Tuesday, November 22, 2016

PELAYARAN TUN PERAK ...

ASSALAMUALAIKUM...

PELAYARAN TUN PERAK

Pelayaran Tun Perak dari Melaka
hajat hendak singgah di Kelang
hatinya dirundung walang bukan kepalang
Ah! Alangkah sibuknya pelabuhan
dengan pendatang dari seberang
sekaliannya sudah bersiaga
merantau ke tengah kota ke ceruk desa
dengan tekad waja
sebagai perkerja.

Sedang anak negeri
mahu reformasi
bijaknya berperi-peri

Beliau mencabut destar

mindanya ligat berputar
mengimbau dengan wajar

Bukankah ada seorang pateh
yang banyak onarnya
mencipta aneka petaka
memberi celaka seorang hamba
yang dikasihi Raja
sehingga berbunuhan sesama saudara

Apakah tidak berubah

nasib Tuah ditimpa olah
angkara warga mencipta sengketa membawa padah

Beliau menggaru kepala

lantaran pening pula
risaukan ramainya penghijrah
yang mengaut emas ke dalam kantung
jumlahnya tak terhitung

Koleknya disongsong angin

firasatnya menghilir
diburu deru angin semilir

Sudah jauh kolek dikayuh

ingin pula berlabuh
di pengkalan Pangkor

Beliau melihat sebuah bahtera

di tengah segara
dan seorang cucunya sedang berurus niaga
menukar emas perak dengan tiara negara

dengan sekeping wadah janji

tidak mungkin terpenuhi
bakal dimungkiri

Ah! Mengapalah cucu itu

tidak membalik hikayat silam
tentang kesultanan Melaka yang tenggelam
kerana ada gunting dalam lipatan
kerana telunjuk lurus kelingking berkait
kerana adat tempua tidak bersarang rendah

Kenapa masih hendak mencari budi

berkeliling pelosok negeri
mengenal pasti sasaran
memusnah semua harapan
yang direncana warga sebaiknya

Mengapa tidak mahu menjadi warga yang pasrah

redha pada kalah
usah menuding penentu salah
justeru segalanya telah terserlah

Tun Perak sudah penat memikir

ingin pula beradu di taman inderaloka
biarlah pelayaran ini segera berhenti
angin pun tidak bertiup lagi
sudah mati

Kita ingin segera ke Langkawi

menulis puisi tentang cinta pada pertiwi
tentang sebuah jati diri....

nukilan

Paridah Ishak...

17 FEB 2016.

No comments:

Post a Comment