Monday, December 31, 2018

ANEKDOT


ANEKDOT

Certot

Oleh

Paridah Ishak

 

KEBENCIANKU

 

Kelemahanku merupakan kebencianku. Seolahnya aku membenci diriku sendiri. Sepatutnya aku menyayanginya sepenuh hati. Dan menghargai diri tanpa perlu dipertikaikan apa saja kelemahannya. Wajar  menerima apa saja kondisi diri seadanya. Bukan sama sekali membencinya.. Kehidupan  itu anugerah Allah terindah untuk hamba-hamba-Nya. Wajib mensyukurinya.

            Tapi semua kelemahan yang memenjarakan kecergasanku menjadikan aku pesimis dan hilang asa hidup. Segalanya berlaku ekoran tragedi kemalangan yang menimpaku suatu waktu dahulu. Lantaran itu aku kehilangan kebanggaan diri yang dimiliki. Tenaga  dan upaya diri sangat minima. Aku tidak lagi boleh menolong diriku sendiri. Apalagi bergerak ke mana hala menunaikan tujuanku. Benci! Benci! Kelemahanku menjadi masalah kepadaku. Juga keluargaku. Benci sungguh. Kemusykilan menyilarati minda kecilku.

Semua keperluanku terpaksa dibantu suami, ibu bapa, anak-anak, adik-adik dan akhirnya cucu-cucu juga. Masa pantas berlalu bersama kebencian yang tidak pernah pupus wujudnya dalam atmaku. Cucu-cucuku lahir dan membesar di samping nenda mereka yang hanya mampu memandang mereka dengan renungan kasih. Sejak mereka lahir mereka sudah kenali nenda mereka seorang bisu. Tapi sesekali lontaran suaraku walau tidak jelas sebutannya mampu mereka menafsirkan maknanya.

            Celoteh dan kerenah mereka membahagiakanku. Hatiku menjerit sakit kala melihat anak-cucuku sakit atau ditimpa malang kerana menyesali akan diriku yang tidak dapat membantu suatu apa. Aku amat terkilan kerana aku tidak mampu menjalankan tanggungjawabku sebagai ibu yang sempurna kepada anak-anak dan nenda kepada cucu-cucu yang mengharapkan aku melindungi mereka. Tapi menjadi sebaliknya pula. Mereka pula yang terpaksa menjaga maslahat dan kebajikan nenda mereka yang kurang upaya ini.

            Menyusahkan sesiapa saja adalah kebencianku. Namun hakikat yang tidak sama sekali kugemari melestarikan hayatku bersambung insya-Allah. Aku hanya reda mengikut arus takdir yang menolakku ke garis penamat ketentuan-Nya.

Aku suka berkebun. Tanaman yang tumbuh membuahkan hasil menggembirakanku. Aktiviti itu hanya tinggal kenangan. .Catatan  kenanganku tersimpan dalam diari. Kala menyelak membacanya aku diulit sedih. Aku benci untuk membaca lembar kenangan itu.

 


#ANEKDOT 1
HANTU NASI KANDAR

Umairah  mengajak aku berjalan-jalan ke tengah kota KL membeli beberapa keperluannya. Setelah mendapat  apa yang terasa ingin dibeli, perutku berkeroncong pula.


“Jom kita pekena nasi kandar kat restoran tu.”

Umairah mengangkat mukanya mengadap aku. Aku perasan selama aku mengiringnya berjalan dia menunduk saja, tidak memperhatikan kiri kanan. Apa masalahnya? Sakit tengkok kot! Ish! Aku mengagak saja.

“Mana kedainya?”

“Tu!”  Kelihatan ramai yang berpusu-pusu ke situ. Agaknya makanan yang dijual di situ tentu tersangatlah sedapnya.

“Ish! Taknaklah ke situ…”

“Kenapa pula?”

“Hisyh! tak mahu aku! Kau tak nampak lembaga besar, hitam berbulu duk tolak orang masuk ke situ.”

“Ishh! Mana ada! Aku tak nampak pun.”

 “Aku Nampak!  Kau tentu perasan kenapa aku jalan menunduk saja. Sebab di sini ramai benda tu. Tak sanggup aku nak jeling pun.”

Ungkapan  Umairah serta-merta meremangkan romaku.

Aku percayakan kata Umairah bukan kerana dia kawan baik aku tapi kerana peribadinya yang sangat baik. Tidak tinggal solat, sering baca alquran juga. Lagipun kita berkongsi alam dengan keujudan ciptaan Allah yang lebih halus dan tidak mampu dilihat mata kasar.

“Kau tentu pernah terbaca di akhbar,  najis ditemui di restoran nasi kandar kan!”
“Hmm apa kaitannya tu?”

“Mestilah ada kaitannya. Segala najis dan tulang-tulang adalah makanan sepsis tu.”

Meloya tekak aku mendengarnya. Terus mati seleraku nak makan nasi kandar.

Mujur aku tidak dianugerahi  pancaindera ke enam yang terus mata seperti Umairah. Sebab aku ni penakut. Kalau terpandang mahu demam tak kebah.

ANEKDOT #2

SALAH SANGKA

Seorang wanita sebaya emaknya kelihatan kalut dan gelabah sekali tika dia dan temannya menghampiri gerainya.
"Tolonglah cik...janganlah roboh gerai saya...saya baru saja buat gerai ni nak berniaga. Saya orang susah cik...anak-anak ramai yang nak disara!"

Dia dan kawannya berbalas pandangan. Tersenyum pula.
"Kenapa kak? Jangan risau...kami ni bukannya pegawai DEWAN BANDARAYA yang datang nak meroboh gerai kak. Kami ni dari UPM Serdang buat kajiselidik sikit tentang alam sekitar kat kawasan pinggir bandaraya ni. Dah penat berjalan menemuramah orang tekak pun rasa kering...itu yang kami berdua singgah kat gerai akak ni."

"Begituke! kak ingatkan awak semua orang-orang DEWAN BANDARAYA tadi...hati dah tak sedap. Bimbang saja gerai kak kena roboh!"

"Kenapa kak risau sangat dengan orang-orang DEWAN BANDARAYA...kak tak ambil lesen berniaga kat sini kot?"
Lirih suara Firdaus ketara sambil melabuhkan ponggongnya di atas kerusi pelastik yang tersedia di situ. Zaliza turut duduk di kerusi bersebelahannya.                                       
"Kita nak berniaga mestilah mohon lesen berniaga kan. Dah banyak kali dipohon...tak adapun jawapannya. Banyak sungguh kerenahnya. Kita ni nak cari rezeki halal...nak hidup. Bukannya nak mencuri...itupun jadi masalah." Wanita itu melepaskan rungutan tentang tidak kesetabilan hidup yang melengkunginya kini.


ANEKDOT #3  
SUATU SISI KAMPUNG FELDA

Kebiasaannya  pada waktu petang menjelang senja, para suri  rumah di tanah FELDA kampungku akan berkumpul sambil bersembang ringan. Ikut   istilah kini disebut ‘membawang.’

"Berapa banyak pendapatan bulan ni Idah?"
"Adalah sikit...kadang dua ribu kadang tiga kadang 4. Ikut jumlah tan buah sawit yang dikait dan harga semasa di pasaran."
Idah bercakap dengan arif sesuatu yang diketahuinya pasti sebagai penerokawati.

"Kau ladang serah pada felda pertanian kan? Berapa yang felda bayar?"
"Adalah seribu...dulu tu felda bayar dekat 1500...la ni felda dah takde duit. Kita nak urus sendiri kita pun tak daya. Lainlah kau ada suami yang rajin uruskan ladang."

"Cukuplah tu kau duduk saja je...tiap bulan duit masuk...lagipun nak buat apa duit banyak-banyak kan...hih..hih..."


'Duit banyak nak buat apa? Duit seribu cukup ke nak berbelanja sebulan. Tambah dengan kenaikan harga barang yang melonjak setiap hari.'  Suara hatinya mengiring senyum tawar. Kak Sah  pula mencelah suara dengan lorat Penangnya.
"Aku nak cerita kat hampa ni...hampa jangan cerita kat orang lain pulak!" Kedua-dua rakan sejiranan tersengih saja tanpa mengaku apa-apa.


"Cerita apa tu sampai kak Sah beria berpesan gitu..."

"Hampa tau sebenarnya bakal menantu Ani tu bukannya peguam...takdak kerja apapun!"
"Mana kak Sah tau? Pandai-pandai jer bawa cerita!" Soal Idah yang memang rapat dengan Ani ragu.
"Aku tahulah...anak saudara aku bukan ke berkawan dengan budak tu!"


"Ishy nampak bergaya je dengan kereta besar takkan takde kerja!"
"Bergaya dengan kereta pinjam!" balas kak Sah sinis.
                 

Di suatu hari.

"Apa yang riuh-riuh kat rumah kak Sah malam tadi?" Ina bersuara.
"Ani dan anak beranaknya bertengkar dengan kak Sah, katanya kak Sah cerita bukan-bukan tentang bakal menantunya..."
"Mesti sebab kau yang sampaikan pada Ani cerita kak Sah hari tu kan!"

Idah tersengih saja.
'

ANEKDOT #4
ARTIS KAMPUNG

"Cantiknya artis ni! siapa ya?" Pancaindera kembaran akhbar Mingguan Malaysia direnungnya tajam seakan mahu tembus.

 "Kan ada tertulis namanya dan ceritanya tu!"balas temannya.
"Eh! dia ni kan anak Pak Haji yang tinggal kat hujung kampung kita tu kan?”

"Ialah kot!" jawabnya ringkas.

 "Wah! dah jadi artis terkenal dia...orang kampung kita tu...bangga juga ya!" dia tersenyum senang sebelum menambah dengan pertanyaan yang menyebabkan rakan bicaranya terpanggung.

 "Macam mana tiba-tiba boleh jadi artis? dia ni rajin sangat berulang solat di masjid...tup tup boleh berlakon filem pula."

 "Apa salahnya...berlakon itu kerjaya dia...bersolat beramal ibadat itu memang wajib sebagai tuntutan agama...pegangannya tentu masih kekal di hati sebab dia pernah kata kat aku...takkan beriman seseorang itu sekiranya hatinya tidak gentar kala nama Allah disebut!"

"Hebat tu...rupanya kau kenal dia."
"Mestilah kenal kan sekampung dengan kita." Dan hatinya terkenangkan nasib malang artis itu yang dianggap sebagai adiknya sendiri.

 Artis f dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarganya. Diterimanya dengan reda walau terpaksa melupakan kekasih hatinya seorang guru yang dicintai sungguh.

Berkahwinlah dia dengan meriah menurut adat dan hukum. namun tidak lama kekalnya. Beberapa bulan saja.

Suaminya yang sering berketayap dan berjubah itu boleh tidak serasi pula dengan isterinya yang cantik ayu itu.

Setelah sah bercerai dia kembali menjalin hubungan dengan mantan kekasihnya. tapi tidak lama juga kerana dia menyedari kekasihnya itu mencuranginya,
Kini memperjudikan nasib sebagai artis filem bergandingan dengan aktor aktress terkenal.

‘Isyh dia ni buat-buat lupa pula yang adik dia merampas kekasih artis ini.’ Gumamnya dalam diam.

ANEKDOT #5

MUSANG BERJANGGUT

"Kenapa kau tak jadi kahwin dengan dia? Pelik juga aku! alih-alih kawan baik kau pula yang ganti tempat kau!"
"Saja...maknanya tak ada jodohlah tu!"

"Mana boleh saja-saja. Bukankah kau dah plan elok-elok nak kahwin. Siap bawa dia dan maknya pergi dating lagi..tup...tup..kawan yang kau selalu bawa bertandang ke rumah dia pula yang dikahwininya. Mesti ada sesuatu yang tak kena ni. Cuba cerita sikit kat aku."

"Mak ayah dia memang setuju aku dengan anaknya tu. Cuma aku minta tangguh masa nak masuk minang sebab nak kumpul duit dulu. Aku kan cuma kerja bawa lori je ...bukannya kaya raya atau anak orang kaya."

"Mak ayahnya tentu tak setuju sebab itu dikahwinkannya anaknya dengan kawan kau kan!"

"Bukan begitu. Rupanya kawan aku pun suka dengan makwe aku tu. Jadi sebab nak tarik perhatian mak ayah dan makwe aku dia reka cerita yang dia ni anak raja yang menyamar, datang ke sini nak menyiasat sebuah perbadanan kerajaan di sini."

"Gitu pulok! bukankah kau kata kawan kau tu anak sinun yang sekampung dengan kau?"

"Entahlah...aku pun tak faham...tiba-tiba boleh bertukar jadi “musang berjanggut” pulak!"

"Dan mak ayah makwe kau pun teruja nak bermenantu waris raja; kau ditolaknya!"
"Hmmm......"



4 comments:

  1. kereen kak artikelnya, mampir2 ke blog saya juga yaa

    ReplyDelete
  2. Dekat Perlis pun ada kedai macam tu, ada ustazah nampak

    ReplyDelete
  3. TKSH ZUMAL YA ORG BISNIS NK UNTUNG BANYAK PELBAGAI CARA DIGUNA

    ReplyDelete