Tuesday, January 24, 2017

PESAN UNTUK ANAKKU

ASSALAMUALAIKUM..

PESAN UNTUK ANAKKU

SAJAK 1
SEBUAH KELAHIRAN

Sembilan bulan sepuluh hari belum pasti dikandung ibumu dengan lelahnya
Lalu dizahirkan susah payah bersalut darah melimpah
bertakwakal dengan takdir-Nya
berjuang hingga hujung nyawa.
melahirkan dikau beberapa kesakitan
berpantang pula minum dan makan.

Tatkala engkau melihat dunia raung tangismu berhiba-hiba
dengan segera bidan mencapai
sudah dimandikan lalu dipakai
tinggallah ibumu lemah gemalai, rebah terkulai.

Takbir dan qamat bersilih ganti bapa mengendong putera puteri
memohon doa ke hadrat Ilahi supaya selamat dunia akhirat
beramal ibadat menurut pesan nabi Muhammad
..
Aduhai anak tersayang janganlah engkau durhaka
Dengan kasih ibu dan Allah merestu akan sempurna urusan hidupmu
Tidak menjadi Tanggang yang disumpah menjadi batu.

PARIDAH ISHAK
ULU JEMPOL.

SAJAK 2
HATI BONDA

Putera-puteriku,
hadirmu buah cinta ayah bonda
bintang bersinar alam rumah-tangga menerangi jagat raya.
Semalam, ketika kau menangis mengundang risau dan bimbang
ketika kau senyum ceria… sirna segala duka bonda.
Kudakap tubuh kecilmu
Kau terlena di dada bonda
tanganmu melingkar di pundak bonda dalam kusut rambut. 
Kucium aroma wangimu sambil mengelus pipi gebu dengan sebuah harap
Kau tetap kecil dan montel sentiasa dalam pelukanku. 
Hari ini, kautelah dewasa menongkah arus
gelombang hidup penuh pancaroba
dan mulai melupai masa kecilmu.

Putera-puteriku, saat bonda meniti usia emas ini
dalam payah menempuh hidup tanpa kudrat
sakitnya, menangung kesakitan ini.
Dan  duka rasa sepi biarlah hanya sebuah mimpi
lewat lena dinihari.


 PARIDAH ISHAK
Ulu Jempol,
Pahang.
Januari 2014.

SAJAK 3

IQRA’

Bismillahhirrohmanirrohim.
Bacalah dengan basmalah demi nama Tuhanmu
Yang Rahim Yang Rahman
Yang Maha Pengasih Maha Penyayang
sebelum menadah telinga
membuka minda seraya mengadap wajah pendita aulia yang alim
menulis nota ilmu, mengisi dada..
Menghafaz mengingat mengaji biar kekal terpahat.
Asal tahu daripada tidak tahu
ulangi baca jangan jemu
demi masa depanmu
yang gemilang yang cemerlang
sebagai anak-anak pewaris zaman.
Ilmu yang berkat bermenafaat diperoleh daripada ibu bapa, pendita, sifu, guru-guru berwibawa;
berterima kasihlah dan munjunjungnya tinggi di jemala sambil tidak lupa iringkan doa kesejahteraan buat yang memberi pengajaran sempurna.
Ukhrowi duniawi biar seimbang
Agar dipengadilan Mahsyar tidak tumbang

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA.









SAJAK 4

PESONA BAHASA

Aduhai anakku yang jelita
berbudi bahasa bermadah kata
Alangkah indah alangkah molek
anak manis berwajah cantik
Terpesona anggun perawan ayu
budi bahasa serlahkan dulu
Lembut alun tutur bahasa
sopan santun pengikat kata
Cair hati tumpah perasaan
lunak bahasa tambah menawan
Budi bahasa budaya mulia
rupa diri bangsa sempurna
Ke mana pergi di mana saja
budi bahasa kekal bersama
Yang kurik kendi yang merah saga
yang cantik budi yang indah bahasa

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA.
Face
SAJAK 5
BICARAMU
Anakku
Sudah elok tingkah dan laku
lidah pula harus dijaga seperti pesan alim ulama sejak lama
agar berbicara saksama tidak melukakan, tidak menggusarkan apalagi mengaibkan
Tajamnya lidah laksana pedang memotong menghunjam dengan kejam
Meminjam kata peribahasa kita
kala berjalan kaki diperhati juga
takut tersadung terundang padahnya

Bermain bicara biar berpadan agar tidak menerbit rawan melukakan perasaan
kepada kawan mahupun lawan
Jangan berperi sesuka hati akan dikenang hingga mati
apalagi bicara berduri.
Bermanis bicara sesama hamba-Nya
dengan tulus ikhlas mengukir bahasa
Dan segala kusut-masai urusan
pasti terlerai dan Allah mempermudahkan.
Insya-Allah.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA.

SAJAK 6

RANJAU

Telah kau harunginya dengan mati hati
menyisihkan onak durinya
meski kaki luka tertusuk
darah yang banyak mengalir bening
air mata pun deras menitis
gambaran duka di wajah polos

Kesakitan kesukaran bukan lukisan
yang bisa kau simbah warnanya ke kanvas
hanya memerahi dadamu dan seluruh kota hatimu.

masih jua ranjau itu dikuak
biar semakin ditepis semakin banyak
maka pujuklah hatimu anakku sambil berkata
ujian Allah jua, redha
walau air mata terus menitis
membawa rasa hiba
Bersabarlah aduhai anak kerana kehidupan itu perjuangan
dan percaturan yang mengelirukan.
PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA.

SAJAK 7

ANAK-ANAK IBU.

Dia hampir ke sisi ibunya
kerana tangisnya, kerana lelahnya
kerana dahaganya, kerana laparnya

Pernahkah anak itu tahu
air mata ibu deras mengalir
kerana olahnya yang lepas laku?

Pernahkah anak itu tahu
akan terbuka hijab antara ibu dan Dia Yang Maha Tahu
akan siksa hati ibu membekam pilu
Sekiranya ibu mengadu dan berdoa
doa ibu akan terangkat ke atas aras langit tujuh petala
andai ibu berkira tentang air matanya yang tumpah

Namun ibu hanya mendoakan
kemasyhlahatan penuh kebaikan
untuk waris yang lahir
dari rahimnya

 PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA
19 DIS 015.


SAJAK 8

DALAM KEHIDUPAN INI

Walau ianya sementara destinasi akhirnya pasti
Dan laluilah segenap ceruk likunya
yang beronak duri dengan tegar amat
penuh semangat
Rencah nya membubu rasa pelbagainya
resepinya adalah pilihan kita
yang jadi hidangan di meja kehidupan
Lalu santaplah meski tidak berselera
Setelah itu bersandarlah di pohon Iradat
seraya mengucap syukur nikmat.
Alhamdulillah.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA.

SAJAK 9

MUSIM PERCINTAAN..

Alam cerah yang mempelangi hidupmu berwarna-warni
Harapanmu mencorak bunga-bunga bahagia
bak jambak jambangan yang digubah dalam vas.
Sehari-hari menenun rindu pada keselesaan pengharapan
namun jangan sesekali  tergadai jiwa raga
dengan kesetiaan yang tulus jitu total.

Sedang penamatnya  hanya rentetan trajidi
yang tragis. Mungkin.

Sujudlah  bermohon doa istikharah
Agar Allah menganugerah yang didamba demi hidup bersama dia
pilihanmu  mengharapkan  bahagia dalam melestarikan cinta
Kau pun dengan sabar menanti detik masanya itu anakku
Jikalau hanya berlalu tanpa peristiwa yang direncana  biarkan saja
Bukan takdir-Nya dia di sisimu
kelak akan kan kau belek lembar kenangan itu seraya tertawa
Walau ternyata ada duka juga yang terhimpun lama

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA

SAJAK 10
PESANAN IBU

Aduhai anak-anak kesayangan ibu
pesanan ibu yang sedikit itu sematkan dikalbu
Jadikan azimat yang berhikmat
Kelak hidupmu beroleh nikmat beroleh rahmat
Pesanan ibu pesanan biasa
pesanan orang tua kepada anak-anak kesayangannya
Demi kasihnya demi sayangnya
sepanjang hidupnya hingga akhirnya
Semoga pesanan yang diberikan
tidak hanya masuk telinga kiri lolos di kanan
digenggam kemas untuk amalan kehidupan
dunia ke akhirat lurus perjalanan
Anak-anak memang bijaksana
berilmu tinggi pakar segala
kadang terleka terlalai juga
Saling mengingatkan tiada salahnya
moga tidak jadi keengganan buat menerima
pesan daripada seorang ibu tua yang renta ternyata
keuzurannya.

PARIDAH ISHAK
SELAYANG UTAMA.












1 comment:

  1. Salam sia Paridah.. Seronok baca nukilan sis.. 😍😍😍

    ReplyDelete