Tuesday, February 4, 2020

MANUSKRIP SAYEMBARA PUISI KATA PILAR 2.0


MANUSKRIP SAYEMBARA PUISI KATA PILAR 2.0
NAMA PESERTA: PARIDAH ISHAK
ALAMAT: NO 7 JALAN 7F, DESA MELOR
SERENDAH, SELANGOR DE
1.    PANTUN
# 1 Pantun Simpulan Bahasa
# 2 Pantun Peribahasa
# 3 Pantun Nostalgia
# 4 Pantun Impian
#5 Pantun Perbidalan
2.    SYAIR
# 1 Syair Bunga Raya
# 2 Syair Warga Negara Merdeka
# 3 SyairPipit Dan Enggang
# 4 Syair Negaraku
# 5 Syair Mawar Oh Mawar
3.    GURINDAM
# 1 Gurindam Kembara
# 2 Gurindam Niat
# 3 Gurindam Gemar
# 4 Gurindam Gagal
# 5 Gurindam Jiwa
4.    NAZAM
#1 Bahtera Merdeka
#2 Alam Harmoni
#3 Sinar Purnama Ramadan
#4 Maulidur Rasul
#5 Doa


5.    SAJAK
#1 Musafir
#2 Amarah Alam
#3 Mampukah Kehilangan?
#4 Hayat Ini
#5 Lengkaran Maya

6.    HAIKU
#1 Teratai
#2 Lebaran
#3 Tanjung
#4 Pisang kaki
#5 Angsa

7.    Kuatrin
#1 Lorong ini
#2 Kasih Ini
#3 Siapalah kita
#4 Secoret pesan
#5 Sebuah kelahiran
8     SADUKA
           #1 Tanah  Ini
#2 Musim Buah
#3 Tunai Haji
#4 Adam Reyqal
  
    
          #5 Angka Sifar
9     KARMINA
#1 Detik Masa
#2 Kasih Sayang Cinta
#3 Kampung Halaman
#4 Kuntuman Kembang
#5 Rindu Dendam
10      SONIAN
#1Senja
#2 Alam Maya
#3 Sahabat
#4 Ilmu
#5 Gubahan Kata
----------------------------------------------------------------------------------------------------
1.
PANTUN
Pantun #1 SIMPULAN BAHASA

Sayur meranti bercampur tauhu,
          tumbuhan bayam dicelah pangsa;
isi hati siapa yang tahu,
di dalam diam memendam rasa.

Selada dingin rapat di pangkal,
jalar kelisa di tepi tangga;
ada angin tak dapat disangkal;
luar biasa tidak terduga.

Ikan ketuka berenang-renang,
laut berombak jauh jelajah;
air muka persih dan tenang,
tidak beriak berseri wajah.

Di dalam pukat ada gelama,
bawa penganan jinjing sebelah;
ada bakat bertokoh karisma,
gaya pimpinan jelas terserlah.

Sambil mengemas hingga beranda,
menyapu sampah rata melayang,
anak emas ayahanda bonda;
tempat tumpah kasih dan sayang.                         

Bawa rambutan turun ke sampan,
dayung ke pekan SimpangTiga;
ayam tambatan tanggung harapan;
mengubah akan nasib keluarga.

Segantang pulut berikan nyonya,
ambil cemperai di tepi jalan;
banyak mulut rajin bertanya,
mengharap lerai akan soalan.

Warna bold; Simpulan Bahasa

Pantun #2 PERIBAHASA
Sambil menampi dibuai bayu,
            arah permatang meniti titi,
jatuh terlanting lalu melatah;
            bak dedalu api di pohon kayu,
hinggap di batang, batang mati,
            hinggap di ranting, ranting patah.

Bunga angsana mekar berjambak,
            riang Tirana memilih marjan;
laut yang mana tidak berombak,
            bumi yang mana tak ditimpa hujan.

Memilih bedak oleskan pipi,
            terus menghala ke Buluh Kasap;
kalau tidak adanya api,
            masakan pula adanya asap.

Dimakan pulut hari dah siang,
            bersama lala ikan belanak;
janganlah mulut disuap pisang,
            punggung pula dikait onak.

Baca riwayat naskhah Melayu,
            dikarang oleh warga setempat;
lemah liat si akar kayu,
            dilentur boleh patah tak dapat.

Burung kenari di pohon nering,
            termakan jadam galak menari,
rasa pahitnya mengolak resah;
            kikir pari belulang kering,
walau direndam tujuh hari,
            pasti ianya tak akan basah.

Jangan meludah lantai berhabuk,
            pakai terendak memilih antah;
kalau dah tahu gadung tu mabuk,
            mengapa hendak diratah-ratah
.

Warna bold; peribahasa

Pantun #3 NOSTALGIA
Sisih kumpulan buntu bahagi,
            maman berjenis dekat belara;
selisih jalan suatu pagi,
            senyuman manis mengikat mesra.


Rana santapan roti  penganan,
            bersila tamu berpuntung sigup;
pesona tampan hati berkenan,
            kala bertemu jantung berdegup.

Langkah memilis  getus suara,
            tujah kepayang tala pulasan;
warkah ditulis utus bicara,
            wajah terbayang mula perasan.

Kerapu lalu lokan menghalang,
            serangan teja menggodam bisa;
tersipu malu bukan kepalang,
            berangan saja memendam rasa.

Talam berkrim di gerai dadu,
            serbat dilirik ketip hiasan;
salam dikirim melerai rindu,
            sahabat baik dititip pesan.

Sida sedia hendak mendapa,
            melayang balam mengusik dayang;
kepada dia tidak terlupa,
            siang malam asyik membayang.

Tunduk kenari riba angsana,
             gugur kerana layangan bangau;
duduk berdiri serba tak kena,
            tidur tak lena serangan angau.


Berangin tamu galau melontar,
            menyejat badam sega dicapai;
ingin bertemu walau sebentar,
            hajat dipendam moga tercapai


Pantun #4 IMPIAN

Di kiri palma kanan  perigi,
      sela pulasan sebelah kiri;
dinihari menjelmakan  pagi,
      mula lukisan sebuah hari.

Kenari duka mengusir lara,
      leka perhati jering  kelisa;
jejari leka mengukir citra,
     sesuka hati seiring masa.

Hendak ke bangsal bermain bangsi,
      merdu sekali laguan simfoni;
tidak sesal mahupun sangsi,
     justeru demi impian diri.

Ragi  di kasur reja di peti,
      duduk menjelum bilik gelita;
pagi mengangsur senja menanti,
      esok belum pasti milik kita.

Mari ke sini lekat di sini.
      menilik kanta  rapat teliti;
harinya ini dan saat ini,
     milik kita yang sangat pasti.


Lensa dilalu fokuslah tepat,
     melihat suria janggal tercipta;
masa berlalu amatlah cepat,
     rehat berkarya tertinggal cita.

Hujan di atap angin membadai,
      jajar sekata kering terasa
impian tetap ingin digapai
     berkejar kita beriring masa

Apa tersirat  tersalah erti,
      maya berwarna  hilangkan dura;
apa tersurat sudahlah pasti,
      dunia fana nan sementara.


Pantun #5 PERBIDALAN

Burung kedidi burung kelicap,
            kunjung menggalang di atas atap;
janganlah jadi nakhoda kasap,
            penghujung hilang pangkal pun lesap.

Lalu melayah singgah merombak,
            siap siaga hinggap di sipi;
terlalu payah dilambung ombak,
            tercapai juga tanah yang tepi.

Melangkah pulang hati menduga,
            kata bertingkah menyoal rumi;
naik membilang anak tangga,
            turun selangkah jejaklah ke bumi.

Indah cuaca awan sejengkal,
            lalu kuala ke pelabuhan;
kalau neraca palingan bungkal,
            hati pula palingan Tuhan.

Jala  dikancing diletak tinggi ,
            bungkus kersani tumpat gerigi;
 bila kucing tidak bergigi,
            tikus berani melompat tinggi

Bersukacita karang kenanga,
            dilitup selut sampan di jeti;
buka mata pasang telinga,
            tutup mulut simpan di hati.

Sarung diluar jaringan kempas,
            sabar mengambil longgokan ikan;
burung yang liar jangan dilepas,
            khabar yang mustahil jangan didengarkan.

Buang sauh tidak terjangkau,
            melayang candik sambung menyimpai;
barang yang jauh hendak dicekau,
            tangan yang pendek dihubung tak sampai
.

Tuil melentuk tampan terkukur,
            duri kaktus kenari merenyut;
kail sebentuk umpan seekor,
            sekali putus sehari berhanyut.

Lain terpancar titip bersuci,
            kasih dirasuk membilang sangga;
kain dalam acar dikutip dicuci,
            masih nak masuk ke longkang juga.

Warna bold; perbidalan.

PARIDAH ISHAK
Ulu Jempol.
PAHANG 

2.
SYAIR
Syair #1
SYAIR BUNGA RAYA

Bunga raya disyair mencerah,
mekarnya indah merona merah,
tumbuh merata liar selerah,
di ceruk kampung rata daerah.

Menghijau subur tegak merendang,
seri suasana sejauh pandang,
rona meriah sukar terhadang,
meski tumbuhnya di pinggir  padang.

Bunga raya tingginya separa,
tumbuhan herba mengubat dura,
mengurai sakit duka dan lara,
demam dihidap sembuh segera.

Akarnya kukuh mencengkam tanah,
mengelak hakis pemusnah ranah,
dihembus ribut masih tak punah,
banjir melanda renda sakinah.

Bunga raya bunga kebangsaan,
pilihan tepat Tunku Abd.Rahman,
bukan semata puspa pilihan,
hikmah firasat dalam renungan

Bunga raya melambang semangat,
bersatu erat teramat sangat,
berganding tangan jatuh keringat,
warga negara mutu menyengat.

Berakhir syair mencitra bunga,
Indahnya agum hingga terpinga,
lupa penganan dalam belanga,
anugerah Allah hamba ternganga.


SYAIR #2
WARGA NEGARA MERDEKA

Alhamdulillah pembuka kata,
Bermula syair ukiran tinta
sudah merdeka nusa tercinta,
warga negara bersukacita.

Budi semangat pejuang bangsa,
semangat ikhlas menabur jasa,
berjuang gagah seiring masa,
tuntut merdeka bebaskan nusa.

Tebus maruah juang merdeka,
lama terjajah detik ketika,
warga merintih langsung tak suka,
dalam belenggu perih terluka.

Hasrat pejuang satu matlamat,
bebaskan nusa tanah keramat,
hidup warganya mengecap nikmat,
Allah izinkan peroleh rahmat.

Takwim Sheikh Fahim ulama terbilang
di akhir Ogos  tarikh gemilang,
julang merdeka tanpa terhalang,
warga menanti detik menjelang.

Stadium Merdeka  jadi saksi,

rasmilah sudah berubah paksi,
memulang hak wajar solusi.

Tujuh kali “merdeka” gema suara,
dilaung Tunku Abdul Rahman Putra,
warga menyahut sebak tertera,
meraup syukur terusir dura.

Watan merdeka amatlah  bangga,
bebas dijajah merasa lega,
cinta negara jiwa dan raga,
ditadbir bijak warga menjaga.,

Syair merdeka usailah sudah,
moga terhibur terlerai gundah,
menyusun kata mengukir madah,
demi sebuah negara indah

Syair #3
SYAIR PIPIT DAN ENGGANG


 Pipit dan enggang syair dikarang,,
 mengepak sayap bukan sebarang,
 dimusnah hapus memang dilarang,
mudah dilihat di tempat terang.

 Pipit tuli namanya diberi,
 pipit uban kaumnya sendiri,
burung nan kecil rendah berdiri,
terbang berkawan ke sana ke mari.

 Sering bersama di batas ban,
kadangkala hinggap di reban,
 kutip bijirin di perdu leban,
kemuncut halus ternyata saban.

 Pipit mematuk buah  celagi,
paruhnya kecil tidak bergigi,
musuh petani dihambat pergi,
agar hasilnya tidak merugi.

 Enggang  di pohon di pinggir lagun,
bangun sosoknya ketara anggun,
 hebat rupanya lihat terpegun,
di rimba raya tempat memegun.

 Jarang temui enggang berkawan,
dengan pasangan kadang berlawan,
besar rezeki setinggi awan,
tidak cukupan cuma secawan.

Tidaklah hairan tindak lakunya,
enggang dewasa dengan caranya,
jangan berkurang mewah rasanya,
juang bersungguh akan mahunya.

 Enggang dan pipit hanya anologi,
sifat berlawan tolak bahagi,
lestari hayat gaya meranggi,
puisi syair sebuah elegi.


Syair #4
SYAIR NEGARAKU

Kugubah syair deminya nusa,
tanah tercinta damai sentosa,
berbilang bangsa rasi selesa,
membina jaya luar biasa.

Hidup harmoni erat bersatu,
hormat menghormati saling membantu,
menjauh rasa hati kematu,
suka berseteru sifat menghantu.

Negaraku makmur mewah rezeki,
laut direnang gunung didaki,
warganya rajin perempuan lelaki,
reda berkongsi tidak berdengki.

Pelbagai kaum berbilang ragam,
demikian kita rencah dilagam,
berbilang adat tidak seragam,
kadang kemelut berpancaragam.

Hidup bersana memang begitu,
masih terkawal emosi itu,
tidak memuncak gejolak nawaitu.
cinta negara warga bersatu.

Negara kita jalin muhibbah,
Semenanjung, Sarawak dan Sabah,
anugerah Allah tawaduk sembah,
milik bersama tidak berubah..


Syair #5
MAWAR OH MAWAR

Syair mawar bersama diperi,
mekar di pohon cantik berseri,
walau keliling dipenuhi duri,
namun itulah gambaran diri.

Mawar cantik lebat berumpun,
aroma segar berjambak terhimpun,
di sudut kamar menyerlah santun,
menyeri ruang hati meruntun.

Leganya hati di sisi mawar,
terasa laju masa beredar,
ingin bersama hilangkan gusar,
nikmati indahnya dengan sabar.

Walau terluka ditusuk duri,
darah menitis di hujung jari,
hati terasa ngilu dan nyeri,
diseka lirih memujuk diri.

Mawar yang ini mawar pilihan,
jadi perhiasan mesra sentuhan,
di hujung ranting celahan dahan,
terpesona akan keindahan.

Mawar ranggi berkelopak cantik,
tanpa ragu segera dipetik,
sebelum mekar dinanti putik,
walau hujan mulai merintik.

Gerimis mulai turun kasar,
hati berolak runsing dan gusar,
lembut kelopak menjadi sasar,
longlailah mawar kecil dan besar.

Mawar terindah memudar warna,
tidak lagi sesegar angsana,
kelopak relai di sini sana,
bertaburan rata suram suasana.

Demikianlah kisah akan mawarku,
sudah pun layu di ujung waktu,
berguguran longlai lesu di perdu,
hilanglah seri berulang sendu.

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah




3.    GURINDAM
Gurindam #1 GURINDAM KEMBARA

Kalau  kembara  jelajah tempat,
luas pandangan tatkala sempat.

Kalau  kembara serata daerah,
dapat susuri jalur  sejarah.

Kalau  kembara dalam negeri,
indah permainya maklum sedari.

Kalau kembara lewati sempadan,
membanding-banding tidak sepadan.

Kalau kembara mencari ilmu,
menambah tahu tidaklah jemu.

Kalau kembara melihat alam,
mengukuh iman bagai pualam.

Kalau kembara ke dalam diri,
salah silapnya peduli cari.

Kalau kembara mencari cinta,
seru  kasih-Nya dilafaz nyata.                                                                                                         

Gurindam #2 NIAT
Kalau berniat tulus dan ikhlas,
hasil menjadi citranya jelas.

Kalau berniat wajib  tunaikan,
janji tepati  mesti amalkan.

Kalau berniat tidak dilafaz,
umpama kata tidak dihafaz.

Kalau berniat menjadi guru,
menimba Ilmu usah terburu.

Kalau berniat ingin kembara,
langkah dimula elok segera.

Kalau berniat menuju syurga,
amal ibadah pekerti jaga.

Kalau berniat menjadi alim,
Ilmu dituntut murabbi mualim.

Kalau berniat puasa sebulan,
tiba Ramadan itu amalan.

Gurindam #3
GURINDAM GAGAL
Andainya gagal apa dirancang,
kaji selidik segera bincang.

Andainya gagal ujian pertama,
rujukan ilmi biarlah lama.

Andainya gagal dalam perkahwinan,
suratan takdir lerai bebanan.

Andainya gagal dalam percintaan,
hati kecewa lumrah perasaan.

Andainya gagal difikir selalu,
tiada jaya melintas lalu.

Andainya gagal beramal soleh
murabbi benar segera pilih

Andainya gagal mendidik laku
gejala keji  mudah berlaku

Andainya gagal berkali-kali
salah dan  silap wajar sesali.

Gurindam #4
GURINDAM RAJIN
Barang siapa rajin berkebun,
hasil melimpah rezeki menimbun

Barang siapa rajin mandiri,
segala kerja laku sendiri.

Barang siapa rajin ziarah,
erat ukhuwah sirna amarah.

 Barang siapa rajin membaca,
 alim berilmu hindari cerca.

 Barang siapa rajin masak-memasak,
 jamu selera tidaklah sesak.

Barang siapa rajin berkarya,
ilham dicerna semampu daya.

Barang siapa rajin melukis,
seni lukisan tidak terhakis.

Barang siapa rajin berceritera,
riwayat lama melipur lara.

 Barang siapa rajin bergurindam,
 puisi tradisi tidak terpadam.

Barang siapa rajin bersukaria,
akhirnya hidup tidak ceria.

Gurindam #5
Gurindam jiwa

Gurindam jiwa irama sukma,
lagu berseni senandung lama.

Gurindam jiwa lirih mengasyik,
maknanya indah kalbu terusik.

Gurindam jiwa suara hati,
Ilahi Rabbi Maha Mengerti.

Gurindam jiwa berladung sayu,
kepada Dia hajat merayu.

Gurindam jiwa gubahan cinta,
persembahan hamba yang hina leta.

Gurindam jiwa disusun indah,
pilih aksara apa dimadah.

Gurindam jiwa frasa sastera,
merawat hati sirna sengsara.

Gurindam jiwa alun berlagu,
titip nasihat tidak mengganggu.


PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
9/05/019 

4.
NAZAM
Nazam #1  BAHTERA MERDEKA

Bismillah wadah membuka karangan
selawat dan salam rasul junjungan
tahmid tahlil tasbih zikir seiringan
melayar Bahtera Merdeka di segara perjuangan.
 
Doa di sukma Allah perkenan
pelayaran bahtera mulai perlahan
dilambung  ombak dihembus anginan
alamat destinasi pasti sasaran.

Bahtera Merdeka sarat muatan
membawa pelbagai rencah sukatan
apa saja segala kaitan
demi kehidupan merentas lautan.

Sifat mahmudah dipohon kepada Ilahi
di dalam bahtera kekal harmoni
saling mahabbah jiwa insani
berpimpin tangan kongsi berani

Bahtera Merdeka disongsong angin
hujan menderu alam mendingin
pesanan langit murkanya Allah Al-Muhaimin
sifat mazmumah serakah haloba dijalin

Layarnya lusuh malu berkembang
Jalur Gemilang cela dibilang
 tiang pasaknya menyenget tumbang
geruhnya hati menaruh bimbang.

Munajat doa mohonkan restu 
agar dikasihani Alllah Yang Satu
Bahtera Merdeka reda dihulur bantu
haluan menyasar dihadang sesuatu.

Alhamdulillah Allah berkati kabulkan
sujud dini hari serta doa dititipkan
Bahtera Merdeka milik warisan
diperhati peduli diperbaiki kerosakan.

Kini indah lagi menyerlah
belayar tenang di lautan Allah
masih memberat kontena masalah
namun semakin gagah menolak olah


Nazam#2  ALAM HARMONI

Bismilah itu permulaan kalam
bernazam indah ceritera alam
harmoni bersama siang dan malam
kehidupan tenteram tidaklah kelam.

Alam semesta luas saujana
bagai lukisan Allah laksana
Kejadian Allah amat sempurna
melengkap perlu makhluk mengguna

Kasihnya Rabbi kepada hamba-Nya
tidak terlafaz dengan bicaranya
Selawat dan salam junjungan mulia
bersama Rahim-Nya menghuni dunia.


Gunung ganang tegak mempasak
jangan ditarah jangan dirabak
kejadian Allah hindarkan rosak
hening dan damai tidak menyesak


Rimba dan hutan usah dicerah
takut mengundang bahana Allah
ujudnya adalah mengelak olah
kala hujan lebat mencurah


Mergastua serangga flora dan fauna
rimba belantara adalah istana
girang berada di sini sana
bebas menghuni walau di mana

Sungai dan tasik bagai ‘al-Khautsar’
bukan dicemar adab tersasar
tempat berwenang hidupan dasar
sambil bertasbih kecil dan besar

Khalifah alam pilihan Allah
umat manusia pikul amanah.
jujur dan ikhlas memang ditelah
tegar ujian hadapi masalah.


Nazam #3 SINAR PURNAMA RAMADAN

Marhaban Ramadan al-Mubarak
cahaya purnama sinar bak perak
sujud tawaduk amal digerak
iman dan takwa bersemarak.
 
Ramadan penghulu segala bulan
ganjaran berganda Allah janjikan
ibadah puasa diterima Tuhan
amalan baik jadi tuntutan. 


Ramadan bersinar cahaya indah
membawa rahmat sehingga sudah
giatlah diri beramal ibadah
mohon ampun mengusir gundah.

Agar terhapus segenap dosa
zahir batin suci sempurna
bagai bayi lahir semula
tenang hati riang ceria.

Mendidik umat  berlapar dahaga
letih lemah jiwa dan raga
menahaninya tidak bersangga
kuat semangat hadapi duga..

Bersedekah berzakat dimurahkan rezeki
janji Ilahi sudahlah pasti
amat melimpah di Ramadan ini
mesti direbut mesti dicari.

Tadarus terawih meningkat takwa
siang dan malam amal dibawa
mengisi waktu dengan sesungguhnya
mengisi rohani bekalan ke sana.

Lailatul-Qadar kita impikan
sepuluh malam terakhir ganda amalan
moga peroleh akan keberkatan
penuh  dengan nikmat kebahagian.

Ramadan dinanti penuh rindu
pahala sunat seperti fardu
amal ibadah hingga beradu
memeluk cinta-Mu rindu syahdu.

Nazam #4 NAZAM  MAULIDUR RASUL

Sebermula bismillah melafaz kata
selawat dan  salam rasul tercinta
pembawa nur sinar semesta
seluruh alam  sirna gelita

Malidur rasul ingatan umat
hari sejarah nabi Muhammad
lahir ke dunia menjunjung rahmat
anugerah Allah berserta nikmat

Syiar Islam tegak menjulang
meski berbilang rintangan menghalang
tegar berjuang bukan kepalang
darah air mata iring berselang

Nabi utusan yang Rahim Rahman
kepada umat akhir zaman
dakwah tarbiah ilmu pedoman
semoga menjadi insan budiman

Nabi nur rahmat seluruh alam
terangi gelap gelita kelam
sentuhan baginda huluran salam
sejahtera sempurna Ilmi mendalam


Nazam #5 DOA
Demi Allah Tuhan yang Esa
tangan ditadah setiap masa
moga selari hidup selesa
hingga akhirnya aman sentosa

Demi Muhammad rasul junjungan
selawat dan salam lafaz berpanjangan
tidak dilupa dalam kenangan
siang dan malam tidak berhujungan

Berdoa hamba atas sejadah
segala urusan agar dipermudah
tiada aral melintang menggundah
wajah diraup seusai sudah

Ilahi Rabbi maha Mendengar
walau terdetik di kalbu sanggar
tidaklah perlu membuat hingar
seperti berada di dalam pasar

Allah yang Rahim juga Rahman
pengasih penyayang mengiring teman
hanya pada-Mu hamba beriman
dunia akhirat beroleh nyaman

Hamba berdoa sesungguh hati
Ilahi Rabbi mohon berkati
lestari hayat sehingga mati
amal ibadah rahmati pasti

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
9/05/019 
5.
SAJAK
Sajak #1
MUSAFIR

Bermusafirlah segenap penjuru alam
mengagumi kebesaran Ilahi maha indah
yang menciptakan hanya dengan firman
Kun faya kun

Maka akan terjadilah
dengan jaya sempurna keindahannya
tidak terkata kelu lidah berbahasa
Langkah wisata ke cerok alam dunia
di mana saja dimulai dengan sujud menyembah Pencipta
membawa hasrat termakbul hajat
urusan perjalanan tiada gendala
dihalangi rintangan aral

Berwisatalah dari lembah yang pamah
hingga ke puncak gunung
menggapai langit berawan putih
Atau belayar di samudera tiada bertepi
luas saujana
menyelami dasarnya
membawa naik berbilang mutiara

Sebenarnya kita
sedang bermusafir di alam dunia
menuju negeri abadi
sehingga nafas terhenti

sajak #2 AMARAH ALAM

Kegelojohan yang melangkaui batas tersengaja tindak laku
Rakus   serakah nafsu menguasai mercu gemala kecil di ubun
Denyutannya tidak terasa,  lalu tega mencurah  kimia pelarut organic benzene toluene xylene ethylbenzennne d limonene   
Mencemari sungai Kim Kim dengan sisa toksik buangan
Maka bersatu udara tanah hujan menghukum kezaliman tidak tersanggah
Cedera alam sekitar deruan pawana   beracun memual rasa   menyesak dada
Anak-anak sekolah, warga dewasa yang kalah
Wad hospital tumpuan ribuan
merawat kesakitan termudah sekiranya  
Lebih awal dicegah  
duka pilu menyerbu
ampuni hamba-Mu
yang tidak berdaya lagi berdosa ini Ilahi Rabbi
api amarah alam ini mohon reda-Mu padamkanlah

sajak #3 MAMPUKAH  KEHILANGAN?

Memiliki anugerahnya tidak terbanding nilai
dileta sepi di sudut lohong graha
Terbiar lara tidak terpeduli sesiapa
Hadirnya erti dipertikai senyum sinis diorak bibir
dirunyam selirat ragu sangsi memuncak rasa
membentuk tanda persoalan polemik besar
setelah ketiadaan berjurai titis air mata darah tidak akan mengembalikan
sedih pilu berlagu mengumpul frasa hiba tidak terjumlah
anugerah-Nya selari situasi semasa sesuai kehendak
andai perhati lewa segalanya sirna sekelip kerdip mata
moga tidak kehilangan apa-apa
moga anugerah-Nya ditatang agar tidak jatuh berderai
justeru keacuhan lalai melonglai
syukur reda takwa demi-Nya
Penguasa semesta alam

sajak #4 HAYAT INI

Walau ianya sementara
destinasi akhir tegap asa.
Rencah nya membubu rasa pelbagaian
resepinya adalah pilihan kita
yang jadi hidangan di meja kehidupan.
Lalu santaplah meski tidak berselera
Setelah itu bersandarlah di pohon Iradat
seraya mengucap syukur nikmat.
Alhamdulillah.



sajak #5 LENGKARAN MAYA 

Samseng samseng jalanan maya
menggonggong nota kebenaran
menggempur wujud persona
mengadili kebenaran

Menyatakan jawapan berbeda tentang isu
walau dengan manis melafazkan
tidak salah berbeda pandangan
meluah rasa termengkelan
sukar ditelan
Lalu samseng jalanan maya
membawa peranan
menggembur permusuhan

Tidak pernah ia meredap
bak api dalam sekam
dihembus pawana bicara
menyalalah api meliuk kuning
membara merah menggila
membakar langit damai
tiada sudahnya

PARIDAH ISHAK
Ulu Jempol  Pahang DM

6.
HAIKU
Haiku #1 Haiku Teratai

gubahan sajak -
vas Teratai Abadi
khazanah seni

teratai batu -
pancuran limpah air
singgahan santai

Fauziah Latiff -
Teratai Tasik Madu
malar hijau

senandung lagu -
teratai lambang cinta
seniman unggul

kelopak ungu -
lonjak teratai danau
saujana seri

daun terapung
kembang teratai merah -
akar tergantung

teratai anggun -
lukisan cat air
galeri seni

dayung perahu -
teratai Tasik Chini
misteri naga

Haiku #2 LEBARAN
Hari Lebaran –
tetamu silih lalu
maaf-maafan     

warna ceria -
sopan busana pagi
di Aidilfitri

ketupat palas –
piring rendang berona      
selera rakus

baju Melayu –
sepasang kurung biru
gaya sedondon


Haiku #3 TANJUNG
kalungan tanjung
malai aneka bunga -
karya kreatif

aura haruman -
bunga mengkula putih
ruangan sempit

olesan bedak
 pewangi bunga tanjung -
pengantin baru

cerita seram -
pohonan tanjung rimbun
langsuyur ngilai
Haiku #5

kelopak tanjung -
ukiran balai seni
undang wisata

senandung langgam -
irama bunga tanjung
orkes bandaraya

putih berseri -
kuntuman bunga tanjung
pohonan tinggi        


gadis rupawan -
haruman bunga tanjung
pesona diri

Haiku #4 PISANG KAKI
kesemak jingga -
celahan hujung ranting
seraga penuh

gadis sendiri
persimmon nan merah kuning –
gerai  jalanan

hiris kesemak
debaran sesak dirasa –
jantung bermaya

pandang leka -
gugusan pisang kaki
rantau wisata

‘haciya Jepun’ –
buah tradisi asli
taman riadah

‘khormaloo parsi’ –
Asia barat daya
jajaran pohon

jingga kemerahan –
pisang kaki Amerika
herba kalsium

Haiku #5 ANGSA

sepotong kuih –
rebutan angsa putih
piring berlumpur

di tepi danau -
seekor angsa tua
menggamit pandang

makanan angsa -
campuran dedak halus
tiada sisa

gimrama ballet -
Majlis Sukan Negara
tarian angsa

sereban angsa -
khemah tengah halaman
sekawah gulai


tasik beriak -
sekawan ‘swan lake’
seri suasana


tenang di kolam
angsa berbulu putih -
bayang setara

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah


7.
KUATRIN
Kuatrin #1
KUATRIN LORONG INI

Di lorong ini aku tersesat
tidak kutahu mana arahnya
peluh menitis kuseka kesat
langkah kuatur tega perihnya

Kutemu rakan kawan sejalan
berbeka riang  berkongsi  rasa
kadang bergelak kadang terkilan
dihambur dengan kata  berbisa

Di lorong kecil ruangnya sempit
sesak bernafas sedut  udara
daya dijana meski berhimpit
hasrat sebenar mencipta citra    

Karya tercantik digubah mampu
moga pesona dilirik pandang
seri cahaya lantera lampu
nikmati syukur apa dihidang

Di lorong ini berpencak silat
melakar ilham melukis benar
beri manfaat tidak meralat
fikiran jernih merawat nanar  


kuatrin #2 KUATRIN KASIH INI

Kasihku ini hanya untuk-Mu
tidakku ragu mengukir  kata
pernah keliru  sering bertamu
pudar gerhana tulusnya cinta

Sesalan datang tidak  terkira
rasa berdosa menimbun tinggi
sesak dihimpit perih sengsara
tidakkan mahu diulang lagi

Murni kasih-Mu daku mengharap
kudus cinta-Mu kepada hamba
tulus sayang-Mu inginku serap
ampuni salah amat didamba

Bagai  meruntun di  dalam sukma
ingin bertemu melerai rindu
saat dinanti bakal bersama
renyai tangisan tersedu-sedu

Detik  berlalu dibilang-bilang
langkah hampiri makin mendekat
tiada aral dapat menghalang
tatkala nafas sudah tersekat

  Kuatrin #3 SIAPALAH KITA

Siapalah kita suka menghina
gemar mencerca tidak berkenan
mudah melontar batu mengena
tuju sasaran bawa peranan

Sekadar kenal  belum bersua
bagaikan akrab tersangat rapat
luar dan dalam tahu semua
arif segala buktinya tepat                       

Sedikit  tahu habis dibongkar
bagai menulis sebuah karya
darinya pucuk hingganya akar
dicoret larik di media maya

Cacian hina bukan budaya
budi bahasa  santun Melayu
sebabkan   ragu hilang percaya
maksud sebenar lagu mendayu

Di tempat tinggi Dia tercinta
tingkah hamba-Nya jelas perhati
Rakib dan Atid terus meninta
Di Padang Mahsyar memapar bukti



Kuatrin #4  SECORET PESAN

Keluhan itu luahan rasa
sekadar zahir rasa empati
pegal terbuku melukis rupa
apa yang mampu diucap lagi
yusu
Tegarkan asa usah mengalah
gemala minda menimbang keputusan
onak dan ranjau sudah diredah
gelora hidup tanpa alasan


lestari hayat laksana alam
menghilir arus kadang menyongsang
berlalu siang berganti malam
ombak melaut surut dan pasang


Medan akli pun terbelah juga
Berbolak-balek buruk dan baik
positif negatif sering duga
sifat hakiki turun naik

Atasi aral dengan berpada
doa tawakal kepada Allah
terima takdir-Nya dengan reda
kepada Dia kita berserah

terlalu ralit mengejar dunia
tidak seimbang dengan  akhirat
kelak tertinggal kerana alpa
di Padang Mahsyar bimbang mudarat

Kuatrin #5


SEBUAH KELAHIRAN

Sembilan bulan sepuluh hari
dikandung ibumu dengan lelah
tegar perihnya tidak terperi
lalu dizahirkan susah payah

Doa tawakal akan takdir-Nya
ke hujung nyawa cekal berjuang
darah melimpah hilang kudratnya
rebah terkulai di tengah ruang

Kala dirimu menjengah fana
berhiba-hiba raung tangismu
bidan mandikan beri busana
ibu mendakap menyusumu

ibu  membelai  ayah menjaga
agar dirimu tidak diganggu
siap sedia tidur terjaga
hati waspada bimbang dan ragu

aduhai  anak jangan derhaka
kepada ibu kepada ayah
kenangi budi baik mereka
didik asuhmu bersusah payah

PARIDAH SHAK
Desa Melor Serendah

8.
SADUKA
Saduka #1
TANAH  INI

Milik kita
tanda cinta
waris moyang
harta eyang

Bela jaga
tinggi harga
usah gadai
ranah landai

Lubuk  hati
kasih pasti
warga nusa
bilang bangsa

Saduka #2

MUSIM BUAH

Sudah tiba
bawa laba
anak kampung
lenguh cempung

Buah lebat
usah lambat
nanti ranum
masam umum

Hujung julai
ranting kulai
rambai manggis
leka hunggis

Buah dusun
lapis susun
tidak bejat
daya hajat

syukur amat
akan nikmat
Allah beri
kanan kiri

Iman takwa
kilik bawa
sujud tulus
atma telus

Saduka #3
TUNAI HAJI

Amal rukun
giat tekun
sampai seru
deras luru

Tanah haram
saing mahram
suci hati
niat pasti

Atur langkah
harap berkah
umat Islam
hulur salam

Rahmat Allah
jelas serlah
sayang kasih
murni bersih


Saduka #4
ADAM RAYKAL

Mata sayu
renung layu
baru hadir
demi takdir

Tangis mersik
halus bisik
perit dera
sungguh dura

Alam fana
pinjam lena
hanya bentar
dingin ketar

Syurga lambai
main buai
tinggal ibu
kalbu sebu

Saduka #5
ANGKA SIFAR

Bilang sifar
lopong besar
campur satu
kira itu

Nanar fikrah
meski pasrah
hutang nusa
sama rasa

Mesti lunas
ide bernas
usah ragu
wajah lugu
Biar kosong

makin gosong
bantu beri
daya diri

Tanda cinta
nusa kita
atma putih
niat bersih

PARIDAH ISHAK
Desa  Melor Serendah

9.
KARMINA
Karmina #1

DETIK MASA

Suhun membiru diguni lama;
tahun baharu kini ;menjelma..

Rengsa  di hulu menuju kali;
masa berlalu laju  sekali.

Kainnya kasa hana selendang;
tajamnya masa laksana pedang..

Ikan kelisa dikilik  dara;
manfaatkan masa sebaik cara.

Angsa berintik meranah kaktus;
masa berdetik tak pernah putus.

Lupa pelita jaha dilompat;
apa dicita usaha cepat..

Salsa  dikandar putat selerah;
masa beredar catat sejarah.

Karmina #2
KASIH SAYANG CINTA

Sisih kepayang di  atas kasa,
berkasih sayang hidup sentosa.

Membaca tarhim sambil berdakwah,
silaturahim jalin ukhuwah

Kerat cemara di tepi titi.
erat dan mesra kasih sejati.

Bunga kedasih gugur merata;
hilang kekasih kemarau cinta.


Resah menggetus daun semalu,
usah terputus bugar selalu.

Buah pedada bawa ke huma,
ayah dan bunda kasih utama.

Ikan kelisa di dalam baldi,
Allah Yang Esa cinta abadi

Terbang lelayang menuju Kedah;
berkasih sayang itu ibadah. 

Karmina #3
           KAMPUNG HALAMAN

Di dalam taman letak karangan,
kampung halaman dalam kenangan.

Daun semalu bercampur maman,
rindu selalu kampung halaman..

Dokoh gelinya di tayang-tayang,
indah permainya sering terbayang.

Mengerat dahan tidak sedikit,
dusun buahan di pinggir bukit.

Terbang kelkatu jatuh di jenang,
duduk di situ sunyi dan tenang.

Hilang di paya seutas gelang,
menjelang raya perantau pulang.

Jalan ke taman ambil cempaka;
kampung halaman tanah pusaka.

Isi manisan dalam penganan;
harta warisan demi turunan.
 
Karmina #4
KUNTUMAN KEMBANG

Tinggi cemara dipangkas rendah;
mekar flora suasana indah.

Mandi melulur kembang berkuntum;
cempaka,  melur menyebar harum.

Ramai berduyun iring mempelai;
gemalai ayun bayu membelai.

Memakai furdah sehari suntuk;
kelopak indah aneka bentuk.

Beli di pekan asam gelugur;
usah biarkan layu dan gugur.

Kuntum jenjarum mekarnya lama;
bunga nan harum kekal aroma.

Terlalu mua sakitnya hati;
kutip semua sejatkan pati.

Tumbuhan pasli celah keladi;
pewangi asli semula jadi.


Karmina #5
 RINDU DENDAM

Anak gelama buahan nadir;
kekasih lama ditunggu hadir.

Dibawa nyonya sebiji labu,
mengenangkannya rindu di kalbu.

Tepi perigi kembang seroja,
sedari pagi  menunggu saja,

Dari Kediri menuju Langkap,
sepi sendiri di muka tingkap,

bunga melati letak di alang,
yang dinanti tak kunjung jelang.

Tumbuh selasih tepi kepayang,
datanglah kasih datanglah sayang.

Buah bidara kunyah dan hadam,
rindu membara biarkan padam.

Sulaman baldu corak angsana;
anyaman rindu selimut lena.


PARIDAH ISHAK
Ulu Jempol Pahang DM

10.
SONIAN

Sonian #1 SENJA
Langit jingga suram
azan kumandang
gema alun
muazin

Atur langkah laju
satu persatu
arah pasti
musolah

Jernih air wuduk
tadahan tangan
basah wajib
anggota

Diri solat Maghrib
waktu cemburu
hadap kiblat
segera

Imam di hadapan
berbaris makmum
susunan saf
jemaah

Sonian #2 ALAM MAYA
Alam maya luas
tiada batas
bebas sapa
kenalan

Gemuruh  bicara
riuh seronok
kawan baru
internet

Positif negatif
wajib perhati
sampah sarap
jauhi

Media sosial
ramai berkenan
perkenalan
global

Persona  bergaya
hartawan mewah
jerat mangsa
siaga


Sonian#3 SAHABAT

Sahabat sejati
syukuri Allah
hingga jannah
bersama

Langkah beriringan
kemana saja
sefahaman
gandingan

Berpisah tiada
tolong menolong
saat susah
prihatin

Kemelut sengketa
usaha elak
jalin erat
ikatan

Saling Tanya khabar
apa sahaja
susah senang
peduli

Sonian #4  ILMU

Ilmu sinar hidup
pelita iati
wajib cari
di mana

Pelajari ilmu
dunia akhirat
demi jaya
setara

Murabbi berilmi
sahih dan benar
walau jauh
pilihan

Kepentingan ilmu
usah pertikai
keperluan
insani

Istiqomah amal
walau sedikit
ketahui
sempurna


Sonian #5
Sonian #4 GUBAHAN KATA

Susunan kekata
sopan bahasa
lirih lunak
pesona

Indah reka karya
sentuhan rasa
 jiwa halus
rasai

Kreatif  cipta
manifestasi
wajah hati
sebenar

Peribahasa
tersirat maksud
metafora
Melayu

Simpulan bahasa
perumpamaan
perbidalan