Saturday, December 11, 2021

MANUSKRIP CERPEN KANAK2

 

 

JARUM EMAS

MANUSKRIP

CERPEN KANAK-KANAK

OLEH

PARIDAH ISHAK

 

 

Kandungan

1. ARIF BALIK KAMPUNG

2. BASMALAH

3. BUAYA TIDAK MENGENANG BUDI

4. JANJIKU PADA MAMA

5. HITAM EKOR PANJANG

 

6. KASUT SEKOLAH

7. JARUM EMAS

8. RUMPUNAN NIPAH TUK

9. LABAH-LABAH TAMAK

10. PERSIDANGAN POKOK

11. KURA-KURA TERBANG LUPA PESANAN

12. LEMBU EMAS

13. PETALING JUNTAI

14. POKOK NASI

15. BELALANG YANG LALAI

 

1.

ARIF BALIK KAMPUNG

 

Sepasang burung kulihat bertenggek di pohon manggis berdekatan rumah Atuk. Bentuknya agak besar. Dan  matanya yang bulat itu seolah merenungku. Seram pulak aku rasa.

            “Burung apa tu Tuk?” Atuk yang hendak melangkah menuruni tangga terhenti, lalu duduk di sisiku.

            “Mana?”

            “Itu! Di atas dahan pokok manggis. Ada dua ekor  di situ!”

“Mata Atuk ni dah kabur tak nampak jelas. Cuba Arif tunjuk kat mana.”

Aku segera menunjukkan arah yang aku maksudkan kepada Atuk. Atuk tersenyum memandangku. Hairan aku dengan gelagat Atuk.

“Kamu ni antara pokok manggis dan rambai pun tak dapat nak bezakan.”

“Pokok manggis di sebelah pokok rambai.”

“Iakah? Tapi Atuk mesti tahu, burung tu burung apa?” aku masih tetap mahukan penjelasan Atuk walau merasa malu dengan kesilapanku menamakan pokok. Memang terlalu banyak pokok buah-buahan di sekeliling rumah Atuk dan aku tidak dapat mengingati namanya satu persatu.

“Oh itu burung jampuk! Burung jampuk memang suka tidur di celah dahan pokok rambai pada waktu siang. Selalu Atuk nampak jampuk tidur di situ.” Aku mengangguk mendengar penerangan Atuk.

“Tapi matanya bulat  merenung kita.”

“Agaknya burung jampuk tu dah bangun tidur dan memandang mangsa yang hendak dijadikan  makanannya,” ujar Atuk.

“Mungkin burung jampuk tu hendak menangkap kita kut. Takut juga!”

“Isyh kamu ni ke situ pula yang difikirkan!” Atuk ketawa. Mungkin Atuk merasa lucu mendengar apa kukatakan.

“Burung jampuk tu yang jadi makanannya adalah tikus. Bukannya orang macam kita.” Lega hatiku kala Atuk berkata begitu.

Tiba-tiba aku melihat seekor burung pula hinggap di pohon manggis. Kali ini aku pasti pohon itu ialah pohon manggis kerana Atuk telah memberitahuku sebentar tadi.

“Itu burung apa pula? Cantik dan besar paruhnya.”

“Itu burung enggang! Yang berbunyi riuh itu burung murai, yang di bawah pokok kelapa tu burung mala kebau.”

“Macam duduk dalam zoo pula ya Atuk. Pelbagai jenis burung ada di sini. Burung-burung bebas terbang ke sana sini. Tapi tidak terkurung macam dalam zoo.”

“Ialah tu. Kawasan rumah Atuk ini di kampung dan banyak tumbuh pohon-pohon yang rimbun. Menjadi  tempat tinggal burung-burung dan pelbagai jenis binatang yang dipelihara atau hidup liar. Bukannya seperti tempat kediaman Ariff di bandar sana.”  Benarlah kata Atuk itu. Aku dapat merasakan perbezaan suasana di kampung dan bandar semenjak aku tiba di sini untuk menghabiskan cuti persekolahanku. Pada mulanya aku berat hati hendak balik ke kampung Atuk kerana aku leka bermain game sama ada di komputer atau gajet di rumahku. Dan aku yakin di sini sunyi. Dan aku tidak mahu hadapi suasana asing begitu.

Ibu memujukku agar aku cuba belajar mengenali alam semula jadi pula. Pengetahuannya berguna juga dalam pelajaran sains di sekolah. Tidaklah aku terkial-kial hendak menjawab soalan cikgu tentang pelbagai hidupan dan tumbuhan yang terdapat di sini. Akhirnya aku bersetuju balik ke kampung dan tinggal bersama Atuk dan Nenek.  Dan aku terpaksa lebih lama  tinggal dengan Atuk dan Nenek kerana kerajaan isytiharkan PKP bersambung PKPB sebagai langkah mengekang penularan virus corona.

“ Atuk ni asyik melayan kau bersembang saja, terlupa pula apa Atuk nak buat.” Atuk cuba mengingatinya.

“Oh Nenek  suruh Atuk ambil daun kunyit dan serai kat belakang rumah! Nak suruh kau pergi ambil, nanti lain pula yang kau ambil.”

Aku tersengih saja. Memang  aku tidak kenal rupa daun kunyit dan pokok serai bagaimana. Aku perlu belajar mengenalinya.

“Biar saya ikut Atuk mengambil serai dan daun kunyit di belakang rumah. Nanti kalau Nenek minta saya ambilkan serai dan daun kunyit saya sudah tahu” aku segera mengekori Atuk yang melangkah dengan agak cepat. Aku melihat dua ekor burung bersama anak-anaknya memagut sesuatu di atas rumput.

Aku teruja memandangnya. Kalau dapat kutangkap dapatlah aku bermain-main dengannya. Kelihatannya burung-burung itu amat jinak. Tentu mudah saja aku menangkapnya. Aku dekati burung-burung itu perlahan-lahan. Sebaik aku menghulurkan tangan untuk menangkapnya, burung-burung itu dan anak-anaknya melarikan diri pula.

Pantas aku cuba mengejar. Tapi kakiku tersadung akar pokok. Lantas aku tersungkur. Lututku luka sedikit. Aku mulai merasa kesakitannya. Aku menangis.

“Atuk!” jeritku.

“Eh kenapa kamu terduduk di sini? Menangis pula! Apa yang dah jadi? Atuk ingat kamu dah balik ke rumah. sebab Atuk tak nampak kamu dekat Atuk tadi. Sudah jangan menangis. Orang lelaki mana boleh menangis. Luka sikit saja tu. Lepas disapu ubat  sembuhlah tu.” 

“Sakitlah Atuk!”

“Kamu buat apa sampai terluka lutut kamu?”

“Saya cuba nak tangkap burung tu,”  tiba-tiba burung yang hendak kutangkap tadi kelihatan berada di tepi semak.

“Oh kamu nak tangkap burung wak-wak ke! Memanglah tak akan kamu dapat menangkapnya. Sudahnya kamu yang terjatuh dan luka lutut kamu.”

“Nampaknya macam jinak saja!”

“Nampak saja macam jinak. Tapi burung ni memang liar.” Atuk mengambil beberapa helai daun yang tumbuh di dalam semak. Daun itu Atuk ramas hingga lumat. Kemudian Atuk meletakkannya di lututku yang terluka. Darah merah yang mengalir sudah berhenti.

“ Daun apa ni Atuk?”

“Ini daun kapal terbang. Ubat untuk sembuhkan luka kecil. Tak lama lagi sembuhlah luka kamu tu. Mujarab mengubat luka.”

Atuk menolong aku untuk bangun.

“Kamu masih kuat untuk berjalan kan? Kalau kamu tak kuat biar Atuk dokong kamu macam kamu kecik dulu.”

Aku tertawa sedikit mendengar kata-kata Atuk.

“Jom kita naik ke rumah. Nenek kamu tentu sedang tertunggu-tunggu serai, daun kunyit yang dipesannya untuk dimasak rendang ayam. Esok kan kita nak sambut raya. Kalau kamu nak  burung wak-wak, nanti Atuk tangkap dengan jaring.”

Keesokan pagi Atuk mengajak aku ke bawah rumah melihat burung wak-wak yang telah Atuk tangkap. Teruja aku melihatnya. Ada enam ekor semuanya. Aku memegang seekor burung wak-wak dengan kejap agar tidak terlepas.

“Atuk nak sembelih untuk dibuat lauk kita!”

“Janganlah sembelih Atuk! Kasihan kat burung burung tu. Mungkin mereka ada anak-anak kecil seperti saya lihat semalam. Saya  hanya hendak bermain-main sekejap. Kemudian Atuk .lepaskanlah semula.”

“Suka hati kamulah Arif. Sungguh mulia hati kamu. Sentiasa prihatin terhadap nasib makhluk Allah.” sahut Atuk sambil mengusap-ngusap kepalaku

TAMAT

2.

BASMALAH

 

 

Pada zaman dahulu di dalam sebuah hutan tinggal adik-beradik keturunan Orang Asal. Ibu dan bapa mereka telah meninggal dunia. Kerja mereka setiap hari untuk menyara kehidupan ialah dengan bertani dan memburu hidupan liar. Walau mereka bekerja dengan rajin tetapi mereka tetap juga berada di dalam kemiskinan. Kehidupan mereka yang sukar membuat Agam menjadi malas untuk melakukan suruhan agama yang wajib. Mereka baru saja memeluk agama Islam

            Sementara Amin, adiknya pula sentiasa tabah menghadapi keadaan hidup begitu. Amin amat rajin menunaikan solat  apabila sahaja masuk waktunya. Menjadi amalannya, Setiap kali hendak melakukan sesuatu pasti akan dimulakannya dengan  ucapan kalimah” basmalah”.

            Amalan adiknya itu diperhatikan abangnya. Agam  memperlekehkan perbuatan adiknya itu.

            “Kenapalah awak ini masih rajin bersolat? Awak ini membuang masa sahaja. Tak payahlah bersolat. Bukan dapat faedahnya pun.” Kata Agam kepada adiknya

            “Kenapa pula awak berkata begitu? Solat itu tiang ugama. Kalau tiada tiangnya bagaimana akan tegak agamanya. Bukankah kita ini orang beragama Islam. Islam agama yang baru kita anut itu akan membawa kesejahteraan kepada kita.” Balas adiknya mempertahankan kebenarannya.

            “Pandailah awak bercakap. Tapi setelah menganut Islam, hidup kita masih miskin juga. Tidak ada perubahannya. Kita masih tinggal di pondok buruk. Hendak makan pun mesti dipilih yang halal . Hanya makan ubi kayu sahaja. Aku hendak menyumpit lotong,kera untuk dibuat lauk pun sudah tidak boleh. Babi hutan pun banyak berkeliaran tapi sudah tidak boleh disumpit. Semua itu lauk yang sedap dan mudah diperolehi.” Kata Agam memberitahu kekesalan hatinya.

            “Selain lotong, kera, babi hutan, bukankah banyak lagi hidupan hutan yang boleh disumpit dan boleh dijadikan lauk kita seperti kijang, rusa, pelanduk, landak? Hanya awak sahaja yang malas hendak menyumpitnya.” Tambah adiknya bersuara lembut dan perlahan.

            “Menyumpit semua hidupan itu tidak semudah yang awak sangka. Mereka itu sangat pantas larinya. Aku tak terkejar hendak menangkap mereka.” Agam menyatakan alasannya dengan tegas.

            “Sebelum memulakan sesuatu kerja, ucaplah “ basmalah” terlebih dulu. Pasti Allah akan menolong kita. Maka kerja kita akan menjadi lebih mudah..” Adiknya cuba memberi sedikit panduan. Ilmu itu diperolehinya ketika menghadiri kelas agama yang diberikan seorang alim yang berdakwah kepada kaum mereka.

            “Awak ini hanya itu saja yang awak tahu cakap. Asyik “basmalah” saja. Apakah kata-kata itu ada hikmatnya? Sudahlah awak jangan bersolat dan sebut “basmalah” lagi. Aku tidak suka. ”  kata Agam dengan jengkel. Adiknya hanya mendiamkan diri.

            “Saya hendak ke sungai menangkap ikan untuk makanan kita.”

            “Pergilah. Mudah-mudahan awak akan mendapat ikan yang banyak”

            “Sebelum itu saya hendak bersolat dulu, memohon kepada Allah semoga melimpahkan rezeki-Nya kepada kita.”

“Ikut suka hati awaklah. Saya hendak tidur saja.”

“Itulah kerja yang awak tau. Cuma tidur saja. Sebelum awak tidur ucap “basmalah” dulu agar awak tidak bermimpi dikejar harimau seperti selalu.”

“Huh. Tak payahlah awak nak mengajar aku pulak macam ustaz itu. Pergi sajalah ke sungai menangkap ikan. Moga awak dapat menangkap ikan dengan banyak.”

Setelah selesai menunaikan solat sunat Duha dua rakaat, Amin menuruni tangga pondoknya membawa raga kecil dan penangguk ikan. Raga kecil itu untuk mengisi  ikan yang berjaya ditangkapnya mengggunakan penangguk ikan yang diperbuat dari  rotan itu  di sungai kelak.  

Amin turun ke gigi sungai kecil itu, memulakan langkahnya dengan membaca kalimah “basmalah.” Kelihatan banyak ikan-ikan yang berenang di sungai berbatu halus di dasarnya dan sangat jernih airnya itu.

Amin menangguk ikan-ikan itu dengan mudah setelah mengumpannya dengan buah ara yang ditemuinya di pinggir sungai itu. Hampir penuh raga yang dibawanya terisi ikan-ikan yang telah ditangguknya..

Dia berpuas hati dengan apa yang diperolehinya

“Alhamdulillah. Dapatlah ikan-ikan ini dijadikan lauk dan dimakan bersama ubi kayu” katanya perlahan. Dia dan abangnya sudah lama tidak makan nasi kerana bekalan beras sukar hendak diperolehi kata abangnya. Dia mempercayai sahaja apa yang dikatakan abangnya itu.

“Awak, saya sudah balik! Tengoklah apa yang saya bawa balik ni. Tolonglah bawakan ke dapur. Saya  hendak ke belakang pondok mencabut ubi kayu.”

Abangnya tidak mempedulikan panggilannya . Dia meneruskan tidur yang telah terganggu dengan suara adiknya sebentar tadi.

“Wah banyak juga ikan yang dapat awak tangguk ya?” tegur Agam tatkala melihat adiknya itu menyiang ikan.

“Alhamdulillah. Mungkin berkat saya membaca “basmalah” sebelum memulakan kerja. Tuhan memberi kita rezeki yang banyak. Selain dibuat lauk,boleh saya buat ikan kering  dan ikan pekasam untuk makanan kita.” Agam menceberkan bibirnya, seolah tidak suka mendengar kata-kata adiknya itu.

“Suka hati awaklah!” sahutnya sambil meninggalkan adiknya itu.

Dia bertanya kepada dirinya, adakah perkataan ‘basmalah’ itu memang benar mempunyai hikmat kepada yang menuturnya. Dia termenung dan berfikir. Akhirnya dia mendapat idea untuk mengujinya

            “Aku hendak ke kampung di tepi hutan ini mencari sedikit beras. Guri yang mengisi beras pun sudah kosong.  Sudah lama kita tidak makan nasi.” Dicapainya guni yang sering di isi beras di atas para.

            “Ialah. Pergilah. Jangan lupa menyebut “basmalah” sebelum memulakan kerja.”  Pesan adiknya itu tidak dipedulikannya. .Di dalam fikirannya dia sedang merancang sebaliknya.

            Langkahnya menuju ke dalam hutan. Matanya melingas seakan mencari sesuatu.  Dia  menemui apa yang dicarinya. Pantas ditangkapnya haiwan berbisa itu. Lalu dimasukkan ke dalam guni yang dibawanya.  

            Sampai di rumah dimasukkan haiwan berbisa itu ke dalam guri pengisi beras. Perbuatannya tidak disedari adiknya yang sedang menjemur ikan ketika itu.

            “Awak dah pulang. Cepatnya. Sudah dapat beras yang dicari?” Agam angguk.

            “Pergilah tanak nasi. Sudah ada beras di dalam guri.” Ujar abangnya.

            “Jangan lupa baca “basmalah’ ” Katanya dengan nada mengejek.

             Amin gembira kerana abangnya kelihatan telah berubah. Dan tidak lagi memarahinya menyebut “basmalah.”

            “Bismilahirohmanirrohim,” ucap Amin sebelum membuka penutup guri. Sebaik penutup guri dibuka terpancarlah cahaya kuning keemasan dari dalam guri tersebut. Amin sangat terkejut sehingga terpekik-pekik memanggil abangnya.  Agam mengesyaki adiknya yang dibencinya kerana suka menyebut “basmalah” sedang kesakitan dipatuk ular berbisa yang diletakkannya ke dalam guri itu.

            “Sudah aku duga “basmalah” itu tiada hikmatnya. Sekarang merasalah akibatnya.” Ujarnya.

            “Abang kenapa tidak datang lagi? Tidak mahukah melihat emas di dalam guri ini.”

“Emas?”  Agam terkejut kebingungan. Bagaimana ular berbisa yang diletakkannya di dalam guri bertukar menjadi emas pula. Dia segera mendapatkan adiknya.

“Banyaknya emas. Aku  kaya!” Agam teruja.

“Sebelum awak mengambil emas itu baca basmalah dulu.” Agam tidak pedulikan pesanan adiknya. Tangannya dihulurkan ke dalam guri untuk mengambil emas. Tiba-tiba saja Agam menggelupur kesakitan kerana telah dipatuk ular.

 

TAMAT

3.

BUAYA TIDAK MENGENANG BUDI

 

Pada suatu masa dahulu seekor kerbau berjalan ke tepi sungai untuk minum air. Dia merasa amat dahaga setelah menolong tuannya, seorang petani membajak sawah.

            Tiba-tiba kerbau mendengar suara memanggilnya meminta pertolongan. Dia menoleh mencari akan suara yang didengarinya itu. Maka terpandanglah olehnya seekor buaya sedang mengerang kesakitan kerana tubuhnya telah dihempap sebatang pokok. Pokok ketapang yang agak besar itu telah tumbang menimpa buaya ketika ia sedang berehat di situ.

            Kerbau melangkah menghampiri buaya. Kasihan dia melihat buaya yang sedang mengerang menahan kesakitan. Tetapi dia mengenali buaya sebagai haiwan yang buas dan garang. Dan dia tidak berani hendak menolongnya.

“Tolonglah aku Kerbau. Aku tidak larat lagi hendak menahan pokok yang menimpa badanku ini. Kasihanilah aku Kerbau! Tolonglah kau angkat pokok ini! Buaya merayu simpati Kerbau kepadanya.

“Pokok ini teramat besar dan aku tdak kuat untuk mengangkatnya.” Kerbau menuturkan alasannya. Hatinya merasa bimbang hendak menolong haiwan yang diketahuinya suka membedal dan melibas dengan ekornya mangsa sepertinya untuk dijadikan makanannya.

“Cubalah dulu Kerbau! Badan kau amat besar. Tentu kau kuat untuk mengangkat  pokok ini daripada badanku. Tolonglah aku Kerbau! Jika kau tidak menolong aku, tentulah aku akan mati di sini. Kasihanilah aku!” Buaya terus merayu sambil menangis. Dia amat mengharapkan Kerbau akan menolongnya.

Kerbau merasa kasihan pula mendengar rayuan buaya itu. Dia tidak sampai hati tidak menolong buaya yang dinamakan juga Sang Bedal kerana sikapnya suka membedal mangsanya sebelum dijadikan makanannya. Kerbau terlupa akan sikap jahat  buaya itu kerana niat baiknya telah  mengatasi sangkaannya.

Dengan menggunakan tanduknya yang melengkung di atas kepalanya, Kerbau cuba mengangkat pokok ketapang daripada tubuh Sang Bedal. Usaha Kerbau berjaya. Sebaik Kerbau  mengalihkan pokok ketapang, dia terasa kakinya sedang ditarik Sang Bedal dengan mulutnya yang bergigi tajam itu.

“Eh. Kenapa pula kau menarik kaki aku ini? Gigi kau yang tajam itu menyakiti kakiku ini! Lepaskanlah!”

“Tidak mungkin aku melepaskan makananku yang sangat lazat ini!” ujar Sang Bedal dengan tidak terduga sama sekali oleh Kerbau.

“Bukankah aku telah menolong kau! Tidakkah kau merasa terhutang budi kepadaku? Perbuatan baik akan baik juga balasannya! Apakah kau tidak tahu?” Kerbau cuba menyedarkan kesilapan Sang Bedal.

“Aku tidak percaya kalau buat baik, cuma dibalas baik!” Kata Sang Bedal dengan angkuhnya,, cuba menafikan hakikat itu. Dia menoleh melihat tikar usang yang hanyut di sungai melintasinya.

“Sekiranya memang benar apa yang kau katakan, aku akan lepaskan kaki kau! Biar aku tanyakan kepada tikar usang itu! Hai tikar usang! Apakah kalau berbuat baik, balasannya baik juga?”

“Tidak benar begitu! Lihat saja diriku. Aku dulu sangat cantik dan berbuat bakti kepada tuanku setiap hari. Aku menjadi hamparan tidur tuanku, anak-anaknya dan tetamu yang singgah ke rumahnya. Sungguh besar jasaku. Tetapi setelah aku lusuh dan buruk, tuan aku membuang aku ke dalam sungai.  Segala baik budi aku kepadanya selama ini tidak dikenang lagi!” sahut tikar usang dengan sedih. Air sungai yang mengalir laju terus menghanyutkannya menurut arusnya.

Kemudian lalu pula tudung saji dan terendak kepala yang telah buruk dihanyutkan arus sungai. Lantas Sang Bedal bertanya kepada mereka soalan yang sama. Kedua-duanya menjawab dengan nada yang seakan dengan jawapan yang diberi  tikar usang.

“Kau dengar kata tikar usang, tudung saji dan terendak buruk itu Kerbau! Buat baik tidak dibalas baik!” Sang Bedal yakin sekali apa yang dikatakan Kerbau adalah salah.

“Sebab jawapan yang diberi kepadaku menyanggah apa kata kau, maka kau akan kuseret ke dalam sungai. Sungai yang dalam itu akan menenggelamkan kau. Setelah kau mati lemas, aku akan memakan kau. Ha ha!” Sang Bedal ketawa kerana dia telah berjaya memperdaya Kerbau yang dianggapnya bodoh kerana mempercayainya. Dan tidak merasa ragu untuk menolongnya.

Kerbau merasa susah hati memikirkan keselamatan dirinya. Dia berdoa kepada Tuhan agar memberinya pertolongan kerana kebaikan yang telah dilakukannya terhadap Sang Bedal.

“Apa yang telah berlaku?” Tanya Sang Kancil yang tiba-tiba muncul  di situ.

“Aku baru saja menolong Sang Bedal ini dengan mengangkat pokok ketapang yang telah tumbang menghempap badannya. Tapi Sang Bedal ini memang tidak tahu mengenang budi aku kepadanya. Tiba-tiba dia menarik kakiku. Katanya dia hendak melemaskan aku ke dalam sungai. Dia hendak menjadikan aku bahan makanannya. Tolonglah aku melepaskan diri daripada menjadi mangsa Sang Bedal yang jahat  ini! Aku telah tersilap kerana menolongnya!”

“Aku tidak percaya perbuatan baik akan dibalas baik juga!” Ujar Sang Bedal.

“Aku juga tidak percaya! Perbuatan baik selalu tidak dibalas baik oleh mereka yang menerimanya dan tidak tahu mengenang budi.” sahut Sang Kancil seraya memandang Kerbau.

“Nampaknya kau juga bersetuju denganku, Sang Kancil.” Ujar Sang Bedal dengan gembira. Sang Kancil memandang Kerbau sambil tersenyum.

“Apalah malang nasibku ini kerana telah menolong Sang Bedal yang sombong ini.”

“Tapi aku juga tidak percaya bahawa Kerbau telah mengangkat pokok ketapang yang besar itu daripada tubuh Sang Bedal. Bagaimanakah itu boleh berlaku? Cuba kau ceritakan kepadaku, Sang Bedal!”

“Ya. Tadi pokok ketapang itu tumbang menimpaku. Ketika itu aku tertidur. Dan tidak sempat hendak melarikan diri. Kerbau telah mengangkat pokok ketapang itu dengan tanduknya.” Balas Sang Bedal

“Iakah? Aku masih tidak percaya!” tukas Sang Kancil.

“Tapi itulah yang berlaku sebenarnya.” Kata Kerbau.

“Aku hanya akan mempercayainya, sekiranya aku melihat kejadian itu! Cubalah perlihatkan kepadaku bagaimana kejadian itu berlaku,” Sang Kancil bersuara tegas.

“Kalau kau masih tidak percaya, aku akan suruh Kerbau meletakkan semula pokok ketapang itu ke atas badanku. Dan setelah itu mengangkatnya semula seperti yang dilakukannya sebentar tadi.” Ujar Sang Bedal.

“Apa lagi yang kau tunggu Kerbau! Cepat kau angkat pokok ketapang itu dan letakkannya di atas badan Sang Bedal seperti tadi. Dengan itu barulah aku mempercayai kau telah mengangkat pokok ketapang yang besar itu. Dan Sang Bedal berjaya melepaskan diri daripada beban yang menimpanya.” Sang Kancil menggesa Kerbau yang masih keliru dengan arahan Sang Kancil itu.

“Untuk Kerbau berbuat begitu, kau hendaklah melepaskan kaki Kerbau terlebih dahulu”

“Baiklah Sang Kancil!” balas Sang Bedal tanpa ragu.

Dengan menggunakan tanduknya, kerbau mengulangi perbuatannya tadi. Pokok ketapang sekali lagi menimpa Sang Bedal.

“Cepat Kerbau kita beredar dari sini. Tinggalkan Sang Bedal itu.”

Sang Bedal merayu-rayu agar Kerbau mengangkat pokok katapang itu semula. Tapi permintaannya tidak diendahkan Kerbau.  Dia bersyukur kepada Tuhan kerana kecerdikan Sang Kancil telah menyelesaikan masalahnya.

 

Tamat

4

.

JANJIKU PADA MAMA

 

 

AKU baru selesai memuat turun dan memasang permainan kereta yang kuminati. Mulailah aku menolak cursor dan mengetik abjad yang berfungsi dengan permainan  perlumbaan kereta itu. Perhatianku tertumpu sepenuhnya kepada permainan itu.

            “Azri!” Mama memanggilku. Aku tidak menjawab. Aku terlalu asyik. Aku sedang cuba memintas kereta lawanku yang dikawal dengan laju oleh komputer.

            “Azri!” Mama memanggilku lagi.

            “Apalah mama tu nak lagi? Kacau aku nak main saja,” rungutku perlahan. Kemudian barulah aku menjawab,         “Apa, ma?”

            “Naik atas cepat! Tolong jaga adik ni. Mama nak solat.”

            “Amar kan ada! Suruhlah Amar jaga,” sahutku agak kasar. 

            “Amar sedang buat kerja sekolah ni. Abang  tu main game saja.” Kedengaran Amar bersuara.

            “Naiklah cepat! Mama nak solat ni!”

            “Yalah! Azri naik ni!” balasku geram. Dengan malas, aku menaiki tangga ke tingkat atas. Rumah yang kuhuni bersama ibu bapa dan adik-adikku ini, bertingkat dua jenis semi-D. 

            Adikku, Sara yang baru sahaja berusia tujuh bulan itu sudah pandai melonjakkan tubuhya ke mana sahaja. Amar sibuk menyiapkan kerja sekolahnya. Mamaku pula sedang mendirikan solat Asar. Aku pula leka mengetik punat kecil yang memaparkan permainan kegemaranku di telefon pintar kepunyaan mama. 

            “Mana adik?” tiba-tiba aku terdengar Amar bertanya. Aku mengangkat muka

memandang kepada Amar. Aku lihat Amar sedang tertinjau-tinjau. Tadi Adik Sara berada di sisiku. Namun kini sudah tiada. 

            “Eh, mana adik ni?” soalku. Hatiku mula resah.

Tanpa menghiraukan pertanyaanku, Amar bergegas bangun menuju keluar bilik. Aku mulai risau akan keselamatan adikku itu. Aku juga bimbang dimarahi mama jikalau adikku ditimpa kecelakaan. Tidak lama kemudian, aku terpandang Amar kembali dengan mendukung Adik Sara.

            “Oh, lega... Cepat sungguh adik melungsur,” ujarku.

            “Mujur adik tak jatuh tangga. Kalau Amar lambat tadi, tentu adik dah tergolek ke bawah. Kalau adik jatuh tadi, macam mana?” Amar bertanya. 

            “Tapi adik tak jatuh, kan?” balasku selamba.

            “Eh! Kalau adik jatuh macam mana?” Amar mengulang pertanyaan itu, tinggi nada suaranya. 

            “Dahlah! Tak payahlah nak marahkan abang. Pergilah buat kerja sekolah kau,” kataku tidak mengendahkan pertanyaan Amar.

            “Habis tu, siapa nak jaga adik?” tanya Amar.

            “Abanglah!” kataku mengambil Sara daripada dukungan Amar.

            “Boleh percaya ke? Abang asyik main game saja. Di tingkat bawah main game komputer. Di tingkat atas ni pula, main handphone mama.” Amar meragukan kemampuanku biarpun aku sedang meriba Adik Sara.

            “Habis, nak buat apa lagi? Kerja sekolah, abang dah buat. Nak main di luar, mama tak bagi. Takut itulah! Takut inilah!” kataku jengkel. 

            “Nanti bila petang sikit, mama bawalah kita bermain di taman,” balas Amar.

            “Nak tunggu mama bawa, lambatlah. Asyik terkurung saja dalam rumah. Abang nak ikut Amirul main bola, mama tak bagi.” Amirul adalah kawanku, tinggal bersebelahan dengan rumahku.

            “Abang berani nak main di taman tanpa ada orang tua perhatikan kita? Kan mama cakap, budak kecil macam kita, orang jahat suka culik untuk diambil organ dalaman dan dijual. Abang tak takut?” terang Amar, mengulangi apa yang diberitahu oleh mama kepada kami selalu.

“Abang tengok Amirul tu selalu bermain di taman atau main bola bersama kawan-kawannya, tak ada sesiapapun culik dia.” Aku membangkang.

            “Belum kena culik lagi… Harapnya, taklah.” Aku terdengar mama bersuara. Secara tiba-tiba sahaja mama muncul di situ. Rupa-rupanya mama sudah menyelesaikan solatnya. Mama mengambil Adik Sara daripada ribaanku.

            “Kenapa bising-bising tadi? Sampai mama solat pun tak kusyuk.” tanya mama. 

            “Adik tu ma, melungsur nak turun tangga,” jawab Amar.

“Ha? Kamu berdua ni! Mama harap dapatlah jaga adik, tapi seorang pun tak boleh diharap.” Mama memarahi aku dan Amar.  

            “Adik tu, ma. Cepat sangat dia melungsur,” kataku.

            “Ada-ada saja alasannya. Mama bukan tak tahu, kamu tu ralit sangat main game.” Mama bersuara keras. 

Kemudian mama menyambung, “Mama bersolat mendoakan kesejahteraan kita sekeluarga. Semoga kita dilindungi Allah, selamat di dunia dan di akhirat. Alhamdulillah, Allah mendengar doa mama. Syukur, adik selamat tak jatuh tangga.” 

Mama berhenti seketika lalu mengomel lagi, “Apa yang mama suruh tu, dengarlah. Abang yang besar, jagalah adik-adik. Hidup kita ni kena saling tolong-menolong. Jangan asyik ingat game saja. Dalam hidup kita ni, kena fokus kepada yang penting terlebih dahulu. Misalnya, kita mesti masukkan batu-batu besar dulu ke dalam bekas sebelum batu-batu kecil. Kalau batu-batu kecil penuh dalam bekas, tentu batu besar tak boleh dimasukan lagi. Mama ni guru sains. Mama tahulah.” 

“Batu besar tu, nak buat apa, ma?” Aku tidak faham maksudnya, bertanya.

            “Batu besar tu umpama tujuan utama hidup kita. Belajar dengan rajin. Capai cita-cita. Dengar nasihat ibu bapa, guru dan mereka yang lebih tahu daripada kita.”  

Aku cuma diam dan buat tidak kisah akan penerangan mama itu. 

            Mama bertanya kepada Amar, “Dah siap semua kerja sekolah, Amar?” 

Aku lihat Amar cuma mengangguk.

“Pilih buku ikut jadual pelajaran sekolah esok. Jangan semua nak  dibawa, Lepas tu, bersiap. Mama bawa kamu berdua ke taman.” 

            Mendengar perkataan “taman”, hatiku dijentik kegembiraan. Segera aku mengemas buku-buku mengikut jadual dan memasukkan ke dalam beg. Amar pun berbuat demikian.

Pada keesokan hari, Ustazah Atiqah memasuki kelasku untuk mengajar subjek Agama Islam. Aku sedang berbual dengan Amirul ketika itu, segera kembali ke mejaku.

            “Seronoknya kamu semua bersembang, ya. Baiklah, hari ini ustazah nak bercerita akibat tidak mendengar kata ibu bapa. Dan apa hukuman yang Allah beri kerana mengengkarinya.”

            Aku terkebil-kebil memandang Ustazah Atiqah. Manakala Ustazah Atiqah terus bersuara.

            “Anak yang tidak berbakti kepada ibu bapa dan hanya pentingkan diri sendiri sahaja, dilaknati Allah. Alangkah malangnya nasib mereka yang tidak tahu mengenang budi  ibu  bapa.  Hukumannya  amat  berat.  Di   padang  Mahsyar  kelak   akandibangkitkan semula setelah mati dengan keadaan tubuh  penuh sopak dan kusta.

            Murid-murid, mahukah kita dibangkitkan dengan keadaan rupa hodoh dan berpenyakit kusta iaitu sejenis penyakit yang merosakkan kulit dan membuatkan bahagian tubuh  pecah-pecah serta bernanah.  Tentu tidak mahu, bukan? Kita tentu nak bangkit semula dengan cukup lengkap sifat dan wajah yang berseri-seri. 

 Jadi, jangan engkar kata ibu bapa kita. Anak-anak yang derhaka kepada ibu bapa akan ditimpakan Allah hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka. Sebagai anak, walau berkata ‘uh’ kepada ibu bapa pun tidak boleh, apatah lagi derhaka dan engkar larangan mereka.” 

Aku termenung mengenang akan sikapku terhadap mama selama ini. Aku selalu mencuaikan perintah mama kerana leka bermain game dan aplikasi maya. Perbuatan itu kubimbangi akan dilaknati Allah.

‘Ya Allah! Aku berdosa pada mamaku. Ampunilah dosa hamba-Mu ini,’ ucapku dalam hati. Aku sungguh menyesal. Akan aku memohon ampun daripada mama apabila pulang dari sekolah nanti. Janjiku pada mama, mulai hari ini aku akan mentaati mama. Aku mahu menjadi anak soleh yang berbakti kepada mama, papa dan keluargaku. 

 

TAMAT.

5.

 

HITAM EKOR PANJANG

 

Hitam kulihat berada di atas alang. Entah apalah yang dicarinya. Pantas saja Hitam meniti alang  ke sana sini. Dan kelibatnya tidak kelihatan lagi. Sudah hilang dari pandanganku. Cergas dan pantas sekali pergerakan Hitam.

            Aku tercari-cari akan keberadaannya. Tapi tidak kutemui.  Aku melangkah ke serambi. Mataku meninjau ke halaman. Mungkin si Hitam berada di situ pula. Kelihatan anak ayam yang kecil dan comel mengikut ibunya mematuk-matuk dan mengais tanah. Aku  mengira  anak-anak ayam itu. Kesemuanya sepuluh ekor jumlahnya.

            Ralit aku perhatikan ibu ayam dan anak-anaknya sehinggakan aku terlupa akan niat sebenarku iaitu mencari kucingku si Hitam. Ibu ayam dan anak-anaknnya telah hilang  daripada pandanganku setelah melewati rumpun bunga loceng berwarna kuning tanaman ibuku di sepanjang sempadan yang memisahkan rumah  kami dan rumah jiran.

            “Apa yang kau  perhati?” pertanyaan itu mengejutkan aku. Aku menoleh ke arah suara itu. Tiba-tiba saja ibuku sudah berada di sisiku.

            “Tadi saya cuba cari Hitam. Kut dia ke sini. Tapi tak nampak pula. Entah          kemana pula Hitam tu merayau.”

            “Kau nak buat apa dengan Hitam?” Tanya ibuku lagi.

            “Saya nampak Hitam tu comot sangat. Bulunya tak bersih, Hajatnya  saya nak mandikan dia. Biar kelihatan lebih bersih dan bulunya kembang  cantik.” 

            “Terlebih rajinlah pulak anak Ibu ni!  Kucing pun hendak dimandikan. Kau tu   yang  patut pergi mandi. Bersihkan diri, dah nak masuk waktu dzuhur ni. Lepas solat pergi makan. Ibu dah hidang atas meja kat dapur tu.” Ibuku bersuara bernada perintah.

            “Sekejap ya Ibu! Saya nak tunggu Hitam balik. Mungkin sekejap lagi Hitam balik. Boleh saya mandi  bersamanya. Lepas tu kami makan.”

“Suka hati kaulah. Kau memang suka mandikan Hitam. Walau pernah dicakarnya waktu kau nak mandikan dia dulu,, masih juga kau tak serik.”

“Hitam tu memang kena dimandikan Ibu. Biar bersih. Sebab dia tinggal bersama kita. Selalu keluar masuk rumah. Bimbang kotoron yang melekat di badannya ada kuman yang membahayakan kita. Nanti tak pasal-pasal kita   dan Hitam diserang penyakit pula.”

“Suka hati kaulah. Ibu nak ke belakang sekejap. Nak periksa reban ayam. Manatau ayam yang mengeram tu dah menetas telurnya. Kena berjaga-jaga juga. Sebab bimbang jadi habuan musang atau anjing liar.”

“Ialah Ibu. Tadi saya Nampak ada ibu ayam bawa anaknya. Mungkin itu ibu  ayam yang  mengeram tu. 10 ekor anaknya ibu.

“Oh!” Ibuku hanya menyebut sepatah kata. Dan terus berlalu   dari sisiku.

Aku sendirian di serambi. Anak mataku melilau, meninjau keberadaan kucing kesayanganku. Tiba-tiba    terdengar suara kucing mengiau perlahan di kakiku tatkala aku  berdiri.  

“Dah balik pun kau  ya Hitam. Puas aku mencari kau. Kau kemana? Hisyh kotornya badan kau! Jom ikut aku pergi mandi!”

Aku  menangkap Hitam. Memeluknya erat  tanpa kupedulikan kotoran yang melekat di badannya terkena bajuku.  Segera kubawa Hitam ke bilik mandi. Hitam meronta seolah mahu aku melepaskannya. Sebelah tanganku yang kanan memegangnya erat. Dan tanganku yang  kiri mencebuk air untuk memandikannya.

Hitam mengiau nyaring. Barangkali ia merasa tidak selesa kuperlakukan dirinya begitu.

“Sabar ya Hitam! Sekejap lagi siaplah.” Akhirnya aku berjaya memandikan Hitam sehingga bersih. Kali ini Hitam tidak mengcakarku.

“Dah pun selesai. Biar aku lap dulu bulu kau dengan tuala supaya kering. Lepas aku mandi kita makan ya! Kau jangan kemana. Tunggu aku kat dapur.”

“Meow! Meow!” balas Hitam.

“Kau faham apa yang aku kata ya Hitam!” aku tertawa riang.

Ibuku tiba-tiba muncul di pintu dapur ketika aku sedang makan nasi di meja dan hitam pula kuletakkan makanan di pinggannya di bawah meja.

“Kau cakap tadi anak ayam yang baru menetas jumlahnya  sepuluh kan?”

“Ya Ibu. Saya kira tadi, sepuluh semuanya anak ayam tu.”

“Mungkin kau silap kira kut. Sembilan ekor je yang ada, Ibu tengok.” Ibuku mempersoalkan kenyataanku.

“Entahlah ibu. Jangan-jangan anak ayam tu dah dibaham musang atau anjing liar.”ujarku menduga.

“Kawan kau si Eli tadi beritahu ibu, ada seekor kucing hitam yang selalu mengejar anak ayam di rumahnya. Anak ayam akan digongongnya dan dibawa lari ke dalam semak.”

Aku terkejut mendengar penjelasan ibuku. Segera kuhabiskan makanan di pinggan. Lalu membawa pinggan   itu  ke sinki untuk dibersihkan.  Ibu kulihat asyik memandang Hitam yang sedang makan dibawah meja.

Aku risau pula memikirkan ibuku menyangka bahawa semua ini angkara Hitam.

“Mungkinkah ini kerja si Hitam?” kata Ibuku

“Kenapa ibu fikir begitu?”

“Kan Eli cakap kucing tu hitam warnanya. Kucing kau ni kan hitam juga.”   

“Tidak mungkinlah Hitam buat begitu.”

“Ibu tengok kucing ni tangkas sangat. Selalu saja menangkap tikus.”

“Baguslah Hitam suka menangkap tikus. Bukankah tikus itu binatang yang membawa penyakit bahaya. Dengan adanya Hitam yang rajin mengejar dan menangkapnya tentu tikus tidak berani bersarang di rumah kita.”

“Yang Ibu bimbang, selain tikus anak ayam juga ditangkapnya. Tentu marah jiran-jiran kita kepada kita kerana kucing kau mengganggu ayam peliharaan mereka. Ibu tidak mahu kerana itu, kita bermasam muka dengan jiran-jiran kita.”

“Hitam tidak akan buat begitu Ibu.” Aku cuba meyakinkan Ibuku.

“Kalau Hitam yang buat semua tu, nampaknya kau tak dapatlah membelanya lagi. Ibu akan membuangnya jauh ke dalam hutan.”

“Sampai hati Ibu nak buang Hitam kesayangan saya. Janganlah Ibu.” Hatiku sedih memikirkan keputusan Ibuku hendak memisahkan aku dengan Hitam. Hanya  kerana menyangka  kucingku itu telah memakan anak ayamnya.

Aku dan ibu berpandangan sebaik mendengar suara ayam riuh berketuk di luar rumah. Hitam pantas meluru keluar melalui pintu dapur. Aku dan Ibu turut melangkah ke luar untuk melihat apakah  sebenarnya berlaku. Sungguh mengejutkan melihat kejadian itu. Hitam sedang bergomol dengan seekor kucing hitam yang berekor panjang. Seekor anak ayam yang berada dalam genggaman kucing hitam itu terlepas. Anak ayam itu mencicit  berlari mendapatkan indungnya.

Ibuku mencapai ranting kayu lalu memukul kucing hitam itu sekuat tenaganya. Kucing hitam itu mungkin terasa sakit dipukul Ibuku lalu segera ia melepaskan Hitam dan pantas berlari menuju semak.

Aku mendapatkan Hitam yang terkulai lemah. Ada darah yang mengalir di mukanya. Aku menangis melihat keadaan Hitam.

“Sudahlah jangan menangis! Jom kita bawa Hitam ke klinik untuk merawat lukanya.”

 

TAMAT                                                                                                                                                            

6

SKETSA  KASUT SEKOLAH

 

Subuh. Hening suasana. Aku sudah bangun dari tidur. Segera kukejutkan adikku Arif yang tidur di sebelahku. Kami berdua menuju ke bilik air untuk mandi dan setelah itu bersolat dan memakai baju sekolah.  

            “Dah bangun semua. Mandi dan solat subuh. Jangan nak tidur lagi. Dah tak ada masa nak melambat-lambat.” Lontaran suara mama memecah sunyi suasana pagi..

            “Ariff dah bangun?” Kelibat mama melepasiku menghala ke dapur. Namun masih sempat bertanya kepadaku tentang adikku itu. Arif masih berbaring di atas katil seolah tidurnya semalaman tidak cukup. Rasa kantuknya belum hilang lagi.

            “Dah. Tapi lepas mandi dan solat dia tidur balik.”

            “Isyh budak tu! Nak melambatkan kerja Ma saja. Sekarang ni dah pukul berapa. Ma nak hantar Mia ke rumah pengasuh lagi. Lepas tu nak hantar Ari ke taska. Abang pun kena masuk sekolah cepat. Tak tahu ke kita ni semua  berkejar dengan masa. Ariff bangun!“    Ariff bingkas bangun.

            “Ngantuklah mama. Nak tidur sekejap pun tak boleh.”

            “Memang dah tak boleh. Bukan masanya nak tidur lagi. Kamu ni lepas pakai baju sekolah tidur semula. Habis keronyok baju kamu. Penat saja Ma gosok. Sampai sekolah dah  tak kemas. Nanti sedap saja orang mengata Mama tak pandai nak menjaga anak.” Wajah mamaku berkerut memandang adikku tajam. Arif cuba meratakan dengan tangannya bajunya yang berkedut agar kembali rata

            “Ma tai mana?”

            “Tai abang pun nak tanya Ma ke? Tak reti nak cari sendiri?” jawapan mama menyebabkan aku terpana. Terpaksalah aku sekali lagi mencarinya di tempat Mama menggosok  pakaian malam tadi.

            “Abang tanya sebab abang tak jumpa tempat Ma gosok baju tu.”

            “Carilah. Ada  di situ terselit kat mana-mana! Ma nak siapkan bekal untuk kamu semua ni. Jangan nak ganggu Ma..Masa kita dah lewat ni. Takut tak sempat siap masak kelaparan pula kamu semua kat sekolah. Kamu semua juga yang komplen duit belanja tak cukup. Harga makanan yang dijual di kantin mahal semua. Ada nasi bekal bolehlah alas perut kamu sampai petang.”

            “Kalau semua dah siap cepat masuk dalam kereta. Jangan duk tersengguk lagi atas katil. Arif kalau mengantuk lagi tidur dalam kereta.” Ujar Papaku yang muncul dengan mendokong Mia.

Aku dan Arif beriringan ke muka pintu.  Ariff termangu menatap rak kasut. Setokin putih sudahku sarungkan ke kaki dan mula mencapai kasutku di rak. Memakainya. 

“Menung apa lagi Ariff? Cepat pakai  kasut kau tu dan masuk kereta. Kejap lagi tentu Ma jerit lagi sebab kita tak masuk kereta lagi. Bingit telinga abang ni” ujarku lirih. Bimbang akan didengar mamaku. Perangai mamaku di awal pagi ini aku faham sangat, pantang ada yang tidak kena padanya pasti diherdiknya.

“Tengok tu! Kasut Ariff kotor. Macam mana nak pakai?” Monyok wajah Ariff. Ketara sedikit pucat. .

“Tula. Kenapa Arif tak basuh? Dua hari kita cuti sekolah kan,  dah tau kasut kau kotor, basuhlah. Arif tak boleh ikut abang. Abang memang tak perlu basuh kasut. Cuma kilatkannya kalau berhabuk.”  .

“Macam mana nak basuh, abang tengok kasut tu dah koyak. Sebab selalu sangat diberus tiap minggu dah terkoyak kasut tu. Kalau dibasuh bertambah besar koyaknya. Tak boleh dipakai juga.”

“Ala koyak sikit saja. Boleh lagi dibasuh. Saja kau yang malas.”

            “Buat apa lagi tu? Cepat masuk kereta kita dah lambat ni!” Aizamia  diturunkan Papa daripada dokongannya menarik-narik tangan Arif agar mengikutinya ke kereta. Adikku Ari sudah berada dalam kereta. Cepat saja dia mengambil tempat kesukaannya di sebelah Papa yang akan memandunya. Tidak ada siapa yang boleh mengambil tempatnya. Kalau ada yang cuba-cuba akan  gamatlah rumah pinggir taman dengan suara tangisnya melalak nyaring. ..

            “Kasut Arif kotor Pa. Sebab tu dia segan nak pakai. Dia risaulah kut takut sampai di sekolah, pengawas sekolah marah dan dibawa ngadap cikgu disiplin.” Arif mula menangis mendengar aku berkata begitu.

            “Yang kamu tak basuh kasut sekolah kamu tu kenapa Arif? Kan cuti sekolah dua hari. Kamu kan dah besar,.dah sekolah tahun dua. Takkan nak basuh kasut sekolah nak suruh Ma juga yang buat. Ma ni sibuk sangat Arif. Hari cuti pun Ma kena ke sekolah. Lepas tu buka kelas tusyen nak cari duit untuk belanja keluarga kita..Balik rumah terpaksa memasak, mengemas dan buat kerja rumah pula. Kita ni tinggal kat bandar besar. Belanja hidup pun besar. Ma dan Pa bekerja hempas-pulas demi kamu semua adik-beradik.   Tak ada  rihat langsung. Kecuali masa tidur. Jadi apa yang kamu rasa boleh buat, tolonglah buat. Jangan nak harapkan Pa dan  Ma saja..” Mamaku mengomel panjang. Kesibukan Mama dan Papaku sebagai guru memang ternyata.

            “Dah pakai kasut abang yang lama tu. Jangan nak menangis.”

            “Kasut abang tu tak muat dengan kaki Arif.” .

            “Kalau kasut hitam abang  tu muatlah.”

            “Arif bukan pengawas. Mana boleh pakai kasut pengawas.” Tambah  Papaku.

            “Pakai sajalah. Rasa tak selesa bila cikgu tak ada bukalah sekejap. Bila cikgu ada pakailah semula. Cikgu pun tak ada masa nak perhatikan kasut kau. Sibuk dengan kerjanya mengajar saja.” Kataku. 

            “Abang, kenapa tak ingatkan adik basuh kasut sekolah hari cuti. Mentang-mentanglah ke sekolah pakai kasut hitam. Hal adik tak dipedulikan. Ma dulu kasut sekolah putih sentiasa. Sekarang ni masa kamu bersekolah. Ingatlah peraturan sekolah. Berdisiplin. Pakai baju dan kasut bersih ke sekolah. Bukannya susah nak basuh kasut tu. Lepas basuh, kapur dan jemur.”

            “Arif lasak sangat di sekolah Ma. Tiap hari dia main bola sepak di padang. Tu yang kasutnya cepat kotor dan dah koyak sikit. Bila cuti sekolah, penat nak berehat.” Kataku.

            “Pandainya beri jawapan. Sebenarnya kamu berdua tu leka main game online kan. Atau tenguk video nyanyi-nyanyi kat youtube . Bukan Ma tak tahu perangai kamu berdua tu bila Ma tak ada di rumah.”.Aku terdiam.

            “Sudahlah cepat masuk kereta. Nanti lewat pula sampai sekolah. Masalah Arif ni tahun depan selesai bila kasut sekolah dah ditukar warnanya kepada hitam. Bukankah Menteri Pendidikan dah kata tahun depan semua murid pakai kasut hitam ke sekolah. Masalah begini tidaklah jadi .” Ujar Papa

“Nak tunggu tahun depan tu lambat lagi Pa. Kita dulu ke sekolah dari darjah satu hingga darjah enam, sambung lagi dari tingkatan satu hingga tingkatan lima, tak ada masalah pun pakai kasut putih.”

“Masa kita dah lama berlalu Ma.” Balas Papa

“Nanti beli kasut sekolah Arif yang baru ya Pa.”

Arif tersenyum tatkala mendengar Mama berkata begitu. Segera dia memakai kasutnya   yang agak kumal dan koyak sedikit itu dan menaiki kereta,

 

 

Tamat

7.

JARUM EMAS

 

Pada suatu masa dahulu seekor ayam jantan sedang mencari makan di tepi hutan. Tiba-tiba seekor musang muncul di situ. Musang cuba menangkap ayam jantan itu untuk dimakannya kerana  dia sedang kelaparan. Ayam jantan berlari  untuk menyelamatkan dirinya daripada ditangkap musang. Dia amat takut menjadi habuan makanan musang.

            Lariannya yang tidak begitu pantas itu menyebabkan musang semakin menghampirinya. Dan cuba menangkapnya. Seekor helang yang sedang terbang melihat kejadian itu. Helang cuba menolong sahabatnya Ayam Jantan  daripada ditangkap Musang. Dia menggunakan jari-jari kaki dan paruhnya yang tajam untuk mencederakan Musang.

            Musang yang merasa kesakitan terus berlari dari situ.  Ayam Jantan mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya Helang kerana telah menyelamatkannya daripada menjadi mangsa Musang.

            “Kenapakah kamu berjalan sehingga ke tepi hutan ini sahabatku? Di sini tempat kediaman Musang dan pelbagai jenis hidupan liar yang buas. Kau tidak takutkah diserang seperti tadi? Mujur  aku sempat menolong kau. Jikalau tidak tentu kau sudah dimakan Musang dan berada dalam  perutnya. Cepatlah  kau balik ke reban kau!“ ujar Helang dengan tegas.

            “Tapi kalau aku boleh terbang seperti kau, tentu aku boleh terbang menyelamatkan diri aku sekiranya Musang atau siapa saja hendak menyerang aku.” Ayam Jantan menyatakan kekesalan hatinya kepada sahabatnya itu.

            “Tentu kau boleh tolong ajar aku terbang sahabatku! Ajarlah aku terbang sahabatku, supaya aku boleh menjaga keselamatan diriku di mana saja aku berada.” Ujar Ayam Jantan kepada Helang. Dia bersungguh-sungguh meminta  sahabatnya itu mengajarnya terbang.  

            “Asal-usul keturunan  aku memang sudah boleh terbang sejak kami kecil lagi. Aku pun tidak tahu bagaimana hendak mengajar kau terbang sahabatku.” Beritahu Helang kepada Ayam. Dia terdiam dan berfikir sejenak.

            “Tapi Raja Burung Helang  miliki jarum emas hikmat yang membolehkan sesiapa saja yang menggunakannya boleh terbang.” Helang menyambung kata.

            “Cubalah kau pinjam daripada Raja Burung Helang,  jarum emas itu dan berikan kepadaku. Kalau aku dapat gunakannya tentu aku boleh terbang bersama dengan kau ke mana sahaja.” Ayam memujuk Helang agar membantunya. Dia teringin sekali hendak terbang seperti helang.

            “Baiklah Ayam Jantan! Nanti aku cuba meminjam jarum emas hikmat itu daripada Raja Burung Helang. Kau tunggu di sini! Aku akan terbang bertemu dengan Raja Burung Helang untuk meminjam jarum emas hikmat daripadanya.”

            Sebentar kemudian kelihatan Helang sedang melayang mendekati Ayam.

            “Raja Burung Helang telah setuju memberi kau pinjam jarum emas miliknya untuk kau gunakan.  Tapi kau mesti menjaga amanah yang aku berikan ini.  Dan tidak sesekali menghilangkannya. “ Ujar Helang,  berpesan kepada sahabatnya itu.

            “Baiklah! Aku berjanji akan menjaganya dengan baik. Tapi kau terangkanlah bagaimana caranya hendak menggunakan jarum emas ini.”

“Kau sela-selakannya dicelah bulu kau. Setelah itu kau cubalah terbang.” Helang menerangkan  cara menggunakan jarum emas itu.

            “Begitukah? Baiklah aku cuba melakukannya seperti apa kau katakan itu! Terima kasih sahabatku kerana menolong aku mencapai cita-citaku selama ini!

            “Ya sama-sama! Ingat!  Kau mesti menjaga jarum emas itu dengan sebaiknya. Aku akan kembali keesokannya untuk mengambil jarum emas ini. Dan memulangkannya kepada Raja Burung Helang.”  Setelah berpesan begitu kepada Ayam Jantan, maka Helang pun terbang dari situ..

            Ayam sangat teruja hendak terbang seperti Helang. Segera disela-sela bulunya dengan jarum emas itu. Setelah berbuat begitu dia meletakkan jarum itu di atas tunggul kayu di situ. Dia pun cuba terbang. Dan percubaannya berjaya.  Dia  sudah boleh terbang ke atas pagar di tepi rebannya

            “Wah aku sudah boleh terbang!” ujarnya dengan  gembira.  Dia berkokok nyaring memanggil kawannya, Ayam Betina.

            “Eh bagaimana kau boleh berada di atas pagar itu, Ayam Jantan?” Tanya Ayam Betina kehairanan.

            “Aku terbang. Dan hinggap di sini.”

            “Begitukah? Bagaimana boleh terjadi begitu?” Ayam Betina bertanya lagi.

            “Aku gunakan jarum emas yang dipinjamkan Raja Burung Helang kepada aku. Jarum emas itu dibawa Helang sahabat aku.”

            “Aku juga ingin terbang seperti kau! Dapatlah aku bertengger di atas pagar bersama dengan kau.”

            “Kau ambillah jarum emas yang aku letakkan di atas tunggul kayu itu. Dan kau sela-selakan di celah bulu-bulu kau. Tentu kau akan boleh terbang. Dan dapat bertengger bersama aku di atas pagar ini.” Ayam Betina tidak bertangguh lagi menuruti apa yang dikatakan Ayam Jantan kepadanya.

            Dia sangat gembira dapat terbang ke atas pagar. Dan bertengger bersebelahan Ayam Jantan.

            “Mungkin kita boleh terbang lebih tinggi, sekiranya kita sela-selakan semua bulu-bulu kita dengan jarum emas itu.” Ayam Jantan mengatakan pendapatnya.

            “Iya mungkin juga! Ayuh kita turun ke bawah, melakukannya!”  sahut Ayam Betina menyetujui pendapat Ayam Jantan. Lalu mereka berdua pun terbang turun ke tempat jarum emas diletakkan

            “Eh di mana jarum emas ini?” Ayam Betina tertanya-tanya.

            “Di mana kau letakkannya?” Tanya Ayam Jantan agak gusar. Hatinya merasa bimbang jarum emas itu telah hilang.

            “Tadi setelah gunakannya, aku letakkannya di atas tunggul kayu ini.”

            “Cepat segera kita mencarinya kerana jarum emas itu hendak aku beri kepada Helang. Dan dia akan memulangkannya kepada Raja Burung Helang. Bagaimanalah aku hendak berhadapan dengan Helang sekiranya jarum emas itu tidak ditemui. Tentu Helang akan memarahi aku!”

            “Kita bukan sengaja hendak hilangkannya! Helang tentu faham dan tidak salahkan kita.” Balas Ayam Betina cuba menenangkan perasaan hati Ayam Jantan yang kerisauan.

            “Cepat kita cari. Usah berlengah-lengah lagi. Jarum emas itu amanah Helang kepada aku agar aku menjaganya. Dan aku tidak boleh mencuaikannya.”

Maka Ayam Betina dan Ayam Jantan pun mencarilah merata tempat. Mereka mengais tanah kerana menyangka jarum emas itu telah jatuh dari atas tunggul kayu dan termasuk ke dalam tanah. Semua ayam di situ turut sama membantu mengcakar tanah mencari-cari jarum emas itu.

            Helang melayang dan hinggap di atap reban. Dia kehairanan melihat semua ayam di situ mengais-ngais tanah.

            “Apa yang kamu semua sedang cari?” Ayam Jantan merasa serba salah hendak menjawabnya.

            “Maafkan aku Helang! Disebabkan kelalaian aku, jarum emas yang kau pinjamkan kepada aku telah hilang. Dan kami semua sedang berusaha mencarinya.”

            “Apa! Kau ini memang tidak boleh diharap Ayam Jantan. Bagaimanakah aku hendak memberitahu Raja Burung Helang bahawa jarum emas miliknya telah hilang!”  Helang memarahi Ayam Jantan.

            “’Maafkan kesalahanku sahabatku. Aku dan kaumku akan berusaha mencarinya sehingga berjumpa.”

            “Mulai sekarang kau dan kaum ayam bukan lagi sahabatku. Bersedialah kau dan kaum ayam kerana aku dan kaum aku kini musuhmu selagi jarum emas itu tidak ditemui.” Helang memberi kata amaran kepada Ayam Jantan sebelum terbang entah kemana.   

 

 

Tamat

8

RUMPUNAN NIPAH TUK

 

Hari semakin senja.Kelihatan tompokan awan jingga di kaki langit. Aku masih leka dengan kerjaku. Padi  kutabur kepada ayam dan itik di reban. Amat menyeronokanku melakukannya. Melihat itik menyudu makanan dan ayam mematuk tanpa henti membuatku ralit.

Banyak juga ayam  dan itik peliharaanTuk. .Ada itik serati, itik jawa dan angsa.Warna bulu mereka dan bentuknya berbeza.Kecil dan besar.Anak-anak itik dan anak-anak ayam yang baru menetas pun ada.

            “Buat apa tu Amar? Naik ke rumah mandi.Hari pun dah nak senja ni!”

            “Sekejap lagiTuk!”

            Tuk sudah berada  disisiku. Aku melihat di tangannya ada pisau kecil.

            “Tuk nak ke mana  pula dengan pisau tu?

            “Kamu kan baru sampai dari Kuala Lumpur, tentulah nak merasa air nira.ItulahTuk nak pergi sadap nipah dan tadah niranya.”

            “Oh. Nak ikut Tuk!”

            “Tak payah ikutlah! Kat dalam rumpun nipah tu banyak nyamuk.Tentu kamu tak tahan gatal digigitnya.”

            “Tak apaTuk.Nak ikut juga!”

            “Hmm…degil juga kamu ni! Kalau nak ikut juga kamu kena pakai baju lengan panjang dan tutup kepala kamu dengan kopiah untuk mengelak gigitan nyamuk.”

            “Tuk tunggu ya! Amar pergi cari baju lengan panjang dan kopiah.”

            “Yalah.Cepat sikit!” Aku berlari masuk ke rumah.Cepat saja aku menyarung baju berlengan panjang ke tubuhku dan mencapai kopiah putih yang tersangkut di sudut ruang bersolat.

            Segera aku berlari mendapatkanTuk yang kini berada di bangsal. Bangsal itu tempat Tuk menyimpan segala peralatan kerja  yang digunakannya seharian.Tuk mengilik beberapa bekas pelastik putih.

            “Biar Amar bawa separuh bekas-bekas tu.” Kataku dengan tujuan membantuTuk.

            “Apa nak dibuat dengan bekas-bekas niTuk?”

“Tuke-tuke ni gunanya untuk tadah nira.”

“Tuke! Bukan bekas pelastik?”aku bertanya sangsi.

“Yalah bekas pelastik.Tapi orang di sini sejak berzaman memanggilnya“tuke”.Dulu tuke untuk menadah titisan nira digunakan buluh saja.Sekarang  dah ditukar dengan menggunakan bekas pelastik pula.”

            Tuk mulai terbongkok-bongkok menghiris  tipis kulit mayang buah nipah.Buah nipahnya sudah tiada apabila dibuang kerana hendak mengambil niranya. Kata Tuk kepadaku tatkala aku bertanya. Aku perhatikan   banyak juga mayang nipah yang berbuah.

            Tuk meletakkan bekas pelastik di hujung mayang nipah untuk menadah nira yang  mulai menitis.  Bekas itu direka dengan penutupnya untuk mengelak serangga atau sesuatu terjatuh ke dalamnya.Dan mencemari kebersihannya.

            “KenapaTuk tak potong buah nipah tu untuk ditadah niranya?”

            “Belum masanya. Kena tunggu buah nipahnya berisi dulu.”

            “Oh begitu pula!”aku terpaksa menepis gerombolan nyamuk yang mengerumuni tubuhku.Tapi  kulihat Tuk biasa saja.Langsung tidak peduli dengan nyamuk yang berdengung di sekelilingnya.

            Tersenyum Tuk memandang telatahku.

            “Itulah kanTuk dah kata tadi, jangan ikut! Kat sini memang banyak nyamuk. Maklum kawasan ni sekelilingnya bendang. Tambah pula sedang musim padi baru di tanam. Masih banyak airnya   di dalam bendang.”

            “TapiTuk biasa saja.Tak kisah pun dengan nyamuk!”

            “Tuk dah kebal dengan gigitan nyamuk ni. Sebab sejakTuk sebaya kamu lagiTuk dah selalu tolong Moyang kamu menyadap nira.”

            “Bukankah gigitan nyamuk boleh membawa penyakit? Terutama nyamuk aedes yang menyebarkan penyakit denggi.Kena berhati-hati jugaTuk.”

            “Betullah tu.Kamu kalau takut digigit nyamuk aedes lain kali jangan ikut Tuk menyadap nira.” Tuk menasihatiku.

            Tuk membongkok lagi untuk menyadap mayang nipah seterusnya. Aku menghulurkan “tuke” yang berada di tanganku kepadaTuk setelahTuk selesaikan kerjanya.

            “Dah pun siap kerja kita.Kalau kamu nak merasa nira segar, malam ni boleh Tuk turun kutip.”

            “Tak apalahTuk. Bahaya juga mengambil nira malam hari kan.Entahkan ada ular yang bersembunyi di sebalik rumpun pokok nipah tu, nantiTuk dipatuknya..”

            “Ye lah.Sayang juga Amar padaTuk ya!” Tuk tersenyum manis sambil mengusap lembut kepalaku.

            “Esok pagiTuk kutip nira ni, bolehlah Amar minum. Nanti Amar tolong Tuk bungkus untukTuk jual kepada pembelinya.SelebihnyaTuk akan masak untuk jadikan “nisan”. Dan simpan sedikit untuk dijadikan cuka.”

Dan pada pagi itu, aku menolong Tuk menyelesaikan kerja berkaitan nira bersama Papa dan Mama..

            “Wah banyak juga kerjaTukdengan nira ni ya!”

            “Yalah  Amar. Dengan itu dapatlahTuk menambah sedikit rezeki. Hidup di sini mesti rajin menggunakan tulang empat kerat untuk bekerja.Tambah kalau tiada pelajaran tinggi macam Tuk.Sebab tu kamu kena belajar rajin-rajin sampai masuk universiti, macam Mama dan Papa kamu.Nanti tidaklah kamu terpaksa berkerja keras macamTuk untuk mencari rezeki.”

            Aku membayangkan kerja yang dilakukanTuk seharian selama berada di sini untuk mengisi masa cuti sekolah bersama Mama dan Papa. Setelah menyiapkan sarapan pagi dengan memasak nasi lemak, pulut tanak, cekodok atau lain-lain juadah, Tuk akan turun ke tanah untuk memberi  makan ayam dan itik.

            Cergas pula langkahTuk menuju rumpunan nipah; mengutip nira nipah. Mengumpulnya di dalam periuk besar.nira diasingkan mengikut bahagiannya. Ada yang dijual secara segar. Sedikit disimpan untuk dijadikan cuka.Selebihnya dimasak dengan api di dapur kayu hingga nira berwarna perang pekat. Manisan atau “nisan” pada sebutan Tuk akan dibotolkan dan dijual pula kepada pembelinya.

            Selesai saja kerja memperoses niraTuk akan bergegas pula melalui batas bendang untuk melihat anak pokok padi yang baru ditanamnya sama ada subur atau sebaliknya. Sambil itu Tuk akan turun ke dalam bendang untuk mencabut  rumput liar yang  mengganggu tumbesaran padi.                                                                                                                                                        

            Pada sebelah malamnya aku melihat Tuk menjahit  baju mereka yang sukakan jahitannya.  Rajin sungguhTuk.Setelah lewat malam baruTuk tidur.

            Tidak lama lagiTuk akan menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.  Aku bersama Papa dan Mama akan menghantarTuk ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan MAS.

            “Banyak duit Tuk nak ke Mekah?”

            “Adalah rezeki Allah hasil  jual nira, upah jahit baju, hasil jual ayam itik dan padi yang ditanam.”

            “KalauTuk ke Mekah, siapa agaknya yang akan meneruskan kerja-kerjaTuk? Terutama menyadap nira nipah?” tanyaku gusar.

“Amar doakan Tuk selamat beribadah haji. Memperolehi haji mabrur dan pulang dengan selamat ke sini. Nanti dapatlah Tuk menyadap nira lagi. Amar kan suka mium air nira! Ujar Tuk seakan dapat membaca fikiranku.

Aku menadah tangan mendoakan kesejahteraan Tuk beribadah haji dan melupakan fikiran yang membuatku keliru.

 

Tamat

9

PERSIDANGAN POKOK

 

Pada suatu masa dahulu di dalam hutan di kaki gunung, terdapat pelbagai jenis pokok buah-buahan yang tumbuh dan hidup subur di situ. Apabila tiba musim buah-buahan semua pokok-pokok di situ berbuah dengan lebatnya serentak. Berlumba-lumba mereka mengeluarkan buah-buahan pelbagai jenis sebagai sumber makanan haiwan dan manusia.

            Keadaan begitu menyebabkan buah-buahan yang terlalu banyak itu tidak dapat dimakan oleh manusia dan haiwan sekali gus. Akhirnya buahan-buahan yang dihasilkan pokok durian, rambutan, cempedak, langsat, rambai, dan lain-lain, masak ranum dan gugur bersepah di kaki pohon.  Tidak ada siapa yang peduli. Pokok-pokok itu merasa amat sedih kerana budi mereka kepada manusia dan haiwan tidak dihargai dan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

            “Aku merasa amat sedih melihat buahku yang merah dan manis semakin meranum kehitaman di pohon. Tidak ada manusia atau haiwan yang mahu memakannya.” Beritahu pokok Rambutan kepada pokok Cempedak jirannya yang tumbuh di sebelah kanannya akan perasaannya yang jengkel kerana itu.

            “Aku juga merasa begitu Rambutan. Kau lihat saja buah-buah di batang pokokku banyak sekali. Berkeruntoi. Tetapi tidak ada sesiapa yang mengambilnya. Setelah masak gugur semuanya ke tanah.” Sahut Cempedak. Aroma buah cempedak yang telah masak ranum mengharumi ruang sekitar situ.

            “Buahku yang kuning dan manis pun tidak dipedulikan sesiapa lagi,” Langsat pula mencelah melahirkan rasa hatinya. Pokok  langsat, jiran Rambutan yang tumbuh di sebelah kirinya. Pokok langsat tidak begitu besar dan tinggi. Tetapi buahnya yang bergugus itu amat banyak meliputi dahannya.

            “Aku merasa amat hairan, kenapa agaknya buah-buahan yang kita hasilkan dengan banyaknya, tidak dipergunakan sebaiknya oleh manusia dan haiwan. Perkara begini tidak seharusnya berlaku.” Tukas Rambai. Pokok rambai berdaun lebar itu tumbuh di hadapan pokok rambutan. Kelihatan gugusan buah rambai berjuntai dengan lebat di setiap dahannya. Kebanyakannya telah masak ranum dan menunggu masa untuk gugur.

            “Kalau mereka tidak menghargai usaha kita menghasilkan buah-buahan setiap musim, bermakna sia-sia sahaja susah-payah kita itu.” Ujar Manggis menyatakan kekesalannya. Dia turut menyertai perbualan pokok- pokok sekitar situ. Buah manggis yang berwarna hitam itu kelihatan bertaburan di bawah pohonnya. Buah yang telah lama gugur akan kematu dan tidak boleh dimakan lagi.

            “Aku juga sudah merasa tawar hati hendak berbuah lagi setiap musim.” Ujar Cempedak dengan sebal.

            “Apa kata kalau kita tidak berbuah lagi musim ini dan seterusnya.  Dengan itu tidaklah kita merasa susah hati melihat buah-buahan yang kita hasilkan tidak dipergunakan manusia dan haiwan.” Rambutan memberikan pendapatnya.

            “Aku menyokong pendapat kau. Dan sangat setuju. Kalau kita semua tidak berbuah, barulah manusia dan haiwan menyedari kepentingan buah-buah kita.” Manggis menyatakan sokongannya akan pendapat Rambutan.

            “Eh. Kita tidak boleh buat keputusan sesuka hati kita sahaja! Nanti kita dimurkai Raja Buah. Kalau Raja Buah bersetuju, bolehlah kita laksanakan cadangan Rambutan itu. Kita semua tidak usah berbuah lagi.” Ujar Langsat.

“Mungkin Durian, Raja Buah akan bersetuju dengan pendapat kita kerana dia juga hadapi masalah yang sama macam kita. Buahnya yang luruh setiap hari tiada siapa mengutipnya.” Rambai menambah dengan sedikit ulasan.

“Baiklah! Kalau begitu kita bawakan pendapat Rambutan kepada Raja Buah. Jika mendapat persetujuan Raja Buah, tidak perlulah kita berbuah lagi.” Cempedak mengemukakan cadangannya..

Apabila Raja Buah menerima cadangan yang dibawakan Rambutan kepadanya maka diaturlah majlis persidangan pokok-pokok di dusun itu untuk membahaskam usulan itu.  Persetujuan kepada cadangan itu hanya akan diperolehi setelah semua pokok yang tumbuh di dalam dusun itu menyatakan persetujuannya.

Pada suatu petang yang redup dan angin berpuput lembut, pokok-pokok di situ melenturkan ranting masing-masing untuk turut sama mengambil bahagian dalam persidangan itu.

Mereka menyatakan pendapat mereka. Ada yang bersetuju dengan usulan yang dibawa Rambutan. Dan ada pula yang menolaknya. Raja Buah menimbang keputusan yang akan diambil dengan teliti.

“Beta telah mendengar semua pendapat kamu yang bijak dan bernas itu. Undian pun telah dibuat. Jumlah yang menerima dan menolak cadangan yang dibawa Rambutan adalah sama rata. Jadi keputusannya tidak dapat menyebelahi mana-mana pihak.” Ujar Raja Buah.

“Nampaknya keputusan kita untuk tidak berbuah pada musim buah akan dating tidak semua setuju, Rambutan!” Kata Cempedak kepada Rambutan.

Dia sangat mengharapkan Raja Buah bersetuju dengan usulan yang dibawa sahabatnya Rambutan. Rambutan juga merasa sedih.

“Tapi beta menyedari kemusykilan yang dirasakan Rambutan dan pokok buah-buahan yang lain.. Buah-buahan yang kita hasilkan dengan banyak tidak diendahkan manusia dan haiwan. Dan perlulah kita fikirkan bagaimanakah cara untuk mengatasinya. Lagipun amanah Allah kepada kita sebagai pengeluar sumber makanan kepada manusia dan haiwan tidak boleh kita abaikan. Kita wajib tunaikan amanah Pencipta itu.”

“Jadi apa pandangan Raja Buah dalam hal ini? Soal Langsat, ingin tahu

 

“Pada pendapat beta, kita semua tidak harus berbuah serentak. Kalau kita berbuah serentak dengan banyak, keadaan akan jadi seperti sekarang. Buah-buahan kita yang semuanya manis dan lazat tidak tahu hendak dimakan manusia dan haiwan yang mana satu. Buah-buahan yang dimakan terlalu banyak dan pelbagai jenisnya akan menyebabkan mereka sakit perut pula.”

“Ya. Betul kata Raja Buah itu!” balas Cempedak.

“Jadi  beta ambil keputusan ada baiknya kita berbuah secara bergilir-gilir. Setelah habis  pokok yang pertama berbuah, barulah pokok kedua, ketiga dan seterusnya berbuah pula. Dengan itu buah-buahan pokok kita tidaklah melambak saja di pohon. Dan sentiasa dinanti kemunculannya.” Keputusan Raja Buah dipersetujui semua pokok yang bersidang di dusun itu.

“Dan sekarang kita jalankan undiannya.”

Sebab Durian ialah Raja Buah maka dia dipilih untuk berbuah dahulu pada setiap musim. Pokok buah-buahan yang lain dipilih menurut undian yang dibuat.

“Aku akan berbuah selepas Raja Buah!” beritahu Rambutan kepada Cempedak dengan girang. Dia amat gembira dapat berbuah selepas Raja Buah.

“Baguslah begitu! Aku pula akan berbuah selepas kamu.” Balas Cempedak. Dia juga turut merasa gembira dengan gilirannya.

“Dan aku pula akan berbuah selepas Cempedak!” sahut Manggis.

“Nampaknya akulah yang terkemudian berbuah selepas Manggis, Langsat dan pokok-pokok lain berbuah. Sedih pula rasa hatiku kerana yang terakhir mendapat giliran berbuah.” Rambai berkata perlahan.

“Kamu tidak harus bersedih kerana kamu yang terakhir berbuah pada musim buah wahai Rambai kerana pastinya yang menyukai buah kamu akan tertunggu-tunggu masa kamu akan berbuah.” Kata Rambutan menghibur kesugulan hati Rambai.

“Beta harap kamu semua berpuas hati dengan giliran kamu untuk berbuah.  Tiba musimnya berbuahlah. Dan jika masih ada yang terkilan di hati bolehlah kita bersidang lagi.” Raja Buah menutup persidangan pokok pada hari itu.

 

TAMAT

10

LABAH-LABAH TAMAK

 

 

Pada zaman dahulu tinggal seekor labah-labah di dalam sebuah belukar. Sarangnya sangat besar melebihi besarnya daripada sarang labah-labah lain yang berada sekitar situ.. Bapanya yang membuat sarang itu untuknya. Kemudian ia membuat tambahan lagi di sekeliling sarang itu agar lebih besar dan memudahkan pergerakannya.

.
            Dengan itu labah-labah itu dapat bergerak dengan lebih pantas dari ruang tengah hingga ke tepi sarang untuk menangkap mangsanya yang terperangkap  di situ. Segala mangsa yang tersalah langkah dan termasuk ke dalam sarangnya akan menjadi habuannya. Serangga yang ditangkap segera dimakannya. 

            Mudah sekali ia menjerat mangsanya                                                                yang menjadi sumber makanannya yang sangat menyelerakannya. Badannya semakin hari semakin besar kerana terlalu banyak yang dimakannya.. Perutnya bertambah  bulat dan kelihatan  buncit. Ia memang kuat makan. Perutnya sentiasa berasa lapar dan ingin makan dengan banyaknya..
            Dua ekor labah-labah telah datang ke sarangnya pada suatu petang. Masing-masing membawa hajat untuk menjemputnya menghadiri kenduri yang akan mereka adakan. Labah-labah pertama datang dari tempatnya di sebelah timur. Sementara seekor labah-lagi lagi datang dari tempatnya di barat.  

            Labah-labah buncit menerima jemputan kedua-dua labah-labah itu untuk menghaduri kenduri mereka.Ia mulai menjadi serba salah kerana kenduri yang diadakan kedua-dua labah itu pada waktu dan hari yang  sama. Keadaan ini tentu menjadi masalah kepada labah-labah buncit kerana ia ingin menghadiri kedua-dua kenduri yang diadakan di barat dan di timur.

Maka dia bertanya kepada jiran-jirannya tentang jemputan itu.

“Kamu ada mendapat jemputan kenduri daripada sahabat kita labah-labah yang tinggal di timur dan di barat?”. Labah-labah buncit bertanya jirannya yang tinggal di kiri sarangnya

“Aku mendapat jemputan daripada sahabat kita, labah-labah yang tinggal di barat.” Jawab jirannya yang   tinggal di  sebelah kanan   sarangnya.

“Aku pula mendapat jemputan daripada sahabat kita labah-labah yang tinggal di timur,” sahut jirannya yang tinggal di sebelah kiri sarangnya.                                             Mereka juga telah mendapat jemputan. Jiran di kiri pergi ke jemputan arah barat. Jiran di kanan pergi ke jemputan arah timur. Labah-labah buncit mendapat akal. Ia meminta kerjasama jiran-jirannya.Labah-labah buncit memberi tali kepada jiran-jirannya. Sesiapa yang makan dahulu tarik tali itu. Ia akan pergi ke sana dahulu. Tali itu diikatkan pada perutnya supaya tidak terlepas.
Kedua-dua labah-labah itu pun pergi.

Apabila jamuan dihidang, jirannya yang tinggal di sebelah  kanan sarangnya pun menarik tali dari arah timur. Pada masa yang sama jiran yang tinggal di sebelah  kiri sarangnya menarik dari arah barat pula. Labah-labah buncit tidak dapat mengikut ke barat. Ia tidak sempat membuka ikatan perutnya.

Kedua-dua jiran labah-labah buncit terus menarik tali masing-masing. Perut labah-labah buncit semakin tercerut. Setelah sekian lama menarik masih juga tidak kelihatan labah-labah buncit sampai di tempat mereka, kedua-dua jirannya pun terhenti. Mereka menikmati hidangan.

Selepas makan mereka pun pulang. Dan singgah di sarang labah-labah buncit untuk bertanyakan, kenapa dia tidak datang ke tempat kenduri seperti yang dijanjikannya. Mereka mendapati labah-labah buncit pengsan. Mereka cuba membuka tali yang tercerut di perut labah-labah buncit. Sayangnya mereka tidak dapat membuka ikatan itu.

Beberapa hari kemudian labah-labah buncit sedar. Ia berjaya membuka ikatan di perutnya. Sejak itu ia tidak hiraukan makan. Perutnya tidak berasa lapar seperti selalu. Pinggangnya pun ramping bekas kena cerut. Hingga sekarang pinggang labah-labah kecil dan genting.

Labah-labahBuncit mulai berubah sikap. Dia  tidak lagi terasa hendak makan dengan banyak. Sifat tamaknya terhadap makanan telah hilang. 

               

                                           TAMAT

11

 

KURA-KURA TERBANG TERLUPA PESANAN

 

Maka tersebutlah kisah di dalam sebuah desa yang semakin kering-kontang kerana dilanda musim kemarau yang panjang. Langitnya kelabu berjerebu kerana ada hutan-hutannya yang telah terbakar.  Sungai dan tasik  semakin kering airnya. Tanah sawah yang selama ini digunakan petani untuk menanam padi telah mula merekah. Cuaca di siang hari terasa sangat panas berbahang.

            Penghuni desa itu mengambil keputusan untuk berpindah dari situ. Meninggalkan desa itu dengan membawa bersama semua barang-barang mereka dan juga binatang ternakan mereka. Mereka amat bersedih kerana terpaksa meninggalkan desa yang telah lama dihuni selama ini.

            Namun tindakan itu terpaksa diambil demi keselamatan dan meneruskan kehidupan  di tempat yang lebih baik keadaan cuacanya. Setelah semua penghuninya berpindah, sepi sekali desa itu. Kelihatan seekor kura-kura merangkak perlahan. Menjengulkan dirinya daripada rimbunan semak-samun yang bergerigis rantingnya lantaran daun-daunnya telah gugur.  

            Kura-kura berasa hairan kerana mendapati desa itu amat sunyi keadaannya. Tidak kelihatan  sesiapa pun berada di situ.

“Kemana agaknya mereka semua pergi?” rungutnya.  Kura-kura  tidak menyedari bahawa semua penghuni desa itu semuanya telah berpindah kerana dia tertidur ketika itu. Keadaan dirinya pun tidak berapa sihat.

            Dia bersedih, memikirkan nasib dirinya kini tinggal sendirian di sini. Bimbang pula akan keadaan kemarau akan berterusan dan akan memberi akibat buruk kepada dirinya. 

“Aku hendak berjalan jauh pun tidak berdaya, bagaimanalah aku hendak berpindah meninggalkan desa ini. Agaknya aku akan mati di sini.” “Kura-kura merintih sedih mengenangkan  nasib dirinya.

            Tiba-tiba hinggap dua ekor angsa putih di atas batang kayu berdekatan dengannya. Entah dari mana angsa-angsa itu terbang, tidaklah diketahuinya. Gembira sedikit hatinya kerana telah ada kawan untuk saling berkata-kata.

            “Kamu tidak ikut orang-orang desa ini berpindahkah Kura-kura? Tadi sewaktu kami berdua terbang melintasi ruang sini, kami melihat gerombolan orang-orang desa bersama keluarga dan ternakan mereka meneruskan perjalanan ke suatu tempat.” Pertanyaan dua ekor angsa putih itu telah menjelaskan kepadanya akan sebab keadaan sepi desa ini. 

            “Aku pun memang hendak ikut orang-orang desa ini berpindah tapi apalah dayaku. Aku tidak larat hendak berjalan jauh..Sudah berapa hari aku demam. .Mungkin badanku tidak tahan kepanasan melampau. Air di sungai dan tasik telah kering, jadi tidak dapatlah aku berendam untuk menyejukkan badanku.”

            “Oh begitukah! Kasihan kami mendengar cerita kamu ini. Alangkah baiknya kalau kami dapat membawa kamu keluar dari desa yang mulai kering-kontang akibat kemarau ini. Kami memang ingin menolong kamu!” Angsa putih itu saling berpandangan sesama mereka.

            “Tidak mengapalah  wahai angsa berdua. Niat baik kamu amat aku hargai. Kamu berdua begitu prihatin dengan nasib diriku. Aku reda saja dengan takdirku. Apa-apa saja yang berlaku ke atas diriku akan kuterima.” Kedua-dua ekor angsa putih itu merasa belas mendengar kata kura-kura.

            “Biar kami berdua berfikir dulu bagaimana caranya untuk membawa kamu keluar daripada sini. Kami tidak sampai hati hendak meninggalkan kamu sendirian di sini.”  Kedua-dua ekor angsa itu berjalan beriringan meninggalkan kura-kura sendirian sebentar.

            “Apa fikiran kau Angsa Besar?” Tanya angsa yang berbadan  kecil sedikit kepada angsa yang yang lebih besar daripada dirinya.

            “Aku pun buntu memikirkan cara bagaimana kita hendak menolong kura-kura itu,” sahut  Angsa Besar.

            “Kalau kita tak tolong dia, siapa lagi? Tentu dia akan mati kerana di sini sudah tidak ada apa yang boleh dimakan atau diminum. Kasihan dia!” balas Angsa Kecil 

            Mereka termenung sambil berfikir lagi. Angsa Kecil memandang sekitarnya yang dipenuhi dengan daun-daun kering dan ranting-ranting kayu yang patah dan bersepahan di tanah.

            “Aku rasa aku sudah mendapat ilham!” beritahu Angsa Kecil kepada Angsa Besar dengan teruja. Wajahnya kelihatan berseri.

            “Oh…iakah! Cepatlah beritahu. Semoga cepat kita dapat selesaikan masalah kura-kura itu.”  Angsa Kecil meninggalkan Angsa Besar menuju  pohon jambu yang dilihatnya banyak dahannya yang telah patah. Dia mengambil dahannya yang kecil dengan mulutnya lalu membawa kepada Angsa Besar.

            Angsa Besar masih tidak faham apakah maksud Angsa Kecil dengan dahan kayu  jambu yang dibawa kepadanya.

            “Nak dibuat apa dengan kayu ini?” Tanya Angsa Besar agak keliru.

            “Dahan jambu ini kuat. Tidak mudah patah. Dan mampu menahan beban yang berat..” kata Angsa Kecil kepada Angsa Besar. 

            “Ya. Aku mulai faham maksud kau Angsa Kecil!. Kau mahu kita menerbangkan kura-kura itu. Dan membawanya keluar dari sini dengan menggunakan kayu jambu ini.”

            “Apakah kamu bersetuju dengan cara begitu, Angsa Besar? Aku pun sudah tidak tahu hendak fikirkan cara lain lagi untuk menolong kura-kura itu..”

            “Aku setuju..Lagipun kura-kura itu tidaklah besar. Kita berdua mampu menerbangkannya menggunakan dahan kayu jambu ini.  Ayuh kita beritahu kepada kura-kura  rancangan kita. Aku harap dia juga akan menyetujuinya.”

             Kedua-dua ekor angsa putih itu berjalan bersama menuju ke tempat kura-kura sambil membawa kayu dahan jambu  dengan mulut mereka. Kura-kura kehairanan akan perbuatan kedua-dua ekor angsa itu.

            “Kami  sudah mendapat cara untuk mengeluarkan kamu dari sini. “

            “Bagaimanakah caranya?” Tanya Kura-kura  ingin mengetahuinya.

            “Kami akan menerbangkan kamu dengan menggunakan dahan kayu jambu ini.”

            “Aku masih tidak faham.” Sahut Kura-kura kebingungan.

            “Mudah saja!  Kamu gunakan mulut kamu untuk memegang kayu ini. Dan kami berdua akan berada di sebelah kiri dan kanan kamu untuk memegang kayu dengan paruh kami dan menerbangkan kamu.” Angsa Kecil menjelaskan perkara itu.

            “Oh. Aku mulai faham! ” Harapannya untuk menyelamatkan dirinya daripada bencana kemarau semakin cerah.

            “Terima kasih kerana kamu berdua mahu menolong aku dengan menerbangkan aku keluar dari desa ini. Kamu berdua memang sangat baik hati.”

“Tapi sebelum kami bawa kamu terbang, kamu dengarlah dulu pesanan kami. Demi untuk keselematan kamu juga.” Angsa Besar berkata perlahan.

“Apa pesanan itu?”

“Sepanjang masa kami membawa kamu terbang, walau apa terjadi sekalipun janganlah kamu membuka mulut kamu.”

“Mudah saja pesanan itu, boleh kulakukannya.” balas Kura-kura dengan yakin..

“Baik. Sekarang kamu bersedialah berada di antara kami untuk memegang  kayu  ini. Bolehlah kita bersama terbang meninggalkan desa ini.” Angsa Besar memberi arahan kepada kura-kura.

Angsa Besar dan Angsa Kecil membawa kura-kura terbang melintasi sebuah perkampungan. Orang-orang di kampung itu melihatnya dengan takjub  kerana dua ekor angsa membawa kura-kura terbang bersamanya. Mereka bersorak-sorak. Kura-kura terleka dan merasa bangga dirinya menjadi perhatian orang ramai. Dan dia ingin berkata sesuattu kepada angsa putih di kirinya.

Sebaik terbuka saja mulutnya maka melayanglah ia jatuh ke bawah. Dan kedua-dua angsa putih itu meneruskan penerbangan mereka ke destinasi tanpa menyedari bahawa kura-kura telah terjatuh.

TAMAT

12.

LEMBU BERBULU EMAS

 

 

Pada zaman nabi Musa as. Ada sebuah keluarga bani Israel yang  taat dengan perintah Allah. Mereka berhubung baik dengan masyarakat sekitar walaupun mereka sangat miskin. Tapi tetap hidup bahagia.

Keluarga itu terdiri daripada seorang lelaki yang uzur bersama isterinya dan anak lelakinya yang masih kecil. Mereka tinggal di sebuah pondok.

Mereka membela seekor anak lembu yang cantik dan luar biasa. Sesiapa saja  melihatnya, akan tertarik kerana bulunya kuning keemasan.

Suatu hari lelaki tua itu berkata kepada isterinya bahawa dia merasa ajalnya semakin dekat dan bimbangkan anak lembu peliharaannya tidak ada yang menjaganya dan akan hilang dicuri.

“Anak lembu itu bukan sebarang lembu dan pada firasatku ia akan terlibat dengan peristiwa yang sangat besar.” katanya kepada isterinya. Dia mengambil keputusan menyembunyikan anak lembu itu di dalam hutan.dan meninggalkannya dengan  sedih.

“Insya-Allah engkau akan selamat di sini. Allah akan menjaga engkau,” ujar lelaki soleh itu sambil mengusap kepala anak lembu itu. Lelaki itu mengangkat tangan berdoa agar Allah selamatkan anak lembu itu daripada sebarang bahaya dan menemukannya kelak dengan anak lelakinya.

Sebak hatinya hendak meninggalkan anak lembu kesayangannya di tempat  asing itu. Anak lembu itu memahami perasaan tuannya. Digeselkan kepalanya kepada tangan tuannya yang mengusapnya lembut. Anak lembu itu melompat ke dalam hutan sambil bersuara “booh! booh!”

Tidak lama setelah itu lelaki soleh itu meninggal dunia. Tinggallah isterinya yang solehah mendidik anaknya seorang diri. Anaknya diberi pendidikan agama yang sempurna mengenai rukun ibadat, berakhlak mulia dan lain-lain sifat terpuji,

Anak  itu membesar sebagai pemuda yang taat beribadah kepada Allah. Pemuda itu dikenali dikampungnya sebagai pemuda yang kasih lagi taat kepada ibunya.

Kerja pemuda ini ialah mencari kayu api dan menjualnya di pasar. Hasil penjualannya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu pertiga digunakan untuk perbelanjaan kehidupannya dan ibunya, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi disimpan.

Begitu juga dengan pembahgian masanya. Satu pertiga malam digunakan untuk beribadah kepada Allah, satu pertiga lagi untuk tidur sekadar berehat dan sepertiga malam lagi digunakan untuk berada di sisi ibunya yang uzur untuk membantu keperluan ibunya.

Dia  bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang solehah, bertanggung-jawab dan  mendidiknya dengan sempurna.

Ibunya telah tua dan sering sakit. Dia membuka rahsia tentang anak lembu berwarna emas yang ditinggalkan suaminya di hutan ketika anaknya masih kecil dan meminta anaknya itu mencarinya seperti pesanan almarhum suaminya.

Keesokannya pemuda itu memulakan perjalanan ke hutan mencari anak lembu itu. Kepenatannya menjelajah hutan membuatnya berhenti di tepi sungai kecil untuk mencuci tangan dan makan bekalan yang dibawanya.

Tiba-tiba muncul cahaya terang berkilau berhampiran tempat itu. Dia memerhati cahaya yang bergerak itu dengan kehairanan.

 “Subhanallah! Cahaya itu daripada lembu yang berwarna emas dan aku yakin inilah lembu yang dimaksudkan ibuku. Alhamdulillh bersyukur aku dapat menemuinya.”

Lembu itu melarikan diri setelah dihampiri pemuda itu.

“Jangan lari. Akulah tuanmu. Dengan nama Allah Tuhan nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, datanglah kepadaku.” Lembu itu pun menghampiri pemuda itu. Digeselkan kepalanya pada lengan pemuda itu.

Pemuda itu memegang tanduk lembu itu untuk membawanya keluar daripada hutan itu. Dengan kekuasaan Allah tiba-tiba lembu itu bersuara, “Wahai tuanku, naiklah ke atas belakangku ini.” Ia  merendahkan tubuhnya untuk ditunggang pemuda itu.Sangat terkejut pemuda itu mendengar lembu itu boleh berkata-kata

“Betulkah kau boleh bercakap?”

 “Tidak boleh. Aku tidak boleh menunggang engkau kerana ibuku tidak menyuruh begitu.”

“Wahai tuanku, sekiranya engkau menunggangku nescaya engkau tidak dapat mengambilku sampai bila-bila,” kata lembu ajaib itu.

Lembu itu bersama tuan mudanya meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Pemuda itu menjaga lembu berwarna emas itu dengan baik dan amat menyayanginya.

Ibunya memintanya menjual lembu itu di pasar. Hatinya berbelah bahagi kerana sayangkan lembunya dan sifat taat dirinya kepada ibunya. Namun dia sedar keredaan ibu itu amat penting. Dia memilih untuk taat kepada ibunya.

Di pasar datang seorang lelaki tampan hendak membelinya.

 “Ibuku memintaku menjual dengan harga tiga dinar tapi dengan syarat ibuku menyetujui siapa pembelinya,”kata pemuda itu.

“Akan kubeli lembu ini dengan harga enam dinar. Tapi jangan diberitahu kepada ibumu.”

“Maaf tuan. Saya perlu minta persetujuan ibu terlebih dahulu bolehkah tuan datang lagi esok?” Tanya pemuda itu pula.

Ia pulang ke rumah membawa lembunya dan memberitahu tawaran lelaki itu kepada ibunya.

Ibunya  bersetuju dengan tawaran harga itu. Keesokannya dia menemui lelaki yang ingin membeli lembunya dan menyatakan persetujuannya.

“Aku akan beli lembu ini dengan harga 12 dinar tapi usah beritahu ibumu.” Lelaki itu membuat tawaran baru.

“Maaf tuan. Saya terpaksa minta persetujuan ibu dulu. Saya akan beri jawapan kepada tuan keesokannya.”

Dia kehairanan sikap lelaki itu kerana kebiasannya orang mahukan harga yang rendah. Tetapi lelaki sentiasa menaikan harganya. Hal itu diceritakan kepada ibunya.

“Wahai anakku, lelaki itu bukan manusia tapi adalah malaikat yang datang menguji ketaatanmu kepada ibu.” Pemuda itu terkejut mendengarnya.

“Kalau dia datang lagi tanyakan kepadanya samada dia bersetuju lembu itu dijual atau tidak.”

“Baik ibu.”

“Wahai anak muda yang taat kepada ibunya. Jangan kau jual lembu ini. Jagalah ia baik-baik. Nanti akan tiba suatu masa lembu ini akan dibeli kaum Nabi Musa  untuk menghidupkan seorang yang telah mati.”

Kata malaikat itu.

“Tapi kau jual lembu ini  dengan harga emas seluruh badannya,” sambung malaikat itu lagi.Pemuda itu membawa lembunya pulang..

Tibalah hari yang dikatakan malaikat itu. Seorang daripada kaum Nabi Musa telah mati dibunuh.Tiada siapa  mengetahui pembunuhnya. Kaum keluarga saling tuduh-menuduh. Perkara itu dibawa kepengetahuan Nabi Musa as untuk penyelesaiannya.

Mereka memaksa Nabi Musa as bertanya kepada Tuhan siapa pembunuhnya. Lalu turunlah wahyu meminta mereka menyembelih lembu berwarna emas.

Mereka menyuruh Nabi Musa bertanya kepada Tuhan tentang  keadaan lembu itu.

Allah  swt pun menyatakan maksudnya.

Berusaha mereka mencari lembu yang sifatnya dinyatakan Allah itu walaupun sukar menemuinya .

Setelah lama dicari akhirnya ditemui. Pemuda yang miliki lembu berwarna emas itu menjualnya dengan harga ditetapkan malaikat yang pernah mendatanginya. Walau harga itu tersangat mahal tapi terpaksa dibeli juga untuk menyelesaikan permasalahan mereka.

Nabi Musa as dan kaumnya berjaya mengetahui siapa pembunuh yang ingin diketahui selama ini.Pemuda itu dan ibunya bertukar corak kehidupan mereka menjadi kaya. Mereka bersyukur kepada Allah dengan rezeki yang diperolehi dan sering bersedekah serta berbuat amal kebajikan kepada fakir miskin.

 

ALLAH SWT menceritakan kisah ini di dalam surah Al-Baqarah, ayat 67-71

 

TAMAT

13.

PETALING JUNTAI

 

 

            Petaling Juntai berjalan dengan lagaknya. Wajahnya garang.  Rimba itu adalah tempat tinggalnya. Tiada siapa berani menegurnya setiap kali bertemu dengannya. Tersangat bangga hatinya kerana semua penghuni rimba di pinggir tasik Bera ini.menakutinya. Namanya bukan saja dikenali di rimba ini tetapi sudah masyhur merata.

            Dia akan mengaum nyaring tatkala matanya menyorot burung-burung di pohon tinggi atau melihat kera bergayutan di ranting. Dia tidak berdaya memanjat pohon untuk menangkap burung-burung dan kera  yang memandang sinis kelemahannya.

            Jika Petaling Juntai  terpandang arnab, kancil, kijang, tapir, rusa bergerak melintas di hadapannya pasti dikejarnya sehingga berjaya ditangkapnya  untuk dijadikan makanannya. Sudah banyak penghuni rimba itu menjadi mangsanya hingga  tinggal sedikit bilangannya.

            Sikapnya mementingkan  diri dan memuaskan nafsunya membuatkan semua penghuni rimba itu susah hati dan amat  membencinya. Kumpulan burung-burung, arnab, kancil, kera, tapir, rusa pun bermesyuarat sesama mereka. 

            Mereka berbincang, mengumpul pendapat  untuk mengajar harimau  sombong itu. Akhirnya mereka bersetuju dengan saranan diberi Sang Kancil.

            “Di kawasan tasik Bera ini ada perkampungan Orang Asal, Temok dan Semak Beri. Mereka suka berburu dan mencari ikan. Kita beritahulah kepadanya agar keluar daripada rimba ini dan masuk ke kampung itu  mencari makan. Di sana tentu dia akan dapat makanan lebih sedap dan mengenyangkannya berbanding  memakan kita yang kecil saja semuanya.

Jikalau si Juntai itu mengejar kita setiap hari tentu keturunan kita akan pupus. Dan rimba ini lengang, tiada penghuninya.” Beritahu Sang Kancil.

            “Kalau si Juntai tu keluar dari sini selamatlah kita. Tidaklah kita kecut perut setiap kali terdengar suara ngaumannya.” Celah Tapir.

            “Kau kan tak  kuat lari kan Tapir.maklum tubuh kau ni agak montel sikit. Lainlah aku yang kecil ni.  Mudah saja susup-sasap  berlari menyorok mana-mana.” Balas Arnab sambil ketawa.

            “Tak payahlah kita ketawakan si tapir. Kita mesti bersatu memikirkan cara mengamankan rimba ini daripada gangguan si Juntai.” Sang kancil cuba menenangkan suasana. 

            “Tapi bagaimana hendak memberitahu kepada si Juntai itu kerana sudah tentu kita tidak berani hendak berdepan dengannya. Memang nak tempah maut kalau kita  muncul di hadapannya. “ Rusa mencelah dengan rasa gundah. 

           

            Masing-masing terdiam mendengarkan kata-kata Sang Kancil. Kusyuk memikirkan solusi masalah mereka.

            “Apa kata kita minta tolong pada kera.” Kata burung murai.

            “Aku tidak boleh masuk ke kampung itu. Sebab orang Temok dan Semak Beri suka menyumpit aku. Mereka gemar sekali memakan daging aku dengan memanggangnya.” Kera memberi alasannya kala diminta pertolongannya.

            “Kau sajalah yang beritahunya Murai! Kau kan tiada masalah dengan Juntai. Si Juntai tidak pernah menangkap kau walau kau riuh mengata-ngatanya setiap pagi.,”.saran kera pula.

            “Aku ni kecil sangat kera. Penat saja dia hendak menangkap aku yang boleh terbang ini. Lagipun dia tentu tidak percaya cakap seekor burung kecil seperti aku,”ujar Murai. Terkilan juga dirinya justeru tidak dapat membantu.

            “Arnab bukankah pantas berlari susup-sasap. Apa kata tugas ini kita berikan saja pada arnab.” Ujar si tapir dengan sengihnya.

            “Kau nak kenakan aku ya tapir?” Arnab menjegilkan matanya yang merah menyala tanda marahnya.

            “Bukan aku nak kenakan kau arnab. Tapi kau memang pantas berlari. Tentu si Juntai tidak terkejar kau. Jadi kalau dia kejar,kau, larilah masuk ke kampung orang Semak Beri tu. Lepas itu kau menyoroklah di mana-mana” Sang Kancil terangguk-angguk menyetujui cadangan Tapir.

            “Ya… kalau si Juntai masuk ke kampung orang Semak Beri itu tentu dia akan dibunuh mereka kerana ditakuti  mengancam keselamatan mereka.. Tapi hati-hati  agar tak ditangkap Petaling Juntai tu.”  Tambah Tapir lagi.

            “Susah juga orang Semak Beri atau orang Temok hendak menangkap Petaling Juntai yang gagah tu.” Rusa menyatakan pendapatnya.

            “Mereka kan manusia. Manusia  dijadikan Pencipta kita sebagai kalifah di muka bumi-Nya ini. Tentu mereka boleh berfikir  bagaimana hendak menewaskan Petaling Juntai, sekiranya harimau itu mengganggu ketenteraman mereka..Pokok utamanya kita semua mesti bersatu hati untuk mengeluarkan Petaling Juntai daripada rimba ini. Kita tunggu keputusan arnab  samaada dia bersetuju atau tidak.” 

Penghuni rimba yang sedang bermesyuarat memandang wajah Arnab. Arnab merasa serba salah. Dia pun membuat keputusannya.

            “Iyalah. Aku setujulah demi kebaikan kita semua. Mungkin hanya aku yang layak melakukan tugasan ini. Tapi tolonglah doakan keselamatan aku.”

            “Insya-Allah Arnab. Kami sentiasa mendoakan keselamatan kau. Doa mereka yang teraniaya dimakbulkan Allah. Kami  berbangga, kausanggup melakukan tugas ini.” Sang Kancil; berkata lunak.menyemarakan semangat agar arnab menjadi lebih berani.

            Hari yang ditentukan telah tiba. Penghuni rimba berlindung di sebalik rimbunan pohon memerhati arnab   di lorong laluan Petaling Juntai. Hanya Allah  Maha Tahu,  kerisauan hatinya. 

            Bimbang juga perancangan kawan-kawannya itu tidak menjadi Dan dia  menjadi mangsa terkaman harimau ganas itu. Maka akan tamatlah riwayatnya,

            “Juntai dah datang tu,” beritahu Kera sedang bergayut di pohon keranji kepada Murai.. 

            “Biar aku beritahu Arnab.”

            Petaling Juntai gembira melihat arnab  terduduk lemah di bawah pohon berangan Seolah Arnab bersedia menjadi rezeki sarapannya pada pagi ini. Perutnya pun sedang kelaparan.

            “Bersedialah kau arnab untuk menjadi sarapan pagiku.” Lalu dia hampiri Arnab, menerkamnya. Arnab melompat pantas segera melarikan diri. Namun dikejar Pelaling Juntai tanpa henti.

            Akhirnya kedua-duanya sudah berada di perkampungan orang Temok. Arnab menyelinap dan bersembunyi di sebalik semak di situ. Harimau itu tercari-cari  keberadaan Arnab.   

            Petaling Juntai terpandangkan seorang gadis  menjunjung kain basuhan di kepalanya. Mangsa sarapan paginya padanya jauh lebih lazat dan mengenyangkan. berbanding arnab yang diburunya. Pada anggapannya.

            Mulailah dia mengejar gadis itu pula. Seorang budak yang sedang menyumpit burung murai melihat kejadian itu. Segera dia berlari untuk mendapatkan pertolongan.

            “Ada gadis dikejar harimau.” Beritahunya termengah-mengah sebaik bertemu abangnya Itam.

            “Siapa?”

            “Rasanya dia orang Temok.”

“Petaling Juntai agaknya. Biar abang cuba  tolong. Kaupergi beritahu Tok Batin dan orang kampung. Bawa senjata dan sumpitan.” Igam segera berlari untuk menyampaikan pesanan abangnya kepada Tok Batin suku Semak Beri. 

            Itam menyumpit harimau itu dengan sumpitannya namun tidak mengena. Gadis suku Temok itu dalam ketakutannya, menyelamatkan dirinya  terjun ke dalam tasik Bera. Petaling Juntai turut terjun ke dalam tasik Bera itu. Kali ini sumpitan Itam mengenai sasarannya. Petaling Juntai tercungap-cungap kelemasan menahan bisa racun sumpitan Itam. Kini semakin tenggelam.

            Maka matilah harimau yang sombong dan ganasnya kerana tamak dan menurut nafsunya semata. Arnab melihat kejadian itu dari sebalik semak samun tempatnya bersembunyi. Segera dia berlari pantas ke dalam  rimba kediamannya, diiringi murai yang terbang mengikutinya. Hasratnya untuk menceritakan apa yang telah berlaku kepada kawan-kawannya.

 

TAMAT

 

14.

POKOK NASI

            Cuti sekolah semester kedua akan bermula pada minggu hadapan. Murid-murid sekolah yang terlibat sudah tidak sabar lagi menunggu tarikhnya. Termasuklah aku, murid tahun 4 sekolah Intan Baiduri. Sebuah sekolah yang terletak berhampiran bandar raya KL.

            Mama dan papaku seperti selalu akan membawa aku  pulang bercuti ke kampung atukku di utara. Rancangan percutian mama dan papaku tidak pernah berubah. Setiap kali bermula cuti sekolah yang agak panjang hanya balik kampung Atuk sahaja.

            Aku teringin sekali merasai keseronokan bercuti di tempat lain pula. Misalnya ke luar negara pula seperti  yang dialami ramai rakan sekelasku. Mendengarkan mereka bercerita membuat aku terlopong. Sangat teruja.

            “Mama cuti sekolah ni mama tak mahukah bawa saya bercuti ke Hong Kong ke, Beijing ke, Tokyo ke? Macam Hafiz dan keluarganya. Asal bercuti saja mesti di luar negara. Seronok juga dapat naik kapal terbang selalu. Ini asyik balik kampung naik kereta lama saja.” 

            Mama dan papaku berbalas pandang sambil tertawa sedikit.

            “Bukan main tinggi angan-angan anak papa, mama ni ya. Hendak bercuti ke luar negara macam Hafiz dan keluarganya ya. Keluarga kita mana ada kemampuan macam mama papa Hafiz tu. Mereka tu besar pendapatannya. Sebab berjawatan tinggi dalam firma swasta. Sedang mama dan papa kamu cuma pegawai kerajaan pangkat rendah saja. Jadi kita tak boleh “berak besar kalau gajah berak besar”. “Kalau nak ukur baju kena di badan sendiri.” Bukan ikut ukuran orang lain.” Komen papaku pantas.

            “Syafiq fahamkah maksud peribahasa dan perumpamaan yang papa sebut tu? Dah belajar kat sekolah?” aku angguk lemah.

            “Kalau nak selalu ke luar negara bercuti dan naik kapal terbang selalu, belajarlah rajin-rajin bagi pandai. Nanti dapat kerja baik, gajinya tinggi bolehlah bawa mama dan papa bercuti ke luar negara.” Ucap mama sambil memelukku erat. Terasa kasih sayang mama dan papaku mengalir dalam hatiku.

            “Jangan sedih sebab kita bercuti cuma balik kampung saja. Sebab kita masih ada kampug asal kita. .Setengah orang sudah tiada kampungnya. Dan dah tak dapat nak balik kampung lagi. Kita masih ada Atuk dan Nenek yang tunggu kita balik kampung bila musim cuti sekolah. Lagipun masa cuti saja kita berpeluang jengok Atuk dan Nenek di kampung. Atuk dan Nenek pun tentu sangat rindu nak jumpa Syafiq. Cucu kesayangan mereka ni.” Ujar mamaku lunak menenangkan hatiku.

            Aku bersembang dengan Hafiz ketika waktu rehat di kantin sekolah.

            “Kau nak bercuti ke mana pula kali ni Hafiz? Mesti nak bercuti ke luar negara lagi. Cuti semester lepas kau ke Korea. Kali ni nak ke mana pula?”

            “Entahlah Syafiq. Mama dan papa aku belum beritahu apa-apa lagi. Mungkin ke Jepun kut. Sekarang ni musim bunga di sana. Bunga-bunga sakura sedang berkembang cantik.”

            “Seronoklah kau.” Kataku. 

            “Aku dan keluarga aku selalu bercuti ke luar negara saja. Memang banyak tempat menarik di sana berbanding di negara kita.” 

            “Untung kau Hafiz jadi anak orang kaya.selalu dapat bercuti ke luar negara. Tentu seronok sangat dapat melawat negara orang. Selalu dapat naik kapal terbang untuk ke sana. Tempat orang mesti sangat cantik dan berbeza dengan tempat kita.” Hafiz tersenyum sahaja mendengarkan kata-kataku.. Dia mungkin terasa bangga  dengan keberuntungan nasibnya.

            “Kau pula bercuti ke mana?” Tanya Hafiz kepadaku.

            “Biasalah macam selalu juga. Balik kampung Atuk aku di Kedah sana.”

            “Kedah negeri Jelapang Padi. Mesti banyak padi di sana. Padi “pokok nasi” kan?” kata Hafiz sambil bertanya kepastiannya.

            “Padinya seluas mata memandang di sawahnya Hafiz. Ya buah padi yang jadi beras dan nasi yang kita makan tiap hari tu.”

            “Iyakah? Aku tak pernah lagi tengok pokok padi secara dekat.makan nasi je tau” Syafiq kehairanan mendengar kenyataan Hafiz.

            “Kau tidak ada kampungkah? Kampung yang ada pokok padi. Tak pernah aku dengar kau bercerita pasal kampungkau.”

            “Kata mamaku kampung asal keluarga kami di pinggir bandar di selatan. Tapi kampung tu dah berubah menjadi bandar. Kalau balik kampung sama juga dengan balik ke bandar. Tiada beza suasananya kata mamaku. Lebih baik tak payah balik. Itu yang mama dan papa aku suka bercuti ke luar negara saja.”

            “Oh!.” Aku cuba memahaminya.

            “Jom ikut aku balik kampung. Kata mama aku di kampung Atuk aku sekarang padi masih menghijau. Belum masak lagi. Nanti bolehlah kita memancing ikan puyu di sawah. Seronok oh! Kampung Atuk aku tu dekat dengan laut. Banyak pulau-pulau di tengahnya. Cantik pemandangannya.”

            “Bolehkah aku ikut kau. Mama kau tak marah?” Tanya Hafiz seolah berminat dengan pelawaanku.

            “Kenapa pula nak marah? Kau kan kawan baik aku. Kita hidup pun berjiran. Tapi kau kenalah minta izin mama dan papa kau. Aku rasa mama dan papakau tentu tak benarkan kau ikut aku balik kampung. Lagipun mereka dah rancang nak bawa kau bercuti ke Jepun.”

            “Nanti aku cuba tanyakan mama dan papa aku. Kalau betul alasan yang aku beri tentu mama dan papa aku akan izinkan. Naik kapal terbang selalu ke luar negara jemu juga. Aku nak lihat juga tempat menarik kat dalam negara kita.”

            “Kau kena beri alasan yang betul. Jangan menipu pula. Tak baik menipu kata mama papa aku. Tuhan marah dan kita berdosa kepada mama papa kita.”

            Hafiz diberi keizinan mama dan papanya untuk mengikutiku pulang ke kampung bersama mama papaku. Entah apa alasan yang Hafiz beri kepada mama dan papanya tidaklah kuketahui.  Aku tidak pula bertanya apa-apa. Tapi hajat Hafiz untuk melihat suasana dikampungku berjaya dilaksananya. Aku begitu gembira dapat bersama Hafiz sepanjang percutianku di kampung.

            Hafiz begitu rapat dengan atukku. Atukku rajin bercerita tentang aktiviti sehariannnya sebagai penanam padi kepada Hafiz. Aku kadang-kadang mengajak Hafiz memancing ikan puyu di sawah. Setiap kali ikan puyu berjaya dipancing Hafiz melompat kesukaan. Telatahnya membuat aku tersenyum cuma. 

            Ikan puyu yang didapati hasil daripada memancing dibawa pulang ke rumah untuk dijadikan lauk bersama nasi. Memang sedap makan nasi berlaukkan sambal tumis ikan puyu yang dimasak nenekku. Bertambah-tambah nasi yag disuap Hafiz ke mulutnya.

            “Sedapnyalah Syafiq lauk ikan puyu ni. Jauh lebih sedap dari chicken chop dan ayam goreng kfc heh..heh..,” komen Hafiz kesukaan.

            “Makanlah Hafiz. Makan hingga kenyang. Bila balik nanti bilalah Hafiz nak ke rumah Nenek lagi.”

            “Iyalah Nek. Kawan saya ni kalau cuti sekolah asyik bercuti di luar negara saja. Macam mana pula kali ni dia dapat ikut saya balik ke sini tak taulah saya.” Hafiz tersengih sahaja tanpa membalas perkataanku.

            “Jom ikut Atuk ke tepi laut. Atuk nak memancing ikan semilang.” Ajak Atuk.

Cepat  sahaja aku dan Hafiz membonceng motorsikal Atuk yang bergerak menghala ke pantai. Tidaklah jauh jaraknya. Sebentar sahaja sudah tiba ke tempat yang di maksudkan Atukku.

            Aku dan Hafiz duduk di sebelah Atuk di atas jeti. Atuk mulai menjatuhkan mata kail pancingnya ke atas air muara sungai yang berolak itu. Kelihatan laut membiru kejauhan. Ombak datang dan pergi menampar pantai. Indah sekali panorama alam di situ.

            “Kau nampak pulau yang berceratuk di tengah laut tu Hafiz, Syafiq?”

            “Ya nampak!” tukasku

            “Nampak apa bentuknya?” Tanya Atuk lagi.

            “Nampak seakan bentuk orang sedang berbaring memohon doa.” Jawab Hafiz pula.

            “Kata nenek moyang Atuk, pulau tu terbentuk kerana sumpahan seorang ibu terhadap anak yang derhaka kepadanya. Tidak mendengar katanya hendak pergi merantau meninggalkan ibunya keseorangan. Doa seorang ibu amat makbul. Jadi jangan sesekali melukakan hatinya atau bercakap bohong kepadanya.

            Aku melihat Hafiz menundukkan wajahnya. Air matanya menitis di pipinya.

            “Kenapa Hafiz? Kau rindukan mama dan papakau ya, pabila Atuk sebut pasal kisah pulau itu.”

            “Aku sedih sebab aku telah memberi alasan menipu untuk mengikut kau ke sini. Aku harap mama akan maafkan aku dan tidak menyumpah aku menjadi pulau.” Aku mengusap bahunya perlahan. Cuba melegakan perasaannya.

            “Apa alasan tu?” tanyaku ingin tahu.

            “Aku kata cikgu kelas kita suruh buat kajian tentang pokok padi sebagai makanan ruji kita. Sedang cikgu tak suruhpun.”

            “Oh!”

            “Tak lama kita dah nak balik. Dapatlah kau berjumpa mama dan papakau. Mohon maaf banyak-banyak kerana kesilapan kau tu. Tentu mereka faham dan tak marahkan kau. Janganlah sedih sangat.”

            Atukku hanya tersenyum melihat telatah aku dan Hafiz . Kail  pancing Atuk sudah mengena. Atuk pantas menariknya ke jeti. Seekor ikan semilang yang besar tergeletak di lantai. 

Atuk menegah aku dan Hafiz menyentuh ikan semilang itu kerana bimbangkan akan tertusuk durinya yang tajam. Dan bisanya memang sangat menyakitkan. Atuk memotong duri yang terdapat di sisi kepala semilang sebelum memasukkannya ke dalam raga kecil yang Atuk bawa.

            Aku pasti Nenek akan memasaknya dengan sangat lazat sebagai hidangan makan malam kami semua nanti.

 

TAMAT

15.

BELALANG YANG LALAI

 

Belalang sangat suka menyanyi dan menari. Pelbagai lagu yang digemari dinyanyikannya sambil menari-nari. Tingkahnya diperhatikan sekilas kawannya,Semut. Dia tidak pedulikan kawannya Semut yang bekerja setiap hari mencari makanan dan mengumpulkannya di dalam sarangnya.

Semut mengajak Belalang turut bersama dengannya bekerja mencari makanan dan menyimpannya kerana tidak lama lagi musim hujan akan tiba. Ketika itu mereka semua tentu tidak dapat keluar bekerja untuk mencari makanan. Sekiranya tidak ada makanan yang disimpan tentu mereka akan ditimpa masalah kelaparan.

            Mereka semua pasti akan berkurung di dalam sarang sahaja. Dalam tempoh itu mereka perlukan makanan yang telah disimpan untuk meneruskan kehidupan sehingga musim hujan telah reda. Tetapi Belalang langsung tidak pedulikan nasihat kawanya Semut.

“Apa aku nak hairan semua itu Semut! Sebab masih banyak makanan di dalam sarangku. Aku tidak perlu bekerja bersusah-payah seperti kamu setiap hari. Akan memenatkan aku saja. Baiklah aku bersuka-suka menghibur hatiku dengan menari dan menyanyi. ”  

“Kalau kau tidak bekerja dan asyik menyanyi saja, lama kelamaan makanan yang ada akan habis juga kau makan. Jikalau kau tidak menambahkan semula tentu kau akan kelaparan kala musim hujan tiba nanti.”

“Sudahlah Semut! Tak usahlah kau nak risaukan aku.pergilah kau bekerja. Aku  hendak berseronok menghibur hatiku dengan menyanyi dan menari saja.”  Belalang pun terus menari dan menyanyi dengan asyiknya. Semut hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat gelagat kawannya itu.

“Degil sangat kamu ini.nasihat aku tidak kamu ambil peduli. Jangan kamu akan menyesal kemudian hari kelak.” Setelah mengucapkan begitu, Semut segera meninggalkan Belalang dan bergerak pantas menuju arah tempatnya bekerja. Dia dan kawan-kawannya berkerja keras sepanjang hari. Mereka bekerja-sama mengangkut bahan makanan untuk disimpan di dalam sarang mereka.

Setiap hari Semut dan kawan-kawannya bekerja dengan rajin.

Cuaca beransur gelap. Semut mengajak kawan-kawannya pulang ke sarang.

“Nampaknya musim hujan akan tiba. Kita semua tidak boleh keluar lagi mencari makanan.”

“Semua bahan makanan telah banyak kita kumpulkan  untuk keperluan kita semua sepanjang tempoh musim hujan nanti. Tidaklah kita semua akan kelaparan”, sahut kawan Semut yang berada di belakangnya.

“Ya. Kita telah bersedia membuat persiapan awal.”

Hujan turun kerana musimnya telah tiba. Pada mulanya cuma gerimis. Kemudian bertukar renyai-renyai. Kadangkala hujan turun dengan agak lebat.  Semut dan kawan-kawannya berlindung dari hujan dengan berkurung di dalam kediaman mereka yang dibina di tanah tinggi.

Mereka semua menikmati makanan yang telah dicari dan dikumpulkan selama ini. tanpa risau akan kehabisan kerana jumlahnya banyak.

Tiba-tiba muncul Belalang di hadapan kediaman Semut sambil memanggil Semut agar membuka pintu kediamannya.

“Kenapa kau ke sini dalam hujan begini,Belalang? Apa pula masalah kau? Sanggup kau basah berhujan ke rumah kami!”

“Sebenarnya aku lapar,Semut. Aku tidak tahan lagi menahan kelaparan. Semua makanan yang ada di sarangku telah kehabisan. Sedang hujan masih juga tidak berhenti turun. Aku tidak dapat keluar bekerja mencari makanan.”

Belalang terpaksa merayu kepada Semut agar memberinya sedikit makanan untuk mengisi perutnya yang kosong.

“Dulu lagi aku sudah katakan kepada kau agar bersedia hadapi musim hujan dengan bekerja mengumpul simpanan makanan keperluan kau. Tapi kau tidak hiraukan nasihatku itu. Sekarang kau rasalah akibatnya.”

“Maafkan aku kerana tidak mendengar nasihatmu.tapi berilah aku sedikit makanan kerana sudah dua hari aku tidak makan apa-apa. Aku merasa sangat lapar. Kasihanilah aku!”

Seekor semut membalas kata-kata Belalang itu.

“Kalau hendak makan kita hendaklah bekerja dahulu sebelum mendapatkannya.

Jadi kau mesti bekerja dahulu. Kau menyanyi dan menarilah menghibur hati kami sebelum  kau diberi makanan.”

Walau Belalang merasa amat lemah kerana kelaparan, dia terpaksa juga menyamyi dan menari demi mendapatkan makanan. Dia menyesali kesilapannya tidak menuruti nasihat Semut sebelum ini.     

TAMAT

 

No comments:

Post a Comment