Monday, April 4, 2022


SIRAH NABAWIYAH
syair
RASULULLAH

Sebermula bismillah melafaz kata,
selawat dan  salam rasul tercinta,
pembawa nur sinar semesta,
syair digubah  dicoret tinta.

Dilahir bonda bernama Aminah,
Rabiulawal di tahun gajah,
dikasih asuh penuh amanah,
anak yatim ayahanda  Abdullah,

Bonda berpulang kepada Ilahi,
yatim piatu seorang diri,
Abd. Mutalib nenda nabi,
menumpah kasih anugerah warisi.


Malidur rasul ingatan umat,
hari sejarah nabi Muhammad,
lahir ke dunia menjunjung rahmat,
anugerah Allah berserta nikmat.

Syiar Islam tegak menjulang,
meski berbilang dugaan menghalang,
tegar berjuang bukan kepalang,
darah air mata iring berselang.

Nabi utusan yang Rahim Rahman,
kepada umat akhir zaman
dakwah tarbiah ilmu pedoman,
semoga menjadi insan budiman


Nabi Muhammad  tersurat sudah,
membawa risalah Allah permudah,
berhati suci sifat mahmudah,
demi ummati di hujung lidah.

Demikian kisah nabi bestari,
 riwayat nabi  sekadar beri,
karangan kecil karya sendiri,
moga maafi  kesilapan diri.


GURINDAM ULUL AZMI

Ulul Azmi nabi pilihan,
Allah anugerahi  pelbagai kelebihan.

Ulul Azmi nabi berlima,
tatap kisahnya hati kesima.

Nabi Nuh a.s Ulul Azmi terpandang,
Ujian banjir bahteranya gadang.

Nabi Ibrahim a.s ulul azmi kedua,
dibakar api tetap bernyawa.


Ulul azmi ketiga   Nabi Musa alaihissalam,
tentangan firaun siang dan malam.
 
Nabi Isa ulul azmi keempat,
Allah anugerahi pelbagai mukjizat

Ulul azmi penamat nabi Muhammad,
Al-Quran sebesar mukjizat demi ummat.

Ulul azmi Allah tentukan,
Nabi pilihan hadapi dugaan.


PANTUN MENADAH DOA


Tidak berubi pohon kemuni,
membiak jaha sisi kelisa;                                 
Ilahi Rabbi mohon ampuni,
taubat nasuha segala dosa.

berbunga lemba di dalam taman,
makan berangan bersulam lada;
jadikan hamba insan beriman,
apa dugaan hadapi reda.

Tumbuhan salsa pinggir kuala,
subur kemumu rajin dijirus;
Allah yang Esa Azzawajalla,
bimbing hamba-Mu ke jalan lurus.

Gigih meramu tepung pelita,
untuk tetamu di anjung rumah;
hanya pada-Mu hamba meminta,
 akan kasih-Mu melimpah ruah.

Hati mendamba buah pedada,
merasa jemu ditumbuk lumat;
hadirnya hamba ke mayapada,
tanda cinta-Mu bersama  rahmat.

Anak terkukur di rumpun kaduk,
dipasang kandil di pohon sena;
hamba bersyukur tunduk tawaduk,
insan nan kerdil tidak sempurna.

Hendak mendobi si kain kasa,
busana serba milik muslimah;
Ilahi Rabbi maha kuasa,
matikan hamba hosnulkhatimah

Berjaga-jaga dalam gelita,
tersadung janggi duri semalu;
Ingin ke syurga hati mencita,
harapan tinggi tersipu malu.





PARIDAH ISHAK
Desa Melor
20/01/019 

WARGA ALAM

 

Tahun 70 tercatat banjir besar melanda negara, tika itu aku tinggal bersama Tok dan Tok wanku di Kedah. Aku tidak tahu sangat kisahnya. Cuma aku teringat bersama kawan baikku Niah mengharung air yang melimpahi tebing sungai sambil menjinjing kasut sekolah yang diisi ke dalam plastik menuju ke sekolah. Bukan main bersemangat hendak menuntut ilmu di sekolah walau terpaksa meredah banjir. Tinggi airnya separas betis juga.

Tahun 77 aku berpeluang mengikuti kursus penulisan DPMP di Temerloh. Aku bertanya pada seorang kawan sekursus, pengalamannya menghadapii banjir ketika itu. Katanya dia dan keluarganya termasuk ayam, itik, kucing, kambing peliharaan terpaksa berada di atas bumbung rumah sehingga air surut.  Mengerikan sungguh memandang segala tilam dan kelengkapan rumah hanyut semua. Kata kawanku penduduk di kampungnya terlihat seekor buaya putih yang besar menyeberangi sungai Pahang sebelum itu. Dan orang-orang tua yang banyak pengalaman menafsirkannya sebagai petanda sesuatu yang tidak molek akan berlaku. Terdiam aku mendengarnya.

Ketika kursus, kami yang menyertainya bermalam di asrama puteri Sekolah Sultan Abu Bakar  Temerloh. Di tengah malam aku merasa nafasku sesak. Tubuhku seolah ditindih sesuatu yang berat. Aku pun membaca segala ayat suci yang kuingat. Alhamdulillah tubuhku ringan semula. Dan boleh menarik nafas lega.

Setelah berkahwin aku tinggal di sebuah rumah felda UJ, Pahang berhampiran sungai kecil. Berpuluh  tahun di sini tidak pernah rumah yang dihuni dinaiki air kerana banjir. Mulai 2004 tahun tragedi tsunami bermula kejadian terpaksa hadapi banjir kilat setiap kali hujan turun dengan lebat. Letih sungguh terpaksa mencuci rumah yang dipenuhi selut bawaan air banjir. Lantaran itu jiran-jiranku menambak tanah untuk meninggikan rumah masing-masing. Aku  cuma merancang. Belum sempat melaksanakannya aku terjatuh patah dan tidak mampu berjalan lagi. Hasrat tidak kesampaian.

Rumah yang sering dilanda banjir kilat terpaksa ditinggalkan kerana tiada siapa yang mampu menguruskannya lantaran semua anak-anakku bermukim di Selangor membawa aku bersama mereka. Aku teringat cerita kawanku tentang banjir besar yang berlaku setelah buaya putih menyeberang sungai Pahang.

Sebelum kejadian banjir di kampungku berlaku, aku pernah terlihat seekor binatang aneh yang asing pada pandanganku kerana bentuknya yang panjang seakan buaya tapi ada duri panjang di belakang dan siripnya. Sepsis haiwan purbakala boleh jadi. Haiwan itu bergerak perlahan menuju paya tanpa pedulikan aku yang terpana keterkejutan. Mungkin itu juga isyarat alam. Entahlah.

Kadangkala balik juga menjengok rumah untuk mengemas dan membersihkan kawasan persekitaran. 2020 sebab covid 19 dan pelbagai peraturan PKP, PKPP, PKPD,  tak merasa hendak balik kampung lagi. Hanya berharap rumah yang ditinggalkan elok-elok. Dan banjir kilat tidak menerjah kerana sungai kecil di belakang rumah telah diperdalamkan pihak pengurusan kampung felda.

Tapi berita via wasapp yang dikirim jiranku mengejutkan juga. Masing-masing kelihatan berada di atas katil yang dipenuhi air segenap ruang rumahnya. Masih juga banjir menerjah masuk walau rumah itu dibina agak tinggi untuk mengelak banjir.

Biasanya rumah yang lama ditinggalkan tetap ada penghuninya yang tidak kelihatan. Anakku yang kedua tika kecil berkata, dia melihat seseorang berlegar dalam rumah kami. Kata suamiku kalau orang itu mengganggunya, pukul saja.

Kewujudan entiti di sekeliling kita sudah sekian lama berkongsi alam semesta dunia. Saling memahami dan tidak mengganggu lestari bersama.