Tuesday, April 12, 2016

KISAH SEORANG BELIAWANIS FELDA...

ASSALAMUALAIKUM...

KISAH SEORANG BELIAWANIS FELDA

Sebulan yang lalu aku mendapat surat pos yang meminta aku mengambil kiriman yang dialamatkan kepada bilik bacaan felda ini. Sebab aku yang menyelia urus bilik bacaan ini dan ingin menambah koleksi buku buku yang sedia tersusun di rak buku tersedia, tentulah aku yang terpaksa pergi mengambilnya. Bukan dekat jarak antara pejabat pos dengan tanah rancangan felda kampungku. Pejabat pos itu di Jerantut .

Jadi terpaksalah aku menaiki bas untuk ke sana. Melepasi jalanraya yang bengkang bengkok bak ular dipalu dan memeningkan kepala. Kalau tidak tahan dengan situasi begitu tekak akan terasa mual dan termuntah dibuatnya. Mujur aku terhindar dari rasa begitu. Sebelum tiba di Bandar Jerantut terlebih dahulu perlu menaiki feri menyeberangi sungai Pahang pula. Ketika  itu tidak ada jambatan lagi. Jawabnya letih berpeluh sebelum tiba ke destinasi.

Bungkusan kiriman sebuah kedutaan luar negara itu diberikan seorang pegawai pos kepadaku. Setelah mendapatnya pulang pula dengan cara yang sama. Lalui lagi kepenatan yang serupa. Rupanya bungkusan yang dikirim itu mengandungi buku buku  yang menceritakan doktrin sebuah negara kominis. Aku terduduk.

Takut pun ada. Tidak berbaloi langsung susahpayahku pergi mengambilnya. Tidak pasal-pasal aku akan didakwa kerana bersubhat menyebarkan dakyah kominis. Nampaknya buku yang agak banyak jumlahnya tersadai saja di suatu sudut kerana tidak dapat diletakan di rak buku kerana kandungannya yang ternyata menyalahi undang undang negara.  Lagipun aku tidak mahu terlibat dengan masalah yang akan membelitku kerana kecuaianku sendiri yang melakukan sesuatu tanpa usul periksa lantaran terlalu rajin dan komited dengan tugasan tidak bergaji yang dipertanggungjawabkan. Tidak berapa lama setelah itu aku dipanggil mengadap pengurus rancangan pula.

Kali ini bukan setakat berjumpa dengan pengurus rancangan tetapi bertemu muka dengan dua orang pegawai polis yang menanyakan soalan tentang buku buku itu kepadaku.

Kata mereka kedutaan yang mengirimkan buku buku kepada semua bilik bacaan felda sedang disiasat kerana motifnya yang nyata; menyebarkan dakyah kominis ke pertempatan felda.  Sebuah pengalaman yang ternyata mahal sekaliku alami dalam keseronokanku aktif dalam aktiviti social di tanah rancangan sambil menanti peluang menjawat sebarang jawatan setelah tamat persekolahan

Banyak juga faedahnya kerana aktif dalam persatuan belia felda ini. Sentiasa ada peluang untuk menyertai aktiviti yang tidak terduga. Aku dipilih berseminar di KL, bersama Md. Amin selaku naib pengerusi persatuan belia 4B di sini dan aku pula adalah setiausahanya.
Wilayah felda pahang tengah diwakili aku dan dua orang lagi belia dari felda Kampung. Awah.

Kami dibawa ke KL menaiki landrover felda dengan ditemani En. Zainudin Yunus seorang pegawai sdo felda wilayah Pahang Tengah.Teruja sungguh dengan pengalaman baru ini. Seminar dirasmikan Abdullah Ahmad Badawi mantan PM yang tika itu Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan. Tun Abdulah tika itu sangat kacak tampan sekali. Kami perserta perserta seminar berpeluang bergambar dengan beliau.

Aku berkenalan dengan ramai kawan kawan belia yang datangnya dari felda seluruh negara. Antara yang sangat rapat denganku adalah Mussalma yang
menjadi rakan baikku ; berasal dari felda Lurah Bilut. Seorang yang sangat baik dan rapat denganku. Kemana saja berpergian mesti hendak bersama dengannya. Maklum akupun tidak biasa dengan majlis begini. Agak canggung  sedikit dengan suasana yang selama ini tidak pernah dialami. Maklumlah orang kampung yang pertamakali ke bandaraya bagai rusa masuk kampung pula..

Sedang kami sibuk berseminar muncul pula seorang wartawan yang berhasrat menemuramah kami untuk bahan berita majalah yang diwakilinya. Aku dan mussalma pun bercerita tentang kegiatan belia di tempat kami, dalam kesibukan dan kesuntukan waktu untuk memenuhi acara yang disusun tidak sempat pula hendak bertanya kepada wartawan itu tentang majalah yang diwakilinya dan bilakah tulisannya tentang kami akan disiarkan

 Telah berlalu cerita itu sehingga beberapa bulan kemudian bapa membawa pulang sehelai kertas majalah yang diberi seorang rakannya.
 Tertera gambar aku dan mussalma di dalam kertas itu.Kata bapaku rakannya menemui kertas itu berlapis di dalam kelongsong kertas barang yang dibelinya di kedai PNF.kesian kan...gambar aku dan Mussalma terperosok di dalam kelongsong pembungkus barang. Tapi okey lah juga dapat menatap gambar sendiri di dalam cebisan majalah. Terimbau kembali kenanganku bersama Mussalma dan peserta2 seminar di K l dulu. Momen yang sangat menggembirakan. Mussalma kini seorang pegawai felda.
Dan aku meneruskan keseronokanku terlibat dengan pelbagai aktiviti belia felda dengan menambahkan lagi kesibukannya dengan menghasilkan karya penulisan tentang pelbagai kisah yang berlaku di kampung felda yang dihantar ke akhbar arus perdana Utusan Malaysia. Ada beberapa tulisanku yang disiar. Hasilnya dapatlah menjana sedikit pendapatan. Aku berkira-kira hendak menulis tentang seorang isteeri peneroka yang dibiarkan suaminya gantung tak bertali mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami setelah berkahwin lagi.  Baru saja merangka, belumpun ditulis lagi sudah dipanggil mengadap pengurus rancangan kerana katanya isu yang hendakku tulis menyangkut soal pentadbiran felda. Nasib penulis picisan. Hih! Hih!

Tamat.


No comments:

Post a Comment