CERPEN GANDARUSA, SAJAK EMBUN DI HUJUNG DAUN, KUMBANG BERTANDUK HITAM; UTUSAN MALAYSIA.

6.1
SAJAK MENDAKAP RAMADAN; NEW SABAH TIMES.

6.2
SAJAK MENGURAI KEBENARAN, MELAYU MERDEKA BARU ; SINAR HARIAN.

6.3
PANTUN PERBIDALAN; DEWAN BUDAYA DBP

6.4
PANTUN PERIBAHASA; PELITA BAHASA DBP

6.5.
SAJAK AURUM SINAR MENTARI; DEWAN MASYARAKAT DBP

6.6
HAIBUN JIRAN; GEMA KARYAWAN Pk.

6.7
2 SLOT ADILA; RTM/KLASIK FM
6.8
CERPAN ANGGERIK MENANGIS; PTS
6.9
CERPAN PULANG; FUFU TERBIT.


-END-

Friday, September 29, 2017

hijau saujana



HIJAU SAUJANA

Seluas mata memandang
menjengah lembah sawah berpermatang
susuri rimba dara di kaki banjaran
hening sepi bersatu kemenjadian alam
hijau saujana kesuburan
tiada berpenghujung.
Mendamai gejolak membara merah nyala api
membakar rasa cerlang amarah.
kini sirna seraya dibuai alun bayu syahdu
mengipas kesabaran merendam dingin kehangatan
lalu mengurut dada
beristighfar mengenang budi Ilahi
Subhanallah Maha indah.

PARIDAH ISHAK

SELAYANG UTAMA SELANGOR

MENULIS DAN MENULIS...

ASSALAMUALAIKUM...

SEKADAR TULIS SUKA2... 2017

1.
10 ANTOLOGI BERSAMA BANDAR BANDAR DI PERAK KARYAWAN Pk; GERIK, BAGAN DATOH, SELAMA, PARIT BUNTAR, IPOH, TANJUNG MALIM, BATU GAJAH, SUNGAI SIPUT, PARIT dan
ISTANA KASIH 4.

Terima kasih Dr. Zabidin KARYAWAN Pk.
2.
ANTOLOGI BERSAMA SPTA: SAJAK AIDILFITRI, HAIKU PELANGI, HAIKU SAYEMBARA, SONETA, HAIBUN REGIS, BERBALAS PANTUN, SERIBU SONIAN, SELOKA, CERINGKAS, MEMORI AIDILFITRI, ADIKARYA, AGRARIA, CENGKERAMA, MEMORI AIDILFITRI

Terima kasih sifu Tabir Alam

3.
ANTOLOGI BERSAMA PENA PADU: GURU SUMBER ILHAM, TRIBUNAL CINTA, BUNGA BANGSA, PERTIWI KERSANI, HUJAN, SUARA KEKASIH, SUARA KEKASIH RINDU.

Terima kasih Tn AC JAFRIE

4.
ANTOLOGI SAJAK BERSAMA E-SASTERA: SEKOIA
Terima kasih Prof Irwan Abu Bakar.

5. 
ANTOLOGI SAJAK BERSAMA JOM SASTERA
KATIL 21

Terima Kasih  Cikgu Yatim Ahmad

5.
KARYA-KARYA ECERAN:
CERPEN GANDARUSA, SAJAK EMBUN DI HUJUNG DAUN, KUMBANG BERTANDUK HITAM; UTUSAN MALAYSIA.
Terima kasih editor UTUSAN MALAYSIA SABTU.
6.
SAJAK MENDAKAP RAMADAN; NEW SABAH TIMES.
Terima kasih editor NEW SABAH TIMES.
7.
SAJAK MENGURAI KEBENARAN, MELAYU MERDEKA BARU ; SINAR HARIAN.
Terima kasih editor SINAR HARIAN AHAD
8.
PANTUN PERBIDALAN; DEWAN BUDAYA DBP
Terima kasih editor DEWAN BUDAYA DBP
9.
PANTUN PERIBAHASA; PELITA BAHASA DBP
Terima kasih editor PELITA BAHASA DBP
10.
SAJAK AURUM SINAR MENTARI; DEWAN MASYARAKAT DBP
Terima kasih editor DEWAN MASYARAKAT DBP
11.
HAIBUN JIRAN; GEMA KARYAWAN Pk.
Terima kasih editor GEMA KARYAWAN Pk.
12.
2 SLOT ADILA; RTM
Terima kasih Puan Sheila Baharudin.
13.
CERPAN ANGGERIK MENANGIS; PTS
Terima kasih editor PTS.
14.
CERPAN PULANG; FUFU TERBIT

Terima kasih editor FUFU TERBIT.

Monday, September 25, 2017

JANJI PELANGI

ASSALAMUALAIKUM....

JANJI PELANGI

Renyai gerimis merelai
mutiara jernih langit
meleta merata persada
menggusar labuhan sukma
rona biru cita
sirnalah cerah cuaca dipinta.
Mendung mengurudung alam
melakar sketsa tanda tanya
apakah seterusnnya?
Marhaen menadah harap doa mustajab
Cinta-Nya mengukir wajah pelangi
Melapisi alam seluruh
Tanpa gemuruh guruh
merejam senja damai
dengan kekalutan membahang sepi

PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL

PAHANG DM

Monday, July 3, 2017



ASSALAMUALAIKUM

ULASAN ANTOLOGI GURU SUMBER ILHAM OLEH PENULIS NURIMAS DI AKHBAR MINGGUAN MALAYSIA AHAD 3 JULY 017







No automatic alt text available.
Add caption