CERPEN:
WAD 12A
OLEH: PARIDAH ISHAK
Apabila
tiba hari yang dijanjikan dia bersama
seorang pembantunya membawa aku ke hospital. Setelah sampai di KL dan puas
bertanya tempat yang hendak dituju barulah dapat ditentukan kemana arahnya.
Appointment
yang
dibuat tidak menepati janji. Doktor yang sepatutnya ditemui dan menguruskan
pemeriksaan perubatan diriku telah bercuti panjang entah kemana. Mujur ada
seorang doktor yang sanggup mengambil tugasan yang ditinggalkan doktor
berkenaan. Aku diuji kekuatan minda dengan beberapa soalan matematik asas.
Komunikasinya menggunakan bahasa Inggeris yang mudah.
Seterusnya doktor
menganjurkan agar aku ditahan di wad untuk beberapa ketika. Aku terkejut juga
dengan saranan itu. Walau sebenarnya aku juga teringin merasai pengalaman
berada di sebuah hospital yang sangat terkenal. Langsung aku tidak terfikir tentang
masalah yang akan kudepani kelak. Setakat hanya bergantung kepada kekuatan diri
dan kemampuanya yang tidak seberapa berlandaskan kata-kata doktor itu bahawa
ramai kakitangan perubatan di wad yang akan menjaga aku. Mentelah lagi tidak bersedia dengan apa saja keperluan yang
patut. Tidak ada tuala untuk mengelap air yang sentiasa keluar daripada mulut.
Dan tidak ada sikat untuk menyisir rambut yang kusut. Tidak ada gelas untuk
mengisi air minuman untuk pagi, petang atau malam.Hanya semata-mata membawa
diri dengan pakaian sehelai sepinggang.
Jiran-jiranku terdiri daripada
semua bangsa Malaysia yang pelbagai sakitnya menempati katil. Wad 12A menemukan
aku dengan mereka. Kalau aku boleh bercakap tentu aku dapat berkomunikasi dengan mereka
sebaiknya. Tapi suaraku sudah bertahun hilang. Hilang bersama kemalangan yang
merenggut keupayaan jiwa ragaku yang kualami bersama anak-anak dan suamiku di
lebuhraya pantai timur. Entahlah. Mungkin susun-atur nasibku begitu.
Di sini aku bertemu
dengan Zaitun, Zarina dan beberapa orang jururawat pelatih dan jururawat
terlatih yang memberi khidmat mesra mereka kepadaku dan pesakit-pesakit lain.
Mereka gemar melayaniku. Mengajakku bersembang dengan caraku. Dia meninggalkan
aku sebuah buku nota kecil dan pen. Itulah saja pemberian yang diingatnya.
Dengan pen dan buku itu aku mencatat semua aktivitiku seharian dan sajak-sajak
pendek dan berkonunikasi secara tulisan dengan mereka yang sudi berinteraksi
denganku. Dia memang arif dengan kesukaanku iaitu menulis dan membaca. Jika
tidak ada buku tulis dan beberapa majalah yang dibelinya tentu aku hanya akan
merenung kosong hariku yang berlalu tanpa pengisian apa-apa.
TENUNAN RINDU
Sehari-hari menenun rindu pada keselesaan
sekian lama ia telah berlalu
meninggalkan urat-urat biru
yang menyarati saraf jasad itu
sekian lama tergadai jiwa raga
kesetiaan yang tulus jitu total.
Penamatnya hanya rentetan trajidi
yang tragis.
Sujud bermohon doa
nyah segera semua itu
namun masih juga di sini
di mata ini
di hati ini
sekian lama ia telah berlalu
meninggalkan urat-urat biru
yang menyarati saraf jasad itu
sekian lama tergadai jiwa raga
kesetiaan yang tulus jitu total.
Penamatnya hanya rentetan trajidi
yang tragis.
Sujud bermohon doa
nyah segera semua itu
namun masih juga di sini
di mata ini
di hati ini
Jan 07
Ward 12AHospital Universiti.
Berada di wad dalam
bulan puasa sangatlah memilukan. Terpaksa meninggalkan puasa yang wajib di
bulan Ramadan . walau aku uzur dan ada sebab syarie untuk meninggalkannya tapi
aku sangat suka kalau dapat berpuasa. Namun tidak tergamak pula menyusahkan
mereka yang terlibat, walaupun aku tahu tugasan mereka adalah melayani apa saja
keperluan pesakit-pesakit yang berada di bawah pengawasan mereka.
Hari raya semakin hampir.
Tapi pemeriksaan ke atas diriku belum juga selesai. Setiap hari ada saja
temujanji yang ditentukan. Aku hanya mengikut saja arah kerusi roda ditolak yang membantu membawaku. Pernah
dihantar untuk scan dengan seluruh
tubuh dimasukan dalam alatan scan
seumpama telor yang besar.
Dalam laporan fail yang
aku cuba fahami kandungannya yang tergantung di kerusi roda, bahawa aku
mengalami kecederaan yang serius di otak (broken
brain) dan ada pembekuan darah di situ.
Satu ketika pula aku
disorong ke bilik di mana kepalaku dipasang wayar yang berselirat dan disambung
ke mesin pengimbas yang melukis graf panjang pendek yang tidak aku fahami.
Tulisan di fail juga tidak memberiku sebarang makna justeru tidak memahaminya
suatu apa.
Memang sukar untuk
memahami tulisan doktor. Mungkin doktor tidak mempunyai banyak masa untuk
membentuk tulisan yang cantik kerana masa sangat perlu untuk diberikan kepada
pesakit yang bertali-arus untuk mendapatkan khidmat mereka.
Tulisan cantik atau sebaliknya
tidaklah terlalu dikira. Tapi bagi yang mencari maksud dan makna sepertiku
ianya adalah amat penting sekali dan sangat diutamakan.
Selepas membuat
pemeriksaan di kepala, disorong pula ke klinik mata untuk dibuat pemeriksaan
mata pula, di sini seorang doktor wanita Melayu yang amat ramah meladeniku.
Daripada name tag yang terlekat di
bajunya ternyata beliau ini adalah
seorang professor Universiti Malaya . Hospital ini namanya pun hospital
university dan tentulah ianya mendapat khidmat mereka yang pakar dalam bidang perubatan
daripada universiti yang berhampiran juga. Aku mengagak saja. Sebab bukan arif
sangatpun pengetahuan tentang ini.
Sepanjang aku di sini
memang ada siswa-siswi fakulti perubatan yang datang bersama pensyarah mereka
melawat pesakit-pesakit di sini. Ada saja yang ditanya mereka kepadaku. Mereka
begitu yakin dengan apa yang dipelajari dan kemahuan diri yang ingin dicapai setelah
menamatkan pengajian kelak. Mulalah aku bermuhasabah diri tentang kekuranganku
kerana telah mengabaikan peluang yang memberiku harapan untuk seiring mereka
yang berpendidikan tinggi. Hendak bertaklik kepada nasib semata tidak boleh
juga kerana Allah tidak akan mengubah apapun jikalau yang empunya diri tidak
berusaha sesungguh hati.
Appointment
aku yang terakhir adalah menemui seorang pakar anggota. Beliau membawa aku ke
gym yang dipenuhi alatan yang membantu mereka yang lumpuh separa sepertiku
untuk boleh berjalan semula. Aku diberi keyakinan bahawa aku boleh berjalan
semula. Jurupulih Anggota di situ berpendapat begitu sambil menolongku bertatih
berjalan memegang besi yang disedia daripada melihat gayaku berjalan perlahan.
“Untuk kembali pulih
seperti sediakala tentu mengambil masa,” menurut Jurupulih Anggota yang
membantuku itu..
Tahun ini adalah tahun
ketiga aku berkeadaan begini. Terasa pantas masa berlalu tapi bagiku teramat
lambat pula kerana keberdayaan diri yangku harapkan segera menyongsong tidak
juga kunjung datang. Memikirkan semua itu menyesakkan mindaku. Air matapun
berjurai mengirai kesedihan. Biarkan sajalah. Terima ketentuan-Nya dengan reda.
Mungkin esok, mungkin lusa, mungkin bulan depan, mungkin tahun depan harapan
yang didamba menjadi kenyataan.
Zaitun, Jururawat Pelatih
yang berasal dari Sungai Petani Kedah sering juga menemaniku. Selalu juga
bertanya tentang diriku dan bercerita tentang pensyarahnya yang suka
memarahinya tanpa diberitahu kesilapannya apa.
“Mentang-mentanglah saya seorang pelatih, ada
saja yang nak ditegurnya,” rungutnya.
Aku mendengar saja dengan ralit. Hendak berkomentar pun tidak tahu apa.
Walau dia menjadikan aku sebagai tempatnya meluahkan rasa amarah yang membekam
di hatinya tidak mengapalah. Aku rela menjadi pendengarnya. Sekurang-kurangnya
diri yang lemah dan tidak berdaya masih ada gunanya. Dan masih ada yang sudi
berkongsi cerita denganku.
Namun aku juga tidak
dapat lari daripada kesedihanku bilamana aku sendirian di katil kala tiba jam
12.00 tengah hari. Ketika inilah ramai pesakit yang menerima tamu mereka.
Mereka di kelilingi sahabat handai saudara-mara yang mengasehi mereka. Tapi
tidak aku. Tidak ada sesiapa yang sudi menziarahi aku. Tersedu aku menangis
disebalik tuala yang menutupi wajahku. Seorang porter yang menghantar makanan
seperti selalu menyedari itu. Dia tahu aku sedih dan bertutur manis kepadaku,
mempelawa aku makan.
“Makanlah dik. Jangan
ikut sangat rasa hati sedih.”
Sekadar saja makanan
yang mampu disuapkan ke mulut. Selera telah hilang bersama kesakitan dan
kedukaan jiwa raga yang ditanggung.
Hadir juga tetamu yang
sangatku nanti di sisi katilku. Hatiku yang kecewa teramat pula. Luluh rasa,
sirna ceria. Sebabnya dia membawa seseorang bersamanya. Sesaorang yang amat
penting dan istimewa dalam kehidupannya kini. Tapi bagiku seolah dia membawa
duri kerawat yang mencarik-carik hatiku dan melukakannya dengan parah. Apalah
salahnya kalau dia seorang saja hadir di saat kesendirianku ingin bersamanya.
Mengapalah aku ralat dan musykil kerana keberadaan mereka bersama menemuiku?
Memang wajarpun mereka boleh bergerak bersama kemana saja kerana mereka adalah
pasangan suami isteri yang sah. Langsung tidak ada batas halangannya.
Apatahlagi merekapun baru saja berkahwin.
Tapi tidakkah dia mahu
memberi hatiku sedikit kegembiraan setelah selama ini menghancur-lumatkannya?
Takkan sedikitpun tidak ada rasa belas-ehsan terhadap isterinya yang pernah
sangat disayanginya suatu ketika dulu ini? Atau mungkin sengaja hendak menambah
kelukaan di hatiku dengan lebih parah. Penderitaan yang teramat sangat sehingga
tidak termampu diucap dengan kata-kata. Berterusan merangkai kata mengenainya
hanya teriring dengan derai air mata.
SN Normah yang baik dan
berperwatakan lembut itu bertanya kepadaku tentang kehadiran tetamuku siang
tadi. Dia tidak percaya akan itu cerita sebenarnya. Dan amat bersimpati dengan nasibku. SN Normah
adalah, jururawat terlatih kenalan
pertamaku di wad ini. Orangnya cantik manis. Daripada lorat percakapannya aku
yakin sekali beliau ini berasal dari Negeri Sembilan. Beliau pernahku dengar
menasehati rakan sekerjanya yang mengadu kepadanya kerana keletihan dan
kesebalannya terpaksa melayani kerenah pesakit yang sangat kurang upaya dan
terpaksa dibantu kesemua keperluannya. Ada di antara kes yang ditanganinya melibatkan
pesakit yang memenuhi appointment dengan doctor untuk menuntut pampasan
kemalangan yang mereka alami daripada syarikat insuran yang dilanggani.
Komennya lagi;
“Apalah gunanya
mendapat wang pampasan dengan nilai
tinggi ringgitnya sedang diri sakit terlantar saja di perbaringan. “
Jawab SN Normah yang
baik budi itu dengan lunak;
“Merekapun tidak minta
nasib mereka begitu. Kita yang ada kekuatan dan sedikit kelebihan upaya inilah
yang sepatutnya membantu mereka. Jikalau diri sakit tapi tidak berduit memang
besar masalah yang terpaksa dihadapi untuk menangani kos kehidupan yang mahal
kini. Sekurang-kurangnya dengan wang pampas an yang didapati boleh membantu
mereka membiayai kehidupan atau berusaha pelbagai cara untuk merawat sakit
mereka. Segala-galanya kini perlukan
duit. Susah juga sudahlah sakit tapi tidak berduit. Berat sangat bebanan yang
terpaksa mereka pikul.”
Memang aku sangat
bersetuju dengan ungkapan manis penyejuk jiwaku itu kerana aku tergolong dalam
golongan yang dimaksudkan itu. Tapi berapa ramaikah diantara yang memahaminya?
Hanya SN Normah seorang di antaranya.
Dalam pertemuanku yang
sebentar cuma dengan dia aku sempat berpesan kepadanya agar menjemputku sebelum
menjelang Aidilfitri tidak beberapa hari lagi. Aku tidak pasti samaada
pesananku itu mahu dipenuhinya. Harapanku mudah-mudahan begitulah hendaknya. Setelah
hampir dua minggu berada di bulan Ramadan di katil hospital aku merasa semakin
jelak di sini. Dan tentu ingin sekali segera pulang ke rumah ibu-bapaku menyambut
hari raya bersama anak-anak dan keluargaku.
Renungan menjauh
sehingga kelibat Anne Lai tiba-tiba tersenyum kepadaku sambil menghulur
kepadaku sebuah majalah fesyen. Anne Lai merupakan teman pesaakit yang
sama-sama tidak boleh bercakap sepertiku. Sudi juga dia bertegur sapa denganku.
Beliau baru saja menjalani pembedahan di tekaknya dan kerna itu suaranya tidak
boleh berbicara. Gadis China itu adalah seorang jururawat resepsionis sebuah
hospital swasta dan rajin meminjamkan aku majalah yang dibawa keluarganya.
Zaitun, Zarina dan
ramai jururawat pelatih yang sering melayan bicara bisuku telah berangkat
pulang ke kampung halaman masing-masing hendak menyambut Adilfitri sehari dua
lagi dijangka tibanya. Kelibat SN Normah pun tidak kelihatan. Kenalan-kenalan
yang sering berinteraksi denganku telah tiada. Aku kesunyian, kehilangan
tegur-sapa mereka. Walau sebenarnya memang telah lama aku larut dalam kesunyian
yang melengkungi situasiku kini. Di saat
aku sangat mengharapkan kehadiran mereka yangku rasa rapat dan ada hubungannya
denganku tidak ada yang terjengul di sini. Masing-masing sibuk melayani tuntutan
kehidupan rutin dan membiarkan aku tidak dipeduli.
Dia membawa aku ke sini
dan meninggalkan bebanannya iaitu aku isterinya dan mengharapkan akan dijaga
orang lain kemasylahatannya. Beginikah sikap seorang yang sangat
bertanggung-jawab terhadap keluarganya seperti yang kerap dikatakannya dulu.
Ahli keluarganya adalah mereka yang terpenting dan diutamakan segala-galanya.
Aku ini adalah ahli keluarganya yang terdekat. Kenapa pula sanggup menyisihkan
aku dalam keadaanku seperti ini? Ah! Masih merintih lagi. Sedang nasib yang
mengunjungi tidak harus dikesali.
Aidilfitri yang ceria,
menggembirakan semua tetap juga jelang pabila tarikh yang diumumkan Penyimpan
Mohor Raja Raja bagi negeri negeri di seluruh Malaysia tidak kira aku di mana.
Aku melihat Anne Lai di ujung katil. Dia merenungku sayu seolah mengongsi
kepiluanku menyambut hari bahagiaku di katil hospital. Aku bertanya kenapa dia
kelihatan murung dengan menulisnya di buku nota kecilku. Namun dia tidak membalas apa-apa. Mungkin ada
sesuatu yang difikirkannya.
Tidak ramai petugas di
wad pada hari ini. Kebanyakan mungkin telah bercuti sempena meraikan Aidilfitri
bersama keluarga. Pesakit di wad yang Islam kecuali aku telah dibawa pulang
keluarga masing-masing yang prihatin. Sepatutnya aku juga sudah discharge dari wad tapi tidak ada
sesiapa yang datang menuntutku dan membawa aku pulang ke rumah.
SN Rasnah menjadi
kenalan baruku. Dia kasihan melihat aku masih di wad sedang sepatutnya sudah
dibawa balik. Dia berusaha menghubungi mereka yang ada sangkut-paut denganku
yang berada di sekitar KL untuk segera mengambilku setelah discharge sejak semalam. Tapi banyak pula alasan yang kudengar
menolak kehadiranku. Tidak mengapalah. Mendesak sesiapa saja untuk menerima
masalahku yang akan menyusahkan mereka bukan kugemari. Aku cuma berharap pihak
hospital bersedia membenarkan aku berada di hospital ini sehingga dia
mengambilku semula setelah diberitahu pihak yang berurusan dengannya kini.
Hari raya telah separuh
hari berlalu. SN Rasnah melayani aku makan sambil berbual-bual. “Selama begini barangkali sudah terlalu banyak agaknya
air mataku yang tumpah.” Sayu sekali kudengar susunan frasa tuturnya. Bak kata
pepatah; karam bersama tapi yang lemas seorang. Aku
mengangguk. Kebiasaanku begitulah. Terangguk-angguk untuk mengiakan sesuatu.
Kenalan baruku ini sangat memahamiku rupanya.
Akupun mula menulis
sesuatu tentang dirinya dalam buku kecilku.
Tamat.
No comments:
Post a Comment