Saturday, August 13, 2016

RAJAQNA

ASSALAMUALAIKUM..

RAJAQNA
MENGGAPAI CINTA
Oleh Paridah Ishak

Aku dengan  duniaku, di sebuah ruang kecil. Setiap hari ralit mendengar siaran radio dan menonton TV. Tragedi sadisku alami memberi akibat  tidak terduga. Terlantar tidak bermaya kini.
Ketika kemalangan berlaku, kereta kecil yang dipandu suamiku dilanggar lori  membawa muatan ayam yang tidak terkawal gerakan rodanya, kami sekeluarga dalam perjalanan ke  KL, menziarahi keluarga mertuaku.
Seseorang berada di muka pintu, menuturkan salam, menghampiriku.
“Maaflah Saerah! Baru hari ini dapat datang melawatkau.”
“Tak mengapa Sarah, aku lama lagi di sini, datanglah bila-bila saja melawat aku.”
“Hajatku memang begitu Saerah. Mami  Atiffi pun pesan padaku agar datang menjenguk kau.  Tapi sibuk sangat di rumah menguruskan rumah tangga dan anak-anak, selalu tiada kesempatan. Maklum anak kami kan ramai.”
Kenalan lamaku itu seringkali pula mengunjungiku selamaku bermukim di sini, di rumah tok dan tokwanku. Ayahku membawaku ke sini untuk menyembuhkan sakit akibat kemalangan itu.
Dan kini cuma menjadi penyaksi, perenung, pemikir semata dalam suasana yang tidak aku mahukan. Ego menjerut diriku sukar juga terlepaskan nampaknya.
Sarah pula adalah persona yang menjadi mangsaku semata-mata kerana obsesku terhadap Ilhami dan keinginanku menambat hatinya.
Kenangan dulu terimbau semula. Aku ditinggalkan ayahku pada tokwan dan tok untuk menyambung persekolahan di sini. Bersama sahabat baikku Atiffi, menamatkan pengajian hingga universiti.
Atiffi  berkahwin pula dengan lelaki kecintaannya Ilhami. Baik paras rupanya. Kerjayanya di bidang penerbitan media massa begitu mengujakan. Aku dan Atiffi mengenali Ilhami melalui surat sahaja kerana meminati tulisannya yang banyak disiar merata media.
Dalam diam perasaanku indah berbunga mekar terhadap sahabat penaku itu. Belum sempatku nyatakan apapun, Atiffi mengejutkan aku dengan berita bahawa Ilhami akan datang menemui kami dengan membawa maksud hatinya.
Rupanya kedatangan Ilhami membawa keluarganya untuk merisik Atiffi. Kenapa pula pilih Atiffi, tidak aku? Bukankah Ilhami sering juga mengungkapkan kata rindu kepadaku dan tidak sabar untuk bertemu? Hatiku diserbu galau dan sayu, terasa perasaanku dipermainkan.
Dan aku sarankan agar Atiffi menolak sahaja pinangan Ilhami itu dengan alasan perkenalan yang terlalu baru dan lewat surat semata. Sebenarnya hatiku iri justeru dilambung rasa kecewa teramat. Namun perkahwinan Atiffi dan Ilhami tetap berlangsung meriah. Aku terkulat-kulat merenung kebahagiaan yang dinikmati sahabatku. Rasa kecewa membawaku jauh ke negeri yang dirantau emak ayahku.
Tiba-tibaku terima surat daripada sahabatku, memberitahu kehendak suaminya ingin berkahwin lagi dengan seorang sepupunya lantaran telah jatuh cinta. Segera aku pulang mendapatkan Atiffi dan menggesanya menolak kemahuan suaminya itu. Bermadu bukanlah mudah. Apalagi kalau hidup bermadu dengan watak madunya jauh berbeza pada perkiraanku.
“Kalau Ilhami ingin sangat berkahwin lagi, suruh saja dia pilih aku. Akukan sahabatmu. Bukan Sarah yang garang tu. Benci sangat dia kepadaku kerana berkawan rapat denganmu.”
“Tapi kata Abah dia sangat cintakannya,  tidak kau.”
“Habis kau tidak dicintainyakah?”
“Katanya sangat mencintai aku. Solid. Tidak boleh dibelah-bahagi.  Cinta samarata antara aku dan Sarah.”
‘Boleh percayakah kenyataan lunak seorang lelaki yang ingin berkahwin lagi?’ monolog hatiku menggurutu sinis.
“Mungkin setiap hari dia melihat Sarah di sisimu, sering membantu setiap kesusahanmu buat hatinya berkenan. Kaupun tidak membantah hasratnya nak kahwini Sarah.”
Aku akhirnya merancang perkahwinanku sesuai citarasaku agar sentiasa berbahagia selamanya. Melupakan dengan payah rasa cintaku terhadap Ilhami yang mendalam. Perancanganku bukan ketentuan-Nya. Takdir-Nya kuredai.
Tanpa rasa reda tentu akan terselit dosa. Dosa yang tidak mahu lagi kuukir. Merasa berdosa amat olahku terhadap Sarah, Atiffi, Ilhami kerana sering menggugat kebahagian rumah-tangga mereka dengan pelbagai hasutan fitnah. Kifarah Allah mulai kurasa. Perkahwinan yang memberiku rasa bahagia tidak berkekalan. Singkat sekali berada dalam situasi yang disenangi. Suami kecintaanku meninggalkanku. Aku reda. Memang kumahukan jodohku dan dia berkekalan selamanya. Tapi apakandaya.
Padaku perkahwinan juga adalah nasib. Tidak semua perkahwinan akan memberi apa yang diimpikan.
“Aku dah lama juga berubat dengan Tok Minah, berurut setiap hari tapi tak sembuh juga. Rasanya minggu depan ni ayahku datang akan balik ke Pahang. Nak sambung berubat di sana pula.”
“Eloklah begitu. Biasalah sakit ni datangnya seperti ribut tapi nak baiknya berdengut-dengut macam semut. Insya-Allah kau pasti pulih. Aku selalu doakan kesejahteraan kau.”
“Terima kasih banyak Sarah. Insya-Allah.”
Aku merenungnya tajam, menyeluruhi wajah ayu itu.
“Kenapa  pandang aku begitu? Tak betul apa yangku katakan?” 
“Eh! Bukan itu maksudku Sarah. Kau mengingatkan aku pada Atiffi. Kamu berduakan sepupu. Wajahpun seiras. Dah lama tak jumpa, rindu sangat. Teringat dulu berjalan di batas bendang bersama-sama Atiffi ke sekolah. Jauh juga  jaraknya. Baliknya basah berpeluh melangkah di tengah rembang panas. Sedang perut berkeroncong lapar. Setelah makan kami berdua ke rumah Pak Utih pula belajar mengaji al-quran. Kenangan zaman kecil yang sangat indahkan Sarah.”
“Kau rindukan Mami Atiffi ya!” Tanpa sedar ada buli buli jernih yang bertakung  di kelopak mata tanda benar sekali jangkaan Sarah itu.
“Atiffi dan abah ke Brunei. Itu yang tidak dapat datang menemuimu.”
“Kau tak ikut sekali? Urusan apa agaknya tu?”
“Kalau aku ikut juga siapalah yang nak menjaga anak-anak kami yang masih kecil tu, Saerah. Abahkan berniaga mengedarkan buku-buku yang diterbitkannya. Urusan pemasarannya dibantu Mami Atiffi.”.
Setahu aku pada awal perkahwinan sahabatku itu suaminya, bertugas sebagai Ketua Biro Akhbar Istiqamah Kedah/Perlis. Kini sudah jadi penerbit buku pula.
“Seronokkan dapat bersama dengan anak-anak kita yang membesar di depan mata kita walau banyak kerenahnya. Aku tidak dapat merasai kebahagiaan itu. Yang membantu menjaga, mendidik anak-anakku hanya kedua ibu bapaku.”
Sarah menggenggam erat jemariku.
“Kau pasti pulih jua. Aku doakannya selalu.  Balik dari  Brunei abah bercadang membawa aku, Mami Atiffi dan anak-anak kami mengerjakan umrah. Di sana nanti aku akan doakan kesejahteraanmu. Moga dimakbulkan Allah insya-Allah.”
Aku terkedu. Hati Sarah begitu tulus. Tidakku sangka sepupu sahabatku Atiffi, dulunya kumusuhi kerana sikap kasarnya kini bertukar jadi sebaliknya. Dan aku mulai merasakan tindakan Ilhami memperisterikannya adalah jodohnya terbaik.
“Nampaknya kau dan Atiffi serasi bersama Ilhami. Aku doakan kebahagian kalian kekal hingga jannah. Kalau Atiffi dan Ilhami pulang, sampaikan salamku kepada mereka ya.”
“Insya-Allah.” Sahut Sarah.
Tinggallah tok dan tokwan yang bersusah payah menjagaku, mengurusi setiap keperluanku selama aku di sini. Kesabaran mereka menerima masalahku hanya Allah yang membalasnya.
Setelah aku pulih seperti kelak aku pasti kembali ke sini lagi. harapanku menemui semua yang kusayangi dan menelusuri jejak kenangan yangku tinggalkan dulu. Mungkinkah dapat kulakukan? Entahlah.











Like
Love
Haha
Wow
Sad


Top of Form

Like
Love
Haha
Wow

Sa

Wednesday, August 10, 2016

BAHTERA MERDEKA ITU....

ASSALAMUALAIKUM...

BAHTERA MERDEKA ITU

Seruling buluh perindu
Mengalun lagu merdu
Penuh syahdu mmendayu
Mengiring pelayaran bahtera MERDEKA
Menyonsong semilir angin
Di tengah samudera tiada bertepi
Ombak bergelora menggila
Pasang surutnya berkala
Sedang galau merenung destinasi berbalam kelam
Gelita malam
Sirna bintang harapan
Namun pelayaran berterusan
Bahtera MERDEKA
Membawa muatan sarat
Kargo hasrat
Menolak gusar
Ke pelabuhan dambaan
Jangan tersasar.


PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
10 OGOS 016