BUNGA-BUNGA ASAP
- Karya: Paridah Ishak.
Syida
Alia menyoroti langkah Akram bersama dua orang
rakan sekelas mereka yang kian menghilang di hujung simpang. Ke mana agaknya
mereka pergi, hatinya tertanya-tanya. Bagaimana hendak mengabarkan keberadaan
Akram, jikalau Mak Midah dan Pak Mizi jiran sebelah rumah bertanyakannya.
Mereka adalah rakan sekelas dan tentulah jikalau dia pulang apabila tamat waktu
persekolahan, Akram juga turut sampai ke rumahnya seperti biasa.
“Pandai-pandailah kau menjawabnya Akram! Jangan sampai ayah
kau melibas kau dengan getah paip sebab marahkan kau merayap merata selepas
waktu sekolah, sudah. Risau juga sebab Pak Mizi ayah kau memang terkenal dengan
sifat garang dan tegasnya.” Monolog Syida Alia, cuba menutup gelisah hati
sendiri.
Sejak kecil, Akram menjadi teman sepermainan Syida Alia.
Sifat ayah jirannya itu tidak asing kepadanya. Walau bagaimanapun Pak
Mizi sering tersenyum, tertawa dan bergurau senda dengan anak-anak mengikut
situasinya. Namun ketegasan mendidik anak-anaknya amat ketara.
Kesemua anak-anaknya mesti belajar bersungguh-sungguh
untuk mencapai kejayaan cemerlang. Ena anak sulungnya kini di semester
akhir pengajiannya di sebuah universiti tempatan di utara. Anak keduanya Eni
pula menyambung pelajarannya di selatan, di sebuah universiti tempatan juga.
Anak-anaknya yang cuma tiga orang itu diberi nama yang pendek saja untuk
memudahkan dia menyebutnya. Pak Mizi sangat praktikal dengan hidupnya. Tidak
mahu perkara-perkara yang leweh.
“Kau dah pulang Syida? Tapi kelibat Akram tak nampak
lagi.” Mak Midah menegur Syida Alia.
“Kami memang balik sama-sama tadi tapi dia melencong ke
tempat lain pula. Mungkin ada urusan penting tu…” Syida Alia menjawab
sejujurnya.
“Apalah urusan pentingnya tu. Tak ingat nak balik makan,
lepas tu ke sekolah agama pula.”
“Sekejap lagi sampailah tu, Mak Cik. Sempat lagi dia nak
bersiap ke sekolah agama.”
Beberapa minit kemudian, kelihatan Akram sedang melaju ke
arah mereka dengan basikalnya.
“Cepat masuk, mandi, makan, solat. Lepas tu gi sekolah agama.
Lambatnyalah balik. Merayau ke manalah tu. Jangan buat gitu lagi, Ayah kau duk
perhati tu. Apa saja dia nampak kau buat silap, siaplah kau.” Ibunya tegas
mengingatkannya. Risau akan berulang peristiwa anaknya itu dilibas rotan kerana
ralit bersama rakan-rakannya hingga lewat malam.
“Kau jangan rapat sangat dengan budak berdua tu Akram.” Syida
Alia turut menegur Akram.
“Maksud kau tentu Zulkifli dan Firdaus kan. Apa pula salahnya
Syida. Mereka tu elok baik .” Akram cuba memberi penjelasan.
“Elok baik sangatlah tu! Kau fikir aku tak tahu
perangai budak berdua yang dah pandai merokok tu. Syida bimbang kau akan
terpengaruh.”
“Mana ada! Kau ni pandai-pandai saja buat cerita Syida.”
“Kalau mereka tu merokok aku tak heran sebab keluarga mereka
memang gitu. Mak ayahnya, abang-abangnya perokok. Kau jangan-jangan dah belajar
merokok dengan mereka.”
“Mana ada!” Akram menyanggah tuduhan Syida Alia.
“Kau jangan buat gitu Akram….merokok kan membahayakan
kesihatan.”
“Aku tahulah! Tak payah susah-susah nak beritahu aku.” Masam
wajahnya ditegur begitu.
“Akram, jangan salah faham. Syida beri nasihat sebab
kau tu kawan baik, jiran terdekat. Syida tak mahu kau hilang arah dan
tujuan. Kitakan msih muda. Jalan hidup kita masih jauh, macam yang cikgu selalu
cakap tu.”
“Iyalah, mak nenek!”
Mak nenek ini sedang setia berada di sisimu Akram.
Monolog Syida Alia menguasai mindanya menerawang ruang kenangan masa yang
telah lama dilewati.
Perpisahan telah lama berlaku di antara kedua-duanya. Syida
Alia diterima bersekolah di asrama penuh ternama di Johor Baharu. Akram
pula menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh di Kuantan. Kedua-duanya
adalah pelajar cemerlang kebanggaan keluarga.
Kini, masing-masing berjaya menghabiskan pengajian mengikut
jurusan pilihan di universiti. Akram memilih bidang pendidikan sebagai
kerjayanya. Syida Alia pula sebagai doktor setelah tamat
pengajiannya selama tujuh tahun di fakulti perubatan Universiti Kebangsaan
Malaysia.
“Kau pasti sangat letih setelah jalani kimo kan…” Akram angguk saja tanpa sepatah
kata.
“Rawatan sakit kau ternyata berkesan setelah jalani
pembedahan, kimoterapi dan makan ubat yang hospital beri. Sel
kanser berjaya dimatikan dan In Sya’ Allah kau pasti dapat jalani kehidupan
seperti biasa dan boleh mengajar semula. Mujur cepat kau dapatkan rawatan di
hospital sebelum kanser tekak kau merebak ke bahagian lain.” Syida Alia
menyambung kata.
Akram hanya mampu mengangguk lagi. Suaranya tidak
kedengaran lantaran peti suaranya telah rosak diganggu virus kanser.
Bergunung-gunung penyesalan menyesak dada kerana perbuatan menzalimi diri
sendiri.
“Menyesal kemudian tiada ertinya, aku yang degil sangat.
Syida selalu beritahu aku, jangan sesekali merokok. Tapi itulah yang aku
curi-curi buat di belakang emak ayahku. Niatku cuma hendak bersuka-suka mencuba
sesuatu pengalaman baru. Perbuatan ini pasti mudah ditinggalkan bila-bila saja.
Itu kataku. Rupanya tidak semudah itu.” Monolog Akram mengimbau kenangan lalu.
Di sekolah berasrama penuh, Akram bertemu pula dengan rakan-rakan
yang sekepala, seiring sejalan dengan pemikiran remaja yang ingin bebas berbuat
apa saja konon tersangat dewasa dan terlebih bijaksana. Pantang tidak dilihat
guru atau pengawas sekolah, rokok sentiasa berasap di mulut. Nikmatnya menyedut
asap nikotin yang berbunga-bunga kepulannya hanya mereka yang merasai.
Beberapa kali Akram pernah ditangkap dan dilibas warden
asrama kerana kesalahan merokok , tetapi dia tidak pernah rasa serik. Tabiat
buruk itu berterusan. Tabiat yang tidak jemu diulang-ulangi. Di dalam
kenormalan fikiran pernah juga dia berfikir, untuk meninggalkan tabiat buruk
yang tidak disukai oleh sesiapa yang pentingkan kemasyhlahatan hidup sempurna
dan kesihatan yang baik. Mungkin setelah berada di ruang universiti kelak
perilaku buruk itu akan ditinggalkannya.
Namun, niat hanya tinggal niat yang tidak tertunai
juga. Di universiti tiada langsung gangguan apa-apa. Tiada larangan
merokok. Merokok di mana saja dibolehkan, kecuali di dalam dewan kuliah
atau kelas tutorial. Tiada siapa yang menegah waima melarang. Asap rokok
berkepul dihembus dan disedut tanpa rasa bersalah sedikitpun. Seronok dan
nikmat. Nikotin rokok pun menebal, menadi salur darah.
Wang yang banyak di tangan setelah berkerja memudahkan Akram
tidak berkeputusan merokok. Badan dan nafas berbau rokok, bibir menjadi
hitam lebam . “Apa aku kisah?”
“Kata kawan-kawan yang tidak merokok aku membazir wang
yang banyak dengan membakar puntung rokok saja. Dengan wang yang terbakar itu
jikalau dikira-kira aku sudah mampu memiliki rumah atau kereta mewah. Cakaplah
apa saja aku tidak pedulipun. Keseronokanku dan keperluanku tidakku kongsi
dengan mereka yang bijaksana bercakap saja tu. Di mana saja atau buat apa saja
pasti terjepit puntung rokok di bibir kecuali tidur atau masuk kelas. Aku
seorang guru. Walaupun aku perokok, tetapi aku tidak pernah merokok di hadapan
pelajar-pelajar. Malah aku sering menasihatkan mereka menjauhi tabiat merokok
yang membahayakan kesihatan itu. Kena ikut apa yang cikgu ajar bukan ikut apa
yang cikgu buat. Heh! Heh! Begitulah kesimpulan guru yang seorang ini. Akulah
tu.” Monolog Akram berlarutan.
Sehingalah Akram disahkan ditulari kanser tekak kerana sering
demam dan tidak hadir ke sekolah melaksanakan tugasan guru . Yang pasti faktor
utama 90 peratus kerana keghairahannya merokok.
Akram berulang alik ke hospital ditemani kakak-kakaknya Ena
atau Eni . Hanya saudara terdekat yang setia menemani saat susah payah.
Kepayahan yang dicipta akibat kecuaiannya mengambil mudah nasihat emak
ayah dan kakak-kakak yang sangat menyayangi. Dan Syida Alia juga.
Akram sedar, Syida Alia sangat prihatin dengan nasibnya.
Tetapi tentu saja dia tidak boleh menyayangi dirinya seperti kakak-kakak. Syida
Alia yang sering memberinya semangat melawan penyakit dan tidak menyerah
kalah walau pasrah dan reda dengan takdir Allah.
“Setiap penyakit ada ubatnya. Hanya perlu ada usaha dan
ikhtiar mencarinya.” Kata Syida, merujuk kepada sabda Nabi Muhammad s.a.w.
Walau penyakit ini kronik dan merbahaya tapi dengan izin
Allah ramai pesakitnya berjaya dipulihkan dengan rawatan yang berterusan. Itu
yang Syida Alia beritahu. Syida Alia tidak pernah menempelak kebodohan Akram.
Bicaranya selalu manis dan melegakan hati lelakinya yang rusuh mendepani
permasalahan penyakit .
Selain jalani rawatan kimoterapi yang sangat meletihkan itu, Akram
juga mengamalkan cara hidup sihat tanpa rokok lagi. Apa saja yang
disarankan, makanan atau herba yang boleh merencatkan pembiakan kenser akan
diambilnya. Sentiasa saja berulamkan dedaunan hijau yang berkhasiat kala makan
tengahari atau malam seperti ulam raja dan buah-buahan yang diakui amat baik
untuk merawati kenser iaitu durian belanda. Jus daun buah durian belanda
juga dikatakan dapat merawat kanser dengan izin-Nya.
Mudah saja mendapatkan bekalan durian belanda yang sering
dijadikan jus tanpa gula untuk merawat penyakit Akram. Beberapa pohon
yang ditanam ayah di belakang rumah mereka di kampung berbuah lebat. Kalau dulu
, langsung tidak pedulikan buah tersebut. Hanya menjadi makanan burung
atau gugur sendiri kala masak, kini sebaliknya. Sentiasa ditunggu bunganya
berputik dan menghasilkan buah untuk dijadikan jus yang enak . Mendapatkannya
di pasaran agak susah juga dan mahal harganya.
Makanan segera seperti sosej, burger dan yang berlabel sodium
nitrate, potassium nitrate mesti dielakan kerana akan menghasilkan karsinogen
yang menggalakkan kanser. Nampaknya makanan segera menyebabkan kematian segera
juga. Kematian itu urusan Allah. Namun kita wajib menjaga kesihatan diri.
Merosakannya tentulah berdosa hukumnya.
Allah tidak menyusahkan hamba-Nya dengan dugaan yang sukar
dilepasi dan luar kemampuannya. Akram memanjatkan kesyukuran. Ujian Allah
itu penuh hikmahnya, membuat dia terasa dekat kepada-Nya. Bermusahabah diri
dengan menyesali segenap kesilapan diri dan dosa-dosa yang dilakukan.
Setiap malam, Akram menggagahkan diri untuk bertahajjud di
sepertiga malam, sesuatu yang tidak pernah dilakukan ketika sihat dahulu.
Dalam sujud dia mengadu dan memohon keampunan.
“Subhanallah … Ampuni hamba-Mu ini ya Allah. Selama ini
hamba-Mu ini terlalu lalai dan alpa. Nikmat kehidupan yang kau limpahkan
kepadaku tidak kusyukuri. Dan aku membuat kerosakan dengan menzalimi
diriku sendiri. Kini aku bertaubat sesungguh hati dan berjanji dengan-Mu tidak
akan sesekali mengulangi kesilapan lalu walau sekecil mana. Berkati niat suci
murniku ni ya Allah.”
“Ya Allah, kurniakan kepadaku pengakhiran hidup yang
baik. Ya Allah, kurniakan kepadaku taubat nasuha sebelum aku mati. Ya Allah,
Tuhan yang membolak-balikkan hati, Kau tetapkan hatiku di atas jalan agama-Mu.
Tetapkan hatiku sentiasa taat kepada-Mu. Aamiin.”
“Aku hantar kau balik ya, kerja akupun dah selesai. Kena
tunggu nak on duty shift malam pula.” Kata-kata Syida Alia
memancung khayalan Akram.
“Aku tak kisah pun. Takut kau yang bermasalah. Aku
masih lama bercuti hingga sakit aku sembuh.” Akram tersengih cuma. Sengihan
yang memudahkan Syida Alia menafsir maksudnya.
“Untunglah kau dapat lama bercuti hingga dua tahun. Macam aku
jangan harap nak dapat bercuti lama gitu. Dapat bercuti sehari dua pun tak
terlepas duty call. Emergency selalu.”
Akram menarik nafas dan melepaskan kelelahannya yang dirasai
menyucuk dadan.
“ Syida, apalah ertinya cuti yang panjang, terpaksa bergelut
dengan masalah kesihatan yang barangkali akan merenggut nyawa bila-bila saja.
Kau, lebih beruntung. Sentiasa boleh bergerak cergas ke mana saja sambil
menabur bakti kepada pesakit-pesakit yang begitu ramai memerlukan rawatan dan
perhatianmu. Termasuk akulah tu.”
Senyuman Akram dirasakan Syida Alia bagai menyatakan
persetujuan bicara monolognya sebentar tadi. Monolog kenangan itu bagai
terapung dan bersatu dalam jiwa mereka. Meskipun tiada siapa yang
mendengarnya.
Syida Alia dan Akram, beriringan bergerak meninggalkan ruang
menunggu di hospital yang masih kelihatan ramai pesakit menunggu giliran
menjalani rawatan. Langkah yang diatur sudah menjejaki tempat parkir kereta.
Ketika hendak membuka pintu kereta, Akram menyandarkan
dirinya ke kereta Syida Alia sambil mengurut-ngurut dadanya dan mengangakan
mulutnya luas.
“Mengapa Akram?”
“Aku rasa aku dah tak boleh nak bernafas Syida…dadaku ini
terasa kosong. Ya Allah apakah hayatku akan berakhir saat ini? Aku berserah
dengan ketentuan-Mu ya Allah… Ampuni hamba-Mu ini ya Allah.”
“Kau duduk dalam kereta, berehat seketika. Mungkin nafasmu
terganggu sebab tersedut asap rokok berkepul sewaktu kita melewati beberapa
orang lelaki yang sedang merokok tadi. Kau memang tidak boleh terhidu
asap rokok. Sabar ya, sekejap lagi pernafasan kau akan kembali normal. Aku
hantar kau balik dan berehat saja. Jangan lakukan aktiviti yang memenatkan.”
Syida Alia menenangkan Akram dan menyapu dahinya yang merenih berpeluh.
“Terima kasih Syida kerana berada di sisiku di saat aku
memerlukan teman yang mengerti dan mengongsi susah payahku.” Kata-kata itu
hanya terluah dalam monolog Akram, bagai tersekat dikerongkongan, tak dapat
diluahkan.
Akram mengerti Syida Alia sangat prihatin kepadanya. Sebagai
doktor dia juga sangat prihatan kepada pesakit-pesakitnya dan sesiapa
saja. Tetapi ramai yang langsung tidak prihatin kepada orang lain dengan
berwenang-wenang sesuka hati merokok dan menghembuskan asap rokok beracun ke
persekitaran awam yang mencemarkan udara maya dan menyebabkan orang lain turut
menderita dengan pelbagai kanser merbahaya, walaupun mereka tiada kena mengena
dengan kegilaan ini. Ah… orang lain yang melakukan, orang lain turut menanggung
akibatnya.
“Kalau hendak merokok pergilah jauh-jauh. Dalam hutan ke.
Racun diri semahu-mahu dan jangan libatkan sesiapa. Apabila sudah di serang kanser
seperti aku, barulah puas hati. Begitulah sikapku kini yang cepat naik darah
kala melihat orang lain perlahan-lahan membunuh diri dengan merokok. Aku
tidak mahu mereka mengulangi kesilapanku yang sangat memudaratkan kesihatan
itu. Penderitaannya terlalu memeritkan bagai nyawa di hujung tanduk.
Hidup ini perlu dinikmati sebaiknya dengan nawaitu yang benar.” Akram
menyambung monolog hatinya.
Akram menghantar emel kepada Syida Alia, menyatakan hasrat
murni ingin menyunting gadis itu sebagai suri hatinya. Dia berharap
sangat Syida Alia tidak akan menolak huluran cintanya. Istikharahnya telah
membayangkan jiran sejak kecil itu adalah jodohnya.
“Benarkah apa yangku lakukan ini. Terasa malu pula mengenang
sikapku yang keterlaluan drastik mencurahkan hasrat yang terpendam. Aku
ternyata tidak terdaya menipu diriku yang telah jatuh cinta terhadapnya.
Justeru sikap baik budinya terhadapku selama aku mengenalinya.”
“Pasti Syida Alia terkejut hingga terduduk membaca emelku
itu. Emel cinta seorang pesakit terhadap doktor yang merawat sakitnya. Kesian
kau Syida. Maafkanlah ketelanjuranku Syida Alia. Jikalau kau menolak hasrat
hatiku pun aku tak kisah Syida. Aku faham siapalah yang mahu berkongsi hidup
dengan pasangan yang akan meninggalkannya bila-bila masa menyahut seruan Ilahi
lantaran kanser.”
Hati Akram berbunga-bunga ceria. Tidak diduga jawapan Syida
Alia yang amat mengejutkan. Gadis itu bersedia dengan senyum manis menyambut
huluran piala haruman kasihku. Terima kasih Tuhan.
Ena dan Eni pula yang tergamam apabila Akram menyatakan
hajatnya untuk melamar Syida Alia. Kedua-dua kakak ku itu turut bergembira
dengan kegembiraan adik mereka yang seorang ini.
“Syida memang dah setuju. Itu akak tak ragu. Tapi bagaimana
dengan mak ayah dia? Sanggupkah mereka benarkan pesakit kanser menjadi anak
menantu mereka. Persepsi orang kita ni lain sikit dik, mereka anggap orang yang
terkena sakit kanser akan mati esok lusa saja. Sedangkan kematian tak kenal
siapa atau bila.” Kak Ena meluahkan kebimbangannya.
“Betul kata kak Ena tu. Adik bukan hanya hendak berkahwin
dengan Syida saja tapi dalam erti sebenarnya adalah seluruh keluarganya.” Akram
tidak menolak kebimbangan kakaknya.
“Jom kita balik kampung berbincang dengan mak ayah kita dan
mak ayah Syida sebelum rasmi masuk merisik.” Kak Eni mencelah.
Ena dan Eni, saling mengangguk menyetujui keputusan yang
dibuat, demi solusi permasalahan adik kesayangan mereka.
“Mak ni terasa malu pula nak bertanya kepada Makcik Ita dan
Pak cik Razi kamu tentang hasrat Akram tu. Kita kan hidup berjiran dah lama.
Nanti apa pula kata jiran-jiran kita yang lain.”
“Apa yang nak dimalukan mak, walau kita jiran dekat tapi
tiada hubungan mahram yang membatalkan perkahwinan.” Ena menyanggah pandangan
emak.
“Syida dan adik sudah sama-sama bersetuju nak berkahwin. Apa
masalahnya pula? Mak dan ayah uruskan sajalah. Bukankah menjadi
tanggungjawab emak ayah mengahwinkan anak-anak apabila mereka hendak
berkahwin?” Eni pula melontar tanya dengan senyuman nakal.
Emak menarik muka. Muncung saja. “Habis kamu berdua tu bila
nak kahwinnya? Ini adik kamu pula yang nak berkahwin dulu. Melangkah dua bendul
sekali gus.”
Ena dan Eni berbalas senyuman.
“Emak ni itu pula yang disibukkan. Kita kan nak
menyelesaikan masalah adik ni. Biarlah adik kahwin dulu dan kami berdua akan
kahwin selepasnya. Mungkin tahun depan jodoh kami berdua akan sampai. Jodoh
pertemuan ketentuan Allah, emak.” Ena terus memujuk emak.
“Hmm! Ialah tu. Mak tak faham dengan sikap kamu berdua. Risau
mak fikirnya. Orang nak masuk minang, kamu tak mahu. Ada saja alasannya.
Sudahnya tak kahwin sampai sekarang.”
“Mak tak payah fikirkan masalah kami, kita selesaikan masalah
adik ni dulu.” Eni turut memujuk.
“Mak ni.. tidak boleh tidak tetap terpaksa memikirkan masalah
anak-anak mak. Sentiasa mendoakan kesejahteraan kamu semua. Adik kamu sakit,
mak tidak putus-putus berdoa, bersolat hajat, mohon Allah sembuhkan sakitnya.”
“In Sya Allah doa mak sudah dimakbulkan Allah.
Syukur Alhmdulillah. Mak tentu tak lupa berdoa agar Ena dan Eni bertemu
jodoh dalam waktu terdekat ni. Dapat pula kami berkahwin tiga beradik serentak
dan tinggallah mak dan ayah berdua saja di rumah ni. Ha..ha..ha..” Ena ketawa
geli hati.
.“Mak pun dah lama tinggal berdua dengan ayah kamu. Sejak
kamu semua bersekolah jauh dan berkerja pula. Tak heran mak semua tu. Yang
penting mak harap sangat anak dara berdua ni cepat berkahwin.”
Akram hanya ralit mendengar bual bicara emak dan
kakak-kakaknya yang kadangkala serius dan adakalanya membuatnya tersenyum
simpul. Baginya hidup ini perjuangan. Memperjuangkannya dengan mengharung
ranjau onak duri sebelum kejayaan dalam kehidupan dikecapi. Sentiasa tegar dan
tabah walau sebenarnya kita ini hamba yang lemah. Permasaalahan hidup ada saja,
begitu begini selagi hayat dikandung badan.
“Kini aku gigih memperjuangkan cita-cita menyunting bunga
idamanku. Bunga yang bakal mengharum seluruh hidupku. Syida Alia, satu-satunya
bunga pujaanku. Semoga bunga itu terus berkembang di taman hati. Tidak
seumpama bunga-bunga asap yang pernah kusedut dan kuhembus nikmatnya, tapi kini
yang kurasa hanya keperitan dan derita jiwa ragaku.”
TAMAT.
No comments:
Post a Comment