MENGUKIR NAMA
Sejauh pandang meneropong alam
Mencari Intan di langit malam
Baiduri menyepi kesiangan
Namun cerlang bintang bertaburan
Jalurannya mempesona indah
Ujud kejadian-Nya nyata
Mengiring putaran bimasakti dunia
Sekian lama menghiasi
Hak-Nya pasti
Sekadar memilih nama semata
Intan Baiduri kejauhan
Di langit tinggi
PARIDAH ISHAK
22/12/019
Desa Melor Serendah
INTAN BAIDURI
Gemintang bertaburan di langit malam
Sinar suria menyepuh seluruh
Cerlanglah Intan di sisi Baiduri
Menata alam ceritera system galaksi mayapada
Demikian pilar menjunjung rahsia kejadian-Nya
Hanya terpandang tidak terperi
Hakikat bersatu makrifat
Intan menyerlah terpilih
Tidak terpisah jiwa raga
Intan Baiduri sekata
Timbul tenggelam siang gelita
Bersama
PARIDAH ISHAK
JOM SASTERA
18/12/019
Antologi Cerita Teladan, Puisi dan Cerpen Kanak-kanak (Siri 2)
GURINDAM MENDENGAR
Andai mendengar nasihat ibu,
banyak manfaat walau beribu.
Andai mendengar pesanan ayah,
jadi pedoman akan tarbiah.
Andai mendengar bicara guru,
hidup berilmu tidak keliru.
Andai mendengar penuh tumpuan,
peroleh hasil apa tujuan.
Andai mendengar perkara salah,
fikir dahulu tidak berbalah
Andai mendengar tiada jelas,
rajin bertanya guru di kelas.
Andai mendengar berhati-hati,
maklumat faham sudahlah pasti.
Andai mendengar fitnah hasutan,
usah ditipu bisikan syaitan.
SYAIR
BUDI BAHASA
Inilah syair budi bahasa,
tandanya kita orang
berbangsa,
hidup di kota atau di desa,
adab dijaga senantiasa.
Budi bahasa disanjung
tinggi,
bijak bestari menambah lagi,
berbuat baik pelbagai segi,
sifat mulia tidaklah rugi.
Budi bahasa budaya kita,
warisan lama sudah tercipta,
didikan diri mencapai cita,
walau ke mana arah merata
Budi bahasa insan budiman,
ambil yang benar jadi pedoman,
mudah berkawan atau
berteman,
tidak bermusuh hidup pun
aman.
KAIN
Tanka 4
#1
KAIN
kain selendang
warna pelangi petang
mahkota rambut
peragawati pentas
gadis remaja kota
Tanka 4
KAIN
#2
kain telekung
ruang solat musolah
sujud sejadah
maghrib sehingga isyak
tahajud dini hari
Tanka 4
#3
KAIN
kain sutera
benang hasilan ulat
tenunan halus
fabrik lukisan tangan
busana nilai tinggi
Denai laluan
Hutan simpanan
Dusun pusaka
Pinggiran kaki bukit
Penghuni jauh
Lambakan buah musim
Kemeriahan mekar
IKAN
#1
Pemancing ikan
Kuala Sungai Kajang
Rezeki rajin
Gerai masakan panas
Perut nyanyi keroncong
#2
IKAN
Semangkok gulai
Ikan jelawat sungai
Harga kayangan
Jelingan ekor mata
Menu meja istana
#3
Ikan tenggiri
Lambungan batu ladung
Sasaran umpan
Sarat muatan hasil
Daratan makin lewat
SAMPAN
#1
musim tengkujuh
cuaca gilir ganti
mendung bertandang
nelayan jahit pukat
sampan usang tersadai
SAMPAN
#2
hujan mencurah
cuaca gelap kelam
mendayung sampan
tanah tinggi membukit
pusat bantuan rakyat
#3
SAMPAN
banjir termenung
cuaca nyaman cerah
sampan tersimpan
kudrat menghambur peluh
teratak tiang patah
ENDEMIK
#1
pinggiran desa
Air Terjun Serendah
gema deruan
aktiviti riadah
yakin fasa endemik
ENDEMIK
#2
langit membiru
jalan rentas negeri
wisata jauh
hidup era endemik
suasana berubah
ENDEMIK
.#3
awan kemawan
akad pengantin baru
tarikh rencana
akhir fasa endemik
tenang menyapa hati
REKREASI
pinggiran desa
Air Terjun Serendah
gema deruan
langkah gelembong cuti
yakinnya endemik
..
langit membiru
alam semula jadi
kicauan burung
irama lagu merdu
bersatu dalam sunyi
.
Mentari benderang
jernih aliran sungai
menghilir jauh
dingin menyentuh kaki
tenang menyapa hati
ikan haruan
limpahan tali air
renangan jauh
tetamu laman rumah
kejutan awal pagi
Rezeki agro tani
Anginan halus
Digan mencengkam kulit
hujan mencurah
Gunung Jerai menadah
limpahan terjun
hanyut segala bawa
menimbun duka lara
TANKA
SUNYI
menghibur sunyi
serunai batang padi
melodi desa
layar citra memori
bersatu dalam impi
curahan hujan
lopak bergenang air
dedaun gegar
gema deras deruan
curiga pun bersambung
ombak menggulung
perahu kertas lusuh
layar tiada
arah menjauh kian
matlamat hilang nian
Anggerik hutan
belantara merumpun
mekar kelopak
celahan pohon
pesona harum
mesin pengisar
rumpunan tebu kuning
keringat jatuh
segelas air perahan
gerai pinggiran desa
BUAIAN
Di atas buaian dini hari
sebelum fajar tasdiq
rona lembayung siang
leka berbuai mengayun rasa
mengalun diksi puitis maha seni
ayat cinta Ilahi.
Himpunan lagu syahdu membiru.
mengulit sendu hingga tersedu-sedu
sebak meranum merejam kalbu.
Diatas buaian dinihari
masih ralit berayun
Meraup susun doa
mohon ampun dosa
reda yang Esa.
Alhamdulillah masih di atas buaian
berayunan membuai perasaan
jantung bergetaran.
Mengusir bingung terlalu
Melewa mengiring resah gundah
Hanya Dia penentu segala
Buaian takdir berayunan longlai
Menjejak bumi nyata
Berhenti meraih langit impi senjakala
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
10/12/018
Kebingungan yang tiada putusnya.
2. Kesibukan yang tiada akhirnya.
3. Keperluan yang tidak pernah merasa cukup.
4. Angan-angan yang tiada penghujungny
LENGKARAN MAYA
Samseng samseng
jalanan maya
menggonggong nota
kebenaran
menggempur wujud
persona
mengadili kebenaran
Menyatakan jawapan
berbeda tentang isu
walau dengan manis
melafazkan
tidak salah berbeda
pandangan
meluah rasa
termengkelan
sukar ditelan
Lalu samseng jalanan
maya
membawa peranan
menggembur permusuhan
Tidak pernah ia
meredap
bak api dalam sekam
dihembus pawana bicara
menyalalah api meliuk
kuning
membara merah menggila
membakar langit damai
tiada sudahnya
PARIDAH ISHAK
Ulu Jempol
Pahang DM
SEKAPUR SIRIH SEULAS
PINANG
“Silakanlah menjamah
sepiak dua”
tepak sirih menghantar
sembah
budaya Melayu merai
tetamu
berzaman dahulu.
Merah bibir wajah
berseri
bersimpuh santun
beralas
tikar mengkuang putih.
Membuka bicara lirih
berkias maksud
tersirat
apa dihasrat menjadi
hajat
di serambi berbeka
mesra
dahulukala.
Rumpunan sirih
memanjat junjung
berayun disapa pawana
dedaunan bugar menari
herba merawat
diri
warisan alam semula
jadi.
Fungsi yang dilupakan
Paridah Ishak
Desa Melor Serendah
7/12/018
Pusara itu kembali
meraup sepi. Setelah berteleku, membaca yasin, berdoa dia melangkah
meninggalkan pusara arwah putera kesayangannya dalam hujan yang turun
renyai-renyai di awal pagi.
Hatinya yang masih robek
ditinggalkan bertambah nyilu diselimuti dinginnya suasana. Telah sekian tahun
putera mengadap Ilahi namun di hatinya merasakannya seolah baru semalam. Masih membekas
Cinta dan kasih sayangnya
yang mendalam terhadap putera dibelai,
dimanja, bagai menatang minyak yang penuh tidak langsung hapus walau sedikit.
Rasa itu menderanya halus,melanyaknya
hingga tidak bermaya. Kesedihan lantaran kehilangan yang tersayang terus
diratapi. Menjadikannya murung.
Kemboja putih
menggugurkan kelopaknya menghampar pusara itu dan menebarkan keharumannya ke
serata ruang. Berat kakinya melangkah pergi meninggalkan kesayangannya di
pusara in.
Sepasang tangan kurus meraup doa yang ditadah
Doanya kepada Allah dengan titis airmata deras
Reda-Mu puteraku di
sisi-Mu di syurga-Mu
Ibu ini pulangkan
anugerah-Mu kepada-Mu
Meski dukalaranya
terlalu
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
23/11/018
PURNAMA CINTA
Sendu pungguk berlagu merayu clnta
limpah cahaya bebayang syurga
melayang rasa teruja nikmat bahagia
semi kemarau menyerlah sketsa grafik
kelam terselindung
Purnama berceritera janji langit kepada pungguk
hujan mutiara rahmat pasti
berlomba luruh
mengairi gersang kontang tanah cinta
ruang alam mempelangi rona indah
lukisan esok dilakar cermat
memadam bersungguh garis-garis sketsa hodoh
Momen euphoria sebentar di bawah sinar purnama
tika janji semi malam kepada siang berpadu
namun benderang nyata segala
sirna lukisan bahagia
hipokrasi alam fana
PARIDAH ISHAK
Desa Melor
17/11/018
SENYUM HAMBAR
Bibir pucat lesi masih mampu tersenyum tawar
Menadah berita bercerita yang membawa kehampaan gosong
Ralit menafsirnya semahu rasa
Meski pahit getir menyengat rengat
Tidak mengapa
Lupakanlah tidak salah
Seketika cuma
Hanya sementara
Detik berdetik tiada henti
Pasti membawa keinginan dambaan
Senyum pun terorak lebar
Berseri manis
Harapan yang digantung
Mungkin mimpi tersadung
Tersembam tertiarap terluka
Di anjung kasih ini
Dugaan fenomena hayat bernadi
Segala ketentuan tidak terjangka
PARIDAH ISHAK
Ulu Jempol
Pahang DM
16/11/018
AUTOBIOGRAFI
Sekian lama catatan itu
jemari menulisnya
bertimbun setinggi mercu
gunung terhimpun
periwayatan sejak
kelahiran
hingga noktah terakhir
kematian.
Hari pengadilan Mahsyar
autobiografi terentang
skrin layar Ilahi
menjustifikasi setiap
zarah amal kebatilan kebaikan
walau terlindung
tersembunyi
tidak diketahui.
Mukadimah profail
diselak buka
helai demi helainya
adalah ceritera yang
ditulis
merentak tari kemahuan
niat
menguasai bijaksana
pendirian.
Sebagai penulis autobiografi
tema terma etika
penulisan
ketentuan Editor.
PARIDAH ISHAK
Ulu Jempol
Pahang DM
UKHUWAH
Terputuskah sudah?
jalenan tersimpul kental
kelmarin
saat kelahiran
terleraikah?
Pertanyaannya mudah
jawapannya payah
Lirikan anak mata tidak
berkata
senyum sinis berbicara
ertinya ditafsir
Sedang atma kabur
memahami
Justeru darah merahmu
mengalir di jasad ini.
Usah sesali jika ada
hutangmu
dituntut di sana
Paridah Ishak
Desa Melor Serendah
SARENADE AGRARIA
Sepi desa terpinggir
ritma cengkerik alun ritma
sekata senjakala jelma
malam labuh tirai
ceritera
purnama mengambang
sinar cerlang bintang
terangi mimpi hambar
Impi esok serlah
ceria tanpa resah
mengoles benih cinta
menyubur cambah
sebati bersama alam
sejati semula jadi
Aroma harum tanah pusaka
hijau ungu jingga
dedaunan tari gemalai pohonan
sentuhan bayu pagi
membelai nyaman
mewariskan budidaya bumi
selama
mengerat salam doa demi
langkah berkarya
basah bibir berzikir
bertasbih tahmid
rezeki-Nya berguguran.
Tinggi mentari di atas
ubun
menular bahang.
Serenade agraria lestari
mengukir arca bahagia
melodi indah simfoni
desa
lagu petani.
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
29/11/018
MUTIARA IMAN
Laksana
kalungan malar melur
harum
membugar dititis jernih
gemerlap embun pagi
di hujung dedaunan
merumpun
terselit ayu dibawah
labuhan kerudung labuci.
Menguntai kepercayaan
memudar ragu
walau hanya sekelumit
rasa.
Menyerlah cinta obsesi
melampaui sejati.
Logik nakli cuit polemik
berpanjangan
nuansa menyimpul fatwa
kerumitan
sukar dirungkai diabai
sejati cinta abadi
lestari
mendakap indah syumul
Islam
hidayah-Nya disyukuri
Alhamdulillah
ummah pilihan bertuah .
Justeru menggugurkan
untaian kepercayaan sebenar
sirnalah sinar mutiara
iman jernih gemerlap
akad syahadah janji
termetrai makin relai
fatamorgana ilusi
menguasai
atma selaru haru biru
mengalah godaan
mengancam
muflis segala
mohon dijauhi-Nya.
Kepada-Nya kita kembali.
PARIDAH ISHAK
Ulu Jempol
PAHANG DM
SEBUAH
RUMAH BARU
Kini berada di sini
Sehelai sepinggang membawa diri
Meninggalkan sisa-sisa
kenangan harapan yang bersepai merata
Ingin dikutip helaiannya
satu persatu meski semakin usang ronanya
Untuk digantung di ruang
tamu bisu
Siapalah yang bias menakrif
memberi ketepatan intuisi idila
Bersimpang siur meneruju sasaran
berbayang samar
Menggelut dalam gumpalan
kalbu kecil
Menyingkir ragu di puncak
mercu
Hijrah ke rumah baru dalam
rela terpaksa
Meninggalkan yang tersayang
kecintaan
Reda ikhlas membalut
kesedihan
Menggugurkan cebisan sesalan
musyhkil
Rumah yang ditinggalkan
terlantar usang
anai-anai meraja serata
ruang
membelai memperbaiki tiada
daya
binaan imej lalu nan
sempurna bernoktah sejarah
bertaklik akan tentu-Nya
segalanya fana
PARIDAH ISHAK
Serendah Selangor
17 Feb 018
Sajak 1
MERENUNG MENDUNG
Senandung awan berlagu sendu
segera rapat pada ibu
gemuruh guruh bicara
mengatur cara berlindung sementara hujan
berderai
Pesan ibu memahat ingatku
usah bermain hujan lalu
demam tak kebah galau melulu
ketika lewat
laman luaran makin riuh
kodok cengkerik meratib zikir
Alam hijau menyerlah bugar
titisan rahmat-Nya mengusir debu cemar
Rona roni payung mengembang
aspal berasap
kaki melangkah hala destinasi
alam persih cerah
PARIDAH ISHAK
Serendah Selangor
17 Feb 018
Sajak 2
DAUN PISANG HIJAU
Dicantas sepelepah
lalu berlari kecil di batas sawah
bertandak dalam ruang luas alam
Hujan gerimis merelai renyai
ikan ikan katak katak berlompatan girang
Ritma hujan menderu
Lorong air menggelimpang isinya
rezekinya dikutip satu satu
daun pisang membalutnya
seluruh tubuh kuyup
geletar dingin
Nostalgia jauh meruyup
PARIDAH ISHAK
Serendah Selangor
18 Feb 018
Sajak 3
MENGIRA HUJAN
Menggelumut dingin
jendela terbuka tutup
Tempias titik hujan usikan angin menyergah
sedar
sendirian mengira titis hujan yang luruh
tengah hari
Kutulis puisi di lembar putih
menunggu dia yang tidak hadir
janji cita dimungkiri
masygullah wajah diri
kesepian mencengkam dalam
masih tinggi harapan digantung
pertemuan berlangsung
tika titis hujan terakhir
PARIDAH ISHAK
Serendah Selangor
18 Feb 018
Sajak 4
RINTIK HUJAN
Kutulis kisah hujan yang merintik suatu malam
menggempar atap nipah pondok tepi bendang
tika siang benderang dipanah mentari membahang
Berterusan simbah hingga jelah suria pagi
seriatnya belum
sudah bah melimpah
kujinjing kasut basah ke sekolah
mengharung air sekerat betis atas permatang
sebelum mula menulis citra masa depan
PARIDAH ISHAK
Serendah Selangor
19 Feb 018
Sajak 5
MENYERU HUJAN
Dalam doa selawat dan salam
jemaah menuruti imam seorang
tawaduk sujud hamba
menyeru hujan merajuk di langit
segera pulang
membasah gersang bumi kering kontang
merkahnya meruap haba
bening mutiaranya dirindu hadirnya
PARIDAH ISHAK
Serendah Selangor
19 Feb 018
No comments:
Post a Comment