Sunday, December 13, 2020

REJANG TAHUN 21

 

REJANG TAHUN 21

.

Bismillahhir rahmanir rahiim

Allhahumma salli wa baarik a’laih

.

Satu hari bulan rejangnya kuda …

#1

            Kuda berlari terjelir lidah

            tersadung akar jatuh tersungkur

tahun baharu menjelma sudah

            masih bernafas amat bersyukur

.

Dua hari bulan rejangnya kijang…

#2       

            Kijang terpijak buah berangan

            terjingkit kaki menuju lata

            kepada Allah menadah tangan

tahun baharu terkabul cita.

.

Tiga haribulan rejangnya harimau…

#3

 

            Harimau belang tidak bertangguh

            mengejar mangsa selagi sampai

          apa dicita dengan bersungguh

di tahun baru azam tercapai.

.

Empat hari bulan rejangnya kucing


#4

          Kucing belaan tidur penjuru

gelumut dengan kain sehelai
          gunakan masa tahun baharu
          setiap saat amat bernilai

.

Lima  hari bulan rejangnya sapi


#5

 

          Sapi meragut rumput setempat

pilih semua tiada janggal
          tahun berlalu amatlah cepat
          terasa rugi kalau tertinggal

.

Enam hari bulan rejangnya kerbau


#6

          Kerbau berkubang di rawa sana

          membawa lumpur hingga musolah
          tahun baharu atur rencana
          reda tawakal kepada Allah

.

Tujuh hari bulan rejangnya tikus

#7

          Tikus selongkar bungkusan suhun

          makan segala tidak bersisa
          azam berubah setiap tahun
          cuba tunaikan seiring masa

.

Lapan hari bulan rejangnya lembu
#8
          Lembu berlaga lukanya parah
          jatuh tergolek di tepi tambak
          tahun dahulu catat sejarah
          koronavirus menyebar wabak

 

.

Sembilan hari bulan rejangnya anjing
#9

          Anjing  menyalak laju meluru

          kejar  pencuri di pinggir desa
          tahun baharu norma baharu
          hidup berubah luar biasa

.

Sepuluh hari bulan rejangnya naga


#10

          Naga sumpahan bermata biru

          sedang beradu di tasik Chini
          koronovirus kenalan baru
          moga terhapus di tahun ini

.

Sebelas hari bulan rejangnya kambing


#11
          Kambing meragut daunan serting
          ditinggal pula kerana pedar
          menjaga diri amatlah penting
          tahun berganti  wabak terhindar

.

Dua belas hari bulan rejangnya arnab
#12
          Arnab mengorek perlahan-lahan
          mencari lobak jumpa kemili
          kawal kendiri patuh arahan
          tahun berubah normal  kembali

 

.

Tiga belas hari bulan rejangnya gajah


#13
          Gajah berkawan menghala hulu

          bersama-sama mencari makan
          sambil berdoa tahun berlalu
          koronavirus mohon hapuskan

 

 

.

Empat belas hari bulan rejangnya singa


#14
          Singa tersesat di rumpun tepus
          tersadung akar hampir tersungkur
          jikalau musuh telah terhapus
          tahun bertuah hamba bersyukur

 

 

.

Lima belas hari bulan rejangnya beruk
#15
          Beruk  berada atas jejantas

          hendak melintas dengan segera

          tahun berlalu teramat pantas
          mesti diisi sebaik cara

 

Enam belas hari bulan rejangnya babi


#16

          Babi menyondol jatuh bejana

          terkejut lari hala ke barat
          tuntutan tahun dunia fana
          setara amal untuk akhirat

.

 

Tujuh belas hari bulan rejangnya helang


#17

          Helang melayang hinggap pengkalan

          sebentar saja terbang ke huma
          hari berganti genap sebulan
          tahun baharu menjadi lama
.

Lapan belas hari bulan rejangnya halipan
#18

          Halipan rayap ke atas pohon

          ada yang sentuh terus disengat
          ingin berjaya sepanjang tahun
          usaha gigih tegar semangat

 

.

Sembilan belas hari bulan rejangnya baning



#19
          Baning memakan daun gaharu

          bergerak lambat hilang di ceruk
          tahun baharu cerita baru
          ubah semua perkara buruk
.

Dua puluh hari bulan rejangnya belatuk
#20

          Belatuk jantan kakinya katik

          menukang sarang di pohon tapan
          lembaran hari ditulis cantik
          kenangan indah tahun hadapan

 

.

Dua puluh satu hari bulan rejangnya badak

#21

 

          Badak meliar rata Asia

          meredah rimba pagi dan petang
          tahun baharu tambah usia
          makin dewasa fikiran matang

.

Dua puluh dua hari bulan rejangnya angsa


#22

Angsa terapung di tepi jeti

naik ke darat lintas sempadan
setiap tahun nilai bererti
selagi hayat dikandung badan

.

Dua puluh tiga hari bulan rejangnya belalang

#23

 

Belalang juta di pohon sena

menggetus daun di tempat parkir
atur jadual susun rencana
tidak gendala tahun berakhir

.

Dua puluh empat hari bulan rejangnya ayam


#24

          Ayam serama bulunya merah

memakan padi di tepi paya
tahun berbilang santun sejarah
maju tamadun indah budaya


.

Dua puluh lima hari bulan rejangnya tenuk


#25

Tenuk di hutan sudahlah pasti

ranting terkulai giat direngkuh
walaupun tahun bersilih ganti
jiwa yang murni beriman kukuh


.

Dua puluh enam hari bulan rejangnya rusa


#26
Rusa berlari tanah merekah

meragut pula tanaman maman

sekian tahun masih melangkah
tanda bersyukur kukuhkan iman


.

Dua puluh tujuh hari bulan rejangnya jampuk


#27

Jampuk menunggu hampir terlena

memandang bulan selagi larat
bertahun-tahun di alam fana
wajib sedia bekal akhirat

 

 .

Dua puluh lapan hari bulan rejangnya landak


#28

Landak menghidu buah kuini

tegak durinya tergesel sentang
andai usaha di tahun ini
mungkinlah jaya tahun mendatang

 

.

Dua puluh Sembilan hari bulan rejangnnya ular
#29

Ular menjalar melintas jalan

menyusup dalam rimbunan ranti
akhir Disember bilangan bulan
tahun Masehi berganti pasti

 

.

 

Tiga puluh hari bulan rejangnya keldai
#30
          Keldai membawa barang ke sana

badannya mulai merasa rimas

tahun baharu membawa makna
hargai masa nilainya emas

 

Allahumma saallim wa baarik ‘alaih

Thursday, December 3, 2020

SYAIR PUTERI

  

MANUSKRIP

PUISI

SYAIR PUTERI

OLEH

PARIDAH ISHAK

 

 

 

SYAIR 1

PUTERI LINDUNGAN BULAN

SYAIR 2

WALINONG SARI

SYAIR 3

DARMATA’SIAH

SYAIR 4

TUN FATIMAH

SYAIR 5

PUTERI SAADONG

SYAIR 6

MAYANG SARI

SYAIR 7

RADEN MAS AYU

 

 

 

 

Syair 1

PUTERI LINDUNGAN BULAN


Kedah Tua sebuah negeri,

hikayat lama disyair peri,

sultan miliki dua puteri,

amat jelita wajah berseri.

 

 

Sultan Iskandar Mahkota Alam,

mimpi bertemu suatu malam,

dua puteri seri pualam,

terpaut hati kasih mendalam.

 

Kelopak melur indah berkembang,

puteri jelma bagaikan mambang,

teruja hati mengajak sembang,

sayangnya mimpi menyurai gerbang.

 

Bendahara menafsir menelah,

ujud puteri tiada salah,

darah puteri putih terserlah,

tentu pilihan urai masalah,

 

 

Darah puteri konon kuasa,

ingin miliki tuah dirasa,

segera pinang tak buang masa,

penuh harapan teguh tiasa.

 

 

Sultan Sulaiman akur terima ,

pinangan sultan pura utama,

sudah terkenal sekian lama

jalin ukhuwah erat bersama.

 

Sukar baginda hendak menentu,

pilih puteri yang mana satu,

menjadi suri bakal menantu,

kata pemutus muktamat jitu.

 

Tunku Mariam anakanda sulung,

mesti dahulu terima kalung,

sebagai isteri perkara ulung,

kasih sayangnya luas berelung.

 

Walaupun kata utusan Aceh,

baginda lamar puteri persih,

cantik berseri berdarah putih,

Tunku Zaleha maksudnya masih.

 

Sultan Sulaiman mengira adat,

tidak dilanggar santunan jidat,

sudah termaktub tersusun padat,

warisan lama daya ibadat.

 

Tunku Mariam menolak jangan,

takdir jodohnya sudah gerangan,

diijab-kabul berganding tangan,

kini bersama jadi pasangan.

 

Sungguh meriah majlis kenduri,

berlangsung lama berhari-hari,

makan dan minum tidak terperi,

demi merai nikah puteri,

 

Majlis bersanding usailah sudah,

Tunku Mariam tinggalkan Kedah,

ikut suami pula berpindah,

Tunku Zaleha terasa gundah.

 

Akan berpisah dengan kekanda,

rawan hatinya sedih melanda,

akhrab berdua selama ada,

namun terjadi tidak tertunda.

 

Tunku Mariam jari terluka,

bergurau canda hingga terleka,

darah mengalir cepat diseka.

warna merahnya bawa petaka.

 

 

Sultan Iskandar murka terlalu

rasa ditipu sungguhlah malu,

kata pemutus ambil selalu ,

Kedah Tua diserang bertalu

 

 

Tunku Mariam berduka lara

hilangkan diri jiwa sengsara,

Sultan Iskandar sesali gara,

mengikut rasa badai gelora.

 

Sekian lama sudah warisi,

mampu beralih mengubah sisi,

sakti dirinya nyata dikongsi,

turunan ilmu jiwa serasi,

 

Tunku Mariam Tunku Zaleha,

bagai ditelan alam yang laha,

walau dicari dengan usaha

dilindung bulan hujung intiha.

 

Kisah disyair ambil teladan,

menjadi batas juga sempadan,

semoga tidak merana badan

rasa sesalan tidak sepadan.

 

Syair 2.

WALINONG SARI

 


Tersebut kisah hikayat lama,

Walinong Sari termahsyur nama,

puteri cantik menggetar atma,

syair dilagu dengan irama.

 

Wajah jelita amat rupawan,

siapa pandang pasti tertawan,

pandai bersilat lagak pahlawan,

hatinya lembut sifat dermawan.

 

Anaknya raja Inderapura,

tanah jajahan  kaya ketara,

waris puteri yang masih dara,

ayahnya  cari jodoh segera.

 

Puteri akur kata ayahnya,

namun diberi tahu syaratnya,

mesti berlawan dengan dirinya,

mampu beradu mengalahkannya.

 

Berduyun datang anaknya raja,

,menyimpan akan rasa teruja,

bertarung pagi sehingga senja,

hasrat kalahkan dara remaja.

 

Walinong Sari sangatlah hebat,

sebalik cindai rambutnya lebat,

auratnya diri habis dibebat,

lawannya kalah bagai dihambat.,

 

Tidak seorang mampu kalahkan,

Walinong Sari gagahnya sakan,

anaknya raja lawannya bukan,

tiada satu yang tercalonkan..

 

Sultan Melaka utus bicara,

lamar puteri Inderapura,

untuk putera hai bendahara,

diam ayahnya mengatur kira.

 

Lamaran itu raja terima,

Walinong Sari hati kesima,

tidak terkata terdiam cuma,

gerutu rasa simpan di atma.

 

Walinong Sari berduka amat,

suara hati bergaduh gamat,

bersama inang lama berkhidmat,

di dalam gambang sama berhemat.

 

Gambang belayar hilir muara,

membawa inang tuju pesara,

hati puteri berduka lara,

mencari tenang jiwa gelora.

 

Merpati biru hinggap di tangan,

jelmaan raja dari kayangan,

sirna segala akan bayangan,

rusuh risaunya hilang gerangan.

 

Bermain puteri dengan asyiknya,

merpati biru sangat cantiknya,

lupalah dia runsing hatinya,

sehingga sampai tempat tujunya.

 

 

Mambang Segara raja perkasa,

berubah rupa pemuda sasa,

tapi mengemis meminta sisa,

beri hadiah batil suasa.

 

Walinong Sari merasa hairan,

lantas segera sampaikan saran,

ajak berlawan tidak di peran,

berpencak tangkas siap anggaran.

 

Mambang Segara melambung tinggi,

Walinong sari melayang ranggi,

cindai wajahnya tiada lagi,

cantik puteri serata segi,

 

Mambang segara termangu-mangu,

pesona wajah menyebab dungu,

Walinong sari tidak menunggu,

lawan terjatuh terima panggu.

 

Dewa nan sakti menghilang diri,

entah ke mana puas dicari,

menyesal pula rasa puteri,

mungkin hatinya telah dicuri.

 

Siang dan malam terkenang-kenang,

air matanya jatuh berlinang,

terlupa diri telah bertunang,

lautan kasih mula direnang.

 

Tidur tak lena malam bermimpi,

rindunya rasa tidak menepi,

alamat datang bagai diimpi,

di gunung Tahan dewa menyepi.

 

Walinong Sari terbang melayang,

tinggalkan inang dan dayang-dayang,

bertemu dewa amat disayang,

tiada lagi jejak dan bayang,

 

 

Syair dilagu berakhir sudah,

dugaan cinta tidaklah mudah,

segala aral sanggup diredah,

sulaman cinta teranyam indah,

 

 

Syair 3

 

DARMATA’SIAH

 

Darmata’siah syairku berkisah,

menabur bakti tak kira susah,

agar suami tidak gelisah,

ingin bersama bukan berpisah.

 

Suci hatinya sukar selami,

taat setia kasih bersemi,

baik budinya batas tanami,

Sheikh Bil-Makhruf akan suami.

 

Ampun tuanku dosanya daku

Darmata’siah berperi laku,

ujarnya lembut sambil teleku,

membasuh kaki menunduk kaku.

 

Sekian lama hidup bersama,

isteri ulang perkara sama,

bagaikan lagu dengan irama,

berkasih sayang pokok utama.

 

Gembira sungguh Darmata’siah

Allah kurnia akan hadiah,

berseri hidup penuh meriah,

lahir puteri dipangku ayah.

 

Cenderadewi nama pilihan,

kata suami perlahan-lahan,

gembira rasa tidak tertahan,

bersyukur amat kepada Tuhan.

 

Cenderadewi amat disayang,

wajahnya cantik pauh dilayang,

sekali pandang terbayang-bayang,

kasihnya ayah jelas gentayang.

 

Darmata’siah seperti selalu,

kasih suami amat terlalu,

layanan masih macam dahulu,

cuba penuhi apa yang perlu.

 

Pelita pula hampir terpadam,

minda berfikir  cuba menghadam,

bimbang dirinya bagai direndam,

takutkan dosa pula menggodam.

 

Tujuh helai rambutnya digunting,

jadikan sumbu tatkala genting,

limpah cahaya perkara penting.

namun suami pula melenting.

 

Darmata’siah disergah marah,

lantaran laku tidak diarah,

hatinya luka parah berdarah,

diusir pergi dia berpasrah.

 

Meninggalkan anak hatinya sayu,

puaslah sudah merayu-rayu,

marah suami mencapai kayu,

pengsan isteri dipalu luyu.

 

Ayahanda bonda tidak membantu,

takut berdosa jadi sekutu,

Darmata’siah hilanglah penentu,

mohon simpati tidak direstu.

,

Kini hidupnya semakin goyah,

makan dan minum terlalu payah,

lemah dirinya jatuh melayah

terkenang anak ibu dan ayah.

 

Ke dalam hutan membawa diri,

melangkah kaki hindari duri,

lapar dahaga tidak terperi,

juga terselit takut dan ngeri.

 

Kepada Allah dia munajat,

mengadu nasib telah tersejat,

memohon ampun dosa yang bejat,

agar tertunai apa dihajat.

 

Semasa hendak sembahyang Asar,

resah hatinya mula menggusar,

terlalu risau tujuan sasar,

tidak sempurna semua gasar.

 

Allah mendengar doa hamba-Nya

mahligai emas ujud sisinya,

bersolat dia dengan kusyuknya,

tidak terjangkau akan jadinya.

 

Isi mahligai emas dan perak,

kemas semua tidak berserak,

Darmata’siah pun mudah bergerak,

amal ibadah tidak berjarak.

 

Jibril pun turun ke alam fana,

 Allah berfirman arahnya mana,

pakaian syurga indah sempurna,

beri kepada isteri merana.

 

Hamba-Ku itu suri yang taat,

besar baktinya setiap saat,

pada suami ikhlas beringat,

telah-Ku kabul akannya niat,

 

Pakaian syurga indah menyerlah,

cantik sekali tidak tersalah,

menjunjung kasih anugerah Allah,

teramat banyak tidak terjumlah.

 

Dua rokaat usai bersolat,

berseri wajah laksana kilat,

purnama penuh sinari selat,

amat rupawan hilanglah ralat.

 

Malaikat Jibril menghantar pulang,

sekian lama telah menghilang,

suka hatinya bukan kepalang,

tiada apa aral menghalang.

 

Singgah dahulu ke rumah bonda,

terkejut sapa berganda-ganda,

entah siapa atas beranda,

konon pembawa pesan anakanda.

 

Pada  Sheikh Bil- Makhruf ingin diberi,

Darmata’siah  berhajat mencari,

arah ditanya pergi sendiri,

tegarkan langkah seorang diri.

 

Sekali pandang sudah tertawan,

Darmata’siah nan sangat rupawan,

hatinya pula menjadi rawan,

suami dera bagaikan haiwan.

 

Kata dipesan sampailah sudah,

Darmata’siah berundur gundah,

suami mula mengolah madah,

ingin menjamu tamu juadah.

 

Hendak memasak kayu dibelah,

wajah tersenyum manis terserlah,

berulang pandang bagai menelah,

luka tangannya tersilap olah.

 

Darmata’siah pun tersenyum saja,

suami itu dulunya raja,

kasih sayangnya dibalas durja,

kini dirinya dipuja-puja,.

 

Siaplah sudah akan hidangan,

Cenderadewi dalam dukungan,

Darmata’siah hulurkan tangan,

pelukan erat terlerai jangan.

 

Darmata’siah berdebar mengaku,

ungkap cerita apa berlaku,

tidak tertinggal walaupun suku,

suami dengar terdiam kaku.

 

Menangis dia tersedu-sedu,

kesal hatinya tidak dipandu,

mengikut rasa pahit hempedu,

orang dibenci kini dirindu.

 

Syair dikarang hikayat lama,

citera suri taat agama,

pada suami kasih selama,

walau berpisah akhir bersama.

 

Syair 4

TUN FATIMAH

 

Syair  dilagu  indah irama,

bermukaddimah dengan saksama,

citra sejarah tercatat lama,

hikayat sendu menggetar atma.

 

Tun Fatimah puteri jelita,

jadi lagenda diri wanita,

tabah berani semangat meta,

dugaan hidup sebab derita.

 

Berkahwin dia dengan Tun Ali

kasih suami tali temali

takdir bersama tidak sesali

sudah tersurat sejak azali.

 

Tun Fatimah anak bendahara,

ukhuwah erat saudara-mara,

saling membantu sifat ketara,

riang bersama tidak melara.

 

Sepupunya Tun Busu dan Lela Sari ,

suka bersilat setiap hari,

menerap ilmu pertahan diri,

demi menjaga akan negeri.

 

Bendahara Melaka bukan sebarang,

sifat pimpinan tidak terkurang,

apa yang salah akan dilarang,

tidak terlepas pesona orang.

 

Si Kitul itu sangat terdesak,

sering berhutang melepas sesak,

pada Mandaliar saudagar lasak,

hutangnya banyak semua gasak.

 

Kitul diarah segera bayar,

tegas berkata si Mandaliar,

tidaklah lagi mahu dibiar,

kerana dia akan belayar,

 

Kitul tentulah tidak termampu,

membayar hutang malu tersipu,

sekadar ucap kata mengampu,

tapi dikerah jadi penipu.

 

Mandaliar pun mengatur cara,

kerana dendam kan bendahara,

ingin dilunas dengan segera,

halang onarnya  dalam pesara.

 

 

Mengadu Kitul pada laksamana,

bendahara sedang atur rencana,

menjadi raja dalam istana,

walau semata fitnah pesona.

 

Konon dituduh persiap diri,

hendak menjadi sultan negeri,

merampas kuasa khabar diperi,

dan capal emas pelengkap seri.

 

 

Sembah laksamana kepada sultan,

apa cerita dengan kaitan,

sultan mendengar keterkejutan,

murkanya baginda bersangatan.

 

 

Pantas baginda lafaz perintah,

bentara akur tidak membantah,

akan laksana apa dititah,

buang segera nasi jelantah.

 

Sultan menitah hamba derhaka,

mesti dibuang dari Melaka,

waris bendahara amat celaka,

tidak ditinggal pancung belaka.

 

Tun Fatimah teramat sedih,

luka di hati teramat pedih,

marah membuak bagai mendidih,

tidak tertahan longlai meredih.

 

Sedih dirinya menanggung duka,

ayahandanya dibunuh luka,

suami juga kena petaka,

adik-beradik  mangsa puaka.

 

Sultan berkenankan Tun Fatimah,

ingin dijadikannya suri rumah,

utus lamaran dengan berhemah,

dia menolak jiwanya lemah.

 

Tidaklah mahu suami sultan,

sanggup melerai akan ikatan,

bunuh saudara yang berkaitan,

lagak begitu persisnya syaitan.

 

Lainlah pula bicara Tun Busu,

tiba ilhamnya berpusu-pusu,

cuba tegarkan jiwa yang lesu,

laksana minum segelas susu.

 

Dang Lela Sari turut membantu,

maksud Tun Busu fahami tentu,

tidak semata hanya sekutu,

tersirat kata jelas begitu.

 

Tun Fatimah dipujuk Dang Lela Sari,

sanggup menjadi hai permaisuri,

kepada sultan tonggak negeri,

permudah akan gerak mencari.

 

Mula mereka atur siasat,

dalam istana tempat berpusat,

langkah berhati terpisat-pisat,

perhati kesan tidak dikesat.

 

Tun Fatimah usaha membongkar,

mencari bukti hingga ke akar,

segala punca cari selongkar,

akhir terbukti fitnah yang pakar,

 

Tun Fatimah  yang jujur amanah,

mencari bukti usaha musnah,

di depan sultan hadap pemfitnah,

durja angkara sebab meranah.

 

Bukti nyata tak dipertikai,

Tun Fatimah pun cuba merungkai,

walau serabut berangkai-rangkai,

sukar disanggah terima pakai.

 

Sultan Melaka rasa bersalah,

menjatuh hukum pada pesalah,

penyebar fitnah gembur masalah,

setimpal dengan apa diolah.

 

Tun Fatimah permaisuri sultan,

gelaran “Tun Kudu” bagaikan intan,

tanda kasih dan penghormatan,

lambang jasanya kepada watan.

 

Tun Fatimah berjiwa kersani,

tabah ujian hati berani,

walau menangis sabar nurani,

asa dikongsi wanita kini.

 

Berakhir sudah syair digubah,

kisah ditulis tidak diubah,

musuh sebenar ditolak rebah,

sujud kepada Allah disembah.

 

Syair 5

PUTERI SAADONG

 

Tersebut sudah riwayat  silam,

menglipur lara tatkala malam,

syairkan kisah cinta mendalam,

kasihnya isteri bagai pualam.

 

 

Syair berlagu bernada sayu,,

Puteri Saadong nan cantik ayu,

jadi rebutan ramai merayu,

teruja puspa mekar tak layu.

 

 

Raja Loyar kasih dikorbankan,

kepada Wan Kembang sanggup serahkan,

tanda sahabat baiknya rakan,.

sedih berpisah tidak turutkan,

.

Raja Chinta Wangsa  dan Raja Jembal,

hubungan baik raja bertabal,

kata diputus tidak disebal,

erat bersama kuasa kebal.

 

Puteri Saadong tinggal bersama,

hidup gembira sekian lama,

dengan Wan Kembang raja ternama,

bonda angkatnya kasihnya jelma.

 

Makin dewasa makinlah cantik,

disebar citra setiap detik,

mamai jejaka hati terbetik,

bunga sekuntum  ingin dipetik.

 

Jelita puteri masyhur rata,

ke ceruk desa hingga ke kota,

sampai kepada raja di takhta,

pegun kesima terkedu kata.

 

Raja Siam yang mendapat khabar,

tidaklah lagi mampu bersabar,

cantik Saadong hati berdebar,

segera lamar hajat menyambar.

 

Raja Loyar dan juga Wan Kembang,

risau sekali menaruh bimbang,

nasib warisnya halus ditimbang,

agar masalah tidak melembang.

 

Raja Abdullah  pilihan jitu,

gilang gemilang majlis bersatu,

sudah diakad jadi menantu,

nusa Jelasin ditadbir tentu..

 

Raja Siam semakin meradang,

 menjolok mata apa dipandang,

tabuhan perang sudah digendang,

askar berpencak bersilang  pedang.

 

Rakyat Jelasin bersatu hati,

menentang Siam semangat jati,

gagah melawan tidak berhenti,

ramai terkorban dibunuh mati.

 

Akibat perang rakyat merana,

musnah Jelasin darah merona,

hancur dan lebur flora fauna,

Puteri Saadong menghiba  cakna.

 

Puteri Saadong amat pengasih,

demi rakyatnya niatnya bersih,

sanggup tinggalkan akan kekasih,

janji setia diikrar fasih.

.

 

Walau dirinya tinggal suami,

teguh cintanya kekal bersemi,

berpisah jauh berganti semi,

utuh jiwanya sabar alami.

 

Puteri Saadong menyerah diri,

walaupun sedih tidak terperi,

tinggal suami tinggal negeri,

hendak ke Siam terasa ngeri.

 

Raja gembira bukan kepalang,

hajatnya tiada yang halang,

hadir puteri dinanti jelang,

akan disambut pesta gemilang.

 

Jauh berjalan naiki gajah,

lintas sempadan tanah dijajah,

hatinya sakit bagai ditujah,

kalaulah mampu raja disenjah.

 

Tiba di Siam raja pun gering,

sakit  dadanya terpaksa baring,

mudarat kudis basah tak kering,

puas dirawat tabib pengiring.

 

Sami dan tabib mula menelah,

Puteri Saadong sebabnya olah,

raja yang telah ditimpa tulah,

hanya puteri punca masalah.

 

Puteri Saadong tulus merawat,

ubat diramu tidak terlewat,

hutan dan kebun semua lawat,

cuba sembuhkan sakit meruwat.

 

Raja yang sakit sihatlah sudah,

kerana tulah membawa padah,

tidaklah lagi sering bergundah,

izin kembali raja bermadah,

 

Raja teramat bersuka hati,

beri hadiah perkara mesti,

emas dan perak berkati-kati,

pakaian indah berpeti-peti.

 

Puteri pulang masuk istana,

luka hatinya amat terhina,

suami akur fitnah pesona,

dituduh curang di Siam sana.

 

Raja Abdullah berkahwin lagi,

setelah Saadong dibawa pergi,

berpisah lama hidup bahagi,

tinggal sendiri terasa rugi.

 

Bergaduh sungguh dengan gamatnya,

perangai buruk bukan resamnya.

raja ditikam cucuk sanggulnya,

puteri hilang bawa dirinya.

 

Ke Bukit Marak mengubat duka,

apa terjadi tidak disangka,

hancur hatinya luluh terluka,

pengorbanannya bawa petaka.

 

Ke gunung Ayam puteri redah,

turut pengiring bersama pindah,

bersatu dengan alam nan indah,

hingga akhirnya ghaiblah sudah. ,

 

 

Kisah dukanya puteri Saadong,

laksana siang dilitup mendung,

air mata basahi kerudung,

tidak terdaya hendak selindung.

 

Syair 6

PUTERI MAYANG SARI

 

Hai Mayang Sari syair karangan,

asal puteri dari kayangan,

turun ke bumi dengan layangan,

enam beradik iring-iringan.

 

Puteri kedua Mayang Melati,

wajah jelita cantik sejati,

adik-adiknya ambil perhati,

apa kehendak cuba mengerti.

 

Mayang Anggerik dan Mayang Lili,

turut bersama turun sekali,

dua puteri bermata jeli,

Mayang Kemboja juga peduli.

 

Seronok sungguh riang gembira,

bersuka-suka keenam dara,

sakat nelayan tengah segara,

ribut membadai ombak gelora.

 

Awang dan juga kawan berlima,

dalam perahu bersama-sama,

menangkap sotong ikan gelama,

cari rezeki paling utama.

 

Malanglah pula menimpa badan,

perahu oleng  karam bertindan,

gara puteri bukan teladan,

hanya mengganggu tidak sepadan.

 

Hanyut mereka ke tepi pantai,

mujur selamat maut tak intai,

hai Pawang Laut leraikan rantai,

pesona sihir puteri santai.

 

Sedarlah sudah nelayan hanyut,

nafas dihela nadi berdenyut,

walau terasa sakit merenyut,

semangat muda menjadi ganyut.

 

Awang seorang masih terbaring,

terlentang lena tidak mengiring,

segala jampi diucap sering,

belumlah kambuh akannya gering.

 

Pawang usaha untuk ubati,

harapkan Awang tidaklah mati,

sanggup bertarung tidak berhenti,

berlawan dengan Mayang Melati.

 

Mayang Melati kini sepakat,

saling membantu saudara dekat,

ukhuwah kasih lama terikat,

apa menghalang akan disekat.

 

 

Mereka tahu hal Mayang Sari,

jatuh kasihnya sudah sedari,

kepada Awang cinta diberi, 

berulit sayang menari-nari.

 

Puteri satu atas junjungan,

perhati jelas dari kayangan,

adik-adiknya yang bertarungan,

masalah apa entah gerangan.

 

Gempita laut hingga ke langit,

pertarungan yang amat sengit,

guruh berdentum begitu bingit,

berebut Awang puteri pingit.

 

Mayang Kemuning puteri satu,

layang segera arahnya tentu,

bertemu Pawang menjelma situ,

masalah rumit ingin dibantu.

 

Hai Pawang Laut buka cerita,

kisahnya Awang kini derita, 

entah di mana diri terlonta, 

puteri satu jasa dipinta.

 

Mayang Kemuning mohon maafkan,

salah dan silap yang menggeruhkan,

damai bersama menjadi rakan,

Awang dilepas dilepas dari taklukan.

 

Puteri bungsu hai Mayang Sari,

akur perintah kekanda beri,

mulalah Awang sedarkan diri, 

tidak berada di alam pari.

 

Mayang Sari sendiri bertapa,

tidak bertemu dengan siapa,

tidaklah lagi boleh berjumpa,

tinggalkan Awang jiwanya hampa.

 

 

Syair hikayat telah pun tamat,

agar menyinar gelap gelamat,

ambil iktibar sebagai hikmat,

teladan baik jadi azimat.

 

Syair 7

RADEN MAS AYU

 

Tersebut dalam satu negeri,

kisah berlaku zaman bahari,

Pengiran Agung dari Kediri,

kisah disyair membuai diri.

 

Pengiran Agung semangat waja,

akan kekanda seorang raja,

pahlawan hebat tidak mendurja,

apa dititah buat sahaja.

 

Ada yang dengki akan dirinya,

jawatan penting yang disandangnya,

adinda tiri kanda iparnya,

gemar mencari salah silapnya.

 

Hanya Dandiar kawan pengiran,

ikhlas dan tulus nyata gelaran,

sering bersama tiada jeran. 

lunak hatinya mengikut saran.

 

Pengiran Agung segak dan tampan,

ramai terpikat pandang terpempan,

hendak berkahwin entahnya kapan,

Ratu bertanya kala berdepan.

 

Hai Kanjeng Ratu adakan majlis,

dalam keraton tamu memilis,

bersukaria duka digilis,

bertatarias melentik alis.

 

Pengiran Agung tidaklah kisah,

diam sendiri mengurai resah,

duduknya jauh agak terpisah,

hanya perhati hati gelisah.

 

Tiba-tiba tersorotlah mata,

di tengah ramai rakyat jelata,

gadis nan ayu cantik jelita,

sedang menari menyeri pesta.  

 

Hati pengiran sudah tertawan,

ingin bertemu dengan rupawan,

pesona cinta menambah rawan,

rindu teramat tidak terlawan.

 

Akhir bertemu dengan Mas Ayu,

gadis penari termalu luyu,

penangan cinta mendayu-dayu,

menyulam kasih selembut bayu.

 

Pengiran Agung insan budiman,

sekian lama tidak berteman,

bertemu dengan gadis di taman,

lalu bernikah meneguh iman.

 

Murkalah juga hai Kanjeng Ratu,

nikah adinda tidak direstu,

kanda iparnya juga begitu,

apa terjadi sudahlah tentu.

 

Pengiran Agung dengan tekadnya,

pertahan akan cinta sucinya,

kekal bersama dengan surinya,

lahir puteri seri hidupnya.

 

Seri Diningrat nama pilihan,

meraup syukur kepada Tuhan,

tangisnya mersik halus perlahan,

rindu mengusik kala jauhan,

.

 

Kanda iparnya atur rencana,

tentu niatnya hendak mengena,

Pengiran Agung lalu ke sana.

memburu kijang titah laksana.

 

Berat isteri hendak lepaskan,

akan jiwanya rasa tertekan,

bagai suatu yang difikirkan,

bakal terjadi tak terdugakan.

 

Manosekoro ambil peluang,

Pengiran Agung tinggalkan ruang,

malam berlalu tinggalkan siang,

mudah olahnya melonjak riang.

 

Mas Ayu cuba pertahan diri,

Seri Diningrat anak sendiri,

dipeluk erat sambil berlari,

ditusuk keris ipar yang iri.

 

Pulanglah sudah Pengiran Agung,

lihat rumahnya bukannya panggung,

telah dibakar api memanggung.

sedihnya hati tidak tertanggung,

 

Mas Ayu suri hati tersayang,

Pengiran Agung masih terbayang,

ketika nyawa hampir melayang,

longlai terkulai terhuyung-hayang.

 

Terlalu sangat rasa kecewa,

apa berlaku meranah jiwa,

langkah di atur diri dibawa,

tinggal Kediri di tanah Jawa.

 

Jauh tinggalkan keraton watan,

lewati desa pinggiran hutan,

belayar ia tengah lautan,

lupa segala akan kaitan.

 

Menyara hidup jadi nelayan,

Seri Diningrat kasih dilayan,

sedari kecil dalam buaian,

hingga remaja tidak kerayan.

 

Suatu hari kisah berlaku,

sebab terlajak mengikut laku,

jauh melangkah buah dipangku,

Seri Diningrat dipukul kaku.

 

Tengku Halijah dan teman-teman,

sedang berada di dalam taman,

marah terlalu melilau laman,

dirampas buah dalam genggaman.

 

Raden  Mas Ayu Seri Diningrat,

telah disiksa terlalu berat,

tersalah langkah jauh melarat,

luka berdarah nyawa sakarat.

 

Sorang lelaki sedang perhati,

tepi muara naiki jeti,

gadis disiksa hampirlah mati,

menyergah dia agar berhenti.

 

Lagak gayanya orang bangsawan,

gagah perkasa bagai pahlawan,

Tengku Halijah hilanglah sawan,

takut menjerut hendak melawan.

 

Dibawa gara kepada sultan,

minta adili nan perbuatan,

menyiksa gadis yang kesakitan,

lantaran marah tiada bentan.

 

Sosok lelaki seorang diri,

ternyata dia sedang mencari,

tntah ke mana hilang puteri,

arah istana langkah hampiri.

 

Pahlawan itu terkejut sungguh,

segera sujud tidak bertangguh,

jantung Dandiar bagai direngguh

Pengiran Agung baginya jaguh.

 

Sultan merasa amatlah malu,

tingkah anaknya memang terlalu,

sanggup bertindak dengan melulu,

apa sebenar tak tentu kalu.

 

Sultan meminta salah maafkan,

Tengku Halijah sanggup nikahkan,

Pengiran Agung enggan turutkan,

kasih Mas Ayu ingin kekalkan.

 

Majlis bernikah sangat meriah,

Seri Dinigrat sayangkan ayah,

telah bersama harungi payah,

tidak siapa berani rayah,

 

Lahir Tengku Cik pengikat kasih,

putera bonda nan putih bersih,

Halijah rasa bagai disisih,

suami sayang Mas Ayu masih.

 

Tengku Halijah riak cemburu,

hatinya gundah iri memburu,

Raden Mas Ayu bingung selaru,

asyik didera bukanlah baru.

 

Ibu tirinya tiasa marah ,

anak tirinya sering diarah,

kadang dipukul hingga berdarah,

Raden Mas Ayu diam berpasrah.

 

Pengiran Agung mendapat tahu,

amarah mulai meninggi suhu,

durja isteri dirasuk rahu,

hendak ditikam terkena bahu.

 

Bahu Tengku Cik luka sedikit,

cuba menghalang marah  membukit,

mengelak bonda mendapat sakit,,

Tengku Halijah segera bangkit.

 

Laju langkahnya mengadap sultan,

mengadu akan hal perbuatan,

anakandanya yang kesakitan,

hendak dibunuh kata hasutan.

 

Murkalah sultan tidak terkira,

tiada lagi usul bicara,

Pengiran Agung hukum penjara,

dalam perigi dibuang lara.

 

Perigi buta teramat gelap,

tempat hukuman pada yang silap,

sinar tiada semua malap,

tak makan apa sehingga lelap.

 

Raden Mas Ayu duduk melengung,

ayahnya hilang dirinya bingung,

gundah gulana berdengung-dengung,

sering bertanya bagaikan tongong.

 

Pihak istana nyata sembunyi,

tidak siapa akan berbunyi,

Pengiran Agung di tempat sunyi,

melarat sakit sungguhlah kenyi.

 

Ibu tirinya mula merancang,

dan Tengku Bagus ajak berbincang,

tutup rahsia onar yang lancang,

kahwin Mas Ayu kaburi pincang.

 

Cerita itu telah tersebar,

nusa Kediri mendapat khabar,

Dandiar rentas laut yang lebar,

hadiri majlis namun berdebar,

 

turut bersama lasykar Kediri,

bersama-sama tidak sendiri,

ingin hadiri majlis kenduri,

semoga majlis bertambah seri.

 

Kepada sultan dia bertanya,

Raden Mas Ayu mana walinya,

Pengiran Agung yang dicarinya,

tidak menjawab nak diamuknya.

 

Tengku Cik lantas buka cerita,

ayahanda dalam perigi buta,

dia bertemu tika gelita,

leka bermain merata-rata.

 

Pengiran Agung dibawa pulang,

marah Dandiar bukan kepalang,

Raden Mas Ayu bersedih walang,

ayahnya uzur nasibnya malang.

 

Raden Mas Ayu merayu bonda,

mohon ampun pada ayahanda,

segala salah masa berada,

namun hatinya ihsan tiada,

 

Sombong dirinya telah bersemi,

melangkah pergi tinggal suami,

Raden Mas Ayu tidak fahami,

cuba menghalang kasih dibasmi.

 

Terjatuh dia terhentak pinggul,

tertikam pula cerucuk sanggul,

menahan sakit wajahnya sugul,

tamat riwayat puteri unggul.

 

Pengiran Agung lemah terlalu,

nafas terakhir dihembus ngilu,

derita hidup telah berlalu,

sebak Dandiar meratap pilu.

 

Mengamuk dia dalam istana,

galak memancung ramai terkena,

tinggal Tengku Cik di hujung sana,

merayu nenda jangan ke mana.

 

Garang Dandiar hatinya lembut,

kata Tengku Cik lahan disambut,

nyawanya nenda tidak dicabut,

cerahlah mendung gelap berkabut.

 

Tengku Halijah pantas melangkah,

cahaya langit menyuluh tingkah,

dipanah petir pangkah-memangkah,

maut menjemput bumi merekah.

 

Syair berkisah apa terjadi,

kasih sejati kekal abadi,

mengenal akan indahnya budi,

selagi masih berdenyut nadi.