Wednesday, March 16, 2016

SAJAK PENGHARGAAN BUAT PENDETA ZAABA...

ASSALAMUALAIKUM ...

SAJAK ZAABA…
Aku dan kamu
hidup sekarang pada zaman maju,
Zaman pendapat baharu, fikiran baharu,
Tidak lagi seperti dahulu
Zaman kebebasan dan perkembangan ilmu,
Manusia tidak lagi boleh diperlembu,
Suara Zaaba, SULUH BAHASA DBP 1965
Terkedulah aku
Membaca bicara bersambung melantun
Mengetuk minda kosong dungu.
Menafsir makna membekas di kalbu.
Buangkanlah segala perasaan kuno,
Segala fikiran beku yang keras kaku,
Segala kepercayaan karut yang hanya jadi belenggu,
Segala-galanya yang kini tidak lagi laku:
Lemparkanlah, tinggalkanlah sekalian itu,
Supaya kita senang selalu.
Terpaku melirik aksara bait berilmu
Satu persatu.
Menghadaminya dengan mahu.

PESANAN ZAABA

Kita mesti berani menggodam mengetuk,
Meruntuh meroboh segala yang lapuk,
Memotong yang busuk, memangkas yang bengkok
Mengganti membaharui dengan yang elok,
Mengikut panduan sebenar-benar petunjuk;

Ambil ingatan jadikan panduan
Pancaran makrifat terserlah lampaui kegelapan
Sejak lama zaman berzaman
Menyuluh gelita rusuh hati
Menimbang keputusan sejati.

Timbang sendiri, tidak mengikut telunjuk.
Hapuskan segala kepercayaan
Yang tak mempunyai kenyataan kebenaran,
Ingat, hati-hati kita mesti berani
Dengan tekad menurut suluhan abadi
Memecahkan sekatan kolot, walau seperti besi
Segala yang karat dikikis diganti.
(Petikan Suluh Bahasa DBP, 1965)

PENDETA ZAABA

Akal budi menjati diri berperibadi tinggi
Telusuran perhatian minda melantasi ruang
Tentang perjuangan anak bangsa yang masih melata
Berpada sentiasa seadanya
Sukar merubah kebiasaan dengan pasrah walau itulah
keimanan berpaksikan redha.
Anak bangsa dikejutkan daripada lena bermimpi panjang
Merentasi waktu berlalu dengan lesu.
Berjuanglah demi kehidupan
Walau ranjau di hadapan di kiri di kanan
Tanpa menoleh belakang yang suram
Atasi setiap kelemahan diri
Berpegang azam
Kemas digenggam.

PARIDAH ISHAK
16/3/2016
SELAYANG UTAMA.

No comments:

Post a Comment