MANUSKRIP
GUBAHAN
PUSPA
PUISI JIWA
OLEH
PARIDAH ISHAK
PRAKATA
Puisi
ialah susunan kata-kata indah lagi lunak bererti karya penulis yang menyentuh
perasaan penggemarnya. Berasal dari perkataan poesey rujukan buku PUISI &
PEMUISI tulisan Tabir Alam 2019. Paparan puisi yang terkandung dalam buku ini
adalah karya asli Penulis dalam dua genre puisi iaitu puisi tradisi warisan sastera
Melayu seperti Pantun, Syair, Nazam, Gurindam. Puisi moden berupa Sajak, Sonian,
Saduka, Akrostik turut menjadi pilihan. Tidak ketinggalan turut disertakan
puisi tradisi negara Jepun seperti Haiku. Soneta dan Kuatrin puisi asal Inggeris juga disertakan. Serba sedikit cara
menukil sesuatu puisi dinyatakan sekali. Tapi menukil puisi bermakna menjadi
sempurna indah dan sekiranya mengenalinya secara berguru. Penulis belajar tentang
semua puisi ini bersama rakan penulis
Noorlaila Ghafar, Yahti Hayati, Zuraida Dewi, Saniah Masri, Norazizah Idris, Jalimah
Jaudin, Russ Asan, Siti Zaiton Ahmad, Bayu Pagi, Pauzi Md Isa, Gabriel Kim
Juan, Aloy Indera, Qurniaan Jiwa, Seti Zaleha, Oui Sai, Nazim Mohd Subari, Sabariah
Nor Saleh, Mass On, Abd Aziz Razak, Pak Engku, Khaziah Yem, CT Nurza, Issey Miyaki, Syidah Ida, Salmah
Amir, Ustazah Ana, Hamimah, Pak Ngah, Amer Hamzah, Adyra Azzahra, Aneh, Annur
Halimah dll yang mengangotai grup penerbitan SPTA @ facebook secara dalam
talian tanpa sebarang bayaran di bawah bimbingan sifu Tabir Alam mulai 2016
sehingga kini. Terima kasih banyak budi dan kesudian sifu TA. Dan semua penulis
ini kini giat sebagai pengkarya puisi yang memeriahkan gelanggang kesusasteraan
negara.
PUISI TRADISI MELAYU
1.
PANTUN
# 1 Pantun Simpulan Bahasa
# 2 Pantun Peribahasa
# 3 Pantun Nostalgia
# 4 Pantun Impian
#5
Pantun Perbidalan
2. KARMINA
#1 Detik Masa
#2 Kasih Sayang Cinta
#3 Kampung Halaman
#4 Kuntuman Kembang
#5 Rindu Dendam
3. TALIBUN
#1 REZEKI
#2.DUGAAN
#3.MASALAH
#4. WALINONG SARI
#5. RAGU
4. SYAIR
# 1 Syair Bunga Raya
# 2 Syair Warga Negara Merdeka
# 3 Syair Pipit Dan Enggang
# 4 Syair Negaraku
# 5 Syair Mawar Oh Mawar
5. GURINDAM
# 1 Gurindam Kembara
# 2 Gurindam Niat
# 3 Gurindam Gemar
# 4 Gurindam Gagal
# 5 Gurindam Jiwa
6. NAZAM
#1 Bahtera Merdeka
#2 Alam Harmoni
#3 Sinar Purnama Ramadan
#4 Maulidur Rasul
#5 Doa
PUISI MODEN
7. SAJAK
#1 Musafir
#2 Polemik
#3 Mampukah Kehilangan?
#4 Nusa Tercinta
#5 LIngkaran Maya
8. SADUKA
#1
Tanah Ini
#2 Musim Buah
#3 Tunai Haji
#4
Adam Reyqal
#5 Angka Sifar
9. SONIAN
#1Senja
#2 Alam Maya
#3 Sahabat
#4 Ilmu
#5 Gubahan Kata
10. AKROSTIK
#1
POHON TAHUN BAHARU
#2 KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
#3 SIVAGANGGA
#4 SALAM MAAL HIJRAH
#5 ERTI GLOBALISASI SEBENAR
PUISI
TRADISI JEPUN
11. HAIKU
#1 Teratai
#2 Lebaran
#3 Tanjung
#4 Pisang kaki
#5
Angsa
PUISI
TRADISI INGGERIS
12. KUATRIN
#1 Lorong ini
#2 Kasih Ini
#3 Siapalah kita
#4 Secoret pesan
#5
Sebuah kelahiran
13.SONETA
#1 DEMI CINTA?
#2 DISEMBER
#3 SALAM RAMADAN
#4 TANAH PUSAKA
#5 LAGU JIWA
----------------------------------------------------------------------------------------------------
Puisi pantun sudah diiktiraf
UNESCO 2020 sebagai puisi tradisi rumpun Melayu nusantara. Sebutan ‘tun’ menjadi
kata akar digunakan rumpun Melayu nusantara dalam pelbagai maksud. Menurut Liew
Yook Fang (2011.556) yang dipetik daripada buku PUISI dan Pemuisi tulisan Tabir
Alam terbitan SPTA 2019; pantun dari kata akar ‘tun’. Pantun sebutannya berasal dari daerah
kepulauan Melayu dialek Minangkabau yang menyebut patuntun atau pantun dituntun.
Menulis puisi pantun
terikat dengan rima a b a b. dimulai dengan dua baris pembayang dan dua baris
maksud.
Boleh juga ditulis
rima akhirnya a a a a seperti syair asalkan sampiran dan maksudnya berbeza.
Jika penguasaan perbendaharan kata tahap terbanyak tentu terbaik membina pantun
rima sempurna keseluruhannya. Paparan pantun
biasanya dipilih mengikut tema tertentu. Pecahan suku kata sama ada 9 10 11 12. Pelbagai tema pantun mengikut jenis pantun seperti pantun biasa empat kerat, berkait, dua kerat, enam kerat,
lapan kerat dengan tema, perbidalan, peribahasa, simpulan bahasa, nasihat,
kasih sayang dll boleh dikarang dalam genre pantun ini.
1.
PANTUN
Pantun
#1 SIMPULAN BAHASA
Sayur meranti bercampur tauhu,
tumbuhan bayam di celah pangsa;
isi hati siapa yang tahu,
di dalam diam memendam rasa.
Selada dingin rapat di pangkal,
jalar kelisa di tepi tangga;
ada angin tak dapat disangkal;
luar biasa tidak terduga.
Ikan ketuka berenang-renang,
laut berombak jauh jelajah;
air muka persih dan tenang,
tidak beriak berseri wajah.
Di dalam pukat ada gelama,
bawa penganan jinjing sebelah;
ada bakat bertokoh karisma,
gaya pimpinan jelas terserlah.
Sambil mengemas hingga beranda,
menyapu sampah rata melayang,
anak emas ayahanda bonda;
tempat tumpah kasih dan
sayang.
Bawa rambutan turun ke sampan,
dayung ke pekan SimpangTiga;
ayam tambatan tanggung harapan;
mengubah akan nasib keluarga.
Segantang pulut berikan nyonya,
ambil cemperai di tepi jalan;
banyak mulut rajin bertanya,
mengharap lerai akan soalan.
Warna bold; Simpulan Bahasa
Pantun #2 PERIBAHASA
Bunga angsana mekar
berjambak,
riang
Tirana memilih marjan;
laut yang mana tidak berombak,
bumi
mana tak ditimpa hujan.
Memilih bedak oleskan
pipi,
terus
menghala ke Buluh Kasap;
kalau tidak adanya api,
masakan
pula adanya asap.
Dimakan pulut hari dah
siang,
bersama
lala ikan belanak;
janganlah mulut disuap pisang,
punggung
pula dikait onak.
Baca riwayat naskhah
Melayu,
dikarang
oleh warga setempat;
lemah liat si akar kayu,
dilentur
boleh patah tak dapat.
Jangan meludah lantai
berhabuk,
pakai
terendak memilih antah;
kalau dah tahu gadung tu mabuk,
mengapa
hendak diratah-ratah.
Bukit Tinggi berjurang
bergenting,
sematnya atap usah di tangga;
setinggi-tinggi orang melanting,
jatuhnya tetap
ke bawah juga.
Nanar di situ pulang
selamat,
sepat dijala sawa melekat;
sabar itu penghilang penat,
tekun pula
pembawa dekat.
Mengambil parang duduk
di resak,
di depan kali jernih mengalir;
sambil berdiang nasinya masak,
sambil menyelam
meminum air.
Balang terjatuh kala
disentak,
mengait jering galah terlepas;
sambang penuh jala terletak;
laut kering
ikan menghempas.
Larat menyirat kencana
lalu,
menampung raga selam bergilir;
seberat-berat mana pun kayu,
terapung juga
di dalam air.
Santun ayu memasak kuah,
untuk hidangan tamu kenalan;
bak pohon kayu tidak berbuah,
begitu ilmu
tanpa amalan.
Lilau puyuh berlama di
taman;
di bahu sela reramma ulir;
kalau pengayuh sama di tangan,
perahu pula
sama di air.
PARIDAH ISHAK
DEWAN BUDAYA DBP JULY 017
Warna bold; peribahasa
Pantun #3 NOSTALGIA
Sisih
kumpulan buntu bahagi,
maman
berjenis dekat belara;
selisih
jalan suatu pagi,
senyuman
manis mengikat mesra.
Rana
santapan roti penganan,
bersila
tamu berpuntung sigup;
pesona
tampan hati berkenan,
kala
bertemu jantung berdegup.
Langkah
memilis getus suara,
tujah
kepayang tala pulasan;
warkah
ditulis utus bicara,
wajah
terbayang mula perasan.
Kerapu
lalu lokan menghalang,
serangan
teja menggodam bisa;
tersipu
malu bukan kepalang,
berangan
saja memendam rasa.
Talam
berkrim di gerai dadu,
serbat
dilirik ketip hiasan;
salam
dikirim melerai rindu,
sahabat
baik dititip pesan.
Sida
sedia hendak mendapa,
melayang
balam mengusik dayang;
kepada
dia tidak terlupa,
siang
dan malam asyik membayang.
Tunduk
kenari riba angsana,
gugur
kerana layangan bangau;
duduk
berdiri serba tak kena,
tidur
tak lena serangan angau.
Berangin
tamu galau melontar,
menyejat
badam sega dicapai;
ingin
bertemu walau sebentar,
hajat
dipendam moga tercapai
Pantun
#4 IMPIAN
Di kiri
palma kanan perigi,
sela pulasan sebelah kiri;
dini hari menjelmakan pagi,
mula lukisan sebuah hari.
Kenari
duka mengusir lara,
leka perhati jering
kelisa;
jejari leka mengukir citra,
sesuka hati seiring masa.
Hendak ke bangsal bermain bangsi,
seru sekali puan penari;
tidak disesal mahupun sangsi,
justeru demi impian diri.
Ragi di kasur reja di peti,
duduk menjelum bilik
gelita;
pagi mengangsur senja menanti,
esok belum pasti milik
kita.
Mari ke sini lekat di sini.
menilik kanta rapat
teliti;
harinya ini dan saat ini,
milik kita yang sangat
pasti.
Lensa
dilalu fokuslah tepat,
melihat suria janggal tercipta;
masa
berlalu amatlah cepat,
rehat berkarya tertinggal cita.
Hujan
di atap angin membadai,
jajar sekata kering terasa
impian
tetap ingin digapai
berkejar kita beriring masa
Apa tersirat tersalah erti,
maya
berwarna hilangkan dura;
apa tersurat sudahlah pasti,
dunia
fana nan sementara.
Pantun
#5 PERBIDALAN
#1
Melangkah pulang hati
menduga,
kata bertingkah menyoal rumi;
naik membilang anak rangga,
turun selangkah
jejaklah bumi.
Indah cuaca awan
sejengkal,
lalu kuala ke pelabuhan;
kalau neraca palingan bungkal,
hati pula
palingan Tuhan,
Tenung makrifat renung
berisi,
mengukir kata tuntutan pasri;
hindari sifat bernafsu-nafsi,
beraja di mata
berultan di hati.
Kain selempang dijangkau
pacat,
patah semangat hendak menukang;
orang yang tempang jangan dicacat;
beringat-ingat
hari belakang.
Sayur peria bercampur
cuka,
ulam pegaga siapa punya;
siapa dia yang makan nangka,
dialah juga
yang kena getahnya.
PARIDAH ISHAK
PELITA BAHASA JULY 2017
#5
Pantun D’Klasik
Radio Klasik RTM
Jumaat , 13 Mach 2020
Pantun dibaca DJ
Diarun lumat sitrus merona,
rawa di barat berakit kerat;
digerun amat virus corona,
bawa mudarat sakit melarat.
Mengelar sepat dibongkar lekat,
lukah dipunggah tenggiling huma;
menular cepat sukar disekat
langkah mencegah paling utama
Pantun penyertaan
Sisi halia kangkong menjalar,
rumpun di kiri ternyata kurus;
kawal selia tidak menular,
bersihkan diri cemar diurus.
Mengganti peti juga almari,
diberi dalca kebab sedikit;
berhati-hati menjaga diri,
hindari punca sebab penyakit.
Pantun D’Klasik
Radio Klasik RTM
Isnin, 11 Mei 2020
PANTUN PENYERTAAN
Celah jeriji si ular sawa,
takut sahaya pucat dan lesi;
Ramadan uji iman dan takwa,
akhirnya jaya mampu lepasi.
Asam celagi isi di sia,
sia ditindan biarlah cermat;
amatlah rugi masa tersia,
hadir Ramadan membawa rahmat.
Bersama rakan ke kampung hulu,
hari Jumaat hendak ke Kudat;
usah biarkan Ramadan lalu,
setiap saat isi ibadat.
PANTUN DIBACA
Beli juadah di pekan Pagoh,
lintas sempadan menukar hala;
amal ibadah bersungguh-sungguh,
bulan Ramadan himpun pahala.
Pantun
D’Klasik
Radio Klasik RTM
Jumaat , 13 Mach 2020
Pantun dibaca
Diarun lumat sitrus merona,
rawa di barat berakit kerat;
digerun amat virus corona,
bawa mudarat sakit melarat.
Mengelar sepat dibongkar lekat,
lukah dipunggah tenggiling huma;
menular cepat sukar disekat
langkah mencegah paling utama
pantun penyertaan
Sisi halia kangkong menjalar,
rumpun di kiri ternyata kurus;
kawal selia tidak menular,
bersihkan diri cemar diurus.
Mengganti peti juga almari,
diberi dalca kebab sedikit;
berhati-hati menjaga diri,
hindari punca sebab penyakit.
2.
SYAIR
Syair
berasal dari bahasa Arab Parsi. Dikarang 4 baris serangkap mengikut tema
pilihan. Rima akhirnya a a a a. Kadensa lunak 10 suku kata. Rangkap pertama
syair dimulai dengan pembuka kata syair mengikut kisah dan diakhiri rangkap
syair penutup kesimpulan.
Syair
#1
SYAIR BUNGA RAYA
Bunga
raya disyair mencerah,
mekarnya
indah merona merah,
tumbuh
merata liar selerah,
di
ceruk kampung rata daerah.
Menghijau
subur tegak merendang,
seri
angsana sejauh pandang,
rona
meriah sukar terhadang,
meski
tumbuhnya di pinggir padang.
Bunga
raya tingginya separa,
tumbuhan
herba mengubat dura,
mengurai
sakit duka dan lara,
demam
dihidap sembuh segera.
Akarnya
kukuh mencengkam tanah,
mengelak
hakis pemusnah ranah,
dihembus
ribut masih tak punah,
banjir
melanda renda sakinah.
Bunga
raya bunga kebangsaan,
pilihan
tepat Tunku Abd.Rahman,
bukan
semata puspa pilihan,
hikmah
firasat dalam renungan
Bunga
raya melambang semangat,
bersatu
erat teramat sangat,
berganding
tangan jatuh keringat,
warga
negara mutu menyengat.
Berakhir
syair mencitra bunga,
Indahnya
agum hingga terpinga,
lupa
penganan dalam belanga,
anugerah
Allah hamba ternganga.
SYAIR
#2
WARGA NEGARA MERDEKA
Alhamdulillah pembuka kata,
bermula syair ukiran tinta
sudah merdeka nusa tercinta,
warga negara bersukacita.
Budi semangat pejuang bangsa,
semangat ikhlas menabur jasa,
berjuang gagah seiring masa,
tuntut merdeka bebaskan nusa.
Tebus maruah juang merdeka,
lama terjajah detik ketika,
warga merintih langsung tak suka,
dalam belenggu perih terluka.
Hasrat pejuang satu matlamat,
bebaskan nusa tanah keramat,
hidup warganya mengecap nikmat,
Allah izinkan peroleh rahmat.
Sheikh Fahim ulama terbilang
takwim menentu tarikh
gemilang,
di akhir Ogos detik menjelang,
julang merdeka tanpa terhalang,
Stadium Merdeka jadi saksi,
warga negara setia sisi,
rasmilah sudah berubah paksi,
memulang hak wajar solusi.
Tujuh kali “MERDEKA” gema suara,
dilaung Tunku Abdul Rahman Putra,
warga menyahut sebak tertera,
meraup syukur terusir dura.
Watan merdeka
amatlah bangga,
bebas dijajah merasa
lega,
cinta negara jiwa dan
raga,
ditadbir bijak warga
menjaga.,
Syair merdeka usailah sudah,
moga terhibur terlerai gundah,
menyusun kata mengukir madah,
demi sebuah negara indah
Syair
#3
SYAIR PIPIT DAN ENGGANG
Pipit dan enggang
syair dikarang,,
mengepak sayap bukan
sebarang,
dimusnah hapus
memang dilarang,
mudah dilihat di tempat
terang.
Pipit tuli namanya
diberi,
pipit uban kaumnya
sendiri,
burung nan kecil rendah
berdiri,
terbang berkawan tidak
berlari.
Sering bersama
ternyata saban,
kadangkala hinggap di
reban,
kutip bijirin di
perdu leban,
saling berkongsi tidak
meraban.
Pipit mematuk buah celagi,
paruhnya kecil tidak
bergigi,
musuh petani dihambat
pergi,
agar hasilnya tidak
merugi.
Enggang di pohon di pinggir lagun,
bangun sosoknya ketara
anggun,
hebat rupanya lihat
terpegun,
di rimba raya tempat
memegun.
Jarang temui enggang
berkawan,
dengan pasangan kadang
berlawan,
besar rezeki setinggi awan,
tidak cukupan cuma secawan.
Tidaklah hairan tindak
lakunya,
enggang dewasa dengan
caranya,
jangan berkurang mewah rasanya,
juang bersungguh akan mahunya.
Enggang dan pipit
hai anologi,
sifat berlawan tolak
bahagi,
lestari hayat gaya
meranggi,
syair ini puisi elegi.
Syair
#4
SYAIR NEGARAKU
Kugubah syair deminya
nusa,
tanah tercinta damai
sentosa,
berbilang bangsa rasi
selesa,
membina jaya luar biasa.
Hidup harmoni erat
bersatu,
hormat menghormati
saling membantu,
menjauh rasa hati kematu,
suka seteru sifat
menghantu.
Negaraku makmur mewah
rezeki,
laut direnang gunung
didaki,
warganya rajin elak
bertaki,
reda berkongsi tidak
berdengki.
Pelbagai kaum berbilang
ragam,
demikian kita rencah dilagam,
berbilang adat tidak
seragam,
kadang kemelut
berpancaragam.
Hidup bersama memang
begitu,
masih terkawal emosi
itu,
tidak memuncak gejolak
buntu.
cinta negara warga
bersatu.
Negara kita jalin
muhibbah,
Semenanjung, Sarawak dan
Sabah,
anugerah Allah tawaduk
sembah,
milik bersama tidak
berubah..
PARIDAH ISHAK
Dewan Sastera DBP Sept 2020
Syair
#5
MAWAR
OH MAWAR
Syair mawar berima selari,
mekar di pohon cantik
berseri,
walau keliling penuhi
duri,
harum semerbak pesona hari.
Mawar yang cantik lebat
berumpun,
berona indah jambak
terhimpun,
di sudut kamar menyerlah
rapun,
andai diusik mohonkan
ampun.
Leganya hati mawar di
sisi,
terasa laju masa terisi,
ingin bersama tiada
sangsi,
segar indahnya rasa serasi.
Walau terluka ditusuk
duri,
darah menitis di hujung
jari,
hati terasa ngilu dan nyeri,
diseka lirih memujuk diri.
Mawar yang ini mawar
pilihan,
jadi hiasan mesra
sentuhan,
di hujung ranting
celahan dahan,
terpesona akan keindahan.
Mawar ranggi berkelopak
cantik,
tanpa ragu segera dipetik,
sebelum mekar dinanti
putik,
walau hujan mulai
merintik.
Gerimis mulai turun
kasar,
hati berolak runsing dan
gusar,
lembut kelopak menjadi
sasar,
longlailah mawar kecil
dan besar.
Mawar terindah memudar
warna,
tidak lagi sesegar
angsana,
kelopak relai di sini
sana,
luruh merata indahnya
sirna.
Syair berkisah akan mawarku,
sudah pun layu merelai
kaku,
suratan takdir jelas teraku,
pesona fana kekal
berlaku.
3.
GURINDAM
Gurindam
dikarang dua baris serangkap. Puisi ini berasal dari India. Baris pertama ialah
pernyataan dan baris kedua adalah akibat pernyataan. Gurindam boleh ditulis
secara bebas tanpa mengira baris pada setiap rangkap. Rujuk GURINDAM DUA BELAS
oleh Raja Ali Haji Pulau Penyengat.
Gurindam
#1 GURINDAM KEMBARA
Kalau
kembara jelajah tempat,
luas pandangan tatkala sempat.
Kalau
kembara rata daerah,
dapat susuri jalur sejarah.
Kalau
kembara dalam negeri,
indah permainya maklum sedari.
Kalau kembara rentas sempadan,
membanding-banding tidak sepadan.
Kalau kembara mencari ilmu,
menambah tahu tidaklah jemu.
Kalau kembara melihat alam,
mengukuh iman bagai pualam.
Kalau kembara ke dalam diri,
salah silapnya peduli cari.
Kalau kembara mencari cinta,
seru
kasih-Nya dilafaz nyata.
Gurindam
#2 NIAT
Kalau berniat tulus dan ikhlas,
hasil menjadi citranya jelas.
Kalau berniat wajib tunaikan,
janji tepati mesti amalkan.
Kalau berniat tidak dilafaz,
umpama kata tidak dihafaz.
Kalau berniat menjadi guru,
menimba Ilmu usah terburu.
Kalau berniat ingin kembara,
langkah dimula elok segera.
Kalau berniat menuju syurga,
amal ibadah pekerti jaga.
Kalau berniat menjadi alim,
Ilmu dituntut murabbi taslim.
Kalau berniat puasa sebulan,
tiba Ramadan itu amalan.
Gurindam
#3
GURINDAM GAGAL
Andainya
gagal apa dirancang,
kaji selidik
segera bincang.
Andainya
gagal ujian pertama,
rujukan ilmi
biarlah lama.
Andainya
gagal dalam perkahwinan,
suratan
takdir lerai bebanan.
Andainya
gagal dalam percintaan,
hati kecewa
lumrah perasaan.
Andainya
gagal difikir selalu,
tiada jaya
melintas lalu.
Andainya
gagal beramal soleh
murabbi
benar segera pilih
Andainya
gagal mendidik laku
gejala keji mudah berlaku
Andainya gagal berkali-kali
salah dan silap wajar sesali.
Gurindam
#4
GURINDAM RAJIN
Barang siapa rajin berkebun,
hasil rezeki banyak menimbun
Barang siapa rajin mandiri,
segala kerja laku sendiri.
Barang siapa rajin ziarah,
erat ukhuwah sirna amarah.
Barang siapa rajin membaca,
alim
berilmu hindari cerca.
Barang siapa rajin memasak,
jamu selera tidaklah
sesak.
Barang siapa
rajin berkarya,
ilham
dicerna semampu daya.
Barang siapa rajin melukis,
seni lukisan tidak terhakis.
Barang siapa
rajin berceritera,
riwayat lama
melipur lara.
Barang siapa rajin bergurindam,
puisi tradisi tidak
terpadam.
Barang siapa rajin bersukaria,
akhirnya hidup tidak ceria.
Gurindam
#5
PENULIS
Kalau penulis rajin
berkarya,
impi ternyata meraih
kaya.
Kalau penulis bijak
menafsir,
manis kekata rasa
berpasir.
Kalau penulis
sedarkan diri,
ruang sastera gugup
ditari.
Kalau penulis suka
bermegah,
lontar bicara pasti
disanggah.
Kalau penulis rasa
elitis,
hanya dipuja seperti
artis.
Kalau penulis tulis
semua,
selalu baca terasa
mua.
Kalau penulis asyik
berpesan,
protes pula katanya
bosan.
Kalau penulis tidak
menulis,
Isu semasa habis
tergilis.
Kalau penulis
ilhamnya surut,
idea dicoret galau
diturut.
Kalau penulis
golongan bilis,
diambil lewa makna ditulis.
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
16/03/2020
PELITA BAHASA DBP NOV 2020
4.
NAZAM
puisi tradisi Melayu. Dua baris serangkap. Rima akhir a a. 12 suku kata
ditetapkan cara membinanya..rujuk nazam TAJUS SALATIN Harun Md. Piah (1989)
Nazam #1 BAHTERA MERDEKA
Allahhu Rabbi ampunkan akan
kekurangan,
dosanya
hamba semoga ringan timbangan..
Tahmid tahlil tasbih zikir iring serta,
berlagu
nazamku membuka cerita.
Bahtera
Merdeka dihembus anginan.
dilambung
ombak sepanjang jalanan.
Munajat kepada Allah Yang Esa,
moga
perkenan doa hamba berdosa
Sifat
mahmudah diterap insani,
di
dalam bahtera berkekalan harmoni.
Saling mahabbah bergandingan tangan,
berkongsi
rasa teruskan perjuangan.
Bahtera
Merdeka disongsongkan angin,
hujan turun
menderu alam mendingin.
Tiang pasaknya mulai menyenget tumbang,
geruhnya
hati menaruh rasa bimbang.
Bahtera
Merdeka mohon Allah bantu,
haluan
menyasar dihadang suatu.
Alhamdulillah Ilahi mengkabulkan,
perhati
baiki akan kerosakan.
Kini telah
indah bersinar menyerlah,
semakin
gagah menolak serba masalah.
Nazam
dituliskan cerita negara,
berakhirlah
sudah persembahan citra.
Allahhu Rabbi ampunkan akan
kekurangan,
dosanya
hamba semoga ringan timbangan.
Nazam#2 ALAM HARMONI
Allah ampunkan dosa kini dan silam,
Bismilah dilafaz
menerang hati yang kelam.
Nazam dilagu ceritera alam harmoni,
bersama siang dan malam
sehingga ini.
Kehidupan tenteram aman dan damai,
Lestari hayat dalam alam
yang permai.
Alam semesta yang luasnya
saujana,
Allah menjadikannya amatlah
sempurna.
Kasih Rabbi kepada hamba
melimpah,
tidak terlafazkan bicara
yang tumpah.
Selawat dan salam
junjungan mulia
bersama Rahim-Nya
menghuni dunia.
Gunung dan ganang yang
tegak mempasak,
janganlah ditarah
janganlah dirosak.
Hutan nan merimba dipugar
usahlah,
takut akan mengundang
bahana Allah
Allah ujudkannya adalah bersebab,
menyerap hujan lebat
tanah melembab.
Mergastua serangga flora
dan fauna,
di rimba belantara
umpama istana.
Sungai dan tasik
indahkan bak ‘al-Khautsar’
usahlah dicemar etikanya
tersasar.
Hidupan di dasar kan riang berwenang,
pelbagai jenisnya
bertasbih berenang.
Khalifah alam hamba
pilihan Allah,
pikullah amanah ujian
ditelah.
Nazam alam harmoni tamat
di sini,
maafkanlah kekurangan
karya ini.
.
Nazam
#3 SINAR PURNAMA RAMADAN
Allah Allahu yang perkasa berkuasa,
ampunkan hamba akan segala dosa.
Dilagukan nazam kisahnya Ramadan,
dinanti hadirnya disambut sepadan.
Marhaban
Ramadan amalan semarak,
cahaya
purnama sinar bak perak..
Ramadan penghulu segala rembulan,
ganjaran berganda ibadah amalan.
Bersinar Ramadan cahayanya indah,
membawa rahmat-Nya tiada
penyudah.
Semoga terhapus segalanya dosa,
mensuci
jiwa tanpa noda tersisa.
Bagaikan
bayi yang baru dilahirkan,
bersih sempurna menghapus keboborokkan.
Puasa
mendidik berlapar dahaga,
kuatan
semangat menghadapi duga..
Bersedekah berzakat dimurahkan rezeki,
fitrah
Ramadan lunturkan sifat dengki.
Tadarus terawih meningkatkan takwa,
siang dan malam amal soleh dibawa.
Dengan
sesungguhnya mengisikan waku,
mengisi
rohani bekalan penentu.
Lailatul-Qadar dinantikan hadirya,
sepuluh malam akhir ganda amalnya
Semoga
peroleh akan keberkatan,
penuh
dengan nikmatnya kemasyhlahatan.
Berakhirlah
nazam Ramadan nan syahdu,
mengharap
hadirnya meleraikan rindu.
Nazam
#4 NAZAM MAULIDUR
RASUL
Sebermula
bismillah melafaz kata
selawat
dan salam rasul tercinta
Pembawa
hidayah sinaran semesta
seluruh
alam pun tidaklah gelita
Malidur
rasul kasih ingatan umat
hari
sejarah lahir nabi Muhammad
Nabi
ke dunia menjunjung rahmat-Nya
anugerah
Allah berserta nikmatnya
Syiar
Islam telah tegak menjulang
meski
berbilang rintangan yang menghalang
Tegar
berjuang gagah bukan kepalang
darah
dan air mata iringnya berselang
Nabi
ialah utusan yang Rahim Rahman
kepada
umatnya masa akhir zaman
Mendakwah
tarbiah berserta pedoman
semoga
menjadi insan yang budiman
Sentuhan
baginda dan huluran salam
sejahtera
sempurna Ilmi yang mendalam
Nazam
#5
DOA
Demi Allah Subhanahuwataala,
ampun dosa hamba dilindung
pahala .
Hanya kepada-Mu hamba-Mu beriman,
dunia dan akhirat sentiasa
nyaman.
Harapan semoga damai dan
selesa,
sehingga akhirnya harmoni sentosa.
Demi Muhammad rasul junjungan umat,
selawat dan salam lafaz
tiada tamat.
Tiada dilupa di dalam kenangan,
siang dan malam tidak
berhujungan,
Berdoalah hamba di atas
sejadah,
segala urusan agar
dipermudah.
AIlahu Rabbi yang maha
Mendengar,
walaupun terdetik
sembunyikan hingar.
Tiada apapun aral yang
menggundah,
berdoa bersungguh tangan nan
ditadah.
Hindarkanlah segala bahaya
petaka,
yang menyeret hamba ke dalam
neraka
Allah hamba mohon doa
diperkenan,
semua ujian berupa pesanan.
Demi Allah Subhanahuwataala,
ampun dosa hamba dilindung pahala .
SAJAK
Sajak
puisi moden yang tidak terikat dengan suku kata dan rangkap. Namun terdapat
genre sajak tertentu seperti Oda, Prosa, Balada, Sajen/sajak jenaka, Sajak Pendek
menurut cara sajak ditulis; rujuk Poedjangga Baroe – Harun Amin al-Rashid
Disember 1933
Sajak
#1
MUSAFIR
Bermusafirlah segenap
penjuru alam
mengagumi kebesaran Ilahi
maha indah
yang menciptakan hanya
dengan firman
Kun faya kun
Maka akan terjadilah
dengan jaya sempurna
keindahannya
tidak terkata kelu lidah
berbahasa
Langkah wisata ke cerok
alam dunia
di mana saja dimulai dengan
sujud menyembah Pencipta
membawa hasrat termakbul
hajat
urusan perjalanan tiada
gendala
dihalangi rintangan aral
Berwisatalah dari lembah
yang pamah
hingga ke puncak gunung
menggapai langit berawan
putih
Atau belayar di samudera
tiada bertepi
luas saujana
menyelami dasarnya
membawa naik berbilang
mutiara
Sebenarnya kita
sedang bermusafir di alam
dunia
menuju negeri abadi
sehingga nafas terhenti
PARIDAH ISHAK
TAMADUN ISLAM DBP MAC 017
sajak
#2 POLEMIK HAK
Hak apakah itu?
Hak mendakap kesyumulan Islam tanpa bantah
Hak diri meraih bahagia di tanah pusaka
Hak diri berselesa sentosa pewaris watan
Hak berbahasa Melayu pengantara bicara tradisi bonda
Hak dirimencipta gemilang jaya di negara tercinta
Hak diri melaksana impian kebersamaan warga
Hak diri menyisir kemelut bergelut mahu
Hak diri hindari rebut gejolak gejala ranah
Hak damai suasana
Hak walafiat sejahtera.
Mampukah diperjuangkan hak diri itu
sedangkan hak diri semakin dinafi
usah terlalu pentingkan diri
demi keutamaan ditentukan
harmoni situasi begitu begini
Terabailah hak wajar sebenar
polemik kusut diskusi kritis
bicara membahang rasa
Toleransi membiarkan hak diri
terhakis perlahan
Senyum tawar di bibir
merias wajah berbongkol
ralat kejengkelan
dalam dilemma
PARIDAHISHAK
SINAR HARIAN 3 FEB 2018
sajak
#3 MAMPUKAH KEHILANGAN?
Memiliki anugerahnya tidak terbanding
nilai
dileta sepi di sudut lohong graha
Terbiar lara tidak terpeduli sesiapa
Hadirnya erti dipertikai senyum sinis
diorak bibir
dirunyam selirat ragu sangsi memuncak
rasa
membentuk tanda persoalan polemik
besar
setelah ketiadaan berjurai titis air
mata darah tidak akan mengembalikan
sedih pilu berlagu mengumpul frasa
hiba tidak terjumlah
anugerah-Nya selari situasi semasa
sesuai kehendak
andai perhati lewa segalanya sirna
sekelip kerdip mata
moga tidak kehilangan apa-apa
moga anugerah-Nya ditatang agar tidak
jatuh berderai
justeru keacuhan lalai melonglai
syukur reda takwa demi-Nya
Penguasa semesta alam
PARIDAH
ISHAK
DEWAN
MASYARAKAT DBP OKT 019
sajak
#4
NUSA TERCINTA
Janganlah persis Palestin
usahlah persis Rakhine
jauhi persis Uyghur
bergolak berantakan
kehancuran
padam cahaya damai aman
Permusuhan persengketaan
berlanjutan
hanyir darah merah
menghitam
Kasih sayag keprihatinan
kemanusiaan
hanya omongan serata mayapada
Diskusi penyelesaian sinis
demi secebis kuasa
demi keangkuhan hati batu
demi kerakusan tamak haloba
Tiada hijrah kebaikan
menolak jatuh murninya
Islam persadaraan sejahtera
merelakan kemungkaran
berterusan
Hasrat niat bersatu jitu
watan moyang nan satu
tidak persis itu
Bahagia dalam kebersamaan warga
meski riuh rendah
perseteruan mengusik rasa beda
masih ada sopan santun
cinta murni luhur
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
Mingguan Malaysia 28 Disember 2020
sajak
#5 LINGKARAN
MAYA
Samseng samseng jalanan
maya
menggonggong nota
kebenaran
menggempur wujud persona
mengadili kebenaran
Menyatakan jawapan
berbeda tentang isu
walau dengan manis
melafazkan
tidak salah berbeda
pandangan
meluah rasa termengkelan
sukar ditelan
Lalu samseng jalanan
maya
membawa peranan
menggembur permusuhan
Tidak pernah ia meredap
bak api dalam sekam
dihembus pawana bicara
menyalalah api meliuk
kuning
membara merah menggila
membakar langit damai
tiada sudahnya
PARIDAH ISHAK
UTUSAN MALAYSIA
15 DIS 019
Ulu Jempol
Pahang DM
6.
HAIKU
Haiku
ialah puisi tradisi Jepun. Disiplin menulisnya tiga baris serangkap. Suku kata
pada baris satu ialah 5. Baris dua 7 suku kata. Baris tiga pula 5 suku kata.
575. Menukil haiku perlu menggunakan kigo/kata musim yang telah didaftarkan.
Juga citra/imej. Yoin atau maksud tersirat pada baris akhir. Sempang/kireji
atau tanda pemisah kata hubungan ayat diletakkan di hujung baris satu atau dua.
Rujukan
PUISI & PEMUISI TA 2019
Haiku
#1 Haiku Teratai
antologi
sajak -
vas Teratai Abadi
khazanah seni
teratai
batu -
pancuran limpah air
hiasan hari
Fauziah
Latiff -
Teratai Tasik Madu
simfoni malar
kelopak
ungu
teratai pinggir danau -
saujana seri
daun
terapung
kembang teratai merah -
ulaman rampai
galeri
seni -
teratai dalam bingkai
pesona lirik
dayung
perahu -
teratai Tasik Chini
misteri naga
Haiku
#2 LEBARAN
Hari Lebaran –
tetamu silih lalu
maaf-maafan
pagi Lebaran –
masjid pinggiran desa
salam dilafaz
solat Lebaran –
makmum satu famili
norma baharu
menu Lebaran –
meja hidang juadah
sekadar ada
di Aidilfitri -
sopan busana pagi
pesona warna
ketupat palas –
piring rendang berona
susunan rapi
baju Melayu
sepasang kurung biru -
gaya sedondon
PARIDAH ISHAK
NEW
SABAH TIMES 15 DIS 2019
Haiku
#3 TANJUNG
kalungan tanjung
malai aneka bunga -
karya kreatif
rimbunan pohon -
bunga mengkula putih
ruangan sempit
sebotol bedak
pewangi bunga tanjung -
pengantin baru
buku cerita -
pohonan tanjung rimbun
mitos puteri
kelopak tanjung -
ukiran balai seni
undang wisata
Orkes Bandar raya -
irama bunga tanjung
langgam klasik
celahan daun -
kuntuman bunga tanjung
musim penghujung
gadis rupawan -
haruman bunga tanjung
pesona diri
Haiku #4 PISANG KAKI
kesemak jingga -
gugusan hujung
ranting
seraga penuh
gadis sendiri -
persimmon merah kuning
gerai jalanan
kesemak ranum
ramuan herba asli –
jantung bermaya
juntaian ranting -
pohonan pisang kaki
taman wisata
‘haciya Jepun’ –
dusun pinggiran kota
santai riadah
‘khormaloo parsi’ –
Asia Barat Daya
jajaran pohon
Haiku #5 ANGSA
sepotong kuih –
sereban angsa putih
bekas berlumpur
di tepi danau -
seekor angsa tua
menggamit pandang
makanan angsa -
campuran dedak halus
tiada sisa
tarian angsa -
Majlis Sukan Negara
gerakan seni
sereban angsa -
khemah tengah halaman
sekawah gulai
tasik beriak -
angsa berbulu putih -
bayang setara
7.
KUATRIN
Kuatrin
puisi tradisi Inggeris. Dibina 4 rangkap. 4 baris serangkap dengan 10 suku kata setiap
baris.. Rima akhirnya a b a b. Seakan pantun tapi susunan cerita seperti syair.
Kuatrin
#1
KUATRIN
LORONG INI
Di lorong ini aku tersesat
tidak kutahu mana arahnya
peluh menitis kuseka kesat
langkah kuatur tega perihnya
Kutemu rakan kawan sejalan
berbeka riang berkongsi
rasa
kadang bergelak kadang
terkilan
dihambur dengan kata berbisa
Di lorong kecil ruangnya
sempit
sesak bernafas sedut udara
daya dijana meski berhimpit
hasrat sebenar mencipta
citra
Karya tercantik digubah
mampu
moga pesona dilirik pandang
seri cahaya lantera lampu
nikmati syukur apa dihidang
Di lorong ini berpencak
silat
melakar ilham melukis benar
beri manfaat tidak meralat
fikiran jernih merawat
nanar
kuatrin #2 KUATRIN KASIH INI
Kasihku ini hanya untuk-Mu
tidakku ragu mengukir kata
pernah keliru sering bertamu
pudar gerhana tulusnya cinta
Sesalan datang tidak terkira
rasa berdosa menimbun tinggi
sesak dihimpit perih
sengsara
tidakkan mahu diulang lagi
Murni kasih-Mu daku
mengharap
kudus cinta-Mu kepada hamba
tulus sayang-Mu inginku
serap
ampuni salah amat didamba
Bagai meruntun di
dalam sukma
ingin bertemu melerai rindu
saat dinanti bakal bersama
renyai tangisan tersedu-sedu
Detik berlalu dibilang-bilang
langkah hampiri makin
mendekat
tiada aral dapat menghalang
tatkala nafas sudah tersekat
Kuatrin #3 SIAPALAH KITA
Siapalah kita suka menghina
gemar mencerca tidak
berkenan
mudah melontar batu mengena
tuju sasaran bawa peranan
Sekadar kenal belum bersua
bagaikan akrab tersangat
rapat
luar dan dalam tahu semua
arif segala buktinya
tepat
Sedikit tahu habis dibongkar
bagai menulis sebuah karya
darinya pucuk hingganya akar
dicoret larik di media maya
Cacian hina bukan budaya
budi bahasa santun Melayu
sebabkan ragu hilang percaya
maksud sebenar lagu mendayu
Di tempat tinggi Dia
tercinta
tingkah hamba-Nya jelas
perhati
Rakib dan Atid terus meninta
Di Padang Mahsyar memapar
bukti
Kuatrin #4
SECORET
PESAN
Keluhan itu luahan rasa
sekadar zahir rasa empati
pegal terbuku melukis rupa
apa yang mampu diucap lagi
Tegarkan asa usah mengalah
gemala minda timbang putusan
onak dan ranjau sudah diredah
gelora hidup tanpa alasan
lestari hayat laksana alam
menghilir arus kadang menyongsang
berlalu siang berganti malam
ombak melaut surut dan pasang
Medan akli pun terbelah juga
berbolak-balek buruk dan baik
positif negatif sering duga
sifat hakiki turun dan naik
Kuatrin #5
SEBUAH KELAHIRAN
Sembilan
bulan sepuluh hari
dikandung
ibumu dengan lelah
tegar
perihnya tidak terperi
lalu
dizahirkan susah payah
Doa tawakal
akan takdir-Nya
ke
hujung nyawa cekal berjuang
darah melimpah hilang kudratnya
rebah terkulai di tengah ruang
Kala
dirimu menjengah fana
berhiba-hiba
raung tangismu
bidan mandikan beri busana
ibu mendakap menyusuimu
ibu membelai
ayah menjaga
agar dirimu tidak diganggu
siap sedia tidur terjaga
hati waspada bimbang dan
ragu
aduhai anak jangan derhaka
kepada ibu kepada ayah
kenangi budi baik mereka
didik asuhmu bersusah payah
PARIDAH SHAK
Desa Melor Serendah
8.
SADUKA
Saduka
puisi dua kata ciptaan penulis/penggiat sastera, Noor Aisyah Maidin dari Sabah
@ facebook 2018. Puisi dinukil 4 baris dengan dua suku kata rima a a baris
akhir pertama dan kedua. Rima b b untuk
akhir baris 3 dan 4.
Saduka #1
TANAH INI
Milik kita
tanda cinta
waris moyang
harta eyang
Bela jaga
tinggi harga
usah gadai
ranah landai
Lubuk hati
kasih pasti
warga nusa
bilang bangsa
Saduka #2
MUSIM BUAH
Sudah tiba
bawa laba
anak kampung
lenguh cempung
Buah lebat
usah lambat
nanti ranum
masam umum
Hujung julai
ranting kulai
rambai manggis
leka hunggis
Buah dusun
lapis susun
tidak bejat
daya hajat
syukur amat
akan nikmat
Allah beri
kanan kiri
Iman takwa
kilik bawa
sujud tulus
atma telus
Saduka #3
TUNAI HAJI
Amal rukun
giat tekun
sampai seru
deras luru
Tanah haram
saing mahram
suci hati
niat pasti
Atur langkah
harap berkah
umat Islam
hulur salam
Rahmat Allah
jelas serlah
sayang kasih
murni bersih
Saduka #4
ADAM RAYKAL
Mata sayu
renung layu
baru hadir
demi takdir
Tangis mersik
halus bisik
perit dera
sungguh dura
Alam fana
pinjam lena
hanya bentar
dingin ketar
Syurga lambai
main buai
tinggal ibu
kalbu sebu
Saduka #5
ANGKA SIFAR
Bilang sifar
lopong besar
campur satu
kira itu
Nanar fikrah
meski pasrah
hutang nusa
sama rasa
Mesti lunas
ide bernas
usah ragu
wajah lugu
Biar kosong
makin gosong
bantu beri
daya diri
Tanda cinta
nusa kita
atma putih
niat bersih
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
9.
KARMINA
Karmina ialah jenis pantun dua kerat iaitu sebaris pembayang
dan sebaris lagi ialah maksud. Rima tengah dan akhir a b a b. Rima akhir a a.Tajuk karmina dipilih mengikut
kesesuaian tema.
Karmina #1
DETIK
MASA
Suhun membiru di guni lama;
tahun baharu kini
;menjelma..
Angsa di hulu menuju kali;
masa berlalu laju sekali.
Kainnya kasa hana selendang;
tajamnya masa laksana
pedang..
Ikan kelisa di bilik dara;
manfaatkan masa sebaik cara.
Angsa berintik meranah
kaktus;
masa berdetik tak pernah
putus.
Lupa pelita jaha dilompat;
apa dicita usaha cepat..
Salsa dikandar putat selerah;
masa beredar catat sejarah.
Karmina #2
KASIH SAYANG CINTA
Sisih kepayang di
atas kasa;
berkasih sayang hidup
sentosa.
Membaca tarhim sambil
berdakwah;
silaturahim jalin
ukhuwah.
Kerat cemara di tepi
titi;
erat dan mesra kasih
sejati.
Bunga kedasih gugur
merata;
hilang kekasih kemarau
cinta.
Resah menggetus daun
semalu;
usah terputus bugar
selalu.
Kuah berlada bawa ke
huma,
ayah dan bunda kasih
utama.
Buah markisa di dalam baldi;
Allah Yang Esa cinta
abadi.
Terbang lelayang
menuju Kedah;
berkasih sayang itu ibadah.
Karmina #3
KAMPUNG HALAMAN
Di dalam taman letak
karangan;
kampung halaman dalam
kenangan.
Daun semalu bercampur
maman;
rindu selalu kampung
halaman..
Dokoh gelinya di
tayang-tayang;
indah permainya sering
terbayang.
Mengerat dahan tidak
sedikit;
dusun buahan di pinggir
bukit.
Terbang kelkatu jatuh di
jenang;
duduk di situ sunyi dan
tenang.
Hilang di paya seutas
gelang;
menjelang raya perantau
pulang.
Jalan ke taman ambil
cempaka;
kampung halaman tanah
pusaka.
Isi manisan dalam
penganan;
harta warisan demi
turunan.
Karmina #4
KUNTUMAN KEMBANG
Tinggi cemara dipangkas rendah;
mekar flora laman pun indah.
Mandi melulur kembang jenjarum;
cempaka, melur menyebar harum.
Ramai berduyun iring mempelai;
gemalai ayun bayu membelai.
Memakai furdah sehari suntuk;
kelopak indah aneka bentuk.
Beli di pekan asam gelugur;
usah biarkan layu dan gugur.
Kuntum jenjarum mekarnya lama;
bunga nan harum kekal aroma.
Terlalu mua sakitnya hati;
kutip semua sejatkan pati.
Tumbuhan pasli celah keladi;
pewangi asli semula jadi.
Karmina #5
RINDU
DENDAM
Anak
gelama buahan nadir;
kekasih
lama ditunggu hadir.
Dibawa
nyonya sebiji labu,
mengenangkannya
rindu di kalbu.
Tepi
perigi kembang seroja,
sedari
pagi menunggu saja,
Dari
Kediri menuju Langkap;
sepi
sendiri di muka tingkap,
bunga melati
letak di alang;
yang
dinanti tak kunjung jelang.
Tumbuh
selasih tepi kepayang;
datanglah
kasih datanglah sayang.
Buah
bidara kunyah dan hadam;
rindu
membara biarkan padam.
Sulaman
baldu corak angsana;
anyaman
rindu selimut lena.
PARIDAH ISHAK
Ulu Jempol Pahang DM
10.
SONIAN
Puisi sonian ciptaan penulis Indonesia iaitu Soni Farid
Maulana pada 2015. Binaannya 4 baris serangkap. Baris pertama 6 suku kata,
kedua lima suku kata, ketiga empat suku kata. Baris akhir tiga suku kata. 6 5 4
3.
Sonian #1 SENJA
Langit jingga suram
azan kumandang
gema alun
muazin
Atur langkah laju
satu persatu
arah pasti
musolah
Jernih air wuduk
tadahan tangan
basah wajib
anggota
Diri solat Maghrib
waktu cemburu
hadap kiblat
segera
Imam di hadapan
berbaris makmum
susunan saf
jemaah
Sonian #2 ALAM MAYA
Alam maya luas
tiada batas
bebas sapa
kenalan
Gemuruh bicara
riuh seronok
kawan baru
internet
Positif negatif
wajib perhati
sampah sarap
jauhi
Media sosial
ramai berkenan
perkenalan
global
Persona bergaya
hartawan mewah
jerat mangsa
siaga
Sonian#3 SAHABAT
Sahabat sejati
syukuri Allah
hingga jannah
bersama
Langkah beriringan
kemana saja
sefahaman
gandingan
Berpisah tiada
tolong menolong
saat susah
prihatin
Kemelut sengketa
usaha elak
jalin erat
ikatan
Saling tanya khabar
apa sahaja
susah senang
peduli
Sonian #4 ILMU
Ilmu sinar hidup
pelita hati
wajib cari
di mana
Pelajari ilmu
dunia akhirat
demi jaya
setara
Murabbi berilmi
sahih dan benar
walau jauh
pilihan
Kepentingan ilmu
usah pertikai
keperluan
insani
Istiqomah amal
walau sedikit
ketahui
sempurna
Sonian #5
Sonian #4 GUBAHAN KATA
Susunan kekata
sopan bahasa
lirih lunak
pesona
Indah reka karya
sentuhan rasa
jiwa halus
rasai
Kreatif cipta
manifestasi
wajah hati
sebenar
Peribahasa
tersirat maksud
metafora
Melayu
Simpulan bahasa
perumpamaan
perbidalan
prosa
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
1/7/019
TALIBUN
Talibun
merupakan puisi genre pantun 6 kerat, lapan kerat dan 10 kerat. Rima tengah dan
akhir a b c, a b c d, a b c d e f. Talibun ditulis menggambarkan tokoh atau
sesuatu peristiwa.
#1REZEKI
Bawal beragi diganti terung,
berembang lata titip berbaki,
mengolah onyang berselang kerang;
seawal pagi seperti burung,
terbang merata kutip rezeki,
setelah kenyang pulang ke sarang.
Subang bergenta menyeri kaki,
jatuh ke dalam guri berbaja
jaha disuguh lada diramu;
terbang merata cari rezeki,
seluruh alam di mana saja.
usaha sungguh tiada jemu
Luruh mempelam kena seroja,
lelah ambilkan seraga ruas,
mengukur serba meronda taman;
seluruh alam di mana saja,
Allah sebarkan saujana luas,
bersyukur hamba tanda beriman.
#2
DUGAAN
Salah sendiri lelah mengumpil,
menekur dada rebah berdebar
sakan menahan gala merengkan;
Allah memberi Allah mengambil,
syukur dan reda tabah bersabar,
akan
dugaan rela rasakan.
Bawal diisi disingkir sentang,
terserlah lokan sisa santapan
mencari kukup tilan dan sitrus;
kawal emosi berfikir matang,
pandanglah akan masa hadapan,
lestari hidup jalan yang lurus.
Lupa keladi dia menelah,
kalut di rumah gadung dilumat
lemba dibawa bekal di raga ;
apa terjadi rahsia Allah,
bersalut hikmah terlindung rahmat
hamba bertakwa cekal diduga.
#3
MASALAH
Menyalut ukir selari
besi,
sebelah dupa menala
gasing
rakan berlalu undur
terkena;
kalut memikir cari solusi,
masalah timpa kepala
pusing,
makan tak lalu tidur tak
lena.
Perah diolah pedada belah,
jaha dirangkai jadikan bekal,
ketumbar sama, berikan nyonya;
serah masalah kepada Allah,
usaha rungkai dengan tawakal,
sabar terima akan hasilnya.
Telah sepetang kalut di rumah,
siaga singkir pohon yang tua,
kasai disela diganti pinang;
masalah datang bersalut hikmah,
moga berakhir dimohon doa,
usai segala hati pun tenang.
#4
WALINONG SARI
Merenung suri jari melentik,
segera dara rapat padanya,
cindai berkilat disambung bimbing,
ringkas gerinya pandang menawan;
Walinong Sari puteri cantik,
Inderapura tempat asalnya,
Pandai bersilat melambung lembing,
Tangkas langkahnya menumbang lawan.
Anduh di para sumandak lupa,
rambang ketara lewa pandangan,
serba abaikan tercenung diri,
raut selasih tenung alahan;
jodoh setara tidak berjumpa,
Mambang Segara dewa kayangan,
cuba kalahkan walinong Sari,
bertaut kasih di gunung Tahan.
#5 RAGU
Tidaklah mudah melayap belah,
ketapang sanggu gerigis rintis,
lahan disurih sedak terjingkit,
mambang dipingit di pekan Larkin;
patahlah sudah sayap sebelah,
bertopang dagu tangis menitis,
menahan perih tidak sedikit,
terbang ke langit masakan mungkin.
Teringat sari menyusur rumah,
lazur serata nian sekata,
pelita bawa perdu tembusu,
mempelam sama di tepi guri;
Semangat diri beransur lemah,
uzur merenta kian ternyata,
derita jiwa terkedu bisu,
menyulam atma sepi sendiri.
SONETA
Soneta ialah puisi tradisi Inggeris dengan rima hujung a b a b,
c d c d, e f e f dan g g untuk kuplet, mengandungi tiga rangkap kuatrin, dan
dua baris akhir kuplet. Disiplin menulisnya menetapkan 10 suku kata.
#1
DEMI
CINTA?
Kerana cinta daku derita
dikau curangi sucinya janji
menangis daku jiwa meronta
hanya sengsara yang dikau
saji,
lain diharap lain terjadi,
luka di hati berdarah parah
hidupku ini penuh tragedi
kepada Allah daku berpasrah
Akhirnya kita berpisah jua
ukiran cinta punah dan ranah
tiada jodoh hidup berdua
terlerai janji menuju jannah
Cinta sejati amat didamba
jujur setia seorang hamba
#2
DISEMBER
Penghujung tahun bulan
Disember
mengikut carta tahun Masehi
mengambil alih tempat
November
bertukar masa kini tempuhi
Mula rencana susun jadual
merancang agar semua pasti
berdiam Cuma elak berbual
Allah penentu hidup dan mati
Saat Disember berdetak pantas
makin hampiri titik penamat
sebelas bulan telah dicantas
semoga esok beroleh rahmat.
Tahun baharu norma baharu
Koronavirus masih memburu
#3
SALAM RAMADAN
Ramadan karim akan menjelang
disambut ria melerai rindu
hati menangis kenang yang hilang
rahmat hikmat-Nya terlupa sendu
Aral merintang langkah lintasi
wabak bahaya tidak menggugah
segala cara cuba atasi
saat diuji bertambah gagah.
Beriman teguh pegangan diri
puasa serta amalan sunnah
dilambung dura sabar mandiri.
cekal semata mencita jannah
Salah dan silap mohon maafkan
salam Ramadan hamba hulurkan
1#4
SONETA TANAH PUSAKA
Tanah warisan pusaka kita
sudahlah lama kita menghuni
nyaman di desa permai di kota
jalin mahabbah aman harmoni
Ketuanan kita istimewa
tentu termatri pada yang berhak
dijaga pasti usah dilewa
bimbang tergadai kala terdesak
Negeri Perlis hingga ke Sabah
tanah kita saujana terbentang
termaktub sudah tidak berubah
usah pertikai waima menentang
Tanah bertuah pusaka eyang
abadi cinta kasih dan sayang
.
#5.
SONETA LAGU JIWA
lagu dinyanyi lunak
dan merdu
Irama indah asyik dialun
lontaran rasa mengirai rindu
soneta cinta cantik diadun
Sepenuh hati segenap jiwa
Subhanallah Ya Rahman Ya Rahim
kurasa sungguh berbahagia
zikrullah dibaca penuh takzim
Lagu bergema tenang dirasa
gundah gulana berlalu pergi
firman Ilahi bermadah prosa
syahdu zikrullah bergema lagi
zikir bertasbih memuji Allah
amalan murni hindar masalah
PARIDAH ISHAK
24 NOV 2018
NEW SABAH TIMES
AKROSTIK
Puisi akrostik merupakan sajak prosa yang disusun mengikut huruf
tajuk pilihan…rujuk Wikipedia Acrostic. Puisi Elizzabeth dari laman web
The Edgar Allen Poe Society of Baltimore
POHON TAHUN BAHARU
P-ada-Mu Ilahi Rabbi dipohon
O-mbak menggelora pantai hidup sekian lama
surut ke laut
H-iaskan keindahan buana yang sirna
O-leskan semulus murni ikhlas cinta-Mu
N-ur bahagia merimbun pohon tahun baharu
semesta alam
T-ahun 21 moga terlakar arca manusiawi
globalisasi
A-gar saling prihatin turut merasai
H-angat api bahana kezaliman tercetus lantaran
U-bah segala kehendak-Nya tersurat
N-asib hamba demikian jadinya
B-ah air mata berladung sendu
A-ngin insaf menyapa segenap ruang hati
H-anya semata bergantung kuat tali harap
A-llah Yang Esa
R-ahim tiada belah bahagi
U-nggul teragung
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
K-awal maslahat rakyat jelata
E-lak ancaman mudarat sihat
M-erawat sakit selagi boleh
E-mpati akan nasib pesakit
N-yahkan derita rasa
T-empuh cabaran melintang lalu
E-rat ukhuwah dijalin mesra
R-amah sekali lunak bicara
I-ngin terbaik santun pesakit
A-gar segera sihat sejahtera
N-amun berserah kehendak Allah
K-es jangkitan corona virus
E-ndah peduli diambil berat
S-anggup hadapi apa akibat
I-mpikan wabak berhujung pantas
H-adir semula normal dahulu
A-man harmoni menolak ragu
T-etap pilihan sayangi nyawa
A-mbillah langkah tegas kendiri
N-escaya akan putus rantaian
M-asih ketara tidak peduli
A-njuran KKM cegah berapat
L-alu terjadi apa diduga
A-kibatnya virus merajalela
Y-ang pasti akan berpusu dapatkan rawatan
S- abar KKM tangani masalah
I-nsaf memandang beratnya beban
A-ndai tersilap akan perhitungan
PARIDAH ISHAK
DMS
30/9/020
SALAM MAAL HIJRAH
S-edih tinggal kenangan semalam
A-ndai terdaya menghentikan detak waktu
L-ewatnya pasti tertunda
A-nggapan apa pun tidak memungkinkan
M-asih jua jarum sejarah beredar
M-elintas lalu menuju hari esok
A-wal Muharam moga cerlang sinar suria pagi
A-sa dipahat pada sulbi agar lsegera aturkan
L-angkah hijrah tinggalkan kemungkaran
H-indarkan kemaksiatan mengasyikan
I-nsan berhati ihsan mulia jadikan idola
J-alan lurus sebenar lalui
R-asai
nikmat bahagia syurgaloka
A-nugerah-Nya kepada hamba kerdil berdosa
H-anya setelah hjrah tbertaubat nasuha ertunai
SIVAGANGGA
S-eteru halus ikut pulang
I-ring perjalanan rentas benua
V-irus corona tulantaran lepa dan alpa
A-ntonim kepada siaga
G-eruh mencemar damai hijau negeri
A-ngkara Covid-19 merajalela semula
N-oktahnya masih tertunda
G-elut perangi wabak tegar
G-awat memuncak amarah sinis
N-gilu atma mentafsir mudarat Kluster
Sivagangga
ERTI GLOBALISASI SEBENAR
E-nggan percaya akan realiti terjadi
R-umus menurut kemahuan
T-api mana upaya menolaknya
I-nsaf rasa kekerdilan
G-ambaran citra ngeri
L-emah daya asa
O-mpong lohong harapan
B-adai landa seluruh
A-nasir bawa mudarat afiat
L-indungan Allah dipohon sungguh
I-mpian warga dunia fana
S-ingkirkan musuh menjauh
A-mpuni dosa lalu tersembunyi
S-empurnakan segala gendala cita
I-ndah permai alam saujana
S-eluruh hamba mayapada serata
E-sak sendu irama jiwa serasa
B-eza air mata tiada ketara
E-sok mendoakan keajaiban
N-amun virus corona masih leluasa
A-nugerah rahmah-Mu didamba
R-ahim-Mu kepada hamba yang berdosa
Rujukan;
PUISI & PEMUISI TABIR
ALAM 019
WIKIPEDIA.COM. MY
DEWAN SASTERA DBP
DEWAN MASYARAKAT DBP
DEWAN TAMADUN ISLAM DBP
PELITA BAHASA DBP
DEWAN BUDAYA DBP
UTUSAN MALAYSIA
MINGGUAN MALAYSIA
SINAR HARIAN
NEW SABAH TIMES
No comments:
Post a Comment