Tuesday, October 3, 2017

WAWANCARA

ASSALAMUALAIKUM..

Salam sejahtera, 
Saya Ayu dari Sinar Harian.
Tujuan ruangan IKON SENI & BUDAYA ini adalah untuk memberi peluang kepada tokoh-tokoh seni dan kebudayaan berkongsi perihal peribadi diri kepada umum selain bercerita mengenai perkembangan terbaru.
Berikut saya lampirkan soalan yang berkaitan.
Di sini, saya nyatakan soalan-soalannya. Harap dapat perhatian daripada pihak Tuan/Puan.
SOALAN:
1)    Ceritakan mengenai diri anda?
Jawapan: Saya dilahirkan di kg Dulang Kechil, Yen Kedah. Mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan Dulang Kechil Kedah dan Ulu Jempol Pahang. Peringkat menengah pula di Sekolah Menengah Yan, Sekolah Menengah Keb Maran dan Sekolah Menengah Abd.RahmanTalib Kuantan.
Mula giat menulis sejak 1976 dalam pelbagai genre. Karya eceran disiar UTUSAN MALAYSIA, PENEROKA, DEWAN SASTERA.
Setelah berkahwin meninggalkan dunia penulisan justeru kesibukan menguruskan anak-anak dan rutin sebagai generasi kedua FELDA Ulu Jempol, Pahang.
1987 terlibat dalam kemalangan jalan raya di lebuh raya Karak bersama suami dan empat orang anak yang masih kecil. Tika itu anak bongsu baru berusia 50 hari. Menyebabkan koma hampir sebulan, kelumpuhan separa dan hilang suara. Selama tiga tahun terlantar lumpuh dan upaya hidup dibantu suami, emak, ayah, adik-adik, keluarga terdekat, jiran-jiran dan kawan-kawan.  Bantuan keprihatinan amat dihargai, disanjung tinggi dan dikenang selamanya.
Kini setelah diberi Allah sedikit kekuatan mulai menulis kembali. Menaip karya di pc menggunakan tangan kanan yang berfungsi membantu semua keperluan diri seadanya. DIsamping menguruskan anak-anak yang bersekolah rendah dan menengah hingga kesemuanya tamat pengajian.
Alhamdulillah sepanjang 2016-2017 telah berjaya menghasilkan beberapa antologi cerpen bersama penulis tanah air dengan beberapa penerbitan   


2)    Bagaimana boleh terbabit dengan dunia seni & budaya? Bagaimana ia bermula? Sebab apa? Ceritakan dari awal mengenai pembabitan anda dalam bidang ini.
Jawapan: Sejak zaman persekolahan memang berminat dalam sastera dan mengikuti aliran sastera justeru tertarik dengan unsur-unsur keindahan bahasa yang terkandung dalam pelajaran sastera yang dipelajari. Selepas itu sering pula ikuti kursus penulisan anjuran DewanPersuratan Melayu  Pahang dan pernah juga ikuti kursus penulisan cerpen anjuran DBP dibawah bimbingan sifu penulisan Dr Zaharah Nawawi. Rangsangan dan dorongan kerana sering menggauli aktivitis seni sastera menebalkan minat dan tekad menceburi bidang ini. Dan sejak itu saya cuba untuk berdiri sebagai penulis walau tidak dikenali sesiapa. Soal dikenali atau tidak bukan masalah besar bagi saya. Yang penting berkarya dengan minat dan kesungguhan.
3)    Apakah pembaharuan/ kelainan yang dibawa dalam bidang yang diceburi?
Jawapan: Berhubung dengan gaya penulisan tiada kelainan yang cuba ditampilkan. Setiap penulis mempunyai gaya penulisan yang tersendiri. Pada saya mesej yang hendak disampaikan lebih utama. Menggunakan susunan bahasa yang mudah difahami amat perlu. Cuma sebagai penulis era akhir 70-an, saya masih juga meneruskan  cara penulisan gaya penulis lama. Lebih berterus terang tapi agak lunak. Disamping mengekalkan diksi-diksi yang puitis mengesankan kepada pembaca. Gaya penulisan yang selesa pada saya dan mudah dicerna.

4)    Siapa idola anda?
Jawapan: SN USMAN AWANG.
5)    Sebagai seorang penggiat seni & budaya, bagaimana anda melihat perkembangan industri seni & pada masa ini?
Jawapan: saya melihat industri seni sedang berkembang seiring dengan perkembangan  semasa dan keperluannya. Namun pendedahan kepada masyarakat khalayak, saya berpendapat perlu diperkemas lagi. Pelbagai program melalui pelbagai agensi, pertubuhan, badan berkanun, NGO dan sebagainya harus dirangka dengan lebih proaktif supaya perkembangan dunia seni terutama sastera akan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama di kawasan kampung-kampung dan taman-taman perumahan.
6)    Bagaimana pula mahu memupuk orang ramai agar meminati bidang ini
Jawapan:  Kalau ganjarannya agak lumayan jika menghasilkan karya dalam bidang ini tentu tidak susah memupuk minat generasi untuk turut sama melibatkan diri. Mungkin ramai yang berminat untuk turut berkarya dalam bidang seni sastera tapi menjadi tidak tertarik kerana imbuhan pada setiap karya agak kecil berbanding masa yang diperlukan agak lama untuk menghasilkan sesebuah karya kreatif bermutu.  
7) Pada pendapat anda, bagaimanakah industri seni & budaya mampu membentuk negara membangun dan maju? 
Jawapan: Seni itu indah dan halus. Budaya adalah sosio kehidupan. Budaya kita sejak tradisi berseni dan perlu menjati diri setiap warganya. Wajar  industri seni dan budaya dipelihara sebaiknya. Sudah tentu ianya akan mensejahterakan kehidupan kita. Kehidupan harmoni memangkin kemajuan negara.
8) Bagaimana pula industri ini dalam usaha membentuk sikap manusia?
Jawapan: industri yang terbentuk ikhlas dengan niat sedikit sebanyak peranannya mampu memberi bekas kepada sikap positif tentulah dengan karya-karya bermutu dipaparkan sampai kepada khalayak dan mudah difahami.  
9) Pengalaman menarik yang diperoleh?
Jawapan: Sentiasa dapat berkongsi ilmu tentang penulisan dll hasil garapan ilham penulis-penulis mapan prolifik atau baru.
10) Pencapaian terbesar/ hasil karya anda?Senaraikan hasil karya terutama yang mendapat respon paling tinggi.
Jawapan: 1. Memenangi tempat kedua cerpen e-sastera ASEAN dengan judul WARISAN MOYANGKU. Penyampaian hadiahnya di adakan di Cilegon Indonesia.
2.  tempat ketiga sajak berjudul BAHTERA MERDEKA DAN JALUR GEMILANG anjuran penerbitan BeTA.
11) Apakah erti persaingan bagi anda? Bagaimana anda melihatnya? 
Jawapan: Persaingan memang wujud dan menyebabkan mudah berputus asa meneruskan minat dalam penulisan. Namun jika menanggapinya positif, kejayaan pasti menyusul juga.  Isyaa-Allah. Tanpa usaha dan kesungguhan agak susah mencapai jaya. Saya menganggap persaingan merupakan satu perkara yang sihat kea rah perkembangan sastera dan susastera di Negara ini. Kita harus melihat dari sudut positif. Paling penting kita mahu memasyakatkan sastera supaya bidang ini terus hidup yang sekali gus berkembang pesat dalam arus kemodenan sekarang.
12) Apakah yang anda masih belum puas dalam industri ini?
Jawapan: Industri ini tentu tidak dapat memuaskan hati setiap  penggiatnya. Usaha masing-masing saja tanpa jemu akan memberikan hasil yang diharapkan.

13) Harapan anda?
Jawapan: Tidaklah menggantung harapan setinggi gunung. Cuma mengharapkan bidang penulisan ini ramai yang berminat ceburinya kerana tarikan dapat menjana pendapatan sampingan. Dan memeriahkan lagi arena kesusasteraan negara.
14) Sebagai seorang insan istimewa, bagaimana anda mengaplikasikan dalam bidang yang anda ceburi. 
Jawapan: Bergantung kapada-Nya saja apapun. Sekadar membaca dan menulis
karya walau setiap hari apalah sangat. Saya seorang OKU bukan kelainanan upaya tapi sangat kurang berupaya. Namun meneruskan hidup seadanya sambil mencoret suara.
p/s: Mungkin boleh senaraikan biodata diri beserta hasil karya dan emelkan sekali dengan gambar-gambar yang berkaitan. Sekian Terima Kasih.
Antara hasil karya yang telah diterbitkan.
1.
10 ANTOLOGI BERSAMA KARYAWAN Pk BANDAR BANDAR DI PERAK; GERIK, BAGAN DATOH, SELAMA, PARIT BUNTAR, IPOH, TANJUNG MALIM, BATU GAJAH, SUNGAI SIPUT, PARIT.
2.
ANTOLOGI BERSAMA SPTA (SIRI PENERBITAN TABIR ALAM): SAJAK AIDILFITRI, HAIKU PELANGI, HAIKU SAYEMBARA, SONETA ALLEGORI, HAIBUN REGIS, BERBALAS PANTUN, SERIBU SONIAN, SELOKA, CERINGKAS, MEMORI AIDILFITRI, ADIKARYA, AGRARIA.
3.
ANTOLOGI BERSAMA PENA PADU: GURU SUMBER ILHAM, TRIBUNAL CINTA, BUNGA BANGSA, PERTIWI KERSANI, HUJAN, SUARA KEKASIH, SUARA KEKASIH RINDU
4.
ANTOLOGI SAJAK BERSAMA E-SASTERA: SEKOIA
5.
ANTOLOGI SAJAK BERSAMA KATIL 21; JOM SASTERA
6.
KARYA-KARYA ECERAN:
CERPEN GANDARUSA, SAJAK EMBUN DI HUJUNG DAUN, KUMBANG BERTANDUK HITAM; UTUSAN MALAYSIA.

6.1
SAJAK MENDAKAP RAMADAN; NEW SABAH TIMES.

6.2
SAJAK MENGURAI KEBENARAN, MELAYU MERDEKA BARU ; SINAR HARIAN.

6.3
PANTUN PERBIDALAN; DEWAN BUDAYA DBP

6.4
PANTUN PERIBAHASA; PELITA BAHASA DBP

6.5.
SAJAK AURUM SINAR MENTARI; DEWAN MASYARAKAT DBP

6.6
HAIBUN JIRAN; GEMA KARYAWAN Pk.

6.7
2 SLOT ADILA; RTM/KLASIK FM
6.8
CERPAN ANGGERIK MENANGIS; PTS
6.9
CERPAN PULANG; FUFU TERBIT.


-END-

No comments:

Post a Comment