Tuesday, October 18, 2016

PULANG

ASSALAMUALAIKUM...

CERPEN:
OLEH PARIDAH ISHAK
                                                                           PULANG

LELAKI itu melongo di depan pintu. Menjuntai kaki di anak tangga berubin marmar. Renungannya menjauh. Melepasi rumah-rumah, pohon-pohon, gunung-gunang serta awan gemawan. Seraut wajahnya telah lama sirna cerianya kembali cerah berkaca. Ada senyum kecil tersungging di sudut bibir. Dia berdiri. Tegap dan gagah. Di sinilah! Dia angguk menyetujui, Amat pasti sekali.
Kepalanya tunduk menjenguk lopak air yang semakin kering-kontang. Dari dalam lopak yang pekat berselut itu terjengul janggut-janggut yang sangat dikenalinya . Serasi dan sebati dengan kehidupannya. Sekian lama. Sejak dia tahu beradaptasi dengan kehidupannya. Kain pelikat digulung tinggi, sebentar lagi sesuatu mahu diraihnya. Selipar jepun yang lusuh yang disarung kakinya sudah ditinggalkan  di atas batas. Kaki yang tidak berlapik tidak lagi ragu menerjah lumpur.
“Banyaknya ikan,” bibirnya mendesis perlahan. Dengan sangat berhati-hati tangannya dicelupkan ke lumpur lalu merasai sesuatu dan memegang kemas seekor keli hitam berkilat. Dia perlu berwaspada kerana kalau tersilap cara duri keli pasti menyengat. Bisanya tetap terasa walau tidak seteruk sengatan semilang. Sakit tetap sakit. Ikan keli pun ada berjenis-jenis. Ada yang kulitnya kuning cerah dan ada yang hitam atau kelabu. Bolehlah memilih mana satu yang digemari selera masing-masing. Baginya lebih menyukai keli hitam darpada keli kuning cerah yang agak liat isinya. Keli dan semilang rupanya seakan walau berbeza latar kehidupan. Kehidupan keli di air tawar sedang semilang berhabitat di muara laut berair masin.
Namun semangat seharusnya tidak  patah. Kalau takut disengat keli alamatnya tidak merasalah berlaukan ikan yang sangat nikmat ini. Apalagi ianya adalah anugerah alam yang percuma. Hanya perlu sedikit usaha sahaja. Sepasang tangannya ligat menggagau. Satu persatu isi lumpur  pekat  itu dikeluarkan. Dicampak di kawasan tanah kering yang mulai merekah di sana sini kerana musim kemarau sedang berterusan kini. Penangan el-nino. Menjadikan hawa panas dan sekitarnya garing kering. Perubahan cuaca kini sukar terduga dan langsung tidak menepati musim yang dijangka seperti selalunya.
Pak Hamid tersentak. Peluh yang mercik di dahinya tidak dapat disekanya. Sukar hendak melakukannya kerana sepasang tangannya cemar berselut. Melihat pasti apa yang digenggam kedua-dua tangannya. Dia memegangnya kuat dan erat. Matanya bulat merenung. “Besaqnya!” haruan sebesar betisnya itu membuatkannya terhenti seketika daripada aktivitinya.
‘Ah! Cukuplah. Syukoq Alhamdulillah.’ Putus hatinya mungkin. Sudah lebih memadai untuk dijadikan lauk hari ini. Selebihnya bolehlah dikeringkan. Ikan darat yang dikeringkan digoreng atau dibakar sedap amat baginya kalau dimakan bersama pulut atau nasi tika sarapan pagi. Dia mencapai sebatang jerami kering. Jerami kering kelihatannya membusut di sana sini sekitar bendang yang saujana luas pandangan itu setelah kerja penuaian padi usai dilakukan. Satu persatu ikan-ikan itu dicucuk dengan batang jerami. Kini serangkaian ikan-ikan yang pelbagai jenisnya tergantung di situ. Ada sepat benua, haruan, keli, puyu, belida. Ikan haruan yang paling besar diasingkan daripada yang lain.
Alangkah sedapnya kalau berlaukan haruan ‘bantut’ hari ini. Berangan dia seketika. Isterinyalah yang akan memasak resepi tradisi kesukaannya seperti selalu itu. Resepi hasil air tangan isterinya itu tiada tandingannya keenakannya bagi seleranya sejak lama. Kalau anak-anak perempuannya yang ingin memasak ‘haruan bantut’ kesukaannya pastinya tidak dibenarkan isterinya. Justeru isterinya itu tahu dan faham akan selera suaminya.
Haruan besar itu proses awalnya akan disiang, dibuang sisik; dibelah perutnya dan dikeluarkan segala kotoran di dalamnya terlebih dahulu. Kemudian dibersihkan hingga hilang hanyirnya dengan mengisar perlahan bersama asam gelugur, garam dan daun serai. Setelah diyakini kebersihannya isterinya itu  akan menyediakan bumbu yang akan disumbat ke dalam belahan ikan haruan itu. Segalanya teradun daripada campuran serai, kunyit, cili kering, bawang merah, bawang putih, lengkuas, jintan manis, jintan putih yang digiling halus bersalut dengan kelapa tua yang dikukur.
Rempahan yang digiling menggunakan batu giling warisan keluarga turun temurun membangkit aromanya tersendiri  mengait rasa. Diikat kemas pula dengan kulit pelepah kelapa muda yang halus dijadikan tali sebelum dipanggang di atas bara api tempurung kering. Harum semerbak  aroma ‘ikan haruan bantut’ yang sedang menanti saat diangkat pemanggangnya daripada atas bara api untuk dihidangkan sebagai santapan tengahari. Dia berkira-kira sambil menelan liurnya sendiri.
Pak Hamid menapak pulang. Lopak berlumpur yang masih banyak ikan di dalamnya ditinggalkan. Berenang bebas lagi  ikan-ikan itu walau di dalam selut. Biarkan rezeki Allah yang banyak itu dikongsi hamba-Nya yang lain pula. Tidak perlu tamak mengaut semua rezeki-Nya sebagai milik seorang. Demikian prinsip Pak Hamid selalu. Menjati diri santunan peribadi mulia.
Dalam keadaan cuaca yang sangat panas terik kini tanah lopak berselut  yang terbentang di bawah sinar mentari berhaba itu pasti akan kering juga seperti tanah bendang di sekelilingnya. Retak merekah di sana sini. Ikan-ikan di dalamnya tentu akan terus membenamkan dirinya lebih jauh ke dalam tanah. Andaian Pak Hamid begitulah. Jikalau tidak dari mana pula datangnya ikan yang banyak aneka jenisnya kala air hujan memenuhinya kalau ikan -ikan itu turut mati bersama kering kontangnya bendang.   Tentu tidak ada lagi ikan- ikannya. Tapi menjadi sebaliknya pula. Begitu yang bermain di fikiran Pak Hamid. Samaada benar atau salah perkiraannya itu langsung tidak jadi persoalan kepadanya. Hanya Allah yang maha mengetahui. Wallahualam. Langkah pulangnya diatur tenang, riang, berbahagia membawa impian di hatinya.
Hujan rintik halus. Sebentar kemudian telah riuh gemaannya berjatuhan menimpa bumbung rumah. Di halaman, Saerah berlari-lari anak menarik kain jemuran di ampaian. Fenomena yang sering dilihatnya. Bukanlah ganjil. Pak Hamid melingas sekelilingnya. Gobek sirih berima sekata menyapa sunyinya. Senyumnya yang tadi terorak lebar kini hilang. Wajahnya kembali pekat tidak beraura. Tapi redup sayu. Imbauannya yang sekilas itu telah terpadam warna suasananya. Kembali dirinya berada di dalam sedar situasi yang melengkungi dirinya.
“Kita ni dah lama duk sini. Mengkala  agaknya Saerah tu nak hantaq kita balik?” ulangnya bertanya entah untuk kali yang keberapa. Mak Inah mendengarnya. Walau ucapan itu kerap terbit daripada mulut suaminya dia tetap member i perhatian. Dia sangat faham apa yang ada di hati suaminya itu. Tidak pernah dia berkata, “lagutu saja duk sebut seluloi.” Suaminya itu pastinya tersangat rindu pada kampung halaman yang lama telah ditinggalkan. Dia juga sama. Sentiasa terkenangkan rumah kayu usangnya yang  tersergam, bertiang dan bertangga walau tidaklah secantik rumah batu Saerah yang dibina di atas tanah. Rindu hatinya untuk kembali
berada di dalamnya hanya dia dan suaminya yang maklum. Ingin merasai kembali kembali kenikmatan alam semula jadi tanah tumpah darahnya.

Dusun buah-buahannya di kaki gunung Jerai seakan menggamitnya pulang. Tanah bendangnya di hulu sedang apa agaknya sekarang? Kalau musim mengerat padi sudah selesai tentu  senang menangkap ikan di petak bendang yang masih berair. Rindunya dia hendak melakukan itu, Terkenang sewaktu mudanya bersama rakan sebaya bersama mengerat padi yang kuning meranum dan mengemping padi pulut di malam bulan mengambang penuh. Paling tidak dilupainya tentulah  pertemuannya dengan jejaka kacak yang sedang membanting padi di bendang serelung besar milik keluarganya. Pertemuan sekilas pandang yang membawa mereka ke pelaminan justeru jejaka itu telah terpaut hati dengan gadis yang berlindung wajahnya disebalik kain batik yang diselimpang namun menutup kepalanya.
‘Awat susah sangatkah hangpa hendak paham perasaan, kemahuan dan kesukaan orang tua macam ayah dan emak hang ini Saerah? Ayah hang pun duk seluloi ulang  habaq kata hatinya. Hantaqlah ayah dan emak hang ni balik   Saerah oi.!’ Keinginan Mak Inah itu terbenam diam di dalam hatinya saja. Tidak pula diluah suaranya. Walau hakikatnya serupa. Dia tetap tersenyum riang melayani kerenah anak menantu. Kadangkala ada anak cucu cicit yang datang bertandang.
Pada Mak Inah dia tidak perlu mengulang lagi apa yang disuarakan jelas suaminya itu. Saerah juga pasti faham dan tahu. Dia pun bukan muda lagi. ‘Cuma aku ini emak. Aku dan ayah hang jugak  ada rumah tangga yang hendak kami pertahankan. Kami mai sini cuma sebab nak makan kenduri kahwin   Ani cucu kami. Bukan mai nak duk dengan hang. dan mati kat sini. Di kaki gunung Jerai, aku dan ayah hang dilahirkan, di situ juga aku dan ayah hang ingin dikuboqkan. Di sanalah dunia kami, impian kami, kebahagian kami. Tolonglah hantaq kami balik. Kami sudah cemoih di sini walau bagi hang ianya adalah syurga kehidupan dunia hang. Tapi syurga dunia  kami di sana. Di sebuah rumah tua di sebalik pohon-pohon kayu yang rimbun di mana gunung Jerai tercacak megah.’ Mak Inah erkenangkan kampung halamannya yang indah permai dengan hamparan bendang saujana pandangan mata, berdekatan juga dengan laut Selat Melaka dan dusun buah-buahan di kaki Gunung Jerai. Sempurna sekali keindahan alam semula jadi ciptaan-Nya yang ditelusuri alam kehidupannya selama ini.
Bergentayangan di layar mindanya pelbagai kenangan manis mengusik ingatannya. Sesekali dalam keuzurannya tetap berusaha menunggu durian gugur di pondok di dusun bersama suaminya. Kegembiraannya menikmati saat begitu meriangkan hatinya. Durian tembaga, durian kucing tidur adalah kegemarannya.  Dimakan bersama pulut berkuahkan santan segar dan dimaniskan dengan sedikit gula amat enak rasanya. Dan beberapa lagi jenis durian akan berbuah lebat pabila tiba musimnya.
Begitu juga dengan rambutan, cempedak, langsat, pulasan jentik, remia, manggis lebat dan meranum di pohon kala tiba musimnya menjadi rezeki kepadanya dan suaminya dengan menjualnya kepada peraih buah-buahan yang sering keluar masuk kampung membelinya.. Atau kadangkala suka benar hatinya dapat menumpang motor anak cucunya ke hulu melihat bendangnya. Dapat melihat saja pun sudah puas rasanya walau dia tidak berkudrah lagi mengusahakannya. Bendang miliknya dan suami yang dibeli secara berdikit-dikit hasil kerja keras semasa muda kini diusahakan anak-anak dan cucu-cucunya yang tinggal di kampung. Anak cucu di sana juga baik-baik semuanya terhadapnya. Selalu dapat merasa beras baru dan ikan -ikan dari bendang. Juga yang baru naik dari laut dihantar anak cucunya.
Tragedi  tsunami yang mengorbankan ribuan jiwa pada 2004 juga turut dialami suaminya yang bercerita kepadanya akan kisah yang amat menggerunkan itu. Cuma takdir Allah yang memelihara diri suaminya daripada musibah yang tidak diingini berlaku.
“Hang tau masa tu aku dapat ikan banyak sangat. Ikan tenggiri, ikan gelama, ikan temenung , ikan lemuduk dan macam-macam ikan lagi penuh dalam bot kecik aku tu. Masa tu aku pi ke laut soghang saja. Takdak sapa-sapa mau pi ke laut masa tu. Maklum masa tu depa kalut duk punggah padi nak bawa pi jual kat kelang.” Mak Inah masih sabar menunggu suaminya meneruskan cerita pengalamannya berhadapan suasana tsunami yang menggerunkan dan mengejutkan peristiwanya yang berlaku laksana kiamat kecil itu.  Menggemparkan seluruh dunia kejadian yang mengorbankan ratusan ribu mangsa di negara Asia Tenggara dan meranapkan nusa Aceh Indonesia hingga laksana padang jarak padang tekukur.
“Tiba-tiba ombak besaq mai. Dia angkat bot aku tinggi lepas tu dia letak balik. Beberapa kali ombak duk angkat duk letak lagutu. Aku takut tak tau nak habaq dah. Tak renti-renti aku berdoa. Kalau aku matipun aku ghedo. Bersyahadah berselawat tak ghenti. Mujuqlah ombak tu tak tolak bot aku hanyut tengah laut tapi terus ke pantai. Syukuqlah aku selamat. Dapat lagi balik ghumah jumpa dengan hang. Kalau dak tentu aku dah berkubuq dalam laut.”
“Hish! Apa cakap lagu tu. Ajal maut tu Allah punya kosa. Kitapun tak tau di mana tanah kuboq kita. Tapi harapnya di tanah kampung kita ni, senang anak cucu kita nak mai ziarah.”
Untuk menyatakan kesyukuran dirinya terhadap Allah swt yang menyelamatkannya daripada bencana tsunami yang dilaluinya Pak Hamid dan Mak Inah mengumpulkan anak cucunya  dan mengadakan kenduri doa selamat yang dihadiri seisi kampung.
Lembaran kisah tsunami terselak lalu. Masakini sedang Mak Inah renungi dengan mata hatinya.
‘Aku dan ayah hang memang uzuq. Sakit tak ghenti. Maklum kami sudah tua merga. Tapi kami tak mau hidup menyusahkan orang lain. Biaqlah kami hidup dengan cara kami sendiri. Setakat untuk memasak makanan dan mengurus diri sendiri kami masih bulih buat. Takdak masalah apapun. Hidup lebih kurang seadanya tapi kami sangat bahagia. Hidup secara orang tua merga.’ Mak Inah bermonolog panjang mewakili fikiran suaminya. Penamatnya di situ. Namun tidak berdaya diterjermah bahasa bibirnya. Hanya beku di situ. Di hatinya. Menggumam perasaan selagi dia dan suaminya tidak dihantar pulang ke kampung halaman yang sangat dirinduinya..
Saerah bersimpuh di sisi suaminya. Mak Inah dan Pak Hamid juga berserta. Masing-masing mengadap sajian petang di serambi. Sentuhan angin mulus nyaman dingin menyapa tubuh mereka yang berada di serambi dan dedaunan pun berayun.  Suasana hari redup dan tenang.
“Saya dah janji dengan Ani, bila cuti dia akan hantaq mak dan ayah balik ke kampung.”
“Mengkala tu?” Tanya Mak Inah pendek. Suka benar hatinya menerima perkhabaran yang sangat dinantinya itu walau kebenarannya tidak dapat dipastikan lagi.
“Cuti sekolah nanti.”
“Lambat lagi tu ghasanya.” Pak Hamid mula menghitung, ‘aku di sini sudah lima bulan. Cuti sekolah ujung bulan sebelas. Maknanya kena duk tunggu sebulan lagi. Lama sungguh tu….’ Wajahnya kelat.  Sirna aura yang bercahaya.
“Balik dengan bas sudahlah. Toksah nak tunggu Ani. Menyusah dia saja.” Mak Inah memandang suaminya. Usulannya itu hanyalah untuk melegakan kegelisahan yang ketara di wajah suaminya.
“Tak bulih, mak, ayah! Tak bulih balik naik bas. Mak dah tak laghat. Ayah pun bukan kuat sangat. Kalau apahal berlaku, sapa yang nak tulung.” Larang Saerah. Sedang suami Saerah hanya diam membatu. Tidak membantah, tidak juga mengiakan. Seakan langsung tidak berminat dengan persoalan yang menjadi perbicaraan mertuanya dan isterinya. Hanya menjadi pendengar setia.
“Abang Majid ni mata dia tak berapa awas sangat kalau bawak kereta. Kalau dak dah lama kami berdua pi hantaq mak dengan ayah balik. Kalau bawak kereta kut dekat boleh ja. Ni nak balik pi Kedah nun jauh sangat tu.” Saerah lancar saja mengutarakan permasalahan sebenarnya sedang penerimaan ayahnya lain pula.
Tercuit juga hati kecil Pak Hamid mendengar apa yang dikatakan anaknya. ‘Aku sedaq sapa diri aku. Juga setakat mana upaya yang aku ada. Susahnya kalau sudah tua merga lagu ni. Apa yang hendak dibuat lebih banyak menyusahkan orang keliling. Allah bagi kat aku umuq yang panjang dan aku perlu ghedo dengan takdir-Nya. Toksah duk keluh kesah walau dugaan-Nya buatku seluloi ghnsing. Astaghfirullah.ampuni hamba-Mu ini ya Allah.’ Keresahan yang melanda hatinya dilukis monolog mindanya.
Saerah juga sedih melihatkan keadaan ayahnya yang tidak seceria awal kehadirannya ke rumahnya dahulu. Kelihatannya sentiasa murung. Hajatnya ingin menjaga kedua emak dan ayahnya meniti akhir usia mereka. Tidak mahu lagi membiarkan ayah dan emaknya menyara kehidupan dengan mencari rezeki sendirian. Samaada ke laut, ke bendang atau ke dusun di tepi hutan . ayah dan emaknya tidak layak lagi melakukan kerja sebegitu walau pada anggapan kedua-duanya amat ringan. Lagipun sudah lama emak ayahnya membanting tulang demi kehidupan. Dan sudah tiba masanya mereka menikmati usia tua mereka dengan berehat dan beribadat smbil dijaga anak cucu. Dia menyimpan hasrat itu dan ingin melaksanakan tanggung-jawabnya sebagai salah seorang anak kepada  emak dan ayahnya. Bilakah lagi jasa, budi baik yang bertabur di batas kehidupannya selama ini oleh kedua-duanya dapat dibalas. Itupun kalau boleh dilakukannya sebagai anak yang mengenang budi dan jasa orang tuanya.. Rasanya payah pula walau dia telah merekakarya pelbagai alasan. Dia sangat mengasihi ayah dan emaknya itu. Melepaskan kedua-duanya pulang serasa lompong jiwa raganya. Namun kehendaknya tidak mampu mengatasi keinginan emak ayahnya yang ternyata kuat.  Bak kata perbidalan lama ‘bujur lalu melintang patah’ Maksudnya apa saja galangannya akan dilepasi demi menunaikan hajat dengan pasti. Apalah dayanya lagi. Kemahuan emak dan ayahnya terpaksa diikuti jua.
Sambil minum sambil bercerita isu semasa lewat sebuah Wira biru metalik yang membelok dan berhenti tiba-tiba. Enjinnya yang menderum  keras mencemarkan sunyi alam. Menarik perhatian untuk dipandang.  Masing-masing menjenguk ke halaman mengawasi persekitaran. Saerah bingkas bangun daripada duduknya untuk memastikan siapakah yang dijangka hadir menjadi tetamunya. Tersenyum Saerah kepada  suaminya dan emak ayahnya. Riang hatinya menyerikan wajahnya.
“Ani dan Adi balik tu.”
Kepulangan Ani dan suaminya Adi menggembirakan yang menyambutnya.  Sepasang suami isteri itu segera menaiki anak tangga yang cuma tiga takah setelah membolos diri dari kereta yang dipakir di sudut halaman rumah keluargnya.
“Kata cuti sekolah baru nak balik?” ucap Saerah.
“Dapat pula cutii lebih cepat mak.”
“Bolehka lagu tu.”
“Boleh ja asai betoi sebab musababnya.”
“Untung jugak kerja cikgu no…. bulih cuti ikut suka.”
“Untung ghugi sama banyak mak oii dengan kherjanya yang menimbun tak tau nak habaq apa.”
Saerah berlalu ke dapur dan kembali dengan membawa dua buah cawan yang beralas piring. Menuangkan  air kopi dari dalam teko ke dalam cawan-cawan itu pula.
“Minumlah Adi, Ani…makan kuih tepung talam yang tok hang buat. Sedap sangat tu. Resepi kuih lama dari ayaq tangan orang lama.”
“Ish! Sedapnya kuih tok. Nanti tok ajaq Ani lagu mana nak buat tepung talam ni no.”
“Makanlah Ani, Adi tak sedap manapun kuih tok buat tu.”
Ani dan Adi tersenyum sambil melirik pandang Pak Hamid. Tenang saja kelihatan wajah tokwan mereka kepada kedua-duanya. Tersenyum sedikit membalas pandangan cucunya itu.
“Esok kita balik Kedah tokwan, tok.” Ani memegang tangan tokwannya dan mencuit pipi toknya. Memeluk toknya dengan erat penuh kasih sayang. Mak Inah juga membalas rangkulan cucunya itu dengan lebih kemas lagi. Pertautan kasih sayang sedarah sedaging yang abadi dirasakan menyatu diri kedua-duanya.
“Sungguh ka Ani?” Tanya tokwannya berserta senyum yang terorak lebar. Girang sungguh hatinya. Matanya bersinar. Wajahnya cerah berseri. Inilah khabar yang sangat dinantinya. Kedua-dua tangannya meraup wajah seraya mengucap syukur Alhamdulillah.  Segera pula dia bingkas bangun.
“Nak pi mana pulak tu tokwan. Duklah dulu kita sembang-sembang sat.” Adi bersuara lunak.
“Cepatlah bersiap apa yang patut. Esok tak kalut sangat.” Pernyataan Pak Hamid kepada isterinya menjawab pertanyaan Adi.  Mak Inah bingkas segera daripada duduknya, mengekori langkah suaminya dengan akur. ‘Apalah yang ada yang hendak disiapkan pun.’ Getusnya dalam diam. Gelagat kedua-duanya mengundang senyum di bibir dua pasang suami isteri itu.
“Toksah duk kalut sangatlah mak ayah. Nanti cek tulong siap semua. Mai duk sembang-sembang dulu. Isuk dah nak balik. Nanti takdan pulak nak kata apa.” Mak Inah dan suaminya kembali melabuh duduk.
“Tiba-tiba saja nak balik Kedah awatnya.” Majid yang selama ini berdiam saja melantunkan suaranya.
“Abang Adi ada kursu di Langkawi. Kebetulan nak ke sana bolehlah bawa tok dan tokwan balik. ” Pengurus firma swasta itu mengangguk membenarkan kata-kata isterinya.
“Ani pun nak ikut pi sekali. Mohon cuti lulus pulak.” Jelas Ani tergelak. Seronoknya dia. Anganannya selama ini untuk menjengah pulau Mahsuri itu akan termakbul. Kisah Mahsuri seorang isteri yang setia kepada suaminya lagi cantik jelita telah dihukum sula lantaran fitnah mereka yang dengki kepadanya diingati akan  sejarahnya. Dan Pulau Langkawi dengan persisiran pantai yang cantik tersangat ingin dijelajahinya sambil membeli belah di pulau bebas cukai itu.
Impian indah seorang perempuan yang baru bergelar isteri. Kebahgiaan yang sentiasa marak meriah berbunga sepanjang usia perkahwinan yang sangat baru itu.  Saerah dan suaminya juga dapat menelah apa yang beriak di wajah Ani, namun Saerah juga tumpang gembira dengan kegirangan di wajah emak ayahnya. Mujur juga cerita kebetulan itu berlaku. Kalau tidak mendung akan terus menutupi wajah Pak Hamid ayahnya.
Malam Saerah berusaha memasak bekalan makanan yang akan dibawa pulang emak dan ayahnya dengan dibantu  emaknya.
“Buat apalah mak susah payah masak bekai. Kami boleh singgah makan di kedai R&R yang banyak kat tepi lebuhraya tu.”
“Takpalah Ani dah ada bekai bila lapaq boleh ghenti makan kat bangku.  Jimat sikit belanja. Lauk kat kedai tu tokwan hang bukan suka. Tok wan hang suka makan masakan tok dan mak hang ja.”
“Ya ka? Kalau nak jalan jauh kena bawak bekai lah no.” Ani cuba memahami walau perkara semudah itu hanya remeh baginya.
Pagi masih terlalu awal dan dingin. Pak Hamid bergaya dengan sepasang baju Melayu Cekak Musang merah jambu hasil jahitan anaknya Saerah. Senyumnya terukir manis menyalami anak menantunya. Lega sungguh perasaannya yang selama ini mendera mindanya kerana kerinduannya kepada kampung halamannya. Sebentar lagi dia pasti sudah berada di lebuhraya lebar penghubung destinasinya bersama cucu dan cucu menantunya..
‘Tinggallah bak-baik anak menantu. Tinggallah negeri Pahang Darulmakmur.  Aku ingin menghabiskan sisa sisa keriangan hidup yang kukecapi dengan nikmat di tanah kelahiranku. Jiwa ragaku sudah sebati dengan apa yang ada di sana. Seperti kau juga Saerah yang sangat mesra dengan alam kehidupanmu bersama suami dan anak-anakmu di sini. Ayahmu ini akan sentiasa mengirimkan doa kesejahteraan agar anak menantu dan cucu- cicit yang disayangi berbahagia selalu.’ Mungkin begitulah  Pak Hamid menyusun frasa di mindanya.
Pak Hamid menjeling isterinya yang terlena di sisi. Berbalam di selimuti kabus puncak Jerai mulai menyerlah. Nafasnya ditarik puas. Melepaskannya perlahan. ‘Aku pulang padamu kampung halaman.’
Tamat.

Glosari:
Takdak - tiada
Bulih - boleh
Besaq – besar
Syukoq – syukur
Haruan bantut – sejenis resepi masakan ikan berinti yang dipanggang.
Mengkala – bila
Lagutu – begitu
Seluloi- selalu
Hampa – kamu
Hang – awak
Mai – datang
Kelang – kilang
Soghang - seorang
Awat - kenapa
Hantaq – hantar
Habaq - kabar
Cemoih – jemu
Mai - datang
Mujoq – mujur
Berkuboq – berkubur
Ghumah – rumah
Ghenti – renti
Ghedo – reda
Toksah – tidak usah
Biaq - biar
Ghunsing – runsing
Kosa – kuasa
Tua merga – tua renta
Tulung – tolong
Ghasa - rasa
Ghugi – rugi
Bekai – bekal
Asai – asal
Kuboq - kubur






Pelancaran novel Rajaqna dan antologi sajak Hijrah Merdeka

ASALAMUALAIKUM..

KENANGAN BERSEJARAH...





Wednesday, October 12, 2016

PUISI BAHASA

ASSALAMUALAIKUM...

PUISI BAHASA

Layah jentayu menyapa awan,
keladi bisa simpan tersusun;
wajah ayu  rupa menawan,
berbudi bahasa bersopan santun.

Jika berbahasa biar  beradab,
tegur suatu dengan bersebab,
menyusun kata lancar kejab.
jangan ditafsir mindanya lembab.

Lepas laku menutur kata
lagak umpama gila-gila bahasa.

Budi bahasa pakaian diri
menghias wajah dengan senyuman
kemana pergi pasti dihormati
rupa paras bukan ukuran.

Budi bahasa itu
lumrah semua
bukan suatu waktu dahulu
kekal selamanya senusantara.
bak semangat padi
semakin tunduk makin berisi
bak ular menyusur akar
bisa tak hilang kemana menjalar.
Paridah Ishak

Selayang Utama

Saturday, August 13, 2016

RAJAQNA

ASSALAMUALAIKUM..

RAJAQNA
MENGGAPAI CINTA
Oleh Paridah Ishak

Aku dengan  duniaku, di sebuah ruang kecil. Setiap hari ralit mendengar siaran radio dan menonton TV. Tragedi sadisku alami memberi akibat  tidak terduga. Terlantar tidak bermaya kini.
Ketika kemalangan berlaku, kereta kecil yang dipandu suamiku dilanggar lori  membawa muatan ayam yang tidak terkawal gerakan rodanya, kami sekeluarga dalam perjalanan ke  KL, menziarahi keluarga mertuaku.
Seseorang berada di muka pintu, menuturkan salam, menghampiriku.
“Maaflah Saerah! Baru hari ini dapat datang melawatkau.”
“Tak mengapa Sarah, aku lama lagi di sini, datanglah bila-bila saja melawat aku.”
“Hajatku memang begitu Saerah. Mami  Atiffi pun pesan padaku agar datang menjenguk kau.  Tapi sibuk sangat di rumah menguruskan rumah tangga dan anak-anak, selalu tiada kesempatan. Maklum anak kami kan ramai.”
Kenalan lamaku itu seringkali pula mengunjungiku selamaku bermukim di sini, di rumah tok dan tokwanku. Ayahku membawaku ke sini untuk menyembuhkan sakit akibat kemalangan itu.
Dan kini cuma menjadi penyaksi, perenung, pemikir semata dalam suasana yang tidak aku mahukan. Ego menjerut diriku sukar juga terlepaskan nampaknya.
Sarah pula adalah persona yang menjadi mangsaku semata-mata kerana obsesku terhadap Ilhami dan keinginanku menambat hatinya.
Kenangan dulu terimbau semula. Aku ditinggalkan ayahku pada tokwan dan tok untuk menyambung persekolahan di sini. Bersama sahabat baikku Atiffi, menamatkan pengajian hingga universiti.
Atiffi  berkahwin pula dengan lelaki kecintaannya Ilhami. Baik paras rupanya. Kerjayanya di bidang penerbitan media massa begitu mengujakan. Aku dan Atiffi mengenali Ilhami melalui surat sahaja kerana meminati tulisannya yang banyak disiar merata media.
Dalam diam perasaanku indah berbunga mekar terhadap sahabat penaku itu. Belum sempatku nyatakan apapun, Atiffi mengejutkan aku dengan berita bahawa Ilhami akan datang menemui kami dengan membawa maksud hatinya.
Rupanya kedatangan Ilhami membawa keluarganya untuk merisik Atiffi. Kenapa pula pilih Atiffi, tidak aku? Bukankah Ilhami sering juga mengungkapkan kata rindu kepadaku dan tidak sabar untuk bertemu? Hatiku diserbu galau dan sayu, terasa perasaanku dipermainkan.
Dan aku sarankan agar Atiffi menolak sahaja pinangan Ilhami itu dengan alasan perkenalan yang terlalu baru dan lewat surat semata. Sebenarnya hatiku iri justeru dilambung rasa kecewa teramat. Namun perkahwinan Atiffi dan Ilhami tetap berlangsung meriah. Aku terkulat-kulat merenung kebahagiaan yang dinikmati sahabatku. Rasa kecewa membawaku jauh ke negeri yang dirantau emak ayahku.
Tiba-tibaku terima surat daripada sahabatku, memberitahu kehendak suaminya ingin berkahwin lagi dengan seorang sepupunya lantaran telah jatuh cinta. Segera aku pulang mendapatkan Atiffi dan menggesanya menolak kemahuan suaminya itu. Bermadu bukanlah mudah. Apalagi kalau hidup bermadu dengan watak madunya jauh berbeza pada perkiraanku.
“Kalau Ilhami ingin sangat berkahwin lagi, suruh saja dia pilih aku. Akukan sahabatmu. Bukan Sarah yang garang tu. Benci sangat dia kepadaku kerana berkawan rapat denganmu.”
“Tapi kata Abah dia sangat cintakannya,  tidak kau.”
“Habis kau tidak dicintainyakah?”
“Katanya sangat mencintai aku. Solid. Tidak boleh dibelah-bahagi.  Cinta samarata antara aku dan Sarah.”
‘Boleh percayakah kenyataan lunak seorang lelaki yang ingin berkahwin lagi?’ monolog hatiku menggurutu sinis.
“Mungkin setiap hari dia melihat Sarah di sisimu, sering membantu setiap kesusahanmu buat hatinya berkenan. Kaupun tidak membantah hasratnya nak kahwini Sarah.”
Aku akhirnya merancang perkahwinanku sesuai citarasaku agar sentiasa berbahagia selamanya. Melupakan dengan payah rasa cintaku terhadap Ilhami yang mendalam. Perancanganku bukan ketentuan-Nya. Takdir-Nya kuredai.
Tanpa rasa reda tentu akan terselit dosa. Dosa yang tidak mahu lagi kuukir. Merasa berdosa amat olahku terhadap Sarah, Atiffi, Ilhami kerana sering menggugat kebahagian rumah-tangga mereka dengan pelbagai hasutan fitnah. Kifarah Allah mulai kurasa. Perkahwinan yang memberiku rasa bahagia tidak berkekalan. Singkat sekali berada dalam situasi yang disenangi. Suami kecintaanku meninggalkanku. Aku reda. Memang kumahukan jodohku dan dia berkekalan selamanya. Tapi apakandaya.
Padaku perkahwinan juga adalah nasib. Tidak semua perkahwinan akan memberi apa yang diimpikan.
“Aku dah lama juga berubat dengan Tok Minah, berurut setiap hari tapi tak sembuh juga. Rasanya minggu depan ni ayahku datang akan balik ke Pahang. Nak sambung berubat di sana pula.”
“Eloklah begitu. Biasalah sakit ni datangnya seperti ribut tapi nak baiknya berdengut-dengut macam semut. Insya-Allah kau pasti pulih. Aku selalu doakan kesejahteraan kau.”
“Terima kasih banyak Sarah. Insya-Allah.”
Aku merenungnya tajam, menyeluruhi wajah ayu itu.
“Kenapa  pandang aku begitu? Tak betul apa yangku katakan?” 
“Eh! Bukan itu maksudku Sarah. Kau mengingatkan aku pada Atiffi. Kamu berduakan sepupu. Wajahpun seiras. Dah lama tak jumpa, rindu sangat. Teringat dulu berjalan di batas bendang bersama-sama Atiffi ke sekolah. Jauh juga  jaraknya. Baliknya basah berpeluh melangkah di tengah rembang panas. Sedang perut berkeroncong lapar. Setelah makan kami berdua ke rumah Pak Utih pula belajar mengaji al-quran. Kenangan zaman kecil yang sangat indahkan Sarah.”
“Kau rindukan Mami Atiffi ya!” Tanpa sedar ada buli buli jernih yang bertakung  di kelopak mata tanda benar sekali jangkaan Sarah itu.
“Atiffi dan abah ke Brunei. Itu yang tidak dapat datang menemuimu.”
“Kau tak ikut sekali? Urusan apa agaknya tu?”
“Kalau aku ikut juga siapalah yang nak menjaga anak-anak kami yang masih kecil tu, Saerah. Abahkan berniaga mengedarkan buku-buku yang diterbitkannya. Urusan pemasarannya dibantu Mami Atiffi.”.
Setahu aku pada awal perkahwinan sahabatku itu suaminya, bertugas sebagai Ketua Biro Akhbar Istiqamah Kedah/Perlis. Kini sudah jadi penerbit buku pula.
“Seronokkan dapat bersama dengan anak-anak kita yang membesar di depan mata kita walau banyak kerenahnya. Aku tidak dapat merasai kebahagiaan itu. Yang membantu menjaga, mendidik anak-anakku hanya kedua ibu bapaku.”
Sarah menggenggam erat jemariku.
“Kau pasti pulih jua. Aku doakannya selalu.  Balik dari  Brunei abah bercadang membawa aku, Mami Atiffi dan anak-anak kami mengerjakan umrah. Di sana nanti aku akan doakan kesejahteraanmu. Moga dimakbulkan Allah insya-Allah.”
Aku terkedu. Hati Sarah begitu tulus. Tidakku sangka sepupu sahabatku Atiffi, dulunya kumusuhi kerana sikap kasarnya kini bertukar jadi sebaliknya. Dan aku mulai merasakan tindakan Ilhami memperisterikannya adalah jodohnya terbaik.
“Nampaknya kau dan Atiffi serasi bersama Ilhami. Aku doakan kebahagian kalian kekal hingga jannah. Kalau Atiffi dan Ilhami pulang, sampaikan salamku kepada mereka ya.”
“Insya-Allah.” Sahut Sarah.
Tinggallah tok dan tokwan yang bersusah payah menjagaku, mengurusi setiap keperluanku selama aku di sini. Kesabaran mereka menerima masalahku hanya Allah yang membalasnya.
Setelah aku pulih seperti kelak aku pasti kembali ke sini lagi. harapanku menemui semua yang kusayangi dan menelusuri jejak kenangan yangku tinggalkan dulu. Mungkinkah dapat kulakukan? Entahlah.











Like
Love
Haha
Wow
Sad


Top of Form

Like
Love
Haha
Wow

Sa

Wednesday, August 10, 2016

BAHTERA MERDEKA ITU....

ASSALAMUALAIKUM...

BAHTERA MERDEKA ITU

Seruling buluh perindu
Mengalun lagu merdu
Penuh syahdu mmendayu
Mengiring pelayaran bahtera MERDEKA
Menyonsong semilir angin
Di tengah samudera tiada bertepi
Ombak bergelora menggila
Pasang surutnya berkala
Sedang galau merenung destinasi berbalam kelam
Gelita malam
Sirna bintang harapan
Namun pelayaran berterusan
Bahtera MERDEKA
Membawa muatan sarat
Kargo hasrat
Menolak gusar
Ke pelabuhan dambaan
Jangan tersasar.


PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
10 OGOS 016

Wednesday, May 4, 2016

SELIRATAN CINTA BAB 4...

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّØ­ْÙ…َÙ†ِ اارَّØ­ِيم
. Rizal sampai di rumahnya menaiki airport limousine dari KLIA. Dia meninjau-ninjau persekitaran rumahnya. Dilihatnya tiada sebuah kereta pun yang berada di dalam garaj. Rumah itu lengang dan sunyi, seperti kosong tidak berpenghuni.
Dia menekan loceng pintu beberapa kali. Sosok tubuh seorang wanita pertengahan usia terkocoh-kocoh keluar dari rumah itu menghampirinya. Dia terpana menerima senyuman manis dari lelaki kacak di hadapannya.
Dia mengamatinya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Senyumnya terorak lebar setelah mempastikannya..
            “Eh… Rizal dah balik. Kenapa Datin tak bagi tau pun Rizal nak balik.” Sapanya dengan sangat teruja kekagetan.
            “Saja nak beri kejutan pada Mak Kiah.” Balasnya mengusik mesra pembantu rumahnya yang dianggapnya saudaranya sendiri itu sambil menyalaminya. Mak Kiah telah lama ada di dalam kehidupannya semenjak dia mula mengenal orang. Pengasuhnya sejak dari kecil kata mamanya.
            “Ada sajalah kau ni Rizal..” Mak Kiah mengambil beg Rizal dan membawanya ke dalam rumah. Rizal mengikuti langkah yang diaturnya pendek-pendek itu.
            “Sunyi saja rumah ni, tidak ada sesiapa ke di rumah? Mama dan ayah ke mana?”
            “Masuklah ke rumah dulu Rizal. Datuk pergi kerja. Datin pula ke salon.”
Rizal berpuas-hati dengan penerangan Mak Kiah. Dia tidak bertanya lagi Teramat biasa cerita itu kepadanya.
Rutin yang telah lama berlaku. Sejak dirinya mengenal dunia dan kebanyakan isinya. Ayahnya tentu saja pergi berkerja mencari rezeki sebagai memenuhi tanggung-jawabnya menyara keluarga.
Mamanya pula tentu memberi masa untuk merawati diri sendiri dengan sedikit keselesaan setelah berpenat lelah menyempurnakan tugasannya. Bukan ganjil untuk difikirkan secara terlalu mendalam.
Dirinya terus dibawa mendaki tangga ke tingkat atas hendak menjengah biliknya yang telah ditinggalkannya sepanjang pengajiannya di luar negara.
            Dia menanggalkan pakaian yang menyaluti dirinya sejak di kota New York sehingga berjam-jam di dalam pesawat. Sudah tidak selesa lagi dirasa pakaian itu berada di tubuhnya. Sudah lencun dengan peluh. Bau tubuh dan bau peluhnya yang hamis bercampur baur. Dia rimas.
            Dicapainya tuala bersih yang tergantung di lemari, membalut tubuh renjongnya yang sederhana tinggi dan bergerak ke bilik mandi. Air pancutan seperti rintik hujan menjamah tubuhnya. Dia merasai kesegarannya. Berbahagia sekali rasanya dapat bermandi-manda di dalam bilik air sendiri, di rumah sendiri, di tanah air sendiri. Sungguh tidak tergambar nikmat yang dirasakannya. 
                                                 
*   *   *

            Haseena menyambut dua tamunya dengan senyum teramat manis. Pelanggan tetapnya itu rajin mengunjungi salonnya sekiranya kedua-duanya memerlukan khidmatnya. Kedatangan kedua-duanya memang sangat di alu-alukannya. Ibarat ‘kurang tapak tangan nyiru ditadahkan.’ Pelanggan yang sentiasa membawa rezeki kepadanya.
 Sekurang-kurangnya dia boleh bercerita pada pelanggan-pelanggannya yang baru berjinak-jinak dengan khidmat salonnya bahawa salonnya itu sangat istimewa perkhidmatannya, sehingga mampu menarik golongan Datin-datin isteri-isteri Datuk-datuk bergelar yang ternama mengunjunginya.
Itupun salah satu strategi pengiklanan perniagaan juga menurutnya. Untuk melariskan lagi perniagaannya. Bukan senang juga hendak bersaing dengan peniaga-peniaga non-bumiputera yang telah lama bertapak di bidang ini. Perlukan semangat yang tegar gigih. Bukan calang-calang.
Amat kompetetif dan sengit sekali. Jika tidak sabar kerana sering rugi pada mulanya kerana pelanggan jarang-jarang mengunjungi salonnya, tentu sudah lama dia tutup kedai.
Dia sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mencari di mana kesilapannya. Bimbingan dari agensi kerajaan seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat) didapatkan. Badan ini memang dikenali dengan iltizam membantu bumiputera yang berminat dalam perniagaan memajukan diri.
Dan  berkat kesabaran dan kesungguhannya dia mampu juga bertapak dengan teguh. Sukar hendak menggoyangkan atau menumbangkan perniagaan yang berdiri jitu itu kini.
Kata seorang penceramah agama yang sering muncul di kaca TV; amalkan membaca surah al-waqiah setiap malam jumaat supaya Allah mempermudahkan rezekinya dan dia mengambil anjuran itu.
Disamping usaha yang tidak putus-putus dan doa-doa yang dipohon akhirnya dia dirahmati dengan kejayaan. Dia bersyukur ke hadzratnya.   
            “Ita temani Datin berdua ini saya hendak keluar sebentar.” Haseena menggamit pembantunya yang sedang menyusun semula majalah di raknya setelah ditarik keluar, dibelek, dibaca dan diletakan dimana saja oleh pelanggan-pelanggannya.
Tugas Ita mengemaskannya seketika untuk diserakan semula pelanggan-pelanggan Haseena. Dia tidak tidak boleh mengeluh bosan mengulangi rentak yang serupa kerana sememangnya dia dibayar untuk itu.
            “Maaf Datin berdua kerana tidak dapat hendak melayani Datin seperti selalu, sebab ada urusan sedikit yang perlu diselesaikan. Datin buatlah salon saya ni seperti rumah sendiri. Datin pun bukan tak biasakan…maafkan saya terpaksa berangsur dulu.” Haseena manis berbahasa dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir.

Friday, April 29, 2016

WAD 12A

ASSALAMUALAIKUM...

CERPEN:
WAD 12A
OLEH: PARIDAH ISHAK
Apabila tiba hari yang dijanjikan  dia bersama seorang pembantunya membawa aku ke hospital. Setelah sampai di KL dan puas bertanya tempat yang hendak dituju barulah dapat ditentukan kemana arahnya.
Appointment yang dibuat tidak menepati janji. Doktor yang sepatutnya ditemui dan menguruskan pemeriksaan perubatan diriku telah bercuti panjang entah kemana. Mujur ada seorang doktor yang sanggup mengambil tugasan yang ditinggalkan doktor berkenaan. Aku diuji kekuatan minda dengan beberapa soalan matematik asas. Komunikasinya menggunakan bahasa Inggeris yang mudah.
Seterusnya doktor menganjurkan agar aku ditahan di wad untuk beberapa ketika. Aku terkejut juga dengan saranan itu. Walau sebenarnya aku juga teringin merasai pengalaman berada di sebuah hospital yang sangat terkenal. Langsung aku tidak terfikir tentang masalah yang akan kudepani kelak. Setakat hanya bergantung kepada kekuatan diri dan kemampuanya yang tidak seberapa berlandaskan kata-kata doktor itu bahawa ramai kakitangan perubatan di wad yang akan menjaga aku. Mentelah lagi  tidak bersedia dengan apa saja keperluan yang patut. Tidak ada tuala untuk mengelap air yang sentiasa keluar daripada mulut. Dan tidak ada sikat untuk menyisir rambut yang kusut. Tidak ada gelas untuk mengisi air minuman untuk pagi, petang atau malam.Hanya semata-mata membawa diri dengan pakaian sehelai sepinggang.  
Jiran-jiranku terdiri daripada semua bangsa Malaysia yang pelbagai sakitnya menempati katil. Wad 12A menemukan aku dengan mereka. Kalau aku boleh bercakap tentu  aku dapat berkomunikasi dengan mereka sebaiknya. Tapi suaraku sudah bertahun hilang. Hilang bersama kemalangan yang merenggut keupayaan jiwa ragaku yang kualami bersama anak-anak dan suamiku di lebuhraya pantai timur. Entahlah. Mungkin susun-atur nasibku begitu.  
Di sini aku bertemu dengan Zaitun, Zarina dan beberapa orang jururawat pelatih dan jururawat terlatih yang memberi khidmat mesra mereka kepadaku dan pesakit-pesakit lain. Mereka gemar melayaniku. Mengajakku bersembang dengan caraku. Dia meninggalkan aku sebuah buku nota kecil dan pen. Itulah saja pemberian yang diingatnya. Dengan pen dan buku itu aku mencatat semua aktivitiku seharian dan sajak-sajak pendek dan berkonunikasi secara tulisan dengan mereka yang sudi berinteraksi denganku. Dia memang arif dengan kesukaanku iaitu menulis dan membaca. Jika tidak ada buku tulis dan beberapa majalah yang dibelinya tentu aku hanya akan merenung kosong hariku yang berlalu tanpa pengisian apa-apa.
TENUNAN RINDU
Sehari-hari menenun rindu pada keselesaan
sekian lama ia telah berlalu
meninggalkan urat-urat biru
yang menyarati saraf jasad itu

sekian lama tergadai jiwa raga
kesetiaan yang tulus jitu total.

Penamatnya hanya rentetan trajidi
yang tragis.

Sujud bermohon doa
nyah segera semua itu
namun masih juga di sini
di mata ini
di hati ini
Jan 07
Ward 12AHospital Universiti.

Berada di wad dalam bulan puasa sangatlah memilukan. Terpaksa meninggalkan puasa yang wajib di bulan Ramadan . walau aku uzur dan ada sebab syarie untuk meninggalkannya tapi aku sangat suka kalau dapat berpuasa. Namun tidak tergamak pula menyusahkan mereka yang terlibat, walaupun aku tahu tugasan mereka adalah melayani apa saja keperluan pesakit-pesakit yang berada di bawah pengawasan mereka.
Hari raya semakin hampir. Tapi pemeriksaan ke atas diriku belum juga selesai. Setiap hari ada saja temujanji yang ditentukan. Aku hanya mengikut saja arah kerusi roda  ditolak yang membantu membawaku. Pernah dihantar untuk scan dengan seluruh tubuh dimasukan dalam alatan scan seumpama telor yang besar.
Dalam laporan fail yang aku cuba fahami kandungannya yang tergantung di kerusi roda, bahawa aku mengalami kecederaan yang serius di otak (broken brain) dan ada pembekuan darah di situ.
Satu ketika pula aku disorong ke bilik di mana kepalaku dipasang wayar yang berselirat dan disambung ke mesin pengimbas yang melukis graf panjang pendek yang tidak aku fahami. Tulisan di fail juga tidak memberiku sebarang makna justeru tidak memahaminya suatu apa.
Memang sukar untuk memahami tulisan doktor. Mungkin doktor tidak mempunyai banyak masa untuk membentuk tulisan yang cantik kerana masa sangat perlu untuk diberikan kepada pesakit yang bertali-arus untuk mendapatkan khidmat mereka.
Tulisan cantik atau sebaliknya tidaklah terlalu dikira. Tapi bagi yang mencari maksud dan makna sepertiku ianya adalah amat penting sekali dan sangat diutamakan.
Selepas membuat pemeriksaan di kepala, disorong pula ke klinik mata untuk dibuat pemeriksaan mata pula, di sini seorang doktor wanita Melayu yang amat ramah meladeniku. Daripada name tag yang terlekat di bajunya ternyata  beliau ini adalah seorang professor Universiti Malaya . Hospital ini namanya pun hospital university dan tentulah ianya mendapat khidmat  mereka yang pakar dalam bidang perubatan daripada universiti yang berhampiran juga. Aku mengagak saja. Sebab bukan arif sangatpun pengetahuan tentang ini.
Sepanjang aku di sini memang ada siswa-siswi fakulti perubatan yang datang bersama pensyarah mereka melawat pesakit-pesakit di sini. Ada saja yang ditanya mereka kepadaku. Mereka begitu yakin dengan apa yang dipelajari dan kemahuan diri yang ingin dicapai setelah menamatkan pengajian kelak. Mulalah aku bermuhasabah diri tentang kekuranganku kerana telah mengabaikan peluang yang memberiku harapan untuk seiring mereka yang berpendidikan tinggi. Hendak bertaklik kepada nasib semata tidak boleh juga kerana Allah tidak akan mengubah apapun jikalau yang empunya diri tidak berusaha sesungguh hati.
Appointment aku yang terakhir adalah menemui seorang pakar anggota. Beliau membawa aku ke gym yang dipenuhi alatan yang membantu mereka yang lumpuh separa sepertiku untuk boleh berjalan semula. Aku diberi keyakinan bahawa aku boleh berjalan semula. Jurupulih Anggota di situ berpendapat begitu sambil menolongku bertatih berjalan memegang besi yang disedia daripada melihat gayaku berjalan perlahan.
“Untuk kembali pulih seperti sediakala tentu mengambil masa,” menurut Jurupulih Anggota yang membantuku itu..
Tahun ini adalah tahun ketiga aku berkeadaan begini. Terasa pantas masa berlalu tapi bagiku teramat lambat pula kerana keberdayaan diri yangku harapkan segera menyongsong tidak juga kunjung datang. Memikirkan semua itu menyesakkan mindaku. Air matapun berjurai mengirai kesedihan. Biarkan sajalah. Terima ketentuan-Nya dengan reda. Mungkin esok, mungkin lusa, mungkin bulan depan, mungkin tahun depan harapan yang didamba menjadi kenyataan.
Zaitun, Jururawat Pelatih yang berasal dari Sungai Petani Kedah sering juga menemaniku. Selalu juga bertanya tentang diriku dan bercerita tentang pensyarahnya yang suka memarahinya tanpa diberitahu kesilapannya apa.
 “Mentang-mentanglah saya seorang pelatih, ada saja yang nak ditegurnya,” rungutnya.  Aku mendengar saja dengan ralit. Hendak berkomentar pun tidak tahu apa. Walau dia menjadikan aku sebagai tempatnya meluahkan rasa amarah yang membekam di hatinya tidak mengapalah. Aku rela menjadi pendengarnya. Sekurang-kurangnya diri yang lemah dan tidak berdaya masih ada gunanya. Dan masih ada yang sudi berkongsi cerita denganku.
Namun aku juga tidak dapat lari daripada kesedihanku bilamana aku sendirian di katil kala tiba jam 12.00 tengah hari. Ketika inilah ramai pesakit yang menerima tamu mereka. Mereka di kelilingi sahabat handai saudara-mara yang mengasehi mereka. Tapi tidak aku. Tidak ada sesiapa yang sudi menziarahi aku. Tersedu aku menangis disebalik tuala yang menutupi wajahku. Seorang porter yang menghantar makanan seperti selalu menyedari itu. Dia tahu aku sedih dan bertutur manis kepadaku, mempelawa aku makan.
“Makanlah dik. Jangan ikut sangat rasa hati sedih.”
Sekadar saja makanan yang mampu disuapkan ke mulut. Selera telah hilang bersama kesakitan dan kedukaan jiwa raga yang ditanggung.
Hadir juga tetamu yang sangatku nanti di sisi katilku. Hatiku yang kecewa teramat pula. Luluh rasa, sirna ceria. Sebabnya dia membawa seseorang bersamanya. Sesaorang yang amat penting dan istimewa dalam kehidupannya kini. Tapi bagiku seolah dia membawa duri kerawat yang mencarik-carik hatiku dan melukakannya dengan parah. Apalah salahnya kalau dia seorang saja hadir di saat kesendirianku ingin bersamanya. Mengapalah aku ralat dan musykil kerana keberadaan mereka bersama menemuiku? Memang wajarpun mereka boleh bergerak bersama kemana saja kerana mereka adalah pasangan suami isteri yang sah. Langsung tidak ada batas halangannya. Apatahlagi merekapun baru saja berkahwin.
Tapi tidakkah dia mahu memberi hatiku sedikit kegembiraan setelah selama ini menghancur-lumatkannya? Takkan sedikitpun tidak ada rasa belas-ehsan terhadap isterinya yang pernah sangat disayanginya suatu ketika dulu ini? Atau mungkin sengaja hendak menambah kelukaan di hatiku dengan lebih parah. Penderitaan yang teramat sangat sehingga tidak termampu diucap dengan kata-kata. Berterusan merangkai kata mengenainya hanya teriring dengan derai air mata.
SN Normah yang baik dan berperwatakan lembut itu bertanya kepadaku tentang kehadiran tetamuku siang tadi. Dia tidak percaya akan itu cerita sebenarnya.  Dan amat bersimpati dengan nasibku. SN Normah adalah, jururawat terlatih  kenalan pertamaku di wad ini. Orangnya cantik manis. Daripada lorat percakapannya aku yakin sekali beliau ini berasal dari Negeri Sembilan. Beliau pernahku dengar menasehati rakan sekerjanya yang mengadu kepadanya kerana keletihan dan kesebalannya terpaksa melayani kerenah pesakit yang sangat kurang upaya dan terpaksa dibantu kesemua keperluannya.  Ada di antara kes yang ditanganinya melibatkan pesakit yang memenuhi appointment dengan doctor untuk menuntut pampasan kemalangan yang mereka alami daripada syarikat insuran yang dilanggani. Komennya lagi;
“Apalah gunanya mendapat wang pampasan  dengan nilai tinggi ringgitnya sedang diri sakit terlantar saja di perbaringan. “
Jawab SN Normah yang baik budi itu dengan lunak;
“Merekapun tidak minta nasib mereka begitu. Kita yang ada kekuatan dan sedikit kelebihan upaya inilah yang sepatutnya membantu mereka. Jikalau diri sakit tapi tidak berduit memang besar masalah yang terpaksa dihadapi untuk menangani kos kehidupan yang mahal kini. Sekurang-kurangnya dengan wang pampas an yang didapati boleh membantu mereka membiayai kehidupan atau berusaha pelbagai cara untuk merawat sakit mereka.  Segala-galanya kini perlukan duit. Susah juga sudahlah sakit tapi tidak berduit. Berat sangat bebanan yang terpaksa mereka pikul.”
Memang aku sangat bersetuju dengan ungkapan manis penyejuk jiwaku itu kerana aku tergolong dalam golongan yang dimaksudkan itu. Tapi berapa ramaikah diantara yang memahaminya? Hanya SN Normah seorang di antaranya.
Dalam pertemuanku yang sebentar cuma dengan dia aku sempat berpesan kepadanya agar menjemputku sebelum menjelang Aidilfitri tidak beberapa hari lagi. Aku tidak pasti samaada pesananku itu mahu dipenuhinya. Harapanku mudah-mudahan begitulah hendaknya. Setelah hampir dua minggu berada di bulan Ramadan di katil hospital aku merasa semakin jelak di sini. Dan tentu ingin sekali segera pulang ke rumah ibu-bapaku menyambut hari raya bersama anak-anak dan keluargaku.
Renungan menjauh sehingga kelibat Anne Lai tiba-tiba tersenyum kepadaku sambil menghulur kepadaku sebuah majalah fesyen. Anne Lai merupakan teman pesaakit yang sama-sama tidak boleh bercakap sepertiku. Sudi juga dia bertegur sapa denganku. Beliau baru saja menjalani pembedahan di tekaknya dan kerna itu suaranya tidak boleh berbicara. Gadis China itu adalah seorang jururawat resepsionis sebuah hospital swasta dan rajin meminjamkan aku majalah yang dibawa keluarganya.
Zaitun, Zarina dan ramai jururawat pelatih yang sering melayan bicara bisuku telah berangkat pulang ke kampung halaman masing-masing hendak menyambut Adilfitri sehari dua lagi dijangka tibanya. Kelibat SN Normah pun tidak kelihatan. Kenalan-kenalan yang sering berinteraksi denganku telah tiada. Aku kesunyian, kehilangan tegur-sapa mereka. Walau sebenarnya memang telah lama aku larut dalam kesunyian yang melengkungi situasiku kini.  Di saat aku sangat mengharapkan kehadiran mereka yangku rasa rapat dan ada hubungannya denganku tidak ada yang terjengul di sini. Masing-masing sibuk melayani tuntutan kehidupan rutin dan membiarkan aku tidak dipeduli.
Dia membawa aku ke sini dan meninggalkan bebanannya iaitu aku isterinya dan mengharapkan akan dijaga orang lain kemasylahatannya. Beginikah sikap seorang yang sangat bertanggung-jawab terhadap keluarganya seperti yang kerap dikatakannya dulu. Ahli keluarganya adalah mereka yang terpenting dan diutamakan segala-galanya. Aku ini adalah ahli keluarganya yang terdekat. Kenapa pula sanggup menyisihkan aku dalam keadaanku seperti ini? Ah! Masih merintih lagi. Sedang nasib yang mengunjungi tidak harus dikesali.
Aidilfitri yang ceria, menggembirakan semua tetap juga jelang pabila tarikh yang diumumkan Penyimpan Mohor Raja Raja bagi negeri negeri di seluruh Malaysia tidak kira aku di mana. Aku melihat Anne Lai di ujung katil. Dia merenungku sayu seolah mengongsi kepiluanku menyambut hari bahagiaku di katil hospital. Aku bertanya kenapa dia kelihatan murung dengan menulisnya di buku nota kecilku.  Namun dia tidak membalas apa-apa. Mungkin ada sesuatu yang difikirkannya.
Tidak ramai petugas di wad pada hari ini. Kebanyakan mungkin telah bercuti sempena meraikan Aidilfitri bersama keluarga. Pesakit di wad yang Islam kecuali aku telah dibawa pulang keluarga masing-masing yang prihatin. Sepatutnya aku juga sudah discharge dari wad tapi tidak ada sesiapa yang datang menuntutku dan membawa aku pulang ke rumah.
SN Rasnah menjadi kenalan baruku. Dia kasihan melihat aku masih di wad sedang sepatutnya sudah dibawa balik. Dia berusaha menghubungi mereka yang ada sangkut-paut denganku yang berada di sekitar KL untuk segera mengambilku setelah discharge sejak semalam. Tapi banyak pula alasan yang kudengar menolak kehadiranku. Tidak mengapalah. Mendesak sesiapa saja untuk menerima masalahku yang akan menyusahkan mereka bukan kugemari. Aku cuma berharap pihak hospital bersedia membenarkan aku berada di hospital ini sehingga dia mengambilku semula setelah diberitahu pihak yang berurusan dengannya kini.
Hari raya telah separuh hari berlalu. SN Rasnah melayani aku makan sambil berbual-bual. “Selama  begini barangkali sudah terlalu banyak agaknya air mataku yang tumpah.” Sayu sekali kudengar susunan frasa tuturnya. Bak kata pepatah; karam bersama tapi yang lemas seorang.   Aku mengangguk. Kebiasaanku begitulah. Terangguk-angguk untuk mengiakan sesuatu. Kenalan baruku ini sangat memahamiku rupanya.
Akupun mula menulis sesuatu tentang dirinya dalam buku kecilku.
Tamat.