Sunday, October 15, 2017

POLEMIK HAK

ASSALAMUALAIKUM...

Mengaut nasi hulu seruas,

Tidaklah puas lelahlah sila,

Landak bersenang di tepi paya,

Ikan merenyut remas dihampar,

Setinggi bahu biarkan gangsa;

Laut puisi terlalu luas,

Sudahlah luas dalamlah pula,

Hendak direnang tiada daya,

Bimbag kan hanyut lemas terdampar,

Selagi mahu kuatkan asa.

 

RUKUN NEGARA

Kepercayaan kepada Tuhan 

Kesetiaan pada raja dan Negara

Keluhuran perlembagaan

Kedaulatan undang-undang

Kesopanan dan kesusilaan

 

MENYUSURI REMANG SENJA

 

Tenang langkah menghala destinasi pasti

Aral galangan duga lintasi sedaya mampu

Tegur sapa sekadar salam menyeri ruang suram

Terlupa sudah karangan puspa cinta

Yang dikalung di leher jenjang

Sebenarnya telah gugur kelopaknya

Bersatu  dalam sepi berganti lalu

Tegar hati menguis perih lukanya

Dibebat segulung kain putih

Meskikau suria siangku

Kejora malamku

 

MEMOHON CINTA-MU

 

Hening malam

Selimut dingin membungkus tubuh namun asyik berbuai melambung sekujur diri

di atas buaian dini hari sebelum fajar tasdiq merona lembayung siang

mengayun rasa atma melodi sendu mengalun diksi puitis maha seni

ayat cinta Ilahi. Himpunan lagu syahdu sendu mengait pilu membuak duka

sebak meranum merejam kalbu; renyai gerimis hiba.

Diatas buaian dini hari

ralit berayun masih

Mengharap  susun doa diraup sepasang tangan kurus mohon ampun dosa

reda maha Kuasa moga hijab-Nya terbuka.

buaian hayat berayunan membuai perasaan menggelut kusut keliru memilih keputusan

jantung bergetaran. Mengusir bingung terlalu merusuh resah gelisah

pasrah tawakal istiqomah beriman

Dia penentu segala

Buaian takdir berayunan longlai

Langit jingga senjakala membaca nota riwayat tersurat azali

Berakhir sudah impi

Buaian terhenti pasti

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor  Serendah

13/06/019

 

#sayembaraAkli6/19

KE PULAU HASRAT

 

 

 

Sepenuh kudrat dikerah mahu

enggan impi tertunda

berkejaran dengan waktu yang cemburu memburu

sekarung cita berciciran sepanjang perjalanan

berpatah pulang mengutipnya dengan yakin

masa terlewat menyesatkan arah

 

Pulau hasrat melambai

akhirnya bersandar hingga terlena jendera

kelelahan mengayuh bahtera

mengundang mimpi dini hari.

tidak terdaya menyongsong bayu berpupusan

berkibaran bendera putih

kalah menunggang mimpi

destinasinya kabur.

 

PARIDAH ISHAK

Ulu Jempol

PAHANG DM

 

 

HANYA DENGAN IZIN-NYA

 

KUN FAYA KUN

Maka terjadilah nyata seruan-Nya

Asbab musabab hanya  telahan yang memungkinkan

Tidak patuhi takdir  mengolah rencana

Meski lancang mulut menyumpah seranah

Kala langit  petala tujuh    terbuka

Senjata doa merejam tepat.

Munajat hajat yang   diulang-ulang

Tiada hilang bersalang

Tiada hijab menghalang

Hikmah berlaku sesuatu itu

Rahsia-Nya tersembunyi

Naqli gagahi mencapai erti

Namun kepastian holistik jaluran tanda soal

Detik hari berakhir

Menemukan esok terbaik

Amiin ya Rabb

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah                                                                                                                                                                                                                                 

3/03/019


POLEMIK HAK

Hak apakah itu?
Hak diri meraih bahagia di tanah pusaka
hak diri berselesa sentosa pewaris watan
hak diri mencipta gemilang jaya di negara tercinta
hak diri melaksana impian kebersamaan warga
hak diri menyisir kemelut bergelut mahu
hak diri hindari ribut gejolak gejala ranah
hak damai suasana
hak walafiat sejahtera.
Mampukah diperjuangkan hak diri itu?
sedangkan hak diri semakin dinafi.
Usah terlalu pentingkan diri
demi keutamaan ditentukan
harmoni situasi begitu begini.
Terabailah hak wajar sebenar
Polemik kusut kejap tersimpul
boholnya sukar dirungkai
Toleransi membiarkan hak diri
terhakis perlahan.
Senyum tawar di bibir
merias wajah berbongkol rasa
ralat kejengkelan.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA

SELANGOR DE.

Saturday, October 14, 2017

SERAYA MENGERDIP MATA...

ASSALAMUALAIKUM...

ANCAMAN COVID 19

Adikku Norazlin, kelam kabut sekali pabila pihak sekolah anaknya Danish memberitahunya rakan sekelas anaknya dijangkiti Covid 19. Risau sungguh akan keselamatan anak keduanya itu. Dia bergegas ke sekolah membawa pulang anaknya. Danish kemudiannya dibawa ke hospital Sg. Buluh untuk dapatkan rawatan dan pengesahan taraf kesihatannya sama ada terkena jangkitan itu atau tidak. Kakak sulungnya juga sedang dikuarantin di rumah kerana kawan baiknya turut dijangkiti pandemik Covid 19. Anak-anaknya tidak dibenarkan ke sekolah lagi. Mujur juga esok lusa sudah masanya cuti sekolah semester satu. Kami sekeluarga mendoakan kemasylahatan Ikin dan Danish sihat sejahtera dan terhindar dari wabak yang mengancam kesihatan serata dunia kini. Bersama mendoakan ancaman wabak menggerunkan ini segera diangkat Pencipta. Ujian Allah kepada kita tidak ada siapa yang dapat menduganya.

cuti sekolah –

ruang sekitar rumah

langkah terhenti


Sajak 1

SERAYA MENGERDIP MATA

Tiadalah selainnya
renungan tembus lepasi galangan alang
menyambar persetujuan hati biru
mengusir haru mencelaru
mencari titik hidup yang hilang.

Semesta seluas mayapada
namun sempit menghimpit
menjerit perit sakit.

Episod hari nan berulang keesokan berterusan
dilayar bahtera di samudera rasa
tiada penghujungnya
justeru sepasang kejora bening
mengerdip lesu mengintai cerita waktu.

Selagi nadi berdenyut ada zat
menguji kesabaran tahap mampu
zat yang Esa mencabar ego
memaut pasrah reda.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG  UTAMA
SELANGOR DE

Sajak 2,

MELUCUT  EGO

Berbatas budi di sana sini
menyubur pucuk menghijau bermain bayu berlalu
meliuk tari anggun membuai rasa.
Gugurlah amarah meski hanya kenangan ranum
Menyimpul senyum damai berkuntum.

Batas itu masih di situ
melangut lenguh melihat bergayutan buahannya
bakal menggugurkan rezeki-Nya.

Meski seketul batu dibaling mengenainya
dibayar lontaran kesakitan dengan kebaikan.
Subhanallah!
Terlucut ego demi-Nya
Hadiah dari berbatas budi kepada persona
meski penerima musuh semua.

Dikasehani dengan izin-Nya
Mengenali erti ujian Ilahi.
Memujuk jiwa agar murni
dengan tawadduk doa tulus

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
SELANGOR DE


Friday, October 13, 2017

BUAIAN...

ASSALAMUALAIKUM...


BUAIAN

Di atas buaian dinihari
sebelum fajar tasdiq
Dirona lembayung siang
leka berbuai mengayun rasa
mengalun diksi puitis maha seni
ayat cinta Ilahi.
Himpunan lagu syahdu membiru.
mengulit sendu hingga tersedu-sedu
sebak meranum merejam kalbu.
Diatas buaian dinihari
masih ralit berayun
Meraup susun doa
mohon ampun dosa
reda yang Esa.
Alhamdulillah masih di atas buaian
berayunan membuai perasaan
jantung bergetaran.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA

SELANGOR DE

Tuesday, October 10, 2017

DIRGAHAYU

KONFLIK

 

"Takmalu ke kerja kat situ?" Tutur suaminya sinis. Dia terkedu. Memang benar kakitangan di pejabat tanah rancangan felda itu semuanya lelaki. Cuma dia  seorang perempuan sebagai jurutaip.. Kerana dia seorang perempuan bak mawar yang menyeri alam tentulah dia dilayan sebaiknya.

Hinggakan seorang staff di situ berkira-kira hendak menjodohkannya dengan seorang pegawai luar di situ yang pendiam dan berperawakan sederhana.
"Betul ke awak mahu kalau saya kirakan dengan S?" Tanya cik D. Mereka bersembang berdua berhadapan.

"Boleh saja," balasnya selamba. Tanpa ada rasa bersalah kerana telah menyimpan rahsia tentang status dirinya.
'Kesian kau D, kau tak tahu aku dah nikah.'
Memang tidak ada di antara rakan-rakan sepejabatnya yang tahu dia telah bernikah.
'Jodohku boleh jadi sudah sedemikian suratannya.' Monolognya  lemah bersandar kepada takdir hidup.

"Agaknya apa perasaan S terhadapku sekiranya dia tahu status diriku. Mungkin dia sangat marah dan malu. Marah kerana telah tertipu dengan penampilanku sebagai gadis. Tentu teramat malu kerana secara tak sengaja telah menyimpan perasaan terhadap isteri orang.' Dia termenung memikirkan kesalahannya dan akibahnya.

'Ah!Tak perlu aku nak fikir semua itu. Lagipun aku dah tak ke sini lagi..'
Betullah tu. Esok dia tidak akan ke sini lagi kerana telahpun menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada pengurus sebagaimana yang diarahkan suaminya.


ASSALAMUALAIKUM....

ANTOLOGI DIRGAHAYU SEDEKAD TAKHTA

DIRGAHAYU PAYUNG MAHKOTA

Tinta menulis ceritera sejarah 26 Oktober 2009
balairong Seri Istana Besar Sri Menanti
gema 32 das tembakan meriam bersambung 21 das
merobek sepi hening suasana.

Halaman istana permai permana
lapan bilah tombak tercacang tegak
berserta lapan bilah keris panjang
juga lapan bilah pedang panjang
panji-panji kuning hitam merah
disapa desir angin tujuh hari
terpasang rapi memulai adat
warisan temurun pertabalan.

Permahsyuran  Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir
berlangsung megah menjunjung adat sedekad lalu.

Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke 11
setelah bersiram bersemayam pula di takhta Rencana
jelata terpesona bersukacita
mengamin doa syukur kebahagiaan

Justeru serata ceruk Negeri Sembilan Darul Khusus
dilimpahi rahmat-Nya damai sentosa.

Dianugerahi-Nya hadir khalifah warisan anbia
menunjuk jalan kebenaran
duniawi ukhrawi
adil penuh perhatian
jiwa rakyat ditatang
prihatin kebajikan panca utama.
kesetiaan mercu tulus hati rakyat
menjati rasa.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA

SELANGOR DE

Saturday, October 7, 2017

KEJUTAN...



KEJUTAN SINAR HARIAN AHAD 8 0KT 2017

Sebuah penghargaan bersekali pengiktirafan kepada keterlibatan kak pidah dalam gelanggang penulisan karya kreatif. Mekar bangga dan sebak hati sehingga titis air mata basahi pipi. Terima kasih Puan Nurhidayu SINAR HARIAN atas kesudian menjadikan kak pidah sebagai salah seorang IKON SENI DAN BUDAYA akhbar SINAR HARIAN AHAD walau kak pidah bukan sesiapapun. 
Menjawab semua soalan yang dikemukakan Puan Nurhidayu bukanlah mudah. Ambil masa tiga hari juga baru selesai. Heh…heh…lama tu. Itupun mujur dibantu sahabat penulis cikgu Pauzi yang menyumbang ide bernas. Terima kasih banyak cikgu Pauzi. Sepanjang mengenali cikgu di alam maya fb sudah seringkali cikgu membantu kak pidah. Baik budi yang dikenang abadi.
Terima kasih anak-anak kak pidah yang sentiasa berusaha memahami minat ibu mereka dan memenuhi keperluannya. Memang sukar sangat bagi anak-anak untuk melayani dan menguruskan ibu mereka yang kurang berdaya ini.
Terima kasih sahabat penulis Noorlaila Ghafar yang menggalakan sahabatnya ini untuk rajin menghasilkan karya dan memperbetulkan kesilapannya.
Terima kasih Saniah Masri/Ilham suri dan sahabat-sahabat GBT Yahti Hayati, Nor Azizah Idris, Ct Nurza, Sri Mawar, Russ Asan, Zuraida Dewi, Khaziah Yem dll yang turut berperanan memupuk minat berkarya.
Terima kasih sifu Tabir Alam yang tidak jemu membimbing dan menurunkan ilmu untuk berkarya dengan betul pelbagai genre puisi dll sehingga berjaya menghasilkan susunan antologi pelbagai judul bersama SPTA.
Terima kasih ustaz Ilhami Hisyam memberi peluang kepada kak pidah menerbitkan beberapa antologi bersama BeTA yang menjadi pembuka langkah permulaan untuk giat berkarya.
Terima kasih Dr. Zabidin sudi menerbitkan 10 buah antologi karya sajak bersama KARYAWAN Pk BANDAR BANDAR DI PERAK.
Kalian adalah penyebab keberadaan kak pidah di sini walau hanya sebagai penulis marhaen OKU.  




Tuesday, October 3, 2017

WAWANCARA

ASSALAMUALAIKUM..

Salam sejahtera, 
Saya Ayu dari Sinar Harian.
Tujuan ruangan IKON SENI & BUDAYA ini adalah untuk memberi peluang kepada tokoh-tokoh seni dan kebudayaan berkongsi perihal peribadi diri kepada umum selain bercerita mengenai perkembangan terbaru.
Berikut saya lampirkan soalan yang berkaitan.
Di sini, saya nyatakan soalan-soalannya. Harap dapat perhatian daripada pihak Tuan/Puan.
SOALAN:
1)    Ceritakan mengenai diri anda?
Jawapan: Saya dilahirkan di kg Dulang Kechil, Yen Kedah. Mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan Dulang Kechil Kedah dan Ulu Jempol Pahang. Peringkat menengah pula di Sekolah Menengah Yan, Sekolah Menengah Keb Maran dan Sekolah Menengah Abd.RahmanTalib Kuantan.
Mula giat menulis sejak 1976 dalam pelbagai genre. Karya eceran disiar UTUSAN MALAYSIA, PENEROKA, DEWAN SASTERA.
Setelah berkahwin meninggalkan dunia penulisan justeru kesibukan menguruskan anak-anak dan rutin sebagai generasi kedua FELDA Ulu Jempol, Pahang.
1987 terlibat dalam kemalangan jalan raya di lebuh raya Karak bersama suami dan empat orang anak yang masih kecil. Tika itu anak bongsu baru berusia 50 hari. Menyebabkan koma hampir sebulan, kelumpuhan separa dan hilang suara. Selama tiga tahun terlantar lumpuh dan upaya hidup dibantu suami, emak, ayah, adik-adik, keluarga terdekat, jiran-jiran dan kawan-kawan.  Bantuan keprihatinan amat dihargai, disanjung tinggi dan dikenang selamanya.
Kini setelah diberi Allah sedikit kekuatan mulai menulis kembali. Menaip karya di pc menggunakan tangan kanan yang berfungsi membantu semua keperluan diri seadanya. DIsamping menguruskan anak-anak yang bersekolah rendah dan menengah hingga kesemuanya tamat pengajian.
Alhamdulillah sepanjang 2016-2017 telah berjaya menghasilkan beberapa antologi cerpen bersama penulis tanah air dengan beberapa penerbitan   


2)    Bagaimana boleh terbabit dengan dunia seni & budaya? Bagaimana ia bermula? Sebab apa? Ceritakan dari awal mengenai pembabitan anda dalam bidang ini.
Jawapan: Sejak zaman persekolahan memang berminat dalam sastera dan mengikuti aliran sastera justeru tertarik dengan unsur-unsur keindahan bahasa yang terkandung dalam pelajaran sastera yang dipelajari. Selepas itu sering pula ikuti kursus penulisan anjuran DewanPersuratan Melayu  Pahang dan pernah juga ikuti kursus penulisan cerpen anjuran DBP dibawah bimbingan sifu penulisan Dr Zaharah Nawawi. Rangsangan dan dorongan kerana sering menggauli aktivitis seni sastera menebalkan minat dan tekad menceburi bidang ini. Dan sejak itu saya cuba untuk berdiri sebagai penulis walau tidak dikenali sesiapa. Soal dikenali atau tidak bukan masalah besar bagi saya. Yang penting berkarya dengan minat dan kesungguhan.
3)    Apakah pembaharuan/ kelainan yang dibawa dalam bidang yang diceburi?
Jawapan: Berhubung dengan gaya penulisan tiada kelainan yang cuba ditampilkan. Setiap penulis mempunyai gaya penulisan yang tersendiri. Pada saya mesej yang hendak disampaikan lebih utama. Menggunakan susunan bahasa yang mudah difahami amat perlu. Cuma sebagai penulis era akhir 70-an, saya masih juga meneruskan  cara penulisan gaya penulis lama. Lebih berterus terang tapi agak lunak. Disamping mengekalkan diksi-diksi yang puitis mengesankan kepada pembaca. Gaya penulisan yang selesa pada saya dan mudah dicerna.

4)    Siapa idola anda?
Jawapan: SN USMAN AWANG.
5)    Sebagai seorang penggiat seni & budaya, bagaimana anda melihat perkembangan industri seni & pada masa ini?
Jawapan: saya melihat industri seni sedang berkembang seiring dengan perkembangan  semasa dan keperluannya. Namun pendedahan kepada masyarakat khalayak, saya berpendapat perlu diperkemas lagi. Pelbagai program melalui pelbagai agensi, pertubuhan, badan berkanun, NGO dan sebagainya harus dirangka dengan lebih proaktif supaya perkembangan dunia seni terutama sastera akan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama di kawasan kampung-kampung dan taman-taman perumahan.
6)    Bagaimana pula mahu memupuk orang ramai agar meminati bidang ini
Jawapan:  Kalau ganjarannya agak lumayan jika menghasilkan karya dalam bidang ini tentu tidak susah memupuk minat generasi untuk turut sama melibatkan diri. Mungkin ramai yang berminat untuk turut berkarya dalam bidang seni sastera tapi menjadi tidak tertarik kerana imbuhan pada setiap karya agak kecil berbanding masa yang diperlukan agak lama untuk menghasilkan sesebuah karya kreatif bermutu.  
7) Pada pendapat anda, bagaimanakah industri seni & budaya mampu membentuk negara membangun dan maju? 
Jawapan: Seni itu indah dan halus. Budaya adalah sosio kehidupan. Budaya kita sejak tradisi berseni dan perlu menjati diri setiap warganya. Wajar  industri seni dan budaya dipelihara sebaiknya. Sudah tentu ianya akan mensejahterakan kehidupan kita. Kehidupan harmoni memangkin kemajuan negara.
8) Bagaimana pula industri ini dalam usaha membentuk sikap manusia?
Jawapan: industri yang terbentuk ikhlas dengan niat sedikit sebanyak peranannya mampu memberi bekas kepada sikap positif tentulah dengan karya-karya bermutu dipaparkan sampai kepada khalayak dan mudah difahami.  
9) Pengalaman menarik yang diperoleh?
Jawapan: Sentiasa dapat berkongsi ilmu tentang penulisan dll hasil garapan ilham penulis-penulis mapan prolifik atau baru.
10) Pencapaian terbesar/ hasil karya anda?Senaraikan hasil karya terutama yang mendapat respon paling tinggi.
Jawapan: 1. Memenangi tempat kedua cerpen e-sastera ASEAN dengan judul WARISAN MOYANGKU. Penyampaian hadiahnya di adakan di Cilegon Indonesia.
2.  tempat ketiga sajak berjudul BAHTERA MERDEKA DAN JALUR GEMILANG anjuran penerbitan BeTA.
11) Apakah erti persaingan bagi anda? Bagaimana anda melihatnya? 
Jawapan: Persaingan memang wujud dan menyebabkan mudah berputus asa meneruskan minat dalam penulisan. Namun jika menanggapinya positif, kejayaan pasti menyusul juga.  Isyaa-Allah. Tanpa usaha dan kesungguhan agak susah mencapai jaya. Saya menganggap persaingan merupakan satu perkara yang sihat kea rah perkembangan sastera dan susastera di Negara ini. Kita harus melihat dari sudut positif. Paling penting kita mahu memasyakatkan sastera supaya bidang ini terus hidup yang sekali gus berkembang pesat dalam arus kemodenan sekarang.
12) Apakah yang anda masih belum puas dalam industri ini?
Jawapan: Industri ini tentu tidak dapat memuaskan hati setiap  penggiatnya. Usaha masing-masing saja tanpa jemu akan memberikan hasil yang diharapkan.

13) Harapan anda?
Jawapan: Tidaklah menggantung harapan setinggi gunung. Cuma mengharapkan bidang penulisan ini ramai yang berminat ceburinya kerana tarikan dapat menjana pendapatan sampingan. Dan memeriahkan lagi arena kesusasteraan negara.
14) Sebagai seorang insan istimewa, bagaimana anda mengaplikasikan dalam bidang yang anda ceburi. 
Jawapan: Bergantung kapada-Nya saja apapun. Sekadar membaca dan menulis
karya walau setiap hari apalah sangat. Saya seorang OKU bukan kelainanan upaya tapi sangat kurang berupaya. Namun meneruskan hidup seadanya sambil mencoret suara.
p/s: Mungkin boleh senaraikan biodata diri beserta hasil karya dan emelkan sekali dengan gambar-gambar yang berkaitan. Sekian Terima Kasih.
Antara hasil karya yang telah diterbitkan.
1.
10 ANTOLOGI BERSAMA KARYAWAN Pk BANDAR BANDAR DI PERAK; GERIK, BAGAN DATOH, SELAMA, PARIT BUNTAR, IPOH, TANJUNG MALIM, BATU GAJAH, SUNGAI SIPUT, PARIT.
2.
ANTOLOGI BERSAMA SPTA (SIRI PENERBITAN TABIR ALAM): SAJAK AIDILFITRI, HAIKU PELANGI, HAIKU SAYEMBARA, SONETA ALLEGORI, HAIBUN REGIS, BERBALAS PANTUN, SERIBU SONIAN, SELOKA, CERINGKAS, MEMORI AIDILFITRI, ADIKARYA, AGRARIA.
3.
ANTOLOGI BERSAMA PENA PADU: GURU SUMBER ILHAM, TRIBUNAL CINTA, BUNGA BANGSA, PERTIWI KERSANI, HUJAN, SUARA KEKASIH, SUARA KEKASIH RINDU
4.
ANTOLOGI SAJAK BERSAMA E-SASTERA: SEKOIA
5.
ANTOLOGI SAJAK BERSAMA KATIL 21; JOM SASTERA
6.
KARYA-KARYA ECERAN:
CERPEN GANDARUSA, SAJAK EMBUN DI HUJUNG DAUN, KUMBANG BERTANDUK HITAM; UTUSAN MALAYSIA.

6.1
SAJAK MENDAKAP RAMADAN; NEW SABAH TIMES.

6.2
SAJAK MENGURAI KEBENARAN, MELAYU MERDEKA BARU ; SINAR HARIAN.

6.3
PANTUN PERBIDALAN; DEWAN BUDAYA DBP

6.4
PANTUN PERIBAHASA; PELITA BAHASA DBP

6.5.
SAJAK AURUM SINAR MENTARI; DEWAN MASYARAKAT DBP

6.6
HAIBUN JIRAN; GEMA KARYAWAN Pk.

6.7
2 SLOT ADILA; RTM/KLASIK FM
6.8
CERPAN ANGGERIK MENANGIS; PTS
6.9
CERPAN PULANG; FUFU TERBIT.


-END-