CERPEN: RERAMA HIJAU.
OLEH: PARIDAH ISHAK.
IA
hinggap
dibahuku sambil mengepak sayap tipisnya yang kecil. Hijau warnanya.
Keseluruhannya hijau yang berkemilau. Seakan sebati ronanya dengan kehijauan
alam yang sedang melingkungiku nuansanya yang terlalu luas mandalanya. Inginku sentuhinya lunak agar
tidak mengejutkannya namun pantas pula ia berterbangan meninggalkanku dan
hinggap pula di dedaunan hijau gelap yang rantingnya melempai menyentuhi kali
yang mengalir jernih mencelahi batu-batu besar kecil yang tidak sekata rupa
bentuknya dan tidak tersusun. Lanskap alam semula jadi yang indah lagi damai
persekitarannya.
Kemana pula hilangmu rerama
hijau? Kau yang membawa aku mengikutimu hingga ke sini dan kini kau
meninggalkan aku pula. Janganlah begitu! Janganlah tinggalkan aku sendirian di
rimba belantara yang asing ini. Temanilah aku aduhai rerama hijau! Walau sebenarnya
kau langsung tidak ada kaitan dengan langkah yangku atur untuk mengikutimu
hingga ke sini. Barangkali juga kerana hatiku ralit sekali mengarang puisi
tentang rimba ini. Puisi yang belum sempat kufikirkan tajuknya ini.
Indah taman rimbaku
menghantar lelah, bermain perah
mengutip merah saga
sesekali terlena, di bawah rendang tembusu.
Aku sering ke rimba ini,
mencari dedaun herba
kembang semangkuk, tongkat ali
menyusuri banir jejawi
bersirat akarnya hingga ke tepian paya.
Keruing, halban, tualang menjulang
nectar bunga, tumpuan lebah dan kelulut
menghimpun manis madu
riang tempua terbang kembali ke sarang.
Pesona flora aneka warna
melayut kemboja, kenanga
harum tanjung menyebar wangi
anggerik menumpang di dahan
meliuk-lambai dalam senyum
beralun membelai bayu.
Denai dan lorong meniti rimba
laluan fauna, kecil dan besar
kembara kehidupan penghuninya
harus kita lestarikan
kerana kita juga
ingin mengongsi rezeki milik-Nya.
Dan rerama yang mengepak
sayap kecilnya mengiringi langkah yangku atur dan tidak
kutahu kemana hala
destinasinya.
Rerama terbang membawa indah
warna-warni kepaknya
ke rimbun hutan dara
menghisap madu.
Rerama itu pernah hinggap
di sanggul nostalgiaku
memberi kemilau bahagia
memberi dalamnya luka.
Rerama semakin terbang jauh
ditelan rimba dara
meninggalkan aku di ranjang rindu
dan aku sering menyelak kembali
lembar silam itu.
“Taman herba ini bersambung dengan hutan simpan bersebelahan, jadi kamu semua jangan dibawa langkah dan
tidak sedar hingga lepas ke sana. Mesti sentiasa bersama kumpulan mencari sepesis
herba yang ditentukan kepada kamu semua untuk dibuat ujikaji di makmal bila
kita pulang ke kampus nanti.” Pesan Prof Madya Dr. Azmir itu kepada semua bakal
pharmasis yang mengikuti rombongan untuk melakukan tugasan pharmacognosy
mengkaji ubatan herba yang akan menambah kredit dalam cgpa ini memang sangatku
ingati.
Tapi entah kenapa kakiku boleh menyasar jauh mengikuti rerama
hijau hingga di tempat keberadaanku kini.
Setelah aku tidak mendengar lagi suara rakan-rakanku yang rabung
bertanya itu ini kepada Pak Mahat yang menjadi penjaga kepada taman herba ini
mengenai maklumat sepesis herba yang ditemui barulah aku menyedari bahawa aku
telah terpisah jauh daripada mereka. Mungkinkah aku telah tersesat? Mungkin
rerama hijau ini yang menyesatkan aku kerana aku teruja melihat keindahannya di
samping aku taksub mencari tumbuhan herba yang aneka jenisnya yang sudah berada
di dalam genggaman tanganku.
Terngiang-ngiang di deria dengarku penerangan pak Mahat tentang kegunaan
ubatan secara tradisi tumbuhan ekor tupai, ekor tikus,embun tengahari, ganda
suli, geli-geli,gelenggang pasir, gelenggang nasi, gelenggang padang, gepur
batu, getam guri dan berjenis-jenis lagi. Ada yang tumbuh merenek. Ada yang
tumbuh melata dan menjalar. Ada juga yang merimbun menjadi pohon tinggi
berdaun, berbunga cantik seperti siantan, hari ini esok dan semalam, gadis
lompat dan pelbagai namanya yang sangat unik, indah dan baru kuketahui hari
ini. Begitu kayanya perbendaharaan bahasa Melayu yang meliputi penggunaannya
mencakupi seluruh keperluan kita tanpa perlu ada pengulangan kata untuk
menjelaskan maksudnya yang berbeza.
“Pokok herba ni apa pula nilai perubatannya?”
“Eh! Ini pokok gandarusa. Gandarusa ni orang dulu-dulu kita
gunakannya untuk menghalau hantu?” yakin sekali pak Mahat menuturkan kalimatnya.
Khalid, Syafiq, Ariff, Jagjit, Tony, Nathan dan Swee Lin, masing-masing
tersenyum sedikit. Mungkin memikirkan bagaimana hendak menulisnya tentang herba
gandarusa putih, gandarusa kuning dan gandarusa hijau di dalam kertas tugasan ujikaji
yang akan dihantar kepada penyelia tugasan kelak.
“Nampaknya dah banyak contoh sepsis herba untuk kita gunakan di
makmal yang dah kita dapatkan. Bolehlah kita berehat sekejap sementara menunggu
Dr. Azmir yang dah hilang entah ke mana tu!” Syafiq mulai melabuh punggungnya
di banir pohon jejawi yang merimbun dan akarnya menyelirat hingga ke alur air
kecil. Di pohon jejawi ini tempat kediaman sepsis alam halus yang tidak nampak
dengan mata kasar; aku teringat cerita atok kepadaku. Melangut ke atas terlihat
kepadaku betapa daun-daunnya yang sangat rapat bertautan antaranya sehingga
tidak ada jalur cahaya yang mampu menembusinya. Di bawahnya redup sekali dan
selesa duduk berehat melepaskan kepenatan yang meresapi tubuh. Rasanya usia
pohon jejawi ini sudah sangat tua dan melebehi ratusan tahun.
“Kau nak ke mana pula tu? Duduk saja di sini berkumpul sekali. Tak
payah nak berpecah. Bimbang tersesat risau pula. Kita pun bukan biasa dengan
tempat ni. Pak Mahat pun dah pergi menyusul Dr. Azmir tu.”
“Aku nak ke belakang pokok ni saja. Mana tahu mungkin terjumpa
daun herba yang lebih hebat nilai perubatannya daripada yang kita ada ni. Kau
tak dengar kata Swee Lin tadi bahawa herba-herba Melayu ni tidaklah setanding
herba-herba daripada negara China seperti ginseng, ganoderma dan yang
lain-lain. Hanya biasa-biasa saja. Jadi aku nak cubalah tengok di sebelah sini
mungkin terjumpa apa yang aku cari. Pasti hebat penemuanku dan ujikaji yang
kita akan buat nanti.”
“Ikut suka kaulah. Tapi jangan pergi jauh.”
‘Iyalah Syafiq.’
Syafiq sudah pasti tidak mendengar suara hati yang menggema dalam
ruang kalbuku ini tapi aku yakin kawan rapatku itu memahamiku. Kami memang
saling kenal sejak mula mendaftar untuk memasuiki university di Serdang ini dan
kebetulan jurusan yang dipilih pun serupa. Ditambah lagi dengan kebetulan yang
mengeratkan hubungan kami adalah kami sebilik pula. Sikap dan keinginanku
terhadap sesuatu yangku putuskan sangat diketahuinya.
Sikap kemahuan tegar yang kini menjerat kakiku di sini. Hanya
berpusing-pusing di sini. Tersesat jauhkah aku? Sedangku rasa aku hanya berada
di sebalik pohon jejawi ini saja. Dan rerama hijau itu masih mengepak sayap
kembali kapadaku entah dari mana. Hinggap pula di dedaunan rimbun yang menjalar
membentuk semak samun. Seakan ada yang menggerakkan kakiku untuk menghampiri
semak samun itu.
Wah! Inilah yangku cari. Daun rerama hijau yang tumbuh asli secara
semula jadi dan sering diperkatakan khasiat dan nilai perubatannya yang tinggi
sehingga mampu menyembuhi penyakit kronik Aids, SLE dan kenser. Beruntungnya aku menemuinya.
Inilah yang sebenarnya inginku dapatkan untukku jadikan bahan ujikaji di makmal
farmasi Serdang.
Tapi? Bagaimana mahuku bawa pulang daun-daun rerama hijau yang
sudah ku kutip ini berserta anak pokoknya yang telahku cabut ini sedang aku
hanya mengelitari sini? Jalan pulangnya tidakku temui. Sesia saja penemuan
sepsis herba yang dikatakan sangat mahal harganya kepada yang berminat menjual
dan membelinya. Niat hatiku tidaklah begitu. Hanya sekadar mahu mengkajinya.
Dan jikalau terbukti akan nilai perubatannya yang maksima tentu bermenafaat
digunakan sebagai produk kesihatan buat membantu mereka yang memerlukan untuk
memulihkan kesihatan yang terjejas.
Buntu sungguh aku memikirkan bagaimana mahu kucari jalan pulang
dengan membawa dedaun rerama hijau dan pelbagai jenis dedaun herba yang kemas
berada digenggamanku ini. Aku tidak berani lagi melangkah ke mana-mana kerana
di hadapanku adalah hutan rimba yang diselirati tumbuhan menjalar yang sukar
dimasuki.
Dan sebenarnya aku sangat yakin bahawa aku berada tidak jauh
daripada tempat kawan-kawan yangku tinggalkan sebentar saja tadi. Masih
kelihatan kepadaku pokok jejawi yang disandari Syafiq sambil duduk di perdunya.
Tapi puas aku mengelilinginya tidakku temui sesiapa pun. Tidak ada kelibat
Syafiq, Nathan, Jagjit, Swee Lin, Arif atau Tony. Pada pengamatanku seolahnya
langsung tiada kesan bahawa di bawah pohon jejawi ini ada kehadiran
kawan-kawanku. Mungkin ini pohon jejawi lain dan bukan pohon jejawi yangku
tinggalkan tadi. Fikiranku mencongak kira. MasyaAllah! Tersesatkah aku?
“Kalau kita berniat memmasuki hutan rimba kita mesti lengkapkan
diri dengan ilmu kehutanan sebelum kita berada di dalamnya. Maklum hutan rimba
itu bukannya kampung laman kita. Tempat yang kita ketahui menjadi kediaman
aneka tumbuhan, haiwan yang nyata kelihatan. Tapi penghuninya yang bersifat
halus tidak ketara. Hutan rimba, laut, gunung ganang sudah Allah tentukan
sebagai penempatan makhluk Allah yang begini. Kau jangan berani tanpa ilmu di dada
untuk cuba-cuba masuk ke sana. Jaga pertuturan, jaga kelakuan sebab yang sedang
memerhatikan kamu tu kamu tak sedar dan tahu. Bacalah ayat-ayat quran yang
lazim dihafal dalam solat tu dengan
betul tajwidnya sebagai pendinding diri daripada sebarang gangguan yang tidak
diingini. ”
Aku mulai membaca
ayat-ayat quran setelah kotak fikirku teringat pesanan atokku.
Tekakku terasa kering
pula dan amat dahaga. Kali yang mengalir jernih ku dekati lalu meraup airnya
dengan kedua telapak tanganku.
“Jangan minum air yang
kelihatan jernih sebab dibimbangi mengandungi kuman malaria.” Menggema pesanan
atok kepadaku membuatkan membatalkan hasrat itu walau tekakku perit
kekontangan.
“Kalau terasa haus makan
umbut pokok-pokok yang kau kenali tidak beracun.”
Di manalah hendakku cari
umbut-umbut itu alahai atokku sedang aku sudah amat keletihan kini. Aku juga
kepenatan menyusuri anak air berpandukan pesanan atokku kalau aku ingin mencari
jalan pulang kala tersesat. Tapi anak air itu kulihat menghala ke dalam hutan
tebal itu dan aku tidak berani untuk memasukinya.
Kakiku yang pegal uratnya
memaksa aku duduk untuk melegakannya. Daun-daun termasuk gandarusa kuletakan di
riba sambil mataku pejamkan.
“Eh! Haziq bangun kau
tertidur di sini rupanya.”
Aku terkapa-kapa membuka
mata sebab terasa wajahku dilibas dengan daun yang tengik baunya. Tangan Pak
Mahat mencengkam kepalaku sambil mulutnya terkumat-kamit. Dan daun gandarusa di
tangannya sekali lagi dilibaskan ke seluruh tubuhku. Aku kehairanan
diperlakukan Pak Mahat begitu. Tapi tidak menyoal apa-apa.
“ Puas kami berkeriau
memanggil kau. Rupanya kau bersembunyi di sini.”
Aku yang bersembunyikah
atau aku disembunyikan? Entahlah Syafiq. Aku tidak tahu bagaimana nak
jelaskannya.
“Kau membawa daun
gandarusa ke mana saja bersama?”
“Mestilah takku
tinggalkan termasuk daun-daun herba yang lain.”
Pak Mahat tersenyum
mendengar penjelasanku kepada Syafiq. Senyumannya membuatku terfikir tentang
daun gandarusa dan kegunaannya.
TAMAT.
.
No comments:
Post a Comment