Monday, February 22, 2016

AWAN DAN LANGIT...

ASSALAMUALAKUM...

ANTOLOGI PUISI AWAN DAN LANGIT…
SAJAK 1.
CINTA DARI LANGIT LAZUARDI
Wahyu Ilahi daripada langit lazuardi
Melepasi tujuh petala yang berawan gemawan tipis tebal
 dibawa malaikat Jibril Roh alqudus alaihissalam ke alam dunia.
Watikah berisalah cinta Allah
Buat Muhammad Rasullullah di gua Hira’
Dalam gementaran berselimut kegigilan
Rasul pilihan akhir zaman.
Turunnya wahyu satu persatu
Di Mekah almukarramah
Di Madinatul-munawarrah
Membawa catatan sejarah
Yang tidak semata cerita
Tapi perlu terlaksana sebaiknya
Amalan keislaman amalan kebenaran
ummat pilihan
Allah yang memutuskan
Manifestasi cinta Ilahi abadi.
Jauh turunnya daripada langit tinggi.

SAJAK 2
DI BAWAH LANGIT BIRU BERAWAN PUTIH.
Tumbuhan hijau merimba
flora dan fauna bersama
dalam rantaian kehidupan saling perlu memerlukan
antaranya.
Berlangsunglah dengan apa cara jua
sesuai cita kehendak
samaada memangsai waima dimangsai
dalam polemik perkecokan yang sengaja dicari.
Sukar dipastikan walau peraturan ditentukan
hanya arah kebenaran.
Kehidupan yang berlaku
di bawah langit biru berawan putih
tidak seceria suasananya
adakala bah, ribut, petir, gempa menggugah jua
kadang di situ kadang di sana
hancur luluh lantaran petualangan yang berpuing merata.
Kedamaian sebenar telah sirna.
Citra kehidupan yang terlakar
belum pernah habis dilukis.

SAJAK 3
STRATUS  SIRUS COMULUS COLUMBUS
Langit suram temaram.
Tidak lagi kelihatan Stratus, Sirus, Columbus, Cumulus berkepulan, bergumpalan.
Yang terserlah kehitaman legam.
Zarah halus menyesak ruang
angkara tangan zalim membakar segala.
Hanya debu halus bersisa
dan  pantaipun mengeluh

Ombak berdebur di kaki tiang
melungsur hari menunggu siang
fajar menyingsing di kaki langit
mentari muram mengisar pandang..

Yang dinanti tak kunjung jelah
sinar pagi tak mampu mencelah
kabut jerebu kekal kelabu
alam siang sekadar pasrah.

Addhukhan ayat 10 surah alquran
tercatat berlaku akhir zaman
rindu kita kepada sinaran
langit cerah menggumpal awan.

Allahhuakbar hati menggusar
petunjuk Allah maha benar
keresahan menerima kabar moga tersasar
dihindari Allah perbuatan mungkar
dijauhi ilahi apa yang merugi...
Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata
Addukhan ayat 10.
moga mentari yang bersembunyi
di sebalik jerebu
tidak terbit di barat...
masih ada nikmat.

DMUARA RESORT SG.BESAR.
16 OKT 2015.
SAJAK 4
LANGIT JINGGA SENJAKALA
Gelongsor hari dari pagi
kala murai berlagu riang
menghirup embun di hujung daun
di celah  pohon rimbun.
Teriknya mentari tengah hari
Awan bergumpal melindung bahangnya
Petani di tengah sawah
Walau berkeluh kesah sambil merumput peluhnya basah
Minda diasak tuntutan dunia
walau keupayaan tidak seberapa.
Senjakala merona jingga kaki langit
Layang layang dan raja udang melayang  terbang pulang
Setelah puas melayah di balik awan
dengan pasti arah tujuan.
Cerita hari ini terhenti di senjakala sepi.
Sebelum bersambung keesokan hari.
Insya-Allah.

SAJAK 5.
LANGIT MENDUNG AWAN KELABU
Memandangnya bergalur bimbang
Terbayang-bayang yang bakal jelang
Masakan mampu menghalang, bakal datang.
Langit mendung awan kelabu
Petanda alam akan menangis
Rintik-rintiknya makin menderu-deru.
Wajahnya gelap berkabut
hati pun kelam berserabut
segera hati memujuk
agar segera bertukar cerah
dengan doa-doa Insya-Allah.
Bimbangkan kesedihannya
akan menggenangkan air mata yang lebat.

Air mata alam berlinang justeru tangisannya
lantaran kesedihan akan tangan-tangan yang zalim
yang merosakan menghancur-leburkan
kedamaian, ketenangan, keindahan suasana.
Hati berderau risau
tatkala menentang wajah alam seakan ia berkata;
sekiranya kesedihanku tidak terbendung
airmataku tidak lagi bergenang
malah akan terus tumpah hari demi hari

Bakal menenggelamkan 
busut busut bukit bukau gunung ganang
mentelah rumah rumah.

Bersediakah?
Masih adakah bahtera nabi Noh as penyelamat?

PARIDAH ISHAK

No comments:

Post a Comment