Tuesday, February 14, 2017

APRESIASI TUN FATIMAH..

ASSALAMUALAIKUM...


SYAIR TUN FATIMAH

Bersyair bermadah kisah lama,
bermukaddimah dengan saksama,
citra sejarah tak pernah lupa,
kisah menarik terkedu kata.

Tun Fatimah nama lagenda,
dalam ingatan diri wanita,
tabah berani semangat waja,
hadapi duga rintang hidupnya.

Serikandi Melaka ulung agung,
cabaran hidup tinggi menggunung,
menjadi mangsa fitnah membusung,
Seisi keluarga habis dipancung.

Sedih dirinya menanggung duka,
ayahandanya dibunuh luka,
termasuk suaminya tercinta,
jua semua adik beradiknya.

Konon dituduh persiap diri,
hendak menjadi sultan negeri,
merampas kuasa kabar diperi,
dengan biaya emas berkati.

Tun Fatimah usaha membongkar,
mencari bukti hingga ke akar,
segala punca cari selongkar,
akhir terbukti fitnah menggegar,

Bukan mudah usaha Tun Fatimah,
mencari bukti dengan berhemah,
di depan sultan hadap pemfitnah,
penyebar angkara memusibah.

Bukti nyata tak dipertikai,
Tun Fatimah amat pandai,
puteri ayu bijak menilai,
sukar disanggah diterima pakai.

Sultan Melaka rasa bersalah,
menjatuh hukum pada pesalah,
penyebar fitnah terima padah,
setimpal dengan apa dimadah.

Tun Fatimah permaisuri sultan,
gelaran “Tun Kudu” diberikan,
tanda kasih dan penghormatan,
kepada suri tegar cekalan.
Berakhir sudah syair digubah,
moga dimenafaati akan kisah,
jadi semangat usir resah,
apa masalah diusai Allah.

Jiwa Tun Fatimah jiwa kersani,
tabah ujian hati berani,
walau menangis sabar hadapi,
berkeluh kesah tidak sekali.



PELARIAN

Sekiranya boleh laksana angin
tentu mudah meresapi
setiap alur nadi
dan
menolak segenap kerikil
yang menghalangi laluannya...


Sekiranya boleh laksana ombak
yang bergerak dan berolak
setiap yang melintas
pasti dipintas....


Sekiranya dapat laksana burung
pasti akan terbang ke langit
meninggalkan bebanan duka
di celah awan gemawan

dan
bibir kembali mengorak senyuman
justeru telah terlerai olah hidup
yang sangat perih...

Paridah Ishak
Selayang Utama
14/02/017

PENUNGGU

Setia sekali menunggu
walau Romadan pergi
dan datang lagi
menyisip anyaman hati
seiring sujud yang panjang
hanya mendamba corak lagang terindah
sebuah hamparan takwa
dan mengharap belas kasih-Nya

Kasihan penunggu itu

masih menunggu tidak jemu

Kali ini yang ditunggu
adalah secubit rasa bahagia
yang bakal dibawa
dan dilambakkan ke ribanya
cinta manusiawi aidilfitri
hadiah untuknya
seorang bonda

Apa salahnya untuk seketika
melupakan duka
walau nestapa itu
berayun di birai mata

Senyum jangan malu terorak
seadanya beriang-rialah
seadanya bercerialah
kerana
masih ada hidup
meski masih menunggu
dan kekal sebagai penunggu

PERKAHWINAN

gusar
debar
ragu
esak-esak tangis berbunga sendu

lemah
pilu
resah
perkecokan apa berperang dalam diri

longlai
jatuh
kaku
beku.
utusan maut menjemput tunangannya
upacara perkahwinan terabadi akan bermula

Dewan sastera dis 1978

Jutaan terima kasih buat penulis noorlaila ghafar yang menemukan sajak saya ni dalam himpun

AKHIR SEBUAH CERITA

lafaz mula yang telah lama dilupakan
mengungkitnya mengadunnya mencernanya
secanggih mungkin
namun


Siapakah lagi yang rajin hendak mendengarnya
sebuah cerita lama
yang tidak ada penamatnya



Semangat berserta angin
bermulalah langkah setapak
terhenti pula


Diusahakan menapak lagi
bergerak lagi
memulakannya kembali
di tapak mula yang sama

Resepinya begitu juga
Apalagi yang mesti diambil
Buat sebuah mula langkah
yang mantap
mengakhiri perjalanan
sebuah cerita rekaan
yang masih berterusan

PANTUN
RUMAH KITA
Jari terluka menitis darah,
titisnya darah usah diseka;
rumah pusaka waris muzakarah,
bertelagah cuma seketika.


Lebat gugusan buah markisa,
harum kuini bawa ke sini;
rumah warisan anak bangsa,
dulu kini kekal harmoni.


Burung pekaka jatuh tersadung,
atas jerejak menuju anjung;
Rumah pusaka tempat berlindung,
bumi dipijak langit dijunjung.


Lemah mereka gurisan pita,
di baris alang sarang penyengat;
rumah pusaka warisan kita
keris bersilang lambang semangat.


di baris alang sarang penyengat,
cuak dirasa meniti senja;
Keris bersilang lambang semangat,
anak bangsa berhati waja.


Di situ  peria jalar merata,
selasih minang merempa nangka;
bersatu bersetia bersepakat kata,
berkasih sayang tanpa wasangka.

PERASAAN

Kelapa sebatang tepi perigi,
bunga mengkudu di ujung dahan;
kenapa datang kenapa pergi,
rasa rindu tak kesudahan.



Keriang lara sepi di sini,
patah tertusuk duri di sendi;
berriang ria di hari ini,
entahlah esok apa terjadi.

Hendak dilurut duri selasih,
silang meranti suburkan ladang;
hendakku turut hati nan sedih,
walang di hati bukan kepalang.


Kudup ini kelopak tengah,
belum dipenuh air tempayan;
hidup terkini baru setengah,
sebelum penuh seperti bulan.

Inginku tebang pohon kedondong,
anak rerama galak merayap;
inginku terbang seperti burung,
apakan daya tidak bersayap.




GURINDAM

Cinta kasih di hati di kolbu,
dinilai dihargai jadi nawaitu.

Cinta abadi teguh bersemi,
hanya padamu kasih sejati.

Kuseru kasihmu datang padaku,
mesra cintamu melerai rindu.

Di dinihari berkeluhkesah,
menyerah nasib menyerah resah.


Berikan kasih berikan cinta,
hanya padamu segala pinta.

Kasih-Mu tak pernahpun surut,
selagi nadi masih berdenyut.

Hanya pada-Mu yang maha agung,
kuserah diri mohon berlindung.

Suatu ketika cintaku tak putih,
maafkanlah aku duhai Kekasih.

Tiada lagi yang didamba,
selain cinta kasih-Mu saja.


Cerpen-Sajak-Seloka-Syair-Gurindam-Nukilan Pengalaman-Pantun

WANITA JELITA WANITA RUPAWAN
Wanita jelita mulus wajahnya anggun bergaya
alis mata lentik cantik kening terbentuk dipantis
pipi merah montok menggebu
bibir mongel terlukis manis
bicaranya petah membalas hujahan
berkerudung anggun merah biru menawan kolbu
berjuang penuh garang di dewan persidangan
menggenggam hakiki kepercayaan
pada sebuah realiti perjuangan
dan wanita rupawan ayu tulus rautnya
Lemah tutur kata
kadang hilang bicara berombak di dada
bagaimana sudahnya minda mencongak kira sedang nawaitu kekal jitu
di sudut dunia sebelah  situ
tidak sempat berpantis bercelak bergincu
yang diingat cuma destinasi
akan sampai tanpa sangsi
membawa missi pasti suara hati
teriakan lolong kesedihan menyentuh perasaan
yang dipohon doa restu bertalu
misi Gaza berjaya tidak sia-sia
watan Pelastin bumi anbia dibantu apadaya
walau menggadai nyawa merentas samudera
silap gaya meninggal dunia
dengan reda demi saudara seagama
menyempurna fardu kifayah ke alam baqa
Wanita wanita menggoncang dunia
berbeza peranannya

Paridah Ishak
Selayang Utama
18/01/017


No comments:

Post a Comment