Showing posts with label SECEBIS KISAH. Show all posts
Showing posts with label SECEBIS KISAH. Show all posts

Monday, December 31, 2018

ANEKDOT


ANEKDOT

Certot

Oleh

Paridah Ishak

 

KEBENCIANKU

 

Kelemahanku merupakan kebencianku. Seolahnya aku membenci diriku sendiri. Sepatutnya aku menyayanginya sepenuh hati. Dan menghargai diri tanpa perlu dipertikaikan apa saja kelemahannya. Wajar  menerima apa saja kondisi diri seadanya. Bukan sama sekali membencinya.. Kehidupan  itu anugerah Allah terindah untuk hamba-hamba-Nya. Wajib mensyukurinya.

            Tapi semua kelemahan yang memenjarakan kecergasanku menjadikan aku pesimis dan hilang asa hidup. Segalanya berlaku ekoran tragedi kemalangan yang menimpaku suatu waktu dahulu. Lantaran itu aku kehilangan kebanggaan diri yang dimiliki. Tenaga  dan upaya diri sangat minima. Aku tidak lagi boleh menolong diriku sendiri. Apalagi bergerak ke mana hala menunaikan tujuanku. Benci! Benci! Kelemahanku menjadi masalah kepadaku. Juga keluargaku. Benci sungguh. Kemusykilan menyilarati minda kecilku.

Semua keperluanku terpaksa dibantu suami, ibu bapa, anak-anak, adik-adik dan akhirnya cucu-cucu juga. Masa pantas berlalu bersama kebencian yang tidak pernah pupus wujudnya dalam atmaku. Cucu-cucuku lahir dan membesar di samping nenda mereka yang hanya mampu memandang mereka dengan renungan kasih. Sejak mereka lahir mereka sudah kenali nenda mereka seorang bisu. Tapi sesekali lontaran suaraku walau tidak jelas sebutannya mampu mereka menafsirkan maknanya.

            Celoteh dan kerenah mereka membahagiakanku. Hatiku menjerit sakit kala melihat anak-cucuku sakit atau ditimpa malang kerana menyesali akan diriku yang tidak dapat membantu suatu apa. Aku amat terkilan kerana aku tidak mampu menjalankan tanggungjawabku sebagai ibu yang sempurna kepada anak-anak dan nenda kepada cucu-cucu yang mengharapkan aku melindungi mereka. Tapi menjadi sebaliknya pula. Mereka pula yang terpaksa menjaga maslahat dan kebajikan nenda mereka yang kurang upaya ini.

            Menyusahkan sesiapa saja adalah kebencianku. Namun hakikat yang tidak sama sekali kugemari melestarikan hayatku bersambung insya-Allah. Aku hanya reda mengikut arus takdir yang menolakku ke garis penamat ketentuan-Nya.

Aku suka berkebun. Tanaman yang tumbuh membuahkan hasil menggembirakanku. Aktiviti itu hanya tinggal kenangan. .Catatan  kenanganku tersimpan dalam diari. Kala menyelak membacanya aku diulit sedih. Aku benci untuk membaca lembar kenangan itu.

 


#ANEKDOT 1
HANTU NASI KANDAR

Umairah  mengajak aku berjalan-jalan ke tengah kota KL membeli beberapa keperluannya. Setelah mendapat  apa yang terasa ingin dibeli, perutku berkeroncong pula.


“Jom kita pekena nasi kandar kat restoran tu.”

Umairah mengangkat mukanya mengadap aku. Aku perasan selama aku mengiringnya berjalan dia menunduk saja, tidak memperhatikan kiri kanan. Apa masalahnya? Sakit tengkok kot! Ish! Aku mengagak saja.

“Mana kedainya?”

“Tu!”  Kelihatan ramai yang berpusu-pusu ke situ. Agaknya makanan yang dijual di situ tentu tersangatlah sedapnya.

“Ish! Taknaklah ke situ…”

“Kenapa pula?”

“Hisyh! tak mahu aku! Kau tak nampak lembaga besar, hitam berbulu duk tolak orang masuk ke situ.”

“Ishh! Mana ada! Aku tak nampak pun.”

 “Aku Nampak!  Kau tentu perasan kenapa aku jalan menunduk saja. Sebab di sini ramai benda tu. Tak sanggup aku nak jeling pun.”

Ungkapan  Umairah serta-merta meremangkan romaku.

Aku percayakan kata Umairah bukan kerana dia kawan baik aku tapi kerana peribadinya yang sangat baik. Tidak tinggal solat, sering baca alquran juga. Lagipun kita berkongsi alam dengan keujudan ciptaan Allah yang lebih halus dan tidak mampu dilihat mata kasar.

“Kau tentu pernah terbaca di akhbar,  najis ditemui di restoran nasi kandar kan!”
“Hmm apa kaitannya tu?”

“Mestilah ada kaitannya. Segala najis dan tulang-tulang adalah makanan sepsis tu.”

Meloya tekak aku mendengarnya. Terus mati seleraku nak makan nasi kandar.

Mujur aku tidak dianugerahi  pancaindera ke enam yang terus mata seperti Umairah. Sebab aku ni penakut. Kalau terpandang mahu demam tak kebah.

ANEKDOT #2

SALAH SANGKA

Seorang wanita sebaya emaknya kelihatan kalut dan gelabah sekali tika dia dan temannya menghampiri gerainya.
"Tolonglah cik...janganlah roboh gerai saya...saya baru saja buat gerai ni nak berniaga. Saya orang susah cik...anak-anak ramai yang nak disara!"

Dia dan kawannya berbalas pandangan. Tersenyum pula.
"Kenapa kak? Jangan risau...kami ni bukannya pegawai DEWAN BANDARAYA yang datang nak meroboh gerai kak. Kami ni dari UPM Serdang buat kajiselidik sikit tentang alam sekitar kat kawasan pinggir bandaraya ni. Dah penat berjalan menemuramah orang tekak pun rasa kering...itu yang kami berdua singgah kat gerai akak ni."

"Begituke! kak ingatkan awak semua orang-orang DEWAN BANDARAYA tadi...hati dah tak sedap. Bimbang saja gerai kak kena roboh!"

"Kenapa kak risau sangat dengan orang-orang DEWAN BANDARAYA...kak tak ambil lesen berniaga kat sini kot?"
Lirih suara Firdaus ketara sambil melabuhkan ponggongnya di atas kerusi pelastik yang tersedia di situ. Zaliza turut duduk di kerusi bersebelahannya.                                       
"Kita nak berniaga mestilah mohon lesen berniaga kan. Dah banyak kali dipohon...tak adapun jawapannya. Banyak sungguh kerenahnya. Kita ni nak cari rezeki halal...nak hidup. Bukannya nak mencuri...itupun jadi masalah." Wanita itu melepaskan rungutan tentang tidak kesetabilan hidup yang melengkunginya kini.


ANEKDOT #3  
SUATU SISI KAMPUNG FELDA

Kebiasaannya  pada waktu petang menjelang senja, para suri  rumah di tanah FELDA kampungku akan berkumpul sambil bersembang ringan. Ikut   istilah kini disebut ‘membawang.’

"Berapa banyak pendapatan bulan ni Idah?"
"Adalah sikit...kadang dua ribu kadang tiga kadang 4. Ikut jumlah tan buah sawit yang dikait dan harga semasa di pasaran."
Idah bercakap dengan arif sesuatu yang diketahuinya pasti sebagai penerokawati.

"Kau ladang serah pada felda pertanian kan? Berapa yang felda bayar?"
"Adalah seribu...dulu tu felda bayar dekat 1500...la ni felda dah takde duit. Kita nak urus sendiri kita pun tak daya. Lainlah kau ada suami yang rajin uruskan ladang."

"Cukuplah tu kau duduk saja je...tiap bulan duit masuk...lagipun nak buat apa duit banyak-banyak kan...hih..hih..."


'Duit banyak nak buat apa? Duit seribu cukup ke nak berbelanja sebulan. Tambah dengan kenaikan harga barang yang melonjak setiap hari.'  Suara hatinya mengiring senyum tawar. Kak Sah  pula mencelah suara dengan lorat Penangnya.
"Aku nak cerita kat hampa ni...hampa jangan cerita kat orang lain pulak!" Kedua-dua rakan sejiranan tersengih saja tanpa mengaku apa-apa.


"Cerita apa tu sampai kak Sah beria berpesan gitu..."

"Hampa tau sebenarnya bakal menantu Ani tu bukannya peguam...takdak kerja apapun!"
"Mana kak Sah tau? Pandai-pandai jer bawa cerita!" Soal Idah yang memang rapat dengan Ani ragu.
"Aku tahulah...anak saudara aku bukan ke berkawan dengan budak tu!"


"Ishy nampak bergaya je dengan kereta besar takkan takde kerja!"
"Bergaya dengan kereta pinjam!" balas kak Sah sinis.
                 

Di suatu hari.

"Apa yang riuh-riuh kat rumah kak Sah malam tadi?" Ina bersuara.
"Ani dan anak beranaknya bertengkar dengan kak Sah, katanya kak Sah cerita bukan-bukan tentang bakal menantunya..."
"Mesti sebab kau yang sampaikan pada Ani cerita kak Sah hari tu kan!"

Idah tersengih saja.
'

ANEKDOT #4
ARTIS KAMPUNG

"Cantiknya artis ni! siapa ya?" Pancaindera kembaran akhbar Mingguan Malaysia direnungnya tajam seakan mahu tembus.

 "Kan ada tertulis namanya dan ceritanya tu!"balas temannya.
"Eh! dia ni kan anak Pak Haji yang tinggal kat hujung kampung kita tu kan?”

"Ialah kot!" jawabnya ringkas.

 "Wah! dah jadi artis terkenal dia...orang kampung kita tu...bangga juga ya!" dia tersenyum senang sebelum menambah dengan pertanyaan yang menyebabkan rakan bicaranya terpanggung.

 "Macam mana tiba-tiba boleh jadi artis? dia ni rajin sangat berulang solat di masjid...tup tup boleh berlakon filem pula."

 "Apa salahnya...berlakon itu kerjaya dia...bersolat beramal ibadat itu memang wajib sebagai tuntutan agama...pegangannya tentu masih kekal di hati sebab dia pernah kata kat aku...takkan beriman seseorang itu sekiranya hatinya tidak gentar kala nama Allah disebut!"

"Hebat tu...rupanya kau kenal dia."
"Mestilah kenal kan sekampung dengan kita." Dan hatinya terkenangkan nasib malang artis itu yang dianggap sebagai adiknya sendiri.

 Artis f dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarganya. Diterimanya dengan reda walau terpaksa melupakan kekasih hatinya seorang guru yang dicintai sungguh.

Berkahwinlah dia dengan meriah menurut adat dan hukum. namun tidak lama kekalnya. Beberapa bulan saja.

Suaminya yang sering berketayap dan berjubah itu boleh tidak serasi pula dengan isterinya yang cantik ayu itu.

Setelah sah bercerai dia kembali menjalin hubungan dengan mantan kekasihnya. tapi tidak lama juga kerana dia menyedari kekasihnya itu mencuranginya,
Kini memperjudikan nasib sebagai artis filem bergandingan dengan aktor aktress terkenal.

‘Isyh dia ni buat-buat lupa pula yang adik dia merampas kekasih artis ini.’ Gumamnya dalam diam.

ANEKDOT #5

MUSANG BERJANGGUT

"Kenapa kau tak jadi kahwin dengan dia? Pelik juga aku! alih-alih kawan baik kau pula yang ganti tempat kau!"
"Saja...maknanya tak ada jodohlah tu!"

"Mana boleh saja-saja. Bukankah kau dah plan elok-elok nak kahwin. Siap bawa dia dan maknya pergi dating lagi..tup...tup..kawan yang kau selalu bawa bertandang ke rumah dia pula yang dikahwininya. Mesti ada sesuatu yang tak kena ni. Cuba cerita sikit kat aku."

"Mak ayah dia memang setuju aku dengan anaknya tu. Cuma aku minta tangguh masa nak masuk minang sebab nak kumpul duit dulu. Aku kan cuma kerja bawa lori je ...bukannya kaya raya atau anak orang kaya."

"Mak ayahnya tentu tak setuju sebab itu dikahwinkannya anaknya dengan kawan kau kan!"

"Bukan begitu. Rupanya kawan aku pun suka dengan makwe aku tu. Jadi sebab nak tarik perhatian mak ayah dan makwe aku dia reka cerita yang dia ni anak raja yang menyamar, datang ke sini nak menyiasat sebuah perbadanan kerajaan di sini."

"Gitu pulok! bukankah kau kata kawan kau tu anak sinun yang sekampung dengan kau?"

"Entahlah...aku pun tak faham...tiba-tiba boleh bertukar jadi “musang berjanggut” pulak!"

"Dan mak ayah makwe kau pun teruja nak bermenantu waris raja; kau ditolaknya!"
"Hmmm......"



Friday, February 24, 2017

ANTOLOGI KENANGAN...

ASSALAMUALAIKUM....

ANTOLOGI KENANGAN
CATATAN CERITA RINGKAS

SAADAH! SAADAH! SAADAH! SAADAH!

Empat nama Saadah itu ada hubungkaitnya denganku. Saadah pertama tentulah kakak angkatku tika di SMART ( Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib) di Kuantan dahulu. Kak Saadah ini kampungnya di Temai hilir, Pekan, Pahang.

Sering juga aku dibawa kerumahnya bersama seorang lagi adik angkat lelakinya Ruyub yang juga sekelas denganku. Kami semua bersekolah di sekolah menengah Abd Rahman Talib, Kuantan, Pahang suatu ketika dahulu.

Rumahnya terletak tidak jauh dari sungai Pahang yang luas terbentang. Cantik sekali pemandangannya di situ. Sungai Pahang yang mengalir tenang dan meriah dengan aktiviti nelayan sungai yang mencari rezeki dengan menangkap ikan segala cara.

Ada yang suka memancing, menjala atau merawa. Hasilnya tentulah untuk kegunaan keluarga dan selebihnya bolehlah dijual sebagai tambahan pendapatan. Ayah kak Saadah juga adalah seorang nelayan sungai yang berasal dari Sarawak.  

Keluarga kak Saadah juga menganggap aku dan Ruyub adalah anak-anak angkat mereka.
Selesa sekali berada di tengah keluarga yang menerima dan melayan kami dengan ramah lagi prihatin. Tak dapatku lupa akan keenakan asam pedas ikan baung masakan kak Hairani iaitu kakak kepada kak Saadah untuk hidangan makan tengahari kami sekeluarga. 

Sedap sungguh. Ikan baung yang diperolehi bargh/bapa angkatku itu dengan menjalanya di sungai Pahang. memang banyak rezeki yang boleh diperolehi daripada sungai itu sekiranya rajin berusaha mendapatkannya.

Dan khabarnya kak Hairani yang pandai masak asam pedas baung kini seorang pegawai polis.  Kak Saadah kakak angkatku itu telah menamatkan pengajiannya dalam bidang perakaunan di UITM Syah Alam dan menjawat jawatan sebagai akauntan DARA (Wilayah Pahang Tenggara)

Kak Saadah  kedua yang kukenal dengan sangat baik adalah seorang sda(w) felda (Pegawai pembantu wanita FELDA). Beliau ini rapat denganku kerana aku yang pertama dilihatnya tika mula ditukarkan ke kampungku, sebuah perkampungan FELDA.

Perkenalan yang menjalinkan hubungan baik sehinggalah kak Saadah Sarbini ini ditukarkan pula ke felda Bukit Kuantan. Hubungan kami tidaklah terputus begitu saja kerana aku pernah berpeluang ke rumahnya ketika menghadiri Pesta Kebudayaa FELDA yangku sertai dalam acara pertandingan berbalas pantun.

Juri yang mengadili pertandingan itu adalah pelakun terkenal Baharudin Hj. Omar dan pengacara Syerkawi  Jirim.  Punya seronok berpantun sampai terlupa pantun enam kerat yangku gunakan tidak mengikuti syarat pertandingan. Jawabnya terkandaslah aku dan rakanku pada peringkat awal saringan lagi.

Sebenarnya aku dan rakanku mewakili wilayah FELDA Pahang Tengah setelah menjuarai pertandingan berbalas pantun peringkat wilayah. Jurinya ketika itu adalah penulis terkenal, saudara Aripin Said.

Dalam keaktifan aku bersosial dengan aktiviti tanah rancangan FELDA dan persatuan belia juga  kerjayaku sebagai kerani JKKR (Jawatan Kuasa Kemajuan Rancangan), seorang lagi “Saadah” muncul menyalami tanganku.

Saadah Salleh ini berasal dari Melaka dan suaminya adalah pengurus felda Ulu Jempol ini. Iaitu kampung tempat tinggalku. Kak Saadah ini punyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. 

Kadangkala beliau meminta aku menemaninya menghantar anak-anaknya untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran kerana kak Saadah ini agak fobia kalau berada di klinik. Mungkin sebabnya ketika itu beliau sedang mengandungkan anaknya yang ketiga dan alah dengan suasananya.

Sekiranya ada sebarang acara majlis keraian yang diadakan di rumahnya kerana program pejabat suaminya, aku dan beberapa orang rakanku akan bersedia membantu. Mentelah dengan sifat peribadinya  tidak menyombong diri walaupun suaminya adalah orang terpenting dalam masyarakat tanah rancangan felda tempat kami dengan jawatannya yang tinggi.

Kebetulan yang tidak kuduga pula tatkala mengetahui bahawa kak Saadah ini adalah sepupu kepada cikgu Amran guruku di SMKM (Sekolah Menengah Kebagsaan Maran) dahulu. Seorang guru yang sangat baik dan agak rapat dengan sahabatku Aini.

Cikgu Amran sepupu kak Saadah ini akhirnya telah bertemu jodoh dengan sahabat baikku Aini. Guru berkahwin dengan anak muridnya, apalah yang nak dihairankan. Tiada salahnya pun. Percintaan mereka dalam diam diam dipenuhi rintangan kerana sahabatku itu seorang gadis cantik yang sering mencuri perhatian lelaki sebaya yang meminatinya. Sehingga sahabatku itu merasakan dia tersilap memilih cikgu Amran sebagai pasangan bercinta lantaran usia mereka yang agak jauh berbeza.

Aku dan beberapa orang guru, kawan kepada cikgu Amran yang rapat dengan Aini menasihatinya agar melupakan semua gangguan yang merosakan hubungan baik mereka selama ini dengan “buang yang keruh ambil yang jernih.” Akhirnya percintaan mereka lestari dengan ijab Kabul pernikahan..

Aku pun turut bersibuk di majlis kenduri perkahwinan sahabatku itu. Dan rumah kak Saadah dan suaminya dijadikan tempat persinggahan cikgu Amran melakukan persiapannya sebelum bertandang ke rumah pengantin perempuan.
Dan sahabat baikku itu melayari perkahwinannya penuh bahagia di samping suaminya hingga akhir hayat suaminya.

Begitu juga dengan kak Saadah Salleh kakak angkatku yang ketiga itu telah kehilangan suaminya Encik Rusdan Sadri yang telah kembali ke sisi-Nya beberapa tahun lalu. Hanya doa dan al-fatihah kukirimkan kepada kedua-dua Allahyarham yang pernah hadir dengan peranan mereka dalam kehidupanku.   

Di samping jalinan hubungan baikku dengan kak Saadah ini rupanya ada lagi seorang “Saadah” yang akan menduduki senarai kawan-kawanku. 

Kali ini orang “kesihatan” pula. Maksudku Saadah kawan baruku ini seorang Jururawat Desa yang baru ditugaskan di klinik kesihatan tanah rancangan ini. Perkenalan aku dengannya bermula tika aku sering melintasi rumahnya menuju ke tempat kerjaku.

Hasil tegur menegur yang ramah menjalinkan ukhwah persahabatan abadi. Justeru meningkatkan kefahamanku tentang aspek kesihatan dan beliau mengajarku istilah-istilah yang sering digunakan orang-orang kesihatan. 

Beliau ini tinggal berseorangan di sebuah rumah yang disediakan pihak Kementerian Kesihatan berhampiran dengan kelinik kesihatan tempatnya bertugas. Jika ada kesempatan aku akan menemaninya bermalam di rumahnya atau menonton wayang pacak di padang tanah racangan.

Tapi kalau bersama dengannya harus bersedia ditinggalkan sendiri. Justeru beliau sentiasa dicari di mana sahaja beliau berada untuk dapatkan khidmat beliau membidani  ibu yang hendak melahirkan anaknya. Kadang jika ibu yang hendak melahirkan anak itu mengalami komplikasi yang sukar ditanganinya terpaksalah kak Saadah menghantar pesakitnya ke hospital di Metakab atau Kuantan..  

Kak Saadah Lebai Samad berasal dari Temerloh ini berkahwin dengan seorang guru yang mengajar di sini, juga adalah kenalan kami berdua.

Ah! Bertuah dan berbahagia sekali Allah mendekatkan diriku dengan “saadah-saadah” yang kuceritakan ini. Padaku mereka adalah insan-insan berbahagia kerana kebahagian sentiasa mengiringi kehidupan mereka kerana nama yang mereka bawa. Saadah adalah bahasa Arab dengan maksud bahagia.

Aku selalu mendaakan  semoga kalian semua berbahagia seterusnya di mana juga kalian berada walau telah berpisah sekian lama dan tidak pernah lagi bertemu dengan mereka semua. .



Wednesday, January 11, 2017

SKRIP RANGKA 3

ASSALAMUALAIKUM..

Bab 3

Azalina dan Nurhusna berkira-kira hendak mengikuti Nursyafikah pulang ke kampungnya hujung minggu ini sebelum kedua-duanya pulang ke kampung halaman masing-masing setelah menamatkan pengajian peringkat sarjana di university Putra Malaysia Serdang.
Sekarang ini di kampung Nursyafikah buah-buahan sedang bermusim. Lalu dia mempelawa kawan-kawannya itu untuk merasai kenikmatan buah-buahan yang masak ranum di pohon lagi segar sekali. Azalina lahir dan tinggal di bandar KB sementara Nurhusna pula lahir dan membesar di bandar JB langsung tidak pernah merasai suasana alam di perkampungan. Itu yang membuatkan kedua-dua sahabat itu teruja untuk mengikuti Nursyafikah pulang ke kampungnya di Pahang.
“Kau dah beritahu makkau aku dan Suna nak ke rumahkau?”
“Dahku pesankan di angin lalu.”
“Aik! Boleh berpesan-pesan melalui angin pula.”
“Kau ni itupun nak pelik. Maknanya aku dah telefon mak akulah. Dan gelombang udara membawa getaran suaraku kependengaran mak aku. Orang dulu-dulu selalu berkata “kukirim rindu di angin lalu. Mungkin itulah maksud tersiratnya kot. Melalui telepati saja mereka boleh menghantar pesan kepada seseorang. Walau tanpa gajet canggih seperti sekarang.”
“Oh!” Azalina seakan cuba memahaminya.
“Jauh juga kampungkau ya Pikah. Lambat pula aku rasa nak sampai. Dah naik kematu bontot aku rasanya duduk saja tapi masih tak sampai lagi.” Azalina melepaskan keluh-kesahnya. Mungkin tekanan tubuhnya yang tidak langgas bergerak cergas menyebabkan darah berkumpul dan tidak mengalir lancar.
“Sabarlah! Kejap lagi sampailah kita. Tenguk Suna relek saja. Leka dia perhati keindahan alam sekeliling. Kau ni macam-macam saja lah Lin.”
“Tadi tu memang aku ralit sangat duk perati orkid liar yang banyak tumbuh kat tepi jalan pinggir hutan tu, cantik sungguh. Tapi bila keretakau dah mula membelok ke jalan yang bengkang-bengkok macam ular kena palu ini kepala aku dah mula pening. Mual nak muntahpun ada. Menggelombang je aku rasa perut aku ni.” Ketidakseimbangan situasi yang sedang dilaluinya kini sedang mempengaruhi minda normalnya.
“Oh! Kau dah mula mabuk darat ya. Kesiankau. Tak apa kita berhenti sekejap kat gerai buah kat depan tu. Kita minum dan beli limau. Kalau rasa pening elok tonyoh dahikau dengan kulit limau dan makan isinya. Aroma limau mampu membuat saraf otakkau tenang.” Istilah mabuk darat sering digunakan emaknya kala melihatnya pening dan mual tika berkereta dalam perjalanan jauh diulangi menyebutnya kepada Azalina.
“Jauh lagi ke Pikah ?” soal Nurhusna pula dari seat duduk belakang..
“Kaupun dah rasa pening jugak ke Suna?”
“Taklah. Aku okey je. Cuma kesiankan Lin yang dah pening lalat ni.”
“Sabar ya Lin. Kita berhenti sekejap kat depan tu. Jalan kalau bengkang-bengkok gini memang ramai yang tak tahan  perut kalau tak biasa. Aku dah biasa sangat jadi dah mentan. Lagipun inilah satu-satunya jalan menghala ke rumah aku. Nak tak nak kena lalu juga.”
Nursyafikah memarkir kereta kancilnya yang kecil berurna biru itu di pinggir jalan berhampiran sebuah gerai buah-buahan. Kelihatan tiada pelanggan yang mengunjungi gerai itu selain mereka bertiga. Ada durian yang dilonggok dengan label Musang King. Jenama durian yang agak mahal harganya dan amat popular kerana keenakan rasanya yang pahit manis itu.
Rambutan gading yang kuning dan rambutan merah anak sekolah juga diikat kemas menanti pembelinya. Dokong, duku, langsat, rambai juga berlonggok mengikut bahagiannya. Bentuk buah-buahan itu seakan tapi berbeza rasanya. Bagi yang mengenalinya langsung tiada masalah untuk memilih mana satu yang disukai.
“Kau berdua nak makan durian Musang King ke? Ralit saja duk perati.”
“Taklah! Cuma terkejut tenguk harganya. Kanmain mahal lagi, 80 RM sekilo.” Balas Suna.
“Apa nak hairan Suna. Barang baik, harganya mesti mahal. Lagipun inilah rezeki pedusun setahun sekali. Durian ni bukannya berbuah tiap masa.”
“Sekarang ni dah banyak durian klon yang berbuah sepanjang tahun Pikah. Genetik durian dah diubah para saintis pertanian. Mudah saja kalau nak makan durian bila-bila masa. Asal ada duitnya heh..heh..” Nurhusna menyanggah kenyataan sahabatnya itu.
“Aku rasa nak beli buah dokong untuk makkau. Tapi aku tak kenal yang mana satu. Nampak semua serupa saja langsat, duku, dokong, rambai tu. Kaulah pilihkan Pikah.”
“Tak payah Lin. Semua buah-buah yang dijual kat sini ada kat dusun belakang rumah aku. Limau madu dan belimbing besi pun ada. Aku cadangkankau beli limau saja untuk legakan tekak kau yang mual tu.Kalaukau rasa nak termuntah baik kau muntahkan isi perutkau tu sekarang. Barulah kau rasa selesa sikit. Jalan bengkang-bengkuk ni tak lama lagi habislah di kawasan perkampungan orang Asli di hujung tu. Jalan menghala kampung aku lepas tu lurus saja hingga ke muka tangga..”
“Belum rasa nak termuntah lagi cuma pening sikit.” Azalina memicit-micit dahinya.
“Sabarlah Lin. Sapu minyak kaki tiga kat dahikau. Nah!” Nursyafikah mengunjukan botol minyak angin kecil itu setelah mengeluarkannya daripada tas sandangnya.
“Dah tak sabar nak jumpa makcik Ina makkau Pikah.”
“Aku tahulah sebabnya tu. Mestikau nak korek rahsia mak akukan!”
“Ish! Tak adalah Pikah. Pandai sajakau ni main teka-teka. Tapi makkau tentu tak lokek berkongsi kisah hidupnya kalau aku bertanya. ”
“Pandai-pandaikau lah Lin”.
“Aku dah oder ABC ni…jomlah minum.” Ajak Nurhusna mengeraskan suaranya agar didengari sahabat-sahabatnya yang agak berjauhan jaraknya darinya.. Kedua-duanya segera tinggalkan pangkin yang sarat dengan aneka buah-an tempatan itu menuju ke tempat Nurhusna yang menanti sahabat-sahabatnya di meja yang dihidangkan tiga mangkok ABC oleh pemilik gerai itu seorang gadis muda sebayanya.
“Sedap nampaknya ABC ni. Macam-macam yang diisi dalamnya. Lebih dari tujuh jenis tu.”
Azalina menguis-nguis ais yang disagat halus sambil cuba membilang-bilang satu persatu kandungan ABC itu. Ada kacang merah, kacang tanah, sagu kasar, sagu halus, cendol, agar-agar, buah kembang semangkok dan lain-lain lagi yang tidak dapat dipastikan namanya.
Ketiga-tiga sahabat baik mula menikmati ABC/air batu campur yang melegakan kekontangan tekak mereka sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi tujuan mereka.Kancil biru telah membawa ke destinasi yang ditujui mereka bertiga dengan selamatnya. Salina menyambut kehadiran anaknya dan tetamunya dengan wajah ceria. Tersenyum simpul menyambut salam sambil bertanya khabar.
“Besar juga rumahkau ya Pikah. Kau cakap dulu rumahkau pondok buruk je. Pandaikau menipu ya.”
“Rumah besar tapi tiada isinya. Sama juga tarafnya dengan pondok buruk Lin. Dahlah jangan soal lagi tentang tu. Mak aku dah siapkan bilikkau orang. Pergi masuk sana nak baring ke nak salin baju ke. Lepas tu kalau terasa nak makan durian pergilah ke dapur. Mak aku dah kumpul durian gugur segala jenis nama untuk kauorang. Rambutanpun ada sikit mak aku kait.”
“Yeke Pikah? Memang tak sabar nak rasa ni,” balas Nurhusna.
“Tapi aku rasa nak mandi dulu segarkan diri Pikah. Baru selesa sikit. Lega semua keletihan urat saraf badan.”
“Suka hatikaulah Lin. Bilik mandi sebelah bilik ni saja. Pergilahkau berdua mandi segarkan diri. Lepas tu kau orang ke dapur ya. Mak aku dah sediakan segala macam hidangan untukkau orang tu.”
“Okey Pikah. Selepas mandi aku ke dapur. Kautak nak mandikah Suna.”
“Nak juga. Pergilahkau dulu..”
.Sambil membantu mak cik Ina menyiapkan hidangan makan malam riuh saja kedua gadis itu bertanya begitu begini kepada tuan rumah. Mak cik Ina melayan setiap pertanyaan tetamunya itu dengan ramah.
“Besar juga rumah mak cik ni. Mak cik tinggal dengan sesiapa lagi. Tak Nampak sesiapapun selain kami.”
“Mak cik duk dengan adik Pikah.tah kemana dia merayau tak balik lagi. Sorang lagi adik Pikah sedang belajar di UITM.”
“Ya adik Pikah yang belajar kat UITM tu kami pernah jumpa. Selalu juga dia datang melawat Pikah di rumah sewa kami” sahut Azalina sambil melirik Nurhusna.
“Rumah ni dulu ramai penghuninya. Sebab tu dibina besar. Tapi la ni dah berkurang bilangan nya.” Salina merenung jauh seolah dihadapannya terentang lorong kehidupan berliku yang pernah ditempuhinya. Tujuh warna pelangi yang mengindahi kehidupannya dan anak-anaknya telah dilitupi mendung gelap. Tidak kelihatan lagi. Hanya insiden yang mencalari ruang langit kehidupannya tidak daya dilupakan.
Dialah jantung hatiku satu-satunya. Tiada dua tiada tiga. Seluruh keperluanku, keluargaku, anak-anakku hanya tergantung kepadanya. Tidak kasihankah kau kepadaku yang tidak punyai apa-apa sepertimu yang ketara miliki segalanya. Mengapa tidakkau biarkan kehidupanku lancar berterusan tanpa gangguan yang kautimbulkan.

Pilihanmu adalah hakmu menentukannya. Mungkin langsung tidak ada apa salahnya untukku pertikaikan.  Tapi ada sudut-sudutnya yang boleh dipersoalkan kewajarannya. Hakmu pastikau pertahankan dan begitu juga aku. Selagi termaktub aku berhak terhadap sesuatu itu akanku pertahankan sehabis kudrah.

Suratan pula menentu takdir-Nya. Usahaku sudah bersungguh mempertahankan hakku dan anak-anak agar tidak direnggut daripada genggaman tanganku dan diberikan  sebagai anugerah teristimewa kepadamu pula.  Apalagi yang dapatku kata selain merenung penuh sayu berbaur sesal teramat.

Barangkali kau merasakan tidak pernahpun mengambil apa-apapun yang menjadi milikku kerana jasad yang berjiwa, berhati nurani kadangkala bolak balek hatinya dan keputusan yang diperhitungkan tidak semenggah yang didambakan.
Itulah kemungkinan besarnya yang berlaku kepada diri pilihanku dan kini adalah diri pilihanmu. Pertarungan, pergelutan, pergolakan yang menimbulkan kerusuhan jiwaku angkara olahmu

terpaksaku hadapi dengan air mata berlinangan kesedihan. Habis apalagi yang mampuku buat selain menjuraikan air mata kesedihanku. Sungguhkau tidak berhati perut.  Langsung tidak kasihan kepadaku. Astaghfirullah! Berdosanyalah aku mengadilimu begitu. Hak Allah hendakku ambil pula buat menambah dosa yang sedia ada.

Namun suara hatiku selalu membisik begitu di dalam dunia sedar dan lenaku. Melupakannya, menghambatnya jauh agar tidak berlegar lagi di rongga-rongga kalbuku mengelirukannya dan meninggalkan efek negatif telah berusahaku laku.
Terngiang-ngiang jua masih. Memeningkan, membingungkan.

Harus kuingat danku sedari bahawa diri kesayanganku, kecintaanku itu bukan lagi siapa-siapa denganku dan tidak layak bagiku merasai luhur sucinya seni halus jiwa itu.
Sifat terlalu mencntai itu walau lumrah dan telah ditanam Allah ke dasar sanubari kita tidak seharusnya melebihkan  pula rasa cinta kepada yang berhak sesungguhnya terhadap rasa cinta kepada Allah Azzawajalla. Mencintai seseorang tidak salah. Tapi harus berpada-pada.

Laluku pujuk hatiku dengan berkata sesuatu yang tersurat takdirnya ada hikmah yang membawa rahmah. Sendirianlah aku. Walau sepi, walau sunyiku tanggung sendiri. Terlalu berat sangatkah masalah itu bagiku? Rasanya tidakpun jika aku reda.. Hidup perlu diteruskan walau ujian-Nya merintang sepanjang perjalanannya.

Kesedihan, kedukaan tidaklah selalu membentuk mendung hitam yang menabiri alamnya sehingga sentiasa sangsi dan ragu untuk mengatur apa saja perancangan ke arah kehidupan sebaik mungkin. Suratanku sejak azali begitu takdir-Nya. Dan kuterima dengan reda. Jikalau telah reda semata tidak perlulah lagi ada sifat iri antara sesama kita. Biarkan perjalanan hidup kita lancar berterusan ke destinasi akhirnya tanpa olah tanpa bantah.

Siang malam bergantian dan kitapun leka menjalani urusan tanpa memikirkan permasalahan antara kita. Tidak langsung mahu mengambil peduli apapun lagi yang bersangkutan dengan masalah yang telah ditinggalkan bersamaku. Justeru ia adalah semata-mata masalahku saja. Tiada kena mengena denganmu dan diri yang telah jadi pilihanmu itu.

Yang diinginkan berlaku sebgitu tidak pula jadi begitu. Jauh pula menyimpang daripada sasaran sebenarnya. Hendak mengalih sasaran ke arah yang betul tidak tahu pula. Pening kepala memikirkannya.Sudahnya kerisauan yang mengganggu fikiran seakan mengheretku sasau. Kesasauan yang tidak diingini akal sihat normal. Mengenangkan nasib malang anak-anakku menggapai masa depannya laksana anak-anak orang lain seakan kabur sekali jalan yang dilalui mereka merusuhkan hatiku.

Mengapa tidak mahu menafkahkan anak-anak darah dagingnya sendiri sedangkan ayah kepada anak-anakku itu tidak berkurang suatu apa. Tentu tidak akan menjadi miskin kerana menyara kehidupan anak-anaknya yang bertiga yang masih kecil itu. Diri yang telah menjadi hakmu kini juga adalah hak anak-anaknya sejak mereka lahir ke dunia. Dulunya mereka dimewahkan dengan kasih sayang, perhatian rapi segenap segi ayah kesayangan mereka sebelum kau hadir kerana ayah mereka orang berada.

Kini setelah hadirmu jadi sebaliknya pula.
Membiarkan bekas isteri yang tiada harta sepencarian yang ditinggalkan walau sedikit buat menyara hidup semua zuriat suaminya mampukah dilakukannya. Nescaya langsung tidak. Marah sungguh bekas suamiku yang kini adalah suamimu kepadaku hingga sanggup menganiaya aku dengan tidak menafkahi anak-anaknya lantaran kemahuanku memohon perceraian di mahkammah syariah.

Jikalau marahkan aku janganlah libatkan anak-anak darah daging sendiri menanggung akibat daripada kemarahan itu.Namun tidak dinafikan memang ada suami yang tahu tanggungjawab mereka, tetapi sengaja tidak mahu beri nafkah kerana dalam diri mereka telah tertanam sifat mahu balas dendam terhadap bekas isteri yang telah bertukar jadi musuhnya.

Ada juga beri alasan tidak bekerja ataupun telah berkahwin baru dan mereka tak mampu untuk beri nafkah anak.
Tapi ayah kepada anak-anakku itu tidak tergolong dalam kalangan mereka yang tidak
berkemampuan yang boleh dijadikan alasan untuk mengelak bebanan tanggungjawab yang semestinya dipikul.
Apa perlunya suamimu itu memusuhi bekas isterinya yang sudah dibuangnya ini?  
Anak-anak adalah nasabnya yang tidak boleh dipertikai sampai bila-bila. Amanah Allah yang miliki 7 petala langit, 7 petala bumi dan seluruh alam ini kepada seorang yang bergelar bapa kenapa dipermudahkan saja?

Apakahkau memain peranan sebagai jarum penyucuk agar diri pilihanmu itu membenci anak-anaknya? Menghembus mantera yang dibawa angin  menyelinapi lubuk hatinya?  Peranan angin yang membawa pesanan kepada minda adalah fakta yang sukar dipertikai. Boleh jadi aku hanya berprasangka tapi kemungkinan itu sentiasa ada. Semoga apa yang kurasakan hanyalah fitnah bisikan syaitan durjana.
Pengabaian nafkah sara hidup kepada anak-anak suamimu itu amat memenderitakan kehidupan mereka yang selama ini tidak pernah merasainya sepanjang hidup di samping ayah kesayangan mereka. Hairan pula dengan perubahan sikapnya yang berlaku dalam masa semalaman itu.
Agaknyakau telah sihirkan diri pilihanmu itu agar membenci anak-anaknya sendiri? Ish! Sekali lagi hatiku dirunyam sangkaan-sangkaan yang sukar ditebak kebenarannya. Walau segalanya adalah langsung tidak mustahil lantaran sifat ilmu pun ada dua. Ada hitam ada putih. Sejak purbakala keujudannya dan firman Allah menegaskannya di dalam lembaran surah-surah alquran yang suci. 

Paranoia pula aku melebihkan rona situasi yang melengkungiku sehingga fikiranku bercelaru bersimpang perenang.  Entah kemana halanya destinasi tidaklah pasti. Namun kesulitan corak kehidupan yang terpaksa didepani anak-anakku membuat fikiranku sering diganggu tanggapan yang bukan-bukan.
Ah! Melayan perasaanpun tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Lebih baik aku mengerah mindaku berfikir bagaimana aku mahu meneruskan kelangsungan hidup daripada tiada kepada ada. Untuk sesuap nasi demi anak-anak tersayang aku terpaksa membuat apa saja perkerjaan yang mendatangkan imbuhan sesuai dengan apa yang kulakukan. Di subuh hari sudah terbongkok-bongkok menoreh getah. Sebelum embun jantan yang luruh ke daun beransur kering bersedia pula dengan timba yang akan mengumpul susunya dan membawanya ke tempat pengumpulan untuk pemesinan susu getah setelah dibekukan.

Sekerat hari masaku berada di mandala kebun getah yang redup buat mengais sedikit rezeki Allah. Mujur juga ada tanah getah pusaka yang sekangkang kera diwariskan gemulah kedua ibapaku. Dapatlah aku mengais rezeki di atasnya. Kelelahan tubuhku tidakku pedulikan dengan mengupayakan tenaganya yang telah berkurangan itu dengan mencangkul tanah untuk bercucuk tanam pula.
Hasil tanamanku kelak bolehlah dijual untuk memenuhi sedikit keperluan hidupku dan anak-anak. Cili padi, terung, kangkung, keledek, ubi kayu sentiasa ada di batasnya. Tanaman yang mudahku urus dan agak rentan dengan serangan penyakit tumbuhan. Selain menambah pendapatan dapat juga menjimatkan belanja sayur di dapur dengan tidak hanya membelinya saja.
Ayam dan itik turut diternak untuk dapatkan telur dan dagingnya. Sesekali atau selalu lebih tepatnya keluargaku berlauk telur pelengkap hidangan santapan. Pandangan sepasang mata yang keletihan tubuhnya samar dan kabur namun setiap malam tanganku ini sentiasa bermain bersama jarum, benang dan gunting untuk menjahit pakaian tempahan mereka yang berhajat.
Karya jahitanku tidaklah terlalu kemas dan cantik tapi yakin sajalah dengan kemahiran diri yang sedikit itu. Mentelah hanya itulah ilmu yang ada untuk dimenafaatkan sebaiknya demi kelangsungan hidup. Ilmu kemahiran hidup yangku perolehi darpada kelas Sains Rumah Tangga sewaktu bersekolah dan kelas jahitan di kampung anjuran pihak berwajib kugunakan sebaik mungkin.
Susah payahku tidaklah berpanjangan setelah anak-anakku semakin dewasa dan mendapat pendidikan hingga ke menara gading melunasi setiap impian ibu bapa.

Melakukan kebiasaan yang melekakan membuatku terlupa dengan cabaran hidup dan masalahnya yang perlu diselesaikan demi masa yang berlalu. Mendung yang menabiri ruang kehidupanku semakin berarak lalu. Sekitar suasananya telah cerah indah, biru lagi mendamaikan. Syukur Alhamdulillah di atas karunia-Mu ya Allah.
Seseorang berdiri di muka pintu. Kusambut huluran tangannya sambil tersenyum berbudi bahasa. Tidak asing padaku wajah yang hadir ke sisiku itu. Cuma aku tidak tahu apakah tujuannya menemuiku. Adakah nawaitunya bermaksud baik atau sebaliknya. Hati perut orang masakan dapat ditebak isi kandungannya.
Meneka-neka pun tiadalah gunanya. Biarkanlah dulu pertanyaan tentang itu berladung dalam hatiku menanti jawapannya dengan sabar. Terkedu seketika. Tidak tahu pula untuk memulakan perbicaraan.
“Kau sihat Ina? Dengar khabar kau hendak ke Mekah. Ini yang aku datang menziarahi kau ni. Bukankah kau ni sahabat aku.”
Hmm…sahabat aku rupanya diri yang terhenyak di atas sofa ruang tamu rumahku ini. Aku pun sudah terlupa bahawa dia adalah sahabat lamaku. Sahabat yangku kongsi susah senangku bersamanya.
Riang bercerita dengan gelak tawa pengalaman apa saja. Sering pula menemaniku menghabiskan percutianku bersama anak-anak dan mantan suami kecintaanku di mana saja. Jalenan persahabatan antara kami amat erat dan akrab. Aku merasakan hatiku berkata bahawa dialah sahabatku dunia dan akhirat. Harapanku terabadi selamanya. Adakalanya panas tidak sampai ke petang dan hujan menyimbah pula di tengaharinya.
Musnahlah harapan yang dipertaruhkan. Sahabatku dunia akhirat yang dibayar suamiku suatu ketika dulu sebagai guru tusyen anak-anakku tidak pernah akan kuduga sanggup bermain mata dan bermain cinta dengan suami sahabat baiknya sendiri. Setelah permainan cinta berlangsung dengan jayanya dikejutkan aku dengan berita perkahwinan mereka di sempadan negara.
Sahabat baikku dunia akhirat ini juga telah memberi kata dua kepadanya supaya memilih antara dua. Samada memilih aku isteri pertamanya atau dia. Mendengar itu akupun tidak mahu menyusahkan lelaki pilihan yang menjadi rebutan itu dengan cepat-cepat mengajukan permohonan tuntut cerai di mahkamah syariah.
Firasatku mengatakan tiada guna mempertahankan perkahwinan yang telah menipis rasa cinta antaranya. Perkahwinanku pun termansuh dengan izin-Nya. Gelaran ibu tunggal yang ditinggal dengan penuh kerelaanpun melekat kejap pada diriku. Relakah diceraikan? Sedihnya hanya hati yang merasainya.
“Bilakah kau hendak bertolak ke Mekah?”
“Tidak lama lagi dengan penerbangan MAS yang keenam.”
“Maafkan semua salah sillapku ya Ina…sampai di sana jangan lupa berdoa supaya sahabatmu ini juga akan ke sana.”
Berlapang dadakah aku untuk menerima tuntutan maaf hamba Allah ini yang terlalu banyak melukis warna kesedihan di atas kanvas lukisan hidupku ini? Insya-Allah! Jesteru perjalananku menemui-Nya tidak mahuku membawa urusan-urusan yang menggendalakan sebarang niatku kelak. Lagipun ganjaran Allah justeru memaafkan kesilapan sesiapa saja yang menganiayainya teramat besar. Dan nikmatnya tidak mampu didustakan. Sifat iman yang kental.
Manis dan molek sungguh susun atur bicara wanita anggun ini. Seolahnya antara kami tiada kisah yang terjadi mengoyak rasa. Tenang dan nyamannya hubungan persahabatan bagai air di tasik biru di bawah malam disinari cahaya rembulan.
Aku yang mendengarnya hanya tersenyum polos.
“Kau bila pula nak ke sana. Duitpun sudah juta-juta.”
“Belum sampai seru lagi kata abang. Dan masih banyak ringgit  yang perlu dicari untuk bekalan masa depan nanti.”
Bersyukur sungguh aku kerana Allah memilihku menyahut seruan-Nya untuk bertamu ke tanah suci-Nya walau aku tidak kaya dan seadanya saja.
Renungan Salina menyapa wajah di sisinya. Citra dilayar mindanya sirna.
“Wah rajinnya anak-anak berdua ni tolong mak cik kat dapur ya. Mari duduk dulu. Mak cik nak cerita sikit kenapa rumah ni besar tapi tak ramai yang duduk sini.” 
Mak cik Salina menceritakan serba sedikit secara kasar tentang kisah kehidupannya kepada kedua-dua sahabat baik anaknya itu.
Tapi tidak keseluruhannya. Cerita sebenarnya banyak yang dirahsiakannya. Dan Azalina mula membuat kesimpulan akan mengapa agaknya Nursyafikah terlalu teliti dalam pemilihan jodohnya. Dan kenapa sahabatnya itu menolak pernyataan cinta kawan-kawan lelaki sekuliah yang berminat memenangi hatinya.
“Kau dengar cerita mak cik Lina tadi?”
“Mestilah dengar. Kan aku ada bersama tadi.”
“Patutlah Pikah tu memilih sangat. Rupanya bimbangkan nasib yang menimpa emaknya, menimpanya pula. Bak kata orang tak mahu pisang berbuah dua kali.”
“Sekarang pisang dah boleh berbuah dua kali kalau kita pangkas pokok tanpa tebang hingga perdunya. Akan keluar sulur baru dan berbuah semula. Kan untung tu.”
Keduanya tertawa pula. Sama-sama gelihati menafsir perumpamaan yang tidak dikira releven pada mereka dalam situasi semasa.
“Sudahlah jangan bersembang lagi. Aku dah ngantuk sangat ni.”
Dan malam yang memberi kerehatan pada tubuh manusia mengurangkan oksigen pernafasan kerana tumbuhan alam melepaskan kaban dioksida ke udara maya menyebabkan nyenyak terlena sehingga dinihari. Fajar membuka tabir subuh demi detik waktu berlalu.