Sunday, December 12, 2021

CATATAN MAISARA

 

RANCANGAN: PANGGUNG DRAMA.

PENERBIT:        ZURAIDAH MOHD NOR.

TAJUK:               CATATAN MAISARA

PENULIS:          PARIDAH BINTI ISHAK.

ALAMAT:          NO.7, JLN 7F, DESA  MELOR, SERENDAH, SELANGOR.

K/P:                    

HP/ E-MEL:        019-2525742 / paridahishak@gmail.com

AKAUN BANK:       162553086206 (Maybank). 

 

 

                           

PELAKON:        1. …………………………..........sebagai .Maisara

                            2…………………………........... sebagai .Azim

                            3…………………………........... sebagai .Emak

                            4…………………………........... sebagai .Faiz

                            

                           

EFEK:                 1. SUARA BUALAN RAMAI

2. BUNYI AKHBAR DISELAK

                            3. BUNYI PINTU DIBUKA

                            

                           

 

SINOPSIS:         

Maisara bersedih meratapi perpisahan yang terjadi antaranya dan Azim. Suaminya itu   menceraikannya setelah sebulan bernikah. Emaknya cuba menenangkannya dan menasihatinya. Maisara mulai melupakan kesedihannya dengan menulis pelbagai karya yang diminatinya. Hasil karyanya memunculkan namanya antara penulis yang dikenali.

Faiz salah seorang peminat tulisan Maisara bertemu dengan penulis kesukaannya itu di Pesta Buku Antara bangsa KL. Dia membeli beberapa buah buku daripada Maisara dan menghadiahkan kepada Azim rakan serumahnya. Azim memperlekeh minat Faiz terhadap sastera sedangkan mereka berdua ialah arkitek dan bidang mereka jauh berbeza dengan sastera. Faiz tidak pedulikan komen rakannya yang kini sangat intim berkawan mesra dengan Erin..dia sering menegur tingkah rakan yang dianggap menyalahi aturan agama Islam sehingga menimbulkan pertengkaran.

Azim teringin mengetahui siapakah penulis kesukaan Faiz lalu membelek buku yang dihadiahkan Faiz kepadanya. Dia terkejut kala mengetahui penulis itu ialah Maisara. Hatinya rusuh dan enggan melepaskan Maisara kepada sesiapa walaupun mereka telah setahun bercerai. Segera dia bergegas menemui Maisara dan emaknya untuk menyatakan hasratnya rujuk semula kepada perkahwinan antaranya dan Maisara. Mentuanya menyerahkan kepada  Maisara akan keputusannya.


GRAM:                   MUZIK PENGENALAN.

JURUHEBAH:        Panggung drama dengan kisah “CATATAN MAISARA” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor. “CATATAN MAISARA”.

 

GRAM:                   MUZIK.

EMAK :                   (SUARA MEMUJUK) Sudahlah Mai! Banyak-banyaklah bersabar. Bukan kamu minta semua ini terjadi. Tapi dah ditakdirkan terjadi, terpaksalah diterima. (PAUSE) Kalau kamu rasa sedih dan malu, mak ni lebih lagi. Kamu fikir mak tak sedih dan malu bila orang keliling kelalang sibuk mengata anak mak yang baru kahwin sebulan dah jadi janda! Mak kena hadap semua tu dengan sabar dan tabah. Takkan mak nak pergi maki semua orang yang mengata anak mak!

MAISARA:             (MENANGIS) Kenapalah abang Azim tinggalkan Mai mak! Apa salah Mai? Apa dosa Mai mak! Kalau dia tidak sukakan Mai, kenapa dia tidak putuskan saja pertunangan kami dulu. Ini setelah kami berkahwin ditinggalkannya Mai dengan surat cerai yang dikirimnya melalui syarikat guaman. Kenapa mak! Mai  langsung tidak bermakna bagi dia. Hancur berkecai hati Mai. Harga diri Mai diinjak-injak bagai kain buruk, mengelap kaki. Mai tidak faham tujuannya memperisterikan Mai! (SUARA TINGGI) Pening! Pening! Mai stress mak (MENANGIS) Mai macam dah nak gila!         

EMAK:                    (MEMUJUK) Sabarlah Maisara! Istighfar banyak-banyak. Ingat Allah. Bawa bertenang. Semua yang berlaku dengan izin-Nya. Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukannya. Perancangan Allah itulah yang terbaik. Kita tidak tahu rahsia-Nya. Tentu ada hikmah-Nya. (PAUSE) Mai dan Azim berpisah sebelum beranak-pinak tentu akan memudahkan Mai menguruskan hidup. Jikalau anak dah berderet tiba-tiba bercerai pulak tentu besar masalahnya.                                                                                                            

MAISARA:             (MENANGIS) Kenapa abang Azim buat gitu kat Mai, mak!

EMAK :                   Entahlah Mai! Mak ni tak reti nak baca hati orang. Mak nampak Azim orangnya elok saja. Baik budi bahasanya. Hormat orang tua. (PAUSE) Bila dia menceraikan anak mak tiba-tiba, mak pun terkejut. Mak pun tak faham kenapa jadi gitu dan apa masalah kamu berdua. Lepas kahwin seminggu dia hilangkan diri, tup tup mak dengar kamu menjerit kata dia dah ceraikan kamu. Mudahnya kamu berdua bercerai hanya dengan sekeping surat. (PAUSE) Kamu berdua kan dah lama berkawan sejak sekolah menengah hingga universiti. Tapi apa nak dikata lagi, jodoh yang tersurat antara kamu dan Azim cuma sebulan. (PAUSE) Kamu berhentilah menangis meratap. Jika niat hatinya hendak menganiaya kamu, biar Allah yang membalasnya. Tak guna kamu di sini menangis sedih, sedang dia di sana ketawa gembira. Jangan menyiksa diri. Berdosa tu!

MAISARA:             Saya minta maaf pada mak…disebabkan saya jiran-jiran dan saudara mara kita mengata mak! Mereka tentu mengatakan saya perempuan tak baik…sebab tu ditinggalkan suami sedangkan baru sebulan berkahwin. Saya minta maaf kerana tidak dapat memberi mak sorang menantu yang baik.

EMAK:                    Usahlah difikir tentang semua tu. Mak ni, soal umpat keji orang ni mak tak ambil peduli sangat. Mereka bukan faham masalah kita. Bila mereka dah puas bercakap, mereka berhenti. (PAUSE) Mak cuma risaukan kamu. Asyik berkurung diri dalam bilik, meratap tangis tak henti macam hilang punca.  Kena ingat juga, jika Allah ambil sesuatu dari kita, insyaaAllah akan Allah gantikan dengan  yang lebih baik. Yakinlah.

MAISARA:             Terima kasih mak! Hanya mak yang faham masalah Mai. Mujur mak ada di sisi Mai…dapat Mai sandarkan apa saja masalah Mai di bahu mak!

EMAK:                    Mak ni dah tua Mai! Tidak selamanya Mai dapat sandarkan masalah Mai di bahu mak. Mai kena kuat semangat dan yakin dengan kemampuan diri. Anak mak ni bukan lemah orangnya. Sudahlah! Apa yang telah berlaku Mai anggap saja pengalaman pahit. Walaupun pahit terpaksa ditelan juga. Pahit kan ubat! (PAUSE) Mai cuba lupakan semua tu dengan buat sesuatu yang melekakan Mai. Kamu pun dah lama bercuti kerja. Pergilah ke pejabat semula.

GRAM                     MUSIK

EMAK:                    (SUARA TINGGI) Mai! Mai! (MONOLOG) Apalah yang dibuat Maisara dalam biliknya tu, sampai aku panggil pun tak menyahut. Haraplah dia tak meratap hiba mengenangkan Azim lagi. Biar aku tenguk dia di biliknya. (PAUSE) Apa kau buat Mai! Sampai puas mak panggil kau tak jawab. Risau hati mak tau! Ini mak belikan surat khabar untuk kau.

MAISARA:             Maaf mak! Mai tak perasan mak panggil Mai. Ralit Mai menaip karya di lap top ni. Mai ikut cakap mak, isi masa dengan kerja yang berfaedah. Sementara Mai masih cuti lagi Mai cubalah menulis karangan. Dulu Mai memang suka menulis. Tapi dah lama tinggalkannya sebab sibuk belajar. (PAUSE) Terima kasih mak, belikan Mai surat khabar. Tadi memang teringat juga nak pesan kat mak tolong belikan. Sebab terlalu seronok menaip jadi terlupa pula!

EMAK:                    Baguslah Mai! Mak bersyukur kepada Allah kerana Mai sudah berubah sikap. Tidak lagi seperti dulu. Hidup kita ni singkat saja Mai. Masa sangat cepat berlalu. Kalau tidak diisi dengan perkara berfaedah, tentu merugikan.

EFEK BUNYI SURAT KHABAR DISELAK  

MAISARA:             (TERUJA) Mak tenguk ni! Surat khabar ni siarkan cerpen Mai! Alhamdulillah! Tak sesia usaha mai berkurung dalam bilik menaip saja selama ni. Ada juga hasilnya..

EMAK:                    (TERUJA) Mana? Bagi mak tenguk! Oh ...RANJAU KASIH ni cerpen Mai yang tulis ya? Tapi penulisnya MIA FAZLIANA bukannya Mai.

MAISARA:             (GELAK SEDIKIT) Nama samaran mak!

EMAK:                    Oh! Tajuknya mengingatkan mak pada novel Sasterawan Negara; Shahnon Ahmad, RANJAU SEPANJANG JALAN.

MAISARA:             (GELAK SEDIKIT) Ambil sikit aura Sasterawan Negara mak!

EMAK:                    Suka hati kamulah Mai! Asal kamu bahagia.

MAISARA:             Mana tahu suatu hari kelak dapat gelar Sasterawan Negara! (KETAWA) Anak mak juga!

EMAK:                    Iyalah tu! Tak salah kamu nak berangan. Tapi usahalah.

GRAM                    MUSIK

FAIZ:                      Aku nak ke pesta buku antara bangsa di PWTC! Jom temankan aku       ke sana!     

AZIM:                      Kau nak buat apa ke sana?  

FAIZ:                       Kau ni buat tak tahu pulak! Kalau ke pameran buku tentulah nak beli buku. Banyak buku yang aku cadang nak beli. (PAUSE) mana tahu kot ada jodoh bertemu dengan penulis novel “Catatan Maisara” yang cun melecun tu (GELAK SEDIKIT)

AZIM:                      Oh…ada niat lain juga ya! Patutlah beria-ia hendak ke pesta buku. Ada hati nak bertemu penulis terkenal.. (PAUSE) Eh siapa nama penulis yang sudah buat kau gila bayang ni? (KETAWA)

FAIZ:                       Mia Fazliana! Kau kenal ke?                                                                                   

AZIM:                      Entah! Tak pernah dengar pun. Penulis baru kot..

FAIZ:                       Itulah kau! Malas membaca akhbar dan majalah, medsos, dah kau    ketinggalan zaman. (PAUSE) Dia ni penulis prolifik yang sudah ada nama tau! Kau sorang saja yang tak kenal.                                            

AZIM:                      Tak rugi apa pun kalau aku tak kenal orang sastera yang banyak berkhayal untuk menulis apa saja. Lagi pun sekarang ni berlambak-lambak penulis yang mengaku dirinya penulis. Padahal entah apa-apa yang ditulisnya.

FAIZ:                       Amboi! Sedapnya mulut kau mengata. Kata orang kalau tak kenal maka tak cinta. Kalau kau kenal penulisnya aku rasa kau yang akan gila bayang.

AZIM:                      Rasanya tidak kot! Aku kan dah ada Erin! Dialah satu-satunya buah hati pengarang jantung aku. Dah tak ada masa aku nak angau, gila bayang lagi. Bayang Erin dah aku genggam. (GELAK) Nampaknya kaulah yang akan terus kejar bayang penulis sapa? Miiiya Fazliana. (KETAWA) 

FAIZ:                       Seronoknya kau gelakkan aku ya! Kalau ada jodoh aku bertemu dengan penulis tu Insyaa-Allah…kau jangan putih mata memandang. Mula-mula tu berkawan dulu! Kut ada jodoh kahwinlah! Aku tak mau macam kau, berkepit ke hulu ke hilir dengan Erin. Tapi masih tak kahwin-kahwin! Entah bila nak kahwinnya (PAUSE) Apa masalahnya tak tahulah aku. Kau dan dia bukan mahram tau. Berdosa jalan berduaan. Renti-rentilah buat maksiat Azim!

 AZIM:                     Wah ustaz dah mula ceramah ya! Terima kasih banyaklah ingatkan, aku. Erin dah tunggu aku tu. Aku pergi dulu ya! Selamat bertemu dengan penulis idaman.(GELAK  SEDIKIT) Kalau kau dapat selfie dengan penulis tu jangan lupa tunjuk kat aku ya!

FAIZ                        Berambuslah cepat!        

GRAM                     MUSIK:

EFEK SUARA PERBUALAN

FAIZ::                      Assalamualaikum! Apa khabar? Saya Faiz.  Cik ni Mia Fazliana, penulis novel ini kan!

MAISARA.             Waalaikummussalam! (TERGAGAP) Err..ya! ya! (MONOLOG) Cam mana aku boleh terlupa aku ni Mia Fazliana. Konon nak menyamar, mujur tak kantoi!

FAIZ:                   (MONOLOG) Wow memang cantiklah penulis ni. Suaranya pun lunak merdu. Rasanya aku dah jatuh cinta pandang pertama ni! Jantung aku ni berdegup tak renti pulak.                                                            

MAISARA::           Err.. Encik Faiz! Encik nak beli buku ya! Pilihlah yang mana encik nak.        Banyak buku terbitan baru di reruai kami.

FAIZ:                      (TERGAGAP-GAGAP) Er..ya! ya! Panggil saya Faiz saja! Tak payahlah nak berencik-encik. Saya pun bukan sesiapa.

MAISARA:             (MONOLOG) Suka hatilah kaulah Faiz. Asalkan kau beli buku-buku yang aku jual ni.                               

FAIZ :                      Okey! Saya nak beli buku yang saya pilih ni, sepuluh buah semuanya.                        

MAISARA:             Alhamdulillah! Banyak buku yang saudara nak beli. Terima kasih sudi menyokong usaha penulis kecil seperti kami.

FAIZ:                       Setiap karya yang ditulis dengan baik tentu tidak ternilai harganya dan memberi kepuasan kepada yang membacanya. (PAUSE) Lagipun menulis novel atau lain-lain karya kreatif bukannya mudah. Mengambil masa nak siapkannya.

MAISARA:             Ya memang betul kata saudara tu! Menulis ni tidak ramai yang suka buat, walau kebanyakan kita memang tahu menulis sejak kecil. Hanya sebilangan saja yang menulis dengan fokus.                                           

FAIZ:                       (GELAK SEDIKIT) Hendak menulis pun perlu ada bakat juga kan! Kalau bakat tak ada tentu caca-marba jadi rojak apa yang ditulis. Huru-haralah dunia sastera.. 

MAISARA:             Hmm…nampaknya saudara juga berminat ikuti perkembangan dunia sastera!

FAIZ:                       Saya suka membaca saja. Terutama karya yang cik Mia tulis!

MAISARA:             (MONOLOG) Ada juga peminat aku! Uish rasa macam artis le pulak! Sabar Mai! Jangan cepat tak sedar diri…hih..hih… .

FAIZ:                       Eh tertawa pulak! Salahkah apa yang saya kata tu!     

MAISARA:             Maafkan saya! Sebenarnya saya rasa terharu sangat bila saudara kata minat dengan tulisan saya. Alhamdulillah. Hmm (PAUSE) saudara tak minat menulis ke! Cuba-cubalah!                                                                                        

FAIZ:                       Saya ni menulis tak pandai. Tapi suka membaca dan melukis! Melukis pelan!

MAISARA:             Oh arkitek!

FAIZ:                       Macam cik Maisara juga.

MAISARA:             Saya penulis bilis saja. Bukan arkitek.

FAIZ:                       Tak payahlah nak merendah diri sangat! Saya dah baca biodata diri cik Mia dalam novel tu!

GRAM:                   MUZIK

EFEK:     PINTU DIBUKA

AZIM:                      (SUARA TINGGI) Oi Faiz! Apa kau buat di sini masih tak tidur lagi! Kau tenguk tv atau tv tenguk kau? Tunggu aku balik ke? (PAUSE) Kau jangan risau aku tak lupa bawa kunci rumah.

FAIZ:                       (SUARA PERLAHAN) Tak ada pasalnya aku nak tunggu kau! Kalau kau tak bawa kunci, kau tidurlah kat luar. Tak ingin aku nak buka pintu! Entah ke manalah kau merayap dengan Erin, sampai dah larut malam baru balik.

AZIM:                      Biasalah. Kan malam ni malam minggu. Malam untuk dinikmati dengan gembira. (PAUSE) Aku bukan macam kau, tau berkurung saja dalam bilik walau malam minggu.                

FAIZ:                       Bawa-bawalah bertaubat Azim! Kita ni nak mati tak kira usia.                                                                                                                                                          

AZIM:                      Kau ni Faiz, pantang Nampak muka aku ada  sajalah yang kau tak puas hati. Renti-rentilah bagi ceramah kat aku. Kau  tu arkitek. Bukannya ustaz.                   

FAIZ:                       (SUARA PERLAHAN) Aku suka tegur salah silap kau sebab kau kawan baik aku. Aku sayang kat kawan baik aku. Tapi kalau tak suka aku minta maaf. Lain kali aku tak tegur lagi. (PAUSE) Aku masuk tidur dulu. Tadi aku ke PBAKL dan beli sebuah novel untuk kau. Kau bacalah.                        

GRAM                     MUZIK

AZIM:                      (MONOLOG) Novel apalah yang dibeli Faiz untuk aku ni! Tapi mata aku ni susah pula nak lelap. Elok juga aku baca bed time story untuk diri aku sendiri! Heh! Heh! Alahai mengantuklah pulak. Lain kalilah baca.

GRAM                     MUZIK                            

AZIM:                      Kau nak kemana pula melawa sakan nampak?

FAIZ:                       Ke PBAKL!

AZIM:                      Aik semalam kan dah pergi! Banyak lagikah buku yang kau nak beli?

FAIZ:                       Adalah hal aku! Toksahlah kau susah-susah fikir. Kau fikir saja tentang Erin kau tu!

AZIM:                      (MENGUSIK) Aku rasa mesti kau nak pergi jumpa penulis tu lagi kan! Jumpa sekali tak puas ya! (PAUSE) Nampaknya memang kau dah jatuh hati dengan penulis tu!

FAIZ:                       Entahlah Azim! Aku pun tak faham dengan hati aku. Semalam aku terlupa nak minta whatsapp dia. Kali ni kalau dia masih ada kat sana, aku nak cuba minta. Senang kalau adahal apa-apa nak bagi tau. (PAUSE) Mana tahu kalau ada jodoh aku dengan dia senang aku nak minta kau pergi tolong minang untuk aku. (KETAWA KECIL)

AZIM:                      Okey je setakat nak tolong pergi minang tu! Pergilah buat temu janji dulu. Jangan kau sorang yang perasan, mabuk kepayang sudah!

GRAM                    MUZIK

AZIM:                      (MONOLOG) Siapalah penulis pujaan hati Faiz ni ya? Teringin juga hati nak tahu! Hish..tak payahlah aku  nak sibuk fikirkan hal dia. Baik aku masuk bilik, tidur. Rasa mengantuk pun tak habis lagi. Sebelum tidur bolehlah aku baca novel yang diberi Faiz semalam. (PAUSE) Haa..ini pun novelnya “Catatan Maisara”. Maisara? Hmm Nampak macam menarik! Penulisya Mia Fazliana. Oh inilah rupanya penulis kegilaan Faiz ni. Mungkin kat sebelah dalam ada gambarnya. (TERKEJUT) Apa?  Kau gilakan Maisara Faiz  (PAUSE) Tak boleh jadi ni!  

GRAM                      MUZIK

AZIM:                      (SUARA TINGGI) Assalamualaikum mak, Maisara

EMAK:                    (HAIRAN)  Eh...kamu Azim! Naiklah! Lama mak tak jumpa kamu. Mai tak ada. Dia ke pesta buku di KL. Sekejap lagi baliklah kut!    .

AZIM:                      (MENANGIS) Maafkan saya mak sebab menceraikan Mai. Saya pun tidak faham kenapa saya bertindak bodoh menceraikan isteri sebaik Mai. Saya dah buat kesilapan besar yang saya sendiri tak boleh maafkan!

EMAK:                    (SUARA LEMBUT) Sudahlah Azim. Usahlah kamu menyesal dan bersedih. Kamu dan Maisara pun sudah bercerai. Setahun lamanya kalau tak silap. Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Kamu bahagia dengan cara kamu. Mai pula dengan hidupnya

AZIM:                      Saya menyesal sangat dengan kesilapan saya mak! Biarlah saya tebus semua dosa saya selama ni pada Mai dan mak!

EMAK:                    (HAIRAN) Apa sebenarnya maksud Azim kata begitu? Mak tak faham! Cuba jelaskan!                                      

AZIM:                      Saya nak rujuk semula dengan Mai mak!

EMAK:                    Oh! Mak rasa soal tu Azim kena bincang dengan Mai. Mak ni sebagai orang tua akan setuju saja demi kebaikan kamu berdua.

AZIM:                      Tapi mak sokonglah saya. Mai anak mak, tentu dia patuh cakap mak!                     

EMAK:                    Mai memang anak mak. Tapi mak tak pernah paksa dia dengar cakap mak. Dia kan dah dewasa. Bukan budak kecik lagi. (PAUSE) Tapi mak nak tahu juga, apa salah Mai, sampaikan kamu ceraikan Mai?

AZIM:                      Mai tak salah apa-apa mak! Saya pun tak tahu apa yang merasuk fikiran saya hingga saya fikir saya ni masih terlalu muda. Tidak puas lagi hidup bebas. Dan tak mampu lagi tanggung beban sebagai suami. Otak saya berserabut fikirkannya. (PAUSE) keputusan bodoh yang saya ambil, ceraikan Mai. Hilanglah beban saya tu…. saya menyesal sangat mak.

EMAK:                    Oh itu sajakah masaalahnya? Mak ingatkan besar sangat puncanya. (MONOLOG) Sekolah bukan main tinggi, masalah gitu pun tak reti nak timbang. Dia ingat kahwin cerai tu perkara main-main. (PAUSE) Sekiranya Mai menerima kamu tentu kamu akan rasa terbeban lagi. Setelah sebulan bersama, kamu akan tinggalkan dia. (PAUSE) Mak tak mahu semua itu terjadi lagi. Kamu tak tenguk penderitaan Mai setelah kamu tinggalkan dia. Hampir dia jadi gila tau. Astaghfirullah mohon dijauhi Allah. Berat sekali tanggungan jiwanya. Dia sangat sayangkan kamu tapi kamu abaikannya.                                      

AZIM                       Saya janji mak, kalau Mai terima saya semula, saya takkan ulang lagi perkara bodoh tu! Saya sumpah mak!                                      

EMAK:                    Tak guna kamu berjanji dan bersumpah depan mak. Tunggu Mai balik. Kamu bincang dengannya baik-baik. Biar mak ke dapur sekejap buat air untuk kamu. Kamu pun datang dari jauh, tentu haus.

AZIM:                      Baik mak. Terima kasih.

MAISARA:             Assalamualaikum! Mak Mia dah balik!

AZIM                       Waalaikummussalam! Mai dah balik. Lama abang tunggu Mai!

MAISARA:             (TERKEJUT) Eh abang Azim! Lama dah abang sampai! Abang masih ingat jalan ke rumah Mai ya. Ingatkan dah lupa.

AZIM:                      Tak payahlah sindir abang, Mai. Abang tahu abang salah. Abang minta maaf banyak-banyak.

MAISARA:             Usahlah abang risau. Mai dah lama memaafkan kesalahan abang. Cuma melupakan saja yang belum.                             

GRAM:                   MUZIK.                

FAIZ:                       Kenapa kau termenung saja ni? Tak keluar dengan Erin ke. Kan malam ni malam minggu! (PAUSE) Eh siap dengan beg besar ni, kau nak melancong ke mana?

AZIM:                      (MARAH)Tak guna punya kawan! Sebab kaulah Maisara tolak rujuk aku.

FAIZ:                       Eh aku pulak yang salah! Siapa pulak Maisara? Aku tak kenal pun. Kenapa pula kau pula kau kena rujuk dia?

AZIM:                      Kau carilah sendiri jawabnya. Malas aku nak bagi tahu. Mulai hari ni kita putus kawan. Selamat tinggal.

FAIZ:                       (MONOLOG) Apalah yang merasuk kawan aku ni. Tak faham aku. Lantak kaulah Azim. Kau bukan budak kecik yang tau merajuk saja. Tapi siapa Maisara?

GRAM:                   MUZIK PENUTUP.

 

JURUHEBAH:        Demikian PANGGUNG DRAMA DKLASIK kisah “CATATAN MAISARA” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor.

PELAKON:

                            1. ……………………………...…………………………………….

                            2. ……………………………...…………………………………….

                            3. ……………………………...…………………………………….

                            4………………………………………………………………………

Panggung drama Dklasik diterbitkan Zuraidah Mohd Nor

 

 

No comments:

Post a Comment